Ahad, 14 Oktober 2012

ISU BAHASA : Kesaksamaan kepada rakyat melalui Bahasa Kebangsaan


Oleh : Zin Mahmud

Semalam saya ternampak pintu gerbang baru didirikan di sebuah penempatan lama di Selangor yang dipercayai dibina secara rasmi dengan papan tandanya tertera nama kampung dalam tiga bahasa.

Paling atas diletakkan nama kampung itu dalam Bahasa Malaysia, di bawahnya tertera tulisan Cina dan diikuti dengan Tamil.

Secara praktikal sebenarnya, tidak perlu ditulis dalam tiga bahasa: Melayu, Cina dan India, lebih-lebih ia hanya untuk menunjukkan nama kampung itu.

Cukup dengan tulisan Bahasa Malaysia dan pastinya semua orang dapat membacanya. Sudah tentu semua rakyat Malaysia tahu membaca tulisan Melayu rumi lebih-lebih lagi untuk nama tempat.

Malah mereka yang bukan warganegara seperti pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Nepal juga boleh membaca tulisan Bahasa Malaysia sekurang-kurangnya bagi nama tempat.

Jadi, apa perlunya papan tanda nama tempat itu ditulis dengan tiga bahasa?

Maka dapat dianggap bahawa tindakan untuk meletakkan tiga bahasa itu adalah atas semangat kepelbagaian bahasa dengan menghargai bahasa-bahasa selain Bahasa Malaysia.

Sebagai negara demokrasi sesiapa pun bebas menggunakan bahasa apa sekalipun. Ditambah pula semua warganegara adalah bertaraf saksama, maka begitu jugalah bahasa yang digunakan di negara ini.

Dalam pada itu Bahasa Malaysia tetap diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan didaulatkan. Sebab itulah dalam mendirikan papan tanda di atas pintu gerbang itu, tulisan Bahasa Malaysia diletakkan di atas sekali dengan saiz yang besar. Sementara bahasa Cina diletakkan kecil sedikit iaitu di tempat kedua, diikuti dengan bahasa Tamil.

Sekali lalu, dilihat tindakan seperti ini telah memberi penghormatan kepada ketiga-tiga bahasa dan seterusnya kepada ketiga-tiga kaum utama negara ini.

Namun, jika diteliti secara mendalam lagi, apa yang dianggap sebagai amalan kepelbagaian bahasa dan kepelbagaian kaum ini adalah pada hakikatnya bersifat perkauman dan meletakkan satu kaum di atas kaum lain.

Amalan meletakkan bahasa Melayu, paling atas dan diikuti dengan tulisan Cina dan Tamil seolah-oleh meletakkan kedudukan paling tinggi kepada bahasa Melayu, diikuti dengan bahasa Cina dan Tamil.

Mungkin bahasa Melayu wajar diutamakan kerana ia adalah Bahasa Malaysia dan menjadi bahasa kebangsaan. Tetapi kedudukan itu juga meletakkan bahasa Cina pada kedudukan lebih tinggi daripada bahasa Tamil.

Majoriti

Ataupun mungkin ia dilihat dari sudut majoriti penduduk. Oleh sebab orang Melayu merupakan kaum paling ramai bilangannya, maka sebab itulah bahasa Melayu diutamakan, diikuti dengan kaum Cina yang bilangannya kedua terbesar dan akhirnya India yang mana bilangannya paling sedikit.

Tetapi pemahaman ini adalah tidak tepat. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bukan kerana bilangan orang Melayu adalah paling banyak di negara ini.

Bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan dan kemudiannya dikenali sebagai Bahasa Malaysia kerana ia merupakan bahasa penghubung dan penyatu rakyat negara ini.

Pada awalnya bahasa Melayu memang sudah menjadi lingua franca yang digunakan oleh semua kaum untuk berhubung antara satu sama lain. Dengan bahasa inilah, semua penduduk negara ini boleh saling memahami. Ia tidak ada kaitan dengan hegemoni bahasa Melayu ataupun kaum Melayu.

Hakikatnya, dengan bahasa Melayu, semua rakyat negara ini berada pada kedudukan saksama kerana dapat berhubung secara setaraf di antara satu sama lain.

Ia juga melenyapkan perbezaan dan pengasingan antara tiga kaum di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India kerana semuanya menggunakan Bahasa Malaysia. Tambahan pula rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan bukannya tiga kaum saja, Melayu, Cina dan India. Banyak lagi kaum lain di negara ini.

Dari segi bahasa pula, bahasa Cina juga bukannya satu tetapi terdapat pelbagai dialek iaitu Hokkien, Kantonis, Hakka dan lain-lain. Sementara tidak semua kaum India bertutur Tamil. Ada yang berbahasa Telugu, Malayalam, Punjabi dan macam-macam lagi.

Amalan mengasing-asingkan penduduk Tanah Melayu kepada tiga kaum ditambah pula dengan tiga bahasa berlaku pada zaman penjajahan.

Pada zaman sebelum kemerdekaan itu, empat bahasa digunakan iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan India. Sudah tentu Inggeris dianggap sebagai bahasa pentadbiran dengan tiga bahasa lain iaitu Melayu, Cina dan India dipandang sebagai bahasa vernakular atau bahasa tempatan.

Ketika mana dibuat papan tanda, akan disusun sesuatu kenyataan itu menurut tiga peringkat. Yang di atas sekali ialah Inggeris, diikuti dengan bahasa Melayu tulisan jawi, bahasa Cina dan bahasa Tamil.

Maka bahasa disusun  mengikut tahap kedudukan kaum di Tanah Melayu ketika itu.

Tetapi kemerdekaan negara meletakkan semua warganegara setaraf dengan penggunaan satu bahasa kebangsaan bersama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 13 Oktober 2012

ISU KEPENGGUNAAN : Boikot peniaga, pengusaha tamak


Oleh NURUL ANUAR KARI

SUKAR dipercayai satu ketika dahulu harga kuih-muih serendah lima sen sahaja tetapi kini sekurang- kurangnya 40 sen, sementara saiznya pula lebih kecil.

Melihat kemelesetan ekonomi dunia pada 1990-an dan sekitar 2007, mungkin fenomena kenaikan harga tidak boleh dibendung terutama apabila nilai mata wang ringgit jatuh mendadak ketika itu.

Namun, tidak kurang juga kes-kes peniaga, peruncit dan orang tengah yang tamak menaikkan harga dengan pelbagai alasan tidak munasabah atau tidak berkaitan langsung dengan produk atau perkhidmatan mereka.

Ekoran pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini, trend itu dilihat muncul semula dengan menggunakan alasan pemberian imbuhan oleh kerajaan, bonus mahupun harga gula naik selepas subsidi dikurangkan.

Trend itu sebenarnya sudah bertahun-tahun berulang setiap kali pembentangan bajet, pengumuman kenaikan imbuhan, pemberian bonus, kenaikan harga minyak, pilihan raya dan bermacam faktor lain yang boleh dijadikan alasan.

Tidak cukup mengaut untung besar dengan menggunakan pekerja asing yang dibayar gaji rendah, peluang memerah setiap sen daripada pelanggan tidak akan dilepaskan.

Walaupun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang mengamalkan trend keji itu adalah kumpulan minoriti yang tamak, namun jumlahnya kini semakin meningkat sehinggakan ramai pengguna terpaksa menanggung beban.

Mereka inilah yang paling bising apabila kerajaan menggerakkan pelbagai program rakyat seperti kedai runcit, kedai ikan, kedai kain, kedai buku, klinik rakyat, rumah mahupun menu rakyat bagi menyekat tindakan mengaut untung mudah.

Boleh dikatakan semua benda mahu dinaikkan harganya. Namun begitu, kenaikan harga makanan sama ada yang sudah dimasak di kedai dan restoran atau bahan basah di pasar menjadi contoh terbaik kerana secara langsung kenaikan itu memberi kesan kepada pengguna setiap hari.

Mengambil contoh mudah, air kosong (tanpa ais) yang sepatutnya diberi percuma dikenakan bayaran 20 sen dan di sesetengah kedai dicaj sehingga RM1.50 atau lebih, kononnya atas dasar kedai makan eksklusif, sedangkan cuma kedai mamak biasa sahaja.

Apabila kerajaan mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram, perlukah harga air minuman dinaikkan 20 sen juga bagi setiap gelas atau cawan? Adakah segelas atau secawan minuman manis diisi dengan sekilo gula?

Tidak kurang juga harga makanan seperti lauk-pauk dinaikkan atas alasan serupa tetapi kebiasaannya dalam gandaan 50 sen bagi memudahkan kiraan.

Jika harga minyak RON97 dinaikkan juga, semua harga barang mahu dinaikkan lagi kononnya kos pengangkutan meningkat, sedangkan lori-lori menggunakan diesel.

Apa pula keperluan menaikkan harga jika gaji ditingkatkan atau bonus diumumkan? Adakah pengumuman itu juga 'menambah kos' perniagaan?

Itu belum lagi ditambah dengan perbuatan menyorokkan bekalan bagi meningkatkan harga di pasaran.

Secara logiknya, tidak ada sebab untuk menaikkan harga barang disebabkan pengurangan subsidi, bonus, gaji mahupun kenaikan harga minyak yang hanya meningkatkan kos kepada tauke-tauke yang memandu kereta mewah.

Alasan tidak mampu menampung kos juga umpama penipuan jelas kerana jika benar tidak mampu sudah tentu syarikat atau pengusaha akan gulung tikar dan bukannya menambah lagi cawangan di seluruh negara.

Dalam hal ini, bukan semua peniaga itu tamak haloba dan gemar menaikkan harga sesuka hati tetapi komuniti peniaga juga perlu bekerjasama dalam memantau peniaga lain yang memilih jalan keji untuk mengumpul kekayaan.

Orang ramai pula seperti sudah malas untuk mengadu kerana tidak nampak tindakan tegas diambil tetapi secara diam, ramai yang memboikot peniaga-peniaga yang tamak itu.

Peniaga yang jujur boleh mengambil kesempatan trend itu dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka yang tidak dinaikkan harga bagi menarik pelanggan dan memberi alternatif yang lebih besar kepada orang ramai.

Hakikatnya, perbuatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati umpama menggali kubur sendiri kerana pengguna kini lebih peka dan tahu hak mereka.

Jika tamak dan tidak sabar mengumpul kekayaan dengan memerah orang lain, lambat-laun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang pentingkan diri ini akan ditinggalkan kerana pengguna akan mencari produk atau perkhidmatan serupa di tempat lain.

Ditambah dengan pelbagai kemudahan baru disediakan kerajaan, golongan peniaga tamak mungkin dapat dihapuskan jika mendapat kerjasama rakyat dan komuniti peniaga.

Pihak berkuasa pula jangan tunggu sehingga banyak laporan diterima, bergeraklah secara proaktif dan siasat setiap kes yang dilaporkan atau sekurang-kurangnya dedahkan peniaga manakah yang tamak haloba itu agar rakyat dapat bersatu memulaukannya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 12 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan kenegaraan lahir pemimpin berkualiti


Oleh : Muhamad Razak Idris

Pengkaji bidang kenegaraan kini banyak memberikan tumpuan kepada siri debat antara Barack Obama dan Mitt Romney, calon Presiden Amerika Syarikat (AS). Siri pertama berlangsung pada 3 Oktober lalu. Ia mendapat perhatian seluruh masyarakat dunia. Sekiranya kita mengikutinya menerusi laman YouTube di internet misalnya, lebih jutaan menontonnya. Populariti Obama dan kedudukan AS sebagai sebuah kuasa besar dunia antara faktor utama mendorong minat ini.

Selepas mengikuti debat mereka, ia menerbitkan beberapa buah fikiran untuk dibincangkan. Pertama, acara debat adalah medium perhubungan antara pemimpin dan rakyat dalam sesebuah negara demokrasi. Kedua, satu program pendidikan kenegaraan penting dibangunkan dan diperkenalkan dalam negara kita pada hari ini. Acara debat antara calon presiden di AS itu nampaknya bukan saja dinantikan rakyatnya, malah calon yang bertanding itu sendiri. Ia dianggap pentas terbaik bagi mempersembahkan rancangan kepemimpinan mereka kepada seluruh rakyat yang bakal memilih. Rakyat perlu diberi keyakinan pada tahap tertinggi mengenai dasar dan pendekatan yang digunakan dalam tempoh kepemimpinan akan datang sekiranya terpilih.

Hujah berasaskan ilmu

Sudah tentu setiap negara mempunyai cabaran dalaman dan luarannya yang tersendiri. Dalam acara debat antara Obama dan Romney, mereka saling berhujah berasaskan ilmu dan pengalaman mereka sepanjang berada di dunia kepemimpinan berkaitan langkah yang perlu AS lakukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dipertahankan dan dalam masa sama memastikan AS terus menjadi peneraju kepemimpinan dunia.

Meyakinkan rakyat mengenai misi ini bukan suatu yang mudah. Ia menuntut penguasaan pengetahuan kenegaraan dan kemahiran kepemimpinan yang tinggi. AS hari ini berdepan cabaran besar. Ia harus menangani tanggungan hutang yang kini berjumlah ribuan bilion dolar dan pada masa sama perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan dan menjamin keselamatan sosial dan kesihatan penduduknya.

Cabaran ini menuntut suatu formula yang terbaik dari segi dasar dan pelaksanaan. Ia membabitkan isu pengurusan cukai dan pentadbiran ekonomi yang menyeluruh membabitkan sektor awam dan swasta. Obama dan Romney mempunyai perspektifnya tersendiri bagaimana menangani pelbagai cabaran ini. Perspektif mereka dibentang dan dibahaskan secara terbuka kepada rakyat AS. Mereka yakin, sekiranya rakyat dapat difahamkan secara menyeluruh dasar yang akan diperkenalkan nanti, mereka pasti akan mendapat peluang terpilih pada pilihan raya presiden nanti. Dalam sistem demokrasi di AS, nampaknya hubungan rakyat dan pemimpin terbuka dan dekat. Peranan pemimpin ialah menawarkan agenda kepemimpinan masa depannya, manakala rakyat pula perlu meneliti dan mengkaji tawaran berkenaan. Rakyat disalurkan maklumat mengenai rancangan dan agenda pemerintahan menerusi pelbagai pengantara. Nampaknya, pentas debat adalah antara pengantara yang amat berkesan dalam amalan demokrasi di AS.

Amalan demokrasi matang

Realiti ini memberikan kita kefahaman iaitu pencapaian amalan demokrasi yang matang banyak bergantung kepada tahap kesedaran dan keupayaan ilmu kenegaraan oleh rakyatnya. Dalam suasana rakyat berpengetahuan ini, ia mendorong kelahiran pemimpin berkualiti bagi menawarkan agenda kepimpinan terbaik kepada mereka. Pemimpin ini sedar mereka perlu menampilkan kualiti kepemimpinan terbaik untuk terpilih kerana rakyat negaranya memiliki daya pengetahuan yang tidak boleh dipersendakan.

Sehubungan itu, pengenalan program pendidikan kenegaraan adalah penting. Dalam amalan demokrasi hari ini, rakyat sebenarnya penentu masa depan negara. Untuk itu, rakyat tidak saja harus sekadar peka mengenai isu politik, malah perlu memiliki pengetahuan tentang ilmu kenegaraan pada tahap tertinggi. Rakyat perlu melihat ilmu kenegaraan sebagai benteng yang akan memastikan negara yang didiami mereka sentiasa dipandu secara terbaik oleh barisan kepemimpinan yang berkualiti dan bertanggungjawab.

Mengenai ilmu kenegaraan ini, rakyat harus memahami iaitu ia mengandungi aspek teras dan aspek yang berubah. Pemuafakatan dicapai bersama ketika penubuhan negara dan tercatat dalam perlembagaan adalah aspek teras yang perlu sama-sama didukung.

Banyak kelebihan apabila rakyat memiliki pengetahuan kenegaraan yang tinggi. Ilmu ini bukan sekadar memberikan keupayaan bagi rakyat memilih tawaran kepemimpinan terbaik, malah mengelakkan terjebak daripada tipu daya oleh dunia politik yang serba licik.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Pada Zaman Ini


Pada zaman ini adalah terlalu sukar
mencari buku-buku A.Samad Said
mahupun Shahnon Ahmad atau, Keris Mas
ataupun Tongkat Warrant, jauh sekali Kemala atau
Zurinah Hassan penyair wanita doktor falsafah
di toko-toko buku di gedung berjenama
dan pedih sekali di toko kota terpencil desa.

Pada zaman ini adalah terlalu sukar
ilmu kemanusiaan mahu diurusniagakan
apatah buku-buku sastera dan majalah
telah lama terpinggir di gubuk pustaka tua
di sekolah dan pusat dokumentasi universiti
sementara aku terus menerima buku puisi
kiriman penyair setia dengan cetakan sendiri .

Pada zaman ini rakyat senegara
dan dikatakan sebangsa sejiwa
amat mengejar teknologi benda
dan menghitung sains harta dengan
status mempamerkan gelar dan pangkat
dengan segala buku dan majalah import serba
erotika dan picisan susuk menggoda.

Pada zaman ini tidak kurang juga
buku-buku agama dan majalah kerohanian
yang kian banyak ditulis para bijaksana agama
ada yang mengaku ustaz serba-serbi
dan buku motivasi karya yang pakar tumbuh melata
tatkala manusia juga kian runtuh
akhlak dan maruah diri!

Rajiee Hadi  
     
20 JULAI 2012
Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.

ISU SOSIAL : Penyakit mental jejas pembentukan pewaris gemilang


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Pendedahan terkini dikemukakan menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan seharusnya diteliti dengan rasa penuh kebimbangan. Menurut kajian yang dikemukakan Kementerian Kesihatan, jelas menunjukkan peningkatan mendadak masalah kesihatan mental yang dialami kanak-kanak dan remaja berumur lingkungan 15 tahun ke bawah (BH 8 Oktober 2012).

Kenyataan ini amat menggusarkan kita kerana mereka adalah kelompok yang bakal meneruskan kesinambungan generasi kini. Sebarang cacat cela yang berlaku terhadap mereka akan mempengaruhi hitam putih pembentukan negara pada masa hadapan.

Asas kekuatan insan banyak bertunjang kepada kemampuan akal dan fikiran. Menerusi akal dan fikiran yang sihat, individu akan bersikap proaktif, reseptif serta mampu menyesuaikan secara positif terhadap keadaan persekitaran.

Insan yang mempunyai akal fikiran sihat mampu menyumbang secara konstruktif serta efektif demi kebaikan rakyat serta negara tercinta. Namun, dalam keadaan mental yang tidak sihat, individu bakal mengganggu-gugat kitaran pembentukan generasi yang kukuh.

Citra wibawa generasi muda

Usia remaja serta kanak-kanak adalah detik penting dalam pendidikan setiap insan. Ketika tempoh itu, kemampuan kognitif serta sosial individu secara asasnya akan dipupuk.  

Usaha itu akan tergendala jika kanak-kanak serta remaja gagal mengawal emosi, bersikap mengasingkan diri (tidak mahu berinteraksi secara sosial), serta sering berfikiran negatif.

Cerminan masa depan negara akan ditampilkan menerusi citra wibawa generasi mudanya. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan citra wibawa mereka dapat dibentuk dengan kukuh.
Pada peringkat awal usia, kanak-kanak perlu didedahkan untuk berinteraksi dengan persekitaran. Kebebasan untuk mentafsir perlu digalakkan di bawah pemerhatian ibu bapa dan keluarga.

Apabila seseorang menganjak ke usia remaja, potensi perlu digilap dengan memahami kehendak serta pemikiran mereka. Galakan serta sokongan perlu diberikan jika apa yang difikirkan ( remaja) mampu membawa kebaikan.

Sebaliknya, mereka juga perlu ditegur serta dihukum secara membina untuk menyedarkan akan implikasi negatif terhadap sesuatu perkara (sekiranya mereka melakukan perkara negatif).

Dengan lain perkataan, daripada hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bermaksud kegagalan kita melahirkan generasi muda yang mempunyai kesihatan mental membanggakan kerana dalam usia sebegini seseorang masih di bawah jagaan dan bimbingan ibu bapa serta keluarga.

Tahap kompetensi tinggi

Justeru, bagi mengatasi masalah ini, ilmu yang berkaitan dengan keluarga perlu diberi perhatian. Ibu bapa perlu dibantu agar mempunyai tahap kompetensi tinggi.

Ia perlu meliputi kaedah mengenal pasti masalah, punca dan tanda, langkah yang wajar diambil serta akhirnya kepada kaedah bimbingan dan penyelesaian masalah. Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi ibu bapa masa kini.

Proses pendidikan terhadap golongan ini perlu melangkaui kebiasaan masa ini. Semangat persaingan yang bersifat materialistik serta individualistik hanya menambahkan tekanan ke atas remaja atau kanak-kanak.

Meletakkan mereka dalam kancah saingan seperti ini melahirkan sikap mementingkan diri serta kiasu yang hanya menjejaskan pertumbuhan emosi. Persaingan seperti ini akan meruntun semangat ingin membina jati diri yang positif.

Mereka harus didedahkan dengan persaingan sihat, yakni sebarang kejayaan serta kegagalan dinilai sebagai sumber pengajaran untuk memperkemaskan jati diri mereka. 

Hubungan dua hala

Ibu bapa serta keluarga tidak harus cuai dalam menampilkan interaksi emosi yang positif untuk membina keyakinan dalam hubungan dua hala di antara mereka. Hanya menerusi interaksi positif (antara ibu bapa), proses pendidikan mampu dijalankan secara menyeluruh.

Untuk membantu individu mencapai puncak potensi diri, kesihatan akal serta fikirannya perlu dihormati serta dijaga. Ia perlu dielak daripada dicemari elemen materialistik, individualistik serta hedonistik yang mengalpakan fitrah insan.

Kemampuan akal serta fikiran individu adalah hak yang sudah dimartabatkan secara adil oleh Allah SWT. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghormati kurniaan ini demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Malaysia perlu pekerja berkualiti, berkemahiran tinggi


Oleh : ROHAMI SHAFIE

UMUM mengetahui Singapura adalah satu-satunya negara maju di rantau Asia Tenggara. Bagaimana ekonomi Singapura dipacu sehingga mencapai status ekonomi negara maju?

Salah satu strategi yang digunakannya adalah dengan menarik bakat-bakat terbaik di seluruh dunia terutamanya negara China dan India bekerja memajukan dan menyumbang idea untuk ekonomi Singapura.

Natijahnya, rakyat Singapura sendiri berasa mereka dipinggirkan oleh kerajaan. Maka, tercetuslah rungutan dan keluhan rakyat Singapura bahawa bakat-bakat negara lain telah mengambil alih peranan mereka. Meskipun kebanyakan bakat luar adalah sebangsa dengan mereka, namun bukan bermakna rakyat Singapura berasa mereka lebih selamat dengan kehadiran bakat-bakat luar yang sama warna kulit.

Perkara sama juga berlaku di Malaysia. Cuma bezanya kualiti warga asing yang bekerja di Singapura dengan warga asing yang mencari rezeki di Malaysia. Umum mengetahui negara kita berada di landasan yang betul untuk menjadi negara maju. Maka, berpusu-pusu warga asing datang mencari rezeki di Malaysia.

Mereka ini kebanyakannya mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Maaf cakaplah dalam kebanyakan keadaan mereka ini telah menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berasa berada di negara asing. Jumlah yang terlalu ramai tetapi kualiti yang ada tidaklah sehebat seperti warga asing yang bekerja di Singapura.

Jadi apakah pekerjaan yang mereka lakukan? Di kebanyakan sektor mereka hanya bekerja sebagai pekerja bawahan yang bersifat buruh. Sumbangan mereka ini tidak begitu besar terhadap negara kita. Berbeza 15 tahun yang lalu kualiti pekerja sebegini amatlah diperlukan kerana daya saing negara bergantung pada kos buruh yang rendah.

Tetapi kini negara kita berada pada tahap ekonomi sederhana dan menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, maka daya saing berdasarkan kos buruh yang rendah tidak memberi impak besar terhadap ekonomi negara.

Malaysia memerlukan pekerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. Ekonomi negara memerlukan lebih ramai para pekerja yang berinovasi, kreatif dan produktif. Hanya pekerja yang mempunyai bakat luar biasa sahaja yang mampu memberi idea di luar kotak dan pada masa sama idea itu boleh dilaksanakan untuk memajukan ekonomi negara.

Jadi, apa perlunya begitu ramai warga asing di Malaysia? Sudahlah mereka ini tidak begitu menyumbang terhadap ekonomi negara, perniagaan penduduk tempatan pula diambil alih oleh mereka sedangkan ia adalah hak mutlak rakyat Malaysia.

Dilaporkan bahawa ramai warga asing yang berniaga dan perniagaan mereka telah menjana keuntungan yang amat besar terhadap mereka sehinggakan sebanyak RM6 bilion setahun mengalir keluar ke negara asing. Sekali lagi, ekonomi negara kita mengalami kerugian besar. Jumlah ini cukup besar untuk membantu golongan miskin warga tempatan.

Yang menjadi masalahnya, di manakah penguat kuasa-penguat kuasa yang diamanahkan untuk membanteras kegiatan perniagaan warga asing yang menyalahi undang-undang negara kita? Adakah mereka tidak nampak atau buat-buat tidak nampak sedangkan warga asing berniaga secara terang-terangan dan berleluasa?

Hendak disalahkan warga asing seratus - peratus pun tidak boleh sebab kita sendiri telah menyebabkan aktiviti perniagaan mereka menjadi-jadi sehingga mengalahkan usahawan tulen tempatan. Bukankah sepatutnya kita mempertahankan usahawan tulen tempatan? Begitu juga ramai peniaga tempatan sanggup mengalibabakan perniagaan kepada warga asing. Ini seolah-olah sudah menjadi tabiat segelintir peniaga kita. Mahu untung segera dalam jangka masa pendek

Mereka ini tidak fikir panjang. Mereka ini juga tidak bersyukur kerana ramai lagi usahawan tulen tempatan yang sanggup berniaga sepenuhnya dan bukan mencari untung atas angin. Lebih baik mereka ini tidak dibenarkan berniaga seumur hidup kerana telah merugikan negara.

Kerajaan perlu tegas dengan perkara ini. Jika tidak, jangan menyesal suatu hari nanti warga asing mengawal ekonomi Malaysia. Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kalau kita berdiam diri sahaja. Suka menjadi penonton berbanding menjadi penggerak utama ekonomi negara.

Sudahlah warga asing ini mula menguasai perniagaan-perniagaan di Malaysia, jenayah pula semakin bertambah. Berapa banyak kes warga tempatan terutamanya wanita diganggu oleh Awang Hitam? Bagaimana mereka ini sebegitu berani mengganggu penduduk tempatan jika tidak kerana jumlah mereka semakin ramai. Ini belum diambil kira kes-kes jenayah berat seperti merompak, membunuh dan merogol. Rakyat tertanya-tanya sampai bilakah perkara ini akan berakhir?

Kita tidak boleh lagi mengharapkan warga asing memberi sumbangan besar terhadap ekonomi negara kita. Warga tempatan sepatutnya memberi sumbangan besar. Dengan tertubuhnya Talent Corporation, dijangkakan ramai bakat  luar biasa warga Malaysia yang bekerja di luar negara akan kembali menyumbang bakti di Malaysia.

Tetapi perlu diingat bagaimana pula dengan bakat-bakat sedia ada di Malaysia? Mereka ini sepatutnya diutamakan dan bukannya bakat-bakat 'asing' yang bekerja di luar negara, jauh sekali warga asing yang banyak menyusahkan rakyat dan merugikan ekonomi negara kita.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Empat Lagi Hospital Sertai Projek Sekolah Dalam Hospital



PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat lagi hospital dipilih menyertai projek 'Hati Nurani' iaitu Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memberi kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, dengan pembukaan empat SDH itu, bilangannya kini bertambah kepada tujuh selepas Institut Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang dibuka Julai tahun lepas.

Katanya, SDH yang bakal dibuka adalah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan fasa kedua SDH menandakan kejayaan tiga SDH yang menjadi perintis kepada projek tersebut.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) Pelaksanaan Projek Hati Nurani: Sekolah Dalam HOspital, di sini, Jumaat.

MoU tersebut adalah antara Kementerian Pelajaran, PPUKM, HUSM dan Yayasan Yaqeen manakala dua lagi hospital tersebut telah menandatangani MoU sebelum ini antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan yayasan tersebut.

Muhyiddin berkata, sejak dilaksanakan tahun lepas, seramai 6,550 pelajar dari pra sekolah hingga ke sekolah menengah telah mendapat manfaat daripada program itu di ketiga-tiga hospital tersebut.

Katanya, Hospital Serdang mencatatkan murid pra sekolah paling tinggi iaitu 328 murid, Hospital Kuala Lumpur mencatatkan bilangan murid sekolah rendah paling ramai (1,730) manakala pelajar sekolah menengah paling tinggi iaitu 855 murid dicatatkan di Hospital Ampang.

"Ini menunjukkan bahawa semakin ramai murid-murid pesakit yang mendapat manfaat daripada pembukaan SDH ini dan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti," katanya.

Justeru itu, beliau telah meminta kementeriannya meneliti hasil pelaksanaan program itu khususnya keputusan yang dicapai oleh pelajar pesakit yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhyiddin turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam fasa kedua program itu agar memberi kerjasama penuh dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

Beliau berkata, pengurusan program itu juga perlu diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pelajar yang menerima rawatan mendapat pembelajaran seperti mana rakan-rakan mereka di sekolah.

Katanya, kejayaan SDH bergantung sepenuhnya kepada kerjasama semua pihak termasuk doktor, jururawat, pentadbiran hospital, guru serta ibu bapa pesakit.

Muhyiddin berkata, kementerian juga memutuskan bahawa program SDH akan menjadi program kekal dan ia sedang diinstitusikan sebagai program kementerian secara tetap yang mana pegawai dan guru di bawah penyeliaan dan pengurusan kementerian ditempatkan di hospital yang berkenaan.

Beliau juga membayangkan dalam satu tempoh yang tidak berapa lama, program itu dapat diperluaskan kepada lebih banyak hospital di negara ini.

Projek 'Hati Nurani' merupakan cetusan idea isteri Muhyiddin, Puan Seri Norainee Abdul Rahman, bagi memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati pendidikan berkualiti. - BERNAMA