Isnin, 3 September 2012

ISU BAHASA : Surat peribadi tradisi kian hilang


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Komunikasi generasi muda tiada 'jiwa'

Sebelum wujud laman sosial elektronik, menulis surat peribadi adalah seni yang membawa keseronokan tersendiri. Surat ditulis dengan ‘peraturan’ tertentu, umpamanya di atas kertas putih dan dikirim dalam sampul putih atau coklat – jika surat itu ditujukan kepada ibu, ayah, atau sahabat. Jika ditujukan kepada kekasih, surat biasanya ditulis atas kertas biru. Kadang-kadang kertas biru itu wangi baunya. Warna biru dipilih kerana ia melambangkan sesuatu yang romantik, ‘cool’, lembut dan dapat dirimakan dengan ‘rindu’. Hingga ada sebuah lagu Melayu yang liriknya berbunyi: Kalaulah abang menyurat pandai menyurat/ Suratkan sayalah biru kertas yang biru/ Kalau cik abang mengubat pandai mengubat/ Ubatkan sayalah rindu hati yang rindu.

Surat wujud sejak sekian lama akibat jarak geografi dan belum tercipta atau meluasnya penggunaan komunikasi elektronik seperti telefon atau laman sosial. Perasaan juga dijarakkan oleh persekitaran tradisional yang memaksa penggunaan surat untuk menzahirkan emosi walaupun penerimanya mungkin rakan satu kelas. Bagaimanapun dalam era elektronik serta laman sosial yang pantas, perasaan hampir tidak mempunyai jarak kerana teks dan visual boleh dikirim, diterima dan dibalas dengan begitu pantas.

Surat peribadi biasanya ditulis kerana beberapa sebab. Pertama, untuk mendapatkan apa saja berita atau maklumat daripada seseorang. Kedua, untuk memberitahu sesuatu yang berlaku kepada diri atau keluarga pengirim. Ketiga, sebagai penzahiran nota sosial seperti untuk mengucapkan tahniah, takziah, terima kasih dan sebagainya. Keempat, untuk merapatkan hubungan atau mempererat silaturahim. Kelima, untuk menyatakan sikap, visi, serta impian, seperti mana surat pemimpin dunia yang terkenal.

Saya amat menghargai pemberian seseorang. Walaupun yang diberi mungkin kelihatan kecil atau sederhana, itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Sebagai contoh, jika saya menerima kiriman surat daripada seorang sahabat atau kenalan, ia hanya berupa sehelai atau beberapa lembaran kertas. Namun bukan kertas itu yang penting, tetapi kandungannya yang berisi emosi, pemikiran atau pandangan jujur pengirimnya.

Sebab itu, saya menyimpan surat sahabat dan kenalan. Saya teringat dua baris puisi tulisan Zakiah Hanum dalam bukunya Senandika Tok Wa mengenai perkara ini: “Jika surat kawan kita tak simpan/Esok tak ada bukti kita punya persahabatan.” Zakiah Hanum pernah bertugas sebagai Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, oleh itu, beliau sangat peka dan arif kepentingan tradisi menyimpan dan mengumpul bahan bertulis atau bercetak, kerana dokumen mungkin mempunyai nilai sejarah tinggi.

Saya kurang pasti sama ada sahabat atau kenalan saya yang pernah menerima surat daripada saya, masih menyimpan atau tidak. Besar kemungkinannya tidak, kerana dokumentasi perbahanan bertulis tidak membudaya dalam masyarakat kita. Sesetengah penerima, selepas habis membaca surat, mungkin mencampakkannya ke tong sampah. Bagi mereka ini, surat sudah diterima, sudah dibaca dan difahami isinya. Habis perkara.

Bimbang perkara itu terjadi, saya biasanya mempunyai salinan surat peribadi yang saya kirimkan. Ketika era menggunakan mesin taip dulu, saya gunakan kertas karbon untuk mendapatkan penduanya. Atau jika surat itu saya tulis tangan, saya juga menggunakan kertas karbon untuk menyimpan salinannya. Saya ingin menyimpan sesuatu yang pernah saya tulis, yang menggambarkan pemikiran, sikap, emosi atau apa jua latar belakang sosio-ekonomi-politik pada masa surat itu ditulis.

Baru-baru ini, saya menerbitkan Menyurat Kepada Sahabat: Warkah-Warkah Peribadi 1975-2002. Perpustakaan Negara membeli buku ini dalam jumlah yang agak besar untuk diedarkan ke perpustakaan negeri dan desa. Sambutan orang ramai terhadap buku ini juga amat menggalakkan. Sambutan yang baik terhadap buku ini mungkin kerana ia genre yang jarang ditemui dalam pasaran buku di negara ini (yang didominasi novel popular, buku agama dan buku ulang kaji bagi pelajar sekolah rendah dan menengah).

Saya juga dalam proses memilih surat peribadi yang pernah saya terima untuk dibukukan. Antara lain surat itu dikirim oleh sarjana sastera dan bahasa Melayu antarabangsa, penulis dari dalam dan luar negara, termasuk penulis Indonesia seperti Taufik Ismail, Rendra dan Sitor Sitomorang.

Penerbitan surat itu kelak bukan saja menunjukkan saya masih menyimpannya dan pernah bersahabat dengan mereka, seperti mana senandika Zakiah Hanum: “Kalau surat kawan kita tak simpan/Esok tak ada bukti kita punya persahabatan.” Lebih daripada itu ia akan menyerlahkan sikap dan pemikiran pengirimnya.

Surat peribadi dalam ‘peraturan’ serta bentuknya yang tradisional mula menghilang. Di tangan kebanyakan generasi muda, komunikasi mereka dengan kawan berubah citra dalam laman sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) – menjelma dalam bentuk mesej ringkas, tidak beranatomi, ejaan bantut, bahasa pasar dan slanga. Gejala ini pastinya membayangkan ‘standard’ hubungan manusiawi serta takah budi daya sesuatu masyarakat.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Lebih baik tidak bersekolah!


Oleh : FADHLINA SIDDIQ

Lebih Baik Tidak Sekolah - tajuk sebuah buku kecil nukilan Bapak Sujono Samba yang memperkatakan tragedi  dan masa depan pendidikan di Indonesia. Dalam perkembangannya sekolah  ternyata tidak menjadi media pembebasan dan penanaman nilai-nilai kemanusiaan. Sekolah sudah menjadi penjara yang memisahkan anak didik daripada  dinamika persoalan masyarakatnya. Semakin lama seseorang bersekolah semakin besar jarak antara dirinya dan realiti kehidupan yang sebenarnya.

Sekolah bukan lagi tempat untuk belajar melainkan tempat murid diarahkan dan dicetak menurut pola yang sudah baku. Dengan demikian, lembaga pendidikan gagal menjalankan tugasnya yang paling dasar, iaitu membantu seorang menjadi manusia yang bebas dan merdeka. Sekolah sudah sepertinya factory atau kilang yang tugasnya hanya mencetak watak-watak manusia A+ dan menolak manusia lain yang hanya mendapat B dan C. Malah yang berstatus D dan F akan terus tersingkir dengan sendirinya.

Di Malaysia tidak kurang keresahannya. Dalam keributan menentukan sistem yang terbaik kita mula meminggirkan aspek teras bangsa dan budaya apabila berterusan meminggirkan Bahasa Melayu dan tulisan jawi. Keranda Bahasa Melayu diusung secara simbolik tanda protes bahawa watak bangsa akan terhapus dengan peminggiran Bahasa Melayu.

Sudah nampak riak akan berlaku kebobrokan dalam aspek nilai dan produk manusia dalam masyarakat dengan meningkatnya gejala sosial dalam kalangan anak muda saban hari.

Dari memaknai soal mendidik asalnya ia sudah menjadi mencetak, tatkala sekolah diperjuangkan untuk rakyat dan pendidikan percuma adalah hak asasi rakyat, aspirasi itu dimatikan dengan pembinaan institusi pendidikan swasta yang terus mematikan hasrat rakyat kononnya ia dibina demi kualiti pendidikan.

Begitulah seterusnya episod-episod menyayat hati dalam isu pendidikan negara yang kemudiannya menjadikan anak-anak kita sebagai eksperimen dan tikus makmal bagi menguji keberkesanan setiap kali dasar pendidikan baru dirombak.

Semua menjadi kalut dan cemas! Ibu bapa sudah tidak ketahuan jadual peperiksaan anak-anak. Guru-guru menggalas beban dengan kelas tambahan dan tuisyen. Anak-anak sudah terobses dengan kecemerlangan akademik atas permintaan pasaran dan prosedur dunia. 

Ivan Illich pernah mengejutkan masyarakat dengan gagasan kontroversinya tentang deschooling society (masyarakat tanpa sekolah). Illich meramalkan bahawa jika pengetahuan dan tingkat kedewasaan masyarakat sudah berkembang dengan wajar maka institusi-institusi pendidikan formal tidak lagi diperlukan.

Masyarakat akan mampu menjalankan fungsi pendidikan lewat elemen sosial dan budaya yang luas tanpa harus terikat dengan autoriti perlembagaan seperti sekolah. Ertinya dalam masyarakat ini sekolah sudah tidak diperlukan lagi. Gagasan ini sampai sekarang masih belum terbukti dalam kehidupan konkrit. Tetapi jika dilihat dengan mendalam, maka betapa tepatnya Illich dalam menilai dan mendekripsi peranan pendidikan.

Dalam serba ketidaktentuan arah pendidikan ini, terbitnya buku Excellence Wihout Soul karya Harry R Lewis - membicarakan tentang Universiti Harvard yang sudah kehilangan roh dan menghadapi bencana kehilangan arah tujuan. Ketika Harvard memikul jenama universiti tertua, ternama dan terunggul di dunia, mereka telah melupakan the fundamental job of undergraduate education tanggungjawab dasar terhadap anak didik termasuk to help them grow up, to learn who they are, to search for a larger purpose for their lives and to leave college as better human beings.

Oleh yang demikian, sistem pendidikan negara sewajarnya menjaja pendidikan keinsanan yang mana seharusnya ia memaknai sabda nabawi khairu ‘n-nas anfa’uhum li n-nas (orang yang terbaik adalah yang paling berguna kepada orang lain).

Anak bangsa ini harus dididik untuk terus menjadi warga yang baik, anak yang meletakkan sifat keinsanan serta mengangkat darjat karamah insaniyyah serta menjadi manusia yang terus memanfaatkan manusia lain. Ini juga nyata bertepatan dengan kata pujangga Melayu dalam menggambarkan erti manusia yang baik dan bermanfaat itu adalah;

Bagaikan kayu besar di tengah padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya tempat bersila.

* Penulis ialah Naib Presiden (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 517,139 Calon Duduki UPSR Mulai Selasa Minggu Hadapan


KUALA LUMPUR : Seramai 517,139 calon berdaftar akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 11 hingga 13 September di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia hari ini, ia melibatkan 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Semua calon diminta merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung. UPSR kali ini melibatkan 52,172 petugas peperiksaan. -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : 7,000 Kanak-Kanak Orang Asli Tidak Bersekolah


KUALA LUMPUR : Seramai 7,000 orang kanak-kanak Orang Asli berusia enam hingga 12 tahun didapati tidak bersekolah, menurut kajian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2010 hingga 2011.

Pegawai  Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam Suhakam Hasmah Abd Manaf berkata kajian itu dibuat menerusi lawatan suruhanjaya itu ke 93 buah sekolah Orang Asli di seluruh Semenanjung.

"Masalah pengangkutan dan jalan penghubung menjadi penghalang untuk kanak-kanak ini ke sekolah memandangkan kawasan (penempatan) mereka terletak di pedalaman dan di hutan.

 "Ada kanak-kanak yang tidak bersekolah langsung juga disebabkan oleh tiada sekolah dibina di kawasan mereka selain ada sekolah yang terletak jauh dari kawasan penempatan mereka," katanya pada sidang media mengenai  Hak Pendidikan dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)) di sini, Isnin.

Hasmah berkata selain itu, masalah lain kanak-kanak Orang Asli ialah mereka tidak diajar mengenai bahasa (ibunda) mereka di sekolah.

Menurut Perkara 30 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, kanak-kanak dari komuniti minoriti dan penduduk asli mempunyai hak untuk menikmati kebudayaan mereka dan mengamalkan bahasa dan agama mereka sendiri.

"Orang Asli seharusnya belajar menggunakan bahasa mereka untuk meneruskan kelangsungan budaya mereka," katanya.

Beliau berkata Suhakam turut melawat 21 buah Sekolah Agama Rakyat (S.A.R) di Pahang dan Selangor dan tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terletak di ladang dan estet di Perlis dan Kedah pada tahun ini,.

Hasmah berkata bantuan daripada pihak berwajib seperti kemudahan prasarana dan teknologi maklumat amat kurang dan ini menyebabkan murid serta guru tidak berpeluang menggunakan kemudahan tersebut dan menimba ilmu menerusi internet.

Beliau berkata kebanyakan S.A.R mempunyai masalah pendaftaran dan mereka tetap terus beroperasi walaupun tidak mematuhi syarat-syarat pendaftaran.

"Apabila tidak mematuhi syarat, maka permohonan untuk pendaftaran tidak diluluskan dan mereka dibiarkan begitu sahaja dan beroperasi seperti biasa, sedang masyarakat pula bergantung kepada sekolah ini untuk menghantar anak mereka.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah berkata ada murid yang tiada dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka tidak boleh menduduki peperiksaan awam dan guru pula tidak tahu bagaimana untuk menguruskan anak murid mereka.

"Inilah kelemahan dalam pentadbiran sekolah dan Kementerian Pelajaran untuk menyedarkan pihak tertentu supaya mendaftarkan anak mereka. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga harus memainkan peranan membantu masyarakat dan bukannya menghukum mereka," katanya.

Beliau berkata Suhakam turut menerima aduan bahawa sebuah sekolah pendidikan khas bagi kanak-kanak cacat pendengaran di Pulau Pinang tidak mempunyai guru terlatih dalam bahasa isyarat yang cukup.

"Daripada 52 orang guru, hanya empat yang pandai berbahasa isyarat.

"Guru-guru yang terlatih dalam bahasa isyarat dipindahkan ke sekolah biasa. Ini tidak boleh diterima, tindakan ini mencabuli hak kanak-kanak pekak," katanya. Justeru, Muhammad Sha'ani berkata kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran harus mengambil perhatian terhadap permasalahan ini bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti dan sama-rata. -BERNAMA

Ahad, 2 September 2012

ISU GLOBAL : Undang pengesahan antarabangsa


Oleh Nordin Kardi

HUJUNG abad ke 19 hingga pertengahan abad ke 20 menyaksikan satu demi satu negara di dunia yang pernah terjajah puluhan, malah ratusan tahun merayakan kejayaan impian supaya negara diperintah oleh bangsa sendiri menjadi realiti.

Pelbagai perkataan yang indah dipilih bagi mewakili ekspresi lambang kehebatan negara bangsa yang baru merdeka itu dalam menentukan kesanggupan bangsa itu menghadapi sendiri nasib baik dan buruk pada zaman berikutnya.

Pelbagai sumpah setia bangsa dilafaz dengan penuh semangat dan didokumentasikan.

Kebebasan menentukan nasib diri sendiri yang dipanggil juga sebagai kedaulatan menjadi perkataan suci yang sanggup dipertahankan dengan apa saja.

Aspirasi menentukan nasib sendiri itu diperkukuhkan oleh Charter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seperti serik dengan pengalaman menghadapi dua peperangan besar dunia yang memundurkan tamadun manusia lebih ke belakang.

Artikel Satu, Perkara Dua tujuan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebutkan dengan jelas tentang hubungan antara negara berdasarkan prinsip equal rights dan self-determination demi memastikan keamanan sejagat.

Selanjutnya Artikel Dua, Perkara Satu menambahkan lagi kejelasan kebebasan setiap negara anggota yang berbunyi, Organisasi ini berlandaskan prinsip kesamarataan kedaulatan setiap negara anggota.

Namun pertengahan kurun ke-20 menyaksikan pula perubahan set pemikiran warganegara yang dahulunya sangat kental mempertahankan prinsip menolak sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman sesebuah negara bangsa kepada set pemikiran yang seperti mengundang pihak luar secara terhormat memberi arahan apa yang betul dan apa yang tidak betul dalam menguruskan kehidupan sesebuah negara anggota masyarakat dunia.

Jika pada suatu masa generasi muda kecewa kerana sejarah sesuatu negara mencatat tentang adanya pembesar-pembesar negara sanggup menyerahkan negara dijajah kuasa luar, generasi yang dahulunya muda tetapi kini telah berusia seperti mengulang apa yang mereka pernah benci suatu masa lalu itu.

Ini mungkin kerana kehebatan kerja-kerja diplomasi negara-negara yang secara tradisinya suka menjajah secara halus menjaga kepentingan mereka melalui pelaburan dalam pelbagai program bantuan seperti atas nama pertukaran pelajar pelbagai budaya, aktiviti kesarjanaan dan pembangunan komuniti profesional.

Perubahan set pemikiran segolongan warganegara ini menyediakan tanah yang subur bagi kuasa-kuasa penjajah tradisi itu menggunakan sepenuhnya PBB untuk tujuan menjaga pelbagai kepentingan mereka.

Kuasa-kuasa tradisi penjajah ini mewujudkan pelbagai badan bukan kerajaan dan kemudian menggunakan PBB untuk menghalalkan kuasa badan-badan tersebut.

Badan-badan yang pada mulanya tidak lebih daripada pertubuhan sukarela, tiba-tiba berubah menjadi badan penguasa yang boleh mengeluarkan pelbagai peraturan yang mereka namakan sebagai undang-undang antarabangsa. Kuasa-kuasa penjajah tradisi ini menyalurkan kehendak-kehendak mereka yang dihalalkan oleh badan dunia yang mulia itu.

Contoh yang mudah difahami mengenai kuasa badan-badan sukarela dunia ini ialah dalam kes penjanaan tenaga nuklear Iran.

Suatu badan yang asalnya ialah badan sukarela, iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melekatkan dirinya dengan PBB atas nama mempromosikan penggunaan tenaga atom untuk tujuan kesejahteraan manusia dan keamanan, telah mengeluarkan peraturan yang membataskan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh negara-negara anggota.

Selepas Iran mengakui telah melakukan ujian nuklear pada tahun 2009, Ketua Pengarah IAEA membuat kenyataan bahawa kawalan edaran tenaga nuklear hendaklah dipindahkan daripada kuasa nasional kepada kuasa multinasional.

Jika Charter PBB itu diumpamakan Perlembagaan sesebuah negara, peraturan IAEA telah melanggar dasar Perlembagaan itu yang menjamin ruang kuasa atau jurisdiction sebuah negara anggota. Arahan itu secara langsung mencerobohi kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran.

Merestui

Dalam kes Iran, mungkin banyak negara anggota PBB merestui penggunaan IAEA oleh negara penjajah tradisi kerana kurang yakin terhadap kewarasan Iran mengawal kesudahan usaha nuklearnya setelah melihat Iran pernah ghairah mengeksport revolusi pada tahun 1980-an di bawah Khomeini.

Tetapi, kes negara Haiti, memperlihatkan bagaimana badan-badan sukarela dipergunakan sepenuhnya secara yang dikatakan sangat tidak bermoral dalam menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya demokratik.

Kerajaan yang sangat popular dijatuhkan melalui operasi oleh kuasa luar yang menggunakan ejen-ejen tempatan.

Badan yang ditaja, menamakan diri mereka The National Coalition for Haitian Rights (NCHR) memainkan peranan mempersoalkan isu ketelusan proses pilihan raya.

Badan antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Haiti dengan menghentikan semua bantuan kewangan berikutan daripada aduan-aduan itu.

Namun keadaan itu tidak pula mengurangkan sokongan kepada kerajaan Aristide. Episod ini berkesudahan dengan apa yang didakwa oleh Aristide sebagai kudeta yang dilakukan sendiri oleh tentera negara besar dengan menculiknya dan memaksanya menandatangani surat meletak jawatan sebagai Presiden.

Aristide mengatakan dia diterbangkan dengan kawalan tentera asing bersenjata ke Republik Afrika Tengah dan kemudiannya ke Afrika Selatan. Dua orang personaliti Haiti yang telah tinggal dan dilatih di Amerika Syarikat kemudiannya dibawa pulang ke Haiti untuk menjawat jawatan masing-masing, sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

Ini suatu keadaan yang tidak semestinya terpencil dengan turut melihat pemimpin di Afghanistan, termasuk Mesir yang dikagumi segolongan orang Malaysia sekarang. Meskipun The Caribbean Community (CARICOM) yang seakan-akan ASEAN di sini mengutuk kudeta di Haiti itu dan mempersoalkan kesahan kerajaan yang baru, kutukan itu tidak pernah diendahkan oleh masyarakat antara bangsa termasuk PBB.

Demikianlah, bukan sahaja kerajaan yang dikatakan menindas dan dibenci oleh warganegaranya boleh diturunkan tetapi sebuah kerajaan yang disokong oleh majoriti warganegara juga boleh diturunkan oleh sesuatu kuasa yang mempunyai kepentingan tertentu.

Kuasa luar dijemput secara sangat terhormat oleh segolongan warganegara sesebuah negara sasaran, dan jemputan itu diberi layanan istimewa walaupun yang menjemput itu mewakili golongan yang sangat minoriti.

Di Malaysia sendiri nampaknya ada bibit warganegaranya mulai dilatih dan diorientasikan dengan sengaja supaya mengagungkan pengesahan daripada kuasa luar ini tentang apa yang baik dan tidak baik untuk Malaysia.

Atas nama pengiktirafan antarabangsa dari sekecil perkara berkaitan hal teknikal seperti dalam pentadbiran yang memerlukan persijilan ISO berasal dari Geneva, hingga ke pengurusan ilmu yang institusinya ghairah menagih ranking hinggalah kepada proses pilihan raya umum yang bakal menentukan nasib buruk atau sejahteranya umat di negara ini.

Seperti tidak sempurna sesuatu aktiviti kehidupan bernegara di Malaysia sekiranya tidak mendapat endorsement daripada luar.

Orang berpengetahuan psikologi akan cepat mengesan tanda-tanda potensi perlakuan tidak normal pada masyarakat atau komuniti seperti ini.

Dikatakan Pilihan Raya Umum di Malaysia tidak akan sah selagi dia tidak diselia, dipantau dan disahkan oleh badan asing atas nama neutraliti.

Yang terbaharu pada pengamatan saya di Malaysia ialah munculnya golongan yang bergerak cergas mengundang campur tangan PBB menyemak semula referendum 1963 tentang pembentukan Malaysia.

Mereka menuntut supaya PBB mengadili kesahan referendum itu dan pelaksanaannya. Gerakan seperti ini, sekiranya berlaku pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein Onn, tentulah akan mendapat jawapan yang sangat serius daripada kedua-dua tokoh itu.

Gerakan seperti ini akan disifatkannya sebagai suatu gerakan subversif dan antinasional. Namun, pada zaman ini, semuanya seperti dibenarkan atas nama kebebasan menyatakan sesuatu pendirian di sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.

Dalam kes Haiti, Aristide mendedahkan bahawa kudeta ke atasnya berlaku kerana keengganannya membuka syarikat-syarikat kepentingan awam seperti elektrik dan telekom yang dikuasai oleh kerajaan untuk dikuasai oleh syarikat-syarikat besar daripada Amerika Syarikat terutamanya.

Malaysia tidak sedikit pun kurang pentingnya berbanding Haiti. Malaysia ada TNB, PNB, Telekom, Felda, Tabung Haji dan dengan itu pemimpin Malaysia sewajarnya lebih bijaksana daripada Aristide.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 1 September 2012

ISU PENDIDIKAN : 10 Peranan Ibu Bapa Menjelang Peperiksaan



Oleh:  Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D

Musim peperiksaan menjelang lagi.  Pada saat begini,  ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak.  Antara ibu dan bapa pula, ibulah yang lebih gemuruh berbanding bapa.  Sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa.  Malah saya baru sahaja mampu bernafas lega apabila anak yang sulung kini selesai peperiksaan UPSRnya.  Memang pengalaman mendidik anak orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza.

Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan disaat menjelangnya peperiksaan.

Salah pendekatan kita maka anak yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaannya. 

Saya teringat bagaimana tahun lepas seorang pelajar motivasi saya telah menelefon dan menangis sedangkan PMR hanya tinggal 10 hari sahaja lagi.  Setelah ditenangkan, maka dia beritahu saya bagaimana tertekannya dia apabila ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya kerana dia hanya memperolehi 3A sahaja dalam peperiksaan percubaannya.  Dia rasa dia telah gagal sebagai seorang anak dan tidak yakin untuk berhadapan dengan PMR yang sebenar.  Nasib baiklah dia sempat mengadu dan meminta bantuan.  Bagaimana pula dengan ratusan ribu pelajar lain yang tidak mempunyai tempat untuk mengadu?  Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu apa persediaan yang perlu dibuat untuk kecemerlangan anak-anak menjelangnya peperiksaan. 

1.  Fahami Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak

Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang.  Mungkin ada antara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka.  Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan.  Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin kuat tidurnya.  Ada yang murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya.  Sememangnya perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini.  Sebagai ibu bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan tersebut dengan lebih memahami mereka.  Katakan kepada mereka dengan jelas bahawa apa yang kita harapkan daripada mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.  Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat untuk mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.

Apabila tinggal beberapa hari lagi untuk menghadapi peperiksaan, elakkan daripada menyuruh mereka menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang mereka tidak ketahui penyelesaiannya kerana ini akan membuatkan mereka rasa tidak bersedia.  Keyakinan diri mereka akan tergugat dan ini akan menjejaskan prestasi mereka dalam menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui. 

Adalah lebih baik ibu bapa diam tanpa memberikan sebarang komen apabila didapati perasaan anak terlalu tertekan hingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaan dengan mengatakan yang dia pasti gagal.  Perhatikan sahaja gelagat anak sebab biasanya luahan perasaan itu bukanlah luahan yang sebenar.  Selepas itu, ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah.  Misalnya, adakan masa untuk menonton cerita jenaka seketika.  Berhibur dan bergelak ketawalah sekeluarga.  Ini akan membuatkan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia kini bersedia untuk kembali belajar semula.  Ketika ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula.  Rancang bersama jadual ulangkaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.

2.  Tingkatkan Keyakinan Diri Anak

Keyakinan diri yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak.  Ada antara mereka yang memang telah membuat ulangkaji sejak awal lagi tetapi tetap rasa tidak yakin pada diri sendiri.  Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bahawa keyakinan itu datangnya dari persediaan.  Semakin bersedia anak kita maka semakin yakinlah mereka.  Persediaan ini pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-mata.  Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output) maklumat. 

Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya, dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan.  Proses mengeluarkan maklumat pula ialah menjawab soalan-soalan seperti membuat latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang telah diperolehi dalam proses mendapat maklumat itu tadi.  Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat  pengalaman.  Lebihkan proses latih tubi untuk mana-mana topik yang agak lemah atau bentuk soalan yang kurang dikuasai.  Seterusnya, perhebatkan simulasi iaitu menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan mengikut masa yang telah ditetapkan.  Lakukan proses simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang sebenar.

3.  Dorong Anak Secara Positif

Ibu bapa hendaklah sering memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang positif.  Apakah kata-kata positif?  Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila diucapkan akan menghasilkan gambaran minda yang juga positif. 

Misalnya:

bukan "Jangan buang masa" .... tapi ucapkanlah "Manfaatkan masa",

bukan "Jangan berputus asa"... tapi ucapkanlah "Berusahalah dengan lebih gigih lagi" atau "Mak percaya adik pasti BOLEH!",

bukan "Jangan kelam kabut".. tapi ucapkanlah "Banyakkanlah bertenang",

bukan "Elakkan kecuaian".. tapi ucapkanlah "Tingkatkan ketelitian dan lebih berhati-hati",

Malah banyak lagi contoh yang boleh diberikan.

4. Berikan  Kerjasama Sepenuhnya

Apabila seorang anak bakal menduduki peperiksaan penting maka keseluruhan ahli keluarga yang ada di dalam rumah hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya.  Antaranya, hormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar.  Misalnya ibu bapa boleh manfaatkan waktu itu untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah.  Adik kecil pula diberikan kertas dan pensil untuk menconteng.  Datuk dan nenek, kalau tinggal dirumah yang sama, gunakanlah waktu itu untuk membaca al-quran.  Begitulah juga dengan yang lain-lain.  Pastikan tidak seorang pun daripada ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang sedang bertungkus lumus menghadapi pelajarannya.  Dengan cara ini anak akan dapat merasakan bahawa perjuangannya dihargai.

5.  Kurangkan Aktiviti Luar

Elakkanlah daripada  terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti di luar seperti keluar membeli belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi saudara mara dan sebagainya.  Ingatlah setiap minit itu amat berharga untuk anak oleh itu pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaannya untuk menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak. Tambahan pula, kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan mereka terhadap perkara yang tidak diingini sama ada dari segi kesihatan atau keselamatan.

6.  Elakkan Anak Daripada  Tidur Lewat

Ada yang suka belajar hingga lewat malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka.  Jangan biarkan keadaan sebegini berlarutan.  Pastikan anak anda masuk tidur awal dan bangun awal.  Galakkan mereka membuat sedikit ulangkaji diwaktu awal pagi walaupun hanya untuk dua puluh atau tiga puluh minit.  Pada waktu ini fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman.  Banyak maklumat yang dibaca ketika ini akan diingat untuk tempoh masa yang lebih lama.

7.  Berikan Anak Pelepasan Tugas Harian

Berikanlah anak anda layanan yang istimewa semasa menjelangnya peperiksaan.  Berikan dia kebebasan daripada melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin hariannya seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.  Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik atau ibu bapa sendiri.   Dengan cara ini anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan bahawa seluruh ahli keluarga memang benar-benar mahu melihat dia cemerlang. Dia akan rasa bersalah sekiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua orang telah memberikan kerjasama.  Dia juga akan sentiasa mengharapkan suasana peperiksaan sebegini datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas.  Anak-anak yang lain tidak ada sebab untuk cemburu sebab apabila tiba masa mereka maka mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa.

8.  Nyatakan Ganjaran Dengan Jelas

Jangan biarkan anak anda berteka teki terhadap ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu diberikan kepadanya.  Kalau ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas.  Tunjukkan gambar tentang apa yang mahu anda berikan padanya.  Kalau ia suatu percutian, beritahu destinasi yang akan dilawati.  Dapatkan juga risalah tentang destinasi tersebut dan tunjukkan padanya.   Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak akan merangsang jiwa.  Misalnya, elakkan dari berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM maka emak akan bawa abang melancong", sebaliknya hendaklah kita berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM emak pasti bawa abang ke Langkawi, insyaAllah".

Pastikan apa jua ganjaran yang mahu diberikan,  anda mampu menunaikannya.  Kalau tidak anak akan hilang kepercayaan terhadap kita sebagai ibu bapa dan lain kali janji kita tidak diambil kisah lagi.

Ganjari juga usahanya bukan sekadar hasil atau pencapaiannya.  kalau kita tahu anak telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tetapi keputusan peperiksaan tidak seperti yang dimahukan maka berikanlah dia sesuatu sebagai menghargai penat lelahnya itu.

9.  Ambil Cuti

Inilah masanya untuk ibu bapa memberikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan.  Ambillah cuti beberapa hari dan usahakan untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan tersebut.  Sepanjang perjalanan terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya.  Ingatkan anak sekali lagi bahawa kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia peroleh, yang penting dia telah pun memberikan usaha yang terbaik.  Apa sahaja keputusannya kita terima dan bersyukur.


10.  Banyakkan Berdoa dan Solat hajat

Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna untuk seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu daripada kedua-dua ibu bapanya.  Oleh itu, inilah masanya untuk kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya agar dipermudah urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati.  Berdoalah dengan suara yang jelas agar didengar oleh anak dan biarlah dia mengaminkan doa kita itu.  Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa untuknya.  Dengan cara ini mereka akan lebih menghargainya. 

Semoga petua keibubapaan yang telah diberikan dapat membantu ibu bapa untuk menjadi lebih cemerlang.   Ingatlah, anak-anak bukan kita maka terimalah mereka seadanya.  Yang penting mereka lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka sendiri.

Penulis ialah Perunding Motivasi MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.


ISU GLOBAL : Bohong untuk nampak hebat


Peratus lelaki suka kelentong lebih tinggi

London : Satu daripada lima orang didapati berbohong kepada rakan mereka mengenai perkara seperti pekerjaan dan kereta dalam usaha untuk menampakkan mereka lebih berjaya, kata satu kajian. Penyelidikan mendapati bahawa sebanyak 21 peratus mengakui berbohong ketika mereka bersama dengan rakan dari sekolah dan universiti, lapor Daily Mail.

Paling terdesak

Golongan lelaki paling terdesak untuk menampakkan mereka lebih berjaya dengan sejumlah 55 peratus akan menokok tambah cerita mengenai jumlah pendapatan yang mereka peroleh.

Kajian terbabit juga mendapati bahawa sebanyak lapan peratus lelaki sering kali berpura-pura mendakwa mereka memandu kereta mahal.

Sementara itu, kira-kira 45 peratus wanita yang berbohong mendakwa bahawa mereka mempunyai kerja yang lebih glamour berbanding apa yang sebenarnya mereka buat.

Kebanyakan iaitu sebanyak 12 peratus juga berbohong untuk menampakkan mereka tinggal di kawasan yang lebih baik.

“Kita tinggal di satu masa di mana semua orang terdesak kepada sesiapa saja untuk menampakkan mereka sebaik yang mungkin,” kata pakar psikologi, Dr Linda Papadopulos.

Manipulasi

“Penggunaan Facebook orang ramai menunjukkan kita semakin menyedari bahawa bagaimana kita boleh menggunakan maklumat tertentu untuk memanipulasikan pemikiran orang lain terhadap kita.

“Dan orang ramai tidak lihat mengapa mereka perlu untuk menyatakan kebenaran. Jadi kita maklumkan kepada mereka poskod yang kita mahu atau kereta yang kita ada atau kita inginkan untuk membuatkan orang lain terpegun.”

“Perjumpaan semula sekolah atau perhimpunan rakan lama kolej boleh dipenuhi dengan banyak cerita tidak benar. Semua perasaan mengenai sama ada anda hebat atau sesuai akan muncul semula. Rasa tidak selamat ketika zaman kanak-kanak bermain semula di kepala apabila mereka bertemu dan mereka sering kali menipu untuk membuatkan orang ramai terpegun,” katanya.

Ketika perhimpunan itu menceritakan pengalaman mereka ke luar negara juga adalah satu kegemaran di mana 26 peratus mendakwa mereka lebih banyak mengembara berbanding keadaan sebenar.

Satu dalam enam atau kira-kira 17 peratus mengakui bahawa mereka akan berbohong mengenai status hubungan, mungkin bertujuan untuk bertaut semula dengan rakan lama.

Dan satu dalam 17 lelaki atau enam peratus mengakui mereka menyertai perjumpaan semula rakan sekolah sekadar untuk bermegah mengenai pencapaian mereka. - Agensi