Selasa, 15 Januari 2013

Semakan Tawaran Ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Tingkatan 4 Sesi 2013


Para pelajar yang memohon untuk memasuki Tingkatan 4 2013 di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia boleh menyemak keputusan permohonan mereka secara  atas talian (online).

Semakan keputusan permohonan ke Tingkatan 4 SBP boleh dibuat dengan menggunakan angka giliran PMR atau nombor MyKad pemohon.

Semakan permohonan SBP boleh dibuat mulai  16 Januari 2013 (RABU) .

Keputusan permohonan ke Tingkatan 4 SBP 2013 boleh disemak di Laman rasmi KPM  di alamat :  http://www.moe.gov.my/.

Sila semak dengan teliti maklumat yang dipaparkan.

Sekiranya anda berjaya dan bersetuju dengan tawaran tersebut, surat dan lampiran tawaran MESTI DICETAK SEGERA dan dibawa semasa hari pendaftaran.

Pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat, boleh membuat rayuan secara online mulai 16 Januari 2013.

Keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran.

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Penjawat Awam Perlu Miliki Ciri-Ciri Positif Penakluk Dunia


PUTRAJAYA : Penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan ciri-ciri positif penakluk dunia terkemuka antaranya mempunyai daya kekuatan dan ketahanan, kebijaksanaan berunding dan mampu bertindak sebagai satu pasukan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata ciri-ciri itu membolehkan Alexander The Great, Genghis Khan, Asoka the Great, Jabal al Tariq, Napoleon Bonaparte dan Hannibal The Great menakluki dunia dan kejayaan mereka diingati selama-lamanya.

Beliau berkata penjawat awam mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka jika menghayati ciri-ciri istimewa penakluk dunia itu termasuk visi yang menarik, kepimpinan luar biasa, kuasa motivasi, komunikasi, rundingan berkesan, daya ketahanan dan percaya terhadap kemampuan tentera mereka sebagai satu pasukan kental.

"Dalam perspektif perkhidmatan awam, signifikasi dan kisah-kisah penaklukan luar biasa ini boleh dihayati dan dijadikan sumber tenaga dan inspirasi untuk menangkis tohmahan yang sering didengari seperti keengganan penjawat awam untuk mencabar status quo, membuat perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak serta berkongsi sumber dan kepakaran.

"Kita tidak boleh berada di takuk lama ciptaan kita sendiri lalu menjadikan budaya silo atau keterpisahan serta ketaksuban menjaga sempadan masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Felo Intan dan penyampaian Diploma Intan 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, PICC, Selasa.

Beliau berkata penjawat awam juga perlu mengenal pasti bantuan sumber, infrastruktur dan sentiasa bersedia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini dalam menyediakan perkhidmatan awam yang terbaik.

Ali berkata selain menjadi produktif, kreatif dan berinovasi, penjawat awam juga mesti jujur, adil dan prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

"Bagi meniti ketidakmustahilan, kita perlu mempunyai keberanian, kecekalan daya fikiran, perancangan dan keinginan untuk membuat sesuatu di luar dugaan yang dapat melakar kejayaan yang boleh dibanggakan.

"Kita tidak perlu menunggu satu-satu Pekeliling atau arahan bertulis dikeluarkan barulah bertindak, sebaliknya proaktif untuk melaksanakannya dengan mencari jalan memudahkan dan bukan menyusahkan," katanya.

Pada majlis itu Tan Sri Ismail Adam dianugerah Tokoh Felo Intan 2012 manakala 458 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menerima Diploma Intan. - BERNAMA

ISU KEPENGGUNAAN : Hentikan budaya hutang, boros


Oleh : S. M. MOHAMED IDRIS

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan satu laporan berita akhbar yang mendedahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggotanya.

Menurut berita itu lagi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, bayaran itu merupakan jumlah yang berjaya dikurangkan hasil perundingan bersama pihak berkenaan walaupun jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar RM370,000.

Katanya, kegiatan meminjam wang daripada 'lintah darat' itu melibatkan anggota pelbagai pangkat dan dalam hal itu, TLDM menggunakan pendekatan penerangan dan ceramah untuk membantu mereka.

CAP berpandangan pihak TLDM tidak sepatutnya menggunakan wang awam untuk digunakan bagi menyelesaikan hutang ah long yang diambil oleh anggotanya kerana ini akan memberikan satu contoh yang tidak baik.

Ini kerana ia akan memberikan persepsi atau tanggapan dalam kalangan anggota TLDM bahawa adalah tidak salah untuk meminjam dan berhutang dengan ceti haram atau ah long kerana sekiranya gagal untuk membayarnya pihak berkuasa akan menyelesaikan hutang itu.

Pendedahan ini juga menunjukkan bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja melibatkan anggota TLDM yang mengamalkan dan terjebak dengan budaya meminjam wang dan berhutang daripada ceti haram dan ah long walaupun sudah lama pihak kami berusaha mendidik pengguna agar mengelakkan budaya hutang dan boros.

Eloklah kita menginsafi hakikat bahawa hutang isi rumah di negara ini pada 2010 ialah sebanyak RM577 bilion. Segenap lapisan masyarakat di negara ini sanggup berhutang bagi memenuhi tuntutan gaya hidup moden termasuk mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Namun hidup mereka akhirnya semakin merana apabila Jabatan Insolvensi Malaysia terpaksa mengisytiharkan 85,175 daripada mereka sebagai muflis kerana tidak mampu membayar hutang.

Tiga jenis hutang lazimnya dibuat oleh peminjam yang sesetengahnya mahu hidup bergaya iaitu hutang sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi, pembelian saham dan kad kredit serta pinjaman perumahan.

Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini seperti yang tertera di atas. Kegagalan menguruskan hutang mengakibatkan 85,175 rakyat negara ini menjadi bankrap ketika usia muda.

Berikut adalah kes muflis di Malaysia. Sebanyak 85,175 kes dari tahun 2007 hingga Mac 2012.

Sewa beli kenderaan 21,796 kes, pinjaman peribadi 12,547 kes, pinjaman perumahan 12,098 kes dan pinjaman perniagaan 9,865 kes (Sumber: Jabatan Insolvensi Malaysia).

Bagi mereka yang sudah pun terjebak dengan budaya meminjam dan berhutang ini, tidak ada jalan lain kecuali melunaskan hutang mereka sekiranya tidak mahu menanggung risiko berdepan dengan pelbagai kerenah ceti haram dan ah long.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang itu meminjam atau berhutang antaranya bermain judi tetapi ada juga yang meminjam dan berhutang kerana hendak hidup mewah atau terpengaruh dengan gaya hidup orang lain yang lebih mewah daripada mereka.

Inilah masalahnya yang sering melanda masyarakat kita, kalau tidak mampu untuk memiliki sesuatu dalam hidup kita ini, usahlah membebankan diri dengan meminjam dan berhutang yang akhirnya menjerat diri sendiri.

Terimalah hakikat kemampuan gaji dan pendapatan kita serta hiduplah dengan sikap sederhana (terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Tidak akan kekurangan orang yang hidup sederhana).

Orang yang membelanjakan harta dengan secara berhemat dan sederhana tidak akan menjurus kepada pemborosan dan berlebih-lebihan dan sudah tentu tidak akan kekurangan. Satu lagi sikap yang perlu diamalkan ialah Qanaah iaitu cukuplah dengan apa yang ada, seperti kata pepatah Melayu ukurlah baju di badan sendiri.

Jangan sekali-kali terpedaya dengan iklan-iklan yang terpapar di dalam media massa baik media elektronik atau media cetak terutama sekali pada musim-musim perayaan yang menonjolkan budaya hidup mewah, boros dan membazir yang semuanya berpaksikan kepada wang.

Dalam masyarakat kita, memang terdapat mereka yang suka meminjam wang, gemar hidup bergaya lebih daripada kemampuan serta berbelanja lebih daripada pendapatan, banyak orang kelihatan hidup senang walaupun pada hakikatnya kesenangan itu berasaskan kepada hutang.

Satu lagi amalan buruk di dalam masyarakat kita ialah membazir. Kini amalan membazir di dalam masyarakat nampaknya tidak dibendung malah semakin dibiarkan.

Perilaku membazir ini dapat dilihat di dalam pelbagai bentuk seperti membazir makanan, aksesori dan hiasan diri, pembaziran di dalam rumah, membazir di dalam pakaian, hiasan dan perabot rumah serta pejabat.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mencegah menularnya budaya meminjam, berhutang, membazir dan boros dalam kalangan rakyat negara ini.

Pihak berkuasa juga digesa agar mengawal dan memantau iklan-iklan yang disiarkan di dalam media massa  agar tidak menggalakkan masyarakat ke arah budaya hidup mewah, boros dan membazir.

Masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan cara hidup sederhana, berjimat-cermat, tidak boros dan membazir di dalam hidup dan menginsafi bahawa masih ada anggota masyarakat yang hidup di dalam kemiskinan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Usah mudah 'menderhakakan' anak sekalipun hati ibu bapa tergores


"WAHAI orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, serta (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diserahkan kepada) kamu, sedangkan kamu mengetahui dosanya. Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu hanya menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar" (Surah al-Anfal: 27-28).

Anak adalah amanah dan ujian kepada manusia. Anak yang lahir daripada perkahwinan lazimnya menjadi penyeri rumah tangga, pengikat kasih sayang di antara suami isteri. Namun lewat ini, banyak paparan mengenai kes penderaan yang melibatkan anak-anak kecil dilaporkan di media.

Seawal usia masih lagi bayi, anak-anak kecil ini sudah didera. Ada sebahagiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dan sebahagiannya lagi hidup dalam trauma yang berpanjangan sehingga mereka dewasa.

Penderaan terhadap anak-anak kecil dalam keluarga sering dikaitkan dengan bukti serangan fizikal. Adapun penderaan emosi dikatakan paling kerap berlaku, namun tidak banyak maklumat mengenainya serta kurang diberi perhatian.

Penderaan emosi terhadap kanak-kanak kecil dalam keluarga boleh berlaku bersama-sama dengan penderaan fizikal ataupun boleh berlaku secara berasingan. Penderaan dari sudut inilah sebenarnya banyak mencorakkan perilaku dan gaya berfikir individu apabila dewasa kelak.

Perilaku ibu bapa atau penjaga seperti menolak kewujudan anak dalam keluarga, tidak mengambil berat, mengasingkan anak dan sebagainya merupakan contoh-contoh penderaan emosi yang dilakukan dengan sengaja mahupun tanpa disedari. Anak-anak yang mengalami kematian ibu bapa, anak-anak perceraian, anak-anak dalam perkahwinan ibu atau bapa bersama pasangan baharu mereka kerap mengalami situasi ini.

Kes-kes penderaan dan pengabaian yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meningkat dari setahun ke setahun contohnya pada 2005 sebanyak 1,800 kes dilaporkan, 2007 sebanyak 2,279 kes dan 2008 sebanyak 2,780 kes. Malah dipercayai jumlah kes yang tidak dilaporkan jauh lebih tinggi.

Trend penderaan dalam kalangan anak yang dijaga ahli keluarga juga telah menunjukkan evolusi; seperti didera oleh teman lelaki atau wanita kepada ibu bapa mangsa.

Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana kekeluargaan yang penuh dengan kelakuan ganas. penderaan atau dari segi emosinya penuh dengan interaksi yang mengandungi penghinaan, caci-mencaci, perli- memperli, komunikasi nada tinggi (marah, tengking dan sebagainya) akan mudah terbiasa dengan keadaan ini dan memahami bahawa inilah situasi yang biasa berlaku dalam sesebuah keluarga.

Apa yang dikhuatiri ia boleh meningkatkan kecenderungan untuk melakukan perkara yang sama pada masa akan datang.

Mengambil satu laporan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan bilangan warga tua dan orang papa yang ditempatkan di rumah kebajikan kendalian JKM seperti pada 2005 seramai 2,670 orang, 2007 seramai 2,885 orang dan 2009 seramai 3010 orang. Ini tidak termasuk jumlah penghuni rumah kebajikan warga tua kendalian pihak swasta mahupun badan bukan kerajaan dan yang berpeleseran tiada tempat tinggal.

Apabila diselidiki rata-rata alasan yang diberikan ialah akibat daripada masalah kewangan, pasangan yang tidak mahu menerima warga tua dan juga akibat daripada kejahilan dan kecuaian anak tersebut sendiri.

Sementara itu, masyarakat secara terang-terangan pula terus 'menderhakakan' si anak dalam memberi respons kepada situasi ini. Namun begitu, terdapat satu perkara yang kurang dibincangkan secara mendalam dan terbuka ialah adakalanya pengabaian warga tua ini adalah akibat perbuatan penderaan yang dilakukan terhadap anak-anak mereka satu masa dahulu.

Umum memahami bahawa walau bagaimana keadaan dan perilaku ibu bapa, anak-anak wajib memuliakan mereka sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Luqman ayat 14 yang bermaksud "Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu".

Akan tetapi amatlah malang apabila kedudukan ini disalah guna oleh ibu bapa dengan melakukan pelbagai penderaan terhadap anak-anak. Bahkan lebih malang apabila berasakan menjadi ibu bapa bermaksud tidak pernah berbuat dosa terhadap anak-anak.

Sesungguhnya setiap manusia yang berakal itu bertanggungjawab ke atas setiap perbuatan mereka tanpa ada pengecualian termasuklah ibu bapa sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Mudhatthir ayat 38 yang bermaksud, "setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya".

Kasih sayang tanpa asas amat sukar dipaksa ke atas manusia seperti sukarnya seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, didera sepanjang hidup mereka sehingga dewasa untuk menyayangi insan yang tidak menyayangi mereka. Apatah lagi dengan didikan agama yang kurang sempurna dari ibu bapa, bagaimana anak-anak ini memahami hubungan istimewa di antara anak dan ibu bapa sebagaimana yang dituntut dalam agama.

Kita tidak mahu kitaran ini berlaku dari semasa ke semasa kerana ia boleh meruntuhkan pembangunan sosial negara pada masa akan datang apabila anak-anak mula cenderung untuk 'membalas' setiap perbuatan ibu bapa mereka. Individu menjadi semakin materialistik manakala soal kebajikan keluarga tidak lagi dipeduli.

Akhirnya jadilah kita satu bangsa yang mundur dan lemah akalnya kerana tidak kembali kepada fitrah kekeluargaan.

Sesungguhnya anak-anak adalah cerminan para ibu bapa. Adakalanya ibu bapa tergores dengan perbuatan anak-anak ketika mana mereka membesar, usahlah mudah 'menderhakakan' si anak.

Janganlah pula mudah 'tangankan' si anak. Tegurilah dengan hikmah dan maafkanlah mereka dan berilah kasih sayang sepenuh jiwa kerana barangkali ada kekhilafan diri kita yang pernah dilakukan sewaktu membesarkan mereka.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Isnin, 14 Januari 2013

ISU KESIHATAN : Tahap Stres Masyarakat Malaysia Terkawal



PUTRAJAYA : Kadar ketegangan masyarakat di negara ini masih dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan.

Beliau berkata indeks ketegangan masyarakat(SSI) merangkumi keganasan/rusuhan; demonstrasi/protes; serangan/pergaduhan dan isu/konflik menunjukkan tidak melebihi 25 kes per sejuta penduduk setiap tahun dari 2009 hingga 2012.

"Pada 2009, indeks SSI ialah 21.6 kes, sebelum meningkat 22.5 pada 2010, dan menurun 18.2 kes per sejuta penduduk pada 2011," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Walaupun indeks itu menunjukkan peningkatan sedikit kepada 19.2 kes per sejuta pada tahun lepas berikutan penganjuran demonstrasi, namun ia tetap terkawal, katanya.

"Apa yang kita dapati ialah indeks SSI itu meningkat ketika waktu pilihan raya dan menurun selepas pemilihan kerajaan dibuat. Jadi kita jangka indeks tersebut meningkat sedikit pada tahun ini berikutan PRU ke-13 dalam waktu terdekat," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mengawal keadaan bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara, kedua di Asia selepas Jepun dan ke-20 di dunia daripada 185 negara, dalam ranking Indeks Keamanan Global (GPI).-BERNAMA

ISU BAHASA : Mestikah seniman menderita?


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Naratif pengarang, dunia realiti berbeza mencakupi alam Nusantara,

Seniman watak rekaan dalam novel saya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) memang menderita pada hari tuanya. Pak Hassan, penglipur lara tua yang menjadi seniman itu, menderita kerana kegagalan mewariskan legasi kesenimanannya kepada anak lelakinya, di samping pelbagai perubahan sosial, gaya hidup serta teknologi dalam periode yang melatarinya – iaitu Perang Dunia Kedua.
Watak Tukya dalam novel Azizi Haji Abdullah, Seorang Tua di Kaki Gunung juga menderita pada hari tuanya. Pencinta tegar warisan kehidupan dan gaya hidup Melayu agrarian tradisional itu, yang menghuni kaki Gunung Bongsu, bukan saja berkonflik nilai dengan zuriatnya sendiri, malah menempuh akhiran penuh tragis dalam hidupnya.

Baik Pak Hassan mahupun Tukya menderita kerana kecewa tidak dapat melihat kesinambungan idealisme menurun kepada zuriat masing-masing. Secara umum demikianlah kesan temanya, walaupun ada pelbagai lagi simpang siur persoalan, peristiwa dan perwatakannya.

Ini berbeza dengan watak Osman Bombay dalam drama Raja Lawak karya Zakaria Ariffin. Watak ini menderita bukan kerana gagal mewariskan legasi lawak kepada protegenya Husin Tak Bai, tapi tidak sedar diri yang lawak ala bangsawan sudah tidak sesuai lagi pada 1990-an. Watak ini mengakhiri hidup penuh tragis di atas pentas lakonannya sendiri.

Tragedi adalah salah satu unsur yang gemar dimanipulasi penulis drama pentas dan digemari oleh penonton sejak zaman kegemilangan drama Yunani lagi. Apabila Zakaria Ariffin memasukkan unsur komedi ke dalam naskhahnya, Raja Lawak yang dipentaskan 20 tahun lalu menjadi fenomena seni pementasan yang luar biasa dekad 1990-an. Pada masa itu drama ini antara lain dilakonkan oleh Jalil Hamid, Sabri Yunus, Tiara Jacquelina dan Imuda.

Karya tidak dilindungi hak cipta

Judul karya tidak dilindungi oleh undang-undang hak cipta. Oleh sebab itu mungkin ada khalayak yang keliru menyamakan drama Raja Lawak Zakaria Ariffin ini dengan sebuah program realiti TV di negara kita. Oleh itu, elok benar Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama DBKL dan ASWARA mementaskan semula Raja Lawak di Auditorium DBKL mulai 16 Januari 2013 selama 10 malam.

Khalayak juga akan mendapati bahawa Raja Lawak Zakaria Ariffin bukanlah pentas berkeloloh seperti program realiti TV itu. Drama ini bertujuan membuka mata penonton untuk ‘melihat’ dunia realiti di sebalik tabir, tidak menjamin wujudnya lawak jenaka tanpa kontekstual, kerana ia turut mengajak khalayak merenung dan berfikir akan ‘kisah benar’ watak penghibur.

Bagaimana pula gambaran seniman di dunia realiti? Glamor adalah kata kunci yang selalu dikaitkan dengan dunia seniman, terutama mereka yang digemilangkan oleh kuasa visual perfileman dan nyanyian. Glamor juga berkait rapat dengan kemewahan, kekayaan dan gaya hidup ranggi serta sophisticated.

Kata kunci itu menjadi benar apabila base atau asas khalayak begitu besar (umpamanya bagi pasaran dalam bahasa Inggeris, Hindi, Sepanyol, atau China yang sedang muncul dengan hebat), bayaran profesional yang tinggi, serta pelaksanaan perolehan pendapatan melalui hak cipta atau harta intelek yang dilindungi dan terjamin.

Berhati-hati buka pintu realiti

Seniman Malaysia harus berhati-hati membuka pintu realiti dengan kata kunci itu. Apabila pintu realiti terbuka, mereka akan melihat industri kreatif yang baru mula berkembang dan saiznya sederhana. Realiti itu, bagi kebanyakan karyawan, belum memungkinkan mereka menikmati kemewahan, kekayaan dan gaya hidup ranggi serta sofistikated.

Hanya sebilangan kecil karyawan kita yang dilimpahi rezeki hasil industri kreatif yang sedang berkembang ini. Antara yang jelas mendapat manfaat ini adalah sekumpulan pelawak dan pengacara yang bertugas di media elektronik (kita selalu melihat kemunculan mereka di kaca TV, atau mendengar suara mereka di radio), dan sebilangan penyanyi. Sama ada mereka boleh mengekalkan prestasi mereka atau tidak, sebahagian besarnya akan bergantung pada strategi mereka mengurus kejayaan.

Eloklah karyawan muda yang berjaya itu bekerja keras ketika muda, mengumpul wang dan harta, untuk menghadapi hari tua yang lebih stabil. Tidak semua seniman atau karyawan bernasib baik seperti mereka, lantaran kurang diberi peluang, bayaran yang rendah, serta kurang dilindungi oleh akta harta intelek. Situasi ini menyebabkan persatuan seniman, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dari semasa ke semasa memberi bantuan kepada seniman-seniman yang kurang bernasib baik. Ini adalah usaha yang terpuji.

Di dalam teks sastera, seniman menderita kerana strategi naratif pengarangnya. Di dunia realiti, kita tidak rela melihat seniman menderita. Untuk itu kita harus membesarkan base atau asas khalayak industri kreatif kita agar mencakupi alam Nusantara, dan dunia – termasuk melalui alih bahasa atau sari kata. Apabila perkembangan itu terjadi, seniman akan mendapat bayaran yang lebih baik. Di samping itu mereka wajar benar-benar dilindungi oleh akta hak cipta atau harta intelek yang berpanjangan.

Pendidikan industri kreatif juga harus ditingkatkan. Bakat harus turut mengadun kreativiti, inovasi, pemikiran strategik dan teknologi, supaya karya bukan sahaja boleh diproduksi tetapi dapat diterima dan dinikmati oleh khalayak yang lebih luas.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : RM498j mula diagih esok


Oleh : Mohamed Farid Noh

Batu Pahat : Sebanyak RM498 juta peruntukan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara akan diagihkan mulai esok.

Ia diberikan terus kepada ibu bapa secara berperingkat sehingga 15 Februari depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata peruntukan sebenar yang disediakan bagi 2013 adalah RM540 juta, termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat, tetapi kementerian belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit.

Bayar tanpa potong hutang tertunggak

“Bagaimanapun, kita akan pastikan bayaran akan berjalan lancar. Pihak sekolah diingatkan supaya membayar terus RM100 kepada ibu bapa tanpa apa-apa potongan hutang tertunggak atau bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya selepas program ramah mesra bersama penduduk Bakau Chondong di Parit Gantung, di sini semalam.

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata RM3.8 bilion dibelanjakan kerajaan tahun lalu bagi bantuan pendidikan kepada pelajar di seluruh negara.

Rancangan makanan tambahan

Katanya, ia termasuk Rancangan Makanan Tambahan, makanan di asrama harian dan asrama penuh, Biasiswa Kecil Persekutuan sekolah menengah, bantuan tuisyen, bantuan buku teks serta Susu 1Malaysia.

“Contohnya makanan di asrama penuh dan harian, kos makanan pelajar adalah RM15 sehari, tetapi ibu bapa hanya perlu membayar RM1 sahaja, manakala RM14 lagi ditanggung kerajaan membabitkan minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam serta minum lewat malam.

“Semua pelajar di asrama harian atau asrama penuh layak menerima subsidi ini, manakala pelajar asrama desa menerima 100 peratus bantuan tanpa perlu membayar apa-apa.

“Malah, untuk Biasiswa Kecil Persekutuan bagi pelajar sekolah menengah, penerima dibayar RM300 setiap seorang,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/