Sabtu, 22 Disember 2012

ISU BAHASA : Cadangan Ambil Guru Bahasa Inggeris Dari India Perlu Kajian Mendalam


KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan mengambil guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar di negara ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, perbincangan perlu dilakukan dengan pakardalam bahasa itu bersama NUTP dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sebarang keputusan dibuat akan menguntungkan kerajaan.

"Kajian lebih mendalam perlu diatur supaya ia tidak menjadi kerugian di mana-mana pihak. Kedua, adalah lebih baik perbincangan dibuat dengan para profesor bahasa Inggeris di negara ini bersama kesatuan dan kementerian dan apa keputusan dibuat selepas itu sudah pasti akan menguntungkan kerajaan," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat berkata, Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa itu.

Najib yang berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari bermula semalam, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini.

Di bawah program dengan AS itu, Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara itu ditempatkan di beberapa sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar bandar.

Hashim turut mencadangkan supaya guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara diambil bagi mengajar bahasa itu berikutan mereka dari budaya dan latar belakang sama serta mengetahui kaedah untuk mengajar pelajar Malaysia.

"Diharap (cadangan itu) tidak akan dilaksanakan kerana ia sangat merumitkan.Budak-budak akan menjadi bahan uji kaji dan ini tidak sihat kepada pelajar yang ingin mendapatkan pelajaran bahasa Inggeris daripada orang yang berlainan punca dan latar belakang," katanya.

Beliau juga berkata adalah memadai dengan guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat untuk mengajar bahasa itu di negara ini kerana jika dicampuradukkan, bukan sahaja menjadi beban kepada pelajar tetapi juga sistem pendidikan negara.

Bagaimanapun, katanya bayaran untuk memanggil guru-guru yang telah bersara untuk mengajar bahasa Inggeris juga perlu setimpal dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bahasa tersebut.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula mencadangkan supaya kerajaan mengambil guru bahasa Inggeris dari England jika kerajaan mempunyai peruntukan untuk mengambil guru dalam bahasa itu dari luar.

"Guru bahasa Inggeris Fullbright itu ok sebab Amerika Syarikat dan aksen mereka boleh diterima, tetapi aksen orang dari India pekat. Kita rasa kalau betul nak membantu pelajar, jika bajet itu ada, kenapa kita tak ambil guru bahasa Inggeris dari England.

"Sebab kita dulu belajar bahasa Inggeris daripada orang Britain sebab itu kita berterusan macam ini," katanya.

Beliau juga berkata, jika kerajaan mahu mendapatkan kepakaran daripada Negara berkenaan, adalah lebih baik guru dalam bidang sains dan matematik diambil berikutan itu adalah kepakaran mereka.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik cadangan tersebut berikutan sejarah awal pendidikan bahasa Inggeris di negara ini pada akhir abad ke-19 didominasi guru-guru dari India yang dibawa penjajah untuk mengajar di sekolah mubaligh dan sekolah bahasa Inggeris di negara ini.

"Daripada sejarah yang dilihat, mereka banyak memberi perkhidmatan dalam bidang pendidikan terutama ramai lepasan sekolah mubaligh menjadi pemimpin dan tokoh ternama negara. Sejarah telah lama berakar umbi di negara kita.

"Jika guru-guru dari India dibawa kembali, saya rasa tidak mendatangkan masalah kerana boleh membawa kebaikan berdasarkan sejarah yang dilihat dulu," katanya.

Beliau berkata, guru yang akan dibawa masuk juga adalah guru cemerlang dan bilangan guru di India adalah 10 kali ganda daripada bilangan guru di negara ini iaitu seramai 400,000 orang dan sudah tentu kementerian mempunyai banyak pilihan untuk memilih guru terbaik untuk mengajar di negara ini.

"Di India juga, sistem pendidikan mereka lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan sudah tentu dari segi kepakaran tidak timbul masalah.

"Jadi, atas sebab-sebab itu, saya rasa cadangan itu begitu baik untuk dilaksanakan pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataannya berpendapat cadangan itu adalah langkah yang baik tetapi menegaskan terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani sebelum pengambilan itu boleh dilakukan.

Beliau berkata, antara masalah itu seperti perbezaan budaya dan sebutan bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pendidik dari luar negara ini mungkin sukar difahami oleh pelajar Malaysia.

"Berdasarkan pengalaman saya, membawa pendidik asing mengajar bahasa Inggeris ia adalah usaha yang baik, tetapi mereka mesti diberi taklimat tentang budaya tempatan dan tingkah laku pelajar.

"Sebagai contoh, sebahagian pensyarah Barat yang pernah mengajar di sini memberi komen pelajar Malaysia sangat pasif di dalam kelas kerana tidak bercakap.

"Tetapi mereka gagal menyedari bahawa pelajar Asia lazimnya kurang lantang berbanding pelajar Barat disebabkan hakikat bahawa pandangan pengajar harus dihormati dan tidak dicabar," katanya.

Justeru katanya, malu atau takut diejek oleh rakan-rakan mereka adalah antara sebab mengapa mereka berbuat demikian.

"Bagaimanapun, langkah pengambilan tenaga pengajar asing tidak berpanjangan pada masa depan kerana kosnya yang tinggi. Ia hanya sebagai langkah sementara.

"Lebih ramai guru bahasa Inggeris harus dilatih untuk mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada orang luar," katanya. - BERNAMA

Nota Kaki :
Aksen didefinisikan sebagai; 1. tekanan suara (bunyi) pada kata atau suku kata; 2. cara seseorang dari sesebuah daerah (negeri dan sebagainya) menyebut kata-kata, loghat, pelat, telor; 3. tanda diakritik; mengaksenkan menyebut sesuatu kata atau suku kata dengan menekankan suara: suku kata yang diaksenkan; pengaksenan perihal atau perbuatan mengaksenkan: ~ sesuatu kata atau suku kata. (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP).

Jumaat, 21 Disember 2012

ISU BAHASA : Warga AS makin minat pelajari bahasa Melayu


PASIR PUTEH 20 Dis. - Kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara turut menjadi faktor utama rakyat Amerika Syarikat (AS) dan penduduk Eropah berminat mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Asing Universiti Northen Illinois AS, Prof. Dr. James T. Collins berkata, sehingga kini bahasa Melayu sudah merentasi dunia sebagai bahasa komunikasi dan penulisan yang penting dalam sektor perdagangan, diplomatik, pelancongan dan kajian kebudayaan.

Menurutnya, bahasa Melayu turut diajar sebagai mata pelajaran pilihan di beberapa universiti di AS.

"Orang Barat akan terlebih dahulu melihat kestabilan politik dan kedudukan ekonomi negara di nusantara sebelum membenarkan anak- anak mereka mempelajari sesuatu bahasa.

"Keamanan dan keharmonian negara termasuk tiada rusuhan dan demonstrasi jalanan juga menjadi kayu pengukur minat mereka mendalami bahasa negara Asia.

"Ini kerana selain menimba ilmu di universiti, orang Barat lebih gemar mempelajarinya dalam situasi sebenar termasuk hidup bersama komuniti Melayu di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Kolokium Antarabangsa Pengajaran Bahasa anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Kolokium itu menampilkan 18 pakar bahasa antarabangsa dalam pelbagai bidang pengajaran Bahasa Melayu, Arab, Jerman, Thai, Jepun dan Perancis sebagai pembentang kertas kerja yang dihadiri lebih 60 peminat bahasa dan pensyarah bahasa dari Institusi Pendidikan Guru (IPG) tempatan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 15 Perakuan Dilaksana Tambah Bilangan Pelajar Aliran Sains


KUALA LUMPUR : Kementerian Pelajaran akan melaksanakan 15 perakuan dalam usaha menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lima belas perakuan itu merupakan sebahagian daripada 61 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains / Teknikal : Sastera yang ditubuhkan kementerian pada 2 Februari lepas dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata antara perakuan yang akan dilaksanakan adalah menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi semua mata pelajaran sains tulen daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.

"Bagi memastikan murid-murid belajar dalam keadaan yang kondusif, kerajaan akan membaik pulih dan menaik taraf makmal sedia ada di sekolah rendah dan menengah.

"Perkara-perkara itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sedang dimurnikan ketika ini," katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pembudayaan Sains dan Teknologi dan Pelancaran Buku Laporan Strategi Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera di Petrosains KLCC di sini, Jumaat.

Buku laporan strategi itu yang diterbitkan hasil daripada beberapa sesi mesyuarat, bengkel dan dialog yang dikendalikan bersama-sama pelbagai pihak lain seperti ibu bapa, guru, persatuan dan badan bukan kerajaan telah dibentangkan kepada Muhyiddin pada 5 November lepas.

Lima belas perakuan yang dinyatakan itu akan dilaksanakan secara kolaboratif antara sektor awam khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Sains, Teknologidan Inovasi (Mosti), Kementerian Pengajian Tinggi, swasta dan masyarakat.

Muhyiddin berkata, perakuan lain yang bakal dilaksanakan adalah penggunaan pendekatan pembelajaran inkuiri penemuan dan pemantauan dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mewujudkan semula Peperiksaan Berpusat Amali Sains pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Turut dimuatkan dalam perakuan tersebut adalah meningkatkan kadar pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan murid sains tingkatan empat dan lima daripada RM70 kepada RM200 sebulan, manakala Biasiswa Kelas Persediaan Universiti bagi murid tingkatan enam juga dinaikkan daripada RM110 sebulan kepada RM300 sebulan.

Daripada aspek tenaga pengajar, kerajaan bakal menyediakan laluan kerjaya dan memberi pengiktirafan kepada guru sains dan teknologi yang setimpal dengan kelulusan akademik mereka, serta memastikan kurikulum latihan guru yang menjurus kepada kandungan kepakaran dan kemahiran dalam bidang sains tulen dan teknologi.

Timbalan Perdana Menteri menyarankan agar pusat-pusat penemuan sains seperti Pusat Sains, Petrosains dan Planetarium supaya mempergiatkan kempen, pameran dan aktiviti-aktiviti melibatkan guru-guru serta ibu bapa bagi menggalakkan pelajar meminati sains.

Katanya, pendekatan interaktif yang digunakan pusat-pusat sains tersebut dalam pembelajaran penghayatan sains dilihat efektif dan berkesan untuk mempelajari sains.

"Saya yakin dengan peranan yang dimainkan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta serta badan korporat merupakan tanggungjawab sosial ke arah membentuk persekitaran positif penerapan budaya sains di rumah, sekolah dan persekitaran,"katanya. -BERNAMA

ISU GLOBAL : Krisis ekonomi pengaruhi mental


Oleh : ISMAIL HASHIM YAHAYA

Senarionya seolah-olah merupakan rakaman semula seperti di Tuscon, Virginia Tech dan  Columbine. Cuma kali ini ia lebih menyayat hati apabila majoriti mangsa terkorban ditembak terdiri daripada kanak-kanak yang masih bersekolah.

Kejadian di Newton, Connecticut, Amerika Syarikat (AS) apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah sekolah di mana ibu penembak bekerja di situ sebagai seorang guru tadika, membunuh 20 kanak-kanak dan 6 dewasa. Penembak tersebut kemudiannya membunuh diri.

Seorang lagi mangsa, dipercayai ibu kepada penembak ditemui mati di sebuah rumah di Newton, membawa jumlah mangsa kepada 27 orang.

Ini memang kejadian sangat menyayat hati, terutamanya majoriti mangsa terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah masih tidak tahu apa-apa.

Ini menjadi pengajaran sebenarnya, walaupun semaju dan secanggih mana sesebuah negara itu sekalipun, tetapi jika ada seseorang mempunyai masalah mental yang mampu mendapatkan akses kepada senjata api dengan begitu mudah, tak mustahil tragedi menyayat hati sebegini akan berulang.

Mungkin ini harga perlu dibayar kepada right to keep and bear arms dalam perlembagaan kedua yang terkandung dalam perlembagaan Amerika Syarikat.

Kurang kawalan terhadap senjata hanyalah setengah daripada kisahnya. Kisah sebaliknya adalah AS sekarang berhadapan dengan pesakit mental, sakit jiwa disebabkan tekanan hidup dan krisis ekonomi yang begitu mencabar dan memuncak.

Bayangkan sekitar 45 juta warga dewasa Amerika menderita dari sakit jiwa. Sebelas juta kes dianggap serius. Walaupun kebanyakan mereka tidaklah dikategorikan serius, tetapi jika diberikan tekanan mereka boleh saja bertindak ganas.

Tetapi mereka yang berhadapan dengan sakit jiwa sukar untuk mendapat jumlah bajet mencukupi.

Bajet kesihatan mental awam di AS telah menurun sejak beberapa dekad lalu. Bahkan keadaan menjadi lebih buruk pada 2009 apabila kebanyakan negeri di AS mengalami pemotongan berjumlah berbilion dolar daripada bajet tahunan.

Seorang wartawan akhbar online Huffington Post melaporkan, menurut Persatuan Kebangsaan Pengarah-Pengarah Program Kesihatan Mental Negeri kebanyakan negeri berhadapan pemotongan besar sekurang-kurangnya AS$4.35 bilion dalam perbelanjaan kesihatan mental antara 2009 hingga 2012.

Dalam tahun fiskal 2012 juga, 31 negeri di AS melaporkan kepada Persatuan dengan pemotongan berjumlah AS$840 juta.

Katil, rawatan atau program-program untuk pesakit jiwa masih tidak mencukupi. Kos perawatan sangatlah mahal dan syarikat-syarikat insurans tidak dapat menanggung kos-kos ini.

Namun kita tidak boleh menyalahkan individu-individu seperti ini semata-mata terhadap apa berlaku, apatah lagi kebebasan penggunaan senjata api.

Dalam dunia kesejagatan sekarang setiap kepimpinan AS malah rakyatnya juga harus dipertanggungjawabkan terhadap setiap tindakan keganasan dan pembunuhan ratusan orang yang tidak berdosa setiap hari.

Situasi ini bukan suatu yang tidak sengaja atau yang tidak dapat dielakkan, harus diingat ia juga ada kaitan dengan krisis ekonomi besar yang melanda AS sekarang. Kerajaan AS berhadapan dengan masalah keseimbangan bajet disebabkan oleh defisit tinggi.

Sekiranya mereka bebas memiliki senjata, pada masa sama berhadapan krisis ekonomi, ini tentunya merupakan ramuan bagi tercetusnya sakit jiwa atau mental, pembunuhan dan kematian.

Jika perkara-perkara ini tidak diatasi lebih banyak jenayah seumpamanya akan berlaku. Tembakan di Connecticut harus mengingatkan kita bahawa sebagai tambahan kepada kawalan senjata dan memperketat undang-undang, kita memerlukan rangka kerja nilai yang diajar di dalam keluarga, komuniti dan sekolah. Kita perlu rangka kerja yang menggalakkan budaya keamanan, budaya spiritual dan keagamaan dalam setiap kehidupan manusia dan menghormati setiap agama, agama dan bangsa serta etnik.

Berapa ramai lagi kanak-kanak, wanita atau mereka yang tidak berdosa akan mati sebelum masalah kesihatan mental dan krisis ekonomi berjaya diatasi. Apakah keutamaan kerajaan AS sekarang, bajet ketenteraan dengan dasar luar yang mengutamakan rejim pengganas Israel atau mengutamakan kebajikan rakyatnya?

* Penulis ialah Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor kampus Shah Alam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Kursus BM Untuk Warga Malaysia Di Seberang Laut Mulai Tahun Depan


BESUT: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merancang memberi kursus bahasa Melayu kepada warganegara Malaysia di seberang laut mulai tahun depan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menguasai bahasa Melayu.

Ketua Pengarah DBP Dr Awang Sariyan berkata kursus akan diberikan kepada semua wargenagara Malaysia termasuk pelajar dan pegawai di kedutaan berpandukan sukatan yang dirumuskan oleh KPM dan DBP. 

"Kursus yang akan diadakan pada musim cuti semester itu akan berpusat di kota-kota tertentu menurut benua atau wilayah seperti Eropah, Timur Tengah, Asia Timur dan Oseania," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Katanya London dipilih untuk benua Eropah, Kaherah untuk Timur Tengah, Beijing untuk Asia Timur dan Melbourne bagi Oceania.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin yang mahu agar rakyat Malaysia di seberang laut diberikan kursus Bahasa Melayu bagi memantapkan penguasaan bahasa mereka. DBP akan mengadakan perbincangan dengan KPM bagi memilih tenaga pengajar yang akan mengendalikan kursus berkenaan dengan keutamaan diberikan kepada tenaga pengajar sedia ada di kota-kota berkenaan, katanya.

Menurutnya antara tenaga pengajar yang telah dikenal pasti ialah Zaharah Osman, koresponden New Straits Times dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di London yang telah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu di London selama 30 tahun lalu.

Beliau juga memberitahu seiring dengan kursus bahasa Melayu itu, juga akan diadakan ceramah patriotisme dengan kerjasama Biro Tatanegara. -BERNAMA

Khamis, 20 Disember 2012

ISU KESIHATAN : 98.8 peratus kantin sekolah bersih


PUTRAJAYA - Tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di negara ini semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata daripada keseluruhan jumlah kantin, sebanyak 1,576 (18.9 peratus) diberi Gred A (Cemerlang), 4,482 (53.9 peratus) Gred B (Sangat Bersih) dan 2,163 kantin (26 peratus) diberi Gred C (Bersih), manakala hanya 100 kantin (1.2 peratus) yang menerima markah di bawah 70 peratus.

Beliau berkata bagi dapur asrama sekolah pula, sebanyak 407 iaitu 20.8 peratus daripada 1,954 dapur asrama diberi  Gred A,  1,083 (55.4 peratus) diberi Gred B dan 451 (23.1 peratus) diberi Gred C, manakala hanya 13 dapur atau 0.7 peratus diberi markah di bawah 70 peratus.

"Kami mempunyai senarai kantin dan dapur sekolah yang menerima markah di bawah 70 peratus ini dan mereka ini akan diberi perhatian khusus, malah pemeriksaan akan dibuat pada bila-bila masa supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan.

Mana-mana kantin yang tidak ikut prosedur ini akan disita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tahun ini sebanyak 12 kantin sekolah dan lapan dapur asrama ditutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Wee berkata antara aspek yang diambil kira dalam pemeriksaan itu termasuk tahap kebersihan pengendali, penyimpanan bahan mentah dan masakan, kebersihan premis serta kawalan serangga seperti lipas dan tikus.

Sementara itu beliau berkata selain menyediakan garis panduan mengenai jenis makanan yang tidak boleh atau tidak digalakkan dijual di sekolah, kementerian turut menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemakanan mereka.

Ia termasuk dengan memaparkan jumlah kalori dalam makanan yang dijual di kantin, di sekitar kawasan sekolah, serta memaklumkan pelajar jumlah kalori yang ideal untuk mereka, katanya.

Dalam perkembangan lain Wee berkata mulai tahun depan, kementerian dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah, dalam usaha mengamalkan budaya Tandas Sekolah Bersih.

Beliau berkata selain poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas bersih, Buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah juga telah diedarkan ke semua sekolah untuk pelaksanaan mulai Jan depan. - Bernama

ISU SOSIAL : Utamakan kebersihan identiti umat Islam


Oleh : Lokman Ismail 

Islam amat mementingkan soal kebersihan dan kecantikan diri. Penampilan diri yang bersih dan cantik mencerminkan jiwa serta cara hidup seseorang. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan.” - (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah SAW diketahui sebagai Nabi yang amat mengambil berat soal kebersihan diri. Malah, diriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah tidur malam atau siang hari, kecuali baginda menggosok gigi terlebih dulu. Baginda juga menggosok gigi sekali lagi apabila bangun daripada tidur.

Rasulullah SAW juga sentiasa memakai haruman setiap kali keluar rumah. Haruman dipakai Baginda SAW membolehkan orang berada di sekeliling sedar kedatangan Rasulullah SAW biarpun belum melihat siapa yang datang itu. Boleh dirumuskan yang kebiasaan menghias diri adalah sebahagian daripada fitrah manusia.

Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Lima amalan daripada fitrah itu ialah mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku.”

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwattal menulis Rasulullah SAW amat mengambil berat soal penampilan diri sehingga menegur seorang lelaki yang rambut dan janggutnya dalam keadaan tidak terurus.

Kisahnya, ketika Rasulullah SAW berada di dalam masjid, masuk seorang lelaki dengan janggut yang tidak terurus dan rambut kusut. Rasulullah SAW menunjukkan isyarat tangan agar lelaki tersebut memperelokkan janggut dan rambutnya.

Lalu lelaki berkenaan beredar dan seketika kemudian masuk semula ke dalam masjid dalam keadaan janggut dan rambutnya lebih terurus berbanding sebelum itu. Melihat perubahan itu, Rasulullah SAW memuji lelaki itu dan menyatakan keadaan lelaki itu sebelum menguruskan diri diumpamakan seperti syaitan.

Selain kebersihan diri, kita juga perlu menjaga kebersihan persekitaran. Perkara ini mencerminkan identiti orang Islam yang cintakan kebersihan, membezakan dengan penganut agama lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bahawasanya Allah itu Maha Baik amat menyukai kebersihan dan kesucian, Allah itu Maha Pemurah amat menyukai sifat dermawan dan murah hati. Oleh itu, hendaklah kamu bersihkan halaman rumah kamu dan kawasan sekelilingnya dan janganlah kamu menyerupai sikap dan perangai orang Yahudi yang suka mengumpul tahi binatang di halaman rumah mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Malangnya, umat Islam sekarang tidak mengambil berat soal kebersihan. Perbuatan itu jauh sama sekali daripada ajaran Islam yang mementingkan kebersihan rohani dan jasmani. Mereka yang tidak mementingkan aspek kebersihan sebenarnya menolak janji Allah SWT yang menyediakan balasan pahala kepada hamba-Nya yang menjaga kebersihan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jagalah kebersihan dengan segala yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam atas kebersihan dan tidak masuk syurga kecuali orang yang menjaga kebersihan.” (Hadis riwayat Tabrani).

Menjaga kebersihan termasuk dalam usaha menjaga kesihatan dan menghindar penyakit. Banyak penyakit berpunca daripada diri dan persekitaran yang tidak bersih.

Individu yang lemah dan berpenyakit menghadapi masalah untuk menjalani kehidupan seharian. Untuk mengelak keadaan itu, Islam memberi fokus agar umatnya sentiasa sihat dan kuat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka itu, marilah kita mengutamakan kebersihan dan penampilan diri agar berada dalam keadaan sihat. Kita disarankan agar sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/