Jumaat, 7 September 2012

ISU BAHASA : Matlob, munsyi bahasa terakhir


Oleh : Johan Jaaffar
 
Bagi kami yang belajar di Peserian Primary English School, Semerah, Batu Pahat, Johor pada tahun-tahun 60-an, tidak mudah untuk menguasai Bahasa Melayu (BM). BM diajar sebagai sampingan dan tidak diwajibkan.

Sejak Darjah Satu kami hanya didendangkan dengan kisah menawan dari Aesop Fables, cerita kanak-kanak Inggeris yang memukau dan nursery rhymes yang memikat. Kami dimaklumkan tentang kisah kehebatan seorang pengarang drama Inggeris bernama William Shakespeare. Pada waktu sama, banyak novelis dan penyair Inggeris yang kami kenal. Sehinggalah muncul Cikgu Mokhtar bin Talib atau lebih dikenali dengan nama samaran ‘Matlob’ dalam hidup kami. Apabila kami berpindah ke Sekolah Menengah Semerah (SMS) dalam aliran Inggeris (sekolah itu mempunyai dua aliran ketika itu) pada tahun 1966 beliau mengajar di Sekolah Convent Batu Pahat. Beliau mula mengajar BM di SMS pada tahun 1967.

Beliau membuka cakerawala baru bahasa dan sastera Melayu. Kami diperkenalkan dengan cerita rakyat dari Pak Pandir hingga Si Luncai, cerita teladan seperti Batu Belah Batu Bertangkup dan Si Tenggang, fantasi Malim Dewa dan Malim Deman, juga khazanah puisi Melayu seperti pantun, syair, gurindam dan seloka.

Beliau sendiri seorang penulis terkenal pada masa itu - menulis cerita kanak-kanak, cerpen, sajak, drama dan rencana. Beliau juga aktif dengan Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Persatuan Peminat Bahasa dan Sastera Muar (PPBSM). Beliau juga mengendalikan pelbagai ruangan di akhbar sejak awal tahun 60-an lagi, antaranya ‘Mari Berfikir’ di Utusan Kanak-Kanak, Singapura, ‘Ruangan Pelajar’ di Mingguan Malaysia, ‘Taman Sains’ di Utusan Pelajar, ‘Sudut Pencari Ilmu’ di Berita Harian, Singapura dan lain-lain.

Beliau juga dianggap ‘pandai Jawi’ (istilah untuk munsyi atau pakar tulisan Jawi) yang bukan saja menjadi sumber rujukan pelbagai pihak termasuk menjadi pakar rujuk ejaan Jawi baru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudiannya. Pada ketika itu, beliau juga penasihat pada percetakan Pustaka Nasional, Singapura. Pendeknya Matlob yang mengajar kami di SMS itu bukan sebarangan guru.

Matlob juga telah mengasaskan Persatuan Penulis Sekolah Menengah Semerah pada tahun 1967 bersama-sama Cikgu Ismail Adnan. Saya percaya itu merupakan persatuan penulis pertama diwujudkan di mana-mana sekolah di Malaysia. Saya salah seorang ahli persatuan itu. Beberapa orang ahlinya telah mencipta nama dalam bidang penulisan walaupun tidak bertahan lama, di antaranya M Hanafiah A Samad, Saerah Atan, Noraini Md Lassim dan Rahimah Md Yassin. Matlob pernah membawa kami menyaksikan ‘Malam Memperingati Jymy Asmara’ salah seorang tokoh Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) di DBP pada bulan Mac 1970.

Apa yang unik mengenai Matlob ialah beliau tidak pernah menggunakan buku teks yang ditetapkan oleh kementerian. Beliau menggunakan buku sendiri, yang disikostil dan diedarkan secara percuma pada pelajar. Buku-buku itu unik kerana kandungannya disesuaikan untuk keperluan kami. Saya masih ingat beliau memperkenalkan pada kami istilah ‘lokarindam’ (gandingan ‘seloka’ dan ‘gurindam’ bagi membawa maksud ‘runs’ atau rangkap puisi dalam teks sastera lama.

Saya harus mengakui bahawa Matlob banyak mempengaruhi pembentukan BM saya. Beliau banyak menegur saya tentang kecenderungan saya ‘menterjemah’ konsep atau idea dari BI. Menurut beliau, saya harus berfikir dalam BM dan ‘menjadi orang Melayu’ apabila menulis dalam BM, begitulah sebaliknya.

Beliau menekankan peri pentingnya membuat karangan dan meringkaskan karangan kerana bahasa yang baik bermula dari kepandaian tersebut. Saya mendapat asas yang kukuh dalam BM melalui tunjuk ajar beliau. Saya terhutang budi kerana beliau memperkenalkan pada saya makna penguasaan bahasa sebenar. Dan tentang menulis sebagai satu seni dan kemahiran. Beliau sendiri banyak membantu saya untuk menerbitkan karya saya di ruangan-ruangan yang beliau kelolakan.

Malah dalam usia yang sangat muda, dua buah novel kanak-kanak saya, Api Di Tanah Perkuburan dan Misteri Pulau Batu telah diterbitkan oleh Pustaka Nasional, hasil suntingan Matlob. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (1992 hingga 1998) saya telah melantik beliau menjadi Ketua Unit Pendidikan Jawi syarikat berkenaan.

Dalam karier penulisan saya kemudiannya saya mungkin tidak bersetuju dengan disiplin ilmu bahasa Matlob. Hal ini tidaklah menghairankan. Bahasa sifatnya dinamis. Matlob mewakili era yang lain. Saya tidak rigid seperti beliau dalam kaedah berbahasa. Tetapi saya bangga bahawa beliau memberikan asas BM yang kukuh, seperti juga Master Ismail, guru bahasa Inggeris dan guru besar Peserian Primary English School mencorakkan BI saya.

Cara dan kaedah pengajaran bahasa dan sastera sudah jauh berubah. Tetapi ‘Kaedah Matlob’ sesuatu yang unik dan istimewa. Munsyi bahasa seperti beliau semakin berakhir, tetapi bagi kami yang pernah mengikuti sistem itu, kesannya hebat dan berkekalan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Politik kita memang caca merba?

Ada yang tunjuk kemaluan pada gambar pemimpin, kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi.-Gambar hiasan

 Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik, tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan kehilangan adab sopan. Ada yang tunjuk kemaluan, ada yang memijak gambar pemimpin tertentu, ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, menarikan tarian punggung dan pelbagai lagi. Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.

Disiplin

Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik. Insan itu walau apa pun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi sama ada daripada agama ataupun budaya. Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi. Dalam hadis, apabila Rasulullah SAW mengirimkan pasukan tentera maka Baginda bersabda: “Keluarlah kamu ( ke medan jihad) dengan nama ALLAH SWT, perangilah di jalan ALLAH SWT sesiapa yang kufur dengan ALLAH SWT. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadis ini hasan”).

Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan. Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam.

Lihatlah apa yang ALLAH SWT tegaskan kepada orang Islam yang berperang dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka: (maksudnya): “Dan perangilah di jalan ALLAH SWT orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya ALLAH SWT tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. (Surah al-Baqarah: 190).

Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi bersabda: “Manusia yang paling ALLAH SWT benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar’ dan tidak beradab itu hari ini mereka biadab dengan musuh politik mereka, besok kebiadaban itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.
  
Piawaian

Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan. Jika kita berikan nasihat ‘mengapa awak londeh seluar dan tunjuk kemaluan kepada gambar pemimpin tertentu’, maka akan ada yang menjawab ‘mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat’. Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka. Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik daripada lawan mereka. Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk. Itu belum lagi datang ‘geng agama’ parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing. Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti!

Ustaz muda

Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala dalil dibawa, segala sirah salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan itu Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar bin al-Khattab. Dalil-dalil agama dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwilkan dengan sejuta pentafsiran. Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh. Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahi mungkar. Maka perhimpunan di Kuala Lumpur oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan. Jika pemimpin kerajaan parti lain yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka. Namun jika pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka. 

Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama’. Maka tidak pelik jika ALLAH SWT menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman ALLAH SWT: “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia daripada kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).

Fatwa artis

Di celahan itu yang menarik hari ini, artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan-akan sudah menjadi ‘sarjana Islam’. Mula mengeluarkan hukum ke atas orang lain. Sambutannya hebat. Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan’ yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz’ dibayar seratus dua, tetapi artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah. Namun jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel’, tidaklah seberapa sambutan dan bayarannya. Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik Islam bukan mudah untuk dihuraikan. Politik memerlukan kefahaman tentang maslahat dan maqasid syarak. Suatu ilmu yang memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang tanda-tanda akhir zaman.

“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta,  dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim  menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan ahlinya.

Apa pun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada’ dan semua boleh. Dulu ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi politik, kita angkut!

Sumber : http://drmaza.com/ 

ISU PENDIDIKAN : Meneutralkan agenda pendidikan


Oleh : Khairuddin Mohd Zain

PERBUALAN penulis dengan seorang rakan lama berbangsa Tiong Hua baru-baru ini banyak berbincang mengenai masa depan pendidikan anak perempuannya yang masih kecil. Dia ada beberapa pilihan. Membiarkan anaknya yang berumur 7 tahun bersekolah di sebuah pekan kecil di Muar, dan terus tinggal bersama datuk dan neneknya. Ataupun membawa anaknya datang ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, dia juga mempunyai pilihan. Menghantar anaknya ke sebuah sekolah kebangsaan di pinggir bandar - ataupun menghantarnya ke sebuah sekolah jenis kebangsaan berhampiran tempat kerja.

Setakat kelmarin, dia masih belum membuat keputusan. Namun dia bertanyakan penulis mengenai kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan. Secara kebetulan, anak penulis berada di salah sebuah sekolah kebangsaan yang juga punya sedikit reputasi dan nama sebagai sebuah sekolah yang baik dan cemerlang.

Syukur, dengan komitmen pentadbiran yang baik, para pendidik yang bersemangat tinggi, kelompok ibu bapa yang sanggup membantu; secara keseluruhannya prestasi sekolah tersebut berada pada tahap yang boleh dianggap baik.

Namun, rakan tersebut menzahirkan kerisauan bahawa wujudnya trend yang sangat nyata di dalam media cetak (berbahasa Cina) yang membicarakan isu dan agenda pendidikan melalui kaca mata politik. Trend ini tidak begitu disenangi oleh rakan penulis. Dia khuatir, dengan agenda pendidikan yang terlalu direncahkan dengan ‘matlamat dan keinginan politik’, banyak isu yang fundamental dan asas akan menjadi cacamarba.

Kewujudan kumpulan-kumpulan pendesak yang mentafsirkan masa hadapan pendidikan melalui perspektif yang ada kalanya kedengaran sangat politikal ini boleh menjemput masalah jangka panjang.

Trend ini menjadi semakin hebat menjelang musim dan tempoh pilihan raya. Kumpulan-kumpulan tertentu mengambil peluang menyatakan pandangan dengan semangat yang tidak lagi neutral, sebaliknya dipenuhi dengan niat politik.

Kecenderungan untuk menyampaikan hasrat, kemahuan dan kehendak dengan cara yang terlalu mendesak, tanpa memikirkan gambaran besar kepada sesuatu isu mungkin sahaja menyebabkan situasi yang emosional.

Sememangnya, masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang untuk menilai, mengkaji dan menyatakan pandangan mengenai isu pendidikan melalui perspektif yang sangat neutral dan tidak memihak. Benar, kita mungkin mewakili wajah dan aspirasi persatuan dan kumpulan masing-masing, namun ia perlu dimurnikan dengan visi dan cita-cita besar kita sebagai bangsa Malaysia. Mungkin mudah untuk kita menggunakan asas emosi dan sentimen - namun apakah kita sebenarnya sudah menjadi seorang dan kalangan warga yang rasional dan berpandangan jauh?

Apa yang sering bermain di minda dan pemikiran ibu bapa adalah keperluan anak mereka mendapat ruang dan peluang menikmati pendidikan berkualiti di mana sahaja di Malaysia. Seharusnya, tiada jurang yang terlalu menjarak antara sebuah sekolah di pedalaman Sarawak, dengan sebuah sekolah lain yang berada di pinggir kawasan Gombak, misalannya.

Peluang dan kemudahan seharusnya tidak terlalu jauh berbeza. Ini satu perkara yang paling asas. Usaha bersungguh-sungguh mestilah dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat pendemokrasian pendidikan berkualiti menjelang tahun 2020 nanti.

Sewajarnyalah, dalam hal berkaitan penambahbaikan sistem pendidikan, ia memerlukan satu mekanisme penilaian yang neutral dan berpandangan jauh. Isu pendidikan ini melibatkan pembangunan generasi. Justeru, kita tidak punya banyak pilihan kecuali memikirkannya dengan sebaik-baik dan selengkap mungkin.

Masyarakat Malaysia, secara umumnya, perlu menzahirkan rasa bertuah kerana isu pendidikan ini tidak lagi menjadi dasar yang ‘tertutup dan menjadi hak mutlak’ sebilangan kecil mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan semata-mata.

Langkah yang dilakukan Kementerian Pelajaran (KPM) membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk memberikan pandangan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN 2012) adalah satu contoh yang sangat relevan. Isu pendidikan tidak lagi terkongkong di kalangan penjawat awam semata-mata, malahan melibatkan kelompok yang lebih besar.

Dialog ini diadakan secara terbuka dan tanpa sekatan. Ibu bapa, guru mahupun siapa sahaja boleh mengemukakan pandangan, yang akhirnya akan dinilai secara objektif dan komprehensif. Kali ini, agenda pendidikan benar-benar mengalami proses pendemokrasian maklum balas hampir di seluruh negara. Sudah barang tentu, ia membuka ruang secukupnya, untuk semua pemegang taruh (cagaran) mengemukakan apa sahaja pandangan yang dirasakan perlu untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Masyarakat perlu realistik, bahawa tidak mungkin semua pandangan akan diterima dan diangkat sebagai asas penambahbaikan pendidikan negara. Ia perlu disesuaikan dengan gambaran besar visi nasional menjelang tarikh penting 2020 nanti. Pejam celik, perjalanannya hanya tinggal lapan tahun yang akan datang. Apa yang diperlukan pada ketika ini adalah perubahan yang lebih holistik dan menyeluruh.

Menurut sumber umum KPM, melalui apa yang dipanggil sebagai Pelan Strategik Interim KPM 2010-2020, banyak perkara yang akan diberikan fokus dan perhatian. Ini termasuklah perkara seperti pengukuhan struktur persekolahan, transformasi kurikulum dan kokurikulum, peneguhan inovasi dan kreativiti, pendidikan vokasional, pendidikan pra-sekolah dan banyak lagi. Demikianlah luasnya perimeter pertanggungjawaban agenda pendidikan di negara bertuah kita ini.

Segala komitmen dan kesungguhan KPM dan kerajaan untuk membuka ruang maklum balas mengenai isu pendidikan ini wajar dihargai. Mungkin seiring dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa zaman kerajaan tahu semua sudah berlalu, segalanya kini diletakkan dalam arena diskusi yang lebih terbuka.

Kesediaan kerajaan membuka ruang sedemikian luas, diharapkan dapat menzahirkan cadangan-cadangan tuntas untuk masa hadapan pendidikan yang lebih baik.

Kesemua pemegang taruh yang terkait dengan isu pendidikan perlu membuka minda, meneutralkan hala pandangan agar tidak menilai dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara dan cadangan pembaharuan pendidikan dengan seobjektif mungkin. Ini bukan masanya untuk kita bersikap sinikal dengan segala cadangan yang bakal dikemukakan. Mungkin soalan yang lebih layak ditanya - bagaimana kita sebagai masyarakat boleh membantu usaha penambahbaikan yang bakal dicadangkan nanti?

Tidak ada satu sistem pendidikan yang sempurna secara keseluruhannya. Di kalangan negara maju juga, sentiasa mencari rentak untuk memperbaiki sistem sedia ada. Sesuai dengan status dan kedudukan ‘pendidikan’ sebagai sesuatu yang dinamik dan sentiasa berubah, kesediaan kerajaan untuk melihat semula jajaran pendidikan sedia ada perlu disokong dengan sebaik-baiknya.

Kita juga mengharapkan, buat kali ini, tidak ada perspektif politik yang boleh memberatkan pandangan kepada apa sahaja cadangan yang bakal dikemukakan. Elemen neutraliti, keterbukaan minda, kesediaan menerima perubahan akan menjadikan agenda pendidikan lebih mudah dihadam dan dihayati oleh keseluruhan rakyat. Masa depan negara akan banyak bergantung kepada kesediaan kita menerima keperluan perubahan yang dirasakan wajar.

Suara kita, suara rakyat, sudah diberikan ruang secukupnya oleh kerajaan dalam merencana agenda pendidikan. Memang mudah untuk kita menggunakan sentimen, mempamerkan lesen besar untuk membangkang dan membantah - namun ia menjadi sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab sekiranya tidak dituruti dengan idea dan pandangan bernas.

Pandangan yang neutral, tidak terbias dengan kepentingan politik dan undi pilihan raya, akan memberikan ruang yang lebih baik untuk agenda pendidikan dibicarakan secara holistik dan sepadu. Barang diingat, kita bakal merencana jalan hadapan untuk anak-anak dan generasi baru Malaysia. Molek agaknya, kita tinggalkan sentimen politik, perjuangan ras yang terlalu ekstrim dalam perencanaan agenda pendidikan sepenting ini.

PENULIS ialah penganalisis sosial.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Inisiatif agama pulihara alam


Oleh Azrina Sobian
 
Lihat di sekeliling kita, satu persatu masalah alam sekitar boleh dikenal pasti. Daripada masalah bersifat tempatan seperti banjir, tanah runtuh serta peningkatan jumlah sampah hinggalah kepada masalah merentasi sempadan seperti jerebu dan hujan asid.

Tidak ketinggalan masalah alam sekitar yang bersifat global seperti masalah penipisan ozon dan pemanasan global. Semua masalah ini pastinya menjanjikan kehidupan tidak enak bagi keseluruhan umat manusia. Oleh sebab kehidupan moden manusia dan masalah alam sekitar tidak mungkin dipisahkan, maka jalan penyelesaian kepada masalah ini amat diperlukan. Penyelesaian holistik termasuk aspek sosial, ekonomi, politik, sains dan teknologi adalah gabungan terbaik menyelesaikan masalah persekitaran.

Adab manusia terhadap alam

Usaha menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar juga wajar diteroka. Harapan kita cuma satu, supaya saluran agama dapat membantu menyentuh hati dan menjadikan manusia beradab terhadap alam ini.

Walaupun ia agak asing di Malaysia, namun usaha ini sudah menjadi kebiasaan pada peringkat antarabangsa.

Contohnya, usaha Jawatankuasa Bantuan Kebuluran Oxford (Oxfam) bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan Muslim Aid yang membantu umat Islam di beberapa negara seperti Bangladesh, Bosnia, Kemboja, Gambia, Indonesia, India, Iraq, Jordan, Kenya, Lebanon, Pakistan, Somalia, Sri Lanka dan Sudan.

Begitu juga usaha Aga Khan Development Network, kumpulan Muslim yang membantu masyarakat di negara membangun. Persekutuan Hidupan Liar Sedunia (WWF) yang telah sekian lama bekerjasama dengan pelbagai kumpulan agama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Malah, Bank Dunia turut bekerjasama dengan komuniti agama untuk mengurangkan kemiskinan dan mempromosikan pemuliharaan alam sekitar di negara membangun.

Merujuk khusus kepada agama Islam, usaha menggabungkan agama dalam program pemuliharaan alam sekitar wajar dilakukan kerana, agama, komuniti serta negara Islam tidak terkecuali berhadapan pelbagai masalah alam sekitar.

Sebahagian besar masyarakat Islam kini hidup di negara dikategorikan sebagai negara membangun dan miskin. Bagi negara Islam membangun, tekanan untuk membentuk kekayaan atau menjadi negara maju menyebabkan pembangunan menjadi keutamaan berbanding pemuliharaan alam sekitar.

Bagi negara miskin pula, kemiskinan dan hutang negara menyebabkan berlakunya penghakisan sumber alam secara intensif demi untuk melunaskan hutang negara mahupun sekadar untuk memastikan kelangsungan hidup rakyatnya.

Pada masa sama, kehidupan dan keyakinan beragama yang masih menjadi pegangan masyarakat Islam di seluruh dunia, mahupun Malaysia seharusnya menjadi satu motivasi yang kuat untuk menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar.

Ketua agama sertai program kesedaran

Rasa yakin dan hormat kepada ketua agama pula memungkinkan individu ini menjadi ‘watak utama’ dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Di seluruh dunia, usaha membabitkan ketua agama dalam pelbagai program kesedaran bukanlah satu perkara baru.

Di Pakistan dan beberapa negara Afrika, pembabitan ketua agama dalam program kesedaran HIV/AIDS dan kesihatan reproduktif menunjukkan tahap kejayaan membanggakan. Oleh itu, jika usaha ini boleh dilakukan kenapa tidak ia dilaksanakan dalam program pemuliharaan alam sekitar?

Di Malaysia, sudah ada usaha menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar seperti dapat dilihat daripada usaha WWF Malaysia mengajak imam dalam rancangan pemuliharaan Penyu di Terengganu dan pemuliharaan harimau di Perak.

Contoh lain, beberapa surau dan masjid di sekitar Selangor terbabit program kitar semula minyak masak untuk biodiesel. Namun usaha ini belum begitu menyeluruh. Oleh itu, perlu ada usaha meningkatkan kerjasama agama, ketua agama dan komuniti agama dalam program pemuliharaan alam sekitar.

Pertubuhan bukan kerajaan Islam serta program dialog antara agama masa kini terlalu memberikan perhatian terhadap isu mempertahankan kepercayaan dan kedudukan agama. Isu alam sekitar kurang diberikan perhatian.

Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya hal ini diubah dan alam sekitar menjadi satu agenda penting dalam manifesto serta kegiatan pelbagai pertubuhan berasaskan Islam di negara ini. Lagipun, di Malaysia terdapat begitu banyak surau, masjid serta sekolah agama.

Cuba bayangkan jika setiap satu institusi ini menjalankan aktiviti pemuliharaan alam sekitar, sudah pasti ini akan memberi kesan yang baik terhadap usaha pemuliharaan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 6 September 2012

ISU SOSIAL : Apakah kita berada di ambang keruntuhan akhlak?


Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM

ISTILAH akhlak bebeza dari istilah adab pada umumnya. Di dalam budaya kita apabila disebut adab, maka yang difokuskan ialah adab pergaulan kita, adat dalam sistem sosial orang Melayu, terutamanya di antara anak-anak dan orang tua, seperti ketika sekumpulan orang-orang tua sedang  berbual sesama sendiri, maka kanak-kanak tidaklah boleh masuk campur, ketika orang tua duduk di atas lantai, kanak-kanak tidak boleh duduk di atas kerusi, atau tempat yang lebih tinggi dari tempat duduk orang tua, dan ketika orang tua duduk, kanak-kanak tidak boleh melintas dari belakang, haruslah lintas di hadapan dengan menundukkan badan dan menghulur tangan ke bawah atau kalau terpaksa melintas dari belakang juga, maka hendaklah minta izin nak lalu di belakang.

Inilah contoh beberapa adat tradisi orang Melayu, yang termasuk dalam adab sopan kita, dan hal yang sama juga dapat dikatakan ketika hendak makan, minum, bercakap dan sebagainya iaitu ketika makan hendaklah ambil lauk pauk yang di depan dulu, kemudian baru ambil yang jauh, kalau minum hendaklah dalam keadaan duduk, kalau tak ada kerusi pun duduklah di atas lantai, atau kalau tempat itu tak sesuai untuk duduk terus seperti di atas tanah lumpur atau pasir pantai yang basah dan sebagainya, hendaklah duduk mencangkung.

Inilah sebenarnya adab atau adat budaya kita yang diamalkan turun- temurun, tetapi  kini mulai terhakis atau tidak langsung diketahui oleh anak-anak kita bahawa kita mempunyai satu set adat dan adab seperti itu.

Mereka tidak pernah mengetahui bahawa ketika melintas di hadapan orang, mereka harus tunduk dengan menghulurkan tangan ke bawah, atau ketika minum mereka haruslah mencari tempat duduk, terutamanya ketika majlis-majlis seperti makan bufet pada masa kini yang tidak mempunyai tempat duduk, seperti kerusi, maka orang yang makan dan minum akan merasa lebeh senang berdiri saja.

Bagaimanapun kehakisan adab dan adat ini tidaklah sangat memberi kesan buruk kepada tatacara kelakuan dan adab sopan kita secara menyeluruh, sungguhpun dalam banyak keadaan kita masih memerlukan adat dan budaya ini, seperti yang masih hidup segar di kalangan masyarakat Jepun umpamanya yang masih tebal dan amat komited mengamalkan adab dan budaya ini hingga ke saat ini.

Bagaimanapun adat dan adab budaya ini tidaklah melibatkan dosa pahala secara langsung seperti hukum-hukum agama yang muktamad.

Saya menulis hal di atas adalah untuk cuba menonjolkan definisi "akhlak" termasuk dari pengertian agama kita sendiri. Ketika dijelaskan oleh Baginda Rasulullah SAW bahawa baginda diutuskan hanya sanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (di kalangan manusia) maka akhlak yang dimaksudkan ini adalah lebeh besar makna dan konsepnya dari pengertian adab dan adat yang kita fahami dari masyarakt Melayu kita.

Malah ketika ALLAH SWT menerangkan tentang sifat kecemerlangan Nabi Muhammad SAW dengan firmannya "Bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) yang mempunyai akhlak yang amat tinggi" maka pengertian akhlak ini juga adalah amat luas dan menyeluruh, yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia ini atas sifat individu dan masyarakat, masyarakat setempat dan masyarakat sejagat yang merentasi komuniti, bangsa, budaya dan adat tertentu, kerana akhlak dalam pengertian ini adalah termasuk dalam amalan agama yang baik sesuai dengan ajaran agama Islam sendiri sebagai satu modul akhlak Islamiah yang universal.

Akhlak ini juga merangkumi adab dan tingkah laku, perbuatan, perkataan, eskpresi diri dalam percakapan dan tulisan, perilaku peribadi atau jemaah dalam diri sendiri, dalam keluarga, masyarakat terhad atau masyarakat seluruhnya meliputi masyarakat alam manusia dan haiwan, alam tabi'e dan angkasa lepas.

Inilah pengertian akhlak dalam agama kita iaitu tingkah laku dan perbuatan manusia ketika menghayati nilai-nilai hidup dalam akidah dan syariah juga ihsan. Maka dalam konteks mencontohi akhlak Rasulullah SAW inilah keseluruhan, dukacita sekali bahawa masyarakat Islam di dunia ini telah mengalami kerisis yang amat serius.

Masyarakat Islam mengalami krisis moral dan akhlak yang amat serius kini, seperti yang berlaku ketika umat Islam mengambil jalan kekerasan untuk menyelesaikan masalah mereka, menumpah darah dan berbunuhan ketika mengalami kerisis pemikiran kerana perbezaan kefahaman dan mazhab, menggadai nyawa dan harta benda ketika mencari penyelesaian kepimpinan dan politik negara, atau sekurang-kurangnya menabur fitnah dan permusuhan serta rasa benci dan hasad dengki sesama sendiri ketika mencari kepentingan sendiri atau kelompok yang tertentu.

Krisis akhlak dan moral yang serius inilah yang sedang kita melihatnya di dalam dunia Arab pada masa kini iaitu keganasan dan peperangan yang berlaku sesama sendiri yang mengakibatkan kerisis kemanusiaan yang serius, kehilangan nyawa, pelarian perang, kebuluran, penderitaan, penyakit dan sebagainya.

Memang dari satu segi kita bersimpati dengan kebanyakan rakyat beberapa negara Islam dan Arab yang tertentu sehinggaa menimbulkan pemberontakan dan keganasan iaitu kerana dasar ketua negara atau negara tersebut yang tidak mengamalkan demokrasi sebenarnya di dalam pemerintahan, ketidak adilan dalam pengagihan harta kekayaan negara, dasar kroni dan berat sebelah serta beberapa amalan lainnya yang menyebabkan banyak kepincangan dalam masyarakat seperti kelemahan ekonomi yang menyebabkan pengangguran, kenaikan harga barang, kadar gaji pekerja yang kecil, malah dalam bidang politik dan pemerintahan negara, rakyat tidak dapat bersuara, termasuk tidak dapat menyatakan suara mereka dalam menentukan kerajaan kerana tidak ada pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

Maka dalam keadaan ini rakyat umumnya merasa terdesak untuk  menyatakan perasaan mereka dengan demonstrasi ganas dan berdarah, dan kerajaan pula membalas keganasan itu dengan keganasan yang lebih banyak memakan korban nyawa dan kemusnahan harta benda serta kerisis kemanusiaan yang lainnya.

Maka di sinilah berlakunya amalan dan tindakan dari rakyat dan kerajaan yang tidak selaras dengan akhlak Islamiah, ketika Islam telah meletakkan prinsip-prinsip tertentu dalam hubungan di antara rakyat dan pihak berkuasa, di antara rakyat sesama rakyat, di dalam prinsip syura, di dalam dasar toleransi dan persaudaraan, serta dasar keamanan lainnya.

Maka dalam hal inilah saya melihat bahawa  dalam perkembangan terakhir yang berlaku di dalam negara kita juga terdapat bibit-bibit keruntuhan akhlak dan moral Islam ini ketika berlaku fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain, taksub partisan yang melampau, malah terdapat ssuara dan perbuatan yang menuju kepada matlamat keganasan dan kekerasan seperti yang berlaku dalam perkembangan "Arab Spring" sedangkan isu negara dan pemerintah negara-negara yang bergolak dengan keganasan dan perang saudara itu sebenarnya tidak dikaji dengan halusi untuk menjustifikasikan kehadiran "Arab Spring" di negara kita ini.

Perbuatan biadab yang mencemarkan adab dan adat tradisi budaya kita sekarang ini nampaknya telah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita.

Orang-orang muda telah melupai nilai budaya dan adab sopan mereka kerana golongan yang lebih tua dan matang telah mengajar atau menginspirasi kepada mereka supaya melakukan perkara-perkara yang melanggar adab sopan dan nilai-nilai akhlak Islamiah ini atas alasan menuntut keadilan, kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan sebagainya, sedangkan Islam mengajar berbagai cara untuk menyelesaikan masalah, mengurus konflik dan mengamalkan kelakuan yang bersopan dan bertamadun dalam tindakan, tulisan, percakapan dan sebagainya, tetapi hal ini tidak dihiraukan lagi, kerana "mentor" mereka telah menunjukkan "contoh" yang seharusnya  mereka tiru dan ikuti ini.

Saya rasa kita mungkin boleh bertolak ansur sekiranya anak-anak kita makan dan minum berdiri, atau ikut berbual dengan orang-orang  tua dan sebagainya kerana hal itu adalah merupakan adat dan adab bagi bangsa kita, tetapi memaki hamun, memijak gambar orang, melakukan kekerasan kepada penjaga keamanan, membuat fitnah dan tuduhan melulu kepada institusi yang menjalankan tugas untuk menegakkan demokrasi dan kesejahteraan masyarakat, menulis komen-komen yang lucah dan biadab terhadap orang lain, maka semuanya ini adalah terang-terangan bercanggah denga akhlak yang diajar oleh Islam, dan melanggar ajaran agama adalah satu dosa kepada ALLAH SWT, bukan hanya melanggar adab dan budaya bangsa seperti makan dan minum dalam keadaan berdiri atau melintas depan orang tanpa menundukkan kepala dan sebagainya.

Kita seharusnya segera menerapkan ajaran kepada generasi muda kita, terutamanya dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik, bahawa akhlak Islam adalah sesuatu yang wajib dipatuhi, bukan seperti adat tradisi kita yang boleh diikut atau tidak mengikut cita rasa masing-masing. Melanggar akhlak Islam adalah bererti melakukan mungkar dan perbuatan dosa, bukan kepada budaya dan adat bangsa, malah kepada agama dan ALLAH SWT.

Penulis ialah  bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Formula kekalkan kemerdekaan negara


Oleh : MOHD ALI MUHAMAD DON

KEMERIAHAN Syawal masih lagi terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah semangat 1Malaysia.

Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza.

Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.

Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.

Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa disedari.

Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.

Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.

Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.

Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan.

Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.

Untuk itu, semua individu yang cinta  akan  negara haruslah berjuang meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti.

Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.

Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan.

Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas kepentingan kendiri.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Lalui hidup tenang dengan 'memerdekakan diri' daripada hutang-piutang


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

HUTANG adalah perkataan yang paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Apabila menerima gaji, waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran air sungai yang deras.

Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji.

Hutang rumah, kereta, pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang. Apabila diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan penjamin yang merana.

Rekod Jabatan Insolvensi (Jun 2012) menunjukkan sebanyak 116,379 kes muflis di negara ini dilaporkan di antara 2005 hingga April 2012. Sebanyak 20 peratus melibatkan individu berusia kurang 35 tahun. 32 peratus melibatkan golongan umur 35 hingga 44 tahun. Sebanyak 18 peratus melibatkan usia 45 hingga 54 tahun. Sebanyak 25 peratus kes muflis disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi (13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11 peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit.

Mengikut perkiraan awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain, masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara, ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara pembayaran yang efisien.

Bersembang tentang hutang ini, perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online yang sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di hujung jari sahaja. Saya tidak begitu mahir dengan shopping online tetapi rakan-rakan sekerja hanya melayari Internet dan dapat membeli apa sahaja yang diinginkan dengan mudah, cepat dengan harga berpatutan. Barangan yang dihantar pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.

Itu juga punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit atau charge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.

Insiden yang ingin saya kongsikan bersama adalah wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan. Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain pula.

Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%) berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood.

Kawan saya, Adi memberitahu bahawa isterinya terlalu gila membeli-belah sehingga perbelanjaan sebulan mencecah RM5,000. Akhirnya, Adi terpaksa mematahkan kad kredit di depan isterinya demi menyelamatkan masalah hutang yang semakin tinggi dan rumah tangga, dengan memilih memerdekakan diri daripada hutang. Ini berbeza dengan seorang kakitangan awam yang bersara, Sarjan Rohani pernah memberitahu saya bahawa tidak ada istilah hutang dalam hidupnya. Dia tidak suka berhutang kerana katanya malam-malam dia tidak boleh tidur jika berhutang. Semua keperluan akan dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya, apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank menelefon setiap bulan.

Bercakap tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000 peminjam disekat keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita meminjam maka hutang perlu dibayar.

Menurut Datuk Ismail Mohamad Salleh, Pengerusi PTPTN kepada Kosmo! baru-baru ini, seramai 70% peminjam tabung melunaskan hutang. Namun begitu, sebanyak satu peratus caj perkhidmatan pentadbiran atau ujrah akan dicajkan kepada yang belum membayar dan amat relevan jika dibandingkan dengan 4% dari bank-bank lain. Sebanyak RM44 bilion peruntukan telah dipinjamkan kepada 1.94 juta penuntut dalam dan luar negara.

Peraturan asas pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, " besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit, mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans.

Merdeka dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Kita baharu menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dengan tema 'Janji Ditepati'. Janji kita tepati dengan ukur baju di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.

Belanja mengikut kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam?

Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu. Merdeka! Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/