Ahad, 4 November 2012

SELAMAT BERJUANG ANAK-ANAKKU....

Kepada anak-anak pelajar SPM dan STPM tercinta, didoakan agar anda semua dikurniai kekuatan untuk menempuh peperiksaan dengan tenang, beroleh bimbingan Yang Esa  dan seterusnya berjaya menjawab soalan peperiksaan dengan betul, sempurna dan teratur....AMEEN!

ISU PENDIDIKAN : 472,541 calon duduki SPM mulai Isnin


KUALA LUMPUR: Seramai 472,541 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin ini hingga 6 Disember.
  
Sebanyak 415,530 calon daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 7,708 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian dan 7,946 calon daripada sekolah menengah agama negeri.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini, berkata turut menduduki peperiksaan tahun ini ialah 11,309 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian, 28,148 calon sekolah menengah agama rakyat dan 1,900 calon persendirian.

Kenyataan itu berkata seramai 30,239 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan calon untuk merujuk jadual waktu peperiksaan, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan serta membuat persiapan awal bagi menghadapi perkara yang mungkin menghalang atau melewatkan mereka sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Mereka diingatkan membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.

"Calon juga sentiasa diminta untuk peka dan mengikut perkembangan terkini melalui media sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan," kata kenyataan itu.

Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri juga telah dimaklumkan mengenai Ops Payung berkaitan banjir dan sekolah yang berisiko tinggi, dan telah diarah untuk menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang selamat.

Bantuan tempat tinggal, makanan dan keperluan asas akan disalur kepada calon yang terjejas akibat banjir dan Kementerian Pelajaran akan bekerja sama dengan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan selamat, kata Lembaga Peperiksaan.

Bilik Gerakan Peperiksaan SPM akan beroperasi sepanjang peperiksaan berlangsung bermula dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang dan boleh dihubungi di talian 03-88843024/03-88893551/03-88893601 atau 03-88893520. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : 67, 202 Calon Duduki STPM Mulai Isnin


KUALA LUMPUR : Seramai 67,202 orang calon akan menduduki peperiksaan Penggal 1 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2013, iaitu peperiksaan berdasarkan sistem pentaksiran baru STPM di 771 buah pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 5 hingga 8 November 2012.

Menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), daripada jumlah itu, 66,465 orang adalah calon sekolah kerajaan, 658 calon sekolah swasta, 69 calon persendirian individu dan 10 calon sekolah kerajaan negeri.

"Mereka ini merupakan calon kohort pertama yang menduduki peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran baru STPM yang mengikuti pengajian tingkatan enam bawah mulai Mei 2012," kata MPM dalam satu kenyataan.

Kesemua calon dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Calon juga boleh mencetak LPKC masing-masing melalui portal MPM di http://www.mpm.du.my.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti banjir semasa peperiksaan berlangsung, MPM membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi di talian 03-61302666 dari jam 7 pagi hingga 6 petang.

Talian lain yang boleh dihubungi ialah 03-61369663 (am), 03-61302664/03-61302646.-BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Pembangunan pendidikan perlu inovasi berterusan


Oleh : Dr Muhamad Razak Idris
 
Kurikulum kena ikut pasaran kerja semasa

Daya saing bidang pendidikan banyak bergantung kepada tahap kualiti kurikulum pengajiannya. Oleh kerana itu, kita dapati banyak inisiatif penyelidikan dilakukan oleh pakar pendidikan tertumpu dalam pembangunan aspek ini pada masa kini. Ia bagi menjamin pendidikan benar-benar dapat memenuhi peranan asasinya sebagai wadah atau saluran terpenting pembangunan manusia, seterusnya memastikan generasi yang dibangunkan dapat bersaing secara yakin di pentas dunia baru yang serba mencabar pada masa depan.

Dalam makalah Voice terbitan The University of Melbourne, (vol 8, no 8), Gabrielle Murphy misalnya memulakan tulisannya dengan persoalan, apakah bentuk kerjaya yang bakal diceburi oleh seorang kanak-kanak yang dilahirkan pada 2012 selepas beliau menamatkan pendidikan tinggi pada 2035?

Bentuk pekerjaan berubah

Dalam telahan Murphy, kanak-kanak ini berkemungkinan besar sudah tidak lagi dapat menceburi bidang pekerjaan yang kebiasaan dilakukan oleh ibu bapa mereka hari ini selepas 23 tahun akan datang. Kepesatan perubahan dan pencapaian dalam kehidupan manusia hari ini terutama dari ilmu, maklumat, kemahiran dan kemudahan, akan menjadikan bentuk-bentuk pekerjaan pada masa depan juga berubah sepenuhnya.

Ini adalah antara asas yang mendorong pakar pendidikan hari ini memberikan tumpuan khusus dalam merencana program pembangunan kurikulum pendidikan yang mengandungi kualiti daya saing yang tinggi bagi memastikan generasi pelajar hari ini mampu berdepan dengan perubahan pekerjaan dan kehidupan yang serba mencabar dan tidak menentu pada masa depan.

Dalam kata lain, kurikulum pendidikan harus sentiasa bersifat responsif terhadap perubahan dan dinamik dari segi pengamalannya. Kurikulum pendidikan dan pembelajaran yang bersifat beku atau jumud akan berdepan dengan persoalan relevensi atau kesesuaiannya dalam menyumbang kelahiran generasi berdaya saing mendepani cabaran perubahan.

Dalam dekad-dekad mendatang, dunia akan terdedah dengan pelbagai penciptaan baru dan ia akan mempengaruhi gaya hidup manusia dan cara mereka melakukan pekerjaan. Realiti perubahan ini bukan suatu yang terlalu sukar untuk kita fahami. Lihat saja kesan yang sudah disumbangkan oleh kemajuan di bidang komunikasi dan media terhadap kehidupan kita hari ini. Pembangunan teknologi baru di bidang ini sudah mengubah cara manusia memperoleh maklumat, berhubung dan berhibur.

Konsep televisyen, misalnya sudah berubah sepenuhnya sekiranya dibandingkan sejak dua tahun yang lalu. Manifestasinya tidak lagi statik, tetapi kini bercorak digital dan mudah alih. Teknologi komunikasi yang canggih ini juga mempengaruhi corak manusia berurusan dalam bidang kewangan, perubatan, perdagangan dan lain-lain lagi. Bidang pendidikan juga tentu tidak kebal daripada menerima kesan perubahan dunia ini. Untuk itu, ia perlu bersiap siaga secara lebih efektif bagi mendepaninya.

Apakah bentuk persediaan yang perlu dilakukan bidang pendidikan bagi mendepani realiti perubahan ini? Bagi pakar pendidikan, pembangunan kurikulum pendidikan yang bersifat inovatif adalah antara aspek teras yang mesti diutamakan kini. Ia adalah jalan keluar yang akan memastikan generasi yang dibangunkan hari ini tidak ketinggalan oleh arus deras perubahan masa depan.

Inovasi kurikulum pendidikan ini harus menyeluruh mencakupi kandungan ilmu yang harus diketahui pelajar serta kaedah atau teknik pembelajaran setiap bidang pengajian. Program inovasi ini juga harus menggabungjalinkan seluruh ruang, persekitaran dan teknologi pembelajaran bagi memberikan kesan tertinggi terhadap pencapaian pendidikan.

Dalam beberapa penemuan berkenaan model kurikulum pendidikan berinovasi, pakar pendidikan mengesyorkan aspek membabitkan pembelajaran ilmu bercorak merentas disiplin, pengukuhan daya kepemimpinan, penghargaan kepelbagaian budaya dan pembinaan generasi berwatak global perlu diperluaskan pelaksanaannya serta harus menjadi teras penting pembangunannya. Bagi tujuan itu, pembangunan teknik pembelajaran berasaskan pemikiran kritis, keterampilan meneroka keluasan dan kekayaan sumber ilmu serta kemahiran bekerja secara berpasukan hendaklah diterapkan dalam proses pembelajaran.

Kesepaduan kaedah pembelajaran

Inovasi dalam pembangunan kurikulum pendidikan juga disyorkan memberi tumpuan dari segi kesepaduan kaedah pembelajarannya. Komponen formal dan tidak formal dalam sistem pendidikan harus saling berperanan secara melengkapi. Menerusi model ini, proses penguasaan ilmu tidak hanya lagi tertumpu dari segi pengajian secara formal di dalam kelas atau buku teks tetapi dalam masa yang sama dijayakan melalui kaedah tidak formal membabitkan pembangunan persekitaran dan budaya pembelajaran yang kreatif dan segar dalam sesebuah institusi pendidikan.

Model ini menganjurkan agar ruang dan peluang interaksi antara pelajar sesama pelajar dan pelajar dengan komuniti diperluaskan pada tahap maksimum. Ini akan membabitkan banyak pelaburan dari segi persediaan prasarana pembelajaran seperti keperluan memperbanyakkan ruang interaksi dan diskusi, memanfaatkan infrastruktur seperti bilik darjah, bangunan, kantin, surau dan perpustakaan sebagai pusat sumber pengetahuan dan galakan kegiatan mobiliti pelajar bersama komuniti setempat atau antarabangsa.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 3 November 2012

ISU PENDIDIKAN : NUTP kemuka 15 resolusi tingkat pembelajaran



Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengemukakan 15 resolusi kepada kerajaan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, termasuk penambahbaikan segera kelemahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Permintaan lain ialah menggubal segera jadual gaji baru pegawai perkhidmatan pendidikan dan dilaksanakan pada Januari depan dan mengehadkan 1,000 pelajar di setiap sekolah.

Kesatuan juga meminta kepemimpinan pengurusan serta pentadbiran peringkat kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah dan sekolah mesti mempunyai latar belakang pendidikan dan perguruan.

Resolusi diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Presiden NUTP, Hashim Adnan, bersama barisan kepemimpinan tertingginya pada majlis dihadiri 5,000 ahli kesatuan semalam yang turut berikrar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Menurut resolusi itu, kelemahan PBS perlu diperbaiki kerana ia antara isu utama guru dan dianggap membebankan, manakala cadangan mengehadkan jumlah pelajar bagi membolehkan kawalan kualiti pelajar serta guru secara berkesan oleh pentadbir sekolah.

Laksana segera peraturan

Kementerian juga diminta melaksanakan segera peraturan yang sudah dipinda bagi memantapkan disiplin pelajar sekolah dengan jelas dan tepat.

Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan resolusi khas itu sebagai penting dan memberi jaminan kementerian akan berbincang dengan NUTP dalam tempoh dua minggu sebelum laporan diserahkan kepadanya.

Katanya, cadangan yang munasabah akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan sewajarnya.

“Sejak dulu kita komited melihat profesion keguruan sentiasa hebat. Kita perlu memastikan sistem pendidikan dapat menjana modal insan lebih cemerlang dan sebahagian besarnya terletak atas tanggungjawab guru. Justeru, kita sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan guru,” katanya.

Mengenai isu PBS, beliau berkata, ia diperkenalkan berikutan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai anjakan mengubah sistem pendidikan negara yang terlalu menjurus kepada pencapaian dalam peperiksaan awam.

Langkah penambahbaikan

“Ia mungkin memerlukan beberapa langkah penambahbaikan. Saya sedar kerana mendapat maklum balas kesulitan guru. Bagaimanapun, saya yakin apabila sudah diatasi, ia tidak menjadi masalah. Mungkin pada peringkat awal, ia dianggap beban kerana kerja baru,” katanya.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, kementerian mengamalkan sikap terbuka kepada pandangan atau tuntutan.

Mengenai sama ada perkara yang dibangkitkan NUTP akan ditambah dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, beliau berkata ia akan dilaksana berdasarkan keperluan.

Resolusi lain: 
  • Mewujudkan segera jawatan pembantu guru Gred N17 di semua sekolah bagi mengatasi masalah urusan pentadbiran inventori dan pengurusan data serta maklumat pelajar.
  • Struktur majlis permuafakatan kesatuan/ persatuan guru dikaji supaya lebih demokratik dan berkesan berdasarkan bilangan keahlian dan peraturan rasmi. 
  • Peruntukan kewangan mencukupi bagi pembayaran gaji guru ganti diturunkan ke JPN/PPD pada awal tahun bertujuan mempermudah pengambilan guru ganti, termasuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) 
  • Setiap program membabitkan guru mesti mengambil kira peruntukan kewangan standard dan mencukupi bagi melancarkan pelaksanaan secara berkesan dan berkualiti menjurus kemenjadian murid. 
  • Mewujudkan perjawatan dan peluang naik pangkat lebih cerah di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara.

   Sumber : http : //www.bharian.com.my/

10 TIP MENGHADAPI PEPERIKSAAN



1. Jangan panik:
Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.

2. Buat kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat:
Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.

3. Semak soalan-soalan  tahun lalu:
Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.

4. Perbanyak  pembelajaran secara output learning:
Pada saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda  dalam sesuatu topik dalam  bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.

5. Perbanyak latih tubi dan ujian simulasi:
Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan menjawab soalan tahun-tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.

6. Sediakan nota ringkas:
Nota ringkas amat penting dan berguna kerana senang dibawa ke mana-mana  saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan  pada waktu terluang.

7. Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya:
Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat yang cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.

8. Ambil Makanan berkhasiat dan seimbang:
Elakkan daripada mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.

9. Kawal emosi:
Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi pada saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

10. Banyakkan  berdoa dan bersolat:
Sebagai makhluk yang lemah, kita dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t, justeru, pada saat-saat genting ini, anda digalakkan untuk memperbanyak solat hajat, solat tahajud dan berdoa memohon pertolongan daripada-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan pula, pohonlah keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.

Bangunlah pada 1/3 malam tersisa dan berdoalah sebagaimana hadis berikut,

"Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepada-Ku, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampun kepada-Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku, supaya Aku memenuhinya? ". (Terjemahan daripada hadis sahih Bukhari dan Muslim).

Antara doa yang boleh diamalkan:

“Ya Allah, Ya Aliim ( yang Maha Berilmu), Ya Hakim ( yang Maha Bijaksana), Ya Rasyid (yang Maha Pandai), kami hamba-Mu yang lemah ini bakal menghadapi peperiksaan SPM/STPM yang amat penting bagi kami, demi meneruskan perjuangan menegakkan Islam, agama yang diterima di sisi-Mu Ya Allah. Maka Ya Allah, Kau kurniakanlah kami sedikit ilmu-Mu dan sedikit kebijaksanaan-Mu agar kami dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik, tenang, dan teratur. Ya Allah, Ya Malik (yang Maha Berkuasa), hanya pada-Mu kami bertawakal. Sesungguhnya pada-Mu jua terletak segala ketentuan yang terbaik buat kami. Engkaulah sebaik-baik perancang dan pengatur wahai Ya Baari’ (yang Maha Perancang).”

ISU PENDIDIKAN : Kerajaan timbang 9 tuntutan NUTP


KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung sembilan tuntutan termasuk berkaitan isu sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya akan menetapkan tarikh perjumpaan dalam masa seminggu ke dua minggu akan datang untuk pegawai-pegawai kanan kementerian berjumpa dengan wakil NUTP.

"Kita ada Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pelajaran, kita boleh letak beberapa wakil daripada kementerian. Saya hanya akan terima laporan selepas perbincangan itu selesai.

"Ini biasa kita buat. Sebelum ini pun bila ada cadangan ia akan dikemukakan oleh kesatuan, peringkat kementerian memang akan bincang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas Guru Malaysia anjuran NUTP di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, tuntutan yang sesuai dilaksanakan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan sekiranya melibatkan implikasi kewangan, ia akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan.

Presiden NUTP Hashim Adnan pada perhimpunan itu mengemukakan sembilan tuntutan melibatkan penambahbaikan profesion perguruan termasuk aspek pengurusan, pentadbiran, gaji dan peluang kenaikan pangkat.

Mengenai cadangan penambahbaikan PBS, Muhyiddin berkata, beliau sememangnya menjangkakan perkara itu berdasarkan maklum balas yang diterima kementerian apabila sistem itu dilaksanakan.

Katanya kementerian akan meneliti perkara itu termasuk aspek teknikal yang menyebabkan sistem itu dianggap sebagai 'beban' kepada guru.

Melalui PBS, murid sekolah akan ditaksir guru secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan tidak bergantung kepada keputusan peperiksaan awam semata-mata.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan tidak pernah mengetepikan sebarang pandangan atau tuntutan yang dibuat mana-mana pihak.

Ditanya sama ada perkara yang dibangkitkan NUTP akan ditambah ke dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, Muhyiddin berkata: "Kalau tidak terlewat dan boleh dibuat jika perlu."

Terdahulu, dalam amanatnya pada perhimpunan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin masalah-masalah berkaitan PBS akan dapat diatasi bagi membolehkan sistem itu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Bermakna kita dapat beralih kepada satu sistem di mana pencapaian pelajar dapat dinilai atas keupayaan mereka di peringkat sekolah dengan dipandu Lembaga Peperiksaan agar bentuk soalan yang digunakan adalah selaras.

"Saya kira ini dapat mengubah corak sistem pendidikan kita agar menumpukan kepada pencapaian daripada hanya keputusan peperiksaan awam," katanya. - Bernama