Selasa, 4 Disember 2012

ISU BAHASA : Audit bahasa Melayu dilaksana


AYER KEROH – Audit Bahasa Melayu akan dilaksanakan di semua agensi dan jabatan kerajaan bermula awal tahun depan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata, sudah tiba masanya DBP melaksanakan usaha itu untuk memastikan Bahasa Melayu terus dimartabatkan.

“Audit bahasa ini sama seperti audit kewangan iaitu kita mahu melihat keberkesanan penggunaan bahasa dan mutu bahasa terkawal.

“Ini adalah langkah terbaik dan setakat melaungkan semangat mencintai bahasa kita masih tidak cukup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, semalam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Rangka Tindakan Kebolehpasaran Siswazah dilancar


SEPANG - Kerajaan hari ini melancarkan 'Graduate Employability Blueprint 2012-2017' (Rangka Tindakan Kebolehpasaran Siswazah) bagi menangani isu tenaga kerja mahir dan profesional negara.
  
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelan itu menggariskan empat intipati membabitkan sistem pengajian yang berupaya melahirkan modal insan berkualiti; berdaya saing secara global dan memenuhi keperluan negara; dan mampu menyediakan peluang kerjaya impian kepada siswazah.
  
Pelan itu juga akan memastikan wujud satu kurikulum yang mampu melahirkan individu yang bukan hanya pakar dalam ilmu pengetahuan tetapi juga berkualiti serta mempunyai sifat yang diperlukan dalam bidang pekerjaan, katanya ketika berucap melancarkan pelan itu, di sini.
  
Menurut Mohamed Khaled, pelan itu juga bertujuan mewujudkan sistem pengajian yang dapat bertindak secara berkesan terhadap perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di negara ini.
    
Katanya sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan rangka tindakan itu.

Selepas enam tahun pelaksanaan, rangka tindakan itu akan dinilai, katanya.
  
Bagi menyokong kelancaran pelaksanaan rangka tindakan itu, beberapa program kebolehpasaran graduan dan kebolehdapatan kerja dilaksana, antaranya Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE), iaitu program kerjasama antara universiti dan industri, katanya.
  
"Sehingga kini enam ICoE ditubuhkan dalam bidang automotif, elektrik dan elektronik serta pemborongan dan peruncitan iaitu ICoE-Infineon dengan Universiti Malaysia Perlis, ICoE-Infineon dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, ICoE-Sapura dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP), ICoE-Miyazu dengan UMP, ICoE-Mydin dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara, dan ICoE-MRCA dengan UUM dan Kolej Universiti Segi," katanya.
  
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamed Khaled berkata diharapkan dengan pelaksanaan pelan itu, segala masalah yang dibangkitkan industri selama ini berhubung tenaga kerja yang dikeluarkan universiti tempatan dapat ditangani. - Bernama

ISU KESIHATAN : Carilah penerang hati bukan pil penenang, ubati kesihatan mental


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

TEKANAN atau stress yang sering kita dengar secara umumnya merupakan tekanan terhadap kehidupan yang mencabar dan pelbagai masalah yang perlu dihadapi setiap hari.

Masalah silih berganti dan cabaran datang tanpa henti. Setiap perkara perlu diselesaikan segera menyebabkan jiwa dan perasaan terganggu.

Kadang kala tekanan muncul apabila perlu ditentukan yang mana perlu diletakkan sebagai prioriti apabila semua tugasan datang serentak. Kerja di pejabat, keluarga di rumah dengan kos sara hidup yang tinggi semuanya perlu dihadapi dengan tenang dan mental yang sihat.

Tekanan perasaan boleh dihindari jika kita berupaya meningkatkan kemampuan dan keyakinan diri untuk mengatasinya. Puncanya perlu dicari dan cara mengatasi perlu penawarnya. Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk menghilangkan stress.

Walaupun kita tidak mungkin dapat menyelesaikan keseluruhan stress, namun dengan rehat seketika di antara waktu kerja boleh melegakan ketegangan emosi, kekusutan fikiran dan ketegangan fizikal.

Memendam rasa merupakan salah satu puncanya atau dikatakan makan hati berulam jantung sama ada tersurat dan tersirat yang melibatkan akal, pemikiran atau proses intelektual. Jika tekanan perasaan dijuruskan kepada perasaan dan fikiran yang negatif, ia berkemungkinan akan mengakibatkan mental menjadi tidak siuman, sakit otak atau gila.

Seseorang akan mengalami masalah apabila jiwanya senipis bawang, dan apabila jiwanya sekeras besi tetapi mentalnya tetap lemah dan jika tidak dikawal dengan betul maka pelbagai perkara akan terjadi.

Masyarakat yang mempunyai mental yang terganggu boleh merencatkan pembangunan jati diri dan negara. Jiwa kosong, hati menjadi kering tanpa pegangan agama yang kuat dan kurangnya kasih sayang adalah sebahagian daripada puncanya.

Dalam sebahagian kes jenayah sosial pula, adakala penjenayah dibebaskan jika dikatakan mempunyai rekod masalah kesihatan mental. Adilkah keputusan itu? Lantaran masalah mental dan perbuatan dilakukan tanpa sedar maka mereka tidak boleh dihukum.

Jenayah-jenayah sosial semuanya dilakukan oleh mereka yang imannya lemah, mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan akibatnya. Adakah penjenayah itu mempunyai masalah mental atau iman mereka terlalu rapuh sehingga terlibat dalam gejala negatif seperti pengambilan dadah, arak, pil khayal yang dikatakan dapat menyelesaikan segala kebuntuan. Akhirnya ia menjadi punca mereka melakukan jenayah sosial.

Hari ini, masyarakat Malaysia dikatakan menghadapi masalah sakit mental yang serius dengan 12 peratus rakyat negara ini atau 3.5 juta orang menghidap penyakit mental. Tinjauan Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Tinjauan juga menunjukkan wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki. Adakah wanita lebih stress dengan memikul pelbagai tanggungjawab dan beban?

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental golongan remaja daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus pada 2011 kerana pengaruh Internet dan teknologi komunikasi dan kesibukan ibu bapa.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa pula ialah 11.2 peratus berbanding 10.6 peratus pada 1996. Bilangan pesakit mental di negara ini dijangka terus meningkat dalam masa 10 tahun akan datang.

Semua rakyat menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan mengadakan ujian kesihatan mental terhadap pelajar sekolah menengah tahun ini sebagai kaedah menangani tekanan perasaan atau isu disiplin. Projek mengesan kesihatan mental pelajar sekolah menunjukkan tahap keresahan, kemurungan dan stress mereka berada pada tahap yang disifatkan sebagai 'tinggi'.

Daripada 6,540 murid yang disaring dalam projek perintis dikenali 'Program Minda Sihat Menangani Stress Dalam Kalangan Murid Sekolah' itu, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus mengalami tanda kemurungan teruk dan 4.8 peratus mengalami stress teruk.

Pada November lalu, kita dikejutkan dengan berita seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat mengambil dadah menyembelih bayinya yang berusia 11 bulan di Felda Panching Selatan. Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing. Pengaruh dadah menyebabkan kesihatan mental terganggu dan mendorong melakukan perbuatan tanpa disedari. Apabila sedar semuanya telah terlambat.

Jika kita imbas kepada satu lagi kejadian, seorang pemuda bertindak menyimbah sebaldi cuka getah melalui tingkap terbuka kerana berang cintanya dihalang. Sikap yang terlalu mengikut perasaan kepada keluarga teman wanitanya boleh kita kaitkan dengan masalah jiwa yang rapuh atau kesihatan mental? Tergamak melakukan perbuatan yang sekejam ini menceroboh dan turut mencederakan seorang bayi yang berusia enam bulan sehingga maut manakala kakak dan ibu bayi parah.

Selain itu, berita seorang guru yang menggigit lengan muridnya hingga cedera hanya kerana tidak dapat menyebut perkataan "boy's" dengan betul menyebabkan murid berkenaan Farhan mengalami tekanan perasaan dan trauma. Kajian menunjukkan golongan guru ialah kumpulan keempat tertinggi dalam menghadapi tekanan dengan 45.8 peratus dan golongan tertinggi ialah kumpulan polis dengan 53.7 peratus.

Dalam menangani kes mental ini, institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain juga dilihat perlu mengambil peranan selain badan-badan sosial lain.

Tanggungjawab merawat pesakit mental ini tidak seharusnya diserahkan sahaja bulat-bulat kepada Kementerian Kesihatan. Institusi agama boleh memainkan peranan yang berkesan dalam membantu Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan demi menangani masalah yang serius ini. Carilah penerang hati bukan pil penenang dengan kuatkan jiwa dengan cahaya keimanan. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 3 Disember 2012

Tiga tokoh akademik terima Anugerah Merdeka 2012




Oleh AQMAR ALLADAD

KUALA LUMPUR – Tiga tokoh akademik menerima Anugerah Merdeka 2012 atas sumbangan cemerlang kepada negara menerusi kepakaran dalam bidang masing-masing malam tadi.

Mereka ialah Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 81, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock, 78, dan Dr. Engkik Soepadmo, 76.

Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Filharmonik di sini.

Setiap penerima anugerah memperoleh hadiah wang tunai RM500,000, trofi dan sijil.

Turut hadir Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka 2012; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Syed Muhammad Naquib menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ilmuwan Terunggul kerana peranannya sebagai seorang pemikir Islam kontemporari.

Beliau merupakan profesor pelawat terhormat di Pusat Kajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun Universiti Teknologi Malaysia.

Soon Hock yang juga Presiden Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia pula, dipilih bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan penyelidikan dan pembangunan kimia serta teknologi minyak kelapa sawit.

Engkik yang merupakan profesor ekologi di Universiti Malaya dipilih bagi kategori Sumbangan Cemerlang Kepada Rakyat Malaysia.

Beliau yang berasal dari Indonesia menjalankan penyelidikan secara khusus dalam kepelbagaian spesies, struktur dan fungsi ekologi hutan hujan tropika yang kompleks di Asia terutamanya di Malaysia.

Najib dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kerajaan memberi jaminan akan meneruskan polisi dan pelaburan yang menyokong dasar ekonomi berasaskan ilmu sains serta teknologi.

Beliau selaku penaung Anugerah Merdeka berkata, usaha itu harus dilaksanakan bertujuan membantu penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur teknologi maklumat seiring dengan negara maju.

“Malaysia perlu bersedia untuk bersaing dengan negara maju. Para pekerja, pelajar dan pedagang harus memainkan peranan untuk berjaya di mata dunia. Saya yakin penerima-penerima anugerah hari ini akan mengesahkan yang ia perlu bermula dengan pembelajaran,” katanya.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tarikh Akhir Permohonan Online Kemasukan Ke Tingkatan Satu MRSM 2013 Dilanjutkan Ke Rabu


KUALA LUMPUR : Tarikh akhir permohonan online kemasukan ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) 2013 dilanjutkan sehingga Rabu ini.

MARA dalam satu kenyataan di sini memaklumkan pemohon atau pelajar yang telah mendapat kata laluan di Pejabat MARA Negeri atau Pejabat MARA Daerah atau MRSM, boleh mengisi borang permohonan online pada alamat URL http://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp.

"Log masuk menggunakan nombor surat beranak atau nombor kad pengenalan sebagai id pengguna dan gunakan kata laluan yang diberikan," menurut kenyataan itu.

Para pelajar diminta menghantar permohonan secara online pada atau sebelum Rabu ini bagi memasuki MRSM, selain menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Tingkat 19,  Ibu Pejabat MARA, Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.

Untuk sebarang maklumat mereka boleh menghubungi 03-26132000, 26134541, 26134542, 2613 4543, 2613 9070, 2613 9071 atau faks ke 03-2691 1658. - BERNAMA

ISU EKONOMI : Kredibiliti Sijil Halal Penting Jadikan Malaysia Hab Halal Serantau



BANGI: Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata adalah penting untuk orang ramai berasa yakin dengan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha menjadikan negara ini sebagai hab halal di rantau ini.

Beliau berkata kerana itulah kadang kala pihak Jakim mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan sijil halal, berikutan piawaian yang ditetapkan adalah tinggi dan ketat.

"Sekarang ini saya difahamkan banyak negara yang bawa produk mereka ke negara kita, buat pembungkusan di sini dan gunakan logo halal Jakim untuk dieksport ke luar kerana negara luar seperti di Timur Tengah memang mempercayai logo halal Jakim berbanding logo dari negara lain.

"Jadi kalau kita nak jadikan Malaysia sebagai hab halal, ia akan berjaya kalau orang yakin," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil halal kepada sembilan francaisi Tutti Frutti Malaysia di sini, Isnin.

Dalam ucapannya sebelum itu Ismail Sabri berkata walaupun undang-undang tidak mewajibkan pengusaha restoran dan kedai makan di negara ini mendapatkan sijil halal, namun mereka perlu peka dengan kehendak masyarakat yang mementingkan soal kebersihan dan kehalalan makanan.

Beliau berkata sehingga kini hanya kira-kira 30 peratus daripada rangkaian francais di negara ini yang mempunyai sijil halal.

"Saya galakkan dan saya harap lebih ramai pengusaha restoran mendapatkan sijil halal supaya dapat menarik lebih ramai pelanggan terutama yang beragama Islam.

"Pengguna pula perlu bijak buat pilihan dan tidak perlu menyalahkan kerajaan sekiranya sesebuah restoran itu tidak mempunyai sijil halal kerana mereka mempunyai pilihan untuk menolak restoran jenis itu," katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata beliau dan delegasi kementerian akan ke Hong Kong Rabu ini untuk mempromosikan pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari negara ini melalui program Taste of Malaysia.

Selain itu beliau juga akan menghadiri Franchise Exhibition yang disertai oleh 12 francaisor dari negara ini, katanya. - BERNAMA

ISU EKONOMI : 241,740 diisytihar muflis hingga April


KUALA LUMPUR - Seramai 241,740 individu diisytihar bankrap di negara ini setakat April lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 52,917 kes berlaku di Selangor dan 42,843 di Wilayah Persekutuan, manakala 70 peratus adalah lelaki dan selebihnya wanita.

"Pinjaman kenderaan menunjukkan kes kebankrapan yang paling tinggi iaitu 25.21 peratus, diikuti pinjaman persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman perniagaan 11.26 peratus dan kad kredit 4.9 peratus,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Lim berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967, yang dilihat terlalu ketat dan membebankan rakyat, adalah tepat pada masanya.

"Saya menyokong pindaan Akta Kebankrapan ini. Saya berharap pada pindaan kali ini, bank atau institusi kewangan hendaklah mencari peminjam dahulu dan bukannya seperti sekarang ini yang meletakkan bebanan atas penjamin sehingga mereka diisytiharkan muflis," katanya.

Lim berkata, kajian juga perlu dibuat atas peningkatan kes bankrap bagi pinjaman kenderaan selain memberi perhatian terhadap golongan muda yang diisytihar bankrap.

"Kes bankrap individu di bawah umur 25 tahun semakin meningkat, dan kita tidak mahu mereka yang baru dua tiga tahun bekerja sudah bankrap.

"Perlepasan daripada kebankrapan juga perlu dilonggarkan supaya orang muda yang sudah bankrap diberi peluang kedua, terutama dalam bidang perniagaan," katanya. - Bernama