Khamis, 23 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Satukan keluarga Malaysia melalui hormat-menghormati


Oleh : ROHAMI SHAFIE

TIADA siapa yang mampu menyatakan dengan hujah-hujah jelas bahawa Malaysia telah mengamalkan diskriminasi kaum. Walaupun ada yang memomokkan negara kita melaksanakan dasar yang seolah-olah mengamalkan diskriminasi kaum minoriti, namun bukti jelas menunjukkan sesiapa sahaja yang bergelar warganegara Malaysia telah mendapatkan keadilan saksama.

Setiap rakyat Malaysia dijaga kebajikannya. Yang miskin dibantu, yang kaya pula sentiasa diberi peluang untuk menambah kekayaan. Dasar afirmatif Malaysia tidak pernah merugikan sesiapa. Yang membezakan Malaysia dan negara lain adalah penduduk majoriti Malaysia adalah golongan yang perlu dibantu. Kebanyakan mereka adalah golongan susah berbanding penduduk minoriti Malaysia.

Mungkin ada yang akan menyamakan dasar sedia ada seolah-olah dasar Apartheid, namun kalau kita lihat dan teliti secara mendalam, dasar itu telah meminggirkan golongan majoriti yang serba miskin di Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Golongan minoriti menindas golongan majoriti melalui dasar Aparteid. Di Malaysia, golongan majoriti tidak pernah menindas golongan minoriti, malahan golongan minoritilah yang menguasai kekayaan ekonomi berbanding golongan majoriti.

Meskipun kuasa politik berada di tangan golongan majoriti, golongan minoriti diberi peluang seluas-luasnya untuk memperkasakan kaum masing-masing. Sebagai contoh, mana ada negara di dunia ini yang mengamalkan sistem pendidikan vernakular kecuali di Malaysia? Sebab itulah kita lihat, saban hari generasi muda Malaysia semakin terpisah mengikut kaum.

Di negara-negara lain, mereka mengetahui implikasi besar terhadap negara dengan mengamalkan dasar sistem pendidikan vernakular, iaitu generasi muda yang berbilang kaum apabila dewasa nanti tidak akan mengenali satu sama lain. Jika tidak dicegah dari awal boleh membawa bencana kepada negara.

Perpaduan rakyat bagi sesebuah negara banyak bergantung pada sistem pendidikan. Anak-anak muda yang berbilang kaum wajar dididik di bawah satu bumbung agar memahami antara satu sama lain. Mana mungkin mereka ini memahami satu sama lain, jika tidak pernah bercakap sesama sendiri.

Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila terdapat generasi muda yang tidak boleh bertutur dan menulis bahasa Melayu. Bayangkan, jika masalah bahasa pun tidak boleh diatasi, bagaimana mungkin untuk mengenali satu sama lain secara mendalam?

Dua perkara ini iaitu sistem pendidikan sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu perlu diperkasakan oleh kerajaan. Tindakan perlu dilakukan dengan tegas tanpa ragu-ragu. Kerajaan perlu melihat kesan positif dalam jangka masa panjang. Sebagai negara berbilang kaum, Malaysia memerlukan satu sistem pendidikan yang membolehkan semua kaum bergaul sesama sendiri. Perkasakan sistem pendidikan sekolah kebangsaan terlebih dahulu berbanding sistem pendidikan vernakular kerana ia merupakan keutamaan tertinggi.

Begitu juga, bahasa Melayu wajar dimartabatkan dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia. Kepada ahli-ahli politik dan ahli-ahli perniagaan usahlah malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu. Negara tidak akan rugi jika sekiranya bahasa Melayu dimartabatkan dalam semua aspek kehidupan. Malahan, orang asing akan menyanjung tinggi Malaysia kerana mementingkan bahasa sendiri berbanding bahasa asing. Banyak negara yang lebih maju di Malaysia seperti Perancis, Jepun dan Jerman tidak ragu-ragu memartabatkan bahasa mereka.

Kenapa kita sendiri luntur kewibawaan dalam memperkasakan bahasa Melayu? Di manakah jati diri kita? Malang sekali kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang cukup hebat di dunia, tetapi kita sendiri lebih berasa bangga bercakap dalam bahasa asing di tanah air sendiri. Tidakkah kita sedar, bahasa juga memainkan peranan yang cukup penting dalam perpaduan rakyat dan juga dalam memajukan ekonomi negara?

Selain dasar sistem pendidikan sekolah kebangsaan dan memartabatkan bahasa Melayu, rakyat Malaysia juga perlu belajar menerima satu sama lain. Sebelum ini, kita lebih bertoleransi satu sama lain tetapi untuk memastikan keutuhan perpaduan rakyat Malaysia, penerimaan adalah tunjang kepada perpaduan kaum. Sebagaimana sebuah keluarga, masing-masing menerima satu sama lain.

Mustahil keluarga tersebut bersatu dan hidup harmoni sekiranya tidak dapat menerima satu sama lain. Baik adik beradik mahupun ibu bapa, keluarga yang bahagia akan tergambarlah suasana keceriaan, bertimbang rasa dan saling hormat menghormati satu sama lain serta mengetahui hak masing-masing.

Mereka tidak akan mengambil hak orang lain kerana dipupuk untuk menerima hak masing-masing tanpa menyentuh hak yang lain. Masing-masing menjaga perasaan lain agar hati dan perasaan tidak terguris sama sekali. Penerimaan sebeginilah yang patut diamalkan oleh rakyat Malaysia agar sentiasa bersatu.

Sebagai satu keluarga besar, rakyat Malaysia hanya boleh disatukan secara menyeluruh kalau masing-masing menerima satu sama lain. Jangan terlalu tamak untuk mengambil hak orang lain, kononnya itu hak kita. Kita juga yang akan berasa kurang selesa, jika sekiranya orang lain pula mengambil hak kita.

Justeru, belajarlah menerima satu sama lain dan asasnya telah ditunjukkan oleh nenek moyang kita sejak merdeka lagi. Mereka sebenarnya telah banyak membantu memikirkan masa depan kita. Itulah sumbangan terbesar mereka kepada kita untuk memastikan zuriat mereka bersatu padu setiap masa dalam sebuah keluarga yang besar.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Orang Kelainan Upaya atau Orang Kurang Upaya?


Oleh :  MOHAMAD ABDULLAH

BEBERAPA tahun lalu, bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak memperkenalkan penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menolak penggunaan Orang Kurang Upaya satu terminologi yang telah lama digunakan untuk merujuk kepada mereka yang dianggap cacat.

Alasannya, mereka ini harus dilihat dalam cara yang betul kerana yang berbeza bukanlah dari segi fizikal tetapi keupayaannya disebabkan oleh sesuatu sebab semulajadi atau kejadian yang diingini. Mereka wajar dinilai kebolehannya berasaskan kelainan keupayaannya berbeza dengan mereka yang dianggap sempurna.

Kerana itu, misalnya USM mengiktiraf seorang siswi cerebral palsy, Tan Chin Chin sebagai penerima Pingat Emas Canselor dalam upacara konvokesyen sebagai graduan serba boleh yang tentunya tidak boleh dibandingkan dengan mereka yang sempurna sepenuhnya dari segi fizikal.

Malah kejayaan Dr. Muzammil Mohd. Noor sebagai seorang ahli akademik yang menggunakan kerusi roda menjadi antara contoh nyata kejayaan mereka yang mempunyai keupayaan berbeza tetapi cemerlang walaupun semasa kecilnya melalui zaman sukar yang sering diperkecilkan.

Baru-baru ini, seorang warga USM yang juga menggunakan kerusi roda kerana masalah kakinya meluahkan perasaan sedih dan kecewa kerana ketika memulakan kerjayanya sebagai seorang kerani melalui pengalaman yang amat sukar. Kedudukan kerusi dan meja, kediaman di asrama yang tidak sesuai, kesukaran untuk menggunakan mesin ATM bank dan pelbagai lagi.

Namun dengan tekad dan semangatnya yang tinggi membolehkannya menjejak kaki ke universiti dan menggenggam segulung ijazah. Kisah-kisah begini menggambarkan betapa kelainan keupayaan bukanlah halangan untuk berjaya jika kita benar-benar prihatin dengan nasib mereka yang berada di sekeliling kita.

Mereka sebenarnya hanya berlainan keupayaan bukannya kurang keupayaan. Ada ketikanya mereka lebih hebat dari kita yang menganggap diri sempurna.

Namun begitu, terdapat alasan tertentu mengapa terminologi Orang Kurang Upaya digunakan terus, malah diterima pakai oleh golongan ini sendiri. Terdapat halangan-halangan tertentu yang menyebabkan ia perlu terus digunakan.

Satu kajian tentang kedudukan OKU dalam masyarakat negara ini telah pun diterbitkan oleh Penerbit USM sebagai rujukan iaitu Work and Disablity - A Malaysian Scenario oleh Dr. Magdalene Ang yang kini seorang tenaga pengajar di Labuan School of International Business and Finance, UMS.

Masalah penggunaan terminologi ini juga banyak dibincangkan dalam buku ini sebagai satu usaha untuk kita lebih memahami tentang kedudukan dan peranan OKU dalam masyarakat dan negara, termasuk sumbangan besarnya kepada ekonomi negara.

Namun begitu, laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2003 menyatakan kira-kira 200 juta OKU di rantau Asia Pasifik yang tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan, manakala laporan lain pada 2005 pula menyebut walaupun mendapat peluang pekerjaan sebahagian besarnya di bawah lebih rendah dari sepatutnya.

Namun, di negara kita, pelbagai usaha dibuat untuk membantu mereka dan diberikan pengiktirafan yang sangat tinggi. Malah Perdana Menteri dalam beberapa kenyataannya menyebut betapa pentingnya kita keluar daripada  paradigma yang ada terhadap OKU.

Mungkin kita juga tidak pernah terniat untuk memencilkan atau menidakkan hak OKU. Namun, sampai masanya sama ada institusi pengajian dari sekolah sehinggalah ke universiti, organisasi dan institusi lain termasuk industri melihat hal ini dengan teliti. Perkara-perkara yang kita anggap kecil dan mudah mungkin tidak bagi mereka.

Asrama pelajar juga harus melihat dan memberikan sokongan kepada mereka yang masih belajar dari awal mungkin. Kumpulan-kumpulan sokongan daripada pelbagai kelompok harus melihatnya dengan serius. Walaupun pelbagai dorongan, kemudahan dan insentif diberi, yang utama adalah kesungguhan menyediakannya dan menghulurkan bantuan secara berterusan.

Penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya barangkali mengungkapkan penghormatan dan kekuatan diri yang berlainan yang sekali gus berkemungkinan memberikan satu persepsi baharu yang lebih bermakna kepada OKU. Kita perlu mengiktiraf insan istimewa ini sebagai berlainan keupayaannya, bukannya kurang keupayaannya.

Ia juga mengungkapkan hasrat untuk kita lebih menghargai golongan ini dan melihat keperluan mereka yang sebenarnya. Kita harus merasai bagaimana kesukaran dan kepayahan yang dilalui apatah lagi dengan stigma serong sesetengah kita terhadap kemampuan sebenar mereka.

Bakat yang ada ada pada mereka harus dimanfaatkan dan kitalah yang harus melakukannya. Buku tulisan Dr. Magdalene Ang adalah pembuka mata kita terhadap nasib mereka di negara ini. Lebih banyak rujukan dan dokumentasi kisah mereka harus diusahakan agar masyarakat dapat benar-benar menghayati dan lebih prihatin.

Terminologi Orang Kelainan Upaya barangkali dapat membantu untuk kita memberikan kelainan persepsi dan pemikiran terhadap mereka yang boleh kita ketengahkan, namun jika ada kesukaran dan halangan, gunalah apa jua terminologi yang dapat membantu mengangkat mereka ke tahap yang sewajarnya, walaupun Orang Kurang Upaya yang telah kita guna sekian lama.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Membangunkan jiwa merdeka


OLEH : PROF DR SIDEK BABA

Menyambut ulang tahun kemerdekaan dan membangun jiwa merdeka adalah dua hal yang saling berkaitan. Ulang tahun kemerdekaan mengajak kita mengingati kembali sejarah perjuangan kemerdekaan, termeterainya perlembagaan dan membebaskan kita dari belenggu penjajahan.

Membangun jiwa merdeka adalah sifatnya sepanjang zaman. Pada awal kemerdekaan, kebencian kita kepada penjajah amat luar biasa, tetapi selepas merdeka kekaguman kita kepada ilmu dan kemajuan orang Barat agak luar biasa juga sifatnya.

Membangun jiwa merdeka memberi erti bagaimana pembebasan belenggu pemikiran Barat supaya kita mampu membangunkan negara merdeka berasaskan acuan kita sendiri.

Jiwa merdeka tidak menolak manfaat berbanding dalam ilmu dan keterampilan masyarakat Barat dan Timur, tetapi harus mampu membangun negara sendiri berasaskan nilai-nilai dan etika yang dapat diterima semua.

Membangun jiwa merdeka mesti bermula membangun pemikiran terlebih dulu. Umat Islam sering alami sindrom penjajahan pemikiran (al qhazwul fikr) termasuk di negara kita.

Walaupun penjajah lama pergi, pendewaan terhadap bahasa penjajah, model pentadbiran penjajah dan sistem ekonomi dan gaya hidup penjajah menjadi ukuran maju dan membangun.

Dalam tradisi yang mendukung tamadun Islam umpamanya faktor rahmah alamiah dijadikan pedoman bagaimana umat manusia mampu bebas diri dari belenggu kejahilan berasaskan nilai dan etika yang sifatnya sejagat. Islam dan tamadunnya bukan hanya untuk orang Islam saja.

Tamadun Andalusia umpamanya menjadi sumber penting bagi Eropah membebaskan diri mereka daripada belenggu kejahilan dan zaman kegelapan.

Ilmu Islam yang disuluh oleh al-Quran menjadikan fikir dan zikir jalan seiring, menjadikan akal dan budi sepadu dan menjadikan hasil pemikiran dan wahyu jalan bersama.

Kalau tidak masakan Andalusia mampu bertahan lebih 700 tahun. Asas ilmu Islam ini jugalah yang meletakkan Eropah maju sehingga ke hari ini.

Membebaskan belenggu kejahilan umat Islam kini memerlukan pemerkasaan ilmu. Bersikap reflektif terhadap tamadun silam Islam amat dituntut.

Bersikap nostalgik semata-mata terhadap kejayaan silam hanya menjadikan kita pengagum yang lesu. Tetapi sikap reflektif terhadap faktor kejayaan silam dan mengambil iktibar dari jatuh bangun tamadun membawa kita merenung kembali dengan rasa insaf yang tinggi tanpa ilmu dan penguasaan teknologi pada hari ini, kita akan terus dijajah dalam bentuknya yang baru.

Penjajahan bentuk baru boleh mengambil bentuknya yang pelbagai. Ada penjajahan yang bentuknya sains dan teknologi. Ada penjajahan yang bentuknya menguasai sumber dan sistem maklumat. Ada penjajahan yang bentuknya kebudayaan popular dan hiburan yang melampau.

Dan ada penjajahan dalam bentuknya pola gay dan lesbian, biseksual, transeksual (LGBT) yang membenarkan seks bebas berkembang tanpa bendungan.

Membangun jiwa mereka pastinya dengan dukungan ketamadunan berasaskan ilmu dan binaan sahsiah yang baik.

Tanpa kekuatan ini manusia akan terus dalam pencarian diri dan pencarian sistem yang fitrahnya amat utama untuk membangun diri manusia dan kemanusiaan.

Islam dalam bentuk kesilaman melakukan integrasi ilmu supaya ulum naqliah (wahyu) dan ulum akliah (pemikiran) dapat ditemukan dalam nilai dan etika yang sifatnya mendukung kemajuan. Manusia  kini tercari-cari makna kemerdekaan itu.

Justeru membangun jiwa merdeka merintis jalan perhambaan terhadap benda dan kebendaan sekiranya kebendaan menjadi matlamat hidup manusia. Sikap nafsu nafsi yang haiwani bukanlah landasan yang baik bagi menyuburkan jiwa merdeka ini.

Melainkan manusia kembali kepada dirinya yang fitrah supaya rahmah dan nikmah ALLAH disyukuri dan hubungan baik sesama insan dijadikan matlamat kehidupan.

Kembalinya manusia kepada aqidah tauhid adalah jalan terbaik menemukan diri dengan ALLAH. Inilah sebenarnya rukun kemerdekaan paling unggul bagi manusia kerana apabila manusia berasakan dirinya hamba dan Pencipta itu Khaliq maka barulah manusia mampu memiliki jiwa kehambaan yang tinggi mendukung maksud taat, patuh, akur dan tunduk.

Itulah namanya kemerdekaan jiwa insan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my//

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cabaran mengurus pengajian tinggi


Oleh : Prof Datuk Dr Omar Osman

Mengurus pengajian tinggi pada abad kedua puluh satu memerlukan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengurus dan pentadbir akademik, para akademia dan siswa-siswi sebagai satu komponen utama yang ada di universiti, di samping mengiktiraf bakat di universiti sebagai tonggak kritikal institusi. Universiti perlu terus hidup dalam dunia ilmu yang berkembang tanpa melupakan acuan tersendiri sebuah negara bangsa dan memastikan kampus universiti terus bersemarak dengan aktiviti keilmuan dan wacana-wacana yang berupaya memajukan pemikiran dan perdebatan ilmu.

Kepelbagaian dalam pemikiran dan disiplin ilmu sejak dahulu, menjadikan universiti begitu rencam, bukan hanya kerana manusia dan bakat yang ada adalah pelbagai, tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang memberikan harapan besar dalam membentuk masa depan negara dan sumber manusianya, memperkasakan siswa-siswi dengan ilmu dan sahsiah diri serta pada masa yang sama menjadikan universiti sebagai institusi ilmu yang berupaya melakukan perubahan terhadap masa hadapan negara dan bangsa sebagai sebahagian daripada komuniti dunia.

Selain daripada itu, universiti perlu menyeimbangkan antara idealisme ilmu yang sering menjadi pegangan para akademia serta penting kepada pemajuan kritikal minda dengan realiti kehidupan masyarakat, bersikap realistik dan mampu memindahkan ilmu kepada masyarakat yang memerlukan pemboleh ubah perubahan.

Malah terminologi libat sama masyarakat atau community engagement menjadi satu perkara utama pada masa ini bagi memastikan universiti sentiasa relevan dengan kehendak dan keperluan negara. Bukan sahaja masyarakat, malah industri yang menjadi pemain besar dalam ekonomi negara dan dunia perlu dilibat sama sebagai sebahagian daripada proses keilmuan universiti.

Di samping modaliti libat sama masyarakat dianggap penting untuk pemindahan ilmu kepada masyarakat, penerokaan modaliti baru untuk perpindahan juga perlu di terokai. Contohnya memindahkan kepada masyarakat melalui industri atau institusi dalam komuniti seperti koperasi dan pertubuhan sukarela lain yang bergerak sama untuk perubahan masyarakat.

Selain melihat kepada kaedah dan metodologi perpindahan ilmu, isu asal tujuan universiti pula timbul. Timbul persoalan dan keraguan, adakah universiti makin lari daripada prinsip asas keilmuannya dalam proses penjanaan dan pemerkasaan ilmu sesuai dengan universaliti atau kesejagatan yang perlu dipertahankannya, usaha mentransformasikan kehidupan masyarakat melalui ilmu dan sebagainya sedangkan pada masa yang sama perlu pula melihat sisi lain ilmu untuk aplikasi secara langsung, apatah lagi berdikari dalam mencari dana untuk menampung kos yang makin meningkat naik.

Hakikatnya ialah universiti bukan lagi menara gading yang terpisah dan terasing yang begitu sukar untuk didekati, sebaliknya perlu diubah menjadi menara ilmu yang mencambah mekarkan proses mencari kebenaran dalam pelbagai disiplin ilmu dan mengembang serta memajukannya dalam konteks keilmuan.

Universiti dan pengajian tinggi perlu dipertahankan prinsip asas peranannya dalam mempertahankan kekuatan ilmunya, namun pada masa yang sama komuniti pengajian tinggi perlu sedar dan memahami bahawa kedua-dua proses keilmuan dalam konteks pembangunan ilmu dan libat sama masyarakat mahu pun industri perlu berjalan seiring kerana sifatnya bukanlah statik tetapi dinamik seiring dengan perubahan masa. Asasnya ilmu perlu dipindahkan kepada masyarakat walau apa pun modalitinya.

Di sini jugalah timbul cabaran untuk pengurus dan pentadbir universiti agar lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan berdaya saing dalam konteks global. Malah bagaimana universiti dan pengajian tinggi perlu meneruskan tradisi memimpin bukan sekadar dipimpin dan memastikannya terus relevan dalam menangani dan menghadapi arus perubahan global.

Universiti-universiti kita juga bergerak bersama sebagai satu pasukan yang berwibawa dan dihormati, berintegriti tinggi dan disegani, bersedia dengan idea dan pemikiran baru yang segar malah juga meneroka penemuan-penemuan baru bagi menghadapi kecanggihan teknologi yang ada secara bersama atas nama negara, walau pun boleh bersaing dalam konteks tempatan dalam hal-hal yang tertentu. Ini bermakna kita bergerak sama ke puncak, saling membantu dalam pelbagai bidang kekuatan dan kepakaran atas nama satu negara.

Sama seperti satu pasukan yang melakukan kayuhan ke puncak, ia perlu persediaan rapi. Orang yang mengayuh perlukan persediaan minda, fizikal dan mental, manakala basikal yang dikayuh harus dalam keadaan yang sempurna dengan mereka yang mempunyai kepakaran bersedia membantu jika ada masalah ketika kayuhan dan dalam perjalanan.

Pasukan sokongan sangat penting untuk pastikan tidak ada yang tertinggal atau ditinggalkan. Malah, apabila berada di puncak pula, perlu bersyukur dan jangan cuba menjadi wira tunggal dan berlagak hebat kerana dalam masa sedetik, kita boleh terhumban seorang.

Sama ada pengajian tinggi dalam konteks sebuah universiti mahu pun sebuah negara pengalaman berkayuh ke puncak dalam satu pasukan ini penting untuk dihayati. Pengajian tinggi negara dan universiti kita tidak boleh lagi bergerak berseorangan secara ‘silo’ tetapi berkongsi kepakaran antara disiplin yang ada untuk saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Kepimpinan universiti perlu bersatu hati dalam menentukan arah tujunya pada masa hadapan. Pertanyaan seorang profesor dalam satu bengkel yang diadakan baru-baru ini, adakah kita “syok sendiri“dengan ilmu kita atau benar-benar memenuhi keperluan masyarakat, pemegang taruh dan juga siswa-siswi yang ada, adalah pernyataan jujur dalam memastikan universiti dan pengajian tinggi negara berada pada landasan yang sewajarnya.

Ini bukan bemakna kita menidakkan sumbangan besar universiti selama ini, namun kita perlu menilai dan menetapkan arah sebenarnya pada masa hadapan. Universiti dan pengajian tinggi tidak terkecuali dari akauntabiliti, sama seperti kedudukannya apabila autonomi yang menjadi kata magis pengajian tinggi diberi kepada universiti oleh kerajaan. Autonomi adalah satu keperluan dan kemestian dalam mempertahanan kebebasan akademia yang menjadi perjuangan pelbagai pihak apabila menyentuh tentang kredibiliti universiti.

Namun kita perlu sedar, kebergantungan kepada dana awam menyebabkan agak sukar autonomi sebenar dinikmati sepenuhnya walau pun kebebasan membuat keputusan terhadap beberapa perkara asas sudah banyak diberi. Begitu juga dengan ekosistem lain dalam penyelidikan dan inovasi mahu pun akademik yang telah sedia ada untuk dilakukan penambahbaikan dan keberhasilan yang dapat memperkasakan proses keilmuan dan penyampaian.

Perkara utama sekarang ialah bagaimana untuk pengurus dan pentadbir universiti dan pengajian tinggi dapat menggunakan segala sumber yang ada dengan kreatif dan inovatif untuk terus melakukan perubahan, menjadi pemimpin ilmu dan pemimpin perubahan, berdaya saing, berupaya mempertahan dan menjadikan universiti benar-benar menara ilmu, berintegriti tinggi, siswa-siswi yang passionate kepada ilmu dan pada masa yang sama mengeluarkan siswazah yang mampu berfikir dan melakukan perubahan dengan menggunakan ilmunya sekali gus mendorong libat sama semua pihak termasuk industri dan masyarakat bagi menggalas hasrat yang sama.

Pengajian tinggi juga memerlukan perubahan terhadap sistem dan proses pengajaran dan pembelajaran, arah tuju penyelidikan dan inovasi serta bagaimana universiti meletak kedudukannya agar terus relevan dalam agenda pembangunan nasional, masyarakat, industri dan penerokaan di peringkat dunia dan antarabangsa.

Juga bagaimana untuk kita melihat sumber sedia ada yang boleh digemblengkan seramai mungkin di dalam insitusi dan di luar institusi serta dalam kalangan pemegang taruh. Sinergi kesemua elemen yang ada amat penting dalam menghadapi cabaran yang ada pada masa hadapan.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 17 Ogos 2012

ISU AGAMA : 28 hari penuh kerahmatan


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Menghayati dan meniti detik-detik terakhir berada dalam Ramadan membawa kita bermuhasabah diri, sejauh manakah kemuliaan serta keberkatannya berjaya kita rebut. Banyak manakah sujud, zikir, doa, membaca al-Quran, sedekah, amanah dan kebajikan sudah dilaksanakan?

Sejauh manakah kualiti dan kuantitinya jika dibandingkan dengan keenakan juadah yang dinikmati dan pelbagai kelengkapan untuk menyambut hari raya disediakan?

Soalan mudah ini berguna untuk kita menilai tahap pencapaian Ramadan tahun ini.

Justeru, marilah di penghujung Ramadan ini kita sama-sama menyuburkan hati dengan kesyukuran kerana diberi peluang menempuhi 28 hari penuh kerahmatan dan kemuliaan yang tiada tolok bandingnya bagi umat Islam dengan menggandakan segala amal kebaikan dan memohon keampunan.

Doa amalan diterima

Dengan harapan supaya amalan diterima, dosa diampunkan dan doa dimakbulkan serta dapat menjalani kehidupan bulan seterusnya dengan roh Ramadan. Itulah kejayaan sebenar kita.

Justeru, dapat mengelakkan apa yang digambarkan Rasulullah SAW, berapa ramai daripada yang berpuasa itu memperoleh hanyalah lapar dan dahaga.

Moga-moga cetusan hati kita untuk menilai semua ini dengan keimanan dan pengharapan menjadi sebahagian amal soleh meraih keredaan dan magfirah Allah SWT di hujung Ramadan.

Ketika suasana gembira di mana ada yang sudah dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, ada yang sudah sampai ke destinasi dituju, jangan lupakan golongan bersedih kerana tidak dapat pulang berhari raya dengan ibu bapa dan sanak saudara.

Ikhlas dari awal hingga akhir

Tidak kurang juga ada yang sibuk menyiapkan keperluan diri dan keluarga pada saat-saat akhir untuk menyambut Aidilfitri. Namun, apapun keadaannya dan di mana saja kita berada, kita perlu terus beringat-ingat dan berpesan-pesan bahawa kita masih dalam Ramadan.

Beringat-ingatlah bahawa keredaan Allah SWT bersama dengan hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dalam amalannya dari mula hingga ke akhirnya.

Seperti doa yang diucapkan setiap kali kita berbuka puasa: “Ya Allah untuk-Mu aku berpuasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka puasa.” (Riwayat Abu Daud)

Ingatan ini bertujuan supaya kekhusyukkan hati, ketundukan diri beribadat, keikhlasan munajat kepada Ilahi dan kesungguhan bekerja yang dipupuk selama ini tidak tercemar atau ditinggalkan dengan sekelip mata disebabkan oleh kesibukan persiapan berhari raya.

Jaga disiplin beramal

Marilah kita beringat untuk memberikan perhatian kepada menjaga disiplin beramal, keteguhan hati budi, keazaman serta pengharapan supaya segala amal kebajikan dilakukan ikhlas untuk-Nya diterima serta dianugerahkan kekuatan meneruskannya sebagai kebiasaan selepas Ramadan.

Kejayaan meneruskan amalan kebaikan di luar daripada bulan Ramadan adalah tanda bahawa latihan amalan Ramadan berjaya dihayati dengan kesabaran dan kesyukuran.

Benar-benar mensyukuri Allah

Menurut Imam Junaid al-Baghdadi, syukur akan lahir apabila kita sedar nikmat yang ada itu bukan milik kita, ia cuma pinjaman dan bersifat sementara. Justeru, mereka yang benar-benar mensyukuri Allah SWT dengan peluang Ramadan akan menyempurnakan baki Ramadan dengan bertakbir dan bertahmid di malam Aidilfitri membesarkan-Nya.

Allah SWT berfirman: “…dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat petunjuk, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sentiasa berzikir

Zikir membesarkan Allah SWT bukan saja sebagai mensyukuri nikmat Ramadan, tetapi juga mententeramkan jiwa termasuk bagi yang bersedih sama ada kerana ketiadaan ahli keluarga, kesempitan hidup atau memegang amanah bertugas di hari raya.

Apabila membesarkan Allah SWT, hati akan menjadi tenang dan boleh menilai sesuatu masalah sebagai kecil. Malah, menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah, berpuasa enam hari dalam Syawal dan amalan kunjung mengunjung juga adalah tanda kesyukuran dan penerusan amal kebajikan dalam Ramadan.

Justeru, marilah kita menekuni segala amal kebajikan Ramadan secara berterusan sambil memperbanyakkan lagi bertakbir, bertahmid dan bertahlil pada malam Aidilfitri dengan sesuci hati kepada Yang Maha Ilahi, sekali gus menghidupkan sunnah serta syiar Islam.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W.


Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

(Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:
 “Pada hari ...ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” - Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

i. Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

ii. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminkum’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

iii. Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya denga...n mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

iv. Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

v. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

vi. Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.”- Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

vii. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat ...hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

 Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

viii. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” - Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

ix. Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang daripada seluruh pelosok negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

x. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

...“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

xi. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

xiii. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” - Hadis riwayat Muslim di d...alam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Diedit oleh : Dr. Nasseri bin Taib

ISU SOSIAL : Faktor boleh dikawal terletak dalam diri


SETIAP kali menjelangnya musim perayaan, seolah-olah telah menjadi satu ingatan kepada kita semua supaya memandu dengan cara yang berhemah dan selamat.

Apa tidaknya, jalan raya kita sudah menjadi medan pertumpahan darah setiap kali menjelang musim perayaan, malah anggaran rekod kemalangan maut sebanyak 6,000 kes setiap tahun patut mengingatkan kita semua agar sentiasa memandu dengan bertimbang rasa di jalan raya.

Benarlah, bukan semata-mata pemandu yang harus dipersalahkan sekiranya sesuatu kemalangan itu terjadi. Keadaan jalan, cuaca dan sebab-sebab luaran lain juga mungkin menyebabkan kemalangan berlaku.

Bagaimanapun, harus diingat tatkala ada faktor yang tidak mampu kita kawal, masih banyak lagi faktor yang sebenarnya boleh kita pantau bagi mengelakkan kemalangan terjadi.

Kajian-kajian mendapati bahawa mereka yang terlibat dengan kemalangan jalan raya ini biasanya memandu secara laju khususnya di jalan yang lengang, lebih banyak memotong kenderaan lain dan sangat jarang orang lain memotong mereka.

Semua ini ada kaitannya dengan personaliti individu itu sendiri. Ahli psikologi mendapati terdapat trait personality tertentu yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah terdedah dengan kemalangan jalan raya.

Antara yang selalu disebut ialah excitement seeking personality atau sensation seeking personality. Mereka yang ada personaliti itu biasanya sangat teruja untuk mendapatkan sensasi dengan memandu lebih laju, apatah lagi kalau dapat memotong kenderaan lain.

Mereka berasa hebat apabila memintas kenderaan lain, walaupun dalam keadaan pemandu yang dipintas tadi tidak pun bersaing.

Kajian-kajian lain pula mendapati ada individu yang mempunyai sifat pemarah yang cepat. Mereka ini biasanya tidak sabar. Apabila berlaku kesesakan jalan raya, mereka akan mengambil jalan mudah dengan memotong di lorong kiri yang membawa kepada kejadian kemalangan.

Semua itu berpunca daripada faktor-faktor yang ada dalam diri individu itu sendiri. Ia sepatutnya boleh dikawal.

Menjadi kelaziman pemandu kita untuk berbual-bual melalui telefon, malah ada yang mengambil masa yang panjang 'berborak' mengenai pelbagai hal ketika memandu.

Mutakhir ini, muncul pula kehadiran teknologi navigasi yang membolehkan kita melihat peta jalan ke satu-satu destinasi.

Beban visual dan fizikal

Mungkin ramai tidak menyedari, bahawa kedua-dua alat itu sebenarnya adakalanya boleh menyebabkan musibah kepada pemandu.

Dalam kajian terkini di Jepun menunjukkan bahawa memandang ke tempat lain (looking elsewhere) dan berfikir mengenai sesuatu (thinking about something) telah menyumbang kepada 27 peratus kes kemalangan maut di Jepun.

Apabila seseorang pemandu menggunakan sistem navigasi, mereka sebenarnya telah menyebabkan berlakunya beban visual dan fizikal kepada manusia.

Beban visual berlaku kerana kita terpaksa mengalihkan perhatian kepada perkara lain, sedangkan pada masa yang sama kita perlu memberi fokus kepada pemanduan.

Beban fizikal pula berlaku kerana kita perlu menggerakkan mata dan badan bagi melihat perkara lain yang di luar aktiviti pemanduan.

Sebaliknya, apabila bercakap di telefon, minda kita akan berfikir mengenai perkara lain. Ini dikenali sebagai beban mental (mental workload). Jika dengan hanya berbual di telefon sahaja ia telah mengubah kapasiti mental manusia, bayangkan pula sekarang ini ada yang masih sempat untuk menghantar khidmat pesanan ringkas dan berFacebook ketika memandu.

Semua ini merupakan tabiat pemanduan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi pengguna jalan raya yang lain.

Dalam banyak keadaan, semua faktor itu akan menyebabkan proses masa reaksi (reaction time) yang berlaku di minda kita menjadi perlahan, menyebabkan kita tidak mampu bertindak dengan lebih cepat apabila ada kejadian tidak diingini.

Semua itu merupakan aspek psikologikal yang biasa kita hadapi, walaupun tidak kita sedari. Kita perlu mengubah tabiat dan cara kita memandu di jalan raya.

Ingatlah, pemandu yang hebat ialah pemandu yang selamat sampai ke destinasi dengan cara yang paling berhemah. Memandulah dengan selamat!

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/