Rabu, 15 Ogos 2012

ISU BAHASA : Makna Ramadan dalam puisi


Oleh : AMINUDIN MANSOR

PENYAIR yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan menulis melalui bahasa yang berseni dan indah dapat melontarkan rasa keterharuan dan ketakwaan kepada manusia lain. Penyair yang sentiasa berpegang kepada tali Allah akan sentiasa diberkati dan dianugerahi pahala daripada amalannya.

Pekerjaan sebagai penulis atau penyair adalah suatu yang mulia, jika selalu menetapkan hati dan diri bertakwa hanya kerana Allah. Ramadan juga menjadi pilihan ramai penyair untuk mengungkapkan rasa hati tentang fadilat Ramadan. Pemikiran yang mengalir dengan lancar pada setiap frasa memberikan kesan kesedaran kepada pembaca.

Melalui bahasa,  penyair menganyam kata-kata pada baris-baris puisinya, dianyam juga bunyi, simbol, bahasa figuratif, dan unsur-unsur stilistik yang lain sebagai hiasan dan keindahan kepada setiap estetik puisi.

Cinta kepada Allah adalah makam puncak dalam beribadah. Ia juga menjadi inti agama. Penyair diingatkan supaya tidak menulis perkara yang sia-sia dan sesat. Ingatan Allah ini terpancar melalui Surah Al-Anbiya 21:5, Asy-Syuara 26:224, As-Saffat 37:36, At-Tur 52:30 seharusnya sentiasa menjadi rujukan dan ingatan semasa menulis.

Allah menegaskan bahawa manusia akan diangkat menjadi khalifah-Nya di atas muka bumi, dengan ketentuan mereka harus menjalankan segala ajaran-Nya, iaitu beriman dan beramal salih. Justeru sastera dan agama tidak boleh dipisahkan. Peranan penulis atau penyair seharusnya terus mengungkapkan rasa ketakwaan dan keimanan kepada Allah serta mengajak para pembaca melakukan ibadah seperti puasa di bulan Ramadan.

Berkaitan dengan puasa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: " Barang siapa mendirikan malam-malam Ramadan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Al Bukhari).

Justeru, beberapa penyair sering mengungkapkan melalui bahasa cinta dan semangat kecintaan kepada Allah. Nilai Islam dan kecintaan kepada agama sering diucapkan melalui sajak-sajak mereka. Antaranya penyair Hadzrami AR, Kemala, Wan A. Rafar, Shafie Abu Bakar, Nahmar Jamil, Wadi Leta S.A, Abdul Hadi Muhammad, Abdul Hadi Yusof, Abham T.R, Amin Mihad, Hasyuda Abadi, Subari Ahmad, Zahari Hasib, Pena Mutiara, Shamsudin Othman, dan Fadh Razy serta penyair lain. Penyair-penyair ini juga pernah mengungkapkan puisi berkaitan dan bertemakan Ramadan. Di tangan mereka meranum keindahan dan fadilat Ramadan.

Beberapa penyair lain juga menulis sajak tentang Ramadan antaranya Husna Nazri melalui puisi-puisinya Pohon Ramadan, Ramadan di Badar, Ramadan Yang Singgah, Mengalir Di Sungai Ramadan, Lelaki dan Pedang Ramadan, Kaktus Ramadan, Lailatulqadar, Mencarimu Ramadan. Perhatikan petikan sajak Pohon Ramadan karya Husna Nazri di bawah ini:

Rendangmu
Merimbun teduh
Di bawah langit mubarak
Dinding gerimis luruh
Disisir daun-daun rindu
Cinta yang dipasak di halaman bumi
Menyentuh wajah nurani
Kasih Ilahi yang tumbuh
Di dakapan seorang insani
-sabar rupanya masih setia.

Melilit akar diri
Tunjang yang merawat emosi
Adalah doa-doa
Yang limpah
Di ranting hari
Jauh di puncak,
Bunga-bunga syukur
Menutup tikaman getir
Matahari.

Di bawah pohon Ramadan
Aku dingin
Dalam penghayatan
Mencari makna diri
Di halaman Ilahi.

(Petikan sajak Pohon Ramadan, karya Husna Nazri Kota Intifadah DBP: 2006)

Pada hakikatnya puasa Ramadan dapat melatih umat Islam berjihad melawan hawa nafsu, menyucikan diri daripada perbuatan keji dan mungkar dan menghiasi diri dengan akhlak mulia serta menyuburkan semangat cintakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Peranan akhbar dan majalah yang menyiarkan sajak-sajak bertemakan Ramadan sangat dialu-alukan oleh penulis.

Usaha mencari makna diri di bawah ibadah Ramadan seharusnya menjadi tanggungjawab umat Islam. Melalui ibadah puasa Ramadan setiap umat patut bersyukur atas anugerah Allah selama hidup di dunia ini yang penuh dengan kegetiran, kepayahan juga kenikmatan. Ibadah puasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri di samping ibadah yang lain, malah menjana keluhuran iman dan takwa kepada Allah untuk memperoleh kebahagiaan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap penyair mengungkapkan tema ibadah seperti ibadah puasa sebagai melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi ini. Kumpulan puisi Ramadan juga berkembang di Internet melalui penyair-penyair baru.

Banyak fadilat puasa di bulan Ramadan yang boleh diungkapkan oleh penyair. Bahasa di tangan penyair lebih ranum dan harmonis untuk mengajak umat Islam beribadah kepada-Nya.

Penyair boleh menyuarakan antaranya tentang fadilat puasa adalah membentuk manusia bertakwa kepada Allah, dapat mengukuhkan Islam, turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia, menghapuskan segala dosa yang lalu, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.

Justeru, puasa Ramadan juga perisai daripada perbuatan keji dan mungkar, dapat mengendalikan hawa nafsu, membina kesihatan rohani dan jasmani, melatih manusia hidup berhemat dan sederhana, melatih manusia berdisiplin dalam makan dan minum, melatih manusia sabar dan tabah menghadapi dugaan hidup, memperoleh tujuh ratus pahala amal kebajikan, ibadah istimewa yang tiada tandingannya, dapat menambah keimanan dan kecintaan kepada Allah, membuka jalan manusia untuk bertaubat kepada Allah dan doa dimakbulkan oleh Allah. Adanya malam dan keistimewaan Lailatulqadar.

Bakat dan kebolehan penulis dan penyair dapat mengungkapkan kehebatan Ramadan melalui keindahan puisi khususnya sajak. Penyair juga dapat mengajak orang ramai beriman, beramal soleh dan bertakwa demi menegakkan kebenaran Islam. Seperti kata Penyair Nahmar Jamil melalui sajaknya Pulang Ke Alam Agama.

Bangkitlah Islam
Memikul amanah
Mendepani cabaran
menaburkan rahmat ke penjuru alam.

(Petikan sajak Pulang Ke Alam Agama; Antologi Perubahan DBP: 1996)

Sebagai penulis dan penyair menurut pandangan Imam Al-Ghazali, sesebuah karya pengarang, keindahan puisi penyair, keindahan lukisan pelukis atau keindahan bangunan yang dibina oleh arkitek mencerminkan keindahan dalaman manusia pencipta. Menurutnya, oleh sebab Tuhan sempurna (indah) oleh sifat-Nya Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna manakala sifat-sifat (indah) yang terdapat pada manusia dapatlah dirumuskan bahawa segala manifestasi keindahan dalaman yang dialami oleh para seniman akan memimpin seniman kepada kasih dan sayangnya kepada Tuhan. Sebarang objek yang mencerminkan keindahan dalaman ini dianggap sebagai keindahan sebenar. Justeru, Ramadan juga penuh dengan keindahan dan gandaan pahala yang mendapat perhatian penulis khususnya penyair.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Tradisi balik kampung mungkin berakhir


Oleh : Imlan Adabi
 
Jika bernostalgia mengenai lagu raya dan balik kampung menjelang Syawal, anak mungkin mempunyai persepsi lain. Apalah yang ada pada dendangan Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Ahmad Jais dan Sanisah Huri?

Apalah yang ada pada Syawal di desa selain makan ketupat, rendang, tengok sawah, ziarah kubur, duit raya dan jumpa nenek!

Mereka akan ketawa mendengar lagu raya era 60-an kerana iramanya dikatakan lawak dan mungkin aneh!
Mereka akan hairan memikirkan zaman orang tua yang sudah semakin sayup dan aneh kedengaran. Kanak-kanak sekarang sudah asing daripada persekitaran orang tua sendiri.

Mereka tidak tahu bagaimana memikat keciap di sawah atau membakar belalang dan ubi kayu ketika bendang semakin kontang. Ada yang terperanjat melihat etok direbus dan dikunyah pada petang Syawal.

Hidup sudah berubah dan zaman lalu tidak mungkin mengembalikan kesegalaannya.

Memang benar pengakuan Jane Healy menerusi Endangered Minds, bahawa kanak-kanak kini semakin kosong dan longlai. Mereka tidak kreatif dan kurang mesra alam. Semuanya berpunca daripada kehidupan moden di kota.

70 peratus kanak-kanak berada di kota dan kawasan urban. Mereka mangsa keadaan kerana segala bentuk permainan disediakan, bukan mencari sendiri seperti kita alami 30 tahun lampau. Mereka memadai dengan menekan alat kawalan jauh untuk memilih siaran paling menarik menerusi televisyen satelit.

Mereka dibesarkan dengan Ipad, Ipod dan telefon bimbit pintar. Permainan hanya di hujung jari, berbanding kita yang terpaksa ke sawah, pinggir bukit, menyelam di sungai dan tali air. Kita lasak mencari keseronokan zaman lampau, mereka bergasak menerusi permainan video digital!

Jangan ceritakan soal makan ubi bakar di kebun getah atau meratah sotong salai bersama rakan selepas sunat Tarawih, mereka akan ketawa kerana kehidupan kita yang dianggap membosankan.

Mereka menjadi mangsa keadaan, terperangkap dalam jeriji besi untuk tujuan keselamatan. Kanak-kanak kota sering ditetapkan waktu untuk belajar, bersukan, aktiviti kokurikulum, mahupun ke pusat beli-belah bersama keluarga.

Dunia mereka hanya di rumah dan sekolah. Mereka tidak mempunyai alam lain lagi. Mereka sejak bayi diasuh berada dalam kawalan bagi memastikan keselamatan kerana bandar besar seperti Kuala Lumpur selalu dikaitkan sebagai ganas, kejam, penuh jenayah dan terancam.

Golongan muda generasi Y dan Z menjadi pewaris Starbucks yang sentiasa melihat dunia dengan persaingan, bukan persamaan. Mereka ada hak eksklusif tersendiri untuk memiliki bilik tidur berasingan sesama adik beradik dan kurang mengerti dengan nasib yang dialami oleh jiran.

Mereka jauh berbeza generasi kita dulu yang mungkin lima jam berada di luar rumah semata-mata untuk mengaji al-Quran, memikat burung atau menjadi ahli dikir barat peringkat kampung yang tentunya memiliki perasaan kebersamaan erat.

Kita dulu menjadi milik masyarakat kampung dan jika pun melakukan kesalahan menghisap rokok di belakang kedai kopi, sesiapa saja berhak untuk mencubit atau menjentik telinga di khalayak ramai.

Keadaan kini sudah jauh berubah. Generasi pasca reformasi 1999 lebih akrab dengan digital, bersendirian ke dunia tanpa sempadan, melontarkan pandangan menerusi Facebook dan Twitter, sekali gus mereka sebahagian daripada empat juta pengundi baru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mereka mempunyai sikap tersendiri. Tidak terlalu nostalgik. Mereka menerima propaganda dengan fikiran penuh tanda tanya. Generasi baru yang mungkin kurang kreatif seperti disuarakan Jane Healy tapi mempunyai sinikal tersendiri. Mereka kurang mengenang budi dan tidak semestinya berita yang disogokkan, diterima sepenuhnya.

Apabila timbul isu balik kampung menjelang lebaran, mereka sering bertanya apakah ayah dan ibu akan terus balik kampung jika nenek dan datuk tiada lagi?

Kini, giliran kita pula untuk bertanya kepada diri sendiri; apakah kampung masih ada di hati kita menjelang 2020?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kejiranan lemah galak jenayah musim perayaan


Oleh : Akhbar Satar
 
Kawalan keselamatan perlu dirombak

Belum pun tiba Aidilfitri, tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan ‘Lima’ yang aktif merompak di beberapa daerah di Pulau Pinang, maut ditembak polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Jesselton minggu lalu. Tidak dinafikan ramai meninggalkan rumah untuk pulang berhari raya di kampung halaman setiap kali menjelang musim perayaan. Kebiasaannya, masyarakat Islam di ibu kota khasnya akan meninggalkan rumah dalam jangka masa agak panjang untuk pulang berhari raya di kampung.

Sepatutnya, sebelum kita memulakan perjalanan, kita perlu memastikan keselamatan rumah masing-masing. Pada musim perayaan penjenayah mengambil kesempatan, terutama jika kita lalai dan abai aspek keselamatan”

Oleh itu, kecenderungan berlakunya jenayah seperti pecah rumah dan kehilangan kenderaan amat besar. Rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni dalam tempoh tertentu boleh menarik perhatian penjenayah.

Mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenayah pecah rumah ketika Aidilfitri meningkat hampir 50 peratus setiap tahun. Selalunya trend jenayah pecah rumah meningkat mendadak dalam tempoh seminggu sebelum atau seminggu selepas hari raya.

Ambil kesempatan

Sepatutnya, sebelum kita memulakan perjalanan, kita perlu memastikan keselamatan rumah masing-masing. Pada musim perayaan penjenayah mengambil kesempatan, terutama jika kita lalai dan mengabaikan aspek keselamatan.

Pencuri gemar mengambil kesempatan ketika rumah kosong, oleh itu, adalah lebih baik jika kita berpesan kepada jiran, termasuk jiran berbangsa Cina dan India supaya tolong tengok-tengokkan rumah kita.

Penulis juga menasihatkan warga kota yang pulang ke kampung supaya jangan meninggalkan barang berharga dalam rumah bagi mengelakkan kejadian jenayah.

Jika menyewa di rumah baru, pastikan kunci ditukar baru kerana mungkin penyewa terdahulu masih mempunyai kunci pendua. Jika berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau sambungkan sistem penggera premis masing-masing ke pusat kawalan berpusat (CMS) kerana CMS dilengkapi ‘pasukan khas’ yang mampu bertindak dan sampai ke tempat kejadian dalam tempoh kurang 15 minit.

Pastikan nombor 999 atau balai polis setempat disimpan dalam telefon masing-masing memandangkan mereka adalah pihak paling hampir dengan penduduk untuk menyelesaikan sebarang kejadian jenayah.

Perkongsian bijak polis, penduduk

Hakikatnya, perkongsian bijak antara polis dan penduduk amat penting dalam memastikan persekitaran kediaman selamat. Konsep kejiranan lemah adalah antara punca kejadian jenayah pecah rumah, terutama pada musim perayaan. Setiap tahun polis memberi peringatan supaya tidak memberi ruang kepada penjenayah terbabit dalam kegiatan pecah rumah tetapi malangnya peringatan itu tidak diendahkan.

Seperti biasa, polis mengambil beberapa tindakan, termasuk membuat rondaan bermotosikal atau berkereta ke kawasan perumahan terutama membabitkan banyak laporan daripada orang ramai. Selain keprihatinan jiran tetangga membuat laporan, wujud juga balai polis bergerak yang menjadi pusat operasi di kawasan panas bagi mengelak berlaku jenayah. Pada musim perayaan, balai bergerak diletakkan secara kekal dan polis akan memantau kenderaan keluar dan masuk, terutama waktu malam dan sesiapa yang dilihat mencurigakan akan ditahan.

Ada juga ketua polis daerah mengambil inisiatif mengadakan Kempen Rumah Selamat Sempena Hari Raya bekerjasama dengan penduduk setempat. Borang maklumat diagihkan untuk memudahkan polis menjalankan tugas pemantauan dan pencegahan jenayah.

Rombak sistem pengawal

Malangnya, kebanyakan pengawal keselamatan diupah menjaga kawasan perumahan tidak efektif dan lemah, yang mana ada kenderaan masuk di kawasan dijaga dibiarkan tanpa diperiksa.

Penulis yakin pengawal keselamatan ini tidak tahu apa tugas sebenar mereka. Kebanyakan mereka sudah tua, tidak bertenaga, tidak cekap, selekeh dan warga asing yang tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa tempatan. Oleh sebab mereka kurang kompeten dan tidak terlatih, ini memberi peluang kepada pencuri membolosi kawasan berkenaan.

Sudah sampai masanya, sistem pengawal keselamatan di Malaysia dirombak semula. Negara memerlukan ‘security practioner’ yang profesional serta mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan.

Bagi yang tidak balik kampung, cara paling mudah dan menjimatkan kos adalah bawa bersama-sama kunci kereta yang mempunyai penggera. Tekan butang penggera apabila mengesyaki pencuri cuba memasuki rumah. Sudah pasti pencuri akan melarikan diri kerana takut disedari.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 14 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : Keputusan SPM ulangan Khamis ini


KUALA LUMPUR - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. - Bernama

ISU SOSAL : Beraya bersama 'keluarga besar'


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

TAHUN 2012 unik sekali lagi bagi Malaysia yang meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama sambutan Hari Kemerdekaan serentak. Kedua-duanya amat signifikan bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan, kepercayaan dan amalan.

Faktor alam dan populasi yang diwarnai dengan kepelbagaian membolehkan Malaysia terus subur dengan bermacam-macam perayaan dan sambutan kenegaraan. Ia mencerminkan kemampuan Malaysia untuk terus utuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dan luar negara.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri amat menarik di kawasan luar bandar yang melihat kawasan bandar sunyi sepi kecuali mereka yang tidak dapat pulang beraya di kampung akan memenuhinya, apatah lagi wujud fenomena kebanjiran warga asing ketika musim perayaan.

Pada malam pengumuman tarikh  Hari Raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, akan ada kunjungan dari rumah ke rumah dengan marhaban raya. Pada pagi raya, ramai berpusu-pusu ke masjid mengikuti khutbah raya yang lazimnya menandakan kesyukuran penyempurnaan bulan Ramadan dan permulaan bulan Syawal. Takbir kedengaran di merata tempat, laungan puji-pujian kesyukuran kepada yang Esa.

Di kampung saya, Tanjong Malim, Perak, satu ketika dahulu sambutan sebarang perayaan amat meriah. Ia dinanti bukan sekadar untuk turut sama dalam aktiviti berkunjung dari rumah ke rumah tetapi lebih daripada itu, nilai persahabatan dan silaturahim dalam kalangan anggota jiran amat tinggi. Nilai sosialisasi yang tebal ketika itu adalah usaha bersama mengacau dodol yang dilakukan berjam-jam oleh sesama jiran sebagaimana membuat kuih-muih lain. Yang kecil mahupun dewasa sentiasa menanti waktu dan tikanya kerana keseronokan dapat bersama.

Begitu juga dengan ketupat, lemang dan rendangnya. Semangat gotong-royong memberi gambaran betapa eratnya hubungan antara jiran yang turut meningkatkan tahap moraliti dalam kalangan masyarakat setempat. Ia bukan sekadar nilai kejiranan tetapi lebih daripada itu, wujud 'keluarga besar' termasuk anak-anak dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang bersama meraikannya; 'perkongsian' sebagai teras keutamaan dalam hubungan kemanusiaan 'keluarga besar' ini.

Yang memasang lampu malam tujuh likur juga ialah anak-anak ini; yang mencari buluh membuat lemang pun anak-anak ini. Yang bermain dalam hujan, di padang bola, takraw dan badminton juga anak-anak ini. Bermain galah panjang, guli, sorok-sorok, dan jongkang-jongket tidak terkecuali. Berlaga ikan dan mencari ikan sepat tidak ketinggalan sementara menunggu waktu berbuka pun anak-anak ini. Tiada istilah penat sewaktu bulan Ramadan kerana masing-masing seronok dengan apa yang dilalui dan faham ia diberkati.

Kemeriahan beraya dalam kalangan remaja muda ketara apabila bernyanyi lagu raya sehingga senja suram; malam hiba; berbasikal ke merata tempat bukan mencari 'duit raya' tetapi kenikmatan bersama. Keseronokan dirasai semua walaupun ada perbezaan tetapi ia pemangkin untuk penjelasan ada ketikanya boleh menjadi 'satu'.

Jiwa yang jujur dan ikhlas memagari insan sebegini rupa kerana pedoman datangnya daripada orang tua. Nilai hormat yang tinggi bukan sahaja pada Opah dan Atuk tetapi kesemua warga emas adalah milik bersama. Jika mereka sakit, keseluruhan jiran merasainya kerana ikatan 'ziarah' dan 'melawat' tanpa pelawaan ataupun kunjungan berasaskan kepada jemputan atas nama 'keluarga besar'. Pada waktu beraya, bersalam dengan mereka merupakan satu 'keberkatan'.

Hari ini, pengisian ke atas kemerdekaan membolehkan kita terus beraya dengan aman dan muhibah. Kemerdekaan menandakan betapa kita bersyukur berbanding dengan negara-negara lain, kita masih mampu gah di peta dunia pesat membangun dengan kesinambungan kepimpinan yang mempertahankan kestabilan dan perkembangan yang seiring dengan anjakan global.

Kita tidak terkebelakang tetapi maju ke hadapan. Modal insan ramai yang dilihat berpotensi dan mempunyai ilmu, keupayaan dan kemahiran yang setanding dengan bangsa lain di dunia ini. Kesemua ini berjaya kerana adanya keyakinan dan kepercayaan kepada semangat 'Malaysia'.

Meskipun begitu, tidak dinafikan ada segelintir yang tidak memiliki aspirasi warga 'Malaysia'; warga yang terlalu taksub dengan fahaman tertentu sehingga membelakangkan nilai 'keluarga besar' Malaysia. Yang dikhuatiri adalah tingkah laku yang boleh memudaratkan kedaulatan negara dengan perilaku tidak menghormati simbol kebanggaan negara termasuk lagu Negaraku, bunga raya dan jata negara. Tidak lupa kepada Rukunegara. Begitu juga dengan institusi raja-raja Melayu.

Musibah kadang-kadang datangnya dari kita dan bukan orang lain sampaikan isu sokongan ke atas pejuang wira di sukan Olimpik pun boleh dipolitikkan oleh sesetengah orang yang jiwanya ketara sifar.

Budaya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain, memahami dan hormat merupakan nilai besar yang wujud sekian lamanya tetapi adakah nilai ini bersedia dikorbankan kerana peningkatan celik huruf dalam kalangan masyarakat Malaysia sehingga bersedia warisan bangsa lupus sebagaimana yang ketara dalam ungkapan sesetengah pihak untuk meraikan Hari Raya mahupun kemerdekaan.

Kedua-duanya bukan sekadar perayaan dan sambutan; kedua-duanya juga lambang besar nilai kemasyarakatan dan pengukuhan roh sosial yang penting untuk menyuburkan rasa 'kepunyaan' dan 'kekitaan' dalam kalangan warga Malaysia.

Pertahanan negara datang dari rakyat yang bersyukur kepada nikmat dan limpahan rezeki dalam menggapai kecemerlangan diri. Ia tidak boleh dikorbankan hanya kerana sejarah mahu diubah ataupun tidak mahu mengambil inisiatif untuk memahami pencapaian yang membawa Malaysia kepada kedudukannya.

Walaupun fenomena baru menunjukkan wujudnya sentimen bersifat 'cool' untuk memberontak dan mahu didengar; nilai 'perkongsian' tidak boleh terjejas dan dibiarkan pupus kerana kesannya cukup besar kepada ketamadunan bangsa dan negara.

Konsep 'ziarah' perlu dirungkai semula di alam yang mempertontonkan bagaimana ucapan dan pertemuan menjadi-jadi di alam maya dan bukan di alam sebenar. Kampung adalah tanah tumpahnya darah dan bermulanya susur-galur yang mesti diwarisi dan dikongsi generasi ke generasi.

Pengisian kemerdekaan membolehkan kita masih boleh beraya dengan penuh kesyukuran dan menerapkan unsur 'kejujuran' dan 'rendah diri' serta 'budi'; memahami dan mahu memahami; memastikan dijauhkan dari dicabuli oleh golongan yang cuma mementingkan keselesaan sendiri.

Ia boleh diraikan dalam pelbagai cara dengan penyertaan pelbagai kumpulan anggota masyarakat. Keunikan adalah kepada 'kepelbagaian' dan ia bukan sebagai 'penghalang' malahan satu 'keistimewaan' yang mesti diwarisi turun-temurun walaupun berubah zaman.

Sama ertinya untuk kemerdekaan; atas kemampuan meraikannya kerana wujud kestabilan dan keselesaan untuk hidup rukun dan bersama. Ada kelemahan dan penambahbaikan dilakukan sentiasa tetapi ia bukan satu indikator untuk menjadi sempadan kepada pencapaian negara yang melihat Malaysia muncul di mercu dan alam baru kerana rakyat dan pemimpinnya.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri di bulan kemerdekaan kepada semua warga Malaysia. Nostalgia lama pasti menjelma apabila pulang beraya di kampung; sama-sama kita sambut kedua-duanya dengan acuan tempatan kita sendiri dan secara berterusan menyemarakkan nilai 'keluarga besar' Malaysia yang menjadi simbol kesepaduan kita dalam komuniti rencam ini.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 13 Ogos 2012

ISU BAHASA : BI bukan pengukur kemuliaan pekerjaan


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Bahasa Melayu harus dimartabatkan

Iklan dalam bahasa Inggeris yang semakin meluas di negara ini boleh memberikan gambaran serta persepsi salah terhadap hubungan pekerjaan dengan bahasa berkenaan. Ia cuba memberi gambaran serta persepsi bahawa bahasa Inggeris diperlukan dalam semua sektor pekerjaan. Kalau anda tidak menguasainya, anda akan tertinggal, atau anda akan menganggur. Tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa lain sebagai sumber ilmu dan ruang pekerjaan, masyarakat kita tidak seharusnya terlalu ditakut-takutkan dengan bahasa berkenaan. Anak kita mempelajarinya secara formal selama 11 tahun iaitu enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Keupayaan penguasaan bahasa Inggeris mereka akan mencorakkan masa depan masing-masing. Keupayaan mereka seharusnya tidak diragui jika pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah memperlihatkan keberkesanannya.

Kelas pekerjaan

Yang tidak ingin kita lihat ialah wujudnya kelas pekerjaan berdasarkan perbezaan bahasa. Kita tidak akan selesa jika ada yang beranggapan pekerjaan dalam lingkungan berbahasa Inggeris sebagai berada dalam kelas pertama sementara yang lain berada dalam kelas kedua dan sebagainya. Kemuliaan pekerjaan tidak diukur semata-mata dengan bahasa atau pendapatan yang diperoleh.

Tidak semua pelaburan yang dibawa masuk ke Malaysia memerlukan pekerja yang menguasai bahasa Inggeris sebagai prasyarat. Sebagai contoh, cuba kita lihat realiti pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia kebelakangan ini, sebagai mana laporan Jabatan Perangkaan:

“Stok FDI di Malaysia meningkat daripada RM129.1 bilion pada 2001 kepada RM312.5 bilion pada 2010, pertumbuhan ketara sebanyak 142.1 peratus. Sementara tahun ke tahun, stok FDI meningkat sebanyak RM42.3 bilion atau 15.7 peratus. Komponen modal ekuiti & perolehan dilabur semula membentuk bahagian terbesar berjumlah RM293.7 bilion atau 94.0 peratus. Sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima stok FDI tertinggi sebanyak 46.8 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans 23.1 peratus dan sektor perdagangan borong & runcit 8.2 peratus. Tiga sumber utama FDI adalah dari Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).”

Singapura dan Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai pengguna bahasa Inggeris tetapi tidak Jepun. Itu tidak menggambarkan kepentingan bahasa Inggeris di sektor swasta secara menyeluruh kerana hanya 5 hingga 10 peratus eksekutifnya yang perlu menguasai bahasa Inggeris terutama dalam beberapa syarikat Singapura dan AS yang beroperasi di Malaysia. Sebahagian eksekutif di syarikat Jepun memang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan atasan Jepun mereka tetapi ada juga eksekutif (Melayu dan bukan Melayu yang terdidik di Jepun) berkomunikasi langsung dalam bahasa Jepun dengan pegawai atasan Jepun mereka.

Dapatan Jabatan Perangkaan itu juga menunjukkan sektor pembuatan menguasai 46.8 peratus stok FDI di mana bahasa Inggeris diperlukan secara minimum atau tidak perlu sama sekali. Hanya di sektor kewangan dan insurans yang menduduki tempat kedua (23.1 peratus), bahasa Inggeris mungkin diperlukan, terutama oleh eksekutifnya tetapi hubungan dengan klien Melayu, Cina dan India tidak semestinya dalam bahasa Inggeris. Di sektor perdagangan borong dan runcit (8.2 peratus), bahasa Inggeris bukan bahasa utamanya. Dapatan berkenaan boleh digunakan untuk mematahkan mitos keperluan bahasa Inggeris di sektor swasta khususnya yang berkaitan dengan FDI.

Tahun lalu Perdana Menteri mengumumkan wujudnya 10,000 peluang pekerjaan baru, dalam kerangka pelan transformasi ekonomi, bernilai RM1.4 bilion. Adakah 10,000 kerja baru di sektor swasta amat memerlukan penguasaan bahasa Inggeris? Dan jika diperlukan, bukankah pengalaman pelajar Malaysia mempelajari bahasa Inggeris selama 11 tahun sudah mencukupi untuk menceburi sektor swasta itu?

Pada masa sama kita mesti menanjakkan keupayaan bahasa Melayu dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Kita mesti membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa ilmu pengetahuan moden, dan sistem pendidikan kebangsaan kita terus penting untuk era ini dan zaman akan datang.

Citra bahasa Melayu

Sehubungan itu, citra bahasa Melayu dalam lapangan pekerjaan seharusnya lebih penting daripada bahasa Inggeris atau sekurang-kurangnya setaraf dengan bahasa Inggeris.

Untuk mencapai citra berkenaan bukan saja diperlukan keberanian politik, malah perjuangan bersama kalangan profesional, usahawan dan cendekiawan Melayu. Ketika kerajaan dan sektor awam tidak mungkin menyerap jumlah tenaga kerja yang lebih besar, rakyat kini beralih kepada majikan di sektor swasta. Di sektor swasta ini persepsi kononnya bahasa Inggeris lebih utama daripada bahasa Melayu haruslah dikikis dan diketepikan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Hanya kesedaran mampu elak nyawa melayang di jalan raya


Oleh : Manja Ismail

Setiap pengguna kena tanam azam jadikan Aidilfitri tahun ini paling selamat

Kurang seminggu lagi kita akan menyambut Aidilfitri dan seperti biasa, pihak berkuasa melancarkan operasi khas selama dua minggu, dengan matlamat utama untuk mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya yang angkanya sentiasa meningkat ketika musim perayaan. Daripada Ops Pacak, Ops Statik, Ops Sikap sehinggalah Op Selamat yang bermula semalam, semuanya adalah usaha pihak berkuasa untuk memastikan pengguna kenderaan selamat ketika menggunakan jalan raya.

Walaupun operasi sedemikian terbukti berkesan dalam membendung lebih banyak kemalangan dan korban sepanjang musim perayaan, perangkaan menunjukkan ia belum dapat menurunkan kadar nahas dan korban pada tahap yang diinginkan, kalaupun tidak mencapai matlamat kemalangan atau korban sifar. Begitupun, korban nahas jalan raya mungkin lebih tinggi jika pihak berkuasa tidak mengadakan operasi seumpama itu.

Barangkali hanya di Malaysia, pihak berkuasa terutama polis terpaksa mengerahkan ribuan anggotanya bertugas di sepanjang lebuh raya dan jalan di seluruh negara sepanjang musim perayaan, semata-mata untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan. Ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan jika kedudukan Malaysia dalam senarai negara mempunyai kadar korban paling tinggi akibat nahas jalan raya diambil kira.

Kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris menunjukkan ketika 30 negara mencatatkan penurunan korban nahas jalan raya pada 2000 hingga 2009, hanya Malaysia bersama Argentina dan Kemboja mencatat peningkatan. Malaysia di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk. Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda.

Satu laporan sebelum ini pula menyebut, nahas jalan raya menyebabkan Malaysia kehilangan RM9 bilion pada 2010 dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Sebanyak 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari pada 2010. Dalam kata lain, seorang rakyat Malaysia terbunuh pada setiap 1 jam 20 minit, sepanjang tahun itu. Persoalannya siapa yang harus dipersalahkan – kerajaan, polis, jalan raya, kenderaan atau pemandu?

Jawapannya tentulah sikap pemandu. Analisis beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati kebanyakan pemandu hanya mematuhi peraturan apabila melihat polis dan bukan kerana amalan memandu berhemah atau mereka benar-benar menghormati undang-undang. Sikap tidak mematuhi peraturan jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain inilah dikatakan menjadi punca utama meningkatnya kemalangan.

Mungkin kerana 25 Ops Sikap sebelum ini didapati belum memberikan kesan ketara sama ada dari segi penurunan kadar kemalangan atau mendisiplinkan pengguna jalan raya, polis menamakan operasi pada musim perayaan kali ini sebagai Op Selamat. Tentulah tidak adil jika polis menumpukan perhatian kepada operasi di jalan raya yang kesannya tidak banyak berbeza, sehingga mengabaikan keselamatan harta benda dan orang lain yang tidak menggunakan jalan raya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika melancarkannya Jumaat lalu, berkata operasi bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ itu turut menumpukan kepada keselamatan rumah dan harta benda ditinggal pemilik ketika balik kampung. Bagaimanapun, operasi selama 15 hari itu tetap mengekalkan ciri-ciri Ops Sikap dengan menambah baik beberapa aspek.

Sehebat mana pun usaha pihak berkuasa mengurangkan kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan ini, ia tidak mungkin memberi kesan diharapkan tanpa kerjasama pengguna jalan raya itu sendiri. Setiap pengguna jalan raya seharusnya berazam menjadikan musim balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini paling selamat, sesuai dengan tema operasi kali ini. Hanya dengan kesedaran pentingnya mematuhi undang-undang dan pemanduan berhemah mampu mengelak lebuh dan jalan raya di negara ini daripada menjadi pusara tidak bertanda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/