Isnin, 3 Disember 2012

Tiga tokoh akademik terima Anugerah Merdeka 2012




Oleh AQMAR ALLADAD

KUALA LUMPUR – Tiga tokoh akademik menerima Anugerah Merdeka 2012 atas sumbangan cemerlang kepada negara menerusi kepakaran dalam bidang masing-masing malam tadi.

Mereka ialah Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 81, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock, 78, dan Dr. Engkik Soepadmo, 76.

Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Filharmonik di sini.

Setiap penerima anugerah memperoleh hadiah wang tunai RM500,000, trofi dan sijil.

Turut hadir Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka 2012; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Syed Muhammad Naquib menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ilmuwan Terunggul kerana peranannya sebagai seorang pemikir Islam kontemporari.

Beliau merupakan profesor pelawat terhormat di Pusat Kajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun Universiti Teknologi Malaysia.

Soon Hock yang juga Presiden Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia pula, dipilih bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan penyelidikan dan pembangunan kimia serta teknologi minyak kelapa sawit.

Engkik yang merupakan profesor ekologi di Universiti Malaya dipilih bagi kategori Sumbangan Cemerlang Kepada Rakyat Malaysia.

Beliau yang berasal dari Indonesia menjalankan penyelidikan secara khusus dalam kepelbagaian spesies, struktur dan fungsi ekologi hutan hujan tropika yang kompleks di Asia terutamanya di Malaysia.

Najib dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kerajaan memberi jaminan akan meneruskan polisi dan pelaburan yang menyokong dasar ekonomi berasaskan ilmu sains serta teknologi.

Beliau selaku penaung Anugerah Merdeka berkata, usaha itu harus dilaksanakan bertujuan membantu penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur teknologi maklumat seiring dengan negara maju.

“Malaysia perlu bersedia untuk bersaing dengan negara maju. Para pekerja, pelajar dan pedagang harus memainkan peranan untuk berjaya di mata dunia. Saya yakin penerima-penerima anugerah hari ini akan mengesahkan yang ia perlu bermula dengan pembelajaran,” katanya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tarikh Akhir Permohonan Online Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2013 Dilanjutkan Ke Rabu


KUALA LUMPUR : Tarikh akhir permohonan online kemasukan ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2013 dilanjutkan sehingga Rabu ini.

MARA dalam satu kenyataan di sini memaklumkan pemohon atau pelajar yang telah mendapat kata laluan di Pejabat MARA Negeri atau Pejabat MARA Daerah atau MRSM, boleh mengisi borang permohonan online pada alamat URL http://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp.

"Log masuk menggunakan nombor surat beranak atau nombor kad pengenalan sebagai id pengguna dan gunakan kata laluan yang diberikan," menurut kenyataan itu.

Para pelajar diminta menghantar permohonan secara online pada atau sebelum Rabu ini bagi memasuki MRSM, selain menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Tingkat 19,  Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.

Untuk sebarang maklumat mereka boleh menghubungi 03-26132000, 26134541, 26134542, 2613 4543, 2613 9070, 2613 9071 atau faks ke 03-2691 1658. - BERNAMA

ISU EKONOMI : Kredibiliti Sijil Halal Penting Jadikan Malaysia Hab Halal Serantau



BANGI: Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata adalah penting untuk orang ramai berasa yakin dengan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menjadikan negara ini sebagai hab halal di rantau ini.

Beliau berkata kerana itulah kadang kala pihak Jakim mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan sijil halal, berikutan piawaian yang ditetapkan adalah tinggi dan ketat.

"Sekarang ini saya difahamkan banyak negara yang bawa produk mereka ke negara kita, buat pembungkusan di sini dan gunakan logo halal Jakim untuk dieksport ke luar kerana negara luar seperti di Timur Tengah memang mempercayai logo halal Jakim berbanding logo dari negara lain.

"Jadi kalau kita nak jadikan Malaysia sebagai hab halal, ia akan berjaya kalau orang yakin," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil halal kepada sembilan francaisi Tutti Frutti Malaysia di sini, Isnin.

Dalam ucapannya sebelum itu Ismail Sabri berkata walaupun undang-undang tidak mewajibkan pengusaha restoran dan kedai makan di negara ini mendapatkan sijil halal, namun mereka perlu peka dengan kehendak masyarakat yang mementingkan soal kebersihan dan kehalalan makanan.

Beliau berkata sehingga kini hanya kira-kira 30 peratus daripada rangkaian francais di negara ini yang mempunyai sijil halal.

"Saya galakkan dan saya harap lebih ramai pengusaha restoran mendapatkan sijil halal supaya dapat menarik lebih ramai pelanggan terutama yang beragama Islam.

"Pengguna pula perlu bijak buat pilihan dan tidak perlu menyalahkan kerajaan sekiranya sesebuah restoran itu tidak mempunyai sijil halal kerana mereka mempunyai pilihan untuk menolak restoran jenis itu," katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata beliau dan delegasi kementerian akan ke Hong Kong Rabu ini untuk mempromosikan pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari negara ini melalui program Taste of Malaysia.

Selain itu beliau juga akan menghadiri Franchise Exhibition yang disertai oleh 12 francaisor dari negara ini, katanya. - BERNAMA

ISU EKONOMI : 241,740 diisytihar muflis hingga April


KUALA LUMPUR - Seramai 241,740 individu diisytihar bankrap di negara ini setakat April lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 52,917 kes berlaku di Selangor dan 42,843 di Wilayah Persekutuan, manakala 70 peratus adalah lelaki dan selebihnya wanita.

"Pinjaman kenderaan menunjukkan kes kebankrapan yang paling tinggi iaitu 25.21 peratus, diikuti pinjaman persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman perniagaan 11.26 peratus dan kad kredit 4.9 peratus,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Lim berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967, yang dilihat terlalu ketat dan membebankan rakyat, adalah tepat pada masanya.

"Saya menyokong pindaan Akta Kebankrapan ini. Saya berharap pada pindaan kali ini, bank atau institusi kewangan hendaklah mencari peminjam dahulu dan bukannya seperti sekarang ini yang meletakkan bebanan atas penjamin sehingga mereka diisytiharkan muflis," katanya.

Lim berkata, kajian juga perlu dibuat atas peningkatan kes bankrap bagi pinjaman kenderaan selain memberi perhatian terhadap golongan muda yang diisytihar bankrap.

"Kes bankrap individu di bawah umur 25 tahun semakin meningkat, dan kita tidak mahu mereka yang baru dua tiga tahun bekerja sudah bankrap.

"Perlepasan daripada kebankrapan juga perlu dilonggarkan supaya orang muda yang sudah bankrap diberi peluang kedua, terutama dalam bidang perniagaan," katanya. - Bernama

Ahad, 2 Disember 2012

Bahasa Sendi Tamadun Bangsa


(Lagu tema Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2000-2004)

Kita merdeka dan berdaulat
Sama jati diri dan citra
Biar berlainan akar
Bersatu kita semua

Kita penampan keutuhan
Waris kegemilangan bangsa
Tegak atas akal budi
Bahasa asas minda

Demi mencapai misi
Membangun nusa jaya
Hargai teras tamadun kita
Baru gemilang negara

Bahasa sendi tamadun bangsa
Sastera bicara budaya
Mari teguhkan sumpah
Mari daulatkan bahasa

Lagu ciptaan dan gubahan: Hj. Mahzan Manan
Lirik: Awang Sariyan

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sikap Pasif Punca Mahasiswa Tidak Cemerlang


Oleh Ruhaiza Rusmin
   
SUNGUTAN mengenai tahap pencapaian mahasiswa kita yang sentiasa sederhana sudah lama kedengaran malah graduan yang naik ke pentas dengan keputusan cemerlang juga boleh dibilang dengan jari.

Biarpun berjaya menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi dengan peluang sama rata, tidak semua menggunakan kesempatan itu untuk mengubah pencapaian diri.

Tambah menyedihkan lagi, biarpun memasuki alam pengajian tinggi, mereka masih dikongkong oleh sikap pasif seperti di alam persekolahan.

Adakah sikap itu menjadi punca mereka gagal mencapai kecemerlangan?

Dan, benarkah tanggapan yang dilemparkan masyarakat bahawa mahasiswa kita sukar diubah?

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Salina Nen berkata, memang ada kebenarannya apabila masyarakat melabelkan sikap mahasiswa kita masih di takuk lama dan sukar diubah.

Beliau berkata, tanggapan itu bukan dibuat secara suka-suka namun didorong perasaan tidak yakin apabila melihat sikap mahasiswa hari ini.

“Saya percaya masyarakat tidak mudah membuat persepsi itu, tapi mereka membuat penilaian berdasarkan senario semasa.

“Cuba lihat bagaimana reaksi dan sikap sebahagian besar mahasiswa kita sewaktu di menara gading? Mereka malu bertanya, jarang berkomunikasi secara ilmiah serta mengamalkan sikap serba tahu biarpun sebenarnya tidak tahu.

“Apa yang berlaku itu sudah pasti mempengaruhi pemerhatian masyarakat kerana mereka sendiri yang membenarkan diri dinilai sebegitu.

“Cuba mahasiswa menunjukkan sikap sebaliknya, sudah tentu penilaian masyarakat juga berbeza,” katanya.

Biarpun dalam setiap majlis konvokesyen, masih ada graduan memperoleh keputusan cemerlang peratusannya masih kecil berbanding keputusan sederhana.

Pencapaian itu mencerminkan bagaimana lewa dan cuai mahasiswa memanfaatkan peluang di depan mata dengan tidak belajar bersungguh-sungguh.

Lebih memeritkan, sikap pasif yang hanya mengharapkan belas ihsan pensyarah atau rakan lain menjadikan mereka mudah berpuas hati.

Beliau berkata, mahasiswa di menara gading seharusnya akur mereka sudah memasuki satu fasa baru yang mengkehendaki mereka berubah sikap.

“Di sini (menara gading) semuanya perlu dilakukan sendiri, usah bermimpi adanya bantuan daripada orang lain untuk mencapai sesuatu.

“Universiti adalah fasa peralihan alam persekolahan, justeru warganya perlu bijak berdikari, lebih matang, rasional serta memandang jauh ke depan, bukan mengambil jalan mudah.

“Mahasiswa perlu mengemudi arah masa depan mengikut perancangan sendiri,” katanya mengakui kebanyakan tenaga pengajar juga berasa tertekan dan kecewa dengan sikap ditonjolkan itu.

“Kami (tenaga pengajar) sentiasa mengharapkan sesi pembelajaran berlangsung dalam komunikasi dua hala, wujudnya interaksi bagi mencambah pengetahuan baru dan kritis.

“Malangnya, ia tidak berlaku kerana kebanyakan mahasiswa seperti ‘tidur’ dan tidak mahu memberi reaksi memberangsangkan.

“Berbanding mahasiswa asing, reaksi mereka berbeza. Berani bertanya, suka berdebat, mampu memberi buah fikiran biarpun salah dan sebagainya.

“Kami tertanya-tanya mengapa mahasiswa kita tidak begini. Dalam ribuan mahasiswa, hanya sekelumit yang aktif manakala lain hanya membatu,” katanya.

Bukan mahu menidakkan kemampuan mahasiswa kerana yakin mereka yang terpilih adalah daripada golongan bijak.

Bagaimanapun, beliau berpendapat sikap pasif itu berpunca daripada keengganan diri menerima keadaan baru dan selesa dengan persekitaran lama.

“Mahasiswa kita boleh berubah dan melakukan kejutan namun mereka kebanyakannya malas selain selesa dengan persekitaran sedia ada.

“Mereka berpendapat, aktif dalam kuliah tidak boleh membantu untuk memperoleh keputusan baik berbanding sesi mengulang kaji.

“ Memang merugikan kerana berdasarkan kajian, aktif bertanya dalam kuliah juga mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan pencapaian mahasiswa dalam peperiksaan,” katanya.

Mahasiswa yang aktif dalam kuliah mahupun aktiviti, juga katanya mempunyai banyak kelebihan tersembunyi.

“Antaranya lebih kenali pensyarah yang boleh membantu mereka memperoleh sedikit kelebihan berbanding tidak dikenali. Hubungan mesra boleh terjalin selain pemahaman mengenai sesuatu subjek juga lebih mendalam.

“Malangnya kelebihan ini jarang mahu direbut kerana beranggapan jika banyak bertanya, bermakna mereka kurang bijak atau khuatir mengganggu perjalanan kelas.

“Dan, berdasarkan pemerhatian, mereka yang pasif ini memang akan bermasalah dari segi membina pemahaman, pembinaan jati diri selain sukar memperoleh keputusan baik,” katanya.

Mengulas tanggapan sikap itu ada kaitan dengan sistem pendidikan sekolah, beliau tidak meletakkan kesalahan seratus peratus padanya.

“Sebagai mahasiswa, mereka harus tahu alam pengajian di universiti cukup berbeza. Perlu ada keinginan sendiri, bijak menyesuai diri dengan persekitaran dan sebagainya.

“Tiada lagi istilah ‘manja’ atau perlu ditatang sentiasa. Universiti tempat persediaan untuk melangkah alam dewasa.

“Jika dalam tempoh itu mereka masih sama dan terus mengekalkan sikap keanak-anakan, apakah mereka mampu berdepan cabaran lebih hebat selepas itu,” soalnya.

Pensyarah juga diharap dapat menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian mahasiswa supaya lebih proaktif dalam dewan kuliah.

“Ada kalanya cara pembelajaran pensyarah yang pasif juga gagal memikat perhatian mahasiswa menjadikan mereka kurang berminat.

“Untuk itu, kedua-dua pihak perlu peka dan saling berusaha menghidupkan suasana supaya proses pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan dan memberi manfaat bersama,” katanya.

Begitupun masih belum terlambat untuk memperbetul keadaan dan berharap mahasiswa alaf baru mesti berani bangkit melakukan anjakan minda dan keluar dari kepompong keselesaan.

“Biarpun senario mahasiswa pasif sudah lama, mereka boleh mengubah keadaan dengan berani memulakan langkah pertama.

“Setiap orang boleh berubah kecuali mereka yang mahu gagal saja tidak mahu melakukannya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

GADIS KECIL DI PINGGIR GAZA


Gadis kecil di pinggir Gaza
(kepada anakku syaqira)

Semalam aku telah piatu
ayah tempat bermanja
ibu teman bermesra
tanpa dosa tanpa kata
kemanusiaan musnah segala.

Sambil aku menunggu
ayah pulang menjamah
juadah tengah hari
sajian istimewa ibu
siap sedia menanti
salad maza dan syineena.

Tiba-tiba di muka pintu
tubuh wajah ayah
merah simbah berdarah
kesan roket peluru
kejam zionis Netanyahu
membunuh ayah di hadapanku.

Meluru ibu mahu mendakap
tembakan pun bertubi-tubi
rebah ibu ke bumi
layu terkulai sepi
tanpa dapat menggapai
tubuh ayah dikasihi.

Begitulah cebisan hari
gadis kecil di pinggir gaza
lumpuh tidak berdaya
suatu waktu dahulu
dihujani peluru tubuh kecilku
angkara yahudi tidak berperi.

Aku hanya menyimpan impian
keamanan dan kasih sayang
saban hari dengan ayah ibu
membilang serpihan waktu
di kem shati kami menghuni
setelah berduka kehilangan
adikku Iyad dan Tamer
yang baru bergelak ketawa.

Hari ini di gubuk usang
yang baru kami diami
titis-titis darah dan air mata
telah menyaksikan tragedi
menimpaku gadis kecil lumpuh
bernama  Tasneem Al-Nahl
tiga belas tahun usiaku
di pinggir Gaza yang kelabu!


DR.RAJIEE HADI.
Bangi, Malaysia.
20 November 2012.