Ahad, 13 Januari 2013

ISU KENEGARAAN : Pilihan raya ke-13 pemisah zaman


Oleh : MUHAMMAD ALI HASHIM

2013 tahun penentu yang pasti membawa kesan besar terhadap hala tuju negara dan destinasi masa depan bangsa Malaysia, kerana PRU13 akan diadakan dalam tahun ini. Bangsa Malaysia keturunan Melayu dan umat Islam tidak wajar terpengaruh kepercayaan superstition Barat, bahawa cantuman dua “13”, iaitu PRU13 dalam tahun 2013 membawa implikasi tidak baik dan satu petanda celaka atau malang. Ini bukan kepercayaan kita.

Apa pun, saya yakin bagi ramai warga Malaysia PRU13 berpengertian besar dan kritikal kerana ia dilihat sebagai satu watershed atau turning point dalam sejarah politik negara. Pada saya, PRU13 satu peristiwa pemisah zaman, satu proses pendewasaan negara dari zaman remaja ke zaman dewasa politik berdemokrasi.

Pembaharuan

Ramai merasakan suatu pembaharuan besar pasti berlaku selepas PRU13 - change is in the air! Tegasnya, tidak kira pihak mana menang menerajui politik negara, PRU13 mencorak semula landasan dan senario politik dengan memantapkan sistem demokrasi dwi-parti yang dijangka mewarnai kehidupan bangsa dalam dekad mendatang.

PRU13 berlaku sedang negara dalam peringkat awal perubahan menuju ke jurusan politik dominasi dwi-parti. Persaingan politik dwi-parti sememangnya lebih sengit dan panas kerana sifat asasi adversarialnya, iaitu berlandaskan politik berpembangkangan. Apa pun, ia satu kematangan kerana rakyat mendapat pilihan mengguna kuasa majoriti PRU menentukan pemerintahan. Sebenarnya, dalam amalan demokrasi, bukan memilih pemerintah sahaja yang penting. Lebih penting lagi ialah rakyat mempunyai pilihan parti alternatif untuk menolak pemerintah andainya tidak disenangi atau gagal menepati aspirasi politik mereka.

Tegasnya, warga negara Malaysia perlu bersedia menghadapi suasana politik bergelora yang mengancam kestabilan dekad mendatang. Paling penting, bangsa Melayu dan umat Islam khasnya perlu bijak melayari perahu negara, supaya dalam suasana bergelora dan tidak menentu, kita tidak pula cemas sampai lemas. Dengan kata lain, dalam kemelut berebut kerusi dan kuasa PRU mendatang, jangan kita hilang akal sampai kemudi negara langsung terlepas tangan dan perahu bangsa hanyut atau karam.

Pendewasaan politik, antara lain, juga menuntut Malaysia memperbaharui dan memantapkan institusi asas demokrasi. Sebagai contoh, pendewasaan politik memerlukan negara menjamin kebebasan semua pihak, khasnya pembangkang, menyuarakan pendapat dan pandangan sama ada pro atau kontra dengan kebebasan penuh semua saluran media. Media rasmi kerajaan harus menyampai dan menyebarluaskan informasi dan pandangan secara adil dan seimbang.

Semua ini menuntut ketelusan, keterbukaan dan kebebasan melontar isu dan menzahirkan pandangan, sekali pun dengan menunjuk perasaan dan berdemonstrasi. Jika selama ini kebebasan terhad dan disekat, menyebabkan pandangan dan suara rakyat tertekan, pendewasaan menuntut semua had, sekatan dan tekanan diketepikan dengan bijak, berhemah dan teratur. Jika semua ini dapat kita sempurnakan, ia petanda baik bagi masa depan.

Kesempatan menerajui peralihan zaman

2013 juga tahun peralihan besar antarabangsa. Sebenarnya seluruh dunia berada dalam situasi peralihan zaman kerana senario politik dan sosioekonomi antarabangsa juga sedang pesat berubah dan dalam proses mencorak semula kehidupan dan tamadun manusia. Paling ketara, pemisahan zaman antarabangsa membabit-membabitkan perpindahan paksi kuasa dunia dari tangan Barat ke tangan Timur.

Kemerosotan Barat (terutama Amerika Syarikat) dan kebangkitan Republik Rakyat China menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia berimplikasi besar dan luas. Bagi Malaysia khasnya dan umat Islam amnya, fokus utama ialah mempertahankan kehidupan umat daripada ditenggelami tsunami Timur yang datang menerusi kebangkitan kuasa baru dunia kombinasi Republik Rakyat China, Jepun dengan Korea Selatan.

Apakah umat Islam rela, setelah berabad didominasi kuasa Barat, dalam suasana pembaharuan zaman kali ini kita pula tunduk didominasi kuasa Timur? Apa implikasi semua ini kepada masa depan umat? Di mana kedudukan kita sebagai 'umat terbaik' yang dijanjikan kedudukan khalifah di muka bumi? Apa yang wajib kita lakukan untuk menjadikan janji ini satu realiti?

Umat Islam sebenarnya sedang berada dalam krisis paling serius, diancam dari segala sudut dan penjuru, sama ada berpunca dalaman mahupun ancaman hebat bukan Islam dari luar. Pergolakan, konflik dan pertumpahan darah berpanjangan dunia Islam serta ledakan Revolusi Arab (yang masih belum sampai ke penghujungnya) antara petanda mewajibkan bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia bangkit menangani pembaharuan dengan penuh hikmah dan bijaksana untuk mengelakkan mala petaka.

Tegasnya, peralihan zaman juga membawa suasana krisis, cabaran dan kesukaran besar, sama ada dalam negara mahu pun antarabangsa. Untuk mengatasi krisis dengan baik, kita wajar melihat krisis dan kesukaran sebagai 'API' dalam erti kata ia mengandungi tiga elemen penting, iaitu pertama: Ancaman, kedua: Peluang dan ketiga: Ikhtiar. Dengan kaedah ini krisis tidak hanya mengandung erti negatif melemahkan, malah positif memberangsangkan.

Sesungguhnya, sama seperti api, krisis mengancam dan boleh membakar diri. Namun kita tidak perlu takutinya hingga lari menyepi menjauhkan diri. Kerana apabila jauh dari api, kita akan kegelapan, atau terpinggir kesejukan. Justeru kita perlu bijak menangani setiap ancaman api krisis atau kesukaran. Kita mesti merapati dan memanfaatkan peluang daripadanya, kerana dalam krisis dan kesukaran sentiasa terdapat peluang, paling kurang untuk memperbaharui.

Bagi umat Islam, kita berulang kali diingatkan dalam setiap krisis atau kesukaran ada kemudahan. (Lihat al-Quran, 94: 5 dan 6; juga 2: 185). Justeru, elemen ketiga paling penting dalam menangani dan mengatasi ancaman api krisis ialah berikhtiar bersungguh-sungguh mencari kemudahan kurniaan Tuhan, iaitu menggunakan segala daya, usaha, hikmah dan kebijaksanaan mencari jalan keluar terbaik.

Leraikan bisnes daripada politik

Andainya politik adversarial bercirikan pembangkangan mengancam perpaduan dan menggugat kestabilan negara dan kerananya Melayu pula berkonflik dan berkrisis berpanjangan, bangsa Melayu dan umat Islam mesti bijak mempertahan dan melindungi kepentingan asas bangsa dan negara. Kepentingan asas bangsa yang wajib dipertahan dan dilindungi dalam apa jua keadaan ialah pertama, agama dan nilai hidup; dan kedua, kepentingan ekonomi dan bisnes sumber rezeki kehidupan. Kedua-duanya tidak wajar dibiar terhakis pergolakan politik adversarial, dikompromi, dijual-beli atau diperdagangkan semata-mata untuk meraih undi dan populariti merebut kuasa dan kerusi.

Bahaya dan ancaman terbesar kepada bisnes dan ekonomi berbangkit apabila perjuangan merebut kuasa politik mengheret bisnes dan ekonomi Melayu ke kancah kepentingan politik melampau kepartian atau keperibadian pemimpin berkuasa. Apabila berleluasa, harta dan sumber milik awam serta khazanah negara sekalipun boleh habis digadai semuanya, memusnahkan kepentingan jangka panjang bangsa, agama dan negara.

Politik melampau kepartian juga cenderung mengkerajaankan dan mempolitikkan semua, menyebabkan kedua-dua parti, sama ada pemerintah mahu pun pembangkang, bertindak cantas-mencantas hingga memusnahkan semua, merugikan bangsa dan negara. Sesungguhnya kita mengharapkan PRU13 pemisah zaman dapat meleraikan (decouple) bisnes dan ekonomi daripada terlampau dipolitikkan atau dikerajaankan. Semoga GLC Malaysia khasnya, iaitu benteng terakhir ekonomi bangsa, dapat diautonomikan dengan teraju pengurusan GLC diserahkan kepada ahli korporat profesional dan tidak kepada aktivis politik sepenuh masa, pesara politik kitar semula, atau kroni dan proksi politik berkuasa.

Paling penting, jangan sekali GLC, syarikat strategik milik GLC atau harta dan sumber awam khazanah negara diswastakan, malah diinstitusikan dan di angkat kedudukannya mengatasi politik, iaitu ke tahap above politics. GLC strategik harus diiktiraf institusi korporat amanah bangsa, dan antaranya ditransformasi menjadi institusi Waqaf Korporat dilindungi penguasa politik dan dikembangkan berkekalan untuk manfaat generasi masa depan.

Dengan cara ini pemisahan zaman yang dicetus PRU13 bukan petanda buruk. Malahan ia sesuatu yang wajar dialu-alukan sebagai pembawa pembaharuan untuk dimanfaatkan bangsa Melayu dan umat Islam khasnya. Kita harus merebut kesempatan pemisahan zaman memperkukuh benteng bisnes dan ekonomi bangsa di samping menegakkan syiar Islam dan menginstitusikan keadilan ekonomi untuk kemakmuran dan kesejahteraan berpanjangan.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

Sumber : http : //www.sinarharian. com.my/

ISU SUKAN : Chong Wei juara Terbuka Korea


KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai pemain nombor satu dunia dengan mempertahankan gelaran juara Terbuka Korea di Olympic Gymnasium 2 di Seoul, hari ini.

Pemain pilihan utama dan pemenang pingat perak Olimpik London 2012 ini hanya mengambil masa 42 minit untuk menundukkan pemain pilihan keempat Du Pengyu dari China 21-12, 21-15 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki kejohanan itu.

Tahun lepas, Chong Wei mengalahkan pesaing utamanya Lin Dan dari China untuk meraih gelaran juara kali kedua Terbuka Korea melalui perlawanan rubber set, 12-21, 21-18 21-14, manakala gelaran juara kali pertama kejohanan ini diraihnya pada 2010 setelah mengalahkan pemain Denmark Pete Gade Christensen.

Sementara itu, China dan negara tuan rumah masing-masing muncul juara dalam dua kategori.

Beregu wanita nombor lima dunia Yu Yang/Wang Xiaoli dari China mengalahkan rakan senegara mereka Ma Jin/Tang Jinhua, 21-17, 21-13 untuk muncul juara dalam kategori wanita.

China meraih gelaran juara kedua melalui Zhang Nan/Zhao Yunlei, yang mengalahkan rakan senegara mereka Xu Chen/Ma Jin, 13-21, 21-16, 21-13 pada perlawanan akhir beregu campuran.

Pemain bukan pilihan Sung Ji Hyun dari Korea Selatan membuat kejutan dengan mengalahkan pemain pilihan keempat Wang Shixian dari China dengan mata 21-12, 22-20 untuk menjuarai kategori perseorangan wanita.

Beregu pilihan keenam Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dari Korea Selatan pula muncul juara setelah menumpaskan beregu lelaki nombor satu dunia Mathias Boe/Cartsen Mogensen dari Denmark 19-21, 21-13, 21-10 dalam perlawanan selama sejam.

Pemenang kategori beregu menerima hadiah AS$79,000 (RM238,619), juara perseorangan AS$75,000 (RM226,537), manakala naib juara bagi semua kategori menerima hadiah AS$38,000 (RM114,779). - Bernama

ISU BAHASA : Menyuburkan bahasa, menyemarakkan pemikiran


Oleh : Zin Mahmud

BANYAK bahasa di dunia yang kini sudah tiada. Termasuklah bahasa-bahasa besar seperti Latin dan Sanskrit.

Kini, banyak perkataan Latin terdapat dalam bahasa Itali, Sepanyol, malah juga Inggeris.

Begitu juga dengan Sanskrit. Perkataan-perkataan daripada bahasa itu turut diwarisi bukan saja ke dalam bahasa Hindi tetapi juga ke dalam bahasa Melayu, Thai dan Khmer.

Ini kerana Sanskrit pernah menjadi bahasa pemikiran di Nusantara ketika wilayah ini menganut Hindu dan Buddha. Setelah datangnya Islam, maka pemikiran wilayah ini kuat dipengaruhi bahasa Arab.

Tetapi apabila Belanda menjajah Hindia Timur dan Inggeris di Malaya, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa pemikiran. Bahasa ilmu adalah bahasa Belanda dan Inggeris.

Cuba bayangkan jika penjajah Belanda memaksa bahasanya ke atas semua penduduk Hindia Timur maka apabila Indonesia berjuang untuk kemerdekaan, maka para nasionalis di situ mungkin mengambil  bahasa Belanda sebagai bahasa penyatuan seperti mana India yang merdeka mengambil bahasa Inggeris.

Sementara di Malaya pula, andai kata Malayan Union berjaya ditubuhkan, maka besar kemungkinan bahasa rasmi negeri ini adalah bahasa Inggeris.

Jika perkara ini tidak menimbulkan perasaan peka di kalangan orang Melayu, maka setelah beberapa generasi, bahasa ini juga pupus. Seperti mana juga kini tulisan jawi telah pupus, maka begitu jugalah bahasa Melayu jika orang dahulu tidak mempertahankan untuk menjadikannya bahasa kebangsaan bagi Malaysia.

Itulah realitinya. Tanpa usaha menyuburkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia, bahasa ini boleh hilang seperti terpupusnya banyak bahasa lain di dunia. Jika rakyat Malaysia tidak mahukan bahasa Melayu, maka ia akan hilang selepas beberapa generasi saja. Dengan kehilangannya, pemikiran dalam warisan Melayu juga akan turut hilang.

Rabu lalu, agensi berita Associated Press ada menyiarkan satu laporan mengenai satu bahasa yang sedang terpupus.

Bahasa itu bernama Kanakanavu yang kini hanya boleh dituturkan oleh sepuluh orang di kampung Dakanua di Taiwan. Apabila orang ini tiada kelak, pastinya bahasa ini juga pupus.

Kanakanavu adalah salah satu daripada banyak bahasa orang asli di Taiwan. Hanya dua peratus daripada 23 juta penduduk Taiwan terdiri daripada orang asli.

Kerajaan Taipei mengiktiraf 14 bahasa orang asli. Empat daripadanya masih dituturkan oleh ribuan orang. Kanakanavu pula adalah antara yang sedang pupus.

Seorang ahli bahasa di Universiti Kebangsaan Taiwan, Sung Li-may sedang berusaha untuk menyelamatkan bahasa ini daripada kepupusan.

Banyak orang asli Taiwan meninggalkan bahasa ibundanya dan mengambil bahasa China yang dominan di pulau itu untuk survival.

Dalam laporan itu, Sung memberitahu bahawa Kanakanavu ini adalah salah satu bahasa yang terdapat dalam rumpun Austronesia.

Katanya rumpun bahasa ini bermula dari Taiwan 4,000 tahun lalu. Daripadanya ia berkembang hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik hingga ke Madagascar di Afrika.

Ada satu perkataan dalam bahasa lama orang asli Taiwan, iaitu galinga. Dalam dialek bahasa orang asli moden Taiwan, ia menjadi calinga. Dalam bahasa Tagalog, ia menjadi tainga. Dalam bahasa Fiji ialah dalinga. Samoa pula talinga dan di Papua New Guniea, ia adalah taringa.

Dalam bahasa Melayu, perkataan itu ialah telinga.

Ada orang asli Taiwan yang berkunjung ke New Zealand mendapati bahawa bahasa Maori mempunyai banyak perkataan sama dengan mereka, terutama nama angka.

Ahli arkeologi Peter Bellwood dan ahli bahasa Robert Blust menampilkan teori bahawa orang purba Taiwan mempunyai kemahiran laut yang hebat hingga mereka belayar dan berhijrah ke Asia Tenggara di selatan dan pulau-pulau Pasifik di timur. Juga ke Madagascar di Afrika dengan membawa bahasa mereka.

Rumpun bahasa inilah yang disebut Austronesia atau kepulauan selatan termasuklah Nusantara.

Ibu negara Madagascar bernama Antananarivo. Ada pengkaji menyatakan bahawa ia bermaksud tanah seribu. Dalam bahasa mereka, Malagasy, pokok kelapa dipanggil nyior.

Rumah tradisi mereka juga mempunyai tiang dan reka bentuknya tidak berbeza daripada rumah Melayu di Sumatera. Sementara cara mereka menanam padi secara bertingkat-tingkat adalah seperti yang dilakukan di Jawa dan Filipina.

Haiwan pada lambang negara Madagascar ialah kerbau. Kerbau, seladang dan banteng sememangnya haiwan tradisi di Nusantara. Menurut kisah purba, negeri Minangkabau itu adalah hasil daripada menang dalam perlawanan laga kerbau. Haiwan ini juga muncul dalam lambang negara Indonesia. Di Filipina, ada jenama pakaian Carabao dengan lambang kerbau.

Dalam rumpun bahasa dan bangsa yang luas ini, muncullah bahasa Melayu yang kini menjadi bahasa kebangsaan Indonesia dan Malaysia.

Tetapi bahasa hanyalah alat untuk mengungkapkan pemikiran. Ia akan menjadi besar jika penutur menggunakannya secara meluas dan mendalam. Mendalam, bermaksud pemikiran.

Pemikiran pula adalah hasil daripada perbahasan. Bahas menjadi bahasa. Kalau tidak ada perbahasan, tidak muncul bahasa. Sementara untuk berbahas, pemikiran perlu diasah dan dicerahkan.

Melihat buku-buku yang diterbitkan di Indonesia, seseorang akan mendapati banyak tajuk yang dibahaskan di sana. Kesusasteraan memperkayakan bahasa. Tetapi buku-buku bukan fiksyen pelbagai tajuk juga adalah penting untuk tamadun bangsa.

Pengguna Bahasa Malaysia tidak wajar memencilkan diri daripada Bahasa Indonesia. Itulah sebabnya ejaan bagi kedua bahasa disamakan pada tahun 1972.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 12 Januari 2013

ISU EKONOMI : Warga asing ambil alih hak rakyat


Oleh :  ROHAMI SHAFIE

SEMASA era penghujung tahun 1980-an, warga asing mula berhijrah ke Malaysia untuk bekerja sepenuh masa. Ketika itu, kebanyakan pekerja asing terdiri daripada rakyat Indonesia sahaja. Kedatangan mereka disambut baik oleh rakyat Malaysia kerana mereka telah banyak membantu membangunkan ekonomi negara.

Tahun 1990-an, Malaysia telah beralih sepenuhnya daripada sebuah negara berpaksikan pertanian kepada negara berteraskan industri. Banyak kilang dibina, maka, mahu tidak mahu Malaysia terpaksa mengimport warga asing. Rakyat kita tidak terkecuali mula bekerja di kilang terutamanya wanita muda.

Pekerjaan sebagai pembantu rumah atau amah sudah tidak digemari oleh wanita muda tempatan. Bagi mereka, bekerja sebagai pekerja kilang lebih bebas. Trend perindustrian di Malaysia berterusan dengan pesatnya telah membawa warga asing datang bekerja ke Malaysia. Mereka ini bukan sekadar bekerja sebagai pekerja perindustrian, malahan kedatangan wanita warga asing sebagai pembantu rumah mengambil alih peranan wanita Malaysia.

Kemajuan perindustrian di Malaysia telah meningkatkan ekonomi negara. Lebih banyak bangunan-bangunan baru dibina dan sekali lagi kita terpaksa mengimport buruh asing. Meskipun negara kita pernah mengalami kemelesetan ekonomi 15 tahun yang lalu, namun demikian jumlah warga asing yang datang bekerja ke Malaysia tidak pernah berkurangan.

Jumlah mereka semakin bertambah sehinggakan mereka semakin berani dalam banyak segi.

Pertama, jumlah kadar jenayah seperti merompak, pelacuran, menipu, merogol dan pecah rumah semakin bertambah dalam kalangan warga asing.

Kedua, mereka bermaharajalela berniaga di negara kita tanpa langsung rasa gentar dikenakan tindakan.

Ketiga, mereka berani mengganggu penduduk tempatan terutamanya gadis-gadis tempatan.

Keempat, mereka semakin berani membuat kacau seperti bergaduh sesama sendiri sehingga menakutkan penduduk tempatan.

Kelima, mereka semakin berani mengimport budaya buruk kehidupan mereka ke negara kita seperti mengemis di jalan raya yang sesak dengan kenderaan dan minum minuman keras di khalayak ramai.

Jumlah mereka yang semakin ramai menyebabkan keselamatan negara kita boleh tergugat pada bila-bila masa sahaja. Bayangkan apa yang akan terjadi jika mereka melakukan rusuhan secara besaran-besaran. Mampukah pihak penguatkuasa menangani mereka ketika rusuhan berlaku?

Tidak terkecuali mereka ini jugalah boleh dibayar untuk berarak di jalanan dengan mengadakan pelbagai demonstrasi yang ditaja oleh pihak tertentu. Amat menghairankan, pihak penguat kuasa tidak mengambil satu tindakan secara holistik menangani pendatang asing.

Yang ada, tindakan-tindakan kecil yang tidak langsung menakutkan mereka, jauh sekali membanteras kegiatan jenayah mereka. Mereka tidak gentar mengulangi kegiatan mereka. Umpamanya, acap kali kita dengar serbuan dibuat terhadap kelab-kelab malam yang menjadi sarang pelacuran warga asing. Meskipun diserbu berpuluh-puluh kali sekali pun, warga asing tetap bermaharajalela melakukan kegiatan terkutuk tersebut.

Satu lagi yang amat membingungkan penulis apabila mereka ini terang-terangan berniaga. Bukan sekadar berniaga di gerai-gerai tepi jalan, tetapi ada dalam kalangan mereka berniaga menggunakan premis. Tidak cukup dengan itu, bahasa yang digunakan pula bahasa ibunda mereka.

Jenguk-jenguklah di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan Taman Tanming Jaya, Balakong. Premis di Jalan TAR terang-terangan menggunakan bahasa Indonesia manakala sebuah premis perniagaan di Taman Tanming Jaya pula tertera bahasa Myanmar. Di manakah pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Cukup membinggungkan kerana kita sendiri sebagai warga Malaysia tidak berani dengan mereka sedangkan mereka pula saban hari semakin berani dan bermaharajalela. PBT sepatutnya membantu pihak penguat kuasa yang lain terutamanya imigresen untuk membanteras kegiatan warga asing.

Sebaik-baiknya mereka ini tidak langsung diberi muka untuk berniaga. Bagi warga negara Malaysia yang menjual premis atau menyewa premis perniagaan kepada warga asing, mereka ini perlu diambil tindakan paling tegas. Mereka inilah antara faktor penyebab warga asing semakin berani dan menidakkan hak rakyat tempatan.

Malahan, tidak keterlaluan dikatakan mereka ini jugalah yang menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berada dalam keadaan ketakutan kerana semakin ramai warga asing datang ke Malaysia. Bagi mereka, Malaysia tempat yang mudah untuk berniaga.

Di negara asal mereka, mereka bukan sahaja tidak dibenarkan berniaga, malahan mereka ditindas dengan teruknya. Di Malaysia, kita terlalu memberi muka terhadap warga asing sampaikan nasib rakyat Malaysia dipinggirkan.

Warga asing yang datang ke Malaysia kini terdiri dari pelbagai negara. Warga asing dari negara Afrika pula semakin bertambah dari semasa ke semasa. Mereka ini cerdik untuk menipu warga tempatan. Sudah begitu banyak kerugian wang ringgit yang melibatkan warga tempatan. Tetapi mana perginya tindakan ke atas mereka?

Amat membimbangkan jika keadaan ini tidak ditangani dengan baik, suatu hari nanti, warga asing akan menguasai Malaysia dengan penguasaan ekonomi negara.

Jika ini berlaku, kita sudah tidak bebas dalam erti kata sebenar. Ini tidak mustahil berlaku kerana sudah nampak petanda mereka semakin menguasai perniagaan dan ekonomi. Tangani segera sebelum terlambat demi anak cucu cicit kita. Menyesal kemudian tiada gunanya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 11 Januari 2013

ISU AGAMA : Tujuh panduan pengukuhan iman


Oleh :  Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Tahun baru ini pekerja perlu meningkatkan semangat dengan azam untuk terus menjadi pekerja Muslim yang profesional serta berdaya saing. Ini antara cabaran dalam Wawasan 2020, mewujudkan masyarakat bermoral, beretika tinggi dan profesional dalam menjalankan perkhidmatan.

Antara usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai tahap pekerja profesional ialah dominasi hati melalui pengukuhan dan penambahan iman. Sentiasa meletakkan kepercayaan, keyakinan, kecintaan dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam segenap pelakuan.

Firman Allah SWT: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (Surah al-Hadid, ayat 7)

Pengukuhan iman bertujuan mengelakkan kesibukan dan tekanan kerja menjadi penyebab kelalaian daripada mengingati Allah SWT.

Peringatan kelalaian

Peringatan Allah SWT: Wahai orang yang beriman. Janganlah sampai harta kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Siapa yang melakukan sebegitu, mereka tergolong dalam kalangan orang yang rugi. (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Pekerja profesional ialah pekerja yang mempunyai pengetahuan tentang pekerjaan yang dilakukan dan melaksanakannya dengan mahir. Aspek pengetahuan bagi profesional Muslim sebagai asas kerja ialah mengusahakan yang baik lagi halal untuk mencapai keredaan Allah SWT.

Tujuh panduan

Justeru, tujuh panduan pengukuhan iman bagi pekerja ialah pertama, memperteguhkan niat bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT supaya apa juga yang kita kerjakan tidak menjadi sia-sia atau merugikan.

Firman Allah SWT: Ada antara manusia yang menyembah Allah kerana sesuatu tujuan, jika dia mendapat kebaikan dia akan bertenang dengan apa yang didapatinya, dan jika dia diuji sedikit, dia berpaling wajah daripadanya, orang ini akan rugi dunia dan akhirat. (Surah al-Haj, ayat 11)

Kedua, memperteguhkan hati dan akal dengan sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap titik peluh dari pada kesungguhan usaha adalah suatu ibadat, sedekah serta penghapus dosa.

Kesanggupan sahabat seperti Saidina Uthman bin Affan yang berkorban jiwa dan harta antaranya menyiapkan kelengkapan perang serta membeli perigi bernama Raumah untuk kemudahan air kaum Muslimin perlu menjadi iktibar.

Sabda Rasulullah SAW: Ya Allah redailah Uthman kerana sesungguhnya aku telah meredainya. Mulai hari ini apa yang dilakukan oleh Uthman tidak akan merugikannya (dia boleh berbuat apa yang dia mahu dan Allah telah mengampuninya). (Hadis Sahih)

Ketiga, mengukuhkan nilai baik dan mengikis nilai buruk dalam diri juga adalah sebahagian daripada usaha pengukuhan iman.

Firman Allah SWT: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, dan mereka mendirikan solat. (Surah al-Taubah, ayat 71)

Keempat, menerima dengan sabar serta meredai sesuatu yang diperoleh sama ada disukai atau tidak setelah ia diusahakan dalam proses kerja juga sebahagian daripada iman.

Firman Allah SWT: Barangkali ada yang kamu membenci sesuatu padahal itu adalah lebih baik bagi kamu. (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Kelima, menganggap setiap hari adalah hari yang terbaik seperti Jumaat dan setiap bulan adalah bulan yang paling mulia seperti Ramadan untuk memotivasikan diri merebut kebaikan pada setiap masa dan ketika.

Keenam, membayangkan seolah-olah kerja kita hari ini adalah kesempatan usaha yang terakhir kerana dengan mengingati mati dapat menghidupkan hati.

Banyak mengingati mati

Imam al-Ghazali dalam Mukasyafah al-Qulub, menukilkan daripada Ibn Umar meriwayatkan bahawa beliau mendengar seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW: Siapakah orang yang bijaksana lagi mulia di antara manusia? Baginda menjawab: Orang yang paling banyak mengingati mati dan menyediakan dirinya untuk itu. Ia adalah manusia yang bijaksana kerana telah membolot kemuliaan dunia dan kelebihan akhirat.

Ingatan kepada ajal yang tidak diketahui bila akan mengundang, dapat memperteguhkan iman untuk melaksanakan kerja dengan sebaik-baiknya.

Ketujuh, memperteguhkan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT dalam setiap gerak geri melalui doa, selawat, zikir dan membaca al-Quran juga adalah sebahagian daripada iman.

Justeru, sebagai pekerja Muslim yang berazam ke arah profesionalisme, marilah kita menguatkan hati dan minda dengan pengukuhan iman sepanjang hayat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa mesti terbabit dalam proses pembelajaran


Oleh : Azrina Sobian
 
Bab tujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Negara Malaysia (2013-2025) bertujuan menggalakkan pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak dengan hasrat akhirnya, akan berubah daripada pendidikan berasaskan sekolah kepada suatu sistem yang mengupayakan pembabitan ibu bapa.

Ibu bapa diharapkan dapat menjadi rakan dalam pendidikan yang akan memastikan pelajar mendapat pendidikan bermutu tinggi. Bagi meningkatkan peranan ibu bapa, usaha berbentuk kesedaran akan dilaksanakan supaya ibu bapa memahami peranan mereka dalam pendidikan anak.

Usaha pembaharuan pendidikan negara dengan pengupayaan pembabitan ibu bapa satu berita yang disambut baik. Namun, usaha ini juga apabila difikir lebih lanjut menimbulkan persoalan yang mencabar.

Pertama, adakah selama ini ibu bapa di Malaysia tidak memahami peranan mereka dalam pendidikan anak sehingga satu pelan diperlukan untuk menarik ibu bapa kembali ke sekolah? Adakah setakat ini tahap pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak amat rendah?

Adakah ibu bapa sedar sekolah memerlukan kerjasama mereka untuk membentuk anak atau adakah selama ini ibu bapa beranggapan tanggungjawab mendidik anak adalah tugas guru semata-mata?

Jelas sekali, ramai ibu bapa yang salah faham dan terlupa peranan mereka dalam pendidikan anak. Ada yang secara sedar atau tidak telah meletakkan tanggungjawab pendidikan anak kepada pihak sekolah semata-mata. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Sekurang-kurangnya, dalam konteks pandangan hidup Islam, individu utama yang seharusnya memainkan peranan dalam pendidikan anak ialah ibu bapa, diikuti guru dan kemudian barulah ahli masyarakat keseluruhannya.

Namun, aturan kepentingan ini semakin goyah mungkin disebabkan kelalaian ibu bapa. Hadis Rasulullah SAW sebenarnya sudah memberi panduan jelas kaedah mendidik anak yang boleh dicontohi ibu bapa.

Selain pengabaian, kemungkinan ada ibu bapa yang tidak pasti cara untuk terbabit dalam proses pendidikan anak di sekolah. Selain itu, mungkin juga timbul rasa tidak yakin terhadap sumbangan yang boleh dihulurkan dalam proses pendidikan itu.

Tidak tahu dan tidak yakin ini akan memberi kesan dalam usaha membabitkan ibu bapa dalam proses pendidikan anak. Bagi mengatasi masalah ini, ilmu pengetahuan sememangnya penting selain sikap keterbukaan serta kreativiti ibu bapa.

Mungkin ada ibu berstatus suri rumah tangga beranggapan tidak ada apa yang boleh disumbangkan dalam proses pendidikan anak di sekolah. Hakikatnya, banyak yang boleh diajar ibu kepada anak-anaknya, khususnya dalam membimbing mereka mengenai kelangsungan hidup dengan membiasakan melakukan kerja rumah, cara bergaul dengan golongan dewasa melalui komunikasi bersama dan perkara asas yang sepatutnya diketahui anak.

Kemahiran ibu sebagai suri rumah boleh dikongsi dengan anak dan dimanfaatkan mereka apabila dewasa kelak. Pembelajaran tidak terhad kepada aktiviti di sekolah saja kerana anak-anak turut menimba ilmu ketika mereka berada di rumah.

Memang ilmu asas yang dididik guru di sekolah seperti membaca, menulis, ilmu sains, matematik, bahasa itu penting, namun dalam menjalani hidup bermasyarakat, anak juga perlu didedahkan dengan adab berjiran, menghormati orang lain serta memelihara adab sopan.

Pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak secara langsung memang penting, bermakna mereka perlu tahu semua keperluan serta proses pembelajaran. Ini hanya akan diperoleh apabila mereka menjalinkan hubungan baik dengan guru dan pihak sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : 10 ungkapan penyejuk hati pasangan


Semasa pertengkaran, pelbagai ungkapan menyakitkan mungkin diluahkan. Apakah kalimah-kalimah yang seharusnya menjadi amalan?

Ramai yang kerap mengatakan bahawa komunikasi adalah kunci ke arah pernikahan yang harmonis. Tetapi mengapa dengan adanya komunikasi, hubungan masih tetap bergolak? Pakar psikologi klinikal yang juga kaunselor rumah tangga dari California Selatan, Dr Randi Gunther, berkata apa yang paling penting adalah CARA anda mengatakannya. Jadi bagaimana? Beliau memberikan 10 tip yang dipercayai berkesan dalam mengatasi masalah dalam rumah tangga. Ayuh cubalah atas pasangan agar hubungan tetap mesra.

1. Kita hadapi ini bersama - sama

“Pernikahan itu penuh cubaan. Contohnya, jika pasangan anda mengatakan dia baru saja dipecat daripada pekerjaannya, anda hanya punya sekitar lima saat untuk memberikan reaksi positif, untuk menunjukkan hubungan anda lebih kuat daripada segala masalah yang menghambat,” kata Dr Randi. Nah, daripada menangis memikirkan kesulitan hidup yang akan datang dan belum tentu juga sesulit yang anda fikirkan, lebih baik berikan semangat kepada pasangan. Bukan sahaja ia menyelesaikan masalah, malah berupaya untuk membuat pasangan anda tidak patah semangat. Pernikahan 'kan bermakna kesediaan untuk susah senang bersama?'

2. “Awak ‘kan pakarnya...”

“Aset terbaik dalam hubungan adalah jika setiap pasangan mengaku sepenuhnya kekurangan masingmasing,” ujar Dr Randi. Jika memang jejaka dalam hidup anda itu gemar bercucuk tanam, biarkanlah sahaja dirinya mengurus taman kecil di rumah anda. Jangan anda pula yang mengarahkannya. Duduk dan nikmati sahaja kesejukan yang ada. Jangan lupa ucapkan terima kasih kepadanya kerana telah mewujudkan persekitaran rumah menjadi lebih nyaman.

3. “Saya marah!”

Menurut Dr Randi yang sudah 40 tahun menjadi konsultan rumah tangga, berdasarkan pengalamannya, beliau kerap menemui pasangan yang mengatakan: “Saya tidak marah” untuk menghindari konflik. Hakikatnya, keengganan untuk mengakui kemarahan itu hanya akan memperpanjangkan tempoh konflik. Beliau menyarankan agar pasangan yang sedang marah itu mengatakan sahaja keadaan sebenar daripada terus-terusan memendam rasa. Jika disembunyikan, ia umpama bom waktu yang akan siap meledak bila-bila masa sahaja.

4. “Luahkan apa yang awak inginkan.”

Di tengah-tengah pertengkaran sengit antara anda dengan pasangan, sebaik- baiknya, katakanlah kepadanya ungkapan ini sebagai pembuka. Kalimat itu akan memberikan kesan bahawa anda siap mendengar apa jua keluh-kesah yang selama ini membelenggu di dalam benaknya.

5. Katakan langsung kepadanya

Dengan kecanggihan era teknologi dewasa ini, kita hidup dalam era telefon bijak. Namun, adalah satu tindakan kurang bijak jika anda menggunakan telefon bimbit sebagai saluran penyata luahan. Mengirimkan SMS yang mengandungi kata-kata: “Maafkan saya ya...”, ditambah pula dengan ikon sedih tidak mempunyai kesan yang sama jika anda menatap sepasang bebola matanya dan mengungkapkan kata-kata itu dengan tulus dan penuh kesungguhan.

6. “Saya perlukan masa bersendiri...”

Interaksi antara dua orang yang saling menyayangi boleh menjadi sangat serius, tegang dan saling melempar kalimat menyakitkan. Ini saat terbaik untuk meminta masa bersendiri atau time-out. Dalam persekitaran yang sunyi, masing -masing boleh berfikir kembali dalam keadaan tenang dan mulai mengkaji permasalahan.

7. “Awak amat bererti, terima kasih kerana mengingatkan.”

Dalam sesebuah hubungan, komen-komen positif seringkali hanya tersimpan di dalam hati, sementara komen-komen negatif pula begitu deras meluncur. Sedarkah anda bahawa untuk mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan begitu mudah dan singkat. Untuk mengungkapkan kata-kata yang baik pun begitu juga. Katakan yang anda amat mencintainya.

8. “Walau semarah mana, saya tetap cintakan awak.”

Saat ledakan emosi terjadi, setiap pasangan akan bersifat egosentris dan enggan memikirkan perasaan yang lain. Pokoknya semua ingin dimengerti. Hanya ketika keadaan reda, masing-masing akan menyesal kerana menjadi egois. Kesediaan mengucapkan penyesalan secepat mungkin kepada pasangan akan melembutkan hati pasangan. Lebih cepat dilakukan, lebih segera anda kembali harmonis.

9. “Apa yang boleh saya buat?”

Ketika pasangan sedang sedih atau frust, kerapkali dia akan bersikap dingin, menjauh, marah-marah dan membuat anda serba salah. Daripada anda naik radang atau ikut mogok, apa kata anda tanyakan terus kepadanya apakah yang boleh dilakukannya untuk memperbaiki keadaan. Keadaan akan lebih tenang dan insya-Allah huraian bakal turut menjengah.

10. “Saya mahu awak jujur.”

“Intinya, anda akan belajar untuk saling mengerti, sekali gus dapat menjangkakan perkara yang akan membuat pasangan anda marah,” tambah Dr Randi. Jadi, mengapa harus saling menyembunyikan rasa kesal atau perbezaan pendapat? Beritahu kepadanya secara jujur, tenang dan lembut.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/