Khamis, 25 Oktober 2012

ISU EKONOMI : Malaysia tempat ketiga negara peneraju dunia



Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Future Fifteen yang bakal mentransformasikan landskap ekonomi, politik dan budaya global pada tahun mendatang.

Dalam edisi kelapan Indeks Jenama Negara Tahunan (CBI), FutureBrand, perunding jenama global itu berkata, Future Fifteen mengiktiraf Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pelopor dalam kalangan jenama negara peneraju masa depan, diikuti Chile. Laporan itu menyatakan kecenderungan UAE dalam memanfaatkan sumber aslinya yang banyak dan mengamalkan dasar serta pelaburan kerajaan dengan cemerlang antara petunjuk terkuat kejayaan masa depannya.

Walaupun dengan momentum positif di rantau ini, CBI turut maklum halangan yang akan dihadapi UAE, termasuk cabaran ketara berhubung pengagihan kekayaan yang adil dan saksama, kata FutureBrand dalam satu kenyataan, semalam.

Negara lain yang termasuk dalam segmen Future Fifteen ialah Qatar, Estonia, China, Iceland, Mexico dan Brazil.

FutureBrand juga mendedahkan kedudukan tahunan kali kelapan jenama negara peneraju dunia dengan Switzerland berada pada tempat pertama dalam CBI 2012-2013 diikuti Kanada, Jepun, Sweden dan New Zealand.

Laporan itu juga mengenal pasti beberapa perkara teras yang memacu perubahan dalam kedudukan jenama negara 2012/2013 termasuk penurunan jenama ikonik Amerika Syarikat.

Di tengah-tengah persoalan mengenai dasar asing dan hutang negara sebanyak AS$14 trilion yang mengejutkan, jenama AS dibiarkan untuk berdepan peluang terbesar dan halangan semasa pilihan raya.

FutureBrand juga mengiktiraf kuasa terpendam yang ada pada Portugal, Itali, Ireland, Greece dan Sepanyol.

Ia berkata, walaupun kelima-lima negara itu berdepan krisis hutang, ketidakseimbangan makroekonomi, pasaran buruh yang tegar dan peningkatan langkah penjimatan, Itali, Sepanyol dan Ireland masih kekal mantap dalam kalangan lima jenama dunia terunggul.

Hanya Greece dan Portugal menunjukkan trend menurun dalam CBI kerana kedua-duanya berdepan krisis ekonomi dengan Greece cuba mengelak kegagalan pembayaran hutang, manakala Portugal menghadapi penurunan kepada status junk oleh Standard & Poor.

Di sebalik sumber semula jadi yang terhad dan bilangan penduduk hanya lima juta, FutureBrand berkata, Singapura telah berkembang menjadi jenama yang sangat kompetitif melalui pengurusan persepsi yang berjaya.

Suatu ketika dulu, ia terkenal dengan polisi autoritarian, kini negara ini telah menempatkan semula dirinya sebagai pintu masuk ke Asia bagi komuniti perniagaan antarabangsa, kata FutureBrand..BERNAMA

ISU SOSIAL : Melahirkan generasi bebas hutang suatu perjuangan


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Cabaran yang dihadapi oleh lepasan pendidikan tertiari semakin mencabar hari ini. Mereka memerlukan pelbagai kemahiran bagi mendepani kerencaman keperluan pasaran pekerjaan. Tidak cukup dengan segulung ijazah atau diploma mereka perlu terus belajar bagi memastikan diri sentiasa kompeten dengan cabaran semasa.

Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan tidak lama dulu masih segar di ingatan kita. Selain sikap yang liat untuk membayar semula pinjaman, kekangan kewangan yang dirasai semakin mencekik dan menyesakkan dada juga harus diakui. Peningkatan kos hidup terutama di bandar merupakan realiti yang benar-benar berlaku. Rungutan mengenai harga rumah yang semakin tinggi merupakan petanda bahawa lepasan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kita semakin hilang keupayaan membeli. Harga rumah yang mencecah jutaan ringgit hari ini seolah-olah memberi makna mereka hanya layak untuk tinggal di pinggir bandar atau dengan kata lain mereka kini ‘dihalau’ keluar dari bandar dengan cara terhormat.

Jika mereka ingin juga tinggal di bandar maka mereka hanya layak untuk tinggal di rumah yang sempit dengan kemudahan yang amat minimum sekali.

Kini trend berhutang untuk berkahwin sudah menjadi lumrah kehidupan generasi muda hari ini. Trend ini sudah semestinya terkait rapat dengan peningkatan kos majlis perkahwinan ditambah dengan hantaran yang semakin tinggi.

Ancaman integriti

Situasi sebegini jika dibiarkan menular semahunya akan menjadi barah yang mampu membunuh pembentukan generasi yang beridealisme tinggi. Dengan tekanan hidup yang sebegini maka lahirlah generasi muda yang penakut kerana hidup mereka dikuasai oleh hutang.

Kita telah didedahkan dengan peningkatan peratusan kelompok eksekutif muda yang tergolong dalam golongan muflis kerana terjerat dengan kemudahan kad kredit dan pinjaman peribadi. Ini merupakan ancaman kepada integriti golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan negara ini.

Inilah juga antara punca berleluasanya gejala rasuah. Apabila kehidupan semakin terhimpit dan terdesak maka pertimbangan kita akan menjadi semakin serabut dan bercelaru.

Situasi ini juga menjadi ancaman kepada keutuhan rumah tangga. Rutin ibu bapa yang semakin sibuk mencari wang untuk menampung kos sara hidup menyebabkan anak-anak semakin terbiar dan berlakulah gejala sosial yang semakin menakutkan.

Masyarakat bebas hutang

Bilakah ‘putaran maut’ ini dapat kita putuskan? Melahirkan masyarakat bebas hutang adalah satu perjuangan memerdekakan kemanusiaan itu sendiri. Rasulullah SAW juga menganjurkan satu doa yang masyhur yang meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada bebanan hutang dan ‘wa qahri rijal’ yang bermaksud dari dikuasai oleh lelaki atau orang lain, yang dalam konteks ini adalah orang yang memberi hutang. Inilah maksud pembebasan atau kemerdekaan diri yang mesti dinikmati oleh semua manusia.

Jika dilihat dari sudut sebuah negara, kemerdekaan dan kedaulatan kerajaan boleh diragut dan dirampas kerana hutang yang tidak mampu dilunaskan. Inilah perkara yang amat kita bimbangkan.

Langkah sebuah syarikat pengeluar kereta yang membenarkan pelajar tahun akhir IPT untuk memiliki kereta adalah amat dikesalkan. Ia umpama menambahkan lagi satu jerat atau meningkatkan lagi jerutan di leher bakal graduan. Kita yakin langkah ini semata-mata didorong oleh saingan untuk menguasai pasaran kereta domestik menerusi pembukaan segmen baru pelanggan. Pelajar perlu mencari wang bagi membayar hutang kereta sedangkan mereka masih lagi belum mempunyai pekerjaan.

Kita tidak mahu persaingan perniagaan membunuh dan melemahkan generasi terpelajar kita ke kancah hutang yang memeritkan. Cuba bayangkan jika syarikat kereta lain juga turut sama bersaing mendapatkan pelanggan baru dengan memberi tawaran yang kompetitif bagi menakluki poket mahasiswa yang masih kosong dan akhirnya semakin bertambahlah golongan ‘eksekutif muflis’ di negara kita.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Nilai korban yang sempurna


Oleh : MOHD ALI MUHAMAD DON

JUTAAN tetamu Allah SWT, termasuk jemaah haji dari tanah air sedang bersiap sedia untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wuquf di Padang Arafah bermula daripada gelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar hari ke-10 Zulhijah.

Kegagalan untuk berada di kawasan Arafah bagi jemaah haji yang mukallaf akan memberi impak kepada kesahan ibadah haji yang dilakukan sekali gus gagal meraih peluang beribadat, berdoa dan bermunajat di tempat suci yang sangat mustajab doa itu.


Sementara itu di tanah air, umat Islam turut tidak melepaskan kesempatan istimewa untuk berkorban wang ringgit, masa dan tenaga dengan menyembelih ternakan sebagai menghayati falsafah agung pengorbanan Nabi Ibrahim as. yang menyembelih anaknya Nabi Ismail as. semata-mata mentaati perintah Allah SWT.

Di sana sini kelihatan pelbagai ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing yang terikat dan bersedia untuk dikorbankan setelah selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan hingga hari ke-13 Zulhijah.

Apa pun yang lebih utama bukanlah banyak atau sedikit ternakan yang dikorbankan. Akan tetapi niat yang suci dan benar-benar ikhlas melakukan ibadah kerana Allah SWT yang bakal diterima sebagai ibadah yang sempurna dan beroleh ganjaran takwa.

Allah SWT berfirman maksudnya "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (Surah Al-Hajj: 37).

Hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud "Tiadalah Bani Adam, pada hari Nahr, mengamalkan suatu perbuatan yang lebih disenangi oleh Allah Azza Wa Jalla, dibanding amalan menyembelih korban.

Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat kelak dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darah korban akan jatuh dari Allah di suatu tempat, sebelum darah tersebut jatuh ke bumi. Maka kerana itu, baguskanlah oleh mu sekalian jiwa mu dengan berkorban". (Riwayat Ibnu Majah)

Selain itu, beberapa kriteria ternakan dan sunah dalam penyembelihan binatang turut memberi kesan kepada penerimaan ibadah korban yang sempurna. Binatang yang paling afdal untuk dikorbankan adalah unta di kedudukan teratas, diikuti lembu, kerbau dan kambing. Ini dinilai berasaskan jumlah daging yang paling banyak sehingga manfaatnya dirasai oleh sebilangan besar masyarakat setempat.

Sementara itu, dari segi warnanya pula yang paling afdal adalah ternakan yang berwarna putih, diikuti, kuning, kelabu, merah, belang putih dan terakhir hitam. Disyaratkan juga ternakan yang dipilih adalah yang paling gemuk, sempurna daripada sebarang kecacatan dan cukup umur, iaitu bagi lembu dan kerbau hendaklah berumur genap dua tahun.

Individu Muslim yang berniat hendak berkorban juga disunatkan untuk tidak mencukur sebarang rambut dan bulu di badan, termasuk memotong kuku selama 10 hari pertama bulan Zulhijah. Bagi mereka disediakan ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT bagi setiap cukurannya selepas menjalani ibadah korban tersebut.

Selain itu, daging korban yang sudah dilapah dan ditimbang hendaklah diagih-agihkan kepada penduduk setempat. Daging itu kemudiannya boleh dibahagikan kepada tuan punya bahagian korban, golongan fakir miskin dan orang kaya sebagai hadiah. Dalam hal pengagihan daging juga penduduk setempat hendaklah diutamakan berbanding yang tinggal di kawasan yang jauh. Malah ada pendapat yang mengatakan haram memindahkan daging korban ke tempat yang lain kerana di situ ada hak fakir miskin setempat.

Adapun trend melaksanakan ibadah korban di luar negara yang banyak dilakukan hari ini berkemungkinan disebabkan pandangan yang memikirkan ada Muslimin lain yang lebih memerlukan daging korban berbanding masyarakat Islam di Malaysia yang mewah dan selalu makan daging.

Ini ditambah dengan pelbagai promosi oleh pihak tertentu yang turut menawarkan harga murah pada setiap bahagian binatang yang dikorbankan. Dalam hal ini umat Islam diseru berhati-hati supaya tidak ditipu dalam beribadat. Malah yang afdal ternakan yang dipilih adalah yang paling mahal, paling sempurna dan tiada tawar menawar dalam proses membeli binatang korban.

Sebagai menghayati falsafah ibadah korban ini, para Muslimin secara umumnya diseru untuk berkorban mempertahankan akidah dan keyakinan kepada Allah SWT dengan tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat. Amalan nikah batin untuk hajat tertentu sebagai contohnya adalah menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Begitu juga berubat dengan pawang dan bomoh yang menggunakan anasir jin dan makhluk halus dikhuatiri akan merosak akidah dan jauh daripada rahmat Allah SWT.


Dalam usaha untuk melaksanakan segala tuntutan perkara fardu dan sunat dalam ibadah setiap individu Muslim diseru bersedia untuk berkorban masa, usaha dan tenaga bagi melakukan yang terbaik. Ibadat solat lima waktu hendaklah sentiasa dipelihara dan diperkemas segala rukun dan syarat-syaratnya hingga diterima dengan sempurna.

Kesibukan tugasan harian sepatutnya tidak menjadi alasan untuk mengorbankan solat lima waktu yang difardukan. Bagi yang belum berkesempatan untuk menunaikan fardu haji mereka diseru pula berkorban dengan bersungguh-sungguh menabung sikit demi sedikit hingga dapat ke Tanah Suci bagi menyelesaikan tuntutan fardu haji, jika tidak sampai bila pun niat yang suci itu tidak akan kesampaian.

Golongan yang seronok dan leka melakukan pelbagai dosa dan maksiat yang saban hari menjadi paparan akhbar tempatan juga diseru bersedia untuk berkorban dan bertaubat daripada terus bergelumang dalam kancah dosa dan maksiat sepanjang masa.

Ambillah kesempatan sempena hari raya korban ini untuk memulakan gaya hidup baharu tanpa perilaku dosa dan songsang supaya dirahmati dan diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Rebutlah peluang masa muda sebelum sampai masa tua dan rebutlah peluang beramal semasa hayat dikandung badan agar tidak menyesal di kemudian hari.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 24 Oktober 2012

MENYELAMI HAKIKAT PENGORBANAN...


"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (AL HAJJ : 37)

ISU EKONOMI : KL Di Tempat Ke-18 Senarai "Cities Of Opportunity"


KUALA LUMPUR : Kuala Lumpur berada dalam kedudukan lima teratas dua kategori penting perkembangan ekonomi dalam edisi kelima "Cities of Opportunity", yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Partnership Bandar Raya New York.

Merupakan pendatang baharu untuk kajian 2012 berkenaan, Kuala Lumpur, secara keseluruhan, berada di tangga ke-18, di tengah-tengah ranking antara Shanghai dan Beijing.

Dalam ranking 2012, "Cities of Opportunity" melaporkan yang Kuala Lumpur berada di tempat ketiga di dunia untuk kos rendah dan ke-10 untuk kelegaan menjalankan perniagaan.

Dari segi menjadi Bandar raya yang berkos rendah, Kuala Lumpur berada di belakang Seoul dan Berlin, tetapi mendahului Istanbul dan Mexico City.

Langkah-langkah petunjuk kos mengukur kos untuk ahli perniagaan yang tinggal di bandar raya termasuk kos transnasional, cara hidup kelas pertengahan.

Pengarah Eksekutif PwC Advisory Services Malaysia, Andrew Chan Yik Hong berkata kos rendah Kuala Lumpur dan kelegaan menjalankan perniagaan mewakili poin permulaan transformasi bandar menjadi hab dunia untuk bakat dan daya saing.

"Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kita, kita berada di landasan yang baik," kata beliau.

Antara yang memberikan pemarkahan yang baik untuk Kuala Lumpur ialah kos penginapan perniagaan, kos sewa, indeks harga pengguna dan kadar cukai yang rendah.

Dari segi kelegaan menjalankan perniagaan, Kuala Lumpur terikat dengan San Francisco di nombor 10 dalam petunjuk, di belakang Tokyo dan mendahului bandar raya mesra-perniagaan seperti Sydney dan Seoul.

Kedudukan kukuh Kuala Lumpur dari sudut ini, secara asasnya disokong daripada perlindungan pemegang saham, peraturan pekerja dan dasar visa yang agak fleksibel.

Bandar ini juga berada di tempat keenam dalam  pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dan kelima dalam aktiviti pembinaan utama.

Chan berkata Kuala Lumpur dipilih untuk laporan "Cities of Opportunity" 2012 kerana ia adalah antara ibu negara Asia paling dinamik dan pesat berkembang sebagai bandar global utama.

Kaji selidik 27 pusat kewangan, perdagangan dan kebudayaan turut mengunjurkan Kuala Lumpur untuk meneruskan pertumbuhannya ke tahun 2025. - BERNAMA

ISU AGAMA : Pelajaran kebapaan daripada perintah korban


KISAH mengenai korban mencernakan pelajaran mengenai  kebapaan dan aplikasi dalam bidang kehidupan lain.

Pelajaran Pertama

Al-Quran mementingkan kebapaan yang positif. Hal ini dapat dilihat daripada interaksi dan komunikasi Nabi Ibrahim as dan anaknya. Mengapa Nabi Ibrahim as yang bercakap soal korban, bukan ibu Nabi Ismail as?

Lebih menarik lagi, dalam semua dialog antara anak dan orang tuanya melibatkan si bapa - iaitu dialog antara Lukman dan anaknya (Lukman:12-19), Yaakob dan anaknya Yusuf (lihat seluruh surah Yusuf) dan Nuh dan anaknya (Hud:42-3). Al-Quran tidak merakam walau satu pun dialog antara ibu dan anaknya.

Kesemua ini mengajar bahawa Al-Quran menganjurkan para bapa memainkan peranan aktif dan positif dalam pendidikan anak yang dimanifestasikan dalam komunikasi yang baik dan berkesan, walaupun tradisi Islam juga mengakui kepentingan ibu dalam pendidikan anak di rumah.

Ertinya, Muslim yang baik bukan seorang 'bapa kerusi malas' yang menyerahkan persoalan pendidikan anak di rumah kepada si ibu sahaja.

Pelajaran Kedua

Pendidikan yang baik bagi anak dan peranan kaum bapa dalam hal ini adalah penting.

Respons Nabi Ismail as apabila diberitahu tentang perintah Tuhan menunjukkan beliau seorang yang beriltizam dengan agama dan sanggup berkorban untuknya. Beliau juga seorang yang taat, hormat dan sopan terhadap bapanya.

Cara respons beliau juga menunjukkan kematangan yang tinggi sedangkan beliau hanya seorang 'ghulam' (remaja) pada ketika itu.

Pastinya, segala sifat ini tidak akan ada pada Nabi Ismail as tanpa didikan baik oleh ibu bapanya.

Oleh itu, cara pendidikan Nabi Ibrahim as terhadap anaknya - pendidikan berpandu wahyu Tuhan (Al-Quran) - harus dicontohi.

Pelajaran Ketiga

Komunikasi yang baik dan berkesan oleh bapa (juga ibu) dalam berhubungan dan mendidik anak adalah penting.

Hal ini dicerna melalui cara dialog Nabi Ibrahim as. Perkataan "ya bunayya" yang bermaksud "wahai anakku" yang dituturkan Nabi Ibrahim as amat relevan. Dalam bahasa Arab, perkataan "bunayya" berbanding "ibni" menggambarkan kehalusan bahasa, sopan dan fokus pada sifat kasih sayang si bapa dan bukan kuasanya.

Pelajaran Keempat

Cara pendidikan anak bukanlah melalui pendekatan 'dengar dan patuh' sahaja. Hal ini dapat dilihat sekali lagi dalam dialog Nabi Ibrahim as dan anaknya.

Beliau tidak hanya menyampaikan perintah dan meminta anaknya patuh tanpa banyak soal. Beliau meminta anaknya berfikir melalui kata-katanya, "Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" (Al-Saffat:102).

Ertinya, pendidikan anak dalam Islam haruslah menjurus pada pemikiran yang kritikal. Ketaatan hendaklah berdasarkan keyakinan dan iman, bukan kepatuhan buta pada kuasa dan tradisi sahaja.

Hakikat ini disokong contoh-contoh lain dalam Al-Quran iaitu:

- Malaikat menyoal Allah Taala tentang penciptaan Adam sebelum akur padanya (Al-Baqarah:30-3)

- Kisah Uzair yang menyoal bagaimana Tuhan dapat menghidupkan sesuatu yang telah mati (Al-Baqarah:259)

- Kisah Ibrahim mencari kebenaran dan menerima perintah Tuhan dalam ayat-ayat Al-Baqarah:260, Al-An'am:75-9, Hud, 74:75.

- Firman Allah tentang peranan ilmu dan kejelasan pada hujah dalam amalan agama dalam  Surah Yusuf: : 108.

Pelajaran Kelima

Musyawarah dalam hubungan keluarga adalah penting. Hal ini dilihat juga dalam dialog yang sama. Nabi Ibrahim as bersikap konsultatif sebelum melaksanakan perintah Tuhan, walaupun ketika itu beliau seorang nabi dan bapa dan anaknya hanya seorang remaja.

Amalan musyawarah antara bapa dan anak (juga ahli keluarga lain) dapat disokong oleh pelbagai ayat-ayat Al-Quran yang lain (Ali Imran:159, Al-Syura:38).

Bahkan, Al-Quran menganjurkan musyawarah antara suami dan isteri pada perkara sekecil soal penyusuan anak. Ertinya, kuasa tidak menjadikannya seseorang kuku besi ke atas bawahannya.

Pelajaran Keenam

Menguji dan menilai adalah aspek penting dalam pendidikan dan pembangunan diri. Pelajaran ini diperolehi melalui ujian yang Allah kenakan ke atas Nabi Ibrahim dan Ismail as.

Hal ini juga memberitahu Muslim bahawa bala, yang asalnya bermakna ujian (Al-Saffat:106), bukanlah semestinya berlaku sebagai hukuman ke atas dosa seseorang dan tanda kemurkaan, tapi juga sebagai satu rahmat dan tanda kasih Tuhan. Pastinya, Nabi Ibrahim dan Ismail as bukan insan yang dimurkai Tuhan. Sebaliknya, mereka adalah nabi-nabi yang maksum dan kekasih-Nya.

Oleh itu, seorang Muslim tidak seharusnya cepat membuat kesimpulan setiap kali berlaku bala bahawa ia kerana kemurkaan Tuhan, dosa atau azab. Muslim hendaklah menilai bencana yang berlaku dari segala sudut.

Ujian yang dikenakan Tuhan juga mengajar Muslim akan kepentingan penilaian bagi pencapaian seseorang kerana salah satu daripada sebab ujian diturunkan Tuhan ialah untuk menilai iman dan amal manusia (Al-Mulk:2), selain untuk mendidik.

Atas dasar ini, ibu bapa juga perlu menguji anak-anak mereka sebagai sebahagian daripada proses pendidikan dan penilaian mereka. Ujian dan penilaian tidak harus berlaku dalam pendidikan di sekolah sahaja.

Pelajaran Ketujuh

Berilah ganjaran setimpal, sama ada adalam bentuk hadiah atau pujian, apabila anak-anak kita berjaya dalam sesuatu ujian.

Dalam kisah yang dibicarakan, Allah Taala memuji dan memberi ganjaran korban kambing kepada Nabi Ibrahim dan Ismail setelah kededuanya berjaya dalam ujian-Nya (Al-Saffat:110-1). Maka, jangan seorang bapa lokek memberi ganjaran kerana Allah amat pemurah apabila mengganjari kesolehan hamba-hamba-Nya.

Kesimpulan:

Jika diteliti dengan mendalam, kita akan dapati bahawa ketujuh-tujuh pelajaran ini boleh dijadikan amalan dalam bidang-bidang lain selain kekeluargaan, iaitu pelajaran:

- kepimpinan dalam berurusan dengan pengikut di peringkat organisasi atau masyarakat

- pembangunan sumber manusia dalam organisasi

- bagi para pendidik di sekolah

- tentang nilai-nilai kecemerlangan sebuah organisasi

Boleh juga disimpulkan kejayaan sesuatu unit, daripada yang kecil seperti keluarga hingga yang besar seperti negara, memerlukan:

- pemimpin baik (Nabi Ibrahim as)

- pengikut baik (Nabi Ismail as)

- sistem baik (pendidikan dan pembangunan sumber manusia, penilaian, komunikasi dan musyawarah serta lain-lain.)

- nilai yang baik (berfikiran kritikal, taat, hormat menghormati dan sebagainya.)

Nota: Penulis adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa  S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Makalah ini adalah pandangan peribadinya.

ISU SOSIAL : Elak disaman AES


SEJAK Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan 23 September lalu, pelbagai rungutan dilontarkan pengguna jalan raya kerana sistem ini dilihat seolah-olah membebankan mereka. Malah wujud persepsi kononnya ia antara usaha kerajaan untuk mengatasi defisit perbelanjaan menerusi wang saman yang dibayar pesalah lalu lintas yang dirakam sistem tersebut. Sinar Harian berkesempatan bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk mengulas isu ini. Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NOOR AZURA SAHRIL bersama jurufoto, AZMI ARYANTO.

Sejak AES dilaksanakan, bagaimana dengan maklum balas yang diterima daripada pengguna jalan raya?

CHO HA: Kami menerima reaksi positif daripada majoriti pengguna jalan raya yang mahukan AES dilaksanakan kerana tidak gembira dengan sikap buruk pengguna jalan raya di negara ini. Melalui maklum balas itu, tidak ada yang mengatakan AES tidak baik kerana tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya.

Tanggapan segelintir pihak, bahawa kelajuan tidak menyebabkan kemalangan adalah tidak benar dan kenyataan itu sama sekali tidak bertanggungjawab. Daripada kajian penyelidikan, kelajuan boleh membunuh. Justeru, dengan adanya AES ini mendidik pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas.

Kerajaan telah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini. Dan, sistem ini terbukti berjaya di 90 negara di seluruh dunia dengan berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 sehingga 60 peratus.

Bagaimana AES itu dikatakan mendidik pengguna jalan raya?

CHO HA: Sistem ini memberi satu gambaran dan persepsi kepada pengguna jalan raya bahawa mereka diperhatikan oleh penguat kuasa, walaupun dilakukan secara automatik dengan penggunaan kamera. Ini mewujudkan perception of being caught kepada pengguna. Sekiranya mereka tidak berwaspada, mereka akan kena tindakan. Oleh itu, pengguna akan mematuhi had kelajuan dan tidak lagi melanggar peraturan lalu lintas.

Kerajaan bukan mahu menghukum rakyat atau sengaja mengenakan denda, tetapi mahu menerapkan disiplin kepada pengguna jalan raya. Apabila berlaku kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kemalangan maut pada setiap hari, rakyat tertanya-tanya apakah yang kerajaan buat untuk mengatasinya.

Oleh itu, kerajaan sudah mengkaji keberkesanan sistem ini seperti dilaksanakan di negara lain dan ternyata sistem ini mampu menurunkan kadar kemalangan biasa dan maut. Kerajaan sentiasa telus dalam melaksanakan sistem tersebut tanpa mempunyai niat tersirat mengambil duit rakyat dengan cara mudah.

Kerajaan kerugian RM10 juta setahun akibat kemalangan maut. Adakah dengan pelaksanaan AES ini dapat mengurangkan kadar kerugian tersebut dengan pengurangan kemalangan maut?

CHO HA: Setiap kali berlaku kemalangan maut, negara kehilangan tenaga kerja yang terdiri daripada kalangan profesional dan ini merugikan negara. Selain itu kemalangan juga memberi kesan kepada keluarga mangsa terlibat yang lumpuh atau menjadi orang kurang upaya (OKU). Keluarga akan hilang punca pendapatan.

Dengan langkah kerajaan menguatkuasakan AES, kemalangan maut dapat dikurangkan sekali gus membantu mengurangkan kerugian. Oleh itu, mengapa perlunya AES dibantah, sedangkan ia baik untuk dilaksanakan.

Segelintir pihak berpandangan had laju di beberapa di lokasi pemasangan AES dikatakan tidak bersesuaian. Komen Datuk?

CHO HA: Had kelajuan di jalan raya telah ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), dan ia tiada boleh sewenang-wenangnya dipersoalkan. Pemasangan AES di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam berpotensi mengurangkan kadar kemalangan maut di kawasan tersebut.

Keseluruhannya, 831 AES akan dipasang di seluruh negara dan bagi fasa pertama, 14 buah buah telah dipasang. Bilakah baki selebihnya akan berkuat kuasa?

CHO HA: Mengenai 817 lagi lokasi hitam kemalangan yang bakal dilengkapi sistem tersebut ia akan ditentukan oleh polis dan pihaknya hanya akan membuat perubahan jika kawasan tersebut tidak lagi dilabel sebagai hitam. Kementerian Pengangkutan masih lagi mengkaji senarai itu yang dicadangkan polis dan belum ada keputusan muktamad mengenainya lagi. Kemungkinan berlaku perubahan bergantung kepada infrastruktur jalan dan sebagainya dalam tempoh 18 bulan sebelum dipasang.

Maklum balas daripada orang ramai, kurang publisiti dan pendedahan mengenai pelaksanaan AES menyebabkan pengguna jalan raya tidak jelas mengenai sistem ini?

CHO HA: Kementerian dan agensi yang terlibat sentiasa menghebahkannya melalui media massa sama ada media cetak, radio dan televisyen. Hebahan mengenai pemasangan sistem ini juga diiklankan dalam semua jenis akhbar jadi tidak timbul isu kerajaan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan umum.

Malahan pemimpin politik juga berulang kali sering kali bertanyakan mengenai AES ini di sejak dua tiga tahun kebelakangan ini di Parlimen dan dijawab secara bertulis dan lisan oleh Kementerian sebelum ia dilaksanakan oleh Kerajaan.

Tidak munasabah sekiranya orang ramai masih tidak mengetahui kewujudan sistem ini. Bahkan maklumat berhubung kawasan serta jumlah bilangan kamera yang dipasang sentiasa dihebahkan, malah pengguna jalan raya juga diberi amaran menerusi papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran. Usaha kerajaan yang bertujuan selamatkan nyawa manusia ini seharusnya mendapat sokongan semua pihak bukan sahaja pengguna jalan raya malah ahli politik dan pemimpin masyarakat.

Adakah wujud pertindihan tugas dengan adanya AES yang dikuatkuasakan oleh JPJ?

CHO HA: Soal pertindihan tugas tidak berlaku kerana setiap agensi penguatkuasaan mempunyai hak untuk menjalankan tugas mengikut bidang masing-masing dan setiap agensi juga menjalankan penguatkuasaan dengan berlainan kesalahan.

Dakwaan segelintir pihak, pelaksanaan sistem ini akan menguntungkan kroni. Komen Datuk?

CHO HA: Syarikat konsesi tersebut hanya mendapat keuntungan jika ramai pengguna jalan raya disaman dan kerajaan juga tidak membayar sebarang sewa peralatan atau yuran penyelenggaraan kepada syarikat konsesi yang dilantik itu.

Oleh itu, pengguna jalan raya seharusnya tidak memberi peluang kepada syarikat konsesi AES membuat untung menerusi kesalahan-kesalahan di jalan raya. Ia hanya dapat dilakukan sekiranya semua pengguna lebuh raya mematuhi had laju yang ditetapkan di atas jalan raya dan tidak melanggar arahan-arahan lampu isyarat.

Apakah harapan kerajaan dengan pelaksanaan sistem ini?

CHO HA: Secara keseluruhannya, orang ramai menerima dan hanya segelintir pihak cuba mempermainkan isu ini dengan memutar belit untuk mengelirukan rakyat.

Ahli politik seharusnya tidak menjadikan usaha kerajaan ini sebagai permainan politik mereka. Jangan hanya kerana permainan politik, mereka sanggup menggadaikan sistem yang baik ini untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa menjadi mangsa.

Usaha ini perlu dilihat lebih positif oleh orang ramai. Apabila pengguna patuh kepada peraturan lalu lintas, mereka akan menjadi lebih berdisiplin dan akhirnya matlamat pelaksanaan AES ini akan tercapai.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/