Selasa, 28 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Syawal hidupkan amalan ziarah


Oleh : Hibur Rahman
 
Amalan erat silaturahim patut diteruskan tanpa mengira musim

Alhamdulillah, kita semua baru saja merayakan Aidilfitri dalam suasana meriah dan menggembirakan, mudah-mudahan segala amal ibadah di sepanjang Ramadan lalu diterima Allah SWT dan kita mengharapkan untuk berterusan dalam ketaatan serta keredaan Allah SWT. Hari ini genap sepuluh hari kita berada dalam bulan Syawal yang mana masih lagi terasa kehangatan suasana hari raya dengan amalan ziarah menziarahi antara satu sama lain. Oleh itu, rugi jika kita tidak mengamalkan budaya menziarahi yang dekat mahupun jauh.

Amalan ziarah amat dituntut dalam Islam dan seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya jika ia tidak menghubungkan silaturahim. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah berguna dalam konteks perpaduan ummah.

Namun, yang mengecewakan serta amat mendukacitakan, masih ada yang mengabaikan amalan ziarah terutama menziarahi saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, di luar musim perayaan atau sambutan tertentu.

Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi diamalkan sempena sambutan perayaan seperti Hari Raya Puasa yang sedang kita raikan ataupun Hari Raya Haji semata-mata.

Akibatnya amalan ziarah semakin hari semakin terhakis dan diabaikan masyarakat dengan alasan kesibukan tugas harian.

Islam telah menggariskan pelbagai panduan untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia, lebih-lebih lagi saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat kuat, berjaya, tidak hidup bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”.

Pengertian silaturahim dalam Islam amat luas serta mendalam. Contohnya, apabila seseorang telah mengucap dua kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturahim, tidak kira di mana mereka berada. Semua orang Islam adalah bersaudara dalam akidah yang satu.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Bagi sesetengah manusia yang hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya suka mencari kesalahan orang lain, mencaci, membuat fitnah, mencerca, bersifat hasad dengki, khianat, dan melakukan kezaliman, mereka adalah golongan yang memutuskan silaturahim.

Hampir kesemua ibadah dalam Islam dituntut dilakukan dalam bentuk berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak lain bagi memberi galakan umat Islam bertegur sapa atau bertukar-tukar pandangan. Begitu juga ibadah haji yang mengajak menghubungkan silaturahim saudara Islam di seluruh pelosok dunia.

Ibadah zakat menghubungkan nilai persaudaraan dalam kalangan umat Islam dengan sifat tolong-menolong, bantu membantu, akhirnya lahirlah nilai kasih sayang antara yang kaya dengan yang miskin.

Justeru, marilah bersama menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang sebagai umat Islam di dunia bahkan sampai ke akhirat, mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita.

Firman Allah SWT: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepada-Nya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sempit-sesempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Derma organ selepas mati masih rendah


Kota Bharu: Tahap kesedaran rakyat Malaysia menderma organ selepas meninggal dunia masih rendah apabila hanya 0.68 peratus atau 196,364 berikrar berbuat demikian sehingga 30 Jun lalu.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan kaum Cina paling tinggi berikrar menyumbang organ, iaitu 105,587 orang, diikuti India (47,608) dan Melayu (37,510). Bagaimanapun, jumlah mereka yang berikrar menderma organ menunjukkan peningkatan apabila 28,769 berikrar berbuat demikian tahun lalu, berbanding 20,029 pada 2010 dan 16,455 pada 2009.

Sehingga 30 Jun lalu, jumlah penderma organ dan tisu kadaverik (penderma selepas kematian) adalah 375 orang dengan Cina seramai 228 orang; India (93) dan Melayu 20 orang serta lain-lain 34 orang.

Jumlah penderma organ dan tisu kadaverik menunjukkan peningkatan setiap tahun, iaitu 47 orang pada 2011, berbanding 38 orang (2010) dan 39 orang (2009).

Sehingga 30 Jun lalu, jumlah pesakit yang menunggu mendapatkan organ di Malaysia ialah 15,420 orang, iaitu 15,417 membabitkan buah pinggang dan bakinya berkaitan hati.

Selain itu, enam orang sedang menunggu mendapatkan jantung, dua paru-paru dan tiga membabitkan jantung serta paru-paru.

Sejak 1975 hingga 30 Jun lalu, 1,659 pembedahan transplan organ dilakukan di Malaysia dengan 1,523 membabitkan buah pinggang, iaitu 385 penderma kadaverik, manakala 1,138 sumbangan penderma hidup.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Bentuk jiwa merdeka semangat Malaysia


Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

MEMBENTUK jiwa merdeka dengan semangat Malaysia adalah tugas semua pihak. Jika di sekolah ia menjadi tugas guru, manakala apabila seseorang itu keluar daripada  bangku sekolah, dia seharusnya membentuk dirinya berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia.

Usaha untuk mewujudkan rakyat berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia adalah menjadi tugas pemimpin masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan juga pemimpin politik. Isu politik tidak seharusnya memecahbelahkan masyarakat dengan pandangan dan pendapat yang boleh membawa pelbagai kontroversi.

Tugas pemimpin adalah menyampaikan amanat ke arah kebenaran. Islam mahukan sebagai pemimpin mukmin bukanlah pengumpat dan yang suka mengutuk, yang keji dan ucapannya kotor. Sebagai pengikut, seseorang itu tidak seharusnya mengangkat orang yang bercita-cita akan kedudukan.

Merujuk kepada jiwa merdeka semangat Malaysia semua kita seharusnya sedar insaf dan bersyukur hidup di negara ini yang aman dan makmur. Hari Kemerdekaan dan hari pengisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah sangat penting dalam sejarah pembentukan negara kita.

Pada tahun ini ulang tahun kemerdekaan disambut kali ke-55 menandakan kedewasaan Malaysia dan seharusnya melambangkan kematangan pemikiran rakyatnya.

Mengikut catatan sejarah, perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Ratu Elizabeth II telah memperkenankan Akta Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen Britain. Ini disusuli dengan kelulusan Perjanjian Malaysia oleh Parlimen Tanah Melayu, Dewan Perhimpunan Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Majlis Undangan Sarawak dan Majlis Undangan Sabah. Seterusnya pada 26 Ogos 1963, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Akta Malaysia.

Seterusnya, pada 16 September 1963, negara Malaysia ditubuhkan secara rasminya yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Sarawak dan Sabah.

Mengimbau semula pada catatan sejarah, pada mulanya pembentukan Malaysia merupakan sesuatu yang agak mustahil terutama apabila melihat reaksi penentangnya yang datang dari dalam negeri dan negara luar. Namun, menerusi diplomasi masalah tersebut dapat diatasi.

Sejarah membuktikan pembentukan Malaysia telah berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan negeri-negeri jirannya bagi kepentingan bersama. Kejayaan ini memaparkan ciri-ciri kepimpinan tokoh tempatan di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Kerajaan British juga sanggup bekerjasama dan bertolak ansur demi mencapai kesejahteraan bersama.

Di samping itu, kerjasama yang diberikan oleh rakyat negeri-negeri anggota adalah untuk memastikan kedaulatan negeri terjamin. Perjanjian Malaysia 1963 mengambil kira kepentingan semua negeri anggota untuk mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan antara negeri. Bagaimanapun, pada tahun 1965 Singapura telah berpisah dengan Malaysia.

Kini, rakyat Malaysia sedang menuju fasa transformasi ke arah kemajuan dan kemodenan dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan juga budaya.

Namun, semuanya diasaskan daripada hasil kemerdekaan negara yang dicapai sejak 55 tahun lalu. Justeru, tema hari ulang tahun kemerdekaan ke-55 tahun ini, "Janji Ditepati" seharusnya menjadi pegangan kepada rakyat dan kerajaan.

Membentuk jiwa merdeka dengan semangat Malaysia mestilah dengan rasa cinta dan kefahaman yang mendalam terhadap negara bangsa. Perpaduan dan semangat kecintaan kepada negara mestilah diasaskan sejak di bangku sekolah lagi dan diteruskan ke alam remaja dan dewasa. Semua ini mestilah dilakukan secara berterusan dan bukan hanya pada tanggal 31 Ogos setiap tahun.

Pembinaan modal insan yang sanggup menghadapi pelbagai isu dan cabaran mestilah bermula di bangku sekolah. Dalam konteks Malaysia, modal insan dan usaha pembangunannya telah digariskan dalam pelan tindakan pembangunan modal insan yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Inti pati pembangunannya adalah bertujuan membentuk individu berkualiti dan berketerampilan dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang.

Ini disebabkan cabaran globalisasi dewasa ini dipacu oleh kuasa pasaran daripada pelbagai sudut yang arusnya mendadak dan drastik. Oleh itu, keperluan kepada pembinaan keupayaan dan pembangunan agenda 'minda kelas pertama' perlu diberi perhatian yang serius dan mendalam.

Keperluan ini perlu memfokuskan kepada pembangunan modal insan kerana kita tidak boleh hanya semata-masa bergantung pada prasarana yang bertaraf dunia, malah perlu juga kepada pembangunan model insan bermotifkan kelas pertama yang bertaraf dunia.

Melalui pembangunan modal insan, pembentukan jiwa merdeka dengan semangat Malaysia juga dapat dilakukan melalui pendidikan sama ada di rumah dan di sekolah.

Mengangkasakan modal insan mestilah melalui impian dan cita-cita yang tinggi dengan daya usaha dan kesungguhan yang gigih, tahap cemerlang, motivasi, berpandangan jauh, bercita-cita, mengambil peluang, keberanian mengambil risiko dan mengendalikan kegagalan sebagai tanda aras kejayaan dan sebagainya.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya" (At-Tin:4).

Di peringkat universiti, pelajar universiti merupakan agen sosial dan modal insan yang utuh dan mampu menyumbangkan pengetahuan, kemahiran dengan nilai-nilai murni kepada agama, bangsa dan negara. Mereka ini juga mesti difahamkan dengan semangat cintakan negara, patriotik dan perpaduan.

Hakikatnya, semua rakyat hidup aman dan sejahtera dengan mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin. Oleh sebab itu, setiap pemimpin seharusnya berusaha mengekalkan semangat perpaduan tanpa mengira fahaman politik demi kesejahteraan hidup rakyat.

PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 27 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Memurnikan cara manusia berpolitik


Oleh : Shamrahayu A Aziz
Islam kemudi kita kepada perpaduan

Hubungan antara agama dan politik sering menjadi polemik. Ia bukan saja masalah setempat, tetapi global. Ada yang mempersoal hubungan dua perkara ini dan ada juga yang tidak menafikan hubung kait antaranya. Persoalan berkaitannya timbul, antara lain kerana penerapan dan promosi fahaman bahawa agama dan negara adalah dua perkara yang terpisah (atau dipisahkan). Oleh itu, secara umum, boleh dikatakan persoalan hubungan kedua-duanya ini lahir berikutan pemasyhuran idea sekularisme. Ia adalah fahaman yang mahu dijadikan budaya atau tamadun antarabangsa. Dalam fahaman sekular, agama dirujuk berasal daripada tuhan dan politik dikatakan berasal daripada manusia . Justeru, fahaman sekular ini menyifatkan hubungan antara kedua-duanya sebagai bertentangan atau berlawanan.

Kita tidak boleh memandang pendekatan sebegini dengan sebelah mata. Akibatnya, kita sukar mencari penyelesaian dalam pelbagai aspek pentadbiran negara yang disandarkan kepada amalan politik yang perlu didasarkan kepada agama. Agama harus menjadi alat dan matlamat politik. Maksud ‘alat’ bukanlah menjadi bahan untuk ‘diperalat’ tetapi mekanisme untuk mencapai ‘matlamat’ politik yang disertai kebenaran.

Agama tidak menegah seseorang mencari kekuasaan politik yang disertai dengan kebenaran. Hanya kekuasaan yang terpisah daripada kebenaran yang ditegah. Memisahkan kekuasaan daripada kebenaran amat berbahaya – bukan sahaja kepada pihak terbabit, terutamanya kaum minoriti, tetapi ia juga berbahaya kepada pemilik kekuasaan itu sendiri.

Tidak semua politik tujuannya bercanggah dengan kehendak atau ajaran agama. Selagi politik tidak bertentangan dengan tujuan dan kehendak agama, maka politik itu sesuatu yang baik dan selaras dengan tuntutan agama. Selagi politik tidak kejam dan berada pada landasan akhlak mulia, ia sebahagian daripada ibadah. Islam adalah agama komprehensif iaitu merangkumi semua aspek kehidupan, termasuk berkaitan kekuasaan atau politik. Oleh itu fahaman yang membezakan dan memisahkan agama dan politik adalah bercanggah dengan sifat syumul Islam.

Sebagai agama komprehensif dan sejagat, Islam tidak memisahkan antara agama dan politik. Dalam apa juga aspek kehidupan dan pergaulan, peranan agama tidak boleh diketepikan. Tiada dikotomi antara kedua-duanya, bahkan politik adalah sebahagian daripadanya. Oleh itu, sebagai agama komprehensif, Islam boleh berdiri sendiri sebagai mekanisme politik, menghuraikan pendekatan atau strategi politik untuk mencapai matlamat agama dan kebenaran. Kita juga harus mengambil perhatian bagi menghasilkan sistem kehidupan utuh, agama tidak boleh dipisahkan. Secara fitrahnya manusia mempunyai naluri agama yang tidak terasing. Manusia mempunyai jiwa dan raga; ada kehendak spiritual dan material. Kedua-dua, ‘jiwa’ dan ‘raga’ serta spiritual dan material, tidak boleh dipisahkan.

Sebagai negara yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama negara, sudah pasti agama itu mempunyai peranannya sendiri dalam politik Malaysia. Kita juga tidak boleh menolak fakta sejarah agama antara faktor utama dalam pembentukan dan pengoperasian parti politik serta strategi politik tanah air. Ini sepadan dengan hujah penulis Samuel Huntington (terkenal dengan tulisannya Clash of Civilisations) yang menyatakan agama menjadi teras budaya dan mempengaruhi setiap aspek dalam hidup termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Pemisahan antara agama dan politik sesuatu yang tidak tepat dalam agama dan juga fitrah manusia. Namun, sifat demokrasi yang diamalkan membuka ruang kepada persaingan politik yang mengundang kepada pemisahannya daripada agama. Kesannya, sifat agama yang mendokong prinsip perdamaian, berbaik sangka, toleransi dan perpaduan kini seolah-olah menjadi perangsang kepada perpecahan. Jika kita berpaut kepada konsep agama sebenar penyatuan dan perpaduan lebih hampir kepada kita dan seterusnya garis kegelinciran (seperti istilah digunakan S Huttington) akan menjauh.

Penulis ialah pakar undang-undang Perlembagaan UIAM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Usah gugat sekolah aliran kebangsaan


Oleh : Dr Anwar Ridwan 

Pertahan Dasar Pendidikan Kebangsaan

Kementerian Pelajaran sejak beberapa bulan lalu mengadakan siri sidang meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara. Pendidikan yang dinamik, seperti yang disebut dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, ‘mengambil kira cabaran dan perubahan perkembangan dunia pendidikan di luar negara dan keperluan pendidikan masyarakat Malaysia.’ Di samping itu, cabaran globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dunia masa kini menuntut Kementerian Pelajaran untuk memastikan semua murid mendapat pendidikan sewajarnya seperti yang dihasratkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun ada juga pihak yang mengatakan usaha mengadakan siri sidang meja bulat itu dilakukan pada masa kurang sesuai, iaitu ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) dicabar. Pihak berkenaan bimbang, sidang meja bulat akan diambil kesempatan untuk menuntut perubahan yang bukan-bukan, sehingga menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Kebimbangan bukan dizahirkan tanpa alasan. Sebagai contoh, pihak yang menjaga kepentingan pendidikan Cina membuat tuntutan yang berlebihan melalui memorandum yang mereka kemukakan. Jika tuntutan mereka dipenuhi atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, maka usaha integrasi kaum melalui pendidikan tidak akan tercapai.

Contoh kedua ialah tuntutan agar sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) yang majoriti pelajar memilih untuk belajar melalui bahasa pengantar Inggeris, dibenarkan meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini sebenarnya permintaan sebahagian kecil ibu bapa, bukan permintaan pelajar seluruhnya. Tuntutan ini pun, jika diluluskan atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, akan melemahkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memecah-belahkan sistem pendidikan kebangsaan kita.

Rumusan perbincangan meja bulat

Baru-baru ini kerajaan memaklumkan, rumusan perbincangan meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin pada September ini. Memandangkan pilihan raya umum sudah dekat, pejuang bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tentulah lebih berdebar-debar menunggu inti pati rumusan berkenaan.

Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit. Pengorbanan itu termasuk dengan cara memenuhi tuntutan golongan pejuang pendidikan Cina dan terus membenarkan mereka mengendalikan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) yang jelas bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan serta menukar beberapa sekolah kebangsaan di bandar menjadi sekolah berbahasa pengantar Inggeris sementara sekolah luar bandar kekal menggunakan bahasa Melayu.

Pendidikan tulen atasi tuntutan politik

Akan tetapi ramai masih berharap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan meletakkan kepentingan pendidikan tulen di atas kepentingan politik jangka pendek. Ini bermakna Dasar Pendidikan Kebangsaan serta beberapa akta yang berkaitan, termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997, wajib menjadi panduan, pegangan dan rujukan utama.

Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan, dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antara lainnya menggariskan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang digunakan pada peringkat kebangsaan.

Nasib sekolah aliran kebangsaan haruslah lebih baik selepas pengumuman rumusan sidang meja bulat pendidikan, bukan sebaliknya. Sekolah aliran kebangsaan hendaklah terus diperkasakan, menjadi sekolah aliran perdana di negara ini.

Untuk memperkasa sekolah aliran kebangsaan beberapa langkah harus diambil. Antaranya ialah pengisian kurikulum serta seni pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan. Di samping itu kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga harus diperbanyakkan di sekolah kebangsaan, agar sekolah kebangsaan terus menjadi tumpuan pelajar pelbagai kaum.

Peruntukan kewangan bagi tujuan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum sekolah aliran perdana ini juga mesti jauh lebih besar daripada peruntukan yang diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan.

Pendidikan kebangsaan arus perdana ini yang menggunakan bahasa Melayu, harus berkesinambungan ke peringkat pengajian tinggi, sebagai mana dibuktikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terutama pada dekad perkembangan awalnya.

Dalam masa yang sama pihak kerajaan melalui kementerian serta agensi di bawahnya serta sektor swasta, harus memberi nilai yang sewajarnya kepada graduan yang melalui sistem pendidikan kebangsaan itu.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Faktor-faktor penyebab kemalangan jalan raya


Lihat jadual di bawah ini dengan teliti. Huraikan faktor-faktor penyebab kemalangan jalan raya dengan berdasarkan data yang terdapat dalam jadual tersebut. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Faktor-faktor Penyebab Kemalangan Jalan Raya di Malaysia
 dengan berdasarkan 533 Kajian Kes.

Faktor Manusia
Jumlah Kemalangan
Peratus (%)
Memandu laju
17
3.38
Kecuaian
301
59.96
Khayal
4
0.79
Terbabas
44
8.7
Dilanggar kereta lain
116
23.11
Lumba haram
4
0.79
Letih/mengantuk
7
1.39
Brek secara mengejut
6
8.76
Langgar lampu merah
2
0.39
Guna telefon bimbit
1
0.19
Jumlah
502
94.18
Faktor Persekitaran
Jumlah Kemalangan
Peratus (%)
Hujan
11
2
Jalan licin
9
1.6
Tiada lampu jalan
2
0.3
Tiada had laju
1
0.1
Jalan berlubang
1
0.1
Jumlah
24
4.5
Faktor Mekanikal
Jumlah Kemalangan
Peratus (%)
Brek rosak
1
0.1
Lampu isyarat rosak
2
0.39
Tayar pancit
4
0.8
Jumlah
7
1.31
    (Sumber Kajian Kumpulan Penyelidik Kemalangan
          Dan Keselamatan Universiti Kebangsaan Malaysia)

Dalam menelusuri era globalisasi, kemalangan jalan raya masih menjadi isu polemik bukan sahaja  di warung-warung kopi bahkan turut diperdebatkan di Dewan Parlimen.  Hal ini demikian kerana, kes-kes kemalangan jalan raya bukan sahaja melibatkan kerugian harta benda tetapi turut meragut nyawa. Kes-kes kemalangan jalan raya semakin meningkat setiap kali musim perayaan atau cuti persekolahan kerana pada ini jumlah kenderaan di jalan raya meningkat beberapa kali ganda berbanding hari biasa. Peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya telah menimbulkan kegusaran bukan sahaja dalam kalangan pengguna jalan raya tetapi juga pihak penguat kuasa. Sehubungan dengan itu, para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjalankan kajian tentang isu nasional ini. Dapatan kajian mendapati bahawa terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan kemalangan berlaku di Malaysia.   
  
            Faktor paling dominan ialah ialah faktor manusia. Sejumlah 94.18% atau 502 kes kemalangan disebabkan kecuaian, terbabas, dilanggar kenderaan lain dan memandu terlalu laju. Terdapat pengguna jalan raya yang tidak mahu mengubah sifat negatif semasa berada di jalan raya. Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat semakin tidak dipraktikkan. Pengguna-pengguna jalan raya tidak menghiraukan kesihatan fizikal mereka, keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan, tidak mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan serta memandu secara tidak berhemah. Mereka memandu laju, sering berkhayal, membrek secara mengejut, melanggar lampu merah dan menggunakan telefon bimbit. Mereka bukan sahaja seolah-olah tidak sayang nyawa melayang tetapi tidak peduli penderitaan yang terpaksa ditanggung ahli keluarga. Lebih malang lagi jika kecuaian menyebabkan perlindungan insurans tidak diberikan. Bukan sahaja tiada pampasan kepada keluarga yang tinggal malah kematian mereka ibarat mati katak sahaja. Semua pengguna jalan raya menyedari bahawa malang tidak berbau. Ironinya, mereka tidak pula tidak mengamalkan slogan Berhati-hati di Jalan Raya, Ingatlah Orang Yang Tersayang. Jelaslah, kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang tidak mahu mengubah sifat negatif dalam diri mereka.
                                                                                         
         Faktor mekanikal turut menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku. Walaupun hanya menyebabkan 1.3% kes kemalangan namun faktor ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Hal ini demikian kerana, kejadian yang tidak diingini seperti kerosakan brek, tayar pancit atau lampu isyarat tidak berfungsi sebenarnya boleh dielakkan. Pemilik kenderaan tidak mempunyai rasa tanggungjawap untuk memastikan bahawa kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan, khususnya ke destinasi yang jauh. Tidak dinafikan ada yang mengambil mudah hal-hal sebegini tetapi ada juga alpa kerana kempen-kempen kesedaran yang disiarkan di corong-corong radio dan di dada-dada akhbar tidak berkesan. Kempen-kempen kesedaran oleh pihak media massa yang tidak disiarkan pada waktu perdana sehingga menyebabkan ramai yang tidak menyedarinya. Selain itu, kempen-kempen kesedaran tentang hal ini juga tidak melibatkan ikon terkemuka seperti tokoh motivasi tersohor tanah air seperti datuk Dr Hj Mohd Fadzillah Kamsah dan penceramah bebas Ustaz Azahar Idrus. Ketiadaan tokoh-tokoh yang berwibawa seakan-akan menjadikan kempen-kempen kesedaran kurang menarik kerana ikon seperti mereka mempunyai pengaruh yang besar dan kata-kata mereka akan didengar oleh ribuan peminat. Kempen-kempen kesedaran tentang kepentingan memastikan kenderaan sentiasa dalam keaadaan selamat juga disiarkan secara bermusim dan tidak berterusan. Pihak PUSPAKOM pula tidak menjalankan program atau kempen kesedaran yang benar-benar menarik untuk menggalakkan pemilik kenderaan melakukan pemeriksaan berkala. Di samping itu, mungkin juga usaha-usaha yang dijalankan untuk memberikan kesedaran ini bersifat hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hal ini menyebabkan pemilik-pemilik kenderaaan memandang enteng akan hal ini sedangkan kita tidak mahu sudah terantuk baru tengadah. Apabila nasi sudah menjadi bubur, penyesalan tidak berguna lagi. Jelaslah, faktor kenderaan juga merupakan penyebab kemalangan jalan raya.
                                                                                                              
 Faktor persekitaran pula ialah jalan licin, jalan berlubang dan tiada lampu jalan. Faktor ini akan menyebabkan kemalangan biarpun pemandu berhati-hati dan kenderaan dalam keadaan baik kerana pesan orang tua-tua malang tidak berbau.Walaupun daripada 533 kes yang dikaji, hanya 24 kes kemalangan disebabkan faktor ini namun pemandu mesti berhati-hati kerana peribahasa ada menasihati kita agar sediakan payung sebelum hujan. Faktor persekitaran ini sangat berkait rapat dengan faktor alam. Apabila hujan lebat, kemalangan lebih mudah berlaku kerana jalan raya menjadi licin. Keaadaan menjadi semakin serius sekiranya pemandu tidak memandu secara berhemah dan jalan berliku-liku atau bercerun curam. Suasana berkabus dan ketiadaan lampu jalan akan menyebabkan pengguna jalan raya melanggar lubang  di atas jalan kerana jarak penglihatan terhad. Selain itu, kedudukan jalan raya yang berhampiran dengan hutan juga boleh menyebabkan kemalangan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes kemalangan yang berpunca daripada kegagalan pengguna jalan raya mengelak binatang liar seperti musang, monyet dan ular yang melintas jala secara tiba-tiba. Terdapat juga kemalangan yang disebabkan kegagalan pemandu menyedari kehadiran haiwan ternakan penduduk di kawasan berhampiran seperti lembu dan kambing. Di samping itu, kemalangan juga berpunca daripada sikap tidak bekerjasama pihak swasta untuk membantu kerajaan mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya. Pihak swasta seperti pengendali lebuh raya dan pihak pengiklanan tidak menjalankan tanggungjawab sosial dengan menyediakan papan tanda tentang keadaan persekitaran di kawasan yang sering berlaku kemalangan untuk memberi amaran atau peringatan pengguna yang menggunakan laluan tersebut. Jelaslah, faktor persekitan turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya.                   

      Konklusinya, semua pihak mesti berganding bahu seperti aur dengan tebing dalam usaha mengelakkan kemalangan dan menjadikan jalan raya tempat yang selamat kerana jalan raya di Malaysia terkenal sebagai Pembunuh Nombor 1 Negara. Semua pihak janganlah hanya pandai menuding jari kea rah orang lain seperti yang terdapat dalam lagu rakyat "Bangau Oh Bangau" kerana sikap ini tidak menguntungkan sesiapa malah hanya membuang masa. Selain itu, kita juga mestilah melakukan anjakan paradigma dengan mengubah persepsi yang salah bahawa tanggungjawab menangani kemalangan jalan raya tergalas di bahu pihak kerajaan semata-mata. Sebaliknya, semua pihak mestilah saling membantu untuk menjayakan pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan seperti kempen Sifar Kemalangan Jalan Raya. Hal ini demikian kerana, sebanyak manapun usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan tetapi jika anggota masyarakat tidak mahu bekerjasama menjayakannya sudah pasti semua usaha itu menjadi sia-sia. Hal ini bertepatan dengan analogi yang mengatakan bahawa, kita boleh memaksa lembu turun ke sungai tetapi kita tidak dapat memaksanya untuk minum air.Setiap pengguna jalan raya mestilah mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi untuk mengubah sikap-sikap negatif yang ada di dalam diri mereka dan bekerjasama menjayakan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana, firman Allah dalam Surah Ar Ra'd, Ayat: 11 ada menyebut “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri". Sehubungan dengan itu, slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat  perlulah menjadi panduan dan amalan semua rakyat Malaysia semasa berada di jalan raya.

Sumber : Modul Perkasa BM Bagi Murid Cemerlang SPM JPNP

ISU PENDIDIKAN : “Kepentingan Mata Pelajaran Sejarah.”


Anda merupakan Pengerusi  Persatuan Sejarah di sekolah anda. Sempena Kempen Bulan Kemerdekaan  di peringkat sekolah, anda telah diminta menyampaikan syarahan bertajuk, “Kepentingan Mata Pelajaran Sejarah.” Sediakan teks syarahan anda itu.

Analisis soalan:

Kata kunci                       : Mata pelajaran Sejarah
Kehendak soalan             : Kepentingan mata pelajaran Sejarah
Jenis karangan                  : Syarahan


KEPENTINGAN MATA PELAJARAN SEJARAH

              Terima Kasih Tuan Pengerusi Majlis . Yang Berusaha,Tuan Haji Azmi bin Zulkefli, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 24, Yang Dikasihi Puan Noor Hamiza bin Hang Tuah,Pengerusi  Panita Sejarah,  guru-guru, dan rakan pelajar yang dikasihi. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya merakamkan rasa penghargaan saya atas kesudian pihak sekolah memberi peluang kepada saya menyampaikan syarahan yang bertajuk “Kepentingan Mata Pelajaran Sejarah”. Bagi saya, undangan ini merupakan penghargaan pihak sekolah terhadap penglibatan saya di dalam Persatuan Sejarah Sekolah.

Hadirin Yang dimuliakan,

                Menurut Kamus Dewan, sejarah bermaksud peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Apabila menyebut peristiwa, kebiasaannya yang dirakamkan ialah tentang peristiwa yang melibatkan jatuh bangun sesebuah negara  atau bangsa. Sejak KBSM diperkenalkan pada akhir tahun 1980-an, mata pelajaran Sejarah diwajibkan dalam peperiksaan PMR dan SPM. Belajar apa-apa juga aliran, tidak mempunyai pilihan, minat atau tidak mesti mempelajari sejarah untuk berdepan dengan peperiksaan. Pada peringkat awal, memang ramai yang menentang kerana pelajaran sejarah tidak mempunyai nilai ekonomi. Anda sendiri pun berasa tidak selesa kerana berdepan dengan tarikh dan peristiwa , namun alah bisa tegal biasa. Justeru, yakinlah tujuan mewajibkan mata pelajaran ini demi kepentingan kita semua .

               Negara kita didiami oleh rakyat berbilang kaum, dengan kaum terbesar Melayu, Cina, dan India. Kepelbagaian kaum dengan anutan agama yang berbeza dan corak budaya seharian yang berlainan tidak menjadi masalah untuk berkomunikasi, saling mengerti, bertolak ansur, dan berdaya saing untuk memaknakan kemerdekaan tanah air. Kecuali peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969, sepanjang waktu melalui kehidupan dengan aman dan damai. Hal ini berpunca mereka mengerti asal usul mereka, hak masing-masing, dan peranan yang perlu dimainkan di dalam negara ini. Semuanya dirakamkan dalam mata pelajaran Sejarah. Orang Melayu sedar, sebahagian daripada mereka dari Kepulauan Indonesia, orang Cina mengerti mereka dari Tanah Besar China, dan orang India juga faham mereka dari negara India. Pengertian yang diperoleh menerusi mata pelajaran  Sejarah menjadikan mereka dapat mengelakkan rasa rendah diri bagi menghadapi cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bergerak seiring sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju.
               
Hadirin yang dikasihi,

          Mata pelajaran Sejarah juga menyebabkan kita mengenali tokoh tertentu yang berhasil melakar sejarah tanah air seperti Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman dan Ahmad Boestaman.Rata-rata mereka terlibat dalam memperjuangkan tanah air daripada dibelenggu penjajah Inggeris.Kecuali Tunku Abdul Rahman yang berpeluang menjadi Ketua Menteri, kemudian Perdana Menteri , pemimpin yang lain hanya mampu mengalirkan keringat demi keselesaan anak watan. Jika sesetengah negara para pejuangnya bermandikan darah sebelum negara memperoleh kemerdekaan,tetapi perjuangan kita dengan cara permuafakatan. Pengetahuan ini menyedarkan kita akan kesenangan yang dinikmati ini dengan keringat para pejuang silam.

        Semasa hayatnya Tunku Abdul Rahman pernah berkata, memperoleh kemerdekaan lebih mudah berbanding untuk mempertahankannya. Sebenarnya, kita janganlah berasa terlalu selesa, sehinggakan tidak sesekali berwaspada akan kemungkinan negara ini dijajah. Penjajahan  alaf baru ini  bukan semestinya dengan senjata tetapi dengan ekonomi. Peristiwa tahun 1997 apabila negara kita diserang penyangak mata wang , George Soros menyebabkan nilai ringgit menjunam wajar dijadikan iktibar. Sejarah akan berulang dan sebab itu kemungkinan buruk senantiasa ada. Bagaimana kita boleh mengingati akan hal ini jika kita tidak mempelajari sejarah? Pengetahuan akan pengalaman pahit sesebuah negara begitu sukar dihayati  jika hanya menatap akhbar atau majalah, kecuali melalui mata pelajaran Sejarah.

Para pelajar yang budiman,

           Sebenarnya mempelajari Sejarah juga menambahkan pengetahuan kita. Sebagaimana mata pelajaran Geografi,Fizik, atau Kimia, berfungsi menggerak minda menjadikan seseorang pelajar itu berwawasan. Dalam konteks mata pelajaran sejarah, segala pengetahuan tersebut boleh dimanfaatkan dalam kehidupan sehari-hari, sekali gus mengelakkan kita seperti menjadi katak di bawah tempurung. Pengetahuan ini mampu mewujudkan rasa kecintaan di dalam diri kita. Sebagai contoh jika mengetahui sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad  dan Stadium Merdeka, sudah tentu kita akan menentang jika tempat tersebut dirobohkan kerana hal ini berkait rapat dengan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, lalu kita mencadangkan agar tempat tersebut dipulihara sebagai satu bahan bersejarah yang tidak ternilai harganya.

          Kini, anak-anak muda bersikap negatiif terhadap kepimpinan negara dengan melontarkan pelbagai tohmahan terhadap apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Apa-apa juga usaha dilakukan untuk pembangunan negara ,tetapi tanggapan buruk telah dihamburkan. Pada saat inilah mata pelajaran Sejarah berperanan menyedarkan mereka terhadap sikap keterlaluan mereka dengan melihat akan peranan pemimpin tidak sekadar memikirkan perut rakyat semata-mata, tetapi menyediakan pelbagai perkara bukan untuk saat ini sahaja tetapi generasi mendatang. Sebab itulah sepanjang bulan Ogos hingga 16 September , pelbagai aktiviti dijalankan seperti kempen mengibar Bendera Jalur Gemilang dan media massa pula memaparkan sejarah perjuangan silam kerana mereka sedar hanya sejarah dapat menyedarkan orang ramai.Sehubungan itu, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Gagasan 1Malaysia ini bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasa antara rakyat pelbagai kaum di Negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi ancaman dan cabaran yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka.

      Rasanya sudah panjang saya menyampaikan syarahan pada pagi yang mulia ini. Izinkan saya menyampaikan serangkap pantun yang berbunyi,

                Dari runtuhnya Kota Melaka,
                                Kehebatan Putrajaya kita dirikan;
                Sejarah melakar detik merdeka,
                                Keharmonian hidup mampu dikekalkan.

           Sebelum mengakhiri syarahan ini, saya menyeru rakan pelajar semua meminati mata pelajaran Sejarah yang kelihatan tiada nilai ekonomi tetapi besar peranannya dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan mewujudkan jati diri dalam kalangan kita semua .Justeru, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia. Saya akhiri syarahan dengan lafaz terima kasih.

 Romzan binti Abdullah
 SMK Jengka 24

Sumber : Modul Perkasa BM Bagi Murid Cemerlang SPM JPNP