Selasa, 30 Oktober 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gagasan pendidikan tinggi percuma nasional


Oleh : ABDUL HADI JUSOH & HASHIM AHMAD SHIYUTI

PENDIDIKAN diiktiraf sebagai sesuatu yang amat signifikan dalam Islam yang akan mencorak seluruh perjalanan kehidupan insan di dunia ini. Juga, yang akan menentukan nasib dan tahap pencapaian mereka di akhirat kelak, sama ada berakhir dengan kesudahan yang baik ataupun sebaliknya. Sebab itulah, permulaan intipati wahyu yang pertama yang diturunkan di Gua Hira’ kepada penyudah (khatimu) Nabi dan Rasul, Muhammad SAW bermula dengan terma ‘iqra’ yang membawa maksud ‘bacalah’.

Lantaran itu, ruang dan manafaat pendidikan baik di peringkat rendah, menengah dan tinggi tidak wajar hanya terbatas kepada kelompok-kelompok tertentu semata-mata, atas faktor kekangan kewangan yang ada. Apatah lagi dengan menjadikan ianya sebagai orientasi keuntungan yang sewajarnya perlu diminimakan dengan sebaiknya. Dalam hal ini, kerajaan sebagai pemegang amanah rakyat, perlu menggalasnya sebagai tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan telus.

Wajarnya, adalah mustahil untuk meyediakan ruang dan manfaat pendidikan secara percuma dengan hanya pelaksanaan ataupun penghapusan mekanisme dan sistem yang sedia ada seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tanpa wujud satu gagasan dan pendekatan yang lebih inkulsif dan komprehensif agar tidak menimbulkan masalah yang lebih besar dikemudian hari. Ibarat nukilan pepatah Melayu, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran."

Dengan ini, Daya Fikir telah mengambil inisiatif untuk merumuskan beberapa pendekatan yang dianggap wajar dilaksanakan, dan bukan setakat ‘cakap-cakap politik’ yang sekadar ingin meraih sokongan semata-mata, khususnya ketika musim pilihanraya yang semakin hampir. Hasratnya agar ruang dan manafaat pendidikan peringkat tinggi dapat disediakan secara percuma sepenuhnya dan pada masa yang sama masih mengekalkan keupayaan kewangan serta tidak mengorbankan prestasi pelbagai pihak yang terlibat.

Pertama, Daya Fikir mencadangkan penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pendidikan Tinggi Negara (KWSPTN) yang akan berfungsi sebagai pemodal utama kepada keperluan kewangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Untuk peringkat permulaan, pihak kerajaan perlu menyediakan sejumlah tertentu geran asas bagi lonjatan permulaan kepada usaha ini. Kemudian, meregulasi potongan pendidikan tinggi kepada setiap pekerja dan majikan awam dan swasta yang akan menjadi sumber kewangan utama kepada KWSPTN. Ini dapat dilakukan, dengan menetapkan kadar potongan tertentu yang mesti disumbangkan oleh setiap majikan dan pekerja. Dan, sumbangan ini mestilah menerima pengecualian cukai seratus peratus daripada kerajaan.

Hasil sumbangan daripada potongan yang diterima oleh KWSPTN akan dilaburkan semula ke dalam pelbagai portfolio pelaburan yang dikawal selia secara telus oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar yang berkaitan yang dilantik oleh pihak kerajaan. Pulangan keuntungan yang diperolehi akan digunakan sepenuhnya untuk menampung pelbagai kos diperingkat institusi pendidikan tinggi seperti yuran pelajar, gaji pensyarah dan pentadbir, fasiliti dan sebagainya. Manakala, pulangan dalam bentuk dividen diagihkan semula secara tahunan kepada pekerja dengan pengkhususan untuk tujuan pendidikan rendah dan menengah semata-mata. Di akhir umur persaraan, bagi pekerja yang tidak mempunyai anak yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi diberikan dua pilihan samada untuk mengeluarkan sepenuhnya jumlah sumbangan pokoknya ataupun menukarkan statusnya kepada waqf atau derma.

Kedua, selain daripada sumbangan wajib oleh rakyat Malaysia, terdapat juga beberapa dana lain yang disumbangkan oleh badan korporat, institusi berwajib, kerajaan dan juga individu-individu yang dibuat secara sukarela. Dana-dana ini boleh dikumpulkan di bawah satu ‘pool of fund’  yang dikenali sebagai  dana ‘waqf’. Bagi tujuan perkembangan dan pemantapan pengurusan dana ini, Daya Fikir mencadangankan ianya dibuat berdasarkan konsep Waqf Korporat. Waqf korporat khusus bagi pendidikan boleh diperkenalkan sebagai sokongan penting di dalam menjayakan perancangan pendidikan percuma. Waqf korporat yang dimaksudkan ini akan berfungsi sebagai salah satu punca suntikan kewangan yang diperlukan. Sumber kewangan ini dipercayai dapat melancarkan proses pendidikan yang mana pada kebiasannya ia akan menjadi halangan dan keterbatasan.

Dalam institusi waqf, pemilikan harta telah diserahkan kembali kepada ALLAh SWT manakala urusan pengendalian harta tersebut diserahkan kepada ‘pemegang amanah’ di mana mereka adalah bertanggungjawab di dalam mentadbir urus harta yang diwaqafkan berdasarkan peruntukan yang telah disediakan oleh agama dan juga orang yang mewaqafkan harta tersebut. Pemegang amanah adalah bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan harta yang diwakafkan dan adalah lebih baik sekiranya harta tersebut dapat dikembangkan dan menghasilkan lebih banyak perolehan. Justeru itu, Daya Fikir mencadangkan agar perlaksanaan waqf korporat perlu diperkasakan terutama di dalam melengkapkan dan menjayakan sistem pendidikan percuma.

Pelaksanaan waqf korporat secara profesional yang diuruskan berdasarkan tata-urus korporat yang cemerlang dijangka dapat menghasilkan perolehan yang lumayan. Waqf korporat ini adalah selari dengan tanggungjawab pemegang amanah untuk memastikan kesinambungan dan kesuburan harta waqf yang mana ianya dapat memanjangkan dan meluaskan manfaah harta tersebut. Memandangkan mereka yang memiliki kepentingan di dalam harta waqf adalah terdiri daripada penerima manfaah, lantas perolehan tersebut adalah dikhususkan untuk mereka. Justeru itu, dengan berkembangnya harta waqf dengan jumlah yang besar dijangka dapat menampung keperluan kewangan institusi pendidikan secara khususnya dan sistem pendidikan secara keseluruhannya.

Satu waqf khas pendidikan dicadangkan untuk diwujudkan. Ini bagi memastikan manfaah waqf dapat disalurkan untuk tujuan yang dimaksudkan. Kaedah pengwujudan waqf khas ini boleh dilaksanakan dengan dua cara iaitu pertama pengwujudan waqf yang baru dan kedua dengan menggunakan kaedah 'istibdal' atau penukaran ke atas harta-harta waqf sedia ada (terutama harta-harta waqf yang terbiar) kepada harta yang baru (yang aktif dan sesuai untuk dikorporatkan. Transformasi waqf baru ini dijangka dapat meligatkan lagi pusingan harta dan menggalakkan lagi peningkatan keluaran dalam negara kasar.

Akhirnya, perolehan daripada aktiviti waqf korporat ini akan disalurkan kepada penerima faedah di mana di dalam kes ini adalah institusi pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar  dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan.

Ketiganya, pemerkasaan pengagihan zakat dibawah ‘asnaf fisabillah’ yang digunakan untuk membiyai yuran pengajian kepada pelajar cemerlang yang datang dari latar belakang yang amat memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian, walaupun ibubapa mereka tidak membuat potongan dalam KSWPTN. Untuk mengelakkan pertindihan kewangan, potongan KSWPTN lebihan dikembalikan semula kepada penyumbang atau mereka diberi pilihan untuk menukar statusnya kepada waqf ataupun derma.

Keempat, peranan dan fungsi PTPTN mesti dikekalkan khusus untuk golongan pelajar yang kurang cemerlang yang tidak mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), oleh sebab mereka terpaksa meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), yang secara umumnya kos pendidikan adalah lebih tinggi berbanding IPTA. Ini adalah wajar, sebagai stimulasi untuk pelajar meningkatkan dan mengekalkan kecemerlangan mereka, jika mahu menikmati pendidikan secara percuma sepenuhnya.

Untuk terus mengekalkan keberkesanan pencapaian dan produktiviti pihak-pihak yang terlibat dalam institusi pendidikan tinggi ini, Daya Fikir mencadangkan:

Pertama, penggabungan mana-mana IPTA/IPTS yang dilihat fungsi dan matlamatnya bertindih antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk mengurangkan elemen kos pentadbiran dan pengurusan secara keseluruhan dan meningkatkan daya kualiti dan kecekapannya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010 secara keseluruhannya terdapat 21 buah IPTA, 23 buah IPTS yang bertaraf universiti, lim buah IPTS yang bertaraf universiti cawangan luar negara dan 21 IPTS yang bertaraf kolej universiti.

Kedua, kemasukan ke IPTA mestilah berdasarkan kepada sistem merit sepenuhnya dan mana-mana pelajar yang tidak mengekalkan pencapaian mereka perlu menukarkan statusnya ke IPTS dengan sebahagian kos mestilah ditanggung oleh mereka sendiri, dan sebahagian yang lain akan ditanggung oleh KWSPTN.

Ketiga, bayaran balik PTPTN mestilah berdasarkan nilai CGPA yang diperoleh setelah tamat pengajian dan setelah enam bulan berada di alam pekerjaan. Sungguhpun begitu, berdasarkan merit-merit khas yang lain seperti CGPA yang cemerlang dan sumbangan yang signifikan dari sudut sosial dan praktikal, pembayaran balik PTPTN boleh dibuat secara langsung dari dana KWSPTN bagi pihak peminjam PTPTN yang mana ianya perlu diperolehi dari ‘reserve’ keuntungan pelaburan dana KWSPTN tersebut. Cadangan ini dibuat bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai kecemerlangan pendidikan semasa peringkat menengah terus diberi peluang semasa di universiti atau kolej untuk mendapatkan pendidikan percuma.

Akhir sekali, Daya Fikir merumuskan bahawa perlaksanaan pendidikan tinggi secara percuma secara signifikannya memerlukan kerjasama dan pengorbanan daripada pelbagai pihak, iaitu rakyat dan kerajaan. Ia tidak semudah menuturkannya di bibir, tanpa ada perancangan dan perlaksanaan yang teliti dan telus.

Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan, dan pada masa yang sama tidak menyebabkan bebanan kewangan khususnya kepada rakyat dan kerajaan. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘ nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.

* Abdul Hadi Jusoh dan Hashim Ahmad Shiyuti merupakan pengasas dan pengasas bersama Daya Fikir Solutions

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cemerlang Tapi Sukar Dapat Kerja



Graduan perlu buka minda

Oleh Ruhaiza Rusmin

JIKA dulu graduan dengan keputusan cemerlang sering menjadi pilihan majikan, senario alaf baru menyaksikan graduan bertahap sederhana pula laku seperti goreng pisang panas.

Meskipun dengan keputusan cemerlang, bukan semua bernasib baik malah ada juga terpaksa berhempas pulas bersaing dengan ribuan graduan lain mencari pekerjaan.

Sebaliknya, mereka hanya memiliki sijil kemahiran serta kelayakan lebih rendah mudah pula memancing hati majikan hingga menimbulkan pertanyaan, apakah kecemerlangan graduan ini tidak bermakna.

Adakah senario ini isyarat bahawa keputusan cemerlang bukan lagi jaminan graduan itu tidak akan bergelar ‘penganggur terhormat’?

Atau adakah dunia pendidikan dan kerjaya hari ini sebulat suara tidak mementingkan lagi keputusan cemerlang sebagai syarat utama menawarkan pekerjaan sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kehendak semasa?

Ketua Program Komunikasi dan Pengarah Kewartawanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Siti Suriani Othman, berkata trend majikan kini lebih mengkhusus kepada mereka yang berkemahiran serta memiliki personaliti positif menjadikan graduan biarpun mempunyai keputusan cemerlang sebagai pilihan kedua.

Beliau berkata, keputusan atau ijazah bukan lagi jaminan mereka mudah diterima bekerja andai kata tidak memiliki kriteria dikehendaki seperti pandai berkomunikasi, berani dan penuh idea.

“Jika memiliki ijazah dengan keputusan cemerlang, ia masih belum mencukupi untuk menambat hati majikan yang hari ini begitu selektif memilih pekerja.

“Dulu, golongan ini memang menjadi pilihan dan larisnya seperti goreng pisang panas. Kini, keadaan berbeza kerana dunia pekerjaan juga sudah semakin mencabar dan kompetitif.

“Majikan bukan lagi mencari seorang pekerja yang hanya tahu menurut perintah semata-mata namun lebih kepada mereka yang mempunyai jiwa perjuangan supaya sama-sama boleh memajukan syarikat,” katanya.

Justeru, tidak usah hairan jika graduan yang memiliki keputusan cemerlang sukar bersaing mendapatkan pekerjaan berbanding mereka yang hanya mempunyai kelayakan sederhana seperti sijil atau diploma.

“Sekeping ijazah dan keputusan cemerlang bukan lagi penanda aras graduan itu berkebolehan melaksanakan tugasan sebaliknya majikan mencari sesuatu yang ‘istimewa’.

“Contohnya, personaliti calon pekerja yang sentiasa optimis, pandai berkomunikasi dengan baik serta peka cabaran sekeliling. Dengan kata lain, bukan seperti robot yang diprogramkan.

“Diakui, bukan semua graduan cemerlang seperti itu tapi kebanyakan memang begitu kerana dunia mereka dihabiskan untuk pencapaian akademik tanpa mengimbangi dengan keperluan sosial dan kemahiran,” katanya.

Katanya, hari ini kita jarang mendengar kesukaran graduan diploma atau sijil memperoleh pekerjaan sedangkan lambakan graduan berijazah sentiasa berlaku.

“Hakikatnya, kita perlu melihat senario ini sebagai satu isyarat tegas dari dunia pekerjaan bahawa ada kriteria lain ditetapkan sebelum seseorang itu ditawarkan kerja. Dan, syarat itu perlu diikuti tanpa kompromi.

“Justeru, graduan perlu membuka minda supaya tidak lagi menganggap akademik sebagai nyawa kejayaan sebaliknya kemahiran lain juga asas pemilihan,” katanya.

Biarpun bukan semua graduan cemerlang berdepan risiko itu terutama daripada bidang kritikal, peningkatan jumlah graduan berijazah saban tahun dikhuatiri mampu menimbulkan masalah berpanjangan.

Berbanding graduan sijil atau diploma atau mereka yang berkelayakan sederhana namun aktif, peluang untuk meneroka pasaran kerjaya lebih luas hasil daripada kemahiran dimiliki.

Kemahiran itu, katanya, banyak membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik dan menjadi bonus menampilkan keyakinan diri sekali gus menjadi aset menarik mata majikan.

“Sebab itu, di institusi sangat ditekankan pelbagai aktiviti yang lari daripada konsep akademik dan peperiksaan seperti khidmat komuniti dan kelab.

“Penubuhannya bukan sekadar suka-suka sebaliknya membantu mahasiswa meneroka potensi diri juga sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan.

“Malangnya, bukan semua mahasiswa tahu kepentingan kemudahan itu sebaliknya menganggap buku dan peperiksaan lebih penting manakala kemahiran jatuh nombor dua,” katanya.

“Bukan kata tidak penting tapi perlu diselarikan dengan kemahiran sebab sekarang majikan memang mencari calon berkemahiran demi memenuhi tuntutan kerjaya globalisasi.

“Kemahiran adalah aset paling mahal bagi majikan hari ini dan sudah tentu mereka mengkehendaki dan akan menjaganya dengan baik,” katanya.

Ditanya mengapa tiada masalah bagi graduan sijil dan diploma, katanya, golongan terbabit memang sudah disediakan bagi tujuan pasaran pekerjaan.

“Sebab itu, permintaan keduanya lebih laris. Tapi tidak bermakna mereka juga tidak berdepan cabaran mencari pekerjaan tapi jarang mendengar mereka menganggur.

“Ubahlah stigma bahawa dengan sekeping ijazah dan keputusan cemerlang, anda akan menjadi pilihan. Kini semuanya mempunyai peluang sama rata.

“Yang penting, bagaimana kita menampilkan diri untuk memikat hati majikan dengan kemahiran sedia ada. Justeru, masih belum terlewat mengubah stigma sedia ada,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Rakyat Malaysia mudah ditipu?


Oleh : ROHAMI SHAFIE

SABAN hari ada sahaja kisah rakyat kita ditipu. Penipuan ini terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan. Seolah-olah rakyat kita begitu mudah untuk ditipu. Tidak kiralah sama ada ditipu oleh warganegara Malaysia sendiri mahupun warga asing.

Kisah seperti ditipu oleh pemaju hartanah sering kali kedengaran. Rumah-rumah yang dijanjikan tidak siap sepenuhnya. Jadilah projek perumahan tersebut sebagai projek gajah putih. Terbengkalai begitu sahaja. Yang rugi, pembeli yang terpaksa membayar hutang bank manakala, pemaju-pemaju hartanah projek terbengkalai tidak langsung dikenakan tindakan. Mereka ini masih hidup bersenang lenang.

Bahkan ada antara mereka boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Tidak ada langsung rasa bersalah terhadap pembeli-pembeli projek perumahan mereka.

Itu bab ditipu oleh pemaju hartanah. Ditipu oleh skim cepat kaya usah cakaplah. Sejak skim cepat kaya Pak Man Telo diketahui ramai, tidak ada tanda-tanda rakyat Malaysia mengambil iktibar ke atasnya. Masih ramai yang ditipu menggunakan modus operandi skim cepat kaya.

Amat menghairankan kerana rakyat Malaysia sekarang ini ramai yang berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah kedoktoran. Tetapi semakin tinggi pelajaran, semakin mudah pula ditipu. Terbaharu, skim cepat kaya yang menggunakan modus operandi emas sebagai umpan.

Ramai yang terjebak dengan skim cepat kaya ini. Kasihan juga kepada mereka yang terlibat kerana tindakan segera telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Menyesal sudah tiada gunanya.

Sememangnya, emas semakin digilai oleh rakyat Malaysia. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui selok belok dalam pelaburan emas, yang akhirnya kesempatan ini diambil oleh segelintir golongan untuk menipu pelabur. Emas akhirnya melemaskan rakyat Malaysia. Hak pengguna tidak dilindungi. Pembeli rumah mahupun pelabur emas mengalami kerugian besar. Di manakah penguat kuasa undang-undang?

Kita masih tidak belajar sebagaimana negara jiran kita yang amat serius menguatkuasakan undang-undang. Inilah kelemahan utama negara kita. Dasar dan polisi sungguh hebat di atas kertas, tetapi apabila dilaksanakan atau dikuatkuasakan, ia hanya indah khabar daripada rupa.

Dek kerana mudah ditipu dan kurang penguatkuasaan, ada juga rakyat Malaysia terutamanya yang terlalu tamak mengejar gaji lumayan tertipu dengan umpan gaji lumayan oleh orang yang tidak diketahui latar belakangnya.

Sampaikan ramai yang sanggup menghadiri temuduga di bilik hotel. Bukannya gaji lumayan yang diperoleh, sebaliknya dirogol dan dirompak pula. Ada pula yang ditipu menjadi keldai dadah. Bagaimana mudahnya wanita Malaysia terpedaya dengan cara penipuan sebegini.

Itu belum lagi melibatkan penipuan di jalan raya. Di jalan raya terdapat pelbagai cara penjenayah menipu. Tujuan tidak lebih daripada untuk merompak. Dilanggar kereta mangsa dan mangsa pula dalam keadaan marah memberhentikan kereta untuk menuntut ganti rugi. Kesempatan ini digunakan penjenayah untuk merompak mangsa. Ada juga penjenayah berlagak seolah-olah berlaku kemalangan di jalan raya. Memberhentikan kereta dan motosikal dan sanggup "tidur" di tengah jalan raya supaya mangsa memberhentikan kenderaan.

Taktik menipu ini memperdayakan sesiapa sahaja yang jujur untuk membantu "mangsa" kemalangan yang tertiarap di jalan raya. Malangnya, mereka tidak menyedari kejujuran mereka inilah menyebabkan mereka bakal dirompak.

Tidak kurang juga ramai rakyat Malaysia yang ditipu oleh warga asing. Dianggarkan berbilion ringgit kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia yang kebanyakannya ditipu melalui jenayah siber. Sungguh menghairankanlah, rakyat Malaysia senang percaya dengan warga asing. Penjenayah siber ini menggunakan segala kepakaran teknologi maklumat untuk menggodam maklumat rakyat Malaysia sama ada melalui e-mail palsu mahupun melalui laman sosial seperti Facebook.

Rakyat Malaysia terutamanya wanita mudah pula "cair" dengan ayat-ayat indah mempersonakan hati dan perasaan yang sememangnya itulah kehebatan warga asing seperti Awang Hitam. Sanggup memberi wang mereka sampaikan ada mangsa mengeluarkan wang untuk dana persaraan mereka yang berjumlah berjuta-juta ringgit semata-mata untuk "membantu" si penipu ini yang tidak pernah langsung mereka bersemuka antara satu sama lain. Apabila menyedari ditipu, barulah segala kisah cinta dan kasih sayang hilang begitu sahaja. Menangis sudah tiada gunanya.

Agaknya, si penipu warga asing ini sudah memahami kelemahan rakyat Malaysia. Sebelum mereka datang ke Malaysia, mereka sudah membuat kajian di antara negara-negara di Asia Tenggara ini, negara kita yang paling mudah untuk "berurusan". Rakyatnya mudah ditipu, manakala undang-undang pula amat lemah dek kerana penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

Cuba kita lihat si penipu pendatang asing ini tidak berani menipu di negara-negara jiran kita. Kalau tidak sudah lama kita dengar pelbagai kisah penipuan melibatkan pendatang asing yang tinggal di negara jiran. Mereka ini tidak gemar duduk di negara-negara jiran kita, tetapi amat gembira tinggal di Malaysia.

Faktornya adalah Malaysia syurga "pelaburan" mereka. Yang kaya sudah semestinya mereka, manakala yang "kayap" rakyat Malaysia itu sendiri. Sampai bilakah ia akan berakhir?

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 29 Oktober 2012

ISU UMUM : Malaysia Di Tempat Ke-10 Negara Paling 'Peramah' Di Dunia


PETALING JAYA : 'Forbes Online' telah meletakkan Malaysia di tempat ke-10 negara paling peramah di dunia, berdasarkan penyelidikan 'Expat Explorer Survey' oleh HSBC baru-baru ini.

"Kualiti hidup yang lebih baik, kehidupan sosial yang memuaskan, kemudahan pelancongan tempatan dan perumahan yang lebih baik daripada di negara asal mereka membantu meletakkan Malaysia di tempat kelima secara keseluruhan walaupun ramai melaporkan sukar menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan (selalunya kerana halangan bahasa)," artikel Forbes Online melaporkan baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji artikel tersebut melalui Twitter pada Ahad berkata "Kami mengalu-alukan dunia".

'Forbes Online' menyenaraikan Kepulauan Cayman, Australia dan Britain sebagai tiga destinasi utama yang peramah bagi ekspatriat.

Merujuk kajian, artikel tersebut menyatakan bahawa ketiga-tiga negara itu sebagai "paling mudah berbaik-baik dengan penduduk tempatan, belajar bahasa tempatan dan menyesuaikan diri ke dalam masyarakat dan budaya baru".

Turut dinyatakan, kehidupan ekspatriat di Kepulauan Cayman yang sangat berpuas hati kerana tidak perlu membayar apa-apa cukai pendapatan atau gaji, jenayah yang kurang dan bebas pencemaran, selain musim panas sepanjang tahun.

Kanada berada di tempat keempat, diikuti New Zealand, Sepanyol, Amerika Syarikat, Bermuda, Afrika Selatan dan Malaysia.

Kaji selidik HSBC, yang dalam tahun kelima, melihat kepada pelbagai aspek kehidupan seorang ekspatriat termasuk ekonomi, pendapatan, pendapatan boleh guna dan ukuran kemewahan; keseluruhan pengalaman; dan pembesaran kanak-kanak di luar negara yang melibatkan penjagaan kanak-kanak, kesihatan dan integrasi yang baik.

Turut dinyatakan bahawa ekspatriat yang tinggal di Asia seperti di Malaysia, Singapura, Thailand dan Hong Kong didapati sukar menyesuaikan diri dengan komuniti tempatan berbanding dengan kebanyakan negara yang menggunakan bahasa Inggeris.

Menurut kaji selidik itu, Malaysia adalah destinasi utama untuk mereka yang didorong oleh kerjaya dan kualiti hidup yang baik tetapi menyatakan bahawa ramai melihatnya sebagai pangkalan sementara.

Sebanyak 5,339 ekspatriat dari 97 negara mengambil bahagian dalam kaji selidik dalam talian yang telah dijalankan dari Mei 11 hingga 3 Julai.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : SKMM Sekat 1,675 Laman Sesawang



Oleh: NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR : Sebanyak 1,675 laman sesawang telah disekat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, daripada jumlah itu 1,585 darinya merupakan laman sesawang yang memaparkan maklumat peribadi 'pishing'.

Manakala, bagi tahun 2011 pula sebanyak 1,475 laman sesawang telah disekat.

Joseph berkata, tindakan itu sebagai langkah penguatkuasaan yang diambil SKMM bagi menyekat laman sesawang, portal dan blog yang menyebar fitnah.

"Secara amnya semua undang-undang dinegara ini diterima pakai dalam menangani perlakuan sesuatu kesalahan tanpa mengambil kira perantaraan atau platform yang digunakan.

"Justeru, kandungan di media portal adalah tertakhluk dibawah peruntukan undang-undang negara seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan" katanya ketika menjawab pertanyaan lisan, Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang mahu mengetahui bentuk tindakan yang diambil oleh SKMM terhadap blog -blog yang menabur fitnah serta sejauh mana pemantauan bagi memastikan penulis blog mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata, SKMM sentiasa memantau dan mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Di bawah seksyen tersebut,sebanyak 32 kertas siasatan telah dibuka pada 2011.

"Manakala bagi Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 74 kes telah disiasat melibatkan media baru," katanya.

Menurutnya, antara tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SKMM termasuk membuat laporan kepada pihak pentadbir laman sesawang untuk mengeluarkan atau mengalihkan kandungan yang diadukan, mengeluarkan notis amaran kepada pengendali laman web dan menyekat akses kepada laman web terlibat.

"Sekiranya didapati melanggar undang-undang bertulis negara ini, tindakan menyekat akses kepada laman sesawang turut dilakukan, terutamanya untuk laman sesawang yang berpangkalan di luar negara," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Ahad, 28 Oktober 2012

ISU KENEGARAAN : Melayu menjadi faktor pengimbang


NAMA PROF. DATUK DR. SIDEK BABA sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebagai tokoh ilmuan pelbagai jawatan telah disandangnya. Pernah menjadi Timbalan Rektor HEP dan Disiplin Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kini masih setia di sana sebagai Professor Pendidikan di Kuliyyah Pendidikan.

Beliau juga telah menghasilkan lebih 20 buah buku mengenai pemikiran Islam dan umat Melayu. Kini pada usia 66 tahun, beliau masih aktif berceramah di dalam dan luar negara, juga sebagai Ahli MAIS, Ketua Dakwah Selangor, Lembaga Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan banyak lagi.

Sebagai tokoh ilmuan, Dr. Sidek melihat apa yang melanda terhadap orang Melayu sekarang ini adalah satu malapetaka yang mampu memecahbelahkan umat.

“Umat yang kuat, hebat dan memiliki jiwa besar adalah umat yang dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan bijaksana. Islam mengajar umat Melayu mengenai persaudaraan dan wahdah.

Katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, umat Melayu harus reflektif mengenai kekuatan silam. “Islam bukan sekadar agama yang memberi kekuatan rohaniah tetapi juga pedoman amaliah. Sumber yang sangat penting ialah menguasai dan mengembangkan ilmu yang sifatnya berketamadunan.

Katanya lagi, “Islam dan Melayu adalah suatu simbiosis. Melayu yang menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan bakal menempa perubahan dan mampu menghadapi cabaran kemajuan dan hari depan,".

MINGGUAN: Mengenai umat Melayu akhir-akhir ini, apakah Datuk membayangkan sebagai sesuatu yang sihat atau sebaliknya?

SIDEK: Pada asasnya polemik adalah sesuatu yang baik. Kebebasan memberi pandangan yang berkualiti, kritik yang membina, hujah yang baik adalah sesuatu yang berguna. Ia adalah kebebasan yang perlu diraikan. Tetapi polemik yang berasaskan emosi dan persepsi semata-mata boleh memudaratkan. Hujah-hujah dangkal tanpa adanya pemeriksaan terhadap fakta dan data boleh membawa kekeliruan. Ia boleh menimbulkan fitnah. Pada zaman media baru ini orang sering menyalahgunakan saluran maklumat dan sumber maklumat. Polemik harus mampu memberikan kematangan dan kedewasaan kepada umat Melayu. Islam harus dijadikan ukuran menilai supaya hujah yang diberi tidak tersasar. Umat Melayu di Malaysia adalah cerminan Islam.

Islam menganjurkan adab dalam menyantuni pendapat. Adab adalah disiplin akal, hati dan amal. Apabila akal memiliki disiplin tinggi menyerap pemikiran yang benar dan bermanfaat ia baik untuk disiplin hati. Timbangan hati menjadi lebih telus dan ketelusan akal budi insan memberi pencerahan kepada amal. Sekiranya ini terjadi, umat Melayu bakal menjadi umat contoh. Contoh ini apabila diterjemahkan dalam ilmu, pendidikan, sosial, ekonomi, pemikiran dan gaya hidup yang beradab, ia bakal melakukan lonjakan.

Sebaliknya umat Melayu yang gopoh, tidak mampu mengimbangi antara idealisme dan realiti, tidak memahami jalur sejarah atau perkembangan budaya, hilang jejak dan tapak dalam mengejar kemajuan bakal menimbulkan masalah dalam proses pembangunan umat. Umat Melayu perlu insaf bahawa wahdah atau kesatuan adalah kekuatan. Perpecahan boleh membawa bencana. Hanya kebijaksanaan membaca senario, faham mengenai faktor sebab-akibat, ikhlas dalam melakukan sesuatu, jauhkan dendam kesumat dan kebencian menjadi faktor penyumbang kepada binaan adab dan tamadun.

MINGGUAN: Apakah Umat Melayu sudah kehilangan fokus utama hingga menyebabkan prioriti kemaslahatan umat semakin tidak terarah?

SIDEK: Makna umat dalam tradisi Islam adalah sesuatu yang murni. Apalagi bila ia dikaitkan dengan konsep ummatan wasatan atau umat berimbang seperti yang terungkap dalam al-Quran. Melayu ialah suatu bangsa yang Allah ciptakan supaya dapat melakukan proses litaarrafu atau kekenalan seperti yang terungkap dalam Surah al Hujurat - 13 supaya memiliki daya kesalingan yang tinggi. Memperkukuh makna umat dalam pengertian memanfaatkan faedah berbanding dari sumber lain supaya terbentuk tasawwur atau pandangan semesta yang baik seharusnya menjadi keutamaan umat Melayu untuk bangun sebagai umat contoh.

Bahasa Melayu, umpamanya terdapat ribuan istilah al-Quran di dalamnya. Menjadikannya sebagai bahasa ilmu adalah suatu kewajaran. Berdekad-dekad lamanya kita membina Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak saja dalam bidang diniah atau agama tetapi juga dalam bidang sains dan teknologi. Hilangnya keutamaan dalam kalangan sebahagian orang Melayu terhadap bahasanya sendiri menyebabkan mereka menjadi pengagum kepada bahasa lain Kononnya bahasa lain adalah sumber maju dan bertamadun. Bahasa memerlukan etos dan nilai yang mendukung tamadun. Inilah yang terjadi apabila bahasa Arab diperkasakan ia menjadi sumber tamadun. Sekiranya Bahasa Melayu diperkasakan sebagai bahasa intelektual, bahasa ilmu, kajian dan penyelidikan, bahasa pengkaryaan ia bakal muncul sebagai bahasa peradaban.

MINGGUAN: Pada hemat Datuk di mana letaknya titik keseimbangan hubungan Melayu dan Islam dalam konteks masyarakat Malaysia?

SIDEK: Islam tidak sekadar suatu sistem kepercayaan. Ia adalah juga sebagai suatu cara hidup. Ciri-ciri kesejagatan Islam menjadikannya dianut oleh pelbagai bangsa. Hal yang sama juga terjadi kepada bangsa Melayu. Apabila Islam membentuk tasawwur dan pemikiran orang-orang Melayu, ia menyebabkan cara berfikir dan bertindak orang Melayu berubah. Islam dan Melayu adalah suatu simbiosis. Melayu yang menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan bakal menempa perubahan dan mampu menghadapi cabaran kemajuan dan hari depan.

Umat Islam pernah membangun tamadun contoh yang menjadi sumber ikutan Barat dan Timur. Umat Melayu harus reflektif mengenai kekuatan silam. Islam bukan sekadar agama yang memberi kekuatan rohaniah tetapi juga pedoman amaliah. Sumber yang sangat penting ialah menguasai dan mengembangkan ilmu yang sifatnya berketamadunan. Disini pentingnya dakwah dan tarbiyah berlaku secara berterusan di kalangan umat Melayu. Keinsafan terhadap Islam bukan sekadar batini tetapi harus didukung dengan kekuatan ilmu yang memberi jalan kepada pencerahan terjadi.

MINGGUAN: Apakah memperkukuh ikatan umat Melayu boleh menyebabkan hubungan dengan yang bukan Melayu terjejas?

SIDEK: Saya tidak fikir begitu. Umat Melayu adalah umat pengimbang dalam konteks masyarakat Malaysia. Sejarah binaan masyarakat Malaysia di mana perlembagaan memperuntukkan asas dukungan bagi kemajuan umat Melayu adalah langkah bijaksana. Dalam masa yang sama bukan Melayu mempunyai kebebasan untuk maju dalam ekonomi dan pendidikan. Bayangkan umat Melayu dalam konteks Malaysia yang terpinggir, bakal menjejaskan ketidakseimbangan dan tidak baik bagi pembangunan Malaysia. Secara jangka panjang isu merit harus menjadi fokus dan menjadi agenda utama Umat Melayu. Ia bakal menghasilkan daya saing atau sikap maju yang sihat. Faktor sosio-ekonomi yang diraikan menuntut kesabaran dan pengertian yang tinggi kerana umat Melayu sudah terjajah lebih 400 tahun.

Setengah abad membangunkannya belum cukup menjadikan umat Melayu sepenuhnya tangkas dan mandiri. Mereka perlu dibantu tanpa menafikan hak orang lain untuk membangun sama. Islam tidak harus dilihat sebagai faktor rasis atau agama perkauman. Memajukan umat Melayu dengan Islam tidak harus dilihat dengan prasangka dan niat buruk. Penerapan nilai-nilai Islam di kalangan umat Melayu dan sistem bernegara yang sedang berjalan adalah baik untuk kestabilan Malaysia. Bank Rakyat yang sedang beroperasi banyak memikat penglibatan orang-orang bukan Islam meski corak operasinya berasaskan prinsip patuh syariah. Dividennya yang tinggi membayangkan kestabilan dan keuntungan yang ada. Islam mendukung maksud amanah, adil, tulus dan telus.

Sekiranya ini dihayati dalam pengurusan dan kepimpinan di semua sektor ia bakal menghasilkan integriti. Tidakkah itu menjadi faktor penyumbang yang baik untuk semua pihak. Umat Melayu bakal menjadi umat teladan dan Bukan Melayu menjadikannya sebagai sumber ikutan. Islam mengajar umatnya memiliki watak berimbang (ummatan wasata). Sekiranya umat Melayu mendukung pekerti sebegini dalam konteks masyarakat majmuk, ia adalah baik untuk binaan masyarakat Malaysia. Umat Melayu akan rasa tidak selamat sekiranya dominasi politik berlaku secara tidak seimbang. Kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh sesetengah pihak tidak harus ditampilkan sehingga umat Melayu merasakan keterpinggiran berlaku dan boleh membawa kepada konflik.

MINGGUAN: Pendidikan merupakan wahana yang sangat penting membangun potensi umat Melayu. Apakah setakat ini Datuk berpuas hati pencapaian orang Melayu dalam bidang pendidikan?

SIDEK: Sudah tentu tidak. Sejak merdeka kerajaan berusaha membangun wahana pendidikan sebagai saluran mobiliti sosial. Pendekatan yang diambil oleh pelbagai sektor pendidikan menampilkan umat Melayu yang berilmu dan mempunyai pengkhususan dan kepakaran dalam pelbagai bidang semakin bertambah. Ia adalah suatu dasar yang bijak supaya wujud keseimbangan yang munasabah di kalangan masyarakat berbilang. Jiwa mandiri umat Melayu sudah mula terlihat. Ia memerlukan masa lagi supaya merit menjadi faktor bijaksana dalam menempa kejayaan dan pergantungan hanya perlu bagi mereka yang patut dibantu.

Mendepani cabaran globalisasi yang semakin sengit, umat Melayu harus diperkasa dengan landasan etika dan nilai murni yang tinggi di samping ilmu yang sifatnya berkembang untuk maju dan membangun. Sistem pendidikannya harus bersifat transformatif menyantuni perubahan zaman dan cabaran lingkungan. Pendidikan tidak harus dilihat sekadar suatu proses transformasi maklumat dan pengetahuan dalam orientasi peperiksaan semata-mata tetapi ilmu yang benar dan bermanfaat harus menjadi dukungan untuk perubahan diri manusia.

MINGGUAN: Apakah pertanda perpecahan dalam kuasa politik umat Melayu boleh membawa hilangnya perimbangan kuasa politik Malaysia?

SIDEK: Pada hemat saya ia memang benar. Perpecahan dalam kalangan umat Melayu dalam konteks politik Malaysia adalah suatu malapetaka. Umat yang kuat dan hebat dan memiliki jiwa besar adalah umat yang dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan bijaksana. Islam mengajar umat Melayu mengenai persaudaraan dan wahdah. Ilmu Islam yang dipelajari, risalah dakwah yang disantuni, pendekatan tarbiyah yang di ungguli harus mampu mendidik umat Melayu memiliki watak kasih sayang dan belas kasihan bukannya kebencian dan dendam kesumat. Rasulullah SAW, memiliki upaya kesabaran yang tinggi dalam melakukan perubahan dan merintis jalan ke arah wahdah.

Al-Quran memberikan kita pedoman "Watawa saubil haq, watawa saubissabr" iaitu sifat sabar dalam menyatakan yang hak dan kebenaran. Menyerap kesabaran dalam politik Malaysia amat dituntut dalam kalangan umat Melayu supaya perpecahan tidak terjadi. Kalau HAMAS dan PLO di Palestin pernah berperang dan berbunuhan kerana orientasi politik yang berbeza, mengapa perkara yang sama tidak boleh berlaku di Malaysia. Jiwa besar dalam kalangan pimpinan umat Melayu perlu ada memikirkan hari depan umat dan Islam itu sendiri. Tradisi muzakarah adalah sesuatu yang unggul dalam amalan Islam. Mengapa ia tidak berlaku. Kita hanya pandai menyebut dalam syarah dan tazkirah kita.

Dalam masa yang sama kita lebih cenderung untuk menanamkan benih-benih perpecahan bukannya wahdah. Janganlah merasa seronok dengan lontaran takfir, taghut dan lain lain-lain gelaran yang hodoh untuk membezakan diri kita dengan orang lain kerana ia ibarat api yang membakar daun-daun kering di musim kemarau. Faktor perimbangan kuasa politik di Malaysia adalah amat penting. Umat Melayu sebagai umat teras mampu mendukung faktor ini supaya kemajuan dan pembangunan Malaysia berada dalam keadaan yang lebih menjanjikan.

MINGGUAN: Apakah cara yang dianjurkan oleh Islam supaya titik pertemuan dan wahdah terjadi dalam kalangan umat Melayu?

SIDEK: Dakwah dan tarbiyah harus diperkasa dalam kalangan umat Melayu. Ilmu yang benar dan bermanfaat harus dikembangkan dalam sistem pendidikan kita. Landasan etika dan nilai harus menjadi asas fundamental membentuk watak dan peribadi umat Melayu dan Malaysia. Amanah, keadilan, kebebasan dalam batas yang terizin oleh syarak, keikhlasan melakukan sesuatu untuk kebaikan umat manusia, daya tasamuh yang tinggi tanpa mengorbankan prinsip, menyediakan model-model alternatif Islami yang sesuai untuk masyarakat berbilang, memberi keutamaan kepada amal contoh yang boleh diteladani dan memahami senario setempat dan antarabangsa secara bijaksana adalah antara ramuan terbaik membangun sebuah negara Malaysia dalam acuan kita sendiri. Justeru umat Melayu sebagai umat teras dan umat contoh harus mampu melakukan penerokaan dan memberi daya kepimpinan yang berwibawa dan stabil supaya umat Melayu dilihat sebagai tenaga pengimbang yang berkesan untuk kebaikan semua. Ia tidak mudah untuk dilakukan tetapi tekad ilmu, dakwah, politik, ekonomi dan sosial yang tinggi harus mampu diterjemahkan dalam sistem. Kejayaan Malaysia dalam banyak hal harus diperkukuh lagi supaya Malaysia menjadi tempat yang selamat untuk semua.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : E-buku membebaskan ruang rumah daripada timbunan kertas-kertas


Oleh : Zin Mahmud

BUKANNYA senang hidup sebagai seorang ulat buku. Sebenarnya mereka tidak memilih untuk menjadi seorang ulat buku. Ini semua takdir. Mereka telah dilahirkan sebagai ulat buku. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak perlu kempen membaca. Mereka tidak perlukan itu semua. Kegilaan mereka terhadap buku datang dengan sendirinya, tanpa sebarang galakan, apatah lagi paksaan. Sedar-sedar mereka sudah menjadi ulat buku.

Mungkin ada orang kagum terhadap mereka yang berminat membaca. Ulat buku sememangnya golongan minoriti. Tetapi sebenarnya banyak orang tidak suka pada ulat buku. Ini kerana gila buku adalah suatu penyakit.

Sebeanrnya penyakit ini dapat dikesan sejak dari awal lagi. Para ulat buku seringkali adalah golongan yang suka menyendiri. Tidak suka bersosial, lebih gemar menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgitnya demi buku.

Maka para ibu bapa yang mempunyai ulat buku di kalangan anak-anak mereka pasti dapat mengesan penyakit ini dari awal, sejak di sekolah rendah.

Ulat-ulat buku ini dengan sendirinya, tanpa disuruh akan gemar pergi ke perpustakaan sekolah. Mereka akan pinjam buku sebanyak mana dibenarkan, membacanya cepat-cepat dan mengembalikannya sepantas mungkin, supaya dapat meminjam buku lain pula.

Sering kali ulat buku ini akan segera menjadi pustakawan sekolah supaya mereka dapat hidup dikelilingi buku. Di luar waktu sekolah, kedai buku sentiasa menjadi tumpuan mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berpenyakit gila buku ini, mereka akan mula menyedari kesan-kesan negatifnya.

Ini kerana buku-buku yang dibaca oleh ulat-ulat itu seringkali bukannya buku pelajaran untuk peperiksaan dalam silibus nya.

Maka ulat-ulat buku ini akan membaca apa saja yang diminatinya, seringkali berbeza daripada mata pelajaran di sekolahnya. Jika tidak dikawal, pencapaian pelajarannya akan terjejas kerana ulat-ulat buku ini banyak menghabiskan masa membaca buku-buku lain.

Kesan negatif lain ialah banyaknya wang yang dihabiskan oleh kanak-kanak ulat buku ini untuk membeli buku. Mereka sanggup berlapar supaya wang belanja makan digunakan untuk membeli buku.

Maka dalam waktu singkat bilik dan rumahnya akan penuh dengan buku dan majalah yang pasti dirasakan menyempitkan dan semak bagi para ibu bapa mereka terutama yang hanya mampu memiliki rumah kecil.

Selain itu, kesan negatif daripada ulat buku ialah sifatnya yang tidak suka bersosial dan bersukan hingga menjejaskan pembangunan dirinya dan kemahiran hubungan sesama insan.

Tidak kiralah apa kerjaya yang diceburinya, penyakit gila buku ini akan berterusan hingga ke akhir hayat. Apabila mereka mula bekerja, dengan memiliki wang sendiri, maka banyak lagilah buku yang dibeli dan diperoleh dan seterusnya memenuhi ruang-ruang di rumahnya.

Masalah ini akan menjadi rumit jika seorang lelaki ulat buku berkahwin dengan wanita yang tidak toleran dengan penyakit ini.

Sejak mula berkahwin hinggalah beranak cucu, leteran terhadap buku-buku yang terus bertambah menimbun dalam rumah akan menjadi suatu kebiasaan.

Tetapi bagi ulat-ulat buku, mereka tidak akan menjawab balik terhadap leteran-leteran itu. Mereka hanya memekakkan telinga dan terus tenggelam dalam dunia pembacaannya.

Bagi isteri-isteri ulat buku, penyakit suami mereka ini dirasakan menyempitkan hidupnya. Perebutan ruang dalam rumah pasti berlaku. Ini kerana buku-buku memakan banyak ruang yang berharga terutama dalam rumah teres dua tingkat dengan bilik terhad.

Soal buku sememangnya sensitif bagi ulat buku. Jika dia mendapati bukunya diusik, apatah lagi dipindahkan ke tempat lain, maka berangnya tidak mengenal ahli keluarga. Buku adalah sebahagian daripada dirinya.

Tanda-tanda bahawa seseorang lelaki itu berpenyakit gila buku sepatutnya boleh disedari oleh seseorang perempuan sejak awal dia mula mengenal bakal suaminya.

Pastinya lelaki ini akan membawa teman wanitanya ke tempat-tempat yang ada kedai buku. Kalau pergi ke kompleks membeli belah, pastinya dia akan memilih tempat yang ada kedai buku.

Gaya hidup ini akan berterusan sepanjang hayatnya. Anak-anak ulat buku juga dari awal lagi sedar bahawa ke mana saja mereka berjalan, bapanya pasti membawa mereka ke kedai buku. Seringkali bapa mereka akan membeli lebih banyak buku daripada anak-anaknya.

Ada masanya apabila tidak tahan dengan protes isterinya, maka ulat buku ini akan menjalani hidup secara gerila. Mereka membeli buku secara gelap, sembunyi-sembunyi.

Apabila membeli buku, ia akan disorokkannya dalam kereta. Setelah keluarganya tidur, barulah dia keluarkan buku daripada keretanya. Setelah berbulan-bulan berlalu, tiba-tiba tanpa disedari isterinya, rumah menjadi sempit kerana penuh buku.

Tetapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan baru kepada keluarga ulat buku.

Ulat-ulat buku tidak perlu lagi bimbang dileter atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat terlalu banyak buku.

Kemunculan e-buku akan meringankan beban ulat-ulat buku daripada kemarahan keluarganya. Ini kerana e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman ulat e-buku sudah tiba.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/