Jumaat, 28 September 2012

ISU BAHASA : PETIKAN MENARIK DALAM UCAPAN BELANJAWAN 2013



KUALA LUMPUR: Berikut adalah petikan menarik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 bertema "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" di Dewan Rakyat,  pada Jumaat.

1. "Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah, tetapi sebenarnya merupa racun berbisa".

2. "Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran, biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dongengan lipurlara, sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat".

3. "Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keihklasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca".

4. " Hakikat Rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada".

5. "Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati'".

6. "Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletak kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika".

7. "Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Venture Holdings (FGVH) dengan nilai RM9.9 bilion dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai RM6.3 bilion telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar".

8. "Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosio-ekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat".

9. "Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi".

10. "Kerajaan akan melaksanakan projek perintis Taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi Down Syndrome, Autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran".

11. "Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet, yang tidak memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaaan".

12. "Sesungguhnya, kerajaan ini adalah kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai".

13. "Hakikatnya, jika kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan hancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat sepertimana yang berlaku di sesetengah negara".

14. "Gula yang diambil secara berpatutuan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan, ia mampu menjadi racun".

15. "Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak kerajaan, tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara, sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat".

16. "Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan".

17. "Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ini ke arah pencapaian wawasan nasional.

18. "Dengan izin Allah S.W.T. dan dengan sokongan dan dokongan rakyat Malaysia, Insya-Allah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi".

19. "Pujangga bermadah, bumi mana tidak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. Kita akur kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan. Tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu'uan untuk mengakui kesilapan, sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

20. "Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi kerajaan BN dengan amal perbuatan, bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan.

21. "Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global".

Sumber : http :  //www.mstar.com.my/

ISU KESIHATAN : Derma, jual dan culik


PEMERGIAN Tee Hui Yee, gadis yang boleh kita umpamakan mendapat semangat setelah ‘mati hidup semula’ pada Selasa lepas, sedikit sebanyak menyentap hati kebanyakan kita.

Beliau yang baru mencecah usia 19 tahun mencatat sejarah apabila kisahnya yang menjalani pembedahan pemindahan jantung menarik perhatian ramai selepas mendapat liputan terawal dalam akhbar Utusan Malaysia.

Khalayak berkongsi kesulitan yang dihadapinya terpaksa bergantung hidup dengan jantung mekanikal selama setahun berikutan ketiadaan penderma. Ramai juga merasai ketabahannya menunggu insan mulia yang sanggup menderma jantung kepadanya.

Cukup mendukacitakan apabila mendiang meninggal dunia pada hari sama beliau sepatutnya memulakan tugas murni sebagai guru tadika di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.

Menikmati hidup sejak mendapat jantung baru, Hui Yee juga dikatakan merancang untuk berumah tangga dalam tempoh dua tahun lagi dengan kekasihnya Lau Shie Chiek.

Tragis

Mungkin bagi kebanyakan kita, riwayat hidup yang dilalui oleh mendiang ini hanyalah kisah biasa manusia yang tiada nilai istimewa.

Pemergian beliau ini turut menamatkan kisah tragisnya yang begitu berusaha dan pada satu ketika hampir berputus asa untuk mencari penderma jantung.

Namun apakan daya hayatnya berakhir sebelum sempat mengecap alam kerjaya dan rumah tangga. Jantung yang diperoleh daripada mendiang Chin Yoong Kiong yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya hanya mampu bertahan hampir lima tahun.

Walaupun Hui Yee telah tiada namun kisahnya akan terus dikenang sebagai pembuka mata kepada peri pentingnya pendermaan organ di negara ini.

Pembedahan pemindahan jantung maraton melibatkan Hui Yee akan tetap dilihat sebagai satu kejayaan dalam sejarah perubatan negara.

Begitu juga dengan kejayaan transplan jantung Muhammad Fikri Nor Azmi, lebih empat tahun lalu yang turut mengukir senyuman di wajah ahli keluarga serta rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatannya.

Yang pasti dua peristiwa ini telah menjadi titik tolak kesedaran rakyat Malaysia tentang pendermaan organ. Sayangnya momentum itu tidak dikekalkan kerana setakat ini jumlah mereka yang bersedia untuk menderma organ masih di takuk lama.

Hakikat ini bersandarkan statistik sehingga 30 September 2011, jumlah penderma organ dan tisu kadaverik hanya 342 orang. Manakala jumlah rakyat Malaysia yang telah berikrar untuk menderma organ selepas kematian ialah 181,534 orang mewakili hanya 0.63% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

Sedangkan jumlah pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ di Malaysia adalah seramai 14,037 orang.

Organ halal

Pemindahan organ adalah suatu pembedahan bagi menggantikan organ yang bermasalah atau berpenyakit dengan organ baru. Organ yang digunakan untuk pemindahan ini datang daripada dua sumber. Pertama, daripada penderma organ yang masih hidup dan kedua, daripada penderma yang sudah meninggal dunia.

Pendermaan organ bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa malah mempertingkatkan kualiti hidup penerima organ.

Penilaian

Di negara ini, Kementerian Kesihatan hanya membenarkan pendermaan organ semasa hidup kepada ahli keluarga terdekat yang mempunyai pertalian darah. Anda juga boleh menderma kepada suami atau isteri yang sah.

Sekiranya anda mahu menderma organ kepada seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah atau ahli keluarga yang jauh (ahli keluarga darjah ketiga ke atas), anda perlu menjalani penilaian oleh satu jawatankuasa bebas yang dilantik oleh pihak kementerian.

Di Malaysia, kanak-kanak dan orang kurang upaya mental tidak dibenarkan menderma organ semasa mereka masih hidup.

Banduan juga tidak dibenarkan menderma organ kecuali di dalam keadaan tertentu melibatkan nyawa ahli keluarga terdekat.

Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat dalam isu ini kerana jual beli organ adalah dilarang.

Ini bersesuaian dengan pandangan bahawa pengorbanan seseorang yang telah menderma organ adalah tidak ternilai harganya.

Oleh itu Kementerian Kesihatan tidak akan membuat sebarang pembayaran sekiranya seseorang pesakit telah menderma organ.

Pesakit yang menerima organ juga tidak dibenarkan membuat sebarang bayaran kepada penderma. Selain itu, pemberian hadiah atau insentif yang tidak berbentuk kewangan adalah dilarang termasuk pemberian rumah, kereta, tanah dan lain-lain.

Sehingga kini risiko yang diterima oleh para penderma organ yang masih hidup adalah kecil. Kebanyakan mereka pulih sepenuhnya dan boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa beberapa minggu selepas pembedahan dijalankan.

Dalam konteks ini pendermaan organ tidak akan mengubah gaya hidup anda. Pendermaan organ juga dilihat tidak akan mengubah jangka hayat seseorang.

Organ haram

Namun satu isu menarik yang dilihat mampu menjadi barah yang sukar dikawal adalah kewujudan aktiviti penjualan organ dalaman manusia secara haram.

Sindiket ini bukan sahaja sanggup menjual organ, malah lebih menggerunkan apabila bertindak membunuh untuk mendapatkan organ yang sihat untuk dijual di pasaran gelap pada harga yang tinggi.

Terdapat juga orang perseorangan yang bersetuju untuk menjual organ tubuhnya kepada pihak tertentu untuk mendapatkan habuan lumayan.

Malah agak mengarut apabila terdapat manusia yang sanggup menjual organ pentingnya untuk mendapatkan sesuatu yang langsung tidak berbaloi.

Itulah yang berlaku di China baru-baru ini apabila pihak berkuasa Chenzhou, tengah China mendakwa lima orang kerana terbabit dalam perniagaan organ secara haram.

Mengarut tapi benar! Mereka ditangkap selepas menjalankan pembedahan ke atas seorang remaja yang menjual salah satu ginjalnya hanya untuk membeli telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad.

Remaja terbabit ialah seorang pelajar sekolah tinggi berusia 17 tahun yang hanya dikenali sebagai Wang.

Kelima-lima tertuduh terdiri daripada seorang doktor bedah, seorang kontraktor hospital dan beberapa broker mencari penderma organ.

Salah seorang tertuduh dikatakan menerima bayaran 220,000 yuan (RM107,310) untuk pembedahan mengeluarkan ginjal tersebut dan hanya menyerahkan 22,000 yuan (RM10,731) kepada pelajar berkenaan.

Hakikatnya sindiket penjualan organ manusia memiliki jaringan peringkat antarabangsa yang teratur dan didalangi kumpulan jenayah terancang. Ini berikutan permintaan untuk organ dalaman manusia ini begitu tinggi berikutan kekurangan yang begitu ketara.

Tidak menghairankan apabila kumpulan ini bergerak dalam senyap dengan menumpukan kepada golongan sasaran rakyat miskin, mereka yang kesempitan hidup dan wang ringgit.

Tampil

Antara negara yang didakwa terlibat secara besar-besaran dalam sindiket ini adalah China, India, Mozambique, Pakistan dan Moldova.

Di Malaysia dan kebanyakan negara lain, pemerdagangan organ manusia adalah diharamkan, selaras dengan prinsip panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pemindahan organ.

Maka jalan penyelesaian terbaik sudah tentu mengharapkan lebih ramai yang tampil menderma organ untuk membantu mereka yang memerlukan.

Bagi umat Islam pula, mereka tidak perlu was-was kerana Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1970 telah memutuskan bahawa pendermaan organ si mati kepada orang lain atau menerima organ orang bukan Islam dibenarkan, selagi tiada unsur jual beli kerana organ adalah kurniaan Allah SWT yang tiada nilai gantinya.

Selain itu, ramai ulama bersetuju dengan keharusan menderma organ kerana ia memenuhi salah satu maqasid syariat Islam, iaitu memelihara nyawa. Ini mengingatkan kita kepada peristiwa di mana mata pejuang Islam Qadatal bin Nukman telah terkeluar dalam satu peperangan lalu dipindahkan semula oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu adalah lebih baik pendermaan organ ini dilakukan secara lebih menyeluruh daripada hati yang ikhlas untuk menyelamatkan insan lain yang lebih memerlukan seperti yang berlaku terhadap Hui Yee.

Walaupun tidak hidup lama, namun sekurang-kurangnya Hui Yee sempat berkongsi anugerah kehidupan lebih lama sedikit berbanding ribuan lain yang masih belum tentu masa depan mereka kerana masih mengharap penderma. untuk meneruskan kehidupan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : INTI PATI BELANJAWAN 2013



KUALA LUMPUR : Berikut ialah intipati Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Tema Belanjawan 2013 ialah "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan.

* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukkan pembangunan.

* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan.

* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.

* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.

* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.

* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.

* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.

* Pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

* KDNK nominal dijangka melepasi paras RM1.0 trilion.

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi program dan projek pembangunan, dengan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.

* Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan 2013 dianggarkan meningkat kepada RM208.6 bilion.

* Pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.

* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar

* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.

* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.

* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan.

* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.

* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.

* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* RM500 juta diperuntukkan bagi projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang, RM300 juta untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembetungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

* RM358 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014.

* Lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

* Memberi penekanan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. RM5.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

* RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan bekalan benih berkualiti, kestabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian.

* RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

* RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit di bawah NKEA sektor perladangan.

* RM127 juta disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran.

* Empat kawasan jelapang padi baru dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pertambahan seluas 19,000 hektar dengan penyertaan 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104,000 tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak RM140 juta.

* RM230 juta diperuntukkan sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Pada masa ini kerajaan memberi elaun sara hidup RM200 sebulan kepada nelayan, menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi hasil tangkapan ikan dan memperkenal skim perlindungan insuran nelayan.

* Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus Tun Razak Exchange, pengecualian duti setem berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah.

* Yayasan Wakaf Malaysia, di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat dengan mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.

* RM9 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.

* Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1 bilion akan disediakan oleh SME Bank untuk membantu PKS membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.

* Skim Jaminan Modal Kerja akan dilanjutkan sehingga Disember 2013, dan diperluaskan kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi serta kelayakan manakala dana pemegang saham syarikat ditingkatkan kepada RM20 juta.

* Dana Infra Nasional Bhd akan terbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk biayai pembangunan MRT.

* Perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit akan diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* Pelabur individu diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.

* Suruhanjaya Sekuriti perkenal inisiatif Graduate Representative Program dengan sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan.

* Peruntukan modal Dana jamin ditambah sebanyak RM400 juta dalam tempoh dua tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4 bilion hingga RM6 bilion.

* RM100 juta disediakan kepada Yayasan Pasaran Modal melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti.

* RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pemberian subsidi dan intensif pertanian. Bantuan ini termasuk RM480 juta bagi subsidi dan insentif padi yang merangkumi pemberian subsidi harga padi, RM465 juta pemberian subsidi baja padi, RM80 juta insentif peningkatan hasil padi, RM563 juta insentif pengeluaran harga padi, RM528 juta subsidi harga beras dan RM85 juta subsidi benih padi sah.

* Memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar, yang dapat memanfaatkan 172,000 pesawah. Buat permulaan kerajaan memperuntukkan RM50 juta.

* RM41 juta diperuntukkan bagi projek Azam Tani bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta keluar daripada garis kemiskinan.

* RM38.7 diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.

* Peruntukan tambahan RM500 juta bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan "Higher Order Thinking Skills".

* Tambahan RM1 bilion lagi kepada Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

* RM1.2 bilion diperuntukkan bagi pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional.

* Peruntukan RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.

* Kerajaan mencadangkan geran pelancaran RM10,000 kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat.

* Potongan cukai dua kali akan diberi kepada majikan yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan.

* Potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.

* Dana Skim Pembiayaan Teknologi Hijau akan ditambah sebanyak RM2.0 bilion lagi dan tempoh permohonan skim ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015.

* Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada tiga peratus menjelang 2015.

* Sistem percukaian negara akan diperkukuhkan dengan sistem cukai yang menyeluruh dan saksama.

* Perolehan kerajaan dan pembelian adalah berdasarkan prinsip "nilai untuk wang".

* Peruntukan RM6 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi. Antara projek yang dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah, klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.

* Peruntukan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga berpatutan di kawasan strategik, dan akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan Jabatan Perumahan Negara.

* Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun mulai tarikh perolehan dikenakan pada kadar 15 peratus, bagi tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun dikenakan pada kadar 10 peratus dan bagi tempoh pegangan melebihi lima tahun tidak dikenakan CKHT.

* Peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai.

* Insentif cukai pemulihan rumah terbengkalai untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta.

* Kadar cukai pendapatan diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000.

* Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan antara satu dan tujuh mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan bercukai.

* Felda akan membangunkan 20,000 projek perumahan dalam kawasan Felda, membaiki rumah-rumah kampung tradisi, program latihan dan latihan kemahiran.

* Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah untuk pelajar prasekolah di kawasan pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif.

* Syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan RM500 juta untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam sekitar.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 80 peratus guru amal budaya penyayang di sekolah


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Hasil kaji selidik Indeks Persepsi Murid (IPM) yang dijalankan Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran mendapati lebih 80 peratus guru di negara ini mengamalkan budaya kasih sayang di sekolah.

Menurut Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim Othman, peratusan itu hasil maklum balas lebih 2,000 murid sekolah di seluruh negara yang melaksanakan Program Guru Penyayang sejak Februari lalu.

Beliau berkata, kira-kira 87.5 peratus murid mendapati guru-guru di sekolah adalah penyayang dan mengambil berat terhadap mereka.

“Ia sesuatu yang positif terhadap pengukuhan dan menambah baik Program Guru Penyayang yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahim, peratusan tersebut bukanlah bermakna bilangan guru selebihnya tidak penyayang tetapi belum mengamalkan sepenuhnya budaya tersebut yang ditekankan menerusi program berkenaan.

“Kami berharap peratusan itu akan meningkat dengan kesemua guru di negara ini mengamalkan budaya penyayang kerana ia merupakan aset dan sifat profesional yang perlu ada pada seorang guru," jelasnya.

Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Ab. Rahim berkata, program selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan mendapat maklum balas dan pandangan di peringkat sekolah yang melaksanakan program berkenaan bagi mencari kaedah penambahbaikan.

“Ia melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan disiplin Jabatan Pelajaran Negeri serta wakil persatuan guru," ujarnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Kavyan sokong selaraskan subjek BM di SK, SJK


OLEH : UTHAYA SANKAR SB

KETIKA berucap pada majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 September 2012, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 menyokong penuh langkah ini ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; termasuk di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Kavyan berpendapat bahawa belum terlewat untuk menyelaraskan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Hal ini memandangkan jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Buat masa ini, UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia juga dilaksanakan dalam tiga tahap berbeza bagi murid SK, SJKC dan SJKT. Kavyan berpendapat bahawa amalan itu perlu dihentikan kerana secara tidak langsung, hak kanak-kanak pelbagai kaum di sekolah berlainan aliran untuk menguasai Bahasa Malaysia seperti dinafikan menerusi sistem pendidikan yang berbeza.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, dengan peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.

Kavyan juga sangat mengalu-alukan dan sangat menyokong pemansuhan kelas peralihan secara sepenuhnya. Pada pendapat Kavyan, tidak ada alasan mengapa murid yang belajar di Malaysia perlu memberi – atau diberi – alasan belum menguasai Bahasa Malaysia dan perlu mengikuti kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu di SMK.

Kavyan juga bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran iaitu  murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran Bahasa Malaysia diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.

Sejak 1999, Kavyan terlibat dalam mengendalikan pelbagai acara ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Berdasarkan pengalaman itu, Kavyan bersedia membantu Kementerian Pelajaran bagi menjayakan hasrat meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid pelbagai kaum di SK, SJKC dan SJKT.

Kavyan juga berharap, guru-guru Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diberikan latihan tambahan sebagai persediaan untuk memblehkan mereka mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara benar-benar berkesan, selaras hasrat kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Ke arah itu, Kavyan juga bersedia mengendalikan latihan berupa program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi para guru terbabit di seluruh negara. Kavyan bersedia berkongsi pengalaman, ilmu dan panduan menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan; khususnya di SKJC dan SJKT.

Kavyan yang menggunakan slogan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” terdiri daripada sekumpulan penulis dan peminat sastera Bahasa Malaysia dalam kalangan kaum India. Sejak November 2011, keahlian Kavyan terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum sebagai usaha mendaulatkan Bahasa Malaysia ke arah pembinaan Bangsa Malaysia menerusi karya sastera kebangsaan.


Uthaya Sankar SB, Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pilihan raya kampus semai prinsip demokrasi


Oleh : Amadi Abdul Manan
 
Proses bentuk kematangan pelajar IPT

Pengalaman terbabit dengan kempen Majlis Perwakilan Pelajar (kini Majlis Perwakilan Mahasiswa) sekitar tahun 90-an amat manis jika dikenang kembali. Pada masa itu Universiti Sains Malaysia (USM) antara yang terawal memperkenalkan pengundian berkomputer. Banyak ragam yang kadangkala agak melucukan. Ada yang memasukkan kad matrik lalu tersangkut di dalam slot cakera liut. Mungkin kerana salah faham arahan memasukkan nombor matrik dengan memasukkan kad matrik. Pengalaman yang agak mahal pada penulis ialah membentuk pemuafakatan pelajar. Pelajar USM yang rata-ratanya hampir sama ramai antara pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera memerlukan hikmah kesabaran dan sedikit kesenian. Perbincangan hingga larut malam mengenai manifesto dan pendekatan kempen juga peralatan kempen seperti poster dan kertas edaran merupakan pengalaman yang amat berharga.

Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian jika kita ingin benar-benar mahukan pendidikan demokrasi ini berjalan dengan lancar dan berkesan”

Walaupun ketika itu kami terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar membentuk pakatan atau ‘parti politik’, ia tidak menghalang kami untuk bertindak secara kreatif untuk melepasi halangan berkenaan.

Selepas memperoleh kemenangan, proses melantik ‘Presiden’ dan Kabinetnya juga amat mencabar. Selepas itu bermulalah ‘YB’ kampus ini berkhidmat bagi memenuhi hasrat pengundi dan menunaikan janji yang sudah diungkapkan ketika berkempen.

Penulis sendiri tidak pernah bertanding kerana terbabit dengan persatuan pelajar pada peringkat kebangsaan yang menuntut masa yang lebih banyak. Namun, selepas ‘YB’ ini dilantik, wujud keperluan untuk mereka berbincang mengenai isu yang berkaitan dengan mereka pada peringkat kebangsaan.

Seingat penulis ketika itu, pemimpin mahasiswa terpanggil untuk menyuarakan pandangan mengenai isu pengkorporatan IPTA dan isu memanggil pulang pelajar Malaysia di luar negara ketika negara dilanda kemelesetan ekonomi pada 1998. Di situlah penyelarasan dilakukan, daripada pelajar, oleh pelajar dan untuk pelajar.

Proses Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah sesuatu yang penting bagi negara kita kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen sejak kita mencapai kemerdekaan. PRK adalah satu proses pendidikan demokrasi yang mesti dilaksana dengan penuh rasa bertanggungjawab.

Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian jika kita ingin benar-benar mahukan pendidikan demokrasi ini berjalan dengan lancar dan berkesan.

Pertama ialah tanggungjawab pengundi. Mungkin di kampus proses pendaftaran pengundi tidak diperlukan kerana selagi bergelar pelajar sepenuh masa, mereka layak untuk mengundi. Tambahan pula kini pelbagai sistem sudah pun wujud bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan nama sebagai pengundi.

Namun perkara yang paling penting adalah mahasiswa berasakan peri penting dan nilai pengundian. Walaupun mereka hanya mewakili satu undi, ia amat bermakna untuk menentukan kepemimpinan mahasiswa negara. Mereka perlu menunaikan kewajipan untuk mengundi. Pengundi perlu membuat pilihan dengan betul dengan menggunakan segala ilmu yang dipelajari. Mereka adalah golongan yang terpelajar yang boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan ilmu dan fakta serta dapat lari daripada sebarang sentimen kelompok yang sempit.

Perkara kedua ialah penghayatan semangat demokrasi. Demokrasi adalah satu sistem yang memenangkan majoriti. Demokrasi membenarkan kepelbagaian pandangan dan pemikiran. Justeru, menghormati pandangan adalah sesuatu yang dituntut dalam kita melaksanakan demokrasi. Jangan ada yang sampai bergaduh atau bertindak di luar batasan yang memalukan kelompok mahasiswa.

Ia juga sebagai satu proses penghayatan budaya ilmu. Tradisi budaya ilmu yang amat menghormati kepelbagaian pandangan perlu diterjemahkan dengan betul oleh semua mahasiswa di kampus hari ini. Mahasiswa perlu berbahas dan berdebat dengan matang dan rasional bagi mengemukakan gagasan kepemimpinan yang hendak dilaksanakan.

Yang ketiga ialah penerimaan kemenangan. Jika segala proses PRK telah berjalan dengan penuh jujur, telus dan bertanggungjawab, maka segala keputusan yang keluar perlu dihormati. Ia satu adab bagi seorang yang terpelajar untuk menghormati proses dan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

Jangan timbul sabotaj atau perbuatan khianat yang menurunkan darjat mahasiswa. Ia perbuatan yang sia-sia dan tidak menguntungkan sesiapa. Begitu juga dengan pengundi perlu untuk menghormati pemimpin yang telah dipilih dan memberikan kerjasama.

Pengendali PRK iaitu Bahagian Hal Ehwal Pelajar setiap IPT perlu melaksanakan tanggungjawab pendidikan demokrasi ini dengan adil dan saksama bagi memastikan tahap kepercayaan mahasiswa terpelihara.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 26 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Permohonan Masuk Ke Tingkatan Empat MRSM Dibuka 1 Oktober


KUALA LUMPUR : Permohonan kemasukan ke Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2013 akan dibuka secara 'online' mulai 1 Oktober ini selama sembilan hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, permohonan dan keterangan lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web  www.mara.gov.my. BERNAMA