Sabtu, 12 Januari 2013

ISU EKONOMI : Warga asing ambil alih hak rakyat


Oleh :  ROHAMI SHAFIE

SEMASA era penghujung tahun 1980-an, warga asing mula berhijrah ke Malaysia untuk bekerja sepenuh masa. Ketika itu, kebanyakan pekerja asing terdiri daripada rakyat Indonesia sahaja. Kedatangan mereka disambut baik oleh rakyat Malaysia kerana mereka telah banyak membantu membangunkan ekonomi negara.

Tahun 1990-an, Malaysia telah beralih sepenuhnya daripada sebuah negara berpaksikan pertanian kepada negara berteraskan industri. Banyak kilang dibina, maka, mahu tidak mahu Malaysia terpaksa mengimport warga asing. Rakyat kita tidak terkecuali mula bekerja di kilang terutamanya wanita muda.

Pekerjaan sebagai pembantu rumah atau amah sudah tidak digemari oleh wanita muda tempatan. Bagi mereka, bekerja sebagai pekerja kilang lebih bebas. Trend perindustrian di Malaysia berterusan dengan pesatnya telah membawa warga asing datang bekerja ke Malaysia. Mereka ini bukan sekadar bekerja sebagai pekerja perindustrian, malahan kedatangan wanita warga asing sebagai pembantu rumah mengambil alih peranan wanita Malaysia.

Kemajuan perindustrian di Malaysia telah meningkatkan ekonomi negara. Lebih banyak bangunan-bangunan baru dibina dan sekali lagi kita terpaksa mengimport buruh asing. Meskipun negara kita pernah mengalami kemelesetan ekonomi 15 tahun yang lalu, namun demikian jumlah warga asing yang datang bekerja ke Malaysia tidak pernah berkurangan.

Jumlah mereka semakin bertambah sehinggakan mereka semakin berani dalam banyak segi.

Pertama, jumlah kadar jenayah seperti merompak, pelacuran, menipu, merogol dan pecah rumah semakin bertambah dalam kalangan warga asing.

Kedua, mereka bermaharajalela berniaga di negara kita tanpa langsung rasa gentar dikenakan tindakan.

Ketiga, mereka berani mengganggu penduduk tempatan terutamanya gadis-gadis tempatan.

Keempat, mereka semakin berani membuat kacau seperti bergaduh sesama sendiri sehingga menakutkan penduduk tempatan.

Kelima, mereka semakin berani mengimport budaya buruk kehidupan mereka ke negara kita seperti mengemis di jalan raya yang sesak dengan kenderaan dan minum minuman keras di khalayak ramai.

Jumlah mereka yang semakin ramai menyebabkan keselamatan negara kita boleh tergugat pada bila-bila masa sahaja. Bayangkan apa yang akan terjadi jika mereka melakukan rusuhan secara besaran-besaran. Mampukah pihak penguatkuasa menangani mereka ketika rusuhan berlaku?

Tidak terkecuali mereka ini jugalah boleh dibayar untuk berarak di jalanan dengan mengadakan pelbagai demonstrasi yang ditaja oleh pihak tertentu. Amat menghairankan, pihak penguat kuasa tidak mengambil satu tindakan secara holistik menangani pendatang asing.

Yang ada, tindakan-tindakan kecil yang tidak langsung menakutkan mereka, jauh sekali membanteras kegiatan jenayah mereka. Mereka tidak gentar mengulangi kegiatan mereka. Umpamanya, acap kali kita dengar serbuan dibuat terhadap kelab-kelab malam yang menjadi sarang pelacuran warga asing. Meskipun diserbu berpuluh-puluh kali sekali pun, warga asing tetap bermaharajalela melakukan kegiatan terkutuk tersebut.

Satu lagi yang amat membingungkan penulis apabila mereka ini terang-terangan berniaga. Bukan sekadar berniaga di gerai-gerai tepi jalan, tetapi ada dalam kalangan mereka berniaga menggunakan premis. Tidak cukup dengan itu, bahasa yang digunakan pula bahasa ibunda mereka.

Jenguk-jenguklah di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan Taman Tanming Jaya, Balakong. Premis di Jalan TAR terang-terangan menggunakan bahasa Indonesia manakala sebuah premis perniagaan di Taman Tanming Jaya pula tertera bahasa Myanmar. Di manakah pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Cukup membinggungkan kerana kita sendiri sebagai warga Malaysia tidak berani dengan mereka sedangkan mereka pula saban hari semakin berani dan bermaharajalela. PBT sepatutnya membantu pihak penguat kuasa yang lain terutamanya imigresen untuk membanteras kegiatan warga asing.

Sebaik-baiknya mereka ini tidak langsung diberi muka untuk berniaga. Bagi warga negara Malaysia yang menjual premis atau menyewa premis perniagaan kepada warga asing, mereka ini perlu diambil tindakan paling tegas. Mereka inilah antara faktor penyebab warga asing semakin berani dan menidakkan hak rakyat tempatan.

Malahan, tidak keterlaluan dikatakan mereka ini jugalah yang menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berada dalam keadaan ketakutan kerana semakin ramai warga asing datang ke Malaysia. Bagi mereka, Malaysia tempat yang mudah untuk berniaga.

Di negara asal mereka, mereka bukan sahaja tidak dibenarkan berniaga, malahan mereka ditindas dengan teruknya. Di Malaysia, kita terlalu memberi muka terhadap warga asing sampaikan nasib rakyat Malaysia dipinggirkan.

Warga asing yang datang ke Malaysia kini terdiri dari pelbagai negara. Warga asing dari negara Afrika pula semakin bertambah dari semasa ke semasa. Mereka ini cerdik untuk menipu warga tempatan. Sudah begitu banyak kerugian wang ringgit yang melibatkan warga tempatan. Tetapi mana perginya tindakan ke atas mereka?

Amat membimbangkan jika keadaan ini tidak ditangani dengan baik, suatu hari nanti, warga asing akan menguasai Malaysia dengan penguasaan ekonomi negara.

Jika ini berlaku, kita sudah tidak bebas dalam erti kata sebenar. Ini tidak mustahil berlaku kerana sudah nampak petanda mereka semakin menguasai perniagaan dan ekonomi. Tangani segera sebelum terlambat demi anak cucu cicit kita. Menyesal kemudian tiada gunanya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 11 Januari 2013

ISU AGAMA : Tujuh panduan pengukuhan iman


Oleh :  Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Tahun baru ini pekerja perlu meningkatkan semangat dengan azam untuk terus menjadi pekerja Muslim yang profesional serta berdaya saing. Ini antara cabaran dalam Wawasan 2020, mewujudkan masyarakat bermoral, beretika tinggi dan profesional dalam menjalankan perkhidmatan.

Antara usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai tahap pekerja profesional ialah dominasi hati melalui pengukuhan dan penambahan iman. Sentiasa meletakkan kepercayaan, keyakinan, kecintaan dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam segenap pelakuan.

Firman Allah SWT: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (Surah al-Hadid, ayat 7)

Pengukuhan iman bertujuan mengelakkan kesibukan dan tekanan kerja menjadi penyebab kelalaian daripada mengingati Allah SWT.

Peringatan kelalaian

Peringatan Allah SWT: Wahai orang yang beriman. Janganlah sampai harta kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Siapa yang melakukan sebegitu, mereka tergolong dalam kalangan orang yang rugi. (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Pekerja profesional ialah pekerja yang mempunyai pengetahuan tentang pekerjaan yang dilakukan dan melaksanakannya dengan mahir. Aspek pengetahuan bagi profesional Muslim sebagai asas kerja ialah mengusahakan yang baik lagi halal untuk mencapai keredaan Allah SWT.

Tujuh panduan

Justeru, tujuh panduan pengukuhan iman bagi pekerja ialah pertama, memperteguhkan niat bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT supaya apa juga yang kita kerjakan tidak menjadi sia-sia atau merugikan.

Firman Allah SWT: Ada antara manusia yang menyembah Allah kerana sesuatu tujuan, jika dia mendapat kebaikan dia akan bertenang dengan apa yang didapatinya, dan jika dia diuji sedikit, dia berpaling wajah daripadanya, orang ini akan rugi dunia dan akhirat. (Surah al-Haj, ayat 11)

Kedua, memperteguhkan hati dan akal dengan sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap titik peluh dari pada kesungguhan usaha adalah suatu ibadat, sedekah serta penghapus dosa.

Kesanggupan sahabat seperti Saidina Uthman bin Affan yang berkorban jiwa dan harta antaranya menyiapkan kelengkapan perang serta membeli perigi bernama Raumah untuk kemudahan air kaum Muslimin perlu menjadi iktibar.

Sabda Rasulullah SAW: Ya Allah redailah Uthman kerana sesungguhnya aku telah meredainya. Mulai hari ini apa yang dilakukan oleh Uthman tidak akan merugikannya (dia boleh berbuat apa yang dia mahu dan Allah telah mengampuninya). (Hadis Sahih)

Ketiga, mengukuhkan nilai baik dan mengikis nilai buruk dalam diri juga adalah sebahagian daripada usaha pengukuhan iman.

Firman Allah SWT: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, dan mereka mendirikan solat. (Surah al-Taubah, ayat 71)

Keempat, menerima dengan sabar serta meredai sesuatu yang diperoleh sama ada disukai atau tidak setelah ia diusahakan dalam proses kerja juga sebahagian daripada iman.

Firman Allah SWT: Barangkali ada yang kamu membenci sesuatu padahal itu adalah lebih baik bagi kamu. (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Kelima, menganggap setiap hari adalah hari yang terbaik seperti Jumaat dan setiap bulan adalah bulan yang paling mulia seperti Ramadan untuk memotivasikan diri merebut kebaikan pada setiap masa dan ketika.

Keenam, membayangkan seolah-olah kerja kita hari ini adalah kesempatan usaha yang terakhir kerana dengan mengingati mati dapat menghidupkan hati.

Banyak mengingati mati

Imam al-Ghazali dalam Mukasyafah al-Qulub, menukilkan daripada Ibn Umar meriwayatkan bahawa beliau mendengar seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW: Siapakah orang yang bijaksana lagi mulia di antara manusia? Baginda menjawab: Orang yang paling banyak mengingati mati dan menyediakan dirinya untuk itu. Ia adalah manusia yang bijaksana kerana telah membolot kemuliaan dunia dan kelebihan akhirat.

Ingatan kepada ajal yang tidak diketahui bila akan mengundang, dapat memperteguhkan iman untuk melaksanakan kerja dengan sebaik-baiknya.

Ketujuh, memperteguhkan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT dalam setiap gerak geri melalui doa, selawat, zikir dan membaca al-Quran juga adalah sebahagian daripada iman.

Justeru, sebagai pekerja Muslim yang berazam ke arah profesionalisme, marilah kita menguatkan hati dan minda dengan pengukuhan iman sepanjang hayat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa mesti terbabit dalam proses pembelajaran


Oleh : Azrina Sobian
 
Bab tujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Negara Malaysia (2013-2025) bertujuan menggalakkan pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak dengan hasrat akhirnya, akan berubah daripada pendidikan berasaskan sekolah kepada suatu sistem yang mengupayakan pembabitan ibu bapa.

Ibu bapa diharapkan dapat menjadi rakan dalam pendidikan yang akan memastikan pelajar mendapat pendidikan bermutu tinggi. Bagi meningkatkan peranan ibu bapa, usaha berbentuk kesedaran akan dilaksanakan supaya ibu bapa memahami peranan mereka dalam pendidikan anak.

Usaha pembaharuan pendidikan negara dengan pengupayaan pembabitan ibu bapa satu berita yang disambut baik. Namun, usaha ini juga apabila difikir lebih lanjut menimbulkan persoalan yang mencabar.

Pertama, adakah selama ini ibu bapa di Malaysia tidak memahami peranan mereka dalam pendidikan anak sehingga satu pelan diperlukan untuk menarik ibu bapa kembali ke sekolah? Adakah setakat ini tahap pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak amat rendah?

Adakah ibu bapa sedar sekolah memerlukan kerjasama mereka untuk membentuk anak atau adakah selama ini ibu bapa beranggapan tanggungjawab mendidik anak adalah tugas guru semata-mata?

Jelas sekali, ramai ibu bapa yang salah faham dan terlupa peranan mereka dalam pendidikan anak. Ada yang secara sedar atau tidak telah meletakkan tanggungjawab pendidikan anak kepada pihak sekolah semata-mata. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Sekurang-kurangnya, dalam konteks pandangan hidup Islam, individu utama yang seharusnya memainkan peranan dalam pendidikan anak ialah ibu bapa, diikuti guru dan kemudian barulah ahli masyarakat keseluruhannya.

Namun, aturan kepentingan ini semakin goyah mungkin disebabkan kelalaian ibu bapa. Hadis Rasulullah SAW sebenarnya sudah memberi panduan jelas kaedah mendidik anak yang boleh dicontohi ibu bapa.

Selain pengabaian, kemungkinan ada ibu bapa yang tidak pasti cara untuk terbabit dalam proses pendidikan anak di sekolah. Selain itu, mungkin juga timbul rasa tidak yakin terhadap sumbangan yang boleh dihulurkan dalam proses pendidikan itu.

Tidak tahu dan tidak yakin ini akan memberi kesan dalam usaha membabitkan ibu bapa dalam proses pendidikan anak. Bagi mengatasi masalah ini, ilmu pengetahuan sememangnya penting selain sikap keterbukaan serta kreativiti ibu bapa.

Mungkin ada ibu berstatus suri rumah tangga beranggapan tidak ada apa yang boleh disumbangkan dalam proses pendidikan anak di sekolah. Hakikatnya, banyak yang boleh diajar ibu kepada anak-anaknya, khususnya dalam membimbing mereka mengenai kelangsungan hidup dengan membiasakan melakukan kerja rumah, cara bergaul dengan golongan dewasa melalui komunikasi bersama dan perkara asas yang sepatutnya diketahui anak.

Kemahiran ibu sebagai suri rumah boleh dikongsi dengan anak dan dimanfaatkan mereka apabila dewasa kelak. Pembelajaran tidak terhad kepada aktiviti di sekolah saja kerana anak-anak turut menimba ilmu ketika mereka berada di rumah.

Memang ilmu asas yang dididik guru di sekolah seperti membaca, menulis, ilmu sains, matematik, bahasa itu penting, namun dalam menjalani hidup bermasyarakat, anak juga perlu didedahkan dengan adab berjiran, menghormati orang lain serta memelihara adab sopan.

Pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak secara langsung memang penting, bermakna mereka perlu tahu semua keperluan serta proses pembelajaran. Ini hanya akan diperoleh apabila mereka menjalinkan hubungan baik dengan guru dan pihak sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : 10 ungkapan penyejuk hati pasangan


Semasa pertengkaran, pelbagai ungkapan menyakitkan mungkin diluahkan. Apakah kalimah-kalimah yang seharusnya menjadi amalan?

Ramai yang kerap mengatakan bahawa komunikasi adalah kunci ke arah pernikahan yang harmonis. Tetapi mengapa dengan adanya komunikasi, hubungan masih tetap bergolak? Pakar psikologi klinikal yang juga kaunselor rumah tangga dari California Selatan, Dr Randi Gunther, berkata apa yang paling penting adalah CARA anda mengatakannya. Jadi bagaimana? Beliau memberikan 10 tip yang dipercayai berkesan dalam mengatasi masalah dalam rumah tangga. Ayuh cubalah atas pasangan agar hubungan tetap mesra.

1. Kita hadapi ini bersama - sama

“Pernikahan itu penuh cubaan. Contohnya, jika pasangan anda mengatakan dia baru saja dipecat daripada pekerjaannya, anda hanya punya sekitar lima saat untuk memberikan reaksi positif, untuk menunjukkan hubungan anda lebih kuat daripada segala masalah yang menghambat,” kata Dr Randi. Nah, daripada menangis memikirkan kesulitan hidup yang akan datang dan belum tentu juga sesulit yang anda fikirkan, lebih baik berikan semangat kepada pasangan. Bukan sahaja ia menyelesaikan masalah, malah berupaya untuk membuat pasangan anda tidak patah semangat. Pernikahan 'kan bermakna kesediaan untuk susah senang bersama?'

2. “Awak ‘kan pakarnya...”

“Aset terbaik dalam hubungan adalah jika setiap pasangan mengaku sepenuhnya kekurangan masingmasing,” ujar Dr Randi. Jika memang jejaka dalam hidup anda itu gemar bercucuk tanam, biarkanlah sahaja dirinya mengurus taman kecil di rumah anda. Jangan anda pula yang mengarahkannya. Duduk dan nikmati sahaja kesejukan yang ada. Jangan lupa ucapkan terima kasih kepadanya kerana telah mewujudkan persekitaran rumah menjadi lebih nyaman.

3. “Saya marah!”

Menurut Dr Randi yang sudah 40 tahun menjadi konsultan rumah tangga, berdasarkan pengalamannya, beliau kerap menemui pasangan yang mengatakan: “Saya tidak marah” untuk menghindari konflik. Hakikatnya, keengganan untuk mengakui kemarahan itu hanya akan memperpanjangkan tempoh konflik. Beliau menyarankan agar pasangan yang sedang marah itu mengatakan sahaja keadaan sebenar daripada terus-terusan memendam rasa. Jika disembunyikan, ia umpama bom waktu yang akan siap meledak bila-bila masa sahaja.

4. “Luahkan apa yang awak inginkan.”

Di tengah-tengah pertengkaran sengit antara anda dengan pasangan, sebaik- baiknya, katakanlah kepadanya ungkapan ini sebagai pembuka. Kalimat itu akan memberikan kesan bahawa anda siap mendengar apa jua keluh-kesah yang selama ini membelenggu di dalam benaknya.

5. Katakan langsung kepadanya

Dengan kecanggihan era teknologi dewasa ini, kita hidup dalam era telefon bijak. Namun, adalah satu tindakan kurang bijak jika anda menggunakan telefon bimbit sebagai saluran penyata luahan. Mengirimkan SMS yang mengandungi kata-kata: “Maafkan saya ya...”, ditambah pula dengan ikon sedih tidak mempunyai kesan yang sama jika anda menatap sepasang bebola matanya dan mengungkapkan kata-kata itu dengan tulus dan penuh kesungguhan.

6. “Saya perlukan masa bersendiri...”

Interaksi antara dua orang yang saling menyayangi boleh menjadi sangat serius, tegang dan saling melempar kalimat menyakitkan. Ini saat terbaik untuk meminta masa bersendiri atau time-out. Dalam persekitaran yang sunyi, masing -masing boleh berfikir kembali dalam keadaan tenang dan mulai mengkaji permasalahan.

7. “Awak amat bererti, terima kasih kerana mengingatkan.”

Dalam sesebuah hubungan, komen-komen positif seringkali hanya tersimpan di dalam hati, sementara komen-komen negatif pula begitu deras meluncur. Sedarkah anda bahawa untuk mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan begitu mudah dan singkat. Untuk mengungkapkan kata-kata yang baik pun begitu juga. Katakan yang anda amat mencintainya.

8. “Walau semarah mana, saya tetap cintakan awak.”

Saat ledakan emosi terjadi, setiap pasangan akan bersifat egosentris dan enggan memikirkan perasaan yang lain. Pokoknya semua ingin dimengerti. Hanya ketika keadaan reda, masing-masing akan menyesal kerana menjadi egois. Kesediaan mengucapkan penyesalan secepat mungkin kepada pasangan akan melembutkan hati pasangan. Lebih cepat dilakukan, lebih segera anda kembali harmonis.

9. “Apa yang boleh saya buat?”

Ketika pasangan sedang sedih atau frust, kerapkali dia akan bersikap dingin, menjauh, marah-marah dan membuat anda serba salah. Daripada anda naik radang atau ikut mogok, apa kata anda tanyakan terus kepadanya apakah yang boleh dilakukannya untuk memperbaiki keadaan. Keadaan akan lebih tenang dan insya-Allah huraian bakal turut menjengah.

10. “Saya mahu awak jujur.”

“Intinya, anda akan belajar untuk saling mengerti, sekali gus dapat menjangkakan perkara yang akan membuat pasangan anda marah,” tambah Dr Randi. Jadi, mengapa harus saling menyembunyikan rasa kesal atau perbezaan pendapat? Beritahu kepadanya secara jujur, tenang dan lembut.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

ISU PENDIDIKAN : Empat inisiatif pelan pendidikan diutama


Oleh : Haika Khazi

Putrajaya : Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini.

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan Program Rakan Pembimbing Peningkatan Sekolah (SI Partners) Plus dan Program Jurulatih Khas Peningkatan Sekolah (SISC) Plus di Kedah dan Sabah.

Ia sebahagian usaha membimbing guru Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutama di sekolah yang berada dalam Band Lima, Enam dan Tujuh. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI menerusi Cambridge Placement Test (CPT) dan kemudian guru dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian .

Bagi guru yang tidak mencapai tahap kemahiran ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini, kementerian bercadang melatih 5,000 guru BI, ketika menyampaikan perutusan tahun baru kementeriannya di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, inisiatif PPPM lain dalam Gelombang Pertama 2013, seperti meningkatkan kemahiran berfikiran aras tinggi (HOTS) dalam kalangan murid diteruskan.

Latihan HOTS membabitkan 31,000 guru Sains dan Matematik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga dilaksanakan dengan harapan menjelang akhir Gelombang Pertama, kira-kira 20 peratus soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah berasakan pemikiran aras tinggi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi memperlihat kejayaan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), lapan keberhasilan perlu dicapai menjelang akhir tahun ini, termasuk 100 peratus literasi bahasa Malaysia.

Katanya, keberhasilan lain ialah numerasi Tahun Tiga serta peningkatan ketara literasi bahasa Inggeris (BI).

Ini termasuk memastikan 100 peratus guru opsyen BI lulus satu tahap penguasaan lebih tinggi dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT) serta 50 peratus pengurangan sekolah Band enam dan tujuh di Kedah dan Sabah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Merealisasi budaya politik bermaruah manfaatkan rakyat


Oleh : Akhbar Satar
 
Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) belum diketahui. Tempoh Parlimen sekarang akan berakhir 28 April ini. Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, mempunyai masa kurang daripada empat bulan untuk memilih calon yang bersih dan berintegriti, itu pun jika Parlimen tidak dibubarkan lebih awal.

Sehubungan itu, Transparency International-Malaysia (TI-M) turut serta memastikan calon yang akan bertanding mempunyai integriti yang tinggi. TI-M sudah mengambil inisiatif melancarkan Ikrar Integriti Pilihan Raya. Ikrar ini terbuka kepada semua calon yang bertanding dalam PRU-13 dan yang berminat untuk mengisytiharkan komitmen mereka bagi membangunkan sebuah negara yang bebas rasuah.

Ikrar ini juga menekankan nilai dan akhlak baik yang perlu ditunjukkan calon dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat. Penulis berasakan inisiatif ini adalah satu langkah yang baik bagi meningkatkan integriti politik. Ia menetapkan kepada calon supaya menolak amalan rasuah dan politik wang semasa kempen pilihan raya dan selepas berjaya mewakili sesuatu kawasan.

Kandungan ikrar itu adalah seperti berikut:
  • Memastikan bahawa dana awam, sumber awam dan kemudahan awam tidak digunakan untuk tujuan berkempen.
  • Mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan yang berkaitan, termasuklah pematuhan terhadap had belanja pilihan raya dan larangan terhadap perbuatan rasuah.
  • Memastikan apa juga tindakan dan keputusan mereka adalah demi kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan peribadi. Mereka juga perlu mengamalkan prinsip ketelusan dan keterbukaan melalui pendedahan penuh dan kebebasan capaian maklumat kepada pihak awam.
Kontrak sosial calon

Ikrar ini adalah satu kontrak sosial kepada calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Ia juga perisytiharan terbuka dan sukarela serta akauntabiliti antara calon dan pihak awam. Adalah menjadi tanggungjawab setiap calon untuk menunjukkan tahap integriti dan etika yang sewajarnya dan menepati janji sebagai mana yang diharapkan pengundi.

Selepas ikrar ditandatangani oleh seseorang ahli politik, beliau bolehlah dinilai dan dipantau masyarakat, terutama pengundi. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat sebagai pengundi untuk memastikan bahawa calon dipilih akan mematuhi piawaian yang terkandung dalam ikrar itu.

Rakyat harus bijaksana dalam menilai prestasi kerja, keikhlasan berkhidmat dan keseriusan calon yang bertanding dalam mengangkat taraf kehidupan rakyat dan kemajuan negara tanpa melupakan aspek akhlak.

Walaupun tidak dikuatkuasakan oleh mana-mana badan atau undang-undang, penandatangan ikrar itu perlu membuka akaun rangkaian media sosial, iaitu sama ada Facebook atau Twitter untuk membenarkan komunikasi langsung dengan pengundi yang akan memantau dan memberi maklum balas ke atas tindak tanduk mereka.

Tak ramai berminat

TI-M  melancarkan laman timalaysia-electionpledge.org.my dan menerbitkan butiran mengenai penandatanganan ikrar terbabit, termasuk borang calon yang perlu diisi bakal calon. Dalam borang terbabit, calon perlu menyatakan alasan peribadi mereka menandatangani ikrar itu.

Sebagai EXCO TI-M, penulis mendapati tidak ramai yang berminat kecuali beberapa individu, termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah Anwar. Turut menandatangani ikrar itu ialah sembilan ahli STAR dan seorang lagi ahli PKR, DAP dan PSM.

Saifuddin menganggap integriti adalah faktor utama menentukan keperibadian ahli politik dan menganggap ikrar itu adalah komitmennya kepada rakyat. Beliau berasakan integriti politik terdiri daripada dua perkara utama iaitu membanteras politik wang, rasuah dan salah guna kuasa serta menegakkan nilai budaya politik yang sihat seperti idealisme, politik ilmu, politik bijaksana dan politik bakti.

Anjakan budaya, pemikiran

Bagaimanapun, pengundi akan lebih percaya jika mereka yang dipilih sebagai pemimpin, mematuhi undang-undang yang mereka sendiri gubal dan luluskan serta menghormati institusi pengawasan yang mereka tubuhkan.

Rakyat memerlukan kepemimpinan politik yang berintegriti tinggi dan tidak terbabit dalam kegiatan tidak beretika. Sehubungan itu, nilai murni seperti amanah, tidak terbabit rasuah, jujur, telus, ikhlas dan mengamalkan tadbir urus yang baik perlu ada pada diri pemimpin. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita melakukan anjakan budaya dan pemikiran ke arah merealisasikan budaya politik baru lebih bermaruah dan berintegriti.

Ahli politik bukan saja perlu bersih daripada sebarang imej tidak baik tetapi juga kelihatan bersih. Kebarangkalian dilihat sebagai tidak bersih adalah besar jika calon enggan menandatangani ikrar itu. Bagi penulis, masih belum terlambat untuk mereka melakukan yang betul. Berani kerana benar takut kerana salah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 10 Januari 2013

ISU AGAMA : Istimewa Melayu Malaysia kerana Islam



Oleh : Ahmad Baei Jaafar
        
Pelik juga kalau ada orang Melayu yang dilahirkan sebagai Melayu tetapi tidak berasa bangga dengan kemelayuannya. Namun tidaklah sampai tidak mahu mengaku Melayu. Di mana salahnya Melayu? Lainlah kalau Melayu ini asal usulnya penjenayah, pemberontak dan seumpamanya dan kekal sehingga ke hari ini, tidak mahu saya mengaku Melayu. Malu saya menjadi Melayu.

Rasanya Melayu tidak begitu, tidak tahulah kalau begitu pada zaman purbanya. Sekarang Melayu sudah bertamadun, sudah berada dalam negara merdeka. Jadi, apakah salahnya kalau kita dilahirkan sebagai Melayu. Kalau kita tidak gembira dengan Melayu kita, tentu secara tidak langsung kita telah menyalahkan ibu bapa yang melahirkan kita. Silap-silap pula kita salahkan Allah yang melahirkan kita sebagai orang Melayu.

Sesungguhnya Melayu dan orang Melayu tidak salah apa-apa kerana Melayu hanyalah salah satu bangsa yang diwujudkan Allah bagi tujuan memberi peluang kepada manusia berkenalan antara mereka.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Namun, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat : 13)

Allah takdirkan kita lahir sebagai orang Melayu tentu ada hikmah kebaikannya. Kita boleh berkenalan dengan bangsa lain dan berbaik-baik dengan bangsa lain secara harmoni. Malah lebih patut kita berasa bangga kerana dilahirkan di Malaysia yang secara automatiknya orang Melayu adalah orang Islam. Orang Melayu di sini ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai orang Islam. Maknanya orang Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Jadi, dari segi undang-undang orang Melayu mustahil boleh menjadi murtad. Kenapa?

Yalah, bangsa seseorang tidak boleh bertukar sejak daripada lahirnya sehingga ke tarikh matinya. Katalah orang Melayu berkahwin dengan orang India, maka bangsanya tetap Melayu. Begitu juga orang India itu, dia tetap India walaupun berkahwin dengan orang Cina. Keadaan yang sama akan berlaku kepada bangsa lain seperti Cina atau orang Afrika dan lain-lain. Mereka tetap dikira bangsa itu walaupun sudah bertahun-tahun tinggal di Malaysia. Jadi, orang Melayu selagi berbangsa Melayu dia tetap dikira orang Islam.

Sebenarnya Rasulullah sendiri bangga yang dirinya orang Quraisy dengan katanya, ana (saya) Quraisy. Baginda juga menyebut tentang kepimpinan kota Makkah khususnya Kaabah mestilah dalam kalangan Quraisy. Namun bukanlah Quraisy segala-galanya. Ada juga keburukan pada orang Quraisy di sudut kepimpinan seperti sabdanya yang bermaksud:

“Daripada Nabi SAW sabdanya, sebaik-baik manusia ialah sebaik-baik Quraisy, sejahat-jahat Quraisy ialah sejahat-jahat manusia, sebaik-baik kepimpinan Quraisy adalah sebaik-baik kepimpinan manusia, dan sejahat-jahat kepimpinan mereka adalah sejahat-jahat kepimpinan manusia dan sebaik-baik manusia adalah yang mengikut kebaikan mereka dan sebaliknya seburuk-buruk manusia ialah yang mengikut keburukan mereka.” (Riwayat al-Tabrani)

Jelasnya, setiap bangsa manusia ada baik dan ada jahatnya. Yang penting pada kita ialah mana yang baik kena ikut dan mana yang jahat perlu dijauhi. Oleh sebab itu dalam hal ini baginda mengingatkan umatnya agar tidak taksub kepada bangsa apatah lagi pemimpin. Taksub tersebut Rasulullah sebut sebagai asabiah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Daripada Wasilah bin al-Asqa’; aku bertanya akan Rasulullah SAW. Maka aku berkata, wahai Rasulullah, adakah sebahagian daripada asabiah itu seseorang lelaki mencintai (menyukai) akan kaumnya (bangsanya)? Jawab Baginda: “tidak, tetapi sebahagian daripada asabiah itu, seseorang itu menolong kaumnya atas kerja-kerja kezaliman.” (Riwayat Ahmad)

Dengan hadis ini kita boleh mengesan siapa yang banyak mengamalkan asabiah. Kita boleh menilai sendiri sejauh mana kita menyokong bangsa kita dalam melakukan kezaliman. Kita boleh menilai sejauh mana pemimpin negara ini yang menyokong bangsanya dalam melakukan kezaliman. Kalau semua itu ada pada diri kita atau pemimpin kita, itulah tandanya kita terlibat dalam asabiah. Maka atas kesedaran itu jauhilah perkara itu.

Melayu Malaysia

Isu Melayu ini perlu dijelaskan di sini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan orang Melayu sebagai orang yang lazimnya bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Untuk lebih jelas kita rujuk Perkara 160. 

Tafsiran: "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan ;

(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau

(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Sebenarnya berdasarkan perkara ini, orang Cina atau India yang memeluk Islam sebelum Merdeka dan dia fasih berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu, maka boleh dikira sebagai Melayu. Tetapi jika Islam selepas Merdeka walaupun fasih berbahasa Melayu dan mahu mengamalkan adat Melayu tidak boleh dikategorikan sebagai orang Melayu. Namun kalau dia berkahwin dengan orang Melayu, maka anaknya boleh dikategorikan sebagai orang Melayu menurut perenggan (a).

Berdasarkan perkara ini juga mana-mana orang Indonesia yang menetap di Malaysia selepas Merdeka dan kemudiannya mereka berkahwin dengan pasangan Indonesia juga, maka anak yang dilahirkan itu tidak boleh dikategorikan sebagai Melayu. Walaupun mereka selama ini orang Melayu (Indonesia), tetapi di sudut undang-undang mereka bukan Melayu. Oleh sebab itu mereka tidak layak mendapat hak keistimewaan Melayu di Malaysia.

Berbeza pula kalau mereka itu berkahwin dengan orang Melayu Malaysia, maka anaknya adalah dikira sebagai orang Melayu. Maka atas dasar itu mereka juga boleh mendapat segala keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Malangnya, orang Melayu sendiri tidak faham kedudukan mereka dan status mereka di negara sendiri. Atas ketidakfahaman itulah, banyak hak keistimewaan mereka terlepas begitu sahaja. Sebaliknya, orang bukan Melayu termasuk orang Indonesia boleh dengan senang hati mengambil hak kita. Dan kita sendiri tidak mampu menghalangnya kerana kita tidak tahu hak itu. Barangkali nasib ini padan dengan sikap orang Melayu yang tidak mahu faham apatah lagi yang malas.

Selalunya orang Melayu suka bising apabila telah hilang hak mereka, kita akan bising dan riuh sekampung bila didapati rumah banglow di pinggir kota diduduki oleh orang Indonesia, padahal dia selalu nampak pembinaan itu dibuat oleh orang Indonesia. Kita tidak peka lalu membiarkan aktiviti itu. Baru-baru ini kita bising bila mendapati pemilik gerai ikan dan buah di Pasar Chow Kit itu adalah orang Indonesia dan Bangla.

Yalah, semua itu berlaku kerana kita tidak faham peruntukan perlembagaan itu, tetapi bagaimana dengan pihak berkuasa kerajaan, pemimpin negeri dan pusat, adakah mereka juga tidak tahu dan tidak faham. Inilah masalah yang patut kita sedar kalau kita benar-benar mahu membela orang Melayu. Apakah ertinya kita mendapat keistimewaan itu sedangkan rakyat yang berbangsa Melayu tidak mendapat keistimewaan itu.

Islam Agama Negara

Selain hak orang Melayu kita juga harus bersyukur kerana agama Islam diletakkan sebagai agama persekutuan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka dengan peruntukan itu bukan sahaja setiap orang Islam boleh mengamalkan ajaran Islam dengan bebas malah segala yang berjalan dalam negara ini seharusnya mengikut kehendak Islam. Namun realitinya, peruntukan perlembagaan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa apatah lagi rakyat jelata.

Cuba kita teliti peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikut:

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Apabila perlembagaan menyebut agama bagi Persekutuan bermakna seluruh negara mesti berasaskan Islam. Segala aktiviti di mana-mana bahagian negara mesti berpaksikan Islam. Tetapi persoalannya, apakah peruntukan ini telah dimanfaatkan? Adakah Islam hanya sekadar nama sehingga sesetengah pihak boleh menganggap Islam hanya untuk urusan rasmi negara sahaja?

Saya percaya, anggapan mereka itu adalah berdasarkan realiti pada masa itu. Apa tidaknya, apabila hendak mulakan program, baca al-Quran dan baca doa dan penutupnya dengan doa lagi. Tetapi di tengah-tengahnya apatah lagi kemuncaknya banyak acara maksiat. Keadaan yang sama berlaku dalam program radio dan televisyen.

Melihat realiti itu, saya tidak katakan mereka tersalah faham, tetapi kemungkinan besar mereka sengaja hendak menyindir pihak berkuasa kerajaan. Sepatutnya pihak pemerintah peka dengan peruntukan ini dengan meletakkan Islam dalam segala program. Maka, mana-mana acara yang berlawanan dengan Islam perlu dihentikan. Maknanya setiap orang Islam sama ada pemerintah atau rakyat perlu amalkan Islam dalam kehidupannya.

Apa buktinya? Bacalah perkara 3(1) sehingga habis, bukankah secara jelas disebut; “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. Maknanya apa? Kalau orang bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai di negara ini, tentulah orang Islam lebih berhak lagi untuk mengamalkannya. Kitalah yang sepatutnya mengambil peluang mengamalkan Islam di mana-mana tanpa had.

Malangnya, perkara ini kita tidak ambil kisah. Kita lihat pada hari ini, orang bukan Islam amat serius mengamalkan ajaran mereka termasuk agama Hindu, setiap malam Jumaat dan Ahad sanggup memenuhi kuil. Sedangkan orang Islam, boleh dikira berapa ramai yang boleh pergi masjid dan surau. Malah pada waktu solat Jumaat pun ada yang sanggup ponteng solat. Sedih.

Kita tidak boleh halang orang lain melakukan ibadat mereka kerana Perlembagaan membenarkannya. Tetapi kita seharusnya rasa cemburu dengan mereka kalau kita tidak lebih hebat daripada mereka dalam beribadah. Marilah kita bersaing dalam menuju kebenaran Ilahi kerana peluang itu sudah dibuka luas dalam  Perkara 11. Kebebasan beragama.

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Jelas peruntukan ini memberi kebebasan kepada semua orang untuk mengamalkan agama yang dianutinya. Maknanya orang Islam boleh amalkan semua ajaran Islam sepenuhnya. Kita boleh solat, puasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, kita juga boleh buat yang sunat semahu kita. Pendek kata, apa-apa yang ada dalam ajaran Islam boleh diamalkan tanpa ragu. Kerajaan tidak ada hak untuk melarangnya kecuali kalau ajaran itu hendak dikembangkan kepada orang lain. Maka dalam keadaan ini kita tertakluk kepada Fasal (4) iaitu; “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Maknanya kerajaan negeri dan Wilayah Persekutuan boleh mengawal dan menyekat ajaran sesat atau songsang termasuk ajaran agama lain terhadap orang Islam. Atas sebab itulah mengapa semua guru agama atau pendakwah yang penyebar Islam diwajibkan mendapat tauliah. Bayangkan kalau orang Islam pun tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan Islam kepada orang Islam, tentulah lebih patut orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.

Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak disambut secara serius oleh beberapa kerajaan negeri, lalu mereka tidak segera mengubal enakmen bagi mengawal dan menyekat ajaran agama lain kepada orang Islam. Kita mengenal pasti hanya negeri Kelantan, Kedah, Melaka dan Selangor telah meluluskan enakmen untuk tujuan itu.

Walau bagaimanapun seperti yang dijelaskan di atas, negeri lain  masih boleh mengawal dan menyekat agama lain berdasarkan peruntukan fasal (4) itu, cuma kekuatannya belum terjamin. Hal ini kerana kerajaan melalui pihak berkuasa agama boleh bertindak terhadap mereka tetapi tiada bentuk hukuman yang boleh diambil terhadap mereka.

Tetapi, apakah pihak berkuasa negeri telah lakukan sehingga setakat ini. Kita tidak berani bertindak. Kalaupun ada pihak yang bertindak, orang Islam sendiri yang cuba menghalang. Kita sepatutnya malu kepada Allah kerana kelemahan kita bertindak sehingga menyebabkan agama lain sanggup mencabar kewibawaan kita.

Kita mengaku beragama Islam dan berbangga berada dalam negara Islam, tetapi kita tidak banyak melakukan amalan atau ajaran Islam baik dalam diri mahupun negara. Kalau beginilah keadaan kita, pasti Allah tidak mahu memihak kepada kita.

Semarakkan Amalan Islam

Sebenarnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Undang-undang Islam negeri-negeri, kita sudah boleh menyemarakkan ajaran dan amalan Islam tanpa had. Semua umat Islam boleh melaksanakan semua ajaran Islam tanpa boleh disekat oleh mana-mana pihak apatah lagi orang bukan Islam. Malah kita boleh menyebarkan Islam kepada semua orang termasuk kepada orang Kristian tanpa sebarang sekatan.

Sebagai pemimpin, mereka boleh amalkan ajaran Islam di peringkat kepimpinannya. Setiap program yang dibuat dipastikan menepati ajaran Islam. Mereka amat amanah dan adil kepada rakyat. Dan sebagai rakyat mereka boleh amalkan ajaran Islam tanpa rasa malu kepada pihak lain. Sebagai pelajar pula mereka boleh amalkan ajaran Islam di mana-mana sahaja mereka berada.

Perlu ditegaskan di sini, amalan Islam terdapat dua kategori; fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain yang melibatkan persoalan akidah, syariah dan tasauf menjadi tanggungjawab setiap orang. Maka ketiga-tiga itu boleh kita laksanakan dalam kehidupan ini tanpa dihalang oleh sesiapa pun. Manakala fardu kifayah yang melibatkan aktiviti umum dan kerja profesional tidak melibatkan semua orang. Maka sesiapa yang berkemampuan melaksanakannya lakukanlah, asalkan perkara itu boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

Sehingga ke setakat ini, cuba kita bertanya kepada diri sendiri, sudahkah kita lakukan semua itu? Kalau sudah lakukannya apakah selama ini terdapat halangan? Saya pasti tidak ada pihak yang menghalang kecuali nafsu dan syaitan. Kerajaan tidak mungkin akan bertindak menghalang aktiviti kita kecuali kalau amalan kita itu bercanggah dengan peraturan dan ajaran Islam.

Kalau begitu, jangan salahkan orang lain kalau kita belum mampu melakukan segala ajaran atau amalan Islam. Untuk itu, perlu ada satu pihak yang boleh turun padang bagi mengingatkan umat Islam yang masih tidur untuk melaksanakan ajaran Islam. Percayalah kalau semua umat Islam boleh laksanakan Islam dengan serius, orang bukan Islam tentu takut untuk menggugat keimanan umat Islam.

Selain itu kita juga perlu tahu membezakan antara tanggungjawab kita sebagai rakyat dengan tanggungjawab kerajaan dalam mengamalkan Islam. Jadi, mana-mana tanggungjawab kita lakukan sepenuhnya, tetapi mana-mana tanggungjawab kerajaan biar pemimpin yang memikirkannya. Ketahuilah, kita tidak berdosa atas kesalahan pemimpin. Namun sebagai rakyat kita ada saham jika menyokong kepimpinan yang enggan melakukan tanggungjawab tersebut.

Jadi, kalau anda mengaku orang Melayu marilah kita menyemarakkan amalan Islam di negara ini dengan serius. Dengan sebab itu kita boleh berbangga bahawa kita berada dalam negara Islam.

Sumber : http://baei.blogspot.com/