Isnin, 10 September 2012

ISU KESIHATAN : Makanan tentukan kesihatan diri


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
         
TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga mengabaikan kesihatan  diri demi mencapai kejayaan yang bersifat materialistik.

Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga menyebabkan seseorang itu menjadi murung.

Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.

Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.

Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan baik.

Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.

"Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.

"Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit kering," katanya.

Beliau berkata, hal yang sebaliknya akan berlaku apabila seseorang gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.

Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya dan kulit kusam.

Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.

Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan mungkin mudah naik marah.

"Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat besi dan protein memberi kesan pada tubuh.

"Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh," katanya.

Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.

Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain, sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.

"Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan," katanya.

Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh kesihatan mental yang baik.

Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

"Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira, manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda yang sihat.

"Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.

"Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan diri dengan perkara berfaedah," katanya.

Cara mendapat minda yang sihat:

Tahu keupayaan diri sendiri
Mengambil pemakanan seimbang
Berfikiran terbuka
Berfikir secara positif
Reda dengan dugaan
Sibukkan diri dengan aktiviti berfaedah
Beriadah
Berkawan dengan ramai orang
Bersolat dan berdoa
Kongsi perasaan

Kesan mental tidak tenang:

Kulit menjadi kering dan kusam
Timbul ruam
Hormon bercelaru
Penampilan kusut
Mudah tersinggung
Mudah penat
Mudah diserang penyakit

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Era Baru Pendidikan



Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Kajian ambil kira suara rakyat
        
MELANGKAH ke era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional serta menepati standard global.

Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu berdepan perubahan besar.

Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh dibanggakan.

Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar.

Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh.

“Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia pendidikan yang serba pantas.

“Penekanan terhadap dua aspek itu antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab.

“Dalam tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh bersaing di persada dunia antarabangsa,” katanya.

Sistem pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada ke tahap terbaik.

“Pelbagai aspek akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju dalam sektor pendidikan,” katanya.

Kajian Semula Pendidikan yang akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap paling membanggakan.

Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.

Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan standard serta merapatkan jurang pencapaian.

Pelan ini adalah inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20 meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853 orang awam.

Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud  kini.

Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan, berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa.

Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dengan kadar segera.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa depan.

“Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global.

“Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Cabaran kekalkan sahsiah anak


Oleh : Wan Marzuki Wan Ramli
 
Budi pekerti adalah perilaku yang terserap dalam jiwa seseorang. Daripada perilaku itulah lahirnya tindakan sementara yang memerlukan kecerdasan kemantapan minda untuk mengawalnya supaya tidak terbabas daripada landasannya.

Pepatah Arab ada menyatakan, kecantikan sebenar seseorang itu bukanlah terletak pada rupa paras, bentuk badan atau pakaian, tetapi kecantikan hakiki ialah pada ketinggian ilmu, keunggulan akhlak serta sahsiah diri. Tugas membentuk sahsiah mulia bukan sesuatu yang mudah kerana ia bermula daripada didikan awal pasangan ibu bapa kepada anak. Menjadi ibu bapa pada zaman pesat berkembang dan sentiasa berubah ini bukan mudah.

Ibu bapa menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha membesar, mendidik serta membentuk sahsiah akhlak anak.

Pengaruh luar

Peringkat paling sukar sekali ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan tingkah laku, pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat serta gaya berpakaian.

Inilah peringkat yang penuh pelbagai pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya membawa pengaruh tidak baik, melekakan, mengkhayalkan, menyeleweng akidah dan akhirnya merosakkan akhlak hingga menyebabkan jenayah remaja.

Pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, minda, ketahanan iman dan jati diri mudah tergugat akibat pengaruh pemikiran yang diimport, budaya serta nilai luaran mencemari seterusnya menghakis nilai Islam.

Kemewahan cemar budaya

Kemewahan dan kebendaan daripada kekayaan yang dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari budaya kita.

Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, aktiviti jenayah, lepak, pengangguran dan maksiat.

Wajarkah kita menyalahkan ibu bapa jika anak tersalah pilih kawan yang mempengaruhi dirinya bertindak di luar batasan. Sukar untuk menangani isu ini kerana tidak tahu ke mana jari hendak dituding.

Bagaimanapun, sedikit sebanyak, ibu bapa perlu memikul tanggungjawab jika anak terjebak dalam perkara menyalahi undang-undang serta ajaran agama.

Sikap tidak mahu bertegas atau memberi perhatian terhadap perkembangan anak boleh menyebabkan mereka tersalah langkah.

Bina keluarga berpandu ajaran agama

Islam memberi penekanan kepada kepentingan membina keluarga yang sejahtera berpandukan ajaran agama kerana jika ibu bapa mampu menanam keimanan jitu, anak akan dapat membezakan yang baik dengan buruk.

Justeru, ibu bapa tidak boleh beranggapan apabila anak sudah dewasa, mereka boleh dibiarkan menentukan cara hidup. Ibu bapa masih perlu memberi pandangan serta panduan terutama apabila melihat anak mula tersasar daripada jalan yang benar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKIDMATAN AWAM : Bahan sejarah sekadar diperam


Oleh : Zainuri Misfar

Jabatan Muzium Dan Antikuiti, Filem Negara Malaysia (FNM) dan Jabatan Arkib Negara adalah tiga agensi kerajaan yang menyimpan banyak bahan bersejarah negara.

Jabatan Muzium mempunyai koleksi artifak, benda atau objek, manakala FNM dengan koleksi visual atau gambar bergerak, Jabatan Arkib sudah tentu menyimpan banyak manuskrip penting sejarah Malaysia.

Tidak cukup dengan tiga agensi ini, Jabatan Penyiaran Malaysia ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah tentu menyimpan banyak footage atau pita yang mengandungi peristiwa bersejarah.

Malangnya, ketiga-tiga agensi ini termasuk RTM bagaikan pasif untuk mempromosikan sejarah negara, lebih-lebih lagi ketika kita menyambut kemerdekaan ke-55 dan tidak lama lagi ulang tahun penubuhan Malaysia pada 16 September ini.

Kita yang sering lalu lalang di lebuh raya Mahameru atau Jalan Travers, tertanya-tanya kenapa tidak ada kain rentang besar yang memaparkan sejarah kemegahan negara?

Sayang sekali kita sudah merdeka lebih setengah abad, tetapi ketiga-tiga agensi ini bagaikan tidak tahu untuk menyegarkan semula sejarah negara. Pada hal, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menaungi ketiga-tiga agensi itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim sering kali mengeluarkan kenyataan betapa pentingnya sejarah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran sering mengungkap mengenai kepentingan mata pelajaran Sejarah.

Jabatan Muzium, FNM dan Jabatan Arkib serta RTM ini juga sebenarnya boleh membuat perancangan seperti bekerjasama dengan pusat beli belah utama di Kuala Lumpur untuk mempamerkan gambar, manuskrip dan sedutan visual sejarah negara.

Apa salahnya? Apakah pusat beli-belah tidak membenarkan? Kalau ini pun terjadi, ternyatalah pengurusan pusat beli-belah itu tidak berjiwa patriotik, tidak menghargai kemakmuran negara walaupun premis mereka sering menjadi tumpuan ramai.

Menonton program TV atau filem (kalau ada) yang bertemakan sejarah juga kadang-kadang membosankan. Rancangan bercorak sejarah ini kadang-kadang seperti mengadaptasi sepenuhnya daripada buku sejarah. Ia bersifat sebuah program lakonan semula untuk sebuah peristiwa bersejarah, bukan satu cerita menarik yang berlatarkan fakta sejarah.

Seperti kita katakan, sepanjang bulan kemerdekaan pada Ogos lalu sehingga kepada Hari Malaysia bulan ini, Jabatan Muzium, FNM dan Jabatan Arkib sebenarnya boleh berperanan lebih aktif untuk mempromosikan sejarah negara. Kenapa tidak diadakan pameran koleksi bahan bersejarah, sama ada dalam bentuk artifak, manuskrip dan visual di Muzium Negara?

Kita pilih Muzium Negara kerana agensi tersebut mudah dikunjungi pelawat berbanding Jabatan Arkib dan FNM.

FNM dan RTM boleh bergabung menyunting beberapa klip video atau filem pendek - lebih kurang tiga hingga lima minit - untuk disiarkan sama ada di TV dan panggung wayang secara selingan.

Klip video pendek juga boleh disiarkan ketika pameran bergerak mengenai sejarah negara bersama-sama dengan bahan yang disediakan Arkib Negara dan Muzium Negara di kompleks beli-belah, pastinya dalam ribuan pengunjung tentu ada yang berhenti sejenak, membaca, menonton dan menghayati maklumat berkaitan dengan sejarah negara dan kenegaraan.

Mata pelajaran sejarah atau berkaitan dengan sejarah tidaklah sukar untuk difahami dan dipelajari. Kalau kita boleh mempelajari sains dan matematik yang lebih teknikal dan rumit, tiada alasan untuk mempelajari dan menghayati sejarah.

Apa yang penting, pihak berkaitan seperti persatuan sejarah dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan penyimpanan bahan bersejarah, termasuk stesen TV haruslah kreatif dan inovatif untuk menjadikan sejarah sebagai bahan menarik, menghiburkan dan menyeronokkan.

Bersesuaian dengan teknologi sekarang, penyampaian elemen sejarah boleh dilakukan dalam bentuk visual, animasi, dokumentari, filem pendek atau apa saja yang bersifat interaktif dengan pengolahan skrip mudah tetapi tidak menyimpang daripada fakta.

Berbalik kepada Muzium Negara, Arkib Negara, FNM mahupun RTM, mungkin boleh berkongsi peruntukan kalau tidak mencukupi untuk menampung kos menyediakan pameran sejarah. Mungkin boleh meminta peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk tujuan murni ini.

Apa gunanya kita ada banyak bahan sejarah tetapi hanya diperam, tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan bangsa dan negara.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/

Ahad, 9 September 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Tiga Politeknik Premier Jadi Universiti Politeknik 2015


BUKIT MERTAJAM : Tiga politeknik premier dijangka dapat dinaik taraf sebagai universiti politeknik pada 2015, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Mohd Noor.

Beliau berkata politeknik terbabit ialah Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Johor Bahru.

Program perintis telah dilaksanakan di Politeknik Ungku Omar dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain seperti Universiti Teknologi Mara dan kumpulan pertama akan menerima ijazah bersama pada konvokesyen politeknik itu bulan ini.

"Saya harap ini akan memberi peluang kepada pelajar-pelajar politeknik untuk terus menyambung pelajaran di peringkat ijazah di dalam politeknik sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan konvokesyen ke-12 Politeknik Seberang Perai, di sini, Sabtu.

Ab Rahim berkata penubuhan universiti politeknik di bawah Agenda Transformasi Politeknik itu diyakini mampu membina upaya politeknik untuk membangunkan sumber manusia yang memenuhi keperluan model baru ekonomi yang berasaskan inovasi dan kreativiti.

Mengulas mengenai portal alumni institusi tersebut yang dilancarkannya sebelum itu, beliau berkata portal berkenaan adalah platform terbaik untuk mengumpul alumni yang telah berjaya.

Dengan adanya portal ini, alumni boleh menjadi mentor kepada mahasiswa yang baharu menempuh alam universiti selain berkongsi pengalaman mengenai alam pekerjaan dengan graduan yang baharu menamatkan pengajian, katanya.

"Memang kita ketahui kalau gerakan alumni di seluruh institusi pengajian tinggi dilaksanakan dengan berkesan, setiap institusi sama ada IPTA, IPTS malah politeknik, kolej komuniti akan menjadi institusi yang begitu gemilang pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 22,000 alumni politeknik telah mendaftar di portal alumni dan usaha menjejaki yang lain sedang dijalankan.

Pada konvokesyen kali ini 3,078 pelajar akan menerima diploma dan sijil masing-masing pada istiadat yang berlangsung selama tiga hari itu. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Fokus pada pendidikan



Oleh : FRANCESCA PETERS

HARI ini, pada tahun 2012, memang sangat luar biasa dan membimbangkan kerana ramai antara kita ketiadaan arah dan hala tuju patriotisme yang sepatutnya wujud secara semulajadi. Terlalu banyak perkara negatif yang terjadi dipaparkan dalam berita. Apakah yang menjadi punca ketidakseimbangan dan kelemahan ini?

Sebagai duta Pertubuhan Kebajikan Antarabangsa World Vision di Malaysia selama tujuh tahun; saya percaya, sekarang adalah masa untuk menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap masa depan kanak-kanak dengan memberi pendidikan secara percuma kepada mereka.

Kita juga memerlukan guru-guru yang bagus dan kreatif untuk mengajar anak-anak ini. Jangan dilupa, kanak-kanak adalah masa depan kita. Silapnya apabila kebanyakan orang hanya mahu anak-anak mereka menjadi popular atau sekadar berkahwin dengan orang berharta dan tidak memikirkan tentang kepentingan pendidikan yang sepatutnya menentukan masa depan anak mereka.

Masih diingat ketika 40 tahun lalu semasa saya masih kecil, ketika bermain dengan abang dan adik lelaki semasa ayah dan ibu saya tinggal bersama dengan datuk dan nenek di sebelah mendiang bapa di Taiping, Perak, kami dibesarkan dalam keadaan udara yang bersih dan tiada pencemaran.

Ketika itu kami sangat bebas bermain dan tidak perlu berasa takut kerana dikelilingi jiran tetangga yang budiman daripada pelbagai kaum. Hanya kadangkala kedengaran suara nenek yang memanggil, "Fran, jangan panjat pokok, kamu budak perempuan, bukan budak lelaki."

Apabila teringat pada kenangan manis ketika kecil selalu membuatkan saya rasa terpanggil untuk menghalang kanak-kanak lain daripada bergaduh atau mencuri tetapi ia hanya sekadar menambah masalah terhadap diri saya kerana dituduh masuk campur dalam kehidupan orang lain. Banyak kenangan pahit dan manis dan apabila sesekali teringat, saya pasti akan menitiskan air mata.

Semasa ibu bapa saya berpindah dari Taiping, saya menghabiskan masa cuti sekolah bekerja dengan mendiang bapa saudara yang mempunyai sebuah kedai Kopitiam Hailam di penghujung jalan di Ipoh. Ketika itu ramai yang datang ke kedai tidak mengira Melayu, Cina dan India, mereka sangat muhibah, bersatu-padu dan hidup secara aman damai.

Saya masih muda ketika itu namun ia sangat meninggalkan impak besar terhadap saya tentang negara yang saya cintai dan berharap ia akan kekal sehingga sekarang. Zaman persekolahan pada masa itu juga sangat muhibah, murid-murid bergaul sesama sendiri tidak mengira kaum dan kami sering berkunjung ke rumah kawan-kawan untuk makan, bermain, membuat kerja sekolah bersama dan yang paling penting kami bertutur dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan baik. Selain itu, kami bebas bergurau senda tanpa rasa sensitif. Malangnya, pada zaman sekarang yang semakin luas dengan penggunaan Internet telah mengubah keadaan itu dan saya berharap dapat mengulangi saat-saat dulu.

Sebagai seorang penyanyi, penulis lirik dan pencipta lagu yang mengecapi sejarah industri muzik yang banyak berubah selama 34 tahun di dalam dan luar negara, saya amat berbangga kerana masih mempunyai peminat yang sebahagian besarnya orang Melayu, yang paling setia dari dulu sehingga sekarang. Di samping mereka yang suka menganggap saya 'lebih menjiwai keMelayuan', saya juga mempunyai peminat daripada kaum Cina, India, Sikh, Portugis, Sabah, Sarawak, serta tidak ketinggalan orang Asli dan lain-lain.

Menginjak ke generasi yang kelima di mana Malaysia telah mencapai 55 tahun merdeka, saya percaya kita harus menumpukan perhatian untuk membaik pulih sistem pendidikan negara dengan mengamalkan sistem pembelajaran yang terbaik terutamanya dalam meningkatkan kepentingan penguasaan bahasa antarabangsa iaitu Inggeris, kerana ia sangat penting supaya kita dapat bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada zaman ini, pendidikan sepatutnya diberikan secara percuma kepada semua dan bukan terbatas kepada beberapa peringkat; yang selalu diasingkan seolah-olah dimonopoli oleh mereka yang lebih berkemampuan. Sistem pendidikan pada zaman dahulu merupakan yang terbaik kerana mengamalkan lebih penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan negara kita. Keutamaan patut diberi ke atas penggunaan bahasa Inggeris untuk kebanyakan subjek mata pelajaran di sekolah.

Saya dapat melihat kita bakal mempunyai sekolah yang bagus dengan mengamalkan sistem sekolah kebangsaan. Bezanya ketika dahulu apabila kami mempunyai masa terluang kami diberi peluang untuk mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Tamil, Mandarin atau tulisan Jawi kerana tiada kekangan untuk berbuat demikian. Ketika itu juga kantin sekolah hanya menyediakan makanan yang sihat kepada murid dan makanan yang tidak berkhasiat tidak dibenarkan berada di kawasan sekolah. Jadi saya rasa kita perlu mengubah keadaan menjadi seperti itu semula supaya dapat menghindari anak-anak daripada penyakit yang tidak diingini.

Kita patut perjuangkan untuk mencapai perpaduan supaya negara kita dihormati oleh negara lain, agar mereka dapat melihat suasana berbilang kaum dan cerdik pandai, tiada kaum yang akan ketinggalan baik Melayu, India atau Cina dan lain-lain, semuanya sama dan saling berganding bahu untuk mencapai Satu Malaysia, Satu Negara dan Satu Bangsa, tiada lagi keperluan untuk mengisi pilihan bangsa di dalam borang. Inilah Malaysia yang saya inginkan dan impikan.

Kita telah pun mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu, jadi tiada keperluan untuk bercakap tentang penjajahan British. Jika kita masih memandang ke belakang dengan menyingkap kisah silam, kita tidak akan maju ke hadapan dan membuat perubahan terhadap negara kita yang dicintai.

Jadi, kita mesti menumpukan untuk mengangkat martabat sistem pendidikan negara kepada tahap yang lebih tinggi bagi setiap rakyat Malaysia dan meninggalkan legasi untuk kebaikan generasi masa depan, bersama-sama mengangkat ekonomi kita ke arah yang lebih dinamik dan menyatupadukan semua rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama, ke arah keharmonian, kehormatan, kesaksamaan dan keamanan sejagat.

Harapan saya untuk Malaysia:

Marilah kita memupuk keamanan, perpaduan, kesaksamaan dan kebebasan beragama. Maksud perkataan 'toleransi' dan 'penerimaan' tidak harus digunakan dan disalahgunakan dan sepatutnya menyebut perkataan 'pemahaman' dan 'saling menghormati dengan tulen'.

Kita adalah 100% rakyat Malaysia, bukan sebab siapa diri kita, apa yang kita miliki atau apa yang kita percayai. Saya terlalu rindu dengan Malaysia yang sangat bersatu padu, saling berganding bahu dan merendah hati pada 40 tahun yang lalu.

Kepada semua rakyat Malaysia, ini adalah negara kita yang dicintai, jadi marilah kita sama-sama menjaga hak rakyat sebagai warganegara yang tulen. Semoga Tuhan merahmati kita dan seluruh rakyat Malaysia. Selamat ulang tahun yang ke-55, Malaysia ku yang tercinta!

Francesca Peters ialah penyanyi popular era 80-an sehingga kini yang turut diingati dengan lagu patriotik Setia. Beliau juga seorang komposer, penulis lirik dan duta World Vision di Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 8 September 2012

ISU SOSIAL : Model contoh organisasi merdeka


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Alhamdulillah, kita baru saja meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu dan akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini. Hari-hari ini amat bermakna sama ada kerana mengenangkan sejarahnya mahupun nikmat kemerdekaan yang dikecapi hingga saat ini.

Justeru, perlu diingat bahawa negara yang merdeka dan memiliki nilai kemerdekaan adalah aset amat berharga bagi rakyat kerana dengan kemerdekaan kita menikmati keamanan dan kedamaian, aspek paling asas untuk mengecapi kesejahteraan kehidupan.

Malah, keamanan ini membolehkan kita merancang masa depan. Paling penting, nikmat kemerdekaan membolehkan kita mengurus tadbir negara mengikut acuan sendiri dengan memelihara kesucian agama menunaikan amanah sebagai khalifah.

Jihad utama

Memelihara nilai kemerdekaan adalah suatu jihad yang utama. Negara yang makmur serta memelihara tanggungjawab agama dan kepentingan masyarakatnya adalah kota yang membuka gerbang untuk meraih hidayah Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih kerana kamulah orang yang paling tinggi, jika kamu orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)

Kita sangat beruntung jika dibandingkan dengan negara yang sedang bergolak dengan permusuhan, peperangan serta kemiskinan walaupun sudah puluhan tahun mengecapi kemerdekaan.

Serap jiwa merdeka

Justeru, kita perlu bersyukur berada dalam kemerdekaan dengan berusaha memelihara dan meningkatkan kesejahteraan berasaskan nilai kemerdekaan seperti bangsa yang kuat, bersatu, tidak mengaku kalah dan berputus asa atau bangsa yang disebut sebagai berjiwa merdeka.

Firman Allah SWT: “Dia berkata (Nabi Sulaiman), Ini ialah daripada limpah kurniaan Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. (Sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah kembali kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi mudarat kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.” (Surah An-Naml, ayat 40)

Jiwa merdeka yang disuburkan perlu diserap dalam segala tindakan termasuk dalam berorganisasi iaitu dengan memerdekakan organisasi daripada sebarang bentuk cengkaman atau belenggu yang melemah serta memudaratkan.

Usaha memerdekakan organisasi boleh ditumpukan kepada memerdekakan hati warga daripada sifat mazmumah (seperti hasad dengki, khianat, fitnah dan buruk sangka)  kepada sifat mahmudah (seperti berbaik sangka).

Kedua, memerdekakan akal daripada pemikiran yang sempit dan negatif kepada positif, terbuka dan kreatif. Ketiga, memerdekakan fizikal daripada lemah dan malas kepada cergas, lebih bertenaga dan sihat.

Keempat, memerdekakan jiwa daripada mementingkan diri sendiri dan materialistik kepada yang bersederhana, yang mendahulukan kepentingan pelanggan dan orang ramai. Kelima, memerdekakan tabiat dan budaya kerja yang bergantung kepada arahan dan bantuan rakan kepada yang proaktif.

Tidak berlandas undang-undang

Keenam, memerdekakan tindakan yang tidak berlandaskan undang-undang, peraturan, adab, norma dan unsur tidak halal kepada halal. Kewajipan memartabatkan ‘organisasi merdeka’ adalah bukti kesyukuran dan kasih sayang terhadap organisasi dan nikmat sumber rezeki.

Firman Allah SWT: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Justeru, marilah kita terus berusaha menjelmakan semangat dan nilai kemerdekaan dalam bekerja bagi membebaskan diri daripada cengkaman amalan serta budaya kerja negatif kepada budaya kerja cemerlang, profesional dan berprestasi.

Inilah lambang kesyukuran dan bukti jiwa merdeka yang diusahakan untuk meraih keampunan, rahmat dan keberkatan Ilahi serta menjana model contoh ‘organisasi merdeka’ demi faedah semua.

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/