Sabtu, 22 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Lalai mendidik punca anak derhaka


Oleh : Hilmi Isa
bhagama@bharian.com.my
 
Ada sesetengah pihak mengatakan untuk mendisiplinkan remaja, ibu bapa perlu bersifat garang terhadap anak. Itulah cara yang digunakan oleh ibu bapa mereka ketika mereka kecil dulu dan dengan cara berkenaanlah semua anak berjaya dalam hidup.

Pendekatan lembut dan garang adalah pendekatan yang ekstrem kerana  lembut adalah keterlaluan positif manakala garang adalah keterlaluan negatif. Lembut menyebabkan perasaan kita merana kerana ingin menjaga perasaan anak remaja.

Sebaliknya garang menyebabkan perasaan kita terjaga, manakala si anak mungkin memendam dendam dalam hati. Keseimbangan  antara kedua-dua garis hujung berkenaan adalah pendekatan tegas. Ketegasan membuatkan perasaan kedua-dua belah pihak terjaga.

Kajian pakar menunjukkan bahawa apabila ibu bapa selalu melakukan kekasaran terhadap remaja biasanya mereka akan memberontak. Perbuatan seperti mencubit, merotan, memukul dengan objek, boleh dikategorikan sebagai pendidikan dengan cara yang keras. Hampir tiada unsur pendidikan langsung dengan cara kekerasan berkenaan jika tidak dilakukan dengan cara yang berhikmah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maafkan mereka, minta keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dalam urusan...” (Surah Ali-Imran, ayat 159).

Ada dua kemungkinan yang akan berlaku apabila remaja diperlakukan dengan keras iaitu melantun atau menyerap. Kemungkinan pertama dia akan melawan kembali kekerasan, akibatnya beliau akan membesar menjadi seorang yang suka memberontak dan keras jiwa.

Kemungkinan kedua pula, beliau akan bersabar dengan kekerasan dan memendam dalam jiwa. Akibatnya beliau membesar menjadi seorang yang pemurung dan lemah jiwa. Kedua-duanya akan memberi hasil yang buruk.

Tunjuk cara efektif

Islam mengajar dan menunjukkan cara yang efektif dengan menyuruh setiap yang menjadi tonggak utama seperti ibu bapa supaya berlemah-lembut, belas kasihan sehingga anak mereka membesar di jalan yang lurus, terdidik dengan semangat berani berterus-terang dan bebas diri.

Banyak petunjuk diberikan Islam mengenai berlemah-lembut, berkata baik dan berbudi bahasa antara satu sama lain dalam al-Quran dan sunnah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik dan memberi kepada kaum kerabat.” (Surah An-nahl, ayat 90)

FirmanNya lagi bermaksud: “Dan orang yang menahan marahnya, dan orang yang suka memaafkan orang lain, dan Allah sangat suka kepada orang yang berbuat baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Kesihatan jiwa

Ibu bapa perlu mengambil contoh daripada pengajaran berkenaan dan mengamalkannya andai kata mereka benar-benar mahukan kesihatan jiwa anak terpelihara. Kesihatan jiwa adalah salah satu penentu kebahagiaan anak.

Jika ibu bapa sendiri selalu berkeras, maka ibu bapalah yang melakukan kezaliman ke atas anak. Mereka akan mendapati bahawa mereka sudah menanam benih-benih kerosakan ke dalam jiwa anak.

Dalam sebuah kisah, datang seseorang kepada Umar bin Al-Khattab mengadu penderhakaan anaknya. Maka Umar pun memanggil anak orang itu, lalu memarahinya. Maka berkata si anak: “Wahai Amirul Mukminin! Tidakkah ada hak anak ke atas ayahnya? Umar menjawab: Bahkan ada.

Berkata anak itu: “Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Umar menjawab: Hendaklah ia memilih ibunya (daripada keturunan yang baik), dan memberi nama yang baik, dan mengajar membaca al-Quran.

Lalu si anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayah saya tidak melakukan suatu pun daripada perkara itu. Ibu saya adalah seorang zanjuyah (bekas hamba hitam), dulu isteri kepada seorang Majusi dan dia juga menamakan saya Jo’ul (lipas), dan dia belum mengajar saya satu huruf pun daripada al-Quran.”

Mendengar kata-kata si anak itu, maka Umar pun berkata kepada si ayah: “Engkau datang mengadu penderhakaan anakmu. Sebenarnya engkau telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu, dan engkau telah merosakkannya sebelum dia merosakkanmu.”

Demikianlah Umar Al-Khattab meletakkan sebab penderhakaan si anak tadi ke atas bahu ayahnya, kerana dia melalaikan pendidikannya. Marilah kita cermin diri kita dan meneliti sama ada penderhakaan atau masalah ditimbulkan anak sebenarnya mungkin berpunca daripada kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Pererat integrasi rumpun Bumiputera


Oleh : Teo Kok Seong
 
Wacana mengenai Hari Malaysia sejak diraikan pada 2010, rata-ratanya berkisar pada wujudnya perasaan prasangka antara kita di Semenanjung dan juga di Sabah dan Sarawak. Ia dikatakan wujud kerana beberapa hal. Antaranya kedudukan geografi yang dipisahkan Laut China Selatan dan kepelbagaian etnisiti yang rencam. Ini menyebabkan kurangnya interaksi dan kefahaman antara kita.

Memang semua wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah awal, corak kependudukan dan perkembangan ketamadunan yang tidak sama. Ia dibangkitkan pula dalam konteks adanya jurang antara kaum Melayu di Semenanjung dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sehubungan ini, mereka digambarkan sebagai kelompok berlainan.

Semua kaum Bumiputera bersaudara

Perbezaan ini ditonjolkan sehingga wujud pemikiran bahawa semua kaum Bumiputera ini bersetentangan. Sesungguhnya mereka adalah bersaudara sebagai sanak Nusantara. Persaudaraan ini bukan sekadar retorik untuk mengambil hati semua pihak dalam konteks Hari Malaysia, khususnya integrasi nasional. Mereka memang sekaum sekadim dan buktinya boleh diperoleh dengan kukuh dalam bidang bahasa.

Sehubungan ini, Linguistik Sejarah dan Linguistik Perbandingan mempunyai banyak maklumat bahawa bahasa Melayu mempunyai pertalian rapat dengan bahasa Kadazandusun dan Iban serta puluhan bahasa Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Begitu juga halnya di antara bahasa Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang bukan saja memperlihat pertalian erat, tetapi memang berasal daripada satu keluarga bahasa sama.

Pertalian ini sebenarnya menunjukkan bahawa Bumiputera Melayu, Kadazandusun, Iban dan lain-lain ikut mempunyai pertalian kekeluargaan bangsa. Rumpun Bumiputera yang menaungi semua, termasuk kaum bukan asal, iaitu Cina dan India, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ialah Austronesia atau Malayo-Polinesia.

Kosa kata dan pola nahu adalah antara unsur penting yang diteliti untuk memperlihat hubungan kekeluargaan ini. Kata bilangan seperti angka satu sehingga 10 dihemati untuk tujuan pembuktian ini. Sebagai contoh, angka dua wujud dan disebut dengan pelbagai kelainan. Selain dua, ia juga disebut di Sarawak sebagai duah dalam bahasa Kelabit di Bario dan duak oleh kaum Kayan di Long Miri. Di Sabah, ia disebut sebagai dueh oleh kaum Lun Dayeh di Sipitang dan duoh dalam Bahasa Paitan di Membangan.

Persamaan perlu ditegas setiap masa

Pembentukan rangkai kata dalam bahasa Bumiputera di semua wilayah Malaysia yang juga mengikuti kaedah sama, adalah pembuktian selanjutnya. Susunan unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkan, wujud dalam bahasa Bumiputera ini. Sebagai contoh, ungkapan aik angat dalam bahasa Iban dan waig tahasu dalam bahasa Kadazandusun adalah padanan susunan untuk air panas dalam bahasa Melayu.

Justeru kita bersaudara dalam konteks sanak Nusantara, kaum Bumiputera di ketiga-tiga wilayah Malaysia ini, perlu bukan saja selalu memperkata persamaan ini, tetapi menegaskan pada setiap masa, khususnya dalam konteks entiti politik Malaysia, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selaku rakyat asal. Dalam konteks yang sama, kaum Bumiputera Malaysia juga bersaudara dengan kaum Bumiputera lain di Nusantara. Hal ini terbukti apabila bahasa Jawa dan lain-lain di Indonesia serta bahasa Tagalog dan lain-lain di Filipina, diteliti. Semua bahasa ini juga didapati sekeluarga bawah Rumpun Austronesia.

Dengan bukti bahasa ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghapuskan sindrom bahawa kami di sini adalah orang Semenanjung, anda semua di sana adalah orang Sarawak, dan mereka nun di sana adalah orang Sabah. Kita sebetulnya, khusus kaum Bumiputera dan juga kaum bukan Bumiputera, adalah orang Malaysia.

Sehubungan ini, pengenalan kita perlu mengambil dimensi baharu, dengan menonjolkan jati diri Malaysia sebagai unsur utamanya. Justeru, kita adalah orang Malaysia Semenanjung, orang Malaysia Sabah dan orang Malaysia Sarawak, apabila perlu disebut wilayahnya. Jika tidak, kita semua adalah orang Malaysia!

Sesungguhnya solidariti  Nusantara untuk integrasi nasional, selain kebenaran sejarah, adalah sukma semasa dan sentimen kekitaan bagi semua orang Malaysia, sebagai bangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : 40,000 Siswazah IPT Masih Mencari Pekerjaan


KUALA LUMPUR : Seramai 40,000 siswazah Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara masih mencari pekerjaan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi KPT.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Omar Abd Rahman berkata angka itu melibatkan siswazah yang gagal mendapat pekerjaan tetap meskipun selepas enam bulan tamat pengajian.

"Setiap tahun, kita buat kajian ini dan tahun lalu, menunjukkan peratusan graduan yang masih belum bekerja ialah 21 peratus terdiri daripada IPTA dan 27 peratus IPTS. Manakala, 28 peratus daripada Politeknik dan 35 peratus Kolej Komuniti," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional (My3L) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, menurut beliau terdapat segelintir siswazah ditawarkan pekerjaan secara sambilan memandangkan belum terdapat kekosongan jawatan tetap yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Sehubungan itu, Omar berkata KPT mengambil beberapa inisiatif menyelesaikan permasalahan itu, antaranya giat bekerjasama dengan industri pekerjaan di negara ini bagi memudahkan siswazah mendapat akses peluang pekerjaan.

Namun menurut Omar, antara faktor penyumbang kepada siswazah tidak mendapatkan pekerjaan ialah kerana mereka ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, kelulusan siswazah tidak mengikut kehendak industri serta industri tidak memberi peluang kepada mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Omar berkata tahun ini kerajaan melalui 15 kementerian menyediakan 2,612 kursus di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Bagi memudahkan orang awam memperoleh maklumat berhubung program itu, satu Direktori PSH peringkat nasional sesi 2012/2013 dibangunkan dan bakal dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, katanya.Karnival My3L bertemakan 'Belajarlah Tanpa Henti' itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan menyediakan 100 ruang pameran dengan disertai 15 kementerian dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. -BERNAMA

ISU SOSIAL : Tangani kenaikan harga rumah


Oleh : NIZAM YATIM

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mendesak kerajaan supaya memasukkan syarat mewajibkan pemaju swasta membina 35 peratus rumah mampu milik bernilai antara RM60,000 hingga RM150,000 ketika pembentangan Bajet 2013 tidak lama lagi.

Langkah itu adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk 1.4 juta kakitangan awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana jika jarak pergi balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia tidak relevan dan praktikal.

Sekarang ini hanya di kawasan luar bandar sahaja menawarkan rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000, sedangkan ramai kakitangan awam bekerja di bandar.

Isu yang dibangkitkan oleh CUEPACS itu bukanlah baru kerana perkara itu telah lama disedari kerajaan dan ia terbukti apabila kerajaan mengumumkan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ketika pembentangan Bajet 2012.

Skim itu membolehkan golongan berpendapatan sederhana antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan di kawasan bandar dan pinggir bandar membeli kediaman mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan RM300,000 seunit.

Ia menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti setem dan pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun.

Usaha kerajaan tersebut memang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi 42,000 unit yang dijangka dibina di bawah fasa pertama skim PR1MA adalah tidak mencukupi berikutan jumlah golongan berpendapatan sederhana yang ramai.

Jika kita mengharapkan pemaju hartanah swasta untuk turut membina rumah mampu milik seperti yang disaran CUEPACS, sambutannya setakat ini adalah sangat mendukacitakan.

Mengulas perkara itu, Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin berkata, dakwaan pemaju bahawa kos pembinaan yang tinggi adalah punca mereka tidak berbuat demikian adalah tidak benar.

Katanya, ia sebenarnya berpunca daripada keinginan pemaju swasta untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Saya difahamkan oleh beberapa pemaju, kos harga pembinaan sebuah rumah sebenarnya adalah separuh daripada harga jualan rumah terbabit.

"Justeru kerajaan perlu mengambil langkah dan memantau keuntungan para pemaju ini kerana ada kes pemaju memperoleh keuntungan sehingga 50 peratus selepas sesebuah rumah itu dijual," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui antara punca harga rumah melambung tinggi adalah disebabkan berlakunya pembelian atas tujuan pelaburan oleh pihak yang mengaut keuntungan berganda melalui penjualan semula.

Menyifatkannya sebagai perkara tidak sihat, jelas Amir, spekulasi hartanah seperti itu perlu dibendung kerana ia antara punca berlakunya masalah ekonomi di negara-negara Barat.

"Ketika ini rumah harus dianggap sebagai keperluan asas rakyat sama seperti beras, justeru tidak wajar wujud pelaburan dan spekulasi mengenainya," jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansor mencadangkan kerajaan mengenakan levi kepada para pemaju hartanah bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan untuk membina sendiri rumah mampu milik bagi keperluan rakyat.

Beliau berkata, kaedah itu lebih berkesan daripada mewajibkan pemaju perumahan memperuntukkan kuota 30 peratus rumah mampu milik sebagai tanggungjawab sosial korporat.

"Kami bukan mahu lari dari tanggungjawab tetapi arahan tersebut merugikan pemaju kerana rumah-rumah tersebut yang dibina jauh dari bandar seperti di Hulu Selangor tidak mendapat sambutan," katanya.

Justeru, katanya, adalah lebih baik kerajaan mengenakan levi untuk disumbangkan kepada satu tabung atau agensi yang terlibat dalam perumahan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia.

"Lebih baik kerajaan yang bina sendiri rumah-rumah jenis ini dan terserahlah sama ada rumah berkenaan mahu jual atau disewakan," katanya.

Apa yang dicadangkan oleh beliau itu adalah antara perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah dapat dibina.

Kaedah sewa beli untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah boleh juga diperluaskan membabitkan rumah skim PR1MA.

Cara ini telah digunakan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang membina rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Singapura.

Langkah yang dilaksanakan oleh HDB itu telah mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 80 peratus penduduk republik itu memilih rumah yang dibina oleh lembaga itu.

Untuk mengelakkan penggantungan kepada bank-bank yang mensyaratkan pembeli membayar balik pada kadar berlipat kali ganda daripada harga asal rumah, rakyat republik itu juga dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) bagi membiayai pembelian rumah berkenaan.

Bagi membolehkan lebih banyak rumah dibina, selain tanah kerajaan, boleh juga dibangunkan tanah rizab Melayu yang terdapat berdekatan ibu kota.

Antaranya tanah-tanah di Kampung Sungai Pusu berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dan Hulu Langat, Selangor yang harganya masih lagi rendah.

Dalam pada itu, kaedah yang digunakan kerajaan Korea Selatan boleh dicontohi bagi menangani perbuatan membeli rumah untuk tujuan spekulasi.

Antara syarat yang dikenakan, rakyat hanya dibenarkan membeli rumah selepas lima tahun daripada pembelian rumah sebelumnya dan kerajaan juga sering menjalankan siasatan terperinci bagi mengelak spekulator tidak membayar cukai.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh berkata, orang ramai tidak seharusnya mengharap segala masalah perumahan mereka diselesaikan oleh kerajaan sahaja.

Beliau berkata, isu kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini adalah disebabkan suara pengguna tidak kuat.

"Sekiranya pengguna di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti yang kuat, pastinya suara mereka dapat memberi tekanan kepada pemaju-pemaju perumahan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya.

Dalam masa sama, Mohamad Noorizzuddin turut bersetuju dengan pendapat bahawa pemaju perumahan ketika ini mencatat keuntungan yang keterlaluan hasil jualan projek-projek perumahan mereka.

Sehubungan itu, sempena pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah saling bekerjasama bagi mengatasi isu kenaikan harga rumah yang terlampau tinggi.

Kepada kerajaan negeri yang dikuasai pihak pembangkang, ketepikan perbezaan politik dan benarkanlah tanah rizab Melayu dibangunkan dengan projek rumah mampu milik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 19 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Dasar Pendidikan: Daripada rakyat kepada rakyat


Oleh : Tan Sri Alimuddin Md Dom

"ERA kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Kerajaan sedia turun ke bawah bertemu rakyat untuk mendapatkan pandangan dan idea sebelum menggubal sesuatu dasar atau peraturan."

Demikian ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan Laporan Awal Pelan Pembanguan Pendidikan 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 September lepas.

Tambah beliau, Laporan Awal itu bakal memberi perubahan signifikan serta bersifat lonjakan berganda kepada pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berkualiti. Beliau turut menggesa pemimpin semua peringkat berani mengetepi politik daripada pendidikan dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan populis.

Atas kesedaran tersebut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membentuk pasukan Panel Dailog Nasional Pendidikan Negara untuk mengumpul pandangan masyarakat di seluruh negara mengenai langkah-langkah terbaik bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan menerusi siri jelajah dialog pendidikan sebanyak 7,039 syor diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu.

Kata beliau, selain rumusan yang disediakan oleh Panel Dailog Nasional diambil kira juga pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa dalam penyediaan laporan tersebut. Kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tempatan.

Ternyata bahawa sebahagian besar daripada pandangan rakyat telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal itu. Namun demikian terdapat juga beberapa isu yang sering dibangkitkan dalam sesi dialog telah ditolak antaranya ialah meminta dikembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Penolakan ini mungkin disebabkan melalui kajian yang lepas memperlihatkan sebahagian besar murid tidak dapat menguasai mata pelajaran itu dengan baik atau faktor kesediaan guru dan mungkin kekurangan kemudahan terutama sekolah luar bandar serta pedalaman. Tambahan pula saranan pihak UNESCO bahawa mata pelajaran tersebut lebih berkesan jika diajar menggunakan bahasa ibunda.

Namun demikian isu bahasa ini dijawab dalam Anjakan Kedua yang memperakukan setiap murid mesti profesion dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebelum meninggalkan bangku sekolah. Bagi mengukuhkan penguasaan, semua guru bahasa Inggeris adalah terlatih dan diwajibkan lulus Ujian Pencapaian Cambridge. Bagi memantapkan penguasaan maka mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris akan diperkenalkan di peringkat menengah.

Dalam Dialog Nasional terdapat juga pandangan ekstrem misalnya mencadangkan dikembalikan semula pengantar bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Mereka menyarankan supaya sistem pendidikan di zaman kolonial digunakan semula kerana dikatakan sangat berkesan melalui contoh kehidupan dan kejayaan yang mereka alami.

Alasan mereka amat mudah iaitu bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan negara akan maju jika semua rakyat berkemahiran dalam bahasa itu. Namun demikian kebiasaannya cadangan itu akan dipatahkan melalui hujah yang lebih rasional oleh peserta lain dalam siri dialog berkenaan.

Natijahnya sebahagian besar rumusan Dialog Nasional telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal antaranya cadangan memulakan tahun persekolahan dari usia tujuh tahun kepada enam tahun. Kanak-kanak diyakini telah bersedia untuk memasuki alam persekolahan pada usia tersebut dan membolehkan mereka menamatkan persekolahan lebih awal. Selain itu tempoh persekolahan wajib dinaikkan daripada enam tahun kepada sebelas tahun. Ini bermakna pelajar wajib menamatkan persekolahan mereka sehingga Tingkatan Lima.

Adalah menjadi kesalahan dan ibu bapa boleh didakwa jika tidak menamatkan persekolahan anak mereka seperti Kaedah Pendidikan Wajib yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 sekiranya dipinda Akta itu.

Pengenalan kepada kaedah fast-track membolehkan pelajar yang mempunyai daya intelek tinggi memasuki kelas yang lebih tinggi lebih awal jika dibandingkan dengan rakan sebayanya. Selain itu untuk menyeragamkan penguasaan bahasa Melayu maka kurikulum dan penilaian Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan bagi mata pelajaran itu akan disamakan. Di samping itu Kelas Peralihan akan dihapuskan menjelang 2017 bagi membolehkan tempoh persekolahan antara aliran yang berbeza itu diselaraskan.

Hampir semua dalam siri dialog peserta mencadangkan diwujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI). Menurut mereka KPI adalah alat pengukur pelaksanaan paling berkesan yang dipraktikkan bagi menilai pencapaian prestasi dalam sektor swasta. Hasilnya dalam Laporan Awal menegaskan KPM akan menetapkan KPI kepada semua pegawai kumpulan pengurusan tertingginya hingga kepada guru peringkat sekolah.

Langkah ini bagi memastikan matlamat pelan pendidikan yang sarat dengan transformasi itu dapat memberi impak besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Bagi memastikan KPI dilaksanakan dengan berkesan akan diwujudkan Unit Penyampaian Pendidikan khusus untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklumat balas secara berterusan.

Bagi kepentingan rakyat selepas ini KPM akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti kandungan pelan itu. Mereka masih boleh mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklumat balas kepada kerajaan khususnya KPM. Sesungguhnya Dasar Pendidikan yang digubal ini adalah datangnya daripada rakyat dan ditujukan kepada rakyat.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 17 September 2012

ISU BAHASA : Karyawan muda ceriakan dunia sastera


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Sejak dekad lampau, kemunculan penulis kreatif muda yang sedang menuntut di luar negara makin ketara. Mereka menuntut dalam pelbagai jurusan agama, sains dan teknologi di Eropah, Afrika, negara Arab, Australia dan sebagainya.

Kebanyakan mereka pelajar aliran sains. Hal ini bukan suatu perkara yang mustahil kerana Allah menjadikan minda manusia lengkap dengan keperluan naluriah imaginasi, kreativiti, objektif, saintifik dan rasional. Ahli sains Islam, serta ulama Islam yang terkenal turut menghasilkan puisi yang kreatif lagi indah. Kemunculan penerbitan karyawan muda ini menyegarkan dunia sastera kita. Ketika kelas sastera tulen di negara ini dalam keadaan yang membimbangkan, kemunculan penerbitan karyawan muda luar negara memberi harapan baru kepada kita. Kita tidak boleh memberi harapan tinggi kepada kelas sastera tulen di negara ini untuk dapat melahirkan penulis muda yang baik. Ia adalah akibat persepsi negatif terhadap sastera, guru yang kurang terlatih, murid yang terpinggir, dan modul serta kurikulum agak lapuk.

Karyawan muda luar negara ini, walaupun tidak menempuh pendidikan sastera formal, tahu memanfaatkan bakat yang mereka miliki. Mereka generasi muda yang pintar kerana dunia sastera memerlukan karyawan yang pintar, berfikir, sensitif terhadap isu semasa dan tahu bagaimana memasukkan pengalaman serta renungan intelektualnya ke dalam lembar puisi, cerpen atau novel.

Memang fitrah Tuhan mentakdirkan proses penggenerasian terus berlaku. Proses dialami bukan saja oleh flora, fauna, dan peralatan moden, malah yang lebih penting turut dialami oleh manusia. Sebagai hayawan natiq yakni makhluk berbahasa, manusia turut belajar daripada bahasa alam, melihat bagaimana daunan hijau muda perlahan-lahan berubah warna menjadi coklat perang; melihat bagaimana telur menetaskan burung yang kemudian melesat terbang; melihat bagaimana peralatan moden terus dicipta dan diperbaharui, ada yang semakin mengecil dan menipiskan bentuknya.

Penggenerasian manusia selalu menghadirkan polemik kaum tua dan kaum muda, bukan saja yang mengkhusus dalam ranah keagamaan seperti yang pernah terjadi di negara kita, malah meluaskan ranahnya ke medan kehidupan yang lain.

Penggenerasian tidak terjadi dalam vakum atau kekosongan. Penggenerasian terjadi bersama gerak kebudayaan masyarakat. Justeru, golongan yang mapan atau berasa dirinya mapan, akan selalu bersemuka dan berdialog dengan generasi muda mengenai pelbagai aspek kehidupan.

Kini, kesusasteraan Melayu moden muncul daripada  latar sosial, budaya, dan zaman yang terus berubah. Di sekitar kita terjadi perubahan penting yang bukan saja membabitkan anggota masyarakat, malah penulis dan karya mereka. Oleh sebab zaman ini memberikan lebih banyak saham kepada penulis muda, maka penulis muda wajar menanggapi perubahan dalam konteks cabaran dan tantangan yang harus ditangani dengan bijaksana.

Sama ada seseorang penulis muda itu mahu menggariskan perjuangan seninya yang sekali gus bererti bersedia menghadapi cabaran, serta memetakan arah perjuangan seninya, sangat bergantung kepada tujuan mengarang. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mencipta nama, maka namanya akan diingat buat sementara waktu. Jika tujuan mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis di dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk seni, maka ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti dan lebih lestari.

Tulisan Hassan Ahmad pada 2008 antara lain menyatakan : "Penulis mesti tahu apakah tujuan dia menulis. Kalau dia ahli sains atau sarjana dalam bidang ilmu tertentu, dia menulis untuk tujuan menyampaikan ilmunya kepada orang lain, kepada masyarakat. Itu tujuannya. Dia tidak boleh main-main. Dia mesti serius. Ini bukan kerja mudah. Dia mesti berfikir, mengolah ilmu. Tetapi bukan itu saja. Dia juga harus menguasai alatnya dan teknik penulisan dengan baik. Alat penting penulis ialah bahasa. Kalau dia tidak menguasai alat ini dengan baik, nanti ilmu yang cuba disampaikan pun boleh keliru, tidak jelas, salah dan sukar difahami pembaca. Tetapi menguasai bahasa saja belum cukup. Dia juga mesti menguasai teknik penulisan, menguasai kebolehan menggunakan bahasa secara kreatif, dengan gaya bahasa yang menarik, dan sebagainya".

Berdasarkan karya penulis muda kita di luar negara yang saya baca, saya dapati mereka terus menajamkan bakat penulisan, memasukkan bumbu ilmu ke dalamnya, membawa pelbagai latar sejagat dengan segala macam masalah alam dan manusiawi masuk ke dalam lembar puisi dan cereka, prihatin akan nasib umat manusia, dan menjadi pendakwah seni dalam kapasiti masing-masing.

Sastera Melayu moden akan merakam sumbangan penting mereka. Mereka menawarkan variasi karya untuk tatapan generasi angkatan mereka yang dikelilingi kehidupan serta teknologi yang berubah dan bergerak dengan begitu pantas sekali. Mereka menyumbang ke arah pemerkasaan rupa serta jiwa tamadun berasaskan persuratan Melayu masa depan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 16 September 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Imej mahasiswa terjejas




Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         
SEJAK akhir-akhir ini pembabitan ‘luar biasa’ dan luar batasan segelintir kecil mahasiswa cukup berani hingga ada melabelkan mereka golongan tidak terpelajar.

Biarpun jumlahnya terpencil, perlakuan itu menjejaskan imej mahasiswa sehingga menjadikan sasaran masyarakat melemparkan pelbagai kritikan.

Lebih menyedihkan, golongan itu sanggup mengetepikan  harga diri semata-mata mahu membuktikan diri berani menyahut cabaran.

Justeru timbul persoalan, apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan golongan terbabit, adakah lambang keberanian atau sekadar mahu mencari publisiti murahan?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata tindakan itu tidak dapat diterima walau apapun alasan kerana ia mencerminkan rendahnya mentaliti pemikiran mahasiswa.

Beliau berkata, golongan itu sepatutnya menjaga reputasi dan imej mereka, bukan sekadar untuk berseronok dan menjatuhkan maruah diri.

“Saya terkilan melihat perlakuan mereka, ini bukan cermin akhlak golongan terpelajar yang kita inginkan untuk memegang tampuk pemerintahan negara kelak.

“Ia amat memalukan kerana reaksi mereka bersahaja. Ini bukan budaya timur apatah lagi orang Melayu kaya dengan budi bahasa dan tata susila.

“Kepincangan secara keseluruhan akan memberi impak berpanjangan jika tidak ditangani segera” katanya.

Perlakuan segelintir mahasiswa yang boleh dikategorikan terlalu biadap itu menjadikan masyarakat membuat tanggapan mereka adalah golongan yang sukar disandarkan harapan sebagai pemimpin masa depan.

Konflik berkenaan juga saling berkaitan sikap singkat pemikiran serta gemar menggunakan kata-kata kesat atau kurang beradab ketika mahu melontarkan pendapat.

Beliau berkata, mahasiswa boleh meluahkan pandangan atau rasa tidak puas hati tetapi bukan dengan cara lucah atau menjatuhkan martabat diri, bangsa dan agama.

“Mungkin mereka tidak memikirkan kesan daripada perlakuan itu atau menyesal tetapi hakikatnya perbuatan sudah dilakukan, akibatnya kepada imej mahasiswa sendiri.

“Mahasiswa sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Biarpun hanya melakukan kesilapan kecil, boleh meledakkan isu yang besar atau panas.

“Saya berharap mereka berhati-hati dalam perlakuan mahupun tutur kata kerana setitik nila rosak susu sebelanga.

“Di tengah kerancakan kita menyuntik dan membangunkan nilai mulia dalam kalangan generasi muda, ada yang menghancurkannya. Ini amat mendukacitakan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan sikap itu berpunca daripada kalangan mahasiswa yang terlalu terpengaruh dengan kata hati dan gelodak jiwa muda.

“Masing-masing faham golongan itu sedang mencari arah kehidupan atau menikmatinya dengan cara tersendiri, namun gunakan akal secara rasional.

“Tidak usah menunjukkan ‘kebodohan’ sendiri semata - mata mahu menjadi hero. Itu bukan budaya kita,” katanya.

Kerana terlalu tunduk pada nafsu muda juga, katanya, ada dalam kalangan mereka merasa bangga melakukan perbuatan itu.

“Tapi sedarkah ia juga menjejaskan nama baik banyak pihak seperti ibu bapa dan institusi pengajian?

“Walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi trend generasi muda yang bersikap kurang ajar, suka cakap lepas dan menghentam tanpa bukti perlu ditangani.

“Cuba tanya diri sendiri apa yang diperoleh melalui tindakan itu, seronok, penghargaan atau cacian?” soalnya.

Pengerusi Kolej Poly Tech Mara, Datuk Sohaimi Shahadan berkata tindakan mahasiswa yang ekstrem disebabkan meluasnya pengaruh pelbagai media massa hingga mencetuskan keterujaan melampau.

Menurutnya, meskipun peranan media seperti Internet atau blog penting, tanpa pemantauan serius, ia boleh menyebabkan keruntuhan akhlak generasi muda.

“Alaf baru hari ini menyaksikan semua maklumat tanpa mengira sama ada benar atau tidak dapat diakses dengan mudah. Ia menyebabkan ada segelintir golongan muda menjadi terlalu taksub.

“Tanpa mengambil kira apa jua faktor, mereka melempiaskan pendapat atau perlakuan sewenangnya.

“Lebih bahaya, ada pihak cuba menangguk di air keruh atau mengambil kesempatan. Golongan muda atau mahasiswa yang menjadi mangsa,” katanya.

Beliau turut kesal apabila golongan mahasiswa hari ini terpesong daripada dunia pendidikan sebenar.

“Institusi pengajian tinggi adalah tempat yang mulia kerana di situlah tersimpan segala ilmu, bukan melakukan perbuatan melampau.

“Seharusnya mereka malu bertindak demikian kerana memegang status mahasiswa. Mengapa tidak mahu berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

“Jangan gunakan alasan melakukannya kerana tidak tahu. Itu tidak boleh diterima sebab mereka adalah golongan terpelajar,” katanya.

Beliau berkata, mahasiswa di negara ini usah terlalu agresif meluahkan rasa tidak puas hati dan melakukan kekecohan seperti di negara luar.

“Keadaan di sini tidak sama seperti di luar. Mahasiswa di negara ini menikmati pelbagai kemudahan dan akses terbaik untuk mendapat pendidikan.

“Jadi tidak perlu mengeruhkan situasi dengan tindakan itu sebaliknya berusaha untuk bersama-sama mengekalkan apa dinikmati ini dengan sempurna.

“Daripada membuang masa menunjuk punggung atau melakukan perbuatan tidak senonoh, buktikan diri mereka hebat dengan mencipta kejayaan dalam akademik, sukan atau penyelidikan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/