Rabu, 28 November 2012

HARIMAU MALAYA BANGKIT TEWASKAN LAOS 4 -1


KUALA LUMPUR : Percaturan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal untuk meraih kemenangan pertama pada aksi Piala AFF Suzuki akhirnya tercapai selepas menewaskan Laos 4-1 pada aksi Kumpulan B Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu.

Tewas 3-0 pada aksi pertama menentang Singapura pada Ahad lalu, ternyata skuad Harimau Malaya tampil dengan corak permainan yang lebih bertenaga dengan menguasai permainan selain turut melakukan beberapa percubaan ke arah gol.

Peluang untuk mencipta gol pertama hadir menerusi penyerang utama, Safee Sali pada minit ke-10, tetapi gagal disempurnakan dengan tepat.

Namun lima minit selepas itu, kapten negara, Safiq Rahim berjaya menghasilkan jaringan sulung melalui sepakan percuma yang tepat ke arah gawang yang dikawal Sengphachan Bounthisanh.

Sementara itu, aksi hambar penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi pertama sebelum ini menjadikannya sebagai pemanas bangku pada aksi malam Rabu dengan digantikan Farizal Marlias.

Kegembiraan mendahului 1-0 tidak berpanjangan apabila Khonesavanh Sivavong menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi tendangannya yang terkena kaki pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan sebelum bola melambung ke arah gol.

Permainan separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Bersambung ke babak kedua, Malaysia melakukan satu pertukaran dengan mengeluarkan Azmi Muslim digantikan Zubir Azmi.

Pasukan Laos yang dibimbing jurulatih dari Jepun, Kokichi Kimura dilihat bangkit melakukan permainan yang lebih pantas, namun benteng pertahanan Harimau Malaya gandingan Shakir Shaari, Fadhli Shaas serta Aidil Zafuan menyukarkan pemain-pemain Laos menembusi kawasan kotak penalti.

Selepas hampir tujuh kali gagal melakukan percubaan tepat, akhirnya Safee berjaya menambah jaringan kedua negara pada minit-66 melalui hantaran Wan Zack Haikal.

Permainan semakin rancak apabila Wan Zack menambah satu lagi jaringan Malaysia pada minit ke-75 selepas melakukan tandukan cantik di depan pintu gol.

Tidak cukup dengan tiga gol, skuad Harimau Malaya terus garang menambah jaringan menerusi Khyril Muhymeen yang menjaringkan gol keempat pada minit ke-79 selepas beberapa minit menggantikan Safee.

Kemenangan ini juga kembali menghidupkan harapan seluruh peminat bola sepak tanah air untuk melihat pasukan negara mara ke pusingan seterusnya sebelum bertemu pasukan Indonesia pada aksi terakhir peringkat kumpulan Sabtu ini.

Satu perlawanan peringkat kumpulan ini yang turut berlangsung petang Rabu, menyaksikan Singapura tewas 1-0 kepada Indonesia.

BARISAN PEMAIN:

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Azmi Muslim, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (kapten), S. Kunalan, Mohd Shakir Shaari, Wan Zack Haikal Wan Nor, Norshahrul Idlan Talaha (Baddrol Bakhtiar), Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Khyrill Muhymeen Zambri).

LAOS: Sengphachan Bounthisanh, Ketsada Souksavanh, Soukaphone Vongchiengkham, Keoviengpheth Lithideth, Visay Phaphouvanin (kapten) (Daoneua Siviengxay), Kanlaya Sysomvang, Khonesavanh Sihavong, Phatthana Syvilay, Viengsavanh Sayyaboun, Kovanh Namthavixay, Khampeng Sayavutthi.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kaedah pendidikan sedia ada perlu perubahan



LANGKAH anjakan paradigma yang segera perlu diambil atas kaedah pendidikan sedia ada bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global seiring dengan keperluan semasa sistem pembelajaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Beaconhouse, Kasim Kasuri berkata, sistem pendidikan hari ini perlu perubahan khususnya dalam kaedah pembelajaran sepanjang hayat.

Kita perlu mencipta persekitaran yang mana pelajar menentukan sendiri bentuk pembelajaran yang mereka perlukan dan pada masa yang sama guru memainkan peranan mereka sebagai fasilitator.

Oleh itu, guru di negara ini perlu mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka ke arah yang lebih kreatif.

Guru harus melakukan eksplorasi dan mengkaji cara baharu dalam kaedah P&P termasuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi pelan masa depan agar ia sesuai dipraktikkan dalam kelas masing-masing," katanya pada persidangan antarabangsa School of Tomorrow anjuran syarikat pendidikan antarabangsa itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Persidangan yang masuk empat kali penganjurannya pada tahun ini dan yang pertama diadakan di Malaysia itu disempurnakan perasmian majlis penutupnya oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Peserta persidangan seramai 600 orang terdiri daripada pensyarah dan guru termasuk 20 pembentang kertas kerja dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Rangkaian Beaconshouse School System meliputi lapan negara iaitu United Kingdom, Malaysia, Oman, Emiriyah Arab Bersatu, Pakistan, Bangladesh, Filipina dan Thailand.

Menurut Kasim, persidangan bertemakan Memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat itu turut memfokuskan model pembangunan profesional dan kesan pelaksanaan kaedah tersebut dalam bilik darjah serta peranan pihak pentadbiran sekolah dalam melaksanakan kaedah serta teknik pembelajaran itu di sekolah nanti.

Kita mahu mencabar dan menggoncang tahap pemikiran para pendidik hari ini termasuk mereka yang dalam kalangan pakar akademik serta profesor agar mengubah pemikiran mereka kepada kaedah masa depan.

Kita sasarkan matlamat mencari kaedah dan cara terbaik untuk mewujudkan usaha memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat dan seterusnya keperluannya pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Rais berkata, sistem pembelajaran di negara ini perlu mengekalkan nilai-nilai ketimuran sedia ada tanpa perlu menceduk sepenuhnya sistem dari negara Barat.

Menurutnya, kebudayaan masyarakat Asia perlu dipelihara dan dikekalkan hingga sepanjang hayat walaupun sistem sedia ada telah diserapkan dengan pendidikan Barat.

“Kita berharap kemahiran berfikir dan menganalisis sesuatu perkara turut ada dalam setiap pelajar, tidak hanya wujud untuk mengisi kotak dengan tanda pangkah atau betul.

Kita mesti mewujudkan kepandaian dan kepakaran di dunia sebelah sini, satu hari nanti mesti sama atau lagi hebat berbanding Universiti Harvard, Cambridge serta Oxford, kita tidak seharusnya menjadi ‘pak turut’ kepada sistem yang kononnya sampai bila-bila akan menentukan masa depan manusia," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Masih ramai cinta bahasa Melayu


“ADALAH tidak tepat sama sekali jika ada beranggapan rakyat Malaysia tidak berbangga dengan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara,” kata Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail.

Namun katanya, tidak dapat dinafikan wujud kumpulan atau individu yang memegang taraf warganegara Malaysia tetapi tidak berasa gah dengan bahasa Melayu. Bagi golonganitu, beliau menyifatkannya sebagai tidak memiliki jati diri kerana tidak menghargai dan menghormati bahasa kebangsaan, apa lagi mengamalkannya.

"Mereka ini kemungkinan tidak nampak keindahan dan keunikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara yang bukan hanya digunakan di Malaysia, malah oleh penduduk di negara lain terutamanya di Nusantara.

Pengguna bahasa Melayu melebihi 300 juta di seluruh dunia, malah terdapat orang bukan berketurunan Melayu kini ramai menjadi pakar Bahasa Melayu bertaraf profesor dan sebagainya dan mengajar Bahasa Melayu dengan baik di banyak negara termasuklah di universiti-universiti tempatan, China dan sebagainya.

Katanya, walaupun wujud warganegara yang tidak kisah dengan bahasa Melayu, bilangannya kecil jika mahu dibandingkan dengan jumlah pencinta bahasa kebangsaan ini.

“Buktinya, pameran Sejarah Bahasa Melayu anjuran Jabatan Muzium Negara, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 1 September lalu mendapat sambutan menggalakkan,” katanya sambil memberitahu pamerancetusan idea Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang dijadualkan berakhir 1 November lalu telah dilanjutkan.

“Namun, jika masih mendapat sambutan, tidak mustahil tempohnya dilanjutkan lagi,” katanya.

Berdasarkan sambutan positif ini, dapat dilihat masyarakat terpanggil menghadiri pameran seumpama ini untuk mengetahui lebih banyak sejarah bahasa Melayu kerana sedar ia sebahagian punca ilmu, sekali gus menunjukkan masih ada ramai rakyat mencintai bahasa Melayu.

Katanya, bilangan pengunjung warga tempatan tidak kurang daripada jumlah pengunjung pelancong dari luar negara.

“Dalam usaha meletakkan bahasa Melayu ke persadanya, jaminan dalam memastikan usaha itu berjaya perlu digalas semua pihak.

“Janganlah apabila bercakap mengenai memartabatkan bahasa Melayu, tanggungjawabnya terus diletakkan di bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ini tidak wajar. Semua pihak mesti bersama memikul tanggungjawab.

Janganlah hanya tahu  bercakap, tetapi tidak buat.

Katanya, pameran itu menunjukkan Jabatan Muzium Malaysia serius dan telah turut sama menggalas tanggungjawab melaksanakan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Menurutnya, tiadalah gah sesuatu bangsa jika maju tetapi membuang nilai budaya termasuk bahasa, sambil memetik empat baris pantun  adat, Apa guna asam paya, kalau tidak menggulai ikan. Apa guna lagak dan gaya, kalau bahasa tidak dihiraukan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu milik bersama


MENAFIKAN tanggapan segelintir bahawa bahasa  Melayu adalah milik orang Melayu, Dr Lim Swee Tin berkata, bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan dan integrasi antara masyarakat untuk tujuan keharmonian dan kesejahteraan hidup.

“Semua rakyat Malaysia harus menerima bahawa bahasa Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara sebagai bahasa rasmi negara ini adalah bahasa milik kita bersama.

“Saya percaya, orang Melayu pun tidak akan kedekut atau lokek untuk tidak menerima pengakuan-pengakuan yang seumpama itu,” katanya sambil menegaskan bahasa Melayu adalah bahasa komunikasi tunggal setiap etnik, bangsa ataupun kaum di negara ini yang menjadi aspirasi hidup bersama.

Namun katanya, dalam konteks di Malaysia, bahasa-bahasa warisan lain tidak dilarang penggunaannya.

“Orang Cina dengan bahasa warisannya, begitu juga dengan orang India, malah etnik lain juga bebas dalam berkomunikasi bersifat peribadi atau dalam kelompoknya,” jelasnya

sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 27 November 2012

ISU SOSIAL : Pernikahan usia muda elak zina


Oleh : Mohd Suyuty Ismail
 
Pernikahan antara Mohd Fahmi Mohamed Alias, 19, dan pasangannya Nur Fazira Saad yang baru berusia 13 tahun baru-baru ini menjadi berita sensasi di beberapa dada akhbar. Pernikahan itu menjadi sensasi kerana pengantin perempuan di bawah umur dan sudah tentu ia perlu mendapat kelulusan daripada Pegawai Agama Daerah seperti ditetapkan Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri.

Di Kedah, pernikahan di bawah umur tertakluk mengikut Enakmen 7 Tahun 2008, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman), Bahagian 11-Perkahwinan, Seksyen 8.

Umur minimum untuk pernikahan ditakrifkan sebagai, ‘tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Apa yang pasti pernikahan itu mendapat restu kedua-dua ibu bapa pasangan berkenaan dan kelulusan Pegawai Agama Daerah. Justeru, tiada halangan untuk pasangan itu meneruskan cita-cita murni mereka dan yang memenuhi sunnah Rasulullah SAW.

Pernikahan itu memenuhi fitrah sekalipun mungkin dianggap perkahwinan pada usia yang sangat muda pada ukuran zaman milenium ini yang mengutamakan karier berbanding berumah tangga.

Bagaimanapun setiap pasangan perlu melakukan pelbagai persiapan sebelum bergelar suami dan isteri. Mereka perlu ilmu dan pendapatan yang cukup untuk mengelak masalah yang berbangkit ketika menjalani kehidupan berkeluarga.

Renung dan fikirkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan, jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya, kerana Allah amat luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui.” (Surah an Nur, ayat 32)

Fenomena pernikahan usia muda banyak berlaku pada zaman dulu, iaitu zaman nenek dan moyang kita. Justeru apabila ada pernikahan sebegini pada zaman moden ini, kita berasa pelik, tetapi mungkin pada sesetengah orang tidak berasa pelik jika berlaku perzinaan usia muda, pada hal jumlah kes jenayah persetubuhan membabitkan individu bawah umur dengan kerelaan menjangkau 6,000 kes, seperti dilaporkan Berita Harian pada 25 November lalu. Fakta ini sangat menggerunkan kerana kita berada di sebuah negara yang majoritinya berbangsa Melayu dan pasti beragama Islam.

Pasangan Mohd Fahmi dan Nur menunjukkan contoh kepada ibu bapa yang lain dan juga khususnya kepada pasangan di luar sana yang belum berkahwin dan sedang dilamun cinta supaya mengikut jejak pasangan ini. Jika sudah tamat persekolahan atau sudah bekerja pada usia muda dan berpacaran, adalah amat baik terus diijabkabulkan.

Pernikahan pastinya membebaskan pasangan daripada perangkap zina yang boleh mengundang dosa dan bahaya yang lebih besar seperti membunuh anak luar nikah.

Namun, isu yang melingkari perkahwinan pada usia muda ialah tanggapan mudah berlaku perceraian, tidak pandai mengurus rumah tangga, kerap bergaduh, masalah kewangan dan pelbagai masalah lain yang sepatutnya tidak diperbesarkan. Mempertikai pernikahan pasangan muda dengan pelbagai persepsi negatif sama seperti menolak qada dan qadar yang ditetapkan Allah, sekali gus boleh merosakkan iman.

Perlu diingat bahawa pernikahan pada usia matang pun berlaku pelbagai masalah, ada yang bercerai-berai selepas beberapa hari berkahwin dan pelbagai masalah lain. Apa yang penting, pernikahan pada usia muda akan menghindarkan seseorang daripada melakukan maksiat dan zina.

Bagi mereka pesimis atau menolak konsep berkahwin pada usia muda, sedarlah dan kembali memperbaiki iman kerana Allah menentukan rezeki manusia. Kita tidak perlu risau, sebaliknya berserah kepada Allah kerana Ia maha berkuasa.

Manusia yang beriman perlu berusaha untuk melakukan kebaikan dan mengharapkan keredaan Allah. Firman Allah SWT bermaksud: “Dialah Allah yang menciptakan kamu semua daripada (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu dengan yang lain.” (Surah al A’raf : 189).

Penulis ialah Ketua Panitia Pendidikan Islam dan guru di Kulim, Kedah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kritikan rasional untuk dunia sastera, politik


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Wadah kesusasteraan perlu anjakan

Kebelakangan ini kita mendengar kritikan politik di mana-mana – dalam media cetak, media elektronik dan media baru. Kritikan dilontarkan atas beberapa sebab, seperti agama (yang kurang difahami atau disalah tafsir), pendidikan, bahasa dan sebagainya. Ada kritikan yang keras serta panas berapi-api. Ada pula kritikan yang rasional.

Pada umumnya kritikan digunakan untuk menganalisis, menilai dan mengulas sesuatu perkara atau isu. Oleh yang demikian kritikan yang bertanggungjawab, yang biasanya diharapkan dalam sebuah masyarakat bertamadun, biasanya berada dalam kritikan yang rasional. Ia tidak datang dalam kritikan yang keras serta panas berapi-api, yang kelahirannya lebih didorong emosi, bukan oleh dorongan intelek.

Dalam banyak hal kritikan politik jauh berbeza dengan kritikan sastera dari aspek pendekatan. Kawah politik biasanya lebih menggelegak kerana selalu timbul persaingan dari pihak lawan, peristiwa atau data yang boleh dimanipulasi dari sudut pandang berbeza, berlangsung atau tidaknya sesebuah kekuasaan, dan tempoh hayat kuasa pemerintah yang ditentukan setiap lima tahun.

Ini berbeza dengan dunia sastera yang secara relatif lebih tenang daripada kawah politik. Namun demikian ini bukan bermakna dunia sastera akan sentiasa tenang, kerana sekali-sekala muncul karya yang kontroversial, pendapat serta penglibatan sasterawan yang menggugah status quo nilai serta sudut pandangan masyarakatnya.

Perlukan kritikan sihat

Masyarakat madani atau masyarakat bertamadun memerlukan kritikan yang sihat serta membina dalam apa jua lapangan kehidupan umat manusia – termasuk politik dan sastera. Untuk itu diperlukan pengkritik yang berilmu, yang berpandangan luas, yang bebas menyuarakan apa jua pendapat, dan yang mendapat keadilan pendemokrasian media.

Jika tujuan politik dilihat lebih untuk aspek luaran keperluan umat manusia, tujuan sastera lebih untuk aspek dalaman seperti emosi, pemikiran dan kebijaksanaan melalui penghasilan karya kreatif. Tulisan ini seterusnya akan membicarakan kepentingan kritikan sastera.

Kadang-kadang orang lupa bahawa perkembangan sastera bukan saja ditentukan oleh kemunculan karya sastera kreatif yang baik. Memang kemunculan karya sastera kreatif yang bermutu menggerakkan perkembangan sastera ke suatu tanjakan baru, tetapi perkembangan sastera juga boleh disumbangkan oleh genre kritikan sastera. Pengkritik sastera yang baik pada umumnya memiliki pengetahuan teori sastera, gaya bahasa sastera, kayu ukur karya sastera yang baik, dan perbandingannya dengan mutu karya yang diterbitkan lebih awal sama ada di dalam dan luar negara.

Pengkritik sastera dan sasterawan adalah dua entiti yang saling lengkap melengkapi dunia kesusasteraan. Ada kala sasterawan lebih maju ke hadapan berbanding pengkritik, apabila ia mempunyai pengetahuan ilmu yang luas, dan berhasil mencipta karya avant garde. Dalam hal seperti ini pengkritik mengejarnya dari belakang, bekerja lebih keras, untuk memahami dan menghuraikan karya avant garde itu bagi difahami dan dihayati oleh khalayak yang lebih luas.

Musim pasang surut

Ada kalanya pula dunia kesusasteraan memerlukan sumbangan pengkritik sastera, lebih-lebih lagi dalam suasana sastera sesuatu dekad itu kelihatan kurang berkembang, sehingga tiada pembaharuan dari aspek isi dan tekniknya. Dalam situasi seperti itu pengkritik boleh memperkenalkan teori serta dapatan baru yang diambil dari medan yang lebih luas, untuk membuka minda pengarang.

Kedua-dua keadaan itu turut dialami kesusasteraan Melayu moden. Tetapi sumbangan pengkritik sastera mengalami musim pasang surut, berbanding sumbangan sasterawan yang bertali arus melahirkan karya demi karya. Sepatutnya sumbangan pengkritik sastera sentiasa mengalir, berkembang beriringan dengan penerbitan karya sastera kreatif yang terus muncul di pasaran.

Kita memahami kenapa sumbangan pengkritik sastera mengalami musim pasang surut. Sudahlah jumlah mahasiswa jurusan sastera di universiti kita tidak ramai, jumlah yang benar-benar berminat dalam bidang kritikan – yang perlu menekuninya secara ilmiah – juga sangat kecil. Ini adalah hujung rantaian akibat yang berpunca daripada pendidikan sastera di sekolah menengah yang kurang kreatif dan inovatif.

Kritikan sastera lebih subur

Di samping itu, ruangan yang memuatkan kritikan sastera juga makin berkurangan. Beberapa dekad lalu, setiap akhbar arus perdana menyediakan ruang kritikan sastera, tetapi kini hampir tiada lagi, kecuali muncul sekali-sekala. Beberapa jurnal yang mengkhusus bagi kritikan sastera juga sudah tidak diterbitkan lagi.

Dalam situasi seperti ini, kritikan sastera mendapat nafasnya dalam seminar sastera, program khusus atau tugasan yang memerlukan sebuah wacana sastera disiapkan. Hal  ini adalah sesuatu yang harus diteruskan, sementara kita menanti wujudnya suasana kritikan sastera yang lebih subur.

Kelesuan kritikan sastera kita dewasa ini harus dirancakkan kembali, walaupun tidak semestinya meniru kerancakan kritikan di medan politik. Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat serta membina, sebagai mana gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan penduduk negara ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Jagalah kebersihan tandas kita


Oleh : PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON

HARI Tandas Sedunia yang disambut pada 19 November 2012 perlu diamati dan dihayati dengan positif untuk memastikan bahawa kehidupan kita sentiasa bersih dan terpelihara daripada penyakit disebabkan oleh tandas yang kotor. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum tandas merupakan tempat buangan dan kumbahan kotoran manusia dan sudah tentunya ia mempunyai pelbagai versi kotoran dan variasi penyakit yang akan menghinggapi diri kita jika kita tidak peka dengan kebersihan tandas.

Apabila bercakap tentang tandas di pelbagai lokasi tandas awam di Malaysia ini dapatlah saya sebagai pengguna tandas awam dan saya percaya pembaca-pembaca di luar sana dapat membuat pelbagai versi persepsi mengenai tandas-tandas awam di Malaysia ini.

Ada kedai-kedai makan yang kecil atau terletak di lokasi-lokasi kurang mendapat perhatian pihak majlis bandaran untuk membuat pemeriksaan kurang terjaga dan kotor dengan kertas tandas bersepah, ada yang air paipnya kecil sehingga banyak kesan kotoran melekat dan ada juga yang lantainya berkarat dengan kotoran dan sebagainya.

Sekali pandang, terus tidak larat nak masuk dan sakit perut nak ke tandas bertukar kepada sakit hati melihat kepada kebersihan tandas.

Jadi bayangkanlah kualiti kebersihan makanan bagi kedai-kedai makan yang tidak menjaga kebersihan tandas.

Bagi tandas di stesen-stesen minyak saya lihat berada di tahap memuaskan, ada yang bersih, berbau wangi dan banyak kemudahan untuk ibu-ibu yang mempunyai anak kecil, kertas tandas dan tempat buang sampah juga cukup bagi menampung keperluan tandas.

Ada tukang cuci yang mencuci tandas menjadikan tandas di stesen-stesen minyak menjadi pilihan pengguna yang mengisi minyak dan membuang kotoran yang perlu dari badan.

Tandas di kawasan lebuh raya Rawat dan Rehat bagi lokasi-lokasi hot spot pengguna jalan raya juga boleh diberi pujian kerana banyak tandas R&R bersih dan sentiasa dibersihkan oleh tukang cuci dengan segala keperluan yang disediakan oleh pihak R&R.

Walaupun begitu, saya perhatikan juga pengguna-pengguna menyalahgunakan tandas yang diguna pakai. Ada yang tidak membuang tisu ke bakul sampah malah membiarkan tisu tersebut di tepi sinki, dalam tandas dan juga di tepi bakul sampah. Ada yang meletakkan lampin pakai buang di merata-rata tempat malah ada yang menyelitkannya di tepi dinding tandas dan juga atas pam tandas. Walaupun begitu, masih ada pengguna-pengguna tandas yang menghargai kepentingan harta awam untuk diguna pakai dengan sebaik-baiknya.

Selain itu tandas di kawasan-kawasan awam seperti kawasan peranginan dan pantai serta tandas di medan selera juga masih berada di tahap kurang bersih dan ada sesetengah tandas itu memang tidak layak diguna pakai kerana kotor dan berbau.

Keadaan ini membuat saya terfikir mengapa keadaan ini berlaku? Adakah kerana sikap masyarakat yang tidak peka dengan kebersihan tandas dan hanya meletakkan soal kebersihan ini kepada pihak penguatkuasa tempatan?

Walau apa juga jawapannya, saya meletakkannya kepada aspek tanggungjawab masyarakat dalam melihat kepentingan kebersihan sebagai satu cara hidup dan tandas merupakan salah satu daripada aspek penting untuk dijaga bagi memastikan kehidupan kita bersih dan terhindar daripada penyakit yang berbahaya.

Latihlah anak-anak untuk rajin membersihkan tandas di rumah dan hiasi tandas di rumah dengan cantik dan selesa mata memandang dengan bunga-bungaan, dekorasi serta wangi-wangian yang menjadikan tandas di rumah antara tempat yang menjadi perhatian untuk dibersihkan dan diperingatkan akan kepentingannya kepada kualiti kehidupan bagi setiap penghuninya.

Sikap ini akan membentuk dalam diri anak-anak agar sentiasa menghargai kebersihan tandas walau di mana juga mereka berada.

Penulis ialah pensyarah di Kolej Pengajian Siswazah UNITEN, Kampus Putrajaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/