Sabtu, 5 Januari 2013

ISU SUKAN : ATM Juara Piala Sumbangsih


PETALING JAYA : Pasukan ATM menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama apabila menewaskan Kelantan 4-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Shah Alam, malam Sabtu.

Ia merupakan permulaan baik buat The Gladiators dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2013.

Malah kemenangan itu membolehkan ATM merealisasikan misi balas dendam mereka terhadap Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Kedua-dua pasukan bermain dengan seimbang dalam aksi 45 minit pertama dengan kedudukan seri tanpa jaringan.

Pendatang baru Liga Super, pasukan ATM menguasai sepenuhnya perlawanan babak pertama.

Pasukan kendalian jurulatih B.Sathianathan itu hampir memecah kebuntuan menerusi tiga percubaan berbahaya.

Pemain gantian Syazuan Hazani hampir meletakkan ATM di depan pada minit ke-15, tetapi rembatannya tersasar.

Juara Liga Super tahun lalu, Kelantan pula masih tercari-cari rentak untuk membolosi kubu pertahanan lawan.

Aksi babak kedua bersambung sengit.

Pemain berusia 31 tahun, Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol pertama untuk The Red Warriors pada minit ke-55.

Keita Mandjou menggandakan jaringan buat Kelantan pada minit ke-60 tetapi gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

The Gladiators bangkit melakukan asakan menerusi jaringan Irwan Fadzly Idrus pada minit ke-85.

Gol tersebut meletakkan kedudukan seri 1-1.

Kedudukan seri kekal sehingga minit ke-93 dan memaksa juara ditentukan menerusi sepakan penalti.

Irwan Fadzly dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.

Barisan pemain:

Kelantan:

Obinna Nwaneri, Nik Mohd Shahrul Azim, Zairo Anuar Bin Zailani, Mohd Shakir ShaariMohd Nor Farhan Muhammad, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Badhri Mohd Radzi, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Keita Mandjou, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Syazwan Yusof

ATM:

K.Reuben, Mohd Fainizam Nordin, Bruno Marteloto, Muhd Shukor Adan, Venice Elphi AK Danny Kaya, Mohd Fitri Omar, Hairuddin Omar, Irwan Fadzly Idrus, Mohd Farizal HarunRezal Zambery Yahya, Amiridzwan Taj Tajudin

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tarikh buka SBP Integrasi Kuantan (INTEK) ditunda


KUANTAN : Tahun 2013 dimulakan dengan seribu dugaan apabila hujan yang turun selama hampir 10 jam di bandar Kuantan pada 24 Disember lalu telah menyebabkan banjir kilat di bandar Kuantan. Ekoran daripada kejadian tersebut, berlaku tragedi tanah runtuh di bahagian belakang dewan makan dan asrama puteri  SBP Integrasi Kuantan (INTEK). Gambar-gambar tidak akan dipaparkan di sini atas sebab-sebab tertentu.

Laporan terkini Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR)  Bahagian Cerun Kuala Lumpur menyatakan bahawa bangunan-bangunan  tertentu sekolah berkenaan  tidak selamat untuk didiami buat masa ini. Antaranya termasuklah :

1)   Kuarters Guru
2)   ASPURA
3)   ASPURI
4)   Dewan Makan

Oleh itu, difahamkan bahawa  pihak sekolah sedang pada peringkat akhir untuk mendapatkan penempatan sementara bagi  semua pelajar sesi 2013 ini di luar kawasan sekolah.

Tarikh pendaftran pelajar sesi 2013 bagi T2, T3, T4 dan T5 INTEK telah ditunda seperti berikut:
Tarikh: 13 Jan 2013 (Ahad)
Masa: 2 pm - 5 pm
Tempat: Anjung Mesra

Manakala Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 sesi 2013 kekal seperti berikut:
Tarikh: 14 Jan 2013 (Isnin)
Masa: 8.00am – 12.00 pm
Tempat: Dewan Perdana

Laman Rasmi INTEK maklumkan bahawa keputusan tersebut  telah diambil  oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selepas beberapa mesyuarat tergempar peringkat tertinggi, demi menjaga keselamatan dan keselesaan pelajar-pelajar.

Sumber :  Laman Rasmi SBP Integrasi Kuantan (http://www.myintek.info/ )

Jumaat, 4 Januari 2013

PANTUN MENGENAL DIRI


Pucuk paku di dalam perahu,
Perahunya datang dari seberang,
Carilah AKU di dalam AKU,
AKU ada di dalam terang...

BISMILLAH itu mula disebut,
Rahman dan Rahim sifat mengikut,
Dunialah akhirat nyatalah luput,
Jalan hakikat pula diturut.

Alhamdulillah pujinya Insan,
Robbil Alamin sifatnya Tuhan,
Selawat Nabi akhir zaman,
Muhammad Amin  Habibur Rahman.

Jalan yang takzim pula dikata,
Atas Nabi junjungan kita,
Sahabat empat nyatalah serta,
Tiada berhenti  sekejap  masa.

Jalan hakikat sangat terbilang,
Tiada binasa urat dan tulang,
Daging dan darah tiada hilang,
Maka sifat itu dibawa pulang.

Jikalau sifat kita sudah binasa,
Kepada Nabi tiada berjumpa,
Segala amalan tiada tiba,
Tiada dapat syurga yang baqa'.

Jangan binasa sifatmu tuan,
Tiada bertemu hamba dengan Tuhan,
Hakikat kita tinggal di jalan,
Segala amalan menjadi  haiwan.

Kalau kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tidak membawa wahyu,
Allah tiada mungkirkan janji.

Mengenal Tuhan tak boleh nyata,
Kerana tak boleh dipandang mata,
Hingga diri jua dicita,
Kenal olehmu sifatnya kita.

Tatkala Adam dengan Hawa,
Dendam berahi antara keduanya,
Nafi dan Isbat itulah Dia,
Kepada kita menjadi rahsia.

Cari guru mengenal diri,
Yang diamanat olehlah Nabi,
Jangan takut penat dan rugi,
Asalkan dapat ilmu sejati.

Guru yang mursyid hendaklah dicari,
Itulah ulamak mewarisi Nabi,
Jika di situ ia mengajari,
Di situlah tuan menyerah diri.

Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Mengenal waktu biarlah tentu,
Jikalau tak kenal waktu itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.

Waktu kita di alam roh
Berkata Allah pada nyawa,
Bukankan AKu Tuhanmu segala,
Betullah Tuhan itu katanya nyawa.

Jadi olehmu mursyid yang utama,
Yang sebenar makrifah boleh dibawa,
Seperti badan dengannya nyawa,
Dunia akhirat bersama-sama.

Hakikat makrifat menyucikan badan,
Air Maal Hayat yang menjalankan,
Zikrullah yang diasyikkan,
kurangkan tidur ataupun makan.

Jalan hakikat bukan kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Zahir dan batin semuanya lapang,
Kerana Sir yang empunya pandang.

Wahai saudaraku dengarlah tuan,
Yang sebenar hidup itu katanya Tuhan,
Kuntum yang tujuh di situlah tersimpan,
Itulah pakaian Wali sembilan.

Kuatnya tubuh itulah nyawa,
Sekalian yang zahir takluk padanya,
Syurga yang tujuh dia yang punya,
Kepada kita menjadi rahsia.

Jalan hakikat sangat terpilih,
Hendaklah tahu asalnya benih,
Napi di dalam hati yang putih,
Makrifat kita baharulah jernih.

Adapun sifat makni itu tiada bersekutu,
Sifat Allah namanya itu,
Tiada boleh bandingankan sesuatu,
Wujud Allah namanya itu.

Tuntutlah ilmu walau di mana,
Amal dan ilmu tiada terhingga,
Amal tanpa ilmu diazab kita,
Di akhirat tiada berguna.

Kejadian kita dari air yang lazat,
Cahayanya seperti kilat,
Tatkala asyik tiada ingat,
Baharulah ada junub dan janabat.

Di wadi mani manikam,
Asalnya ia daripada kalam,
Dengan khudrat Tuhan Khalikul Alam,
Yang menjadikan tubuh anak Adam.

Jika begitu kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tidak mendapat wahyu,
Allah tiada mungkirkan janji.

Jika tarekat hendak dibawa,
Carikan guru akan petuanya,
Supaya kita jangan bertuhankan nyawa,
Hakikat kita tiada derhaka.

Syarat rukunnya sudah diketahui,
Sah batalnya demikian lagi,
Amal diterima Tuhan Ilahi,
Syarat rukunya sudah diketahui.

Siapa beramal dengan Jahalnya,
Tiada tahu sah batalnya,
Amal tiada diterima Tuhanya,
Di dalam neraka kekallah kita.

Wahai segala saudara-saudaraku,
Mengenal Kaabah biarlah tentu,
Jikalau tak kenal Kaabah itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.

Wahai saudara tua dan muda,
Fikirkanlah kamu sentiasa,
Janganlah seperti orang yang buta,
Tinggal ilmu mencari harta.

Hidup tiada ingat akan mati,
Bersuka ria sepanjang hari,
Hanya harta dapatkan diri,
Tiga lapis kain kapan sahaja dia beri.

Jalan hakikat bukannya kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Jikalau hati syak dan waham,
Cahaya yang terang menjadi kelam.

Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Jalan hakikat demikianlah itu,
Jikalau boleh pintalah selalu,
Jangan binasa sifatmu itu.

Hati yang mukmin suci dan ikhlas,
Laksana air di dalam gelas,
Cuci hatimu seperti kapas,
Makrifah kita baharulah jelas.

Syariat itu martabatnya tinggi,
Yang dipakai oleh Saidina Ali,
Barang siapa dapat asalnya jadi,
Yang bergantung tiada bertali.

Syariat, tarekat terlalu mulia,
Itulah pakaian Wali Ambia,
Barang siapa dapat asalnya,
Bolehlah membawa badan serta nyawa...

Sumber : http://lamanpahang.blogspot.com/

ISU SOSIAL : Kenali sejarah sambutan tahun baru Masihi


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Perayaan patut perkukuh iltizam majukan diri, bangsa dan masyarakat

Seramai 13 pasangan ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam operasi cegah maksiat pada malam tahun baru. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula menahan beberapa orang Islam kerana meminum arak dalam pesta meraikan tahun baru, begitu juga penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah dan Negeri Sembilan juga dilaporkan melakukan operasi pencegahan jenayah syariah di lokasi tertentu dan pastinya berkaitan perayaan menyambut kedatangan tahun baru Masihi.

Itu belum pesta liar yang dianjurkan di pelbagai lokasi yang tidak dapat digapai oleh penguat kuasa jabatan berkuasa agama. Kini ia bukan saja membabitkan kelompok remaja atau muda mudi, tetapi turut disertai mereka yang lebih dewasa dengan pelbagai status, duda, janda, suami orang, isteri orang, datuk dan nenek.
Lalu timbul pertanyaan, apakah sebenarnya sambutan tahun baru? Apakah tujuannya? Apakah kesan dan manfaatnya terhadap pembinaan generasi dan bangsa? Ia dilihat sebagai satu ‘lesen’ untuk keluar malam lalu melakukan gelagat tidak bermoral tanpa segan silu lagi.


Sejarah tahun baru

Menelusuri sejarah tahun baru Masihi, ada banyak pandangan mengenainya. Ada yang berpendapat ia bermula dari zaman empayar Rom di bawah pemerintahan Maharaja Julius Caesar yang mahu merombak kalendar yang digunakan secara tradisional. Baginda mahukan ia berasaskan peredaran matahari. Baginda dibantu oleh seorang ahli astronomi Rom yang bermastautin di Iskandariah, Mesir.

Kebanyakan penganut Kristian berasal dari Eropah pula meraikan tahun baru bagi merayakan kelahiran Jesus. Jesus dianggap penyelamat, yakni yang menyelamatkan manusia daripada dosa warisan (inherited sins). Justeru, sambutan tahun baru adalah bagi memperingati permulaan perjuangan yang dianggap suci oleh penganut Kristian.

Malah, ada pelbagai cara meraikan kedatangan tahun baru Masihi seperti menaburkan bunga, berkumpul di dataran tertentu, menghadiahkan bunga kepada rakan dan seribu satu cara lagi. Kembali kepada persoalan tujuan, konsep dan kaedah meraikan tahun baru di Malaysia. Ia semakin teruk dicemari dengan pelakuan sumbang yang meruntuhkan pembentukan budaya bangsa yang beragama.

Mari kita bicarakan satu persatu. Jika melihat dari aspek agama kita dapati penganut Kristian sendiri merayakannya dengan sambutan di gereja bagi memperingati kelahiran Jesus. Sudah tentu ia berintikan menyanjung belas kasihan tuhan yang mengutuskan anaknya sendiri bagi menyelamatkan manusia.

Jika ditinjau dari sudut budaya, ia tidak mempunyai akar budaya yang kukuh. Jika sambutan Maal Hijrah yang bertemakan kedatangan tahun baru hijrah, masyarakat Malaysia khususnya Muslim diperingatkan mengenai peri pentingnya perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan akidah sahih. Begitu juga bangsa Tionghua yang meraikan Tahun Baru Cina dengan meraikan semangat kekeluargaan yang kukuh.


Perkukuh iltizam

Maka di manakah letaknya signifikan meraikan tahun baru ini. Mungkin ia perayaan negara yang seharusnya mengukuhkan iltizam memajukan diri, bangsa dan masyarakat. Jika inilah sebabnya, maka ia sepatutnya berintikan keinsafan terhadap pencapaian setahun yang berlalu dan membakar semangat untuk terus meluru laju ke hadapan bagi membina masa depan yang lebih gemilang. Masyarakat khususnya generasi muda mesti diperingatkan mengenai kepentingan melengkapkan diri dengan segala ilmu, kemahiran dan segenap kekuatan, memerah tenaga sebagai ejen perubah masyarakat.

Bukan mencari parti liar untuk dihadiri dan mencari pasangan untuk ditiduri. Pendek kata ia adalah malam untuk kita bersedia mempersiapkan diri memulakan langkah di tahun baru dengan penuh semangat perjuangan.

Pemimpin negara khususnya perlu menerangkan fokus dan hala tuju setahun akan datang agar kemajuan dapat dipacu dengan jayanya. Barulah rakyat dan masyarakat akan terarah ke arah yang sewajarnya.

Di manakah keberanian kita untuk berbeza dengan warga dunia? Mungkin ada yang membangkitkan kenapa kita harus berbeza, tetapi sebelum itu jawapan kepada kenapa kita perlu mengikut warga dunia, perlu hadir terlebih dulu. Adakah ia tidak dinamakan sambutan jika tanpa konsert atau tanpa dentuman bunga api atau tanpa parti liar atau ditukar kepada waktu siang yang dapat menghindarkan kita daripada pelbagai gejala sosial yang menjijikkan?

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/
  

ISU PENDIDIKAN : Keputusan Muet November 2012 diumum Selasa


KUALA LUMPUR - Keputusan ujian Malaysian University English Test (Muet) bagi sesi November 2012 akan dikeluarkan 8 Januari depan, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini.     

Seramai 75,634 orang menduduki ujian itu.

Calon yang mendaftar di sekolah atau institusi boleh mendapat keputusan di sekolah atau institusi masing-masing mulai pukul 10 pagi manakala calon persendirian akan memperolehnya melalui pos.

"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MUETRESULT dan dihantar ke 15888, mulai pukul 12:01 tengah malam 8 Januari atau melalui online dengan melayari portal MPM iaitu http://www.mpm.edu.my mulai pukul 9 pagi pada tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Bagi calon yang mahu membuat semakan semula keputusan mereka, boleh berbuat demikian dengan membuat bayaran sebanyak RM70 . Tarikh tutup rayuan adalah pada 14 Januari.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web MPM di www.mpm.edu.my.

Bagi calon yang ingin mengambil semula MUET atau memperbaiki keputusan, mereka boleh membuat pendaftaran untuk sesi Mac 2013 secara online melalui laman web MPM atau menerusi www.mesp.gov.my/online. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : Pahit Manis Pendidikan Negara 2012


Oleh : Ruhaiza Rusmin

Tahun 2012 meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

Negara turut mencatat peristiwa yang menjadi ingatan semua termasuk warna-warni yang menghiasi dunia pendidikan tanah air.

Antara peristiwa panas terawal tercatat dalam kalendar 2012 ialah tindakan ‘ganas’ sebahagian kecil mahasiswa yang mahukan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dibubarkan.

Mereka berpendapat, AUKU menyekat kebebasan bersuara serta berpolitik lantas menjadikan tindakan itu sebagai platform yang kononnya memberi ruang menyuarakan kehendak dan pendapat tanpa sekatan.

Mereka turut melontarkan tuduhan bahawa universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seolah-olah ‘mencabul’ hak mereka sebagai warganegara bebas bersuara.

Biarpun begitu, kerajaan serta pihak terbabit tetap menunjukkan sikap prihatin, cuba memahami dan bertolak-ansur.

Selepas ‘berkonfrontasi’ sejak sekian lama, akhirnya AUKU Seksyen 15C (3) dipinda, sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa untuk berpolitik. Bagaimanapun, politik kepartian masih tidak dibenarkan di dalam kampus bagi menjaga keamanan bersama.

Masalah dunia pendidikan tinggi negara juga tercalit lumpur apabila kemudahan melanjutkan pengajian yang diberikan kerajaan kepada pelajar asing disalahgunakan dengan pembabitan pelbagai gejala sosial.

Seramai 777 pelajar asing ditahan pihak berkuasa sejak 2011 hingga Ogos lalu kerana pelbagai kesalahan termasuk mendatangkan kecederaan, mencuri dan penyalahgunaan dadah selain jenayah komersial.

Ini sekali gus memaksa kerajaan memperketatkan proses kemasukan pelajar asing bagi memastikan hanya yang layak dan berkemampuan sahaja melanjutkan pengajian di negara ini.

Dunia pendidikan tinggi juga menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah membabitkan penganugerahan termasuk kecemerlangan penyelidikan serta sumbangan demi mempertingkatkan kehidupan sejagat.

Antaranya, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Felo Kehormat The London Royal College of Physicians hasil kejayaannya dalam bidang pembedahan endokrin dan penerbitan jurnal tempatan dan antarabangsa.

Penganugerahan itu adalah pengiktirafan tertinggi diberikan Royal College of Physicians kerana anugerah Felo Kehormat pusat pengajian terkemuka itu terhad kepada 20 orang setahun.

Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula mencipta perisian permainan jawi pada peranti mudah alih (PSP) dan komputer tablet bagi memartabatkan semula tulisan jawi dalam kalangan generasi muda.

Bagaimanapun, sasaran untuk kementerian mencapai bilangan siswa sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebanyak 60 peratus masih belum tercapai.

Sektor pendidikan negara juga menyaksikan anjakan berani dan baru apabila Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 diperkenalkan.

Ia menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara, sekali gus melonjakkan lagi standard sedia ada ke arah penambahbaikan seiring keperluan global.

Antaranya, pelajar pintar akan menyelesaikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam lima tahun dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat tahun, sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah, penjenamaan semula tingkatan enam, bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai tahun empat pada 2014 manakala kelas peralihan dimansuhkan pada 2017 dan insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun dan laluan pantas kenaikan pangkat.

Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga akan dimansuhkan pada 2014 dan kerajaan menggantikannya dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) diperkenalkan sebagai syarat pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh.

Sistem itu mengambil kira pencapaian cemerlang pelajar sepanjang sesi persekolahan termasuk aktiviti kokurikulum dan latar belakang keluarga.

Keprihatinan terhadap permintaan tenaga kerja berkemahiran untuk jangka panjang menjadi penanda aras kepada kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TEVT).

Oleh itu, langkah menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional mula diperkenal dan diperkasakan, sekali gus diharap mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh mahir.

Sebanyak 15 sekolah vokasional dipilih untuk dijadikan program rintis Kolej Vokasional dan selebihnya akan dinaik taraf secara berperingkat pada 2015.

Pengenalan baru itu akan membolehkan semua pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional ini mengikuti pengajian selama empat tahun, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik.

Pelajar yang menamatkan pengajian di kolej ini akan mendapat diploma vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun) manakala pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga tiga yang mengikuti peringkat Program Asas Vokasional (PAV) akan diberi sijil tahap dua.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kerancakan usaha pelbagai pihak memperkasakan sistem pendidikan sedia ada, keputusan kejatuhan bagi beberapa subjek terutama membabitkan Sains dan Matematik menimbulkan kebimbangan.

Dianggap antara subjek penting dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya, kemerosotan pencapaian pelajar dalam dua subjek berkenaan dalam peperiksaan utama dikatakan kerana kurangnya minat mengikuti aliran sains berbanding sastera.

Kajian turut memperlihatkan kebanyakan pelajar, baik di bandar mahupun di luar bandar dan pedalaman gagal mengikuti proses pengajaran serta pembelajaran untuk dua subjek ini dengan baik.

Laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) juga memperlihatkan pencapaian pelajar Malaysia untuk Matematik menjunam dari tempat ke-10 pada 2003 ke tempat ke-20 pada 2007.

Begitu juga pencapaian dalam Sains yang memperlihatkan kemerosotan membimbangkan menjadikan ia pada masa sama sebagai ‘senjata’ sesetengah pihak mengaitkannya dengan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pelbagai suka duka dunia pendidikan negara pada 2012 bakal ditinggalkan dan menjelang 2013, diharap sektor pendidikan negara mampu membawa dimensi baru yang mampu melonjakkan lagi pencapaian dan kegemilangannya.

Selamat datang 2013 dan selamat tinggal 2012.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Khamis, 3 Januari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Alam sekitar mangsa kerakusan manusia


Oleh : Rejal Arbee

Pertingkat kesedaran jaga kebersihan

Kita memasuki tahun baru ini dengan harapan alam sekitar kita secara keseluruhannya dapat dipelihara dengan lebih baik yang mana pencemaran berada pada tahap paling minimum. Persoalannya, bolehkah rakyat secara keseluruhannya mengharapkan keadaan sedemikian ini?

Tentunya kita mahukan alam semula jadi anugerah Allah tidak berterusan terjejas hanya kerana kerakusan kita mahukan pembangunan tanpa menghiraukan kesannya ke atas alam dan persekitaran.

Pembangunan sememangnya perlu dilaksanakan demi pertumbuhan ekonomi untuk mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat. Tetapi, tentunya ia harus dilaksanakan secara lebih prihatin dan teratur supaya alam persekitaran yang terpaksa dijejaskan berlaku pada tahap paling rendah. Malangnya, beberapa kejadian yang berlaku menjelang akhir tahun lalu menunjukkan sekali lagi bagaimana pembangunan yang tidak menepati kehendak persekitaran dan peraturan boleh membawa padah.

Pembangunan di lereng bukit

Kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan perumahan berterusan dan setiap kali ia berlaku, pihak berwajib akan menubuhkan jawatankuasa atau pasukan petugas untuk mengkaji apa yang berlaku dan mahu memastikan ia tidak akan berulang.

Sudah banyak kejadian tanah runtuh berlaku dalam negara ini dan sudah banyak pasukan petugas ditubuhkan. Malangnya, pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit berterusan dilaksanakan tanpa mengendahkan pelbagai peraturan ditetapkan.

Pihak berwajib juga berterusan memberikan permit membenarkan pembangunan demikian. Nampaknya, kita masih tidak mahu belajar atau mengambil iktibar daripada pelbagai kejadian tanah runtuh demikian.

Tentunya tanah runtuh di Bukit Setiawangsa di Kuala Lumpur minggu lalu bukan yang terakhir berlaku jika dilihat dari pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit yang berterusan di mana-mana, termasuk di Pulau Pinang dan di Taman Templer. Apa agaknya yang mendorong kita mahukan rumah di lereng bukit atau di puncak bukit?

Demikian juga sikap kita terhadap sungai yang berterusan dilanda pencemaran. Sudah berapa banyak sungai kita yang mati dan tidak lagi berfungsi seperti ditetapkan alam.

Kempen ratusan juta ringgit

Pelbagai usaha dan kempen yang membabitkan perbelanjaan ratusan juta ringgit untuk membersihkan sungai kita di seluruh negara yang sudah pun dilaksanakan. Tetapi hasilnya tetap tidak boleh dibanggakan kerana lebih 1,000 sungai dalam negara ini berterusan menghadapi ancaman pencemaran gara-gara tindakan dan sikap kita.

Walaupun sudah ramai rakyat sedar pentingnya persekitaran, khususnya sungai kita dapat dipelihara baik, sikap kita terhadap sungai tetap tidak berubah. Majoriti rakyat berterusan menganggapnya sebagai tempat membuang sampah.

Ramai juga tidak mengambil kisah bahawa segala macam benda buangan dan cucian dari dapur akhirnya mengalir melalui parit dan pelbagai saluran lain ke dalam sungai.

Hal ini berlaku bukan saja di rumah tetapi pelbagai macam sisa buangan, termasuk sisa kimia dan toksik dari pelbagai kilang serta premis perniagaan dan perdagangan, termasuk bengkel baiki kereta semuanya akan berakhir memasuki sungai kita.

Bahkan bangkai babi pun pernah dibuang penternak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai seperti berlaku dekat Batang Berjuntai dan di Sungai Sepang ketika penternakan haiwan itu berleluasa di Bukit Pelandok, Tanah Merah Estate, Batu Dua Sepang dan Sungai Pelek.

Punca utama pencemaran

Tiga punca utama pencemaran sungai ialah sampah sarap, sisa biologi aktiviti penternakan serta buangan domestik dan bahan kimia daripada sisa industri.

Faktor lain yang menambah buruk lagi pencemaran sumber air itu ialah kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk dan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat aktiviti mereka yang boleh mengganggu keseimbangan alam sekitar.

Oleh itu, tidak menghairankan kenapa keadaan sungai kita berterusan bertambah buruk dan banyak sungai yang mati yang mana airnya sudah tidak lagi boleh mengalir dan menjadi busuk.

Dua kempen besar-besaran sudah pun dilaksanakan sejak 1993 dengan kempen ‘Cintai Sungai Kita’ dan dikuatkan lagi dengan satu lagi kempen ‘Satu Sungai Satu Negeri’ untuk membersihkan sebuah sungai dalam sebuah negeri pada 1997.

Tingkatkan kesedaran masyarakat

Malangnya, selepas berlangsung selama dua dasawarsa dan berjuta-juta ringgit dibelanjakan, apakah hasilnya? Kini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang merancang untuk mengadakan satu lagi kempen dalam usaha berterusannya untuk memelihara sistem sungai dalam negara.

Sebenarnya yang penting ialah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kebersihan sistem saliran dipelihara. Malangnya, ramai tidak sedar kebanyakan sungai di negara ini berdepan pencemaran teruk dengan kebanyakan punca daripada sikap dan aktiviti harian manusia yang tanpa segan silu menjadikan sungai sebagai ‘lebuh raya’ sampah hingga mengganggu keseluruhan sistem ekologi.

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/