Jumaat, 12 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan kenegaraan lahir pemimpin berkualiti


Oleh : Muhamad Razak Idris

Pengkaji bidang kenegaraan kini banyak memberikan tumpuan kepada siri debat antara Barack Obama dan Mitt Romney, calon Presiden Amerika Syarikat (AS). Siri pertama berlangsung pada 3 Oktober lalu. Ia mendapat perhatian seluruh masyarakat dunia. Sekiranya kita mengikutinya menerusi laman YouTube di internet misalnya, lebih jutaan menontonnya. Populariti Obama dan kedudukan AS sebagai sebuah kuasa besar dunia antara faktor utama mendorong minat ini.

Selepas mengikuti debat mereka, ia menerbitkan beberapa buah fikiran untuk dibincangkan. Pertama, acara debat adalah medium perhubungan antara pemimpin dan rakyat dalam sesebuah negara demokrasi. Kedua, satu program pendidikan kenegaraan penting dibangunkan dan diperkenalkan dalam negara kita pada hari ini. Acara debat antara calon presiden di AS itu nampaknya bukan saja dinantikan rakyatnya, malah calon yang bertanding itu sendiri. Ia dianggap pentas terbaik bagi mempersembahkan rancangan kepemimpinan mereka kepada seluruh rakyat yang bakal memilih. Rakyat perlu diberi keyakinan pada tahap tertinggi mengenai dasar dan pendekatan yang digunakan dalam tempoh kepemimpinan akan datang sekiranya terpilih.

Hujah berasaskan ilmu

Sudah tentu setiap negara mempunyai cabaran dalaman dan luarannya yang tersendiri. Dalam acara debat antara Obama dan Romney, mereka saling berhujah berasaskan ilmu dan pengalaman mereka sepanjang berada di dunia kepemimpinan berkaitan langkah yang perlu AS lakukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dipertahankan dan dalam masa sama memastikan AS terus menjadi peneraju kepemimpinan dunia.

Meyakinkan rakyat mengenai misi ini bukan suatu yang mudah. Ia menuntut penguasaan pengetahuan kenegaraan dan kemahiran kepemimpinan yang tinggi. AS hari ini berdepan cabaran besar. Ia harus menangani tanggungan hutang yang kini berjumlah ribuan bilion dolar dan pada masa sama perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan dan menjamin keselamatan sosial dan kesihatan penduduknya.

Cabaran ini menuntut suatu formula yang terbaik dari segi dasar dan pelaksanaan. Ia membabitkan isu pengurusan cukai dan pentadbiran ekonomi yang menyeluruh membabitkan sektor awam dan swasta. Obama dan Romney mempunyai perspektifnya tersendiri bagaimana menangani pelbagai cabaran ini. Perspektif mereka dibentang dan dibahaskan secara terbuka kepada rakyat AS. Mereka yakin, sekiranya rakyat dapat difahamkan secara menyeluruh dasar yang akan diperkenalkan nanti, mereka pasti akan mendapat peluang terpilih pada pilihan raya presiden nanti. Dalam sistem demokrasi di AS, nampaknya hubungan rakyat dan pemimpin terbuka dan dekat. Peranan pemimpin ialah menawarkan agenda kepemimpinan masa depannya, manakala rakyat pula perlu meneliti dan mengkaji tawaran berkenaan. Rakyat disalurkan maklumat mengenai rancangan dan agenda pemerintahan menerusi pelbagai pengantara. Nampaknya, pentas debat adalah antara pengantara yang amat berkesan dalam amalan demokrasi di AS.

Amalan demokrasi matang

Realiti ini memberikan kita kefahaman iaitu pencapaian amalan demokrasi yang matang banyak bergantung kepada tahap kesedaran dan keupayaan ilmu kenegaraan oleh rakyatnya. Dalam suasana rakyat berpengetahuan ini, ia mendorong kelahiran pemimpin berkualiti bagi menawarkan agenda kepimpinan terbaik kepada mereka. Pemimpin ini sedar mereka perlu menampilkan kualiti kepemimpinan terbaik untuk terpilih kerana rakyat negaranya memiliki daya pengetahuan yang tidak boleh dipersendakan.

Sehubungan itu, pengenalan program pendidikan kenegaraan adalah penting. Dalam amalan demokrasi hari ini, rakyat sebenarnya penentu masa depan negara. Untuk itu, rakyat tidak saja harus sekadar peka mengenai isu politik, malah perlu memiliki pengetahuan tentang ilmu kenegaraan pada tahap tertinggi. Rakyat perlu melihat ilmu kenegaraan sebagai benteng yang akan memastikan negara yang didiami mereka sentiasa dipandu secara terbaik oleh barisan kepemimpinan yang berkualiti dan bertanggungjawab.

Mengenai ilmu kenegaraan ini, rakyat harus memahami iaitu ia mengandungi aspek teras dan aspek yang berubah. Pemuafakatan dicapai bersama ketika penubuhan negara dan tercatat dalam perlembagaan adalah aspek teras yang perlu sama-sama didukung.

Banyak kelebihan apabila rakyat memiliki pengetahuan kenegaraan yang tinggi. Ilmu ini bukan sekadar memberikan keupayaan bagi rakyat memilih tawaran kepemimpinan terbaik, malah mengelakkan terjebak daripada tipu daya oleh dunia politik yang serba licik.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Pada Zaman Ini


Pada zaman ini adalah terlalu sukar
mencari buku-buku A.Samad Said
mahupun Shahnon Ahmad atau, Keris Mas
ataupun Tongkat Warrant, jauh sekali Kemala atau
Zurinah Hassan penyair wanita doktor falsafah
di toko-toko buku di gedung berjenama
dan pedih sekali di toko kota terpencil desa.

Pada zaman ini adalah terlalu sukar
ilmu kemanusiaan mahu diurusniagakan
apatah buku-buku sastera dan majalah
telah lama terpinggir di gubuk pustaka tua
di sekolah dan pusat dokumentasi universiti
sementara aku terus menerima buku puisi
kiriman penyair setia dengan cetakan sendiri .

Pada zaman ini rakyat senegara
dan dikatakan sebangsa sejiwa
amat mengejar teknologi benda
dan menghitung sains harta dengan
status mempamerkan gelar dan pangkat
dengan segala buku dan majalah import serba
erotika dan picisan susuk menggoda.

Pada zaman ini tidak kurang juga
buku-buku agama dan majalah kerohanian
yang kian banyak ditulis para bijaksana agama
ada yang mengaku ustaz serba-serbi
dan buku motivasi karya yang pakar tumbuh melata
tatkala manusia juga kian runtuh
akhlak dan maruah diri!

Rajiee Hadi  
     
20 JULAI 2012
Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.

ISU SOSIAL : Penyakit mental jejas pembentukan pewaris gemilang


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Pendedahan terkini dikemukakan menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan seharusnya diteliti dengan rasa penuh kebimbangan. Menurut kajian yang dikemukakan Kementerian Kesihatan, jelas menunjukkan peningkatan mendadak masalah kesihatan mental yang dialami kanak-kanak dan remaja berumur lingkungan 15 tahun ke bawah (BH 8 Oktober 2012).

Kenyataan ini amat menggusarkan kita kerana mereka adalah kelompok yang bakal meneruskan kesinambungan generasi kini. Sebarang cacat cela yang berlaku terhadap mereka akan mempengaruhi hitam putih pembentukan negara pada masa hadapan.

Asas kekuatan insan banyak bertunjang kepada kemampuan akal dan fikiran. Menerusi akal dan fikiran yang sihat, individu akan bersikap proaktif, reseptif serta mampu menyesuaikan secara positif terhadap keadaan persekitaran.

Insan yang mempunyai akal fikiran sihat mampu menyumbang secara konstruktif serta efektif demi kebaikan rakyat serta negara tercinta. Namun, dalam keadaan mental yang tidak sihat, individu bakal mengganggu-gugat kitaran pembentukan generasi yang kukuh.

Citra wibawa generasi muda

Usia remaja serta kanak-kanak adalah detik penting dalam pendidikan setiap insan. Ketika tempoh itu, kemampuan kognitif serta sosial individu secara asasnya akan dipupuk.  

Usaha itu akan tergendala jika kanak-kanak serta remaja gagal mengawal emosi, bersikap mengasingkan diri (tidak mahu berinteraksi secara sosial), serta sering berfikiran negatif.

Cerminan masa depan negara akan ditampilkan menerusi citra wibawa generasi mudanya. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan citra wibawa mereka dapat dibentuk dengan kukuh.
Pada peringkat awal usia, kanak-kanak perlu didedahkan untuk berinteraksi dengan persekitaran. Kebebasan untuk mentafsir perlu digalakkan di bawah pemerhatian ibu bapa dan keluarga.

Apabila seseorang menganjak ke usia remaja, potensi perlu digilap dengan memahami kehendak serta pemikiran mereka. Galakan serta sokongan perlu diberikan jika apa yang difikirkan ( remaja) mampu membawa kebaikan.

Sebaliknya, mereka juga perlu ditegur serta dihukum secara membina untuk menyedarkan akan implikasi negatif terhadap sesuatu perkara (sekiranya mereka melakukan perkara negatif).

Dengan lain perkataan, daripada hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bermaksud kegagalan kita melahirkan generasi muda yang mempunyai kesihatan mental membanggakan kerana dalam usia sebegini seseorang masih di bawah jagaan dan bimbingan ibu bapa serta keluarga.

Tahap kompetensi tinggi

Justeru, bagi mengatasi masalah ini, ilmu yang berkaitan dengan keluarga perlu diberi perhatian. Ibu bapa perlu dibantu agar mempunyai tahap kompetensi tinggi.

Ia perlu meliputi kaedah mengenal pasti masalah, punca dan tanda, langkah yang wajar diambil serta akhirnya kepada kaedah bimbingan dan penyelesaian masalah. Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi ibu bapa masa kini.

Proses pendidikan terhadap golongan ini perlu melangkaui kebiasaan masa ini. Semangat persaingan yang bersifat materialistik serta individualistik hanya menambahkan tekanan ke atas remaja atau kanak-kanak.

Meletakkan mereka dalam kancah saingan seperti ini melahirkan sikap mementingkan diri serta kiasu yang hanya menjejaskan pertumbuhan emosi. Persaingan seperti ini akan meruntun semangat ingin membina jati diri yang positif.

Mereka harus didedahkan dengan persaingan sihat, yakni sebarang kejayaan serta kegagalan dinilai sebagai sumber pengajaran untuk memperkemaskan jati diri mereka. 

Hubungan dua hala

Ibu bapa serta keluarga tidak harus cuai dalam menampilkan interaksi emosi yang positif untuk membina keyakinan dalam hubungan dua hala di antara mereka. Hanya menerusi interaksi positif (antara ibu bapa), proses pendidikan mampu dijalankan secara menyeluruh.

Untuk membantu individu mencapai puncak potensi diri, kesihatan akal serta fikirannya perlu dihormati serta dijaga. Ia perlu dielak daripada dicemari elemen materialistik, individualistik serta hedonistik yang mengalpakan fitrah insan.

Kemampuan akal serta fikiran individu adalah hak yang sudah dimartabatkan secara adil oleh Allah SWT. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghormati kurniaan ini demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Malaysia perlu pekerja berkualiti, berkemahiran tinggi


Oleh : ROHAMI SHAFIE

UMUM mengetahui Singapura adalah satu-satunya negara maju di rantau Asia Tenggara. Bagaimana ekonomi Singapura dipacu sehingga mencapai status ekonomi negara maju?

Salah satu strategi yang digunakannya adalah dengan menarik bakat-bakat terbaik di seluruh dunia terutamanya negara China dan India bekerja memajukan dan menyumbang idea untuk ekonomi Singapura.

Natijahnya, rakyat Singapura sendiri berasa mereka dipinggirkan oleh kerajaan. Maka, tercetuslah rungutan dan keluhan rakyat Singapura bahawa bakat-bakat negara lain telah mengambil alih peranan mereka. Meskipun kebanyakan bakat luar adalah sebangsa dengan mereka, namun bukan bermakna rakyat Singapura berasa mereka lebih selamat dengan kehadiran bakat-bakat luar yang sama warna kulit.

Perkara sama juga berlaku di Malaysia. Cuma bezanya kualiti warga asing yang bekerja di Singapura dengan warga asing yang mencari rezeki di Malaysia. Umum mengetahui negara kita berada di landasan yang betul untuk menjadi negara maju. Maka, berpusu-pusu warga asing datang mencari rezeki di Malaysia.

Mereka ini kebanyakannya mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Maaf cakaplah dalam kebanyakan keadaan mereka ini telah menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berasa berada di negara asing. Jumlah yang terlalu ramai tetapi kualiti yang ada tidaklah sehebat seperti warga asing yang bekerja di Singapura.

Jadi apakah pekerjaan yang mereka lakukan? Di kebanyakan sektor mereka hanya bekerja sebagai pekerja bawahan yang bersifat buruh. Sumbangan mereka ini tidak begitu besar terhadap negara kita. Berbeza 15 tahun yang lalu kualiti pekerja sebegini amatlah diperlukan kerana daya saing negara bergantung pada kos buruh yang rendah.

Tetapi kini negara kita berada pada tahap ekonomi sederhana dan menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, maka daya saing berdasarkan kos buruh yang rendah tidak memberi impak besar terhadap ekonomi negara.

Malaysia memerlukan pekerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. Ekonomi negara memerlukan lebih ramai para pekerja yang berinovasi, kreatif dan produktif. Hanya pekerja yang mempunyai bakat luar biasa sahaja yang mampu memberi idea di luar kotak dan pada masa sama idea itu boleh dilaksanakan untuk memajukan ekonomi negara.

Jadi, apa perlunya begitu ramai warga asing di Malaysia? Sudahlah mereka ini tidak begitu menyumbang terhadap ekonomi negara, perniagaan penduduk tempatan pula diambil alih oleh mereka sedangkan ia adalah hak mutlak rakyat Malaysia.

Dilaporkan bahawa ramai warga asing yang berniaga dan perniagaan mereka telah menjana keuntungan yang amat besar terhadap mereka sehinggakan sebanyak RM6 bilion setahun mengalir keluar ke negara asing. Sekali lagi, ekonomi negara kita mengalami kerugian besar. Jumlah ini cukup besar untuk membantu golongan miskin warga tempatan.

Yang menjadi masalahnya, di manakah penguat kuasa-penguat kuasa yang diamanahkan untuk membanteras kegiatan perniagaan warga asing yang menyalahi undang-undang negara kita? Adakah mereka tidak nampak atau buat-buat tidak nampak sedangkan warga asing berniaga secara terang-terangan dan berleluasa?

Hendak disalahkan warga asing seratus - peratus pun tidak boleh sebab kita sendiri telah menyebabkan aktiviti perniagaan mereka menjadi-jadi sehingga mengalahkan usahawan tulen tempatan. Bukankah sepatutnya kita mempertahankan usahawan tulen tempatan? Begitu juga ramai peniaga tempatan sanggup mengalibabakan perniagaan kepada warga asing. Ini seolah-olah sudah menjadi tabiat segelintir peniaga kita. Mahu untung segera dalam jangka masa pendek

Mereka ini tidak fikir panjang. Mereka ini juga tidak bersyukur kerana ramai lagi usahawan tulen tempatan yang sanggup berniaga sepenuhnya dan bukan mencari untung atas angin. Lebih baik mereka ini tidak dibenarkan berniaga seumur hidup kerana telah merugikan negara.

Kerajaan perlu tegas dengan perkara ini. Jika tidak, jangan menyesal suatu hari nanti warga asing mengawal ekonomi Malaysia. Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kalau kita berdiam diri sahaja. Suka menjadi penonton berbanding menjadi penggerak utama ekonomi negara.

Sudahlah warga asing ini mula menguasai perniagaan-perniagaan di Malaysia, jenayah pula semakin bertambah. Berapa banyak kes warga tempatan terutamanya wanita diganggu oleh Awang Hitam? Bagaimana mereka ini sebegitu berani mengganggu penduduk tempatan jika tidak kerana jumlah mereka semakin ramai. Ini belum diambil kira kes-kes jenayah berat seperti merompak, membunuh dan merogol. Rakyat tertanya-tanya sampai bilakah perkara ini akan berakhir?

Kita tidak boleh lagi mengharapkan warga asing memberi sumbangan besar terhadap ekonomi negara kita. Warga tempatan sepatutnya memberi sumbangan besar. Dengan tertubuhnya Talent Corporation, dijangkakan ramai bakat  luar biasa warga Malaysia yang bekerja di luar negara akan kembali menyumbang bakti di Malaysia.

Tetapi perlu diingat bagaimana pula dengan bakat-bakat sedia ada di Malaysia? Mereka ini sepatutnya diutamakan dan bukannya bakat-bakat 'asing' yang bekerja di luar negara, jauh sekali warga asing yang banyak menyusahkan rakyat dan merugikan ekonomi negara kita.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Empat Lagi Hospital Sertai Projek Sekolah Dalam Hospital



PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat lagi hospital dipilih menyertai projek 'Hati Nurani' iaitu Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memberi kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, dengan pembukaan empat SDH itu, bilangannya kini bertambah kepada tujuh selepas Institut Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang dibuka Julai tahun lepas.

Katanya, SDH yang bakal dibuka adalah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan fasa kedua SDH menandakan kejayaan tiga SDH yang menjadi perintis kepada projek tersebut.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) Pelaksanaan Projek Hati Nurani: Sekolah Dalam HOspital, di sini, Jumaat.

MoU tersebut adalah antara Kementerian Pelajaran, PPUKM, HUSM dan Yayasan Yaqeen manakala dua lagi hospital tersebut telah menandatangani MoU sebelum ini antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan yayasan tersebut.

Muhyiddin berkata, sejak dilaksanakan tahun lepas, seramai 6,550 pelajar dari pra sekolah hingga ke sekolah menengah telah mendapat manfaat daripada program itu di ketiga-tiga hospital tersebut.

Katanya, Hospital Serdang mencatatkan murid pra sekolah paling tinggi iaitu 328 murid, Hospital Kuala Lumpur mencatatkan bilangan murid sekolah rendah paling ramai (1,730) manakala pelajar sekolah menengah paling tinggi iaitu 855 murid dicatatkan di Hospital Ampang.

"Ini menunjukkan bahawa semakin ramai murid-murid pesakit yang mendapat manfaat daripada pembukaan SDH ini dan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti," katanya.

Justeru itu, beliau telah meminta kementeriannya meneliti hasil pelaksanaan program itu khususnya keputusan yang dicapai oleh pelajar pesakit yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhyiddin turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam fasa kedua program itu agar memberi kerjasama penuh dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

Beliau berkata, pengurusan program itu juga perlu diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pelajar yang menerima rawatan mendapat pembelajaran seperti mana rakan-rakan mereka di sekolah.

Katanya, kejayaan SDH bergantung sepenuhnya kepada kerjasama semua pihak termasuk doktor, jururawat, pentadbiran hospital, guru serta ibu bapa pesakit.

Muhyiddin berkata, kementerian juga memutuskan bahawa program SDH akan menjadi program kekal dan ia sedang diinstitusikan sebagai program kementerian secara tetap yang mana pegawai dan guru di bawah penyeliaan dan pengurusan kementerian ditempatkan di hospital yang berkenaan.

Beliau juga membayangkan dalam satu tempoh yang tidak berapa lama, program itu dapat diperluaskan kepada lebih banyak hospital di negara ini.

Projek 'Hati Nurani' merupakan cetusan idea isteri Muhyiddin, Puan Seri Norainee Abdul Rahman, bagi memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati pendidikan berkualiti. - BERNAMA

Khamis, 11 Oktober 2012

ISU KESIHATAN : Tangani sakit mental seperti penyakit serius lain


TAN SRI LEE LAM THYE

PROMOSI dan peningkatan kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia daripada  semua golongan umur harus diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian agenda utama kesihatan nasional berkaitan isu-isu kesihatan yang perlu ditangani.

Masalah kesihatan mental terutamanya yang berkaitan tekanan mental hendaklah ditangani segera supaya stres, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan cubaan bunuh diri dapat dielakkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendedahkan baru-baru ini bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

Prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa adalah 11.2% dalam tahun 2006 berbanding 10.6% dalam 1996 dan prevalen masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3% berbanding 13.0% dalam 1996. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental di kalangan wanita 12.1% dan di kalangan lelaki adalah 10.4%.

Prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi di kalangan kumpulan umur 70 -74 tahun, iaitu 19.5% dan diikuti dengan kumpulan umur 16 - 19 tahun adalah 14.4%.

Prevalen masalah kesihatan mental lebih tinggi di kalangan mereka yang bujang adalah 13.1% dan diikuti balu 12.2% dan bercerai adalah 13.6% berbanding yang statusnya berkahwin sebanyak 10.5%. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan iaitu 16.6%.

Peningkatan pada tahap tekanan dan tanggungjawab sosial yang rumit adalah di antara faktor-faktor yang menyebabkan lebih ramai orang mengalami masalah mental.

Tekanan yang berlebihan akan memberi kesan yang serius kepada kesihatan mental dan kehidupan seharian kita.

Tiada negara atau individu yang terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal, sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi. Kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sama seperti masalah kesihatan lain.

Kesihatan mental bukan sekadar berkenaan penyakit mental. Ia adalah perasaan kesejahteraan, keupayaan menghadapi cabaran dan untuk memastikan sikap positif terhadap diri sendiri.

Promosi kesihatan mental boleh diperkenalkan di sekolah untuk menyediakan pelajar-pelajar menghadapi tekanan mental di sekolah dan kaedah menanganinya dengan baik, terutamanya semasa menduduki peperiksaan.

Antara aktiviti untuk mempromosikan kesihatan mental yang boleh dilakukan di sekolah termasuklah meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental di kalangan warga sekolah melalui sesi ceramah, pameran dan kuiz atau pertandingan yang boleh dilakukan sebagai aktiviti kurikulum tambahan yang melibatkan PIBG dan kelab-kelab sekolah.

Lebih ramai kaunselor yang terlatih dengan kemahiran dan teknik untuk memimpin dan membantu pelajar-pelajar menangani masalah tekanan atau stres sangat diperlukan. Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar perlu ditangani segera. Sekiranya mereka tidak mendapat bantuan, negara kita akan menanggung beban satu generasi yang menghadapi masalah kesihatan mental yang serius di dalam suasana persaingan global yang kian meningkat.

Kita tidak dapat menidakkan bahawa sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan tekanan daripada ibu bapa ke atas anak-anak untuk berjaya di sekolah.

Kita perlu menerapkan sikap percaya akan diri sendiri kepada anak-anak supaya kegagalan atau kekecewaan dapat dilihat sebagai peluang untuk mencuba lagi dan bukan sebagai kekurangan atau kelemahan diri.

Pendidikan dan promosi ke atas kesihatan mental yang bertujuan mengekang peningkatan masalah psikososial dalam kalangan masyarakat, adalah amat penting, selari dengan aspirasi kita untuk menjadi negara maju yang sudah semestinya akan memberi tekanan hebat kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Gangguan mental dan penyakit mental lain adalah satu peringatan pahit di dalam kehidupan yang tidak sepatutnya kita abaikan di dalam usaha untuk mencapai status negara maju.

Penulis ialah  Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Majikan jangan memperlekeh isu penjagaan anak


Oleh : Fauziah Arof

BUKAN satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah.

Dan bukan juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.

Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai.

Betapa tidak, kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara.

Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal.

Ini berlaku terutamanya dalam kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.

Kemudahan taska ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya.

Dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh.

Jadi, sudah tentunya, soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang sering diperlekehkan oleh majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak.

Hendak membawa anak ke pejabat ‘pada waktu-waktu genting’ kerana pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling sekiranya anak tersebut menangis atau nakal.

Untuk mencari pembantu rumah, lebih-lebih lagi dengan macam-macam ragam pembantu rumah asing dan macam-macam hal, demand dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan memberi satu lagi tekanan lain pula.

Dalam pada itu, kes penderaan, kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja.

Sehubungan itu, kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini.

Dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk menyediakannya.

Jika syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan pekerja-pekerjanya sendiri.

Jika boleh membina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska.

Kemudahan ini secara tidak langsung, akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa ‘tenang’ untuk bekerja kerana tidak perlu ‘terkejar-kejar’ menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan.

Dalam pada itu, mereka boleh meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat.

Jadi masa akan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja.

Jika majikan bimbang, pejabat akan `beroperasi’ seperti pusat jagaan anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu perjalanan dan urusan kerja.

Pun begitu, dalam menyediakan pusat taska di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi penekanan, agar tidak diadakan sekadar ‘tangkap muat’.

Ini penting, agar taska di pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di rumah yang akhirnya memberikan tekanan yang serupa kepada ibu yang bekerja.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/