Ahad, 28 Oktober 2012

ISU KENEGARAAN : Melayu menjadi faktor pengimbang


NAMA PROF. DATUK DR. SIDEK BABA sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebagai tokoh ilmuan pelbagai jawatan telah disandangnya. Pernah menjadi Timbalan Rektor HEP dan Disiplin Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kini masih setia di sana sebagai Professor Pendidikan di Kuliyyah Pendidikan.

Beliau juga telah menghasilkan lebih 20 buah buku mengenai pemikiran Islam dan umat Melayu. Kini pada usia 66 tahun, beliau masih aktif berceramah di dalam dan luar negara, juga sebagai Ahli MAIS, Ketua Dakwah Selangor, Lembaga Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan banyak lagi.

Sebagai tokoh ilmuan, Dr. Sidek melihat apa yang melanda terhadap orang Melayu sekarang ini adalah satu malapetaka yang mampu memecahbelahkan umat.

“Umat yang kuat, hebat dan memiliki jiwa besar adalah umat yang dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan bijaksana. Islam mengajar umat Melayu mengenai persaudaraan dan wahdah.

Katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, umat Melayu harus reflektif mengenai kekuatan silam. “Islam bukan sekadar agama yang memberi kekuatan rohaniah tetapi juga pedoman amaliah. Sumber yang sangat penting ialah menguasai dan mengembangkan ilmu yang sifatnya berketamadunan.

Katanya lagi, “Islam dan Melayu adalah suatu simbiosis. Melayu yang menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan bakal menempa perubahan dan mampu menghadapi cabaran kemajuan dan hari depan,".

MINGGUAN: Mengenai umat Melayu akhir-akhir ini, apakah Datuk membayangkan sebagai sesuatu yang sihat atau sebaliknya?

SIDEK: Pada asasnya polemik adalah sesuatu yang baik. Kebebasan memberi pandangan yang berkualiti, kritik yang membina, hujah yang baik adalah sesuatu yang berguna. Ia adalah kebebasan yang perlu diraikan. Tetapi polemik yang berasaskan emosi dan persepsi semata-mata boleh memudaratkan. Hujah-hujah dangkal tanpa adanya pemeriksaan terhadap fakta dan data boleh membawa kekeliruan. Ia boleh menimbulkan fitnah. Pada zaman media baru ini orang sering menyalahgunakan saluran maklumat dan sumber maklumat. Polemik harus mampu memberikan kematangan dan kedewasaan kepada umat Melayu. Islam harus dijadikan ukuran menilai supaya hujah yang diberi tidak tersasar. Umat Melayu di Malaysia adalah cerminan Islam.

Islam menganjurkan adab dalam menyantuni pendapat. Adab adalah disiplin akal, hati dan amal. Apabila akal memiliki disiplin tinggi menyerap pemikiran yang benar dan bermanfaat ia baik untuk disiplin hati. Timbangan hati menjadi lebih telus dan ketelusan akal budi insan memberi pencerahan kepada amal. Sekiranya ini terjadi, umat Melayu bakal menjadi umat contoh. Contoh ini apabila diterjemahkan dalam ilmu, pendidikan, sosial, ekonomi, pemikiran dan gaya hidup yang beradab, ia bakal melakukan lonjakan.

Sebaliknya umat Melayu yang gopoh, tidak mampu mengimbangi antara idealisme dan realiti, tidak memahami jalur sejarah atau perkembangan budaya, hilang jejak dan tapak dalam mengejar kemajuan bakal menimbulkan masalah dalam proses pembangunan umat. Umat Melayu perlu insaf bahawa wahdah atau kesatuan adalah kekuatan. Perpecahan boleh membawa bencana. Hanya kebijaksanaan membaca senario, faham mengenai faktor sebab-akibat, ikhlas dalam melakukan sesuatu, jauhkan dendam kesumat dan kebencian menjadi faktor penyumbang kepada binaan adab dan tamadun.

MINGGUAN: Apakah Umat Melayu sudah kehilangan fokus utama hingga menyebabkan prioriti kemaslahatan umat semakin tidak terarah?

SIDEK: Makna umat dalam tradisi Islam adalah sesuatu yang murni. Apalagi bila ia dikaitkan dengan konsep ummatan wasatan atau umat berimbang seperti yang terungkap dalam al-Quran. Melayu ialah suatu bangsa yang Allah ciptakan supaya dapat melakukan proses litaarrafu atau kekenalan seperti yang terungkap dalam Surah al Hujurat - 13 supaya memiliki daya kesalingan yang tinggi. Memperkukuh makna umat dalam pengertian memanfaatkan faedah berbanding dari sumber lain supaya terbentuk tasawwur atau pandangan semesta yang baik seharusnya menjadi keutamaan umat Melayu untuk bangun sebagai umat contoh.

Bahasa Melayu, umpamanya terdapat ribuan istilah al-Quran di dalamnya. Menjadikannya sebagai bahasa ilmu adalah suatu kewajaran. Berdekad-dekad lamanya kita membina Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak saja dalam bidang diniah atau agama tetapi juga dalam bidang sains dan teknologi. Hilangnya keutamaan dalam kalangan sebahagian orang Melayu terhadap bahasanya sendiri menyebabkan mereka menjadi pengagum kepada bahasa lain Kononnya bahasa lain adalah sumber maju dan bertamadun. Bahasa memerlukan etos dan nilai yang mendukung tamadun. Inilah yang terjadi apabila bahasa Arab diperkasakan ia menjadi sumber tamadun. Sekiranya Bahasa Melayu diperkasakan sebagai bahasa intelektual, bahasa ilmu, kajian dan penyelidikan, bahasa pengkaryaan ia bakal muncul sebagai bahasa peradaban.

MINGGUAN: Pada hemat Datuk di mana letaknya titik keseimbangan hubungan Melayu dan Islam dalam konteks masyarakat Malaysia?

SIDEK: Islam tidak sekadar suatu sistem kepercayaan. Ia adalah juga sebagai suatu cara hidup. Ciri-ciri kesejagatan Islam menjadikannya dianut oleh pelbagai bangsa. Hal yang sama juga terjadi kepada bangsa Melayu. Apabila Islam membentuk tasawwur dan pemikiran orang-orang Melayu, ia menyebabkan cara berfikir dan bertindak orang Melayu berubah. Islam dan Melayu adalah suatu simbiosis. Melayu yang menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan bakal menempa perubahan dan mampu menghadapi cabaran kemajuan dan hari depan.

Umat Islam pernah membangun tamadun contoh yang menjadi sumber ikutan Barat dan Timur. Umat Melayu harus reflektif mengenai kekuatan silam. Islam bukan sekadar agama yang memberi kekuatan rohaniah tetapi juga pedoman amaliah. Sumber yang sangat penting ialah menguasai dan mengembangkan ilmu yang sifatnya berketamadunan. Disini pentingnya dakwah dan tarbiyah berlaku secara berterusan di kalangan umat Melayu. Keinsafan terhadap Islam bukan sekadar batini tetapi harus didukung dengan kekuatan ilmu yang memberi jalan kepada pencerahan terjadi.

MINGGUAN: Apakah memperkukuh ikatan umat Melayu boleh menyebabkan hubungan dengan yang bukan Melayu terjejas?

SIDEK: Saya tidak fikir begitu. Umat Melayu adalah umat pengimbang dalam konteks masyarakat Malaysia. Sejarah binaan masyarakat Malaysia di mana perlembagaan memperuntukkan asas dukungan bagi kemajuan umat Melayu adalah langkah bijaksana. Dalam masa yang sama bukan Melayu mempunyai kebebasan untuk maju dalam ekonomi dan pendidikan. Bayangkan umat Melayu dalam konteks Malaysia yang terpinggir, bakal menjejaskan ketidakseimbangan dan tidak baik bagi pembangunan Malaysia. Secara jangka panjang isu merit harus menjadi fokus dan menjadi agenda utama Umat Melayu. Ia bakal menghasilkan daya saing atau sikap maju yang sihat. Faktor sosio-ekonomi yang diraikan menuntut kesabaran dan pengertian yang tinggi kerana umat Melayu sudah terjajah lebih 400 tahun.

Setengah abad membangunkannya belum cukup menjadikan umat Melayu sepenuhnya tangkas dan mandiri. Mereka perlu dibantu tanpa menafikan hak orang lain untuk membangun sama. Islam tidak harus dilihat sebagai faktor rasis atau agama perkauman. Memajukan umat Melayu dengan Islam tidak harus dilihat dengan prasangka dan niat buruk. Penerapan nilai-nilai Islam di kalangan umat Melayu dan sistem bernegara yang sedang berjalan adalah baik untuk kestabilan Malaysia. Bank Rakyat yang sedang beroperasi banyak memikat penglibatan orang-orang bukan Islam meski corak operasinya berasaskan prinsip patuh syariah. Dividennya yang tinggi membayangkan kestabilan dan keuntungan yang ada. Islam mendukung maksud amanah, adil, tulus dan telus.

Sekiranya ini dihayati dalam pengurusan dan kepimpinan di semua sektor ia bakal menghasilkan integriti. Tidakkah itu menjadi faktor penyumbang yang baik untuk semua pihak. Umat Melayu bakal menjadi umat teladan dan Bukan Melayu menjadikannya sebagai sumber ikutan. Islam mengajar umatnya memiliki watak berimbang (ummatan wasata). Sekiranya umat Melayu mendukung pekerti sebegini dalam konteks masyarakat majmuk, ia adalah baik untuk binaan masyarakat Malaysia. Umat Melayu akan rasa tidak selamat sekiranya dominasi politik berlaku secara tidak seimbang. Kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh sesetengah pihak tidak harus ditampilkan sehingga umat Melayu merasakan keterpinggiran berlaku dan boleh membawa kepada konflik.

MINGGUAN: Pendidikan merupakan wahana yang sangat penting membangun potensi umat Melayu. Apakah setakat ini Datuk berpuas hati pencapaian orang Melayu dalam bidang pendidikan?

SIDEK: Sudah tentu tidak. Sejak merdeka kerajaan berusaha membangun wahana pendidikan sebagai saluran mobiliti sosial. Pendekatan yang diambil oleh pelbagai sektor pendidikan menampilkan umat Melayu yang berilmu dan mempunyai pengkhususan dan kepakaran dalam pelbagai bidang semakin bertambah. Ia adalah suatu dasar yang bijak supaya wujud keseimbangan yang munasabah di kalangan masyarakat berbilang. Jiwa mandiri umat Melayu sudah mula terlihat. Ia memerlukan masa lagi supaya merit menjadi faktor bijaksana dalam menempa kejayaan dan pergantungan hanya perlu bagi mereka yang patut dibantu.

Mendepani cabaran globalisasi yang semakin sengit, umat Melayu harus diperkasa dengan landasan etika dan nilai murni yang tinggi di samping ilmu yang sifatnya berkembang untuk maju dan membangun. Sistem pendidikannya harus bersifat transformatif menyantuni perubahan zaman dan cabaran lingkungan. Pendidikan tidak harus dilihat sekadar suatu proses transformasi maklumat dan pengetahuan dalam orientasi peperiksaan semata-mata tetapi ilmu yang benar dan bermanfaat harus menjadi dukungan untuk perubahan diri manusia.

MINGGUAN: Apakah pertanda perpecahan dalam kuasa politik umat Melayu boleh membawa hilangnya perimbangan kuasa politik Malaysia?

SIDEK: Pada hemat saya ia memang benar. Perpecahan dalam kalangan umat Melayu dalam konteks politik Malaysia adalah suatu malapetaka. Umat yang kuat dan hebat dan memiliki jiwa besar adalah umat yang dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan bijaksana. Islam mengajar umat Melayu mengenai persaudaraan dan wahdah. Ilmu Islam yang dipelajari, risalah dakwah yang disantuni, pendekatan tarbiyah yang di ungguli harus mampu mendidik umat Melayu memiliki watak kasih sayang dan belas kasihan bukannya kebencian dan dendam kesumat. Rasulullah SAW, memiliki upaya kesabaran yang tinggi dalam melakukan perubahan dan merintis jalan ke arah wahdah.

Al-Quran memberikan kita pedoman "Watawa saubil haq, watawa saubissabr" iaitu sifat sabar dalam menyatakan yang hak dan kebenaran. Menyerap kesabaran dalam politik Malaysia amat dituntut dalam kalangan umat Melayu supaya perpecahan tidak terjadi. Kalau HAMAS dan PLO di Palestin pernah berperang dan berbunuhan kerana orientasi politik yang berbeza, mengapa perkara yang sama tidak boleh berlaku di Malaysia. Jiwa besar dalam kalangan pimpinan umat Melayu perlu ada memikirkan hari depan umat dan Islam itu sendiri. Tradisi muzakarah adalah sesuatu yang unggul dalam amalan Islam. Mengapa ia tidak berlaku. Kita hanya pandai menyebut dalam syarah dan tazkirah kita.

Dalam masa yang sama kita lebih cenderung untuk menanamkan benih-benih perpecahan bukannya wahdah. Janganlah merasa seronok dengan lontaran takfir, taghut dan lain lain-lain gelaran yang hodoh untuk membezakan diri kita dengan orang lain kerana ia ibarat api yang membakar daun-daun kering di musim kemarau. Faktor perimbangan kuasa politik di Malaysia adalah amat penting. Umat Melayu sebagai umat teras mampu mendukung faktor ini supaya kemajuan dan pembangunan Malaysia berada dalam keadaan yang lebih menjanjikan.

MINGGUAN: Apakah cara yang dianjurkan oleh Islam supaya titik pertemuan dan wahdah terjadi dalam kalangan umat Melayu?

SIDEK: Dakwah dan tarbiyah harus diperkasa dalam kalangan umat Melayu. Ilmu yang benar dan bermanfaat harus dikembangkan dalam sistem pendidikan kita. Landasan etika dan nilai harus menjadi asas fundamental membentuk watak dan peribadi umat Melayu dan Malaysia. Amanah, keadilan, kebebasan dalam batas yang terizin oleh syarak, keikhlasan melakukan sesuatu untuk kebaikan umat manusia, daya tasamuh yang tinggi tanpa mengorbankan prinsip, menyediakan model-model alternatif Islami yang sesuai untuk masyarakat berbilang, memberi keutamaan kepada amal contoh yang boleh diteladani dan memahami senario setempat dan antarabangsa secara bijaksana adalah antara ramuan terbaik membangun sebuah negara Malaysia dalam acuan kita sendiri. Justeru umat Melayu sebagai umat teras dan umat contoh harus mampu melakukan penerokaan dan memberi daya kepimpinan yang berwibawa dan stabil supaya umat Melayu dilihat sebagai tenaga pengimbang yang berkesan untuk kebaikan semua. Ia tidak mudah untuk dilakukan tetapi tekad ilmu, dakwah, politik, ekonomi dan sosial yang tinggi harus mampu diterjemahkan dalam sistem. Kejayaan Malaysia dalam banyak hal harus diperkukuh lagi supaya Malaysia menjadi tempat yang selamat untuk semua.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : E-buku membebaskan ruang rumah daripada timbunan kertas-kertas


Oleh : Zin Mahmud

BUKANNYA senang hidup sebagai seorang ulat buku. Sebenarnya mereka tidak memilih untuk menjadi seorang ulat buku. Ini semua takdir. Mereka telah dilahirkan sebagai ulat buku. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak perlu kempen membaca. Mereka tidak perlukan itu semua. Kegilaan mereka terhadap buku datang dengan sendirinya, tanpa sebarang galakan, apatah lagi paksaan. Sedar-sedar mereka sudah menjadi ulat buku.

Mungkin ada orang kagum terhadap mereka yang berminat membaca. Ulat buku sememangnya golongan minoriti. Tetapi sebenarnya banyak orang tidak suka pada ulat buku. Ini kerana gila buku adalah suatu penyakit.

Sebeanrnya penyakit ini dapat dikesan sejak dari awal lagi. Para ulat buku seringkali adalah golongan yang suka menyendiri. Tidak suka bersosial, lebih gemar menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgitnya demi buku.

Maka para ibu bapa yang mempunyai ulat buku di kalangan anak-anak mereka pasti dapat mengesan penyakit ini dari awal, sejak di sekolah rendah.

Ulat-ulat buku ini dengan sendirinya, tanpa disuruh akan gemar pergi ke perpustakaan sekolah. Mereka akan pinjam buku sebanyak mana dibenarkan, membacanya cepat-cepat dan mengembalikannya sepantas mungkin, supaya dapat meminjam buku lain pula.

Sering kali ulat buku ini akan segera menjadi pustakawan sekolah supaya mereka dapat hidup dikelilingi buku. Di luar waktu sekolah, kedai buku sentiasa menjadi tumpuan mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berpenyakit gila buku ini, mereka akan mula menyedari kesan-kesan negatifnya.

Ini kerana buku-buku yang dibaca oleh ulat-ulat itu seringkali bukannya buku pelajaran untuk peperiksaan dalam silibus nya.

Maka ulat-ulat buku ini akan membaca apa saja yang diminatinya, seringkali berbeza daripada mata pelajaran di sekolahnya. Jika tidak dikawal, pencapaian pelajarannya akan terjejas kerana ulat-ulat buku ini banyak menghabiskan masa membaca buku-buku lain.

Kesan negatif lain ialah banyaknya wang yang dihabiskan oleh kanak-kanak ulat buku ini untuk membeli buku. Mereka sanggup berlapar supaya wang belanja makan digunakan untuk membeli buku.

Maka dalam waktu singkat bilik dan rumahnya akan penuh dengan buku dan majalah yang pasti dirasakan menyempitkan dan semak bagi para ibu bapa mereka terutama yang hanya mampu memiliki rumah kecil.

Selain itu, kesan negatif daripada ulat buku ialah sifatnya yang tidak suka bersosial dan bersukan hingga menjejaskan pembangunan dirinya dan kemahiran hubungan sesama insan.

Tidak kiralah apa kerjaya yang diceburinya, penyakit gila buku ini akan berterusan hingga ke akhir hayat. Apabila mereka mula bekerja, dengan memiliki wang sendiri, maka banyak lagilah buku yang dibeli dan diperoleh dan seterusnya memenuhi ruang-ruang di rumahnya.

Masalah ini akan menjadi rumit jika seorang lelaki ulat buku berkahwin dengan wanita yang tidak toleran dengan penyakit ini.

Sejak mula berkahwin hinggalah beranak cucu, leteran terhadap buku-buku yang terus bertambah menimbun dalam rumah akan menjadi suatu kebiasaan.

Tetapi bagi ulat-ulat buku, mereka tidak akan menjawab balik terhadap leteran-leteran itu. Mereka hanya memekakkan telinga dan terus tenggelam dalam dunia pembacaannya.

Bagi isteri-isteri ulat buku, penyakit suami mereka ini dirasakan menyempitkan hidupnya. Perebutan ruang dalam rumah pasti berlaku. Ini kerana buku-buku memakan banyak ruang yang berharga terutama dalam rumah teres dua tingkat dengan bilik terhad.

Soal buku sememangnya sensitif bagi ulat buku. Jika dia mendapati bukunya diusik, apatah lagi dipindahkan ke tempat lain, maka berangnya tidak mengenal ahli keluarga. Buku adalah sebahagian daripada dirinya.

Tanda-tanda bahawa seseorang lelaki itu berpenyakit gila buku sepatutnya boleh disedari oleh seseorang perempuan sejak awal dia mula mengenal bakal suaminya.

Pastinya lelaki ini akan membawa teman wanitanya ke tempat-tempat yang ada kedai buku. Kalau pergi ke kompleks membeli belah, pastinya dia akan memilih tempat yang ada kedai buku.

Gaya hidup ini akan berterusan sepanjang hayatnya. Anak-anak ulat buku juga dari awal lagi sedar bahawa ke mana saja mereka berjalan, bapanya pasti membawa mereka ke kedai buku. Seringkali bapa mereka akan membeli lebih banyak buku daripada anak-anaknya.

Ada masanya apabila tidak tahan dengan protes isterinya, maka ulat buku ini akan menjalani hidup secara gerila. Mereka membeli buku secara gelap, sembunyi-sembunyi.

Apabila membeli buku, ia akan disorokkannya dalam kereta. Setelah keluarganya tidur, barulah dia keluarkan buku daripada keretanya. Setelah berbulan-bulan berlalu, tiba-tiba tanpa disedari isterinya, rumah menjadi sempit kerana penuh buku.

Tetapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan baru kepada keluarga ulat buku.

Ulat-ulat buku tidak perlu lagi bimbang dileter atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat terlalu banyak buku.

Kemunculan e-buku akan meringankan beban ulat-ulat buku daripada kemarahan keluarganya. Ini kerana e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman ulat e-buku sudah tiba.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 27 Oktober 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Bio-Visa Tangani Identiti Palsu Pelawat Asing


Oleh : IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LUMPUR: Semua pelawat asing yang perlu memohon visa untuk datang ke Malaysia akan diwajibkan mendaftar menggunakan sistem biometrik terlebih dahulu di kedutaan atau konsulat Malaysia negara masing-masing pada masa akan datang, bagi menangani isu pemalsuan identiti menggunakan dokumen perjalanan itu.

Pemalsuan visa merupakan antara kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan pelawat asing yang berbuat demikian akan dikenakan Notis Tolak Kemasukan (Not To Land Notice/NTL), yang tidak membenarkan mereka masuk ke negara ini dan akan dihantar pulang ke negara asal dengan serta-merta.

Sejumlah 22,157 pelawat asing termasuk mereka yang menggunakan visa dikenakan tindakan NTL pada 2011 manakala 17,828 NTL dicatatkan antara Januari hingga September tahun ini di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

Terdapat sebuah negara yang mencatatkan jumlah NTL paling tinggi iaitu kira-kira 5,000 orang pada satu tahun dan sebahagian besar kesalahan mereka adalah pemalsuan visa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, pengesahan menggunakan sistem pengimbas cap jari itu dikenali sebagai sistem Biometrik-Visa (Bio-Visa), yang merupakan sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan untuk kemasukan pelawat asing ke negara ini.

Beliau berkata, sistem Bio-Visa yang merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Transformasi (Fasa Kedua) Jabatan Imigresen akan diumumkan sempena Hari Imigresen pada 1 Disember nanti.

Katanya, sistem Bio-Visa yang akan diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen nanti merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

"Bagi sistem ini, UK Border Agency (UKBA) hanya menjalankan pemeriksaan biometrik untuk pelawat asing yang meragukan. Tetapi Jabatan Imigresen Malaysia pula mengenakan pemeriksaan biometrik kepada semua pelawat asing yang menggunakan visa untuk masuk ke negara ini dan pemeriksaan kedua akan dilakukan ke atas mereka apabila mereka tiba di pintu masuk negara kita," katanya.

“Terdapat kes di mana segelintir individu tidak layak mendapatkan visa dan mereka bertindak mempergunakan orang lain bagi tujuan pemalsuan identiti. Jadi akhirnya orang lain yang buat visa, orang lain pula yang datang ke Malaysia.

"Kenapa mereka perlu menggunakan identiti orang lain? Mereka pastinya bukan pelawat yang tulen dan berkemungkinan berhasrat melakukan aktiviti yang tidak baik apabila mereka berada di negara kita," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.

Pengenalan Bio-Visa ini dicadangkan oleh kerana pengeluaran visa di sesetengah negara yang dilihat sebagai ‘berisiko tinggi’ dan terdedah kepada aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan itu.

Alias berkata, di bawah peraturan baru ini nanti, setiap pelawat asing yang mahu memohon visa perlu mendaftar menerusi sistem biometrik terlebih dahulu sebelum permohonan mereka boleh diproses dan diluluskan.

"Jika visa diluluskan, mereka akan melalui pemeriksaan biometrik sekali lagi apabila mereka tiba di pintu masuk Malaysia sebagai 'saringan kedua'. Hanya individu yang sama berdasarkan permohonan visa yang dibuat sahaja akan dibenarkan masuk ke negara ini," katanya lagi.

Menurut Alias, terdapat 38 negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia seperti China, India, Bangladesh, Sri Lanka dan Myanmar.

"Pelancong dan pelawat dari China dan India merupakan negara yang mempunyai jumlah paling tinggi datang ke Malaysia menggunakan visa," katanya.

Seramai 1.25 juta pelawat dari China dan 693,056 pelawat dari India berkunjung ke Malaysia pada tahun lepas sahaja.

Alias berkata, sistem Bio-Visa akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan, akan dimulakan pada negara tertentu berdasarkan jumlah kemasukan pelawat ke Malaysia.

"Pada masa ini, inisiatif Bio-Visa sudah dirancang dengan teratur dan sedang menunggu pelantikan vendor untuk sistem ini. Saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai langkah pencegahan ke atas pelawat palsu yang memasuki negara ini tanpa memerlukan visa, Alias menjelaskan, semua pelawat asing yang berhasrat memasuki Malaysia tanpa visa akan dikenakan pemeriksaan biometrik di semua pintu masuk utama negara.

Pemeriksaan biometrik ini ialah sistem pengimbasan cap jari yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti individu dengan memadankan data yang direkodkan dalam pasport.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : TAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA


Oleh : Tun Mahathir Mohamed

1. Kata Hang Tuah “Tak akan Melayu hilang di dunia.” Dapatkah kata-kata keramat ini menentukan yang Melayu tak akan hilang di dunia?

2.  Di Singapura kerana tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah di Republik itu ialah Inggeris dan Cina; segala urusan rasmi dan tidak rasmi menggunakan Bahasa Ingggeris atau Cina, maka orang Melayu sudah pun tidak menggunakan Bahasa Melayu. Mereka menggunakan Bahasa Inggeris walaupun semasa bercakap dengan anak pinak, keluarga dan kawan-kawan Melayu.

3.  Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanyalah agama Islam mereka.

4. KeMelayuan mereka sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan keMelayuan mereka akan berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.

5.  Di sebelah utara pula kita dapati orang keturunan Melayu yang tidak dapat bertutur kata dalam Bahasa Melayu. Mereka Islam dan bangsa rasmi mereka ialah Thai. Maka hilanglah juga Melayu di situ.

6. Di Malaysia juga kehilangan Melayu sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya mengakui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan kaum Melayu.

7. Tetapi yang akan menghilangkan Melayu di dunia ialah dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap berkenaan dengan bangsa Melayu, mereka akan dituduh “racist”. Oleh itu orang Melayu sudah tidak lagi berani menyebut perkataan Melayu kerana tidak mahu dituduh “racist”.

8. Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-katanya tidak lagi akan menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita, akhirnya akan hilang hikmatnya.

(Sumber : Facebook Tun Mahathir, 5 September 2012)

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Pelaksanaan AES terus dipersoal


Oleh : Rejal Arbee
 
Teliti kaedah penguatkuasaan bagi pastikan pemandu patuhi peraturan

Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) terus saja menimbulkan pelbagai reaksi yang mempersoalkan pelbagai aspek sistem itu termasuk cara ia dilaksanakan dan bagaimana perkara untuk mengurangkan kemalangan pun perlu diswastakan.

Diakui ia diwujudkan dengan tujuan mengurangkan kemalangan yang semakin meningkat dan meragut banyak nyawa. Dua daripada sebab utama kemalangan yang dikenal pasti ialah tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu laju. Oleh itu, kamera untuk mengesan pesalah di bawah sistem itu dipasang di tempat di mana banyak berlaku kemalangan kerana melanggar lampu merah atau memandu dengan laju. Sememangnya hasrat kerajaan adalah baik tetapi niat baik saja tidak memadai sekiranya ia menimbulkan banyak rungutan ramai.

90 negara sudah laksana

Kementerian Pengangkutan berusaha sedaya upaya untuk menghadapi rungutan tetapi perasaan tidak puas hati terus saja timbul walaupun ia dilaksanakan dengan tujuan mendorong pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab apabila memandu.

Dikatakan kerajaan telah meneliti sistem itu sejak 2003 lagi dan mendapati lebih 90 negara di seluruh dunia sudah melaksanakannya hingga ada yang mendapati ia berjaya mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya sehingga 60 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan juga menyatakan bahawa sistem itu diadakan bukan bertujuan menghukum pemandu tetapi ditujukan hanya kepada mereka yang tegar melakukan kesalahan dengan harapan penguatkuasaannya boleh mendorong mereka mengubah corak memandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Ramai pemandu, baik kenderaan awam, teksi, lori dan bas dan penunggang motosikal tidak menghiraukan pengguna jalan raya lain dan hanya mementingkan diri sendiri saja. Kementerian Pengangkutan menjamin bahawa isyarat mengenai wujudnya kamera diadakan secukupnya untuk memberi amaran awal kepada pemandu mematuhi had laju. Malangnya ia berupa janji saja kerana tanda amaran awal tidak terdapat di semua tempat. Misalnya di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) kira-kira 200 meter selepas persimpangan dari LDP menghala ke Bangi dan Semenyih, papan tanda amaran tidak jelas. Malah tanda had laju di situ juga tidak kelihatan.

Sebagai sebuah lebuh raya tentunya pengguna menganggapkan had lajunya ialah 110km/j tetapi bagi laluan itu hingga ke persimpangan ke Uniten (Universiti Tenaga) ia adalah hanya 90 km/j saja. Ini menimbulkan kesangsian kenapa diwujudkan had laju berbeza untuk lebuh raya dengan tanpa tanda yang jelas lagi kerap?

Kononnya bagi kawasan di mana lebuh raya melintasi sebuah bandar atau perkampungan had lajunya hanya 60km/j saja seperti laluan PLUS di Jitra tetapi bagi SKVE ini ia tidak pula melalui perkampungan atau bandar di situ. Maka timbul persoalan kenapa had laju berbeza, ditambah pula tanda hadnya tidak jelas atau diperbanyakkan. Di sepanjang beberapa kilometer SKVE itu hanya ada satu saja tanda had laju 90 km/j.

Had laju lebuh raya berbeza

Ini memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa sengaja mahu memerangkap pemandu. Tanda had laju sepatutnya diadakan dengan lebih kerap dan terpampang supaya boleh dilihat dengan mudah memandangkan lebuh raya kita mempunyai had laju yang berbeza. Persoalan juga timbul kenapa usaha ini pun diswastakan kerana umum mengetahui penswastaan beberapa projek demikian seperti PLUS dan projek penjanaan elektrik lebih memihak kepada syarikat yang berterusan mengaut keuntungan melampau.

Sebenarnya tidak salah diswastakan asalkan penjawat awam yang diberi amanah melihat butiran perjanjian tidak berat sebelah dan terlalu memihak kepada syarikat hingga mengabaikan hak kerajaan dan orang ramai.

Misalnya syarikat PLUS yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan hingga kini berterusan mengaut keuntungan yang berlebihan hanya kerana jumlah kenderaan yang menggunakannya bertambah berlipat kali ganda daripada apa yang diunjurkan pada waktu mahu mendapatkan kontrak. Walaupun demikian, ia berterusan diberi kebenaran untuk menaikkan kadar tol setiap tiga tahun. Sekiranya kerajaan tidak mahu benarkan kenaikan, kerajaan terpaksa membayar jumlah lebihan yang syarikat itu sepatutnya boleh raih.

Jadi sudah sampai masa kerajaan melihat kembali perjanjian yang amat berat sebelah ini seperti  juga yang berkuat kuasa untuk beberapa syarikat penjana elektrik (IPP) seperti YTL Power yang meraih keuntungan melampau hanya kerana perjanjian menetapkan syarikat tenaga elektrik mesti menerima semua kuasa elektrik yang dijananya walaupun TNB tidak memerlukannya pada sesuatu masa tertentu. Jadi ia berterusan menjana sehingga hampir 100 peratus daripada kapasitinya.

Elektrik bukanlah barangan yang boleh disimpan. Apa-apa kuasa dijana harus digunakan pada waktu sama kalau tidak, ia terbuang saja tetapi TNB tetap perlu membayar keseluruhan tenaga dijana syarikat.

Perjanjian ini menunjukkan bahawa penjawat awam yang diberi amanah mesti melihat setiap butiran dengan teliti supaya tidak membebankan kerajaan dan orang ramai. Sehingga kini butiran perjanjian itu tidak pernah diumumkan dan berterusan menjadi rahsia. Diharapkan setiap usaha penswastaan tidak harus membebankan kerajaan dan pembayar cukai. Keuntungan yang munasabah sememangnya boleh diterima tetapi yang melampau tidak harus disokong.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 26 Oktober 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : AES Boleh Kurangkan Kematian di Jalan Raya


SHAH ALAM : Pakar sistem pengangkutan pintar yang mengkaji keberkesanan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berkata, kamera kelajuan boleh mengurangkan kadar kematian di jalan raya pada kadar sekurang-kurangnya 35 peratus.

Pensyarah Jabatan Ukur Sains dan Geomatik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Khoiri Mohd Dimyati yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam pengangkutan awam dan sistem penguatkuasaan berkata, penggunaan kamera kelajuan di negara lain membuktikan berjaya mengurangkan kemalangan dengan peningkatan persepsi pemandu bahawa mereka sentiasa diperhatikan.

Beliau berkata, kajian di negara-negara yang menggunakan AES menunjukkan bahawa sistem itu berjaya mengurangkan kemalangan dan kematian yang berkaitan sebanyak 70 peratus.

"Saya percaya AES boleh mengurangkan kematian jalan raya sebanyak 30% hingga 35%. Jika AES boleh berjaya di negara-negara lain, ia juga boleh berjaya di sini," katanya dalam satu temu bual di sini.

Dr Khoiry berkhidmat sebagai penasihat di Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi pelaksanaan AES antara 2008 dan 2011 apabila kementerian mengkaji kaedah mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian jalan raya.

Purata kadar kematian jalan raya di Malaysia adalah 17.7 kematian setiap hari.

Dr Khoiri, yang juga penasihat teknikal kepada kerajaan mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1967 berkata, masalah yang wujud dalam kalangan pemandu Malaysia adalah sikap 'seolah-olah tidak menghargai kehidupan'.

Selain itu Dr Khoiry berkata kekurangan penguatkuasaan juga menyumbang kepada persepsi bahawa pemandu tidak akan ditangkap kerana melanggar undang-undang.

AES mula beroperasi pada 23 September lalu dengan 14 kamera dipasang di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dan lebih banyak kamera akan dipasang di 817 kawasan di seluruh negara tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho berkata lokasi lain akan ditentukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SOSIAL : Nilai baik bentuk akhlak pekerja


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Optimisme, keberanian, adil perlu jadi pegangan

Nilai aspek utama dalam segenap tindak-tanduk manusia. Tanpa nilai baik, sesuatu tindakan yang baik boleh dilihat sebagai tidak baik dan tidak bermanfaat. Contohnya, menyiapkan minit mesyuarat, laporan atau sesuatu projek yang dipertanggungjawabkan adalah suatu usaha baik tetapi jika dihasilkan tanpa nilai ketelitian, ketelusan, kesahihan fakta dan penjimatan kos, kerja itu walaupun siap tidak diterima secara baik sebagai yang berkualiti.

Justeru, setiap tindakan dalam Islam amat menekankan aspek nilai baik seperti  terkandung dalam pengertian akhlak yang sangat luas.

Sabda Rasulullah apabila ditanya apa itu agama, Baginda menjawab dengan ringkas tetapi padat bahawa agama itu akhlak yang baik. Maksudnya, keseluruhan mengenai Islam boleh difahami dan terserlah dengan paparan amalan yang berakhlak.

Magnet kejayaan

Akhlak adalah ‘magnet kejayaan’. Banyak sekali dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan mereka yang berakhlak pasti berjaya. Besi beraninya pula tersangat kuat sehingga impak sebagai amal salih kekal di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW: “Peniaga yang jujur dan amanah berada bersama nabi, orang yang jujur dan syuhada.” (Riwayat al-Tirmizi)

Berakhlak dalam segenap amalan menatijahkan kejayaan yang boleh dan tidak boleh dijangkakan. Firman Allah SWT: “Tidak ada seorangpun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan sebagai balasan bagi amal soleh yang sudah dikerjakan oleh mereka.” (Surah al-Sajdah, ayat 17)

Pengurusan nilai

Dalam pembangunan organisasi, pengurusan nilai semakin ditekankan. Pandangan Tan Sri Ahmad Sarji dalam buku bertajuk  Sekadar Berpendapat  menggariskan tiga nilai dalam tindakan operasi iaitu optimisme, keberanian dan adil.

Nilai optimisme dalam bekerja membolehkan seseorang mempunyai pelbagai pilihan bertindak dan bekerja tanpa rasa kaku atau buntu. Usaha dan panduan untuk menerapkan nilai ini dalam organisasi kita boleh dibuat melalui beberapa kaedah pendekatan yang disarankan.

Dunia hari ini juga menyedari hakikat bekerja dan mengurus berasaskan nilai ini. Malah kejayaan operasi syarikat konglomerat dunia seperti kajian dalam buku What Really Works - The performance secrets of the world’s most successful companies oleh William Joyce, Nitin Nohria dan Bruce Roberson menunjukkan kejayaan bersandarkan kekuatan nilai didukung dalam tindakan dan strategi.

Bahkan ia juga penentu kepada pengukuhan budaya kecemerlangan itu. Ertinya, untuk kekal berjaya juga mesti mempraktikkan tindakan yang berakhlak. Selain sebagai pengukuh kejayaan, akhlak juga adalah benteng kegagalan.

Firman Allah SWT: “Ketika Tuhanmu memberitahu, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya seksaan-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Personaliti pekerja

Justeru, mari kita kenal pasti nilai utama yang mendokong kerja seharian kita. Jika ditanyakan apakah tiga nilai utama bagi tindakan kerja anda, barangkali dapat kita fikirkan apakah yang sudah kita jadikan amalan dan rasa gembiralah dengannya serta pertingkatkan lagi.

Pegangan nilai akan membentuk akhlak atau personaliti pekerja. Personaliti yang baik adalah suatu keajaiban bagi pekerja kerana ia potensi yang membuka banyak ruang dan peluang untuk berjaya.

Abu Hurairah, sahabat Rasulullah yang terkenal daripada kalangan Ahli Suffah, walaupun miskin tetapi mempunyai nilai kekayaan personaliti antaranya beliau amat tekun mendampingi Rasulullah dan dalam tempoh lima tahun bersama, beliau menghafal sabda Baginda.

Justeru, marilah kita terus memupuk kerja berasaskan nilai kerana kemuliaan diri di sisi Allah SWT terletak kepada usaha dan nilai baik dalam mengusahakannya walaupun kecil.

Firman Allah SWT: “Tentulah Kami tidak mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/