Rabu, 17 Oktober 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Dilema pensyarah tiada PhD



Oleh Ruhaiza Rusmin

SEJAJAR usaha memartabatkan bidang pendidikan tinggi negara, pensyarah di institusi pengajian tinggi disyaratkan mempunyai kelayakan doktor falsafah (PhD).

Syarat itu sebagai satu dasar cukup relevan bagi meningkatkan imej golongan itu sebagai pemangkin bidang pendidikan tinggi negara setanding institusi antarabangsa.

Bagaimanapun, segelintir pihak menganggap ia sebagai satu diskriminasi kerjaya terutama bagi mereka yang lama berkhidmat, namun tidak mempunyai PhD.

Akhirnya, ia memberi tekanan kepada golongan terbabit dan menjadikan mereka dalam dilema.

Persoalannya, adakah tanpa PhD, pensyarah berkenaan tidak boleh mengajar dengan baik?

Adakah mempunyai bilangan pensyarah berkelayakan PhD mampu menjamin sesebuah institusi itu cemerlang dalam menjalankan fungsinya?

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Azni Zain Ahmed mengakui PhD bukan ukuran sebenar pensyarah mampu melaksanakan proses pembelajaran, namun tetap menjadi penanda aras kemampuan mengembangkan kepelbagaian pengetahuan baru.

Beliau berkata, tidak salah jika pensyarah tanpa PhD mempersoalkan isu itu, namun harus dilihat dalam konteks lebih luas terutama persaingan dan penerokaan ilmu baru tanpa sempadan.

“Isu ini tidak seharusnya menjadi sensitif atau bebanan kepada golongan terbabit kerana mereka adalah pensyarah dalam kelompok kerjaya profesional.

“Mereka perlu melihatnya dalam konteks dan pandangan lebih luas, bukannya mempersoal atau mempertikaikan isu peribadi.

“Tidak dinafikan, pensyarah tanpa PhD mampu mengajar dengan baik, namun percayalah, sedikit sebanyak pasti memberi impak dan mencalarkan imej institusi pengajian,” katanya.

Dilema pensyarah tanpa PhD dilihat sebagai satu isu yang dapat mencabar kredibiliti individu serta institusi, selain mewujudkan jurang perbezaan tertentu di kalangan kelompok profesional terbabit.

Ada melihat PhD sebagai satu keperluan semasa yang relevan sejajar sistem dan dasar pendidikan tinggi serta era globalisasi.

Ada pula berpendapat, PhD hanya sebagai batu loncatan memperoleh kelebihan lain seperti penentuan pangkat dan gaji.

Beliau berkata, setiap individu ada pendapat masing - masing, namun masih wujud perbezaan jika ada PhD atau tidak.

“Biarpun aspek itu dilihat subjektif, kelayakan PhD membolehkan mereka menikmati kelebihan termasuk potensi menjalankan tanggungjawab.

“Bersesuaian dengan tahap PhD itu sendiri yang bermaksud ‘menghasilkan ilmu baru’, pasti wujud perbezaan tahap intelektual.

“Perlu diingat, mereka mengajar di menara gading, bukan sekolah, jadi tahap intelektualnya perlu lebih tinggi bagi mencambah pelbagai ilmu baru,” katanya.

Katanya, pengalaman kerja adalah kelebihan dan boleh membantu, malah ada yang lebih baik berbanding pensyarah mempunyai PhD.

“Cuma, dari segi kedudukan akademik, mereka dilihat masih kurang setara selain peluang menikmati kelebihan lain agak terbatas.

“Saya percaya mereka yang bekerja mahukan yang terbaik dalam kerjayanya, justeru jika kelayakan sedia ada tidak memenuhi syarat ditetapkan, peluang agak sukar,” katanya.

Bagaimanapun, masih belum terlewat bagi mereka yang tidak mempunyai PhD membuat anjakan perubahan.

Menurutnya, sejajar hasrat negara menjadi hab pendidikan dunia, peluang melanjutkan pengajian di institusi dalam atau luar negara kini terbuka luas.

“Di institusi sendiri, ada ditawarkan peluang melanjutkan pengajian kepada kakitangan, begitu juga di industri seperti pengenalan MyPhD.

“Tiada sebab mengapa mereka beralasan untuk tidak sambung belajar. Kalaulah soal komitmen menjadi penyebab, saya berpendapat itu hanya alasan semata-mata.

“Mereka perlu bersikap pandang ke depan, barulah relevan dengan jawatan pensyarah yang disandang, sekali gus diiktiraf sebagai sumber penyampai ilmu peringkat tinggi,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, bagi tujuan memartabatkan bidang pendidikan negara dan setanding universiti terkemuka dunia, pensyarah perlu mempunyai kelayakan tertinggi akademik.

Menurutnya, tidak timbul soal diskriminasi kerana mereka tahu kriteria atau garis panduan ketika pelantikan dibuat.

“Pensyarah tanpa PhD, sumbangan mereka dinilai mengikut kriteria, sedikit berbeza termasuk mengambil kira tahun perkhidmatan.

“Justeru, tidak timbul soal diskriminasi jika menyumbang mengikut garis panduan ditetapkan itu kerana sudah diberi penerangan.

“Ini soal masa depan membabitkan pendidikan tinggi negara, pentingnya kelayakan setara bagi memastikan institusi kita setanding di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau menggariskan tiga tugas hakiki pensyarah iaitu pengajaran dan pembelajaran (termasuk penyeliaan pelajar ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD), penyelidikan, penerbitan dan inovasi (termasuk pemfailan paten dan mengeluarkan produk boleh dikomersialkan) dan perkhidmatan profesional dan perundingan.

“Pengalaman saja (tanpa PhD) tidak dapat memenuhi keseluruhan tugas kerana tidak boleh menyelia pelajar PhD.

“Dengan adanya PhD ditambah pengalaman, sudah pasti dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkeyakinan dan berkesan.

“Oleh itu, PhD sangat penting dalam dunia hari ini di mana ilmu berkembang begitu pesat dan pantas,” katanya mengakui tiada halangan bagi mereka yang hampir penghujung perkhidmatan menyambung pengajian hingga PhD.

“Ramai antara mereka yang memperolehnya pada usia lanjut. Tiada halangan cuma mereka perlu pandai menguruskan masa.

“PhD bukan senang kerana banyak cabaran perlu ditempuhi. Jika tidak pandai menguruskan masa, maknanya mereka tidak mampu memperoleh PhD,” katanya.

Katanya, kini semua institusi pengajian tinggi awam memerlukan pensyarah mereka mempunyai PhD.

“Ini selari penanda aras seperti universiti terkemuka. Di negara ini, ada universiti melantik pensyarah dengan kelulusan ijazah sarjana dan meneruskan PhD selepas itu.

“Ada pula melantik pensyarah yang berkelulusan PhD dan golongan ini dilantik sebagai pensyarah kanan, iaitu gred lebih tinggi berbanding pensyarah.

“Bagaimanapun, bagi bidang kritikal dan keperluan meruncing, mereka yang belum mempunyai PhD turut dilantik sebagai pensyarah dan seterusnya melanjutkan PhD, sebelum dilantik sebagai pensyarah kanan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Facebook lubuk penjenayah cari mangsa


Oleh : Akhbar Satar
 
Pengguna dedah maklumat, identiti

Sejak kebelakangan ini Facebook mendominasi ruangan sembang komuniti pengguna internet di Malaysia. Facebook antara jaringan sosial internet percuma yang membolehkan kita membentuk jaringan dengan mengundang sahabat. Daripada jaringan itu, pengguna dapat memerhatikan aktiviti dan menambah rakan.

Facebook mirip kepada Friendster, namun diakui memiliki banyak kelebihan tetapi tidak kurang juga memberi kesan negatif kepada pelbagai pihak terutama kanak-kanak. Masalah ini timbul apabila kecenderungan pengguna mengejar kepantasan teknologi siber tidak setara dengan kesedaran untuk melindunginya daripada diceroboh penjenayah siber.

Facebook secara tidak langsung membocorkan maklumat diri apabila mendedahkan nama, tempat tinggal dan butiran keluarga. Modus operandi terbaru ini diguna penjenayah siber tanpa disedari ketika berinteraksi melalui Facebook.

Sebenarnya pengguna Facebook terutama pendatang baru, secara tidak langsung membocorkan maklumat diri apabila mendedahkan nama, tempat tinggal dan butiran keluarga. Modus operandi terbaru ini diguna penjenayah siber tanpa disedari ketika berinteraksi melalui Facebook.

Sehingga kini penggunaan Facebook telah meledak sehingga menduduki ranking ke-18 sebagai laman web paling sibuk di dunia. Mengikut Socialbakers.com, lebih 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, iaitu 50.28 peratus daripada jumlah penduduk. Peringkat umur paling banyak menggunakan Facebook ialah remaja berumur antara 18 hingga 24 tahun iaitu 4.7 juta orang, diikuti yang berumur 25-34 tahun. Kira-kira 54 peratus adalah pengguna lelaki berbanding dengan 46 peratus wanita.

Had umur menggunakan Facebook adalah kanak-kanak berumur 14 tahun  ke atas. Namun, syarat ini tidak dipatuhi tambahan pula kurang kawalan ibu bapa. Statistik Norton Online Family Report menunjukkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui bahan yang dilayari anak mereka dalam internet termasuk Facebook.

Dedah lokasi

Kelemahan ini ditambah dengan jangkaan peningkatan penggunaan telefon pintar yang menguasai hampir separuh jualan telefon mudah alih dunia. Four Square antara satu aplikasi yang semakin banyak digunakan pengguna telefon pintar. Aplikasi ini membantu pengguna memberitahu lokasi mereka sesama pengguna lain. Aplikasi Four Square dipaut ke Facebook membolehkan seseorang mengesan lokasi pengguna apabila pengguna check-in. Facebook juga mempunyai aplikasi tersendiri yang mempunyai fungsi sama. Walaupun aplikasi ini digunakan secara suka-suka, keselamatan pengguna sekali gus dalam bahaya apabila memberitahu orang lain lokasi mereka.

Aplikasi ini membuka ruang kepada penjenayah mengambil kesempatan. Misalnya, jika pengguna check-in di kedai makan, penjenayah boleh menyerang mereka di lokasi. Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah gambar dan profil pengguna dipaparkan di Facebook. Penjenayah lebih mudah mengesan mangsanya. Antara mangsa yang menjadi sasaran utama ialah kanak-kanak yang menggunakan Facebook tanpa pengawasan ibu bapa terutama pada musim perayaan, apabila mereka check-in ketika di kampung, penjenayah boleh memecah masuk rumah yang ditinggalkan kosong.

Apa yang dipamerkan dalam Facebook akan diketahui sesiapa saja yang turut ‘berkongsi maklumat tanpa batas’ dengan mereka. Tambahan pula apabila mereka mempunyai maklumat, gambar dan lokasi  tidak bermakna mereka tidak boleh menyebarkan maklumat pengguna kepada pihak ketiga. Apabila seseorang hendak makan malam di sesebuah restoran, kemungkinan besar bukan hanya kawan Facebook yang mengetahui kedudukan atau lokasi mereka bahkan ia boleh disebarkan kepada kawan di pautan lain. Ia juga boleh memberi kesan buruk apabila kawan Facebook pengguna ditag oleh kawan lain yang juga dapat mengetahui maklumat mereka. Risikonya amat tinggi dan lebih memburukkan lagi keadaan apabila seseorang VIP atau yang berhutang dengan along dapat dikesan dan sudah pasti membahayakan mereka.

Maklumat, gambar disalah guna

Gambar dalam Facebook boleh dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Gambar hendaklah diletakkan di Facebook dengan bijak kerana ramai orang dapat melihatnya tetapi dengan menggunakan privacy settings maklumat diri tidak terdedah kepada umum. Jika semua maklumat peribadi diletakkan dalam Facebook, ia mungkin disalahgunakan penjenayah dan ramai remaja yang ketagih Facebook terjerat dengan jenayah. Seorang pengguna Facebook menemui gambar peribadinya digunakan sebagai promosi untuk kegiatan pelacuran melalui laman sembang sosial.

Remaja perempuan perlu berhati-hati apabila menjalin hubungan cinta dengan jejaka luar negara terutama dari Afrika yang biasanya dikenali melalui Facebook. Mereka mungkin anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Sindiket dari Nigeria mencari wanita tempatan untuk direkrut sebagai keldai dadah. Wanita tempatan juga sering diperalatkan sebagai keldai siber dengan menggunakan akaun internet dan akaun bank untuk pelbagai kegiatan jenayah siber secara atas talian di seluruh dunia. Negara rugi RM2.75 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini akibat jenayah siber.

Gunakan Facebook dengan bijaksana dan berwaspada terutama apabila berkongsi maklumat menerusi apa saja laman sosial, tambahan pula kesedaran keselamatan siber dalam kalangan organisasi dan individu di negara ini masih rendah. Pastikan kita tahu siapa kawan Facebook anak kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Autonomi demi kestabilan serantau


Oleh NURUL ANUAR KARI

PERJUANGAN berdarah lebih 40 tahun di selatan Filipina yang merangkumi dua atau tiga generasi pelapis akhirnya mencapai titik noktah pada 15 Oktober 2012 dengan perjanjian mewujudkan wilayah autonomi Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Penghujung pergolakan yang meragut lebih 120,000 nyawa dan mendesak ratusan ribu lagi melarikan diri meninggalkan kampung halaman akan melalui lembaran baru ke arah kedamaian serta pembangunan masyarakat Islam di negara itu.

Siapa dapat menjangka pemilihan Presiden Benigno Aquino III selaku pemimpin baru Filipina akan membawa kepada perjanjian damai yang bakal menamatkan konflik berdarah tersebut dengan memilih jalan diplomatik berbanding ketenteraan.

Pihak pejuang pula, khususnya Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang rata-ratanya dibarisi pelapis muda, mungkin tidak menyangka tuntutan autonomi akan dipenuhi kerajaan Filipina dalam tempoh hayat mereka.

Tentera pejuang kini tidak perlu lagi menyorok di dalam hutan ataupun menggunakan kekerasan untuk mendapatkan dana kewangan sementara rakyat di selatan mahupun di seluruh Filipina tidak perlu lagi hidup dalam ketakutan.

Penduduk Bangsamoro tidak perlu khuatir akan campur tangan mahupun penindasan, sementara rakyat Filipina lain tidak perlu bimbang dengan serangan keganasan, penculikan dan pergolakan baru daripada saudara mereka di selatan.

Melalui Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang dimeterai kedua-dua belah pihak, bermulalah detik baru dan penamat kepada konflik yang menjejaskan rakyat sehingga melangkaui sempadan Filipina.

Perjanjian 13 muka surat wilayah autonomi itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.

Turut diperakui dalam perjanjian autonomi itu termasuk keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah tersebut.

Bukan sahaja kuasa ekonomi, politik dan pelaksanaan cukai, kuasa autonomi juga akan membolehkan penduduk wilayah itu menerima bahagian lebih besar daripada pendapatan sumber asli dan memainkan peranan lebih aktif dalam aspek keselamatan.

Dengan pemerintahan sendiri dan sumber pendapatan yang lebih stabil, pembangunan infrstruktur dan modal insan di selatan Filipina bukan sahaja akan memakmurkan Bangsamoro malahan menstabilkan keadaan serantau.

Inilah yang dinanti-nantikan dan diraikan secara besar-besaran rakyat Bangsamoro dari bandar, pekan hingga ke perkampungan di pedalaman yang selama ini tersepit antara hidup aman dalam jajahan dan kemiskinan, atau perjuangan demi masa depan pewaris bangsa.

Pembangunan wilayah Bangsamoro yang kaya dengan sumber asli dijangka akan mengurangkan kebanjiran penduduknya di sempadan negara-negara jiran di samping mampu membawa limpahan manfaat kepada penduduk sekitar rantau tersebut.

Perdamaian antara kedua-dua belah pihak juga akan mengurangkan keperluan ketenteraan kerajaan Filipina di wilayah selatan malahan turut mengurangkan beban pasukan keselamatan di negara-negara jiran menyekat anggota pemberontak mahupun pendatang haram.

Malaysia yang merupakan antara pengantara perundingan MILF dengan Manila sejak lebih 10 tahun lalu juga boleh menarik nafas lega memandangkan konflik berterusan hanya memberi impak negatif melangkaui sempadan Filipina khususnya kepada penduduk di negeri Sabah.

Era baru kemananan dan pembangunan Bangsamoro akan membolehkan kerajaan Filipina fokus kepada membawa keluar semua rakyatnya daripada kitaran kemiskinan dan memulakan proses pemulihan serta melupakan tragedi kehilangan ahli keluarga kerana pertumpahan darah.

Kini, proses pelaksanaan autonomi akan melalui tempoh transisi panjang bagi merapatkan kembali hubungan yang renggang dan diharap dapat diselesaikan dalam tempoh pentadbiran Presiden Aquino sehingga 2016.

Walaupun dengan bantuan pihak luar, kesediaan pihak berbalah berbincang dan menandatangani perjanjian damai rasmi, tetapi semuanya masih terlalu awal untuk kepastian mutlak. Perdamaian boleh musnah jika pentadbiran baru tidak menyokong malahan menentang perjanjian tersebut.

Bagi pemerhati antarabangsa dan keselamatan, Mohamad Faisol Keling, cabaran utama kepimpinan Bangsamoro kini adalah untuk membuktikan mereka mampu menguruskan sebuah pentadbiran sendiri.

"Proses pembentukan negara bangsa ini mengambil masa yang lama dan berterusan. Oleh itu, mereka perlu buktikan kemampuan memeritah dan membangunkan wilayah sendiri, ini perlu mereka jaga jika mahukan autonomi.

"Jangan pula jadi seperti di Timor Leste yang memberontak mahukan kemerdekaan tetapi selepas itu dilihat gagal mengurus tadbir dan menggerakkan pembangunan wilayah mereka," tegas pensyarahKolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia .

Katanya lagi, apa yang diharapkan semua pihak adalah kerjasama penduduk Bangsamoro untuk membangunkan negara bangsa mereka melalui pendidikan, peluang kerja, peningkatan taraf hidup dan paling penting, pemerintahan yang efisyen.

Menurut beliau, senario sama sebenarnya turut berlaku di Acheh dan selatan Thailand yang berkait rapat dengan selatan Filipina.

"Dengan mencapai keamanan dan perkongsian kuasa di Acheh, kemudian selatan Filipina, diharapkan kesan berangkainya dapat 'berjangkit' ke selatan Thailand.

"Malaysia memainkan peranan besar dalam perbincangan di Acheh dan selatan Filipina, dan mungkin juga suatu hari nanti kita dapat membantu situasi di selatan Thailand pula," katanya.

Mohamad Faisol menjelaskan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan 'jika jiran kita makmur, maka kita juga akan makmur'.

"Kata-kata itu jelas melihatkan kesan negatif pergolakan di selatan Filipina yang menyebabkan kegiatan penculikan berleluasa sehingga ke dalam sempadan negara kita di samping kebanjiran pendatang haram dari sana.

"Jika konflik ditamatkan, bukan mereka sahaja makmur malahan kita juga merasakan impak positifnya kelak," ujarnya.

Jelasnya lagi, Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam berkongsi kuasa serta wilayah autonomi mampu berkongsi modulnya dengan negara jiran yang bergolak.

Mengambil contoh di selatan Thailand, beliau berpendapat konflik berlaku kerana keengganan berkongsi kuasa dan tiada tolak ansur antara pihak berbalah.

"Mungkin Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membantu situasi di selatan Thailand pula selepas ini kerana ini juga jihad untuk umat Islam di sana seperti mana di Acheh dan selatan Filipina.

"Usaha ini bukan sahaja untuk pendidikan, kemajuan dan keamanan malahan untuk menyelamatkan nyawa penduduk Islam di sana," tegas pemerhati antarabangsa itu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 16 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Memahami tugas orang berilmu


Oleh :  PROF. DATUK OMAR OSMAN

SEKARANG adalah musim konvokesyen dalam kalangan hampir semua universiti awam di negara ini sehingga sebulan dua akan datang. Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya baru selesai melahirkan kira-kira 6,000 orang siswazah dalam pelbagai bidang pada tahun ini.

Sehingga kini USM melahirkan kira-kira 110,885 orang siswazah ijazah pertama dan kira-kira 20,000 orang siswazah ijazah tinggi, satu jumlah besar yang mampu melakukan pelbagai perubahan dalam masyarakat dan negara.

Lalu banyaklah harapan disandarkan kepada siswazah yang dilahirkan hasil daripada perjuangan mereka yang ingin melihat universiti di negara ini menghasilkan anak-anak muda yang berilmu untuk faedah nusa dan bangsa.

Seperti titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku Canselor USM dalam Sidang Pertama Konvokesyen USM, - ''Buktikanlah bahawa para siswazah adalah insan yang benar-benar berilmu dan berpengetahuan tinggi serta dapat berkongsikan ilmu yang dimiliki bersama orang lain."

Tambah baginda, pastinya seseorang yang berilmu dapat menggunakan kebijaksanaan dan hikmah dalam memimpin dan para siswazah seharusnya pula dapat menjadi benih yang amat berkualiti kepada negara, seperti kata orang, kalau sesuatu benih itu berkualiti, dicampak ke laut menjadi mutiara, dilambung ke langit menjadi kejora, ditabur di darat menjadi permata yang berharga.

Untuk menjadi permata yang berharga, seseorang itu perlu memahami hakikat menjadi seorang yang berilmu. Tugas, tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh orang berilmu adalah berat yang memerlukan kesungguhan dan minat mendalam kepada apa yang diusahakan.

Sama juga dengan kerjaya lain, komitmen inilah yang akan memastikan sesuatu bidang dan disiplin itu akan dihormati dan dipandang tinggi jika setiap kita menjaganya dengan baik sebagai maruah dan amanah yang tidak boleh dipermainkan.

Para siswazah kini memasuki gerbang hidup yang berteraskan ilmu, bersaing sebagai orang berilmu, bercakap sebagai orang yang lahir dari sebuah menara ilmu, bertindak dan berfikir dengan fakta dan data sahih yang jelas dan tepat dan tentunya berpegang teguh dengan nilai-nilai yang dipelajari di universiti sebagai orang yang berilmu.

Dalam budaya kita, tidak ramai yang menjadikan ilmuan sebagai idola dan pengikut kepada pemikiran besar yang ada. Sesetengah siswazah tidak pernah kenal pun dengan dekat mereka yang mengajar dan mendidik di dewan kuliah, bilik tutorial, makmal dan kerja-kerja akademik lain.

Tidak ramai yang sedar betapa yang mereka kenali ialah sebenarnya pensyarah, pendidik, penulis kertas kerja untuk dunia akademia dan memperkayakan ilmu di seluruh ceruk rantau, penyelidik, penghubung dalam libat sama industri dan masyarakat dan pelbagai lagi.

Nama mereka terukir dalam perpustakaan-perpustakaan utama, jurnal-jurnal akademik terkemuka dan bekerja bersama ahli-ahli akademik tersohor dunia. Mereka menyelia calon ijazah tinggi dan sesetengahnya adalah pentadbir dan pengurus yang perlu membahagikan masa dan memerah pemikiran dalam memastikan tadbir urus universiti berjalan sempurna.

Hati budi, komitmen dan kesungguhan mereka yang bersengkang mata untuk meletakkan nama universiti pada kedudukan yang tinggi dan menara ilmu sentiasa dimuliakan untuk generasi hari muka perlu difahami dan dirasai. Bebanan dan kesukaran yang mereka hadapi sebagai ahli akademik yang sentiasa ingin melihat para siswazah menjadi seorang yang berupaya meneruskan kelangsungan akademia dan ilmu untuk masa hadapan bangsa dan negara perlu dihargai, seperti mana yang ditunjukkan melalui pelbagai pengiktirafan kerajaan seperti Majlis Profesor Negara dan Anugerah Akademik Negara.

Sebenarnya tidak ramai yang memahami amanah yang berat yang dipikul oleh para akademia sekarang ini termasuk untuk memastikan anak-anak muda memahami makna menjadi seorang yang berilmu dan bertindak sebagai seorang yang berilmu.

Sama seperti seorang guru, para pendidik di universiti turut terasa kesedihan dan tercalar dengan sikap segelintir anak-anak muda, siswa-siswi mahu pun para siswazahnya yang bertindak mengikut perasaan, marah-marah dengan pelbagai perkara, menuding jari sana dan sini dan hanya menyalahkan segala-galanya kecuali diri sendiri dalam banyak tindakan yang dapat kita lihat kebelakangan ini, yang jika tidak dibendung akan menjadi masalah kepada masyarakat dan negara.

Tentunya siswazah yang ada sebahagian besarnya tidak tergolong dalam mereka yang cepat dan mudah lupa dengan apa yang diperolehi dan dinikmati selama ini. Para siswazah sebagai orang berilmu wajar bersyukur dengan peluang yang diperolehi, ilmu yang diterokai dan perlu diteruskan lagi, melalui kemudahan yang ada dan kebebasan yang dinikmati.

Orang berilmu tahu bagaimana untuk bersyukur dan bertindak. Orang berilmu sentiasa bijaksana dan berhemah dalam tindakan, sentiasa kaya dengan kasih sayang dan tidak pernah lupa di mana bumi dipijak. Dia tahu tentang makna akal budi, bijak menggunakan budi bahasa dalam komunikasi dan perundingan, merendah diri tetapi berpada-pada bukan untuk dibuli, dan dipandang rendah. Tunjukkan kebijaksanaan dan kearifan dalam usaha memenangi sesuatu perjuangan.

Orang berilmu sentiasa menjadi padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi, tidak memandang rendah orang lain apatah lagi para marhain malah menyanjungi mereka dan menggunakan ilmunya untuk mengubah nasib dan kehidupan yang ada kerana dia tahu dan sedar dari mana bermula. Orang berilmu sentiasa berfikir panjang dan menggunakan kekuatan akal budi dan iman, bukan hanya perasaan dan kekuatan fizikal.

Ini agaknya seakan-akan retorik dan ideal, namun jika ini pun tidak mampu dilakukan, maka ilmu pengetahuan yang ada dan pengalaman bertahun-tahun di universiti selama ini tidak berupaya mengubah siswazah sepanjang berada di kampus universiti. Fikirkanlah apakah perubahan yang berlaku selama ini, transformasi diri yang seharusnya menjadikan para siswazah sebagai generasi berilmu yang lebih matang dan bersedia memasuki dunia yang luas terbentang.

Dalam menghadapi cabaran masa hadapan, orang yang berilmu juga perlu kuatkan iman dan keyakinan kepada Tuhan. Tidak kira siapa pun, apa jua pegangan agama dan kepercayaannya, tanpa keyakinan yang kukuh kepada agama, maka seseorang akan hanya menjadi perahu kecil yang terumbang ambing dipukul ombak dalam lautan dan pusaran ganas yang akhirnya akan mudah tenggelam dan lemas.

Seseorang itu akan cepat putus asa dan akan menjadi sebahagian daripada penambahan statistik mereka yang menghadapi tekanan, penyakit kemurungan dan sebagainya yang akan mengheret kepada pelbagai masalah lain.

Agama juga mengajar erti keikhlasan seperti pesanan tangan kanan memberi, tangan kira tidak ketahui. Ikhlas dalam tindakan dan ikhlas juga dalam melakukan perubahan, biar bermula dengan kecil tetapi sentiasa istiqomah atau konsisten. Agama juga sentiasa mengajar untuk mensyukuri tiap nikmat yang diperolehi, menjaga baik hubungan dengan orang seperti aur dengan tebing dan menghargai mereka yang berjasa kepada kita. Lihat wajah ibu bapa kita. Lihat titisan air mata gembira mereka yang menyayangi dan berkongsilah suka duka bersama.

Kasih sayang perlu ditunjukkan dan dikongsi dengan hati yang tulus ikhlas dan tindakan yang jelas. Kasih sayang juga perlukan bukti dan pengorbanan. Peluklah ibu bapa saudara-saudari dan tunjukkan kasih sayang sebenar dari hati nurani saudara-saudari. Seseorang yang mencari kebahagiaan seorang diri tidak akan menemuinya, selagi tidak dizahir dan dikongsikan dengan orang lain.

Kerana itu, dalam mengejar teknologi dan kebendaan yang pantas berubah, kehendak dan keinginan yang tidak pernah puas dan keghairahan mencapai kejayaan mengikut ukuran ekonomi, seseorang siswazah yang berilmu harus juga seimbangkan dengan usaha yang dapat mengisi jiwa dan rohani.

Seperti mana universiti yang menyeimbangkan antara sains dan teknologi dengan sastera, kemanusiaan, kemasyarakatan dan ilmu seni dan budaya, begitu jugalah dengan orang berilmu harus bijak mengadunkan dengan baik kedua-duanya dalam memastikan keupayaannya untuk memimpin dan membawa masyarakat dan negara untuk mempertahankan apa yang ada dan meningkatkan kualiti pemikiran dan kehidupan dalam kerangka pembangunan yang holistik pada masa hadapan

PENULIS ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Masalah obesiti, kesihatan dan mengerjakan ibadah


OBESITI bukan lagi perkara biasa yang dapat diterjemahkan sebagai sihat secara fizikal. Namun ia telah menjadi masalah yang sinonim dengan penyakit tidak berjangkit yang lain.

Obesiti merupakan satu masalah kesihatan awam yang serius kerana boleh melibatkan komplikasi penyakit lain yang dikategorikan sebagai penyakit moden. Paling membimbangkan, obesiti menular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Walaupun bukan penyakit berjangkit tetapi pola pemakanan dan gaya hidup seseorang menyebabkan permasalahan terus merebak dalam sesebuah komuniti.

Jika sedari kecil lagi telah mengalami masalah obesiti, tidak dikawal dan tidak mengambil usaha pencegahan, maka tidak mustahil Malaysia akan melahirkan lebih ramai generasi yang gebu, gemuk dan gempal (3G) pada masa akan datang.

Fenomena 3G ini sudah pun berlaku tetapi ia mungkin akan berterusan sekiranya tiada langkah pencegahan yang mampu dirintis oleh masyarakat. Malah, lebih memburukkan lagi jika individu yang tidak memiliki kesihatan yang baik, tidak mampu menunaikan tanggungjawab untuk beribadah kepada Allah dengan sempurna.

Umum mengetahui bahawa badan yang berat akan memenatkan. Beban berat badan akan memberi kelelahan kepada diri sendiri. Beribadah turut menjadi berat. Tidak mustahil kemalasan akan datang seiring dengan kepenatan dan terhadnya pergerakan. Penyakit akibat obesiti juga membataskan kemampuan untuk beribadah dengan sempurna. Jadi, obesiti memang memberi impak yang mendalam kepada ibadah dan tuntutan hidup yang lain.

Abu Hurairah pernah menukilkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat, akan datang seorang yang berbadan besar lagi gemuk. Namun, di sisi Allah timbangannya tidak melebihi berat sayap seekor nyamuk". Seiring itu, wajar kita mengambil iktibar bahawa beban membawa berat badan yang berlebihan akan menyebabkan kemalasan bersarang dalam diri seseorang. Ia menjadi penghalang untuk melaksanakan suruhan Allah dengan lebih sempurna, berkualiti dan optimum.

Namun, barangkali ada yang berpendapat, sekiranya makan dengan banyak maka akan menghasilkan tenaga dan stamina yang tinggi untuk beribadah. Malangnya, sifirnya tidak pernah sebegitu. Ramai di antara kita, apabila makan pasti berlebihan. Makan bukan sekadar untuk menguatkan diri malah akan membebankan perut dan diri secara fizikal.

Ibn Hajar menyatakan dalam Fath al-Bari: "Kerana kebiasaan orang yang gemuk lemah kefahamannya dan berat untuk beribadah." Tambahan pula, The Annals of Neurology 2010 telah membuktikan bahawa wujudnya hubung kait antara saiz otak yang lebih kecil dan peningkatan risiko demensia dengan aras lemak yang lebih tinggi dalam badan. Maka, tidak dapat disangkal wujud kemungkinan jika seseorang mengalami masalah berat badan, daya ingatan dan penumpuan juga akan berkurangan.

Bukanlah menafikan bahawa faktor genetik juga menjadi punca obesiti. Namun, yang menjadi permasalahan kini ialah kebanyakan kita tidak mengamalkan gaya hidup sihat sedangkan ia merupakan tuntutan dalam ajaran Islami. Akhirnya menyumbang kepada masalah dan kemudaratan diri sendiri. Kadangkala kita menyedari tentang hal tersebut, namun masih lagi bertangguh untuk melakukan perubahan.

Pada satu sudut lain, berapa ramai di antara ibu bapa pada hari yang menjadikan "electronic babysitter" seperti televisyen dan komputer menjadi teman rapat kepada anak-anak? Kajian menunjukkan bahawa semakin lama anak-anak meluangkan masa menonton televisyen, kecergasan otot mereka akan semakin berkurangan dan ukur lilit pinggang semakin meningkat disebabkan kegemukan apabila menghampiri usia remaja. Ia berpotensi menyebabkan masalah kesihatan apabila menginjak dewasa.

Dalam mendidik anak-anak, kadangkala ibu bapa tidak perasan bahawa mereka telah menyediakan satu spektrum pendidikan gaya hidup tidak sihat secara tidak formal. Antaranya membiarkan anak-anak menghabiskan masa di hadapan televisyen, tidak mempedulikan aktiviti kecergasan di luar dan tidak prihatin kepada apa jua jenis makanan yang anak-anak makan. Secara tidak sedar sebenarnya ibu bapa pada hari ini telah pun memulakan usaha mewujudkan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang.

Anak-anak yang mengalami obesiti dan berlebihan berat badan akan cenderung untuk diejek oleh rakan sebaya. Ini akan memberi kesan kepada jati diri, menyebabkan tertekan dan kurang keyakinan terhadap penampilan diri. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan korelasi antara obesiti dan tekanan mental. Jika dilihat pada perangkaan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan mendapati masalah tekanan mental kanak-kanak dan remaja meningkatkan sebanyak 20% pada tahun 2011 berbanding 13% pada tahun 1996.

Mungkinkah peningkatan statistik yang membimbangkan dan sering diperbahaskan ini adalah salah satunya berpunca daripada masalah obesiti yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pada hari ini? Maka, kita wajar menilai semula apakah makanan yang dijamah dan disuapkan ke mulut pada setiap hari sama ada untuk diri mahu pun keluarga di bawah tanggungan kita.

Sejauh mana ia memberi nilai tambah kepada kesihatan? Atau lebih buruk lagi kita tidak mampu mengubah pola pemakanan dan gaya hidup selama ini walaupun telah menyedari akan peri pentingnya menjaga kesihatan.

Ketahuilah bahawa walaupun berdikit-dikit dalam membuat perubahan ke arah kesihatan yang lebih baik akan memberi kesan yang besar daripada langsung tidak melakukan apa-apa tindakan. Mengawal berat badan, pemilihan makanan yang terbaik dan berkat, mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit, adalah komitmen kita untuk memerangi obesiti dan penyakit tidak berjangkit lain daripada terus bermaharajalela.

Semua usaha ini adalah untuk merangka dan merancang bagi mencapai kesihatan yang optimum agar ibadah yang kita laksanakan lebih baik dan berkualiti serta diterima oleh Allah.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Karya kreatif bantu bentuk nilai baik anak


Dr Anwar Ridhwan
 
Pembacaan galak jelajah dunia bahasa

Televisyen (TV) kini menjadi medium tontonan yang sangat meluas. Boleh dikatakan setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu set TV. Dengan hanya duduk di kerusi, penonton boleh menjelajah dunia hiburan, safari, sukan, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Kanak-kanak juga tidak terkecuali menonton rancangan yang disediakan untuk golongan ini. Sebenarnya tidak semua rancangan untuk kanak-kanak dapat dipertanggungjawabkan nilai moralnya. Dalam rancangan kartun umpamanya, adegan menyakat, pergaduhan, tembak menembak dan pembunuhan turut dapat dilihat.

Proses pembacaan harus dapat 'membersihkan' minda mereka daripada elemen negatif yang mereka tonton di TV, umpamanya mengenai keganasan dan penyimpangan moral"

Oleh sebab kanak-kanak kita menonton TV sejak kecil, perangkaan dari Amerika Syarikat (AS) mungkin boleh digunakan bagi menatijahkan fenomena yang sama. Ketika kanak-kanak mula belajar di TADIKA, pada umumnya mereka menonton TV selama 5,000 jam. Kanak-kanak yang berumur tiga hingga tujuh tahun secara purata menonton TV selama 15,000 jam iaitu melebihi 2,000 jam daripada masa yang mereka habiskan di TADIKA atau dalam bilik darjah.

Sehingga umur 17 tahun, mereka menonton 18,000 jam adegan keganasan di TV. Mereka juga menghabiskan masa 35,000 jam menonton segmen komersial – kebanyakannya mempromosi makanan segera yang tidak berkualiti. Oleh itu tidaklah menghairankan jika masalah obesiti dihidapi bukan saja oleh kanak-kanak AS, malah kanak-kanak di mana iklan makanan segera disiarkan di seluruh dunia.

Oleh sebab TV menghidangkan yang buruk dan yang baik, ada ibu bapa yang secara sedar, sistematik dan berdisiplin mengawal penontonan TV anak mereka. Tetapi kadang-kadang adalah sukar untuk melakukan pemantauan yang berterusan, kerana wujudnya ‘masa lapang’ yang berbeza antara kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Ada rancangan TV yang baik, kreatif dan memupuk perkembangan minda kanak-kanak – sama ada yang diterbitkan di negara ini atau yang diimport. Antara program import untuk kanak-kanak yang paling popular ialah Sesame Street yang dianggap produktif. Ia menggunakan watak Jim dan sederetan pelbagai pelakon.

Menanggapi program ini, Walter Sawyer dan Diana Comer menyebut bahawa Sesame Streetmemberikan pengalaman pembelajaran melalui satu siri segmen pendek yang mengambil kira jangka waktu pemusatan pemerhatian kanak-kanak sewaktu menonton. Ini adalah antara program yang awal bagi kanak-kanak untuk mempertontonkan pelakon yang terdiri daripada pelbagai etnik. Wanita, golongan minoriti dan yang cacat semuanya digambarkan dengan realisme dan digniti.

Kehidupan kanak-kanak dan dalam proses pendewasaan seterusnya tidak boleh disandarkan pada program TV semata-mata. Mereka harus didekatkan kepada dunia buku kreatif dan ilmu pengetahuan – seperti dunia persekolahan mendekati mereka secara formal.

Melalui buku yang baik, kanak-kanak boleh belajar, menanggapi dan memahami dunia mereka yang lebih terarah. Proses pembacaan harus dapat ‘membersihkan’ minda mereka daripada elemen negatif yang mereka tonton di TV, umpamanya mengenai keganasan, penyimpangan moral, makanan yang tidak berkhasiat dan sebagainya.

Ibu bapa wajar menggalakkan anak mereka minat membaca di luar konteks buku sekolah yang mereka telaah secara formal. Ibu bapa seharusnya memilih bahan bacaan kreatif untuk tujuan ini. Karya kreatif disampaikan dalam bentuk cerita, dihiasi ilustrasi, dan memenuhi keperluan afektif, fungsional dan kognitif mental kanak-kanak yang sedang membesar.

Membina sikap positif kanak-kanak boleh dicapai melalui pembacaan karya kreatif yang baik. Karya seperti ini selalunya memberi penekanan kepada membentuk imej diri yang baik, bertoleransi terhadap orang lain, dan rasa ingin tahu terhadap hidup. Rasa ingin tahu itu adalah jalur pengembaraan fizikal dan mental, yang bersemuka dengan pelbagai masalah dan seaneka pilihan penyelesaian. Hanya selepas melalui pengalaman pembacaan, mereka dapat memilih cara penyelesaian yang terbaik dan manusiawi.

Dalam konteks berbahasa, TV yang ditonton tidak mungkin meninggalkan kesan berpanjangan terhadap penggunaan bahasa yang baik. Yang dapat diingat oleh kanak-kanak hasil menonton TV ialah ungkapan yang pendek, dianggap kelakar, kasar atau beritma. Sebaliknya, melalui pembacaan, kanak-kanak menjelajah dunia bahasa dan secara tidak langsung mempelajarinya.

Sungguhpun karya kreatif untuk kanak-kanak lebih merupakan genre bagi menjelajah dunia yang penuh berwarna-warni, ia juga alat untuk mengajar kemahiran membaca dan menguasai bahasa dengan baik. Akhirnya mereka membesar dengan bahasa itu, seterusnya dapat berkongsi makna dan memperjelas pemikiran yang teratur, baik dan berkesan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : DBP kenal pasti bidang kerja sama dengan Universiti Frankfurt perkaya bahasa Melayu


BESUT - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenal pasti beberapa bidang kerjasama dengan Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman dalam usaha merancang program untuk memperkaya sumber ilmu bahasa Melayu daripada sumber lain selain Bahasa Inggeris.
  
Ketua Pengarahnya Dr Awang Sariyan berkata ia adalah hasil satu mesyuarat bersama pimpinan kanan universiti berkenaan semalam yang meliputi agenda mengisi program Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dalam pelbagai bidang.
  
"Bidang dikenal pasti termasuk penyelidikan, perkamusan, pengajaran dan penerbitan termasuk perancangan pemindahan ilmu dalam bidang-bidang penting yang mewakili kekuatan kebudayaan Jerman ke dalam bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dalam laman sosial Facebook yang dikirimkan kepada Bernama di sini hari ini.
  
Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Profesor kanan Jabatan Pengajian Asia Tenggara yang juga pakar bahasa Austronesia, Profesor Bern Notofer, Profesor Arndt Graf, Prof Ulrich Kartz Ibu Hedy Holzwarth dan Dr Sandra di pihak Universiti Frankfurt dengan DBP pula diwakili beliau dan beberapa orang pegawai.
  
Menurutnya DBP dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) akan memperinci bidang dan judul karya besar daripada pelbagai bahasa utama dunia ke dalam bahasa Melayu sebagai agenda besar negara untuk mengisi taraf negara maju pada tahun 2020.

"Kita berharap semoga taraf negara maju tidak hanya berdasarkan kemajuan prasarana dan pembangunan fizikal semata-mata malah berdasarkan kekuatan ilmu pada masa depan," katanya.
  
Beliau menganggap perkara tersebut sebagai satu kejayaan bersejarah bagi DBP dalam usaha mempelbagai dan menambah koleksi penerbitan buku-buku ilmu Bahasa Melayu untuk kegunaan rakyat di negara ini. - Bernama