Khamis, 17 Januari 2013

ISU SOSIAL : Jaga kebajikan kewangan pekerja


OLEH :  ROHAMI SHAFIE

KEWANGAN merupakan faktor terpenting dalam kehidupan seseorang pekerja.

Umpamanya, menurut laporan Persatuan Akauntan Berkanun dan Bertauliah (ACCA) yang bertajuk "Wanita Dalam Kewangan: Papan Anjal Menganggotai Lembaga Pengarah" menekankan bahawa faktor bijak kewangan menjadi teras bagi wanita untuk menyertai lembaga pengarah bagi syarikat yang diindekskan di bawah FBM KLCI.

Bahkan, faktor kewangan jugalah yang menyebabkan persatuan-persatuan pekerja sering kali memperjuangkan nasib pekerja seperti kenaikan gaji dan elaun serta pemberian bonus untuk para pekerja.

Dunia moden sekarang berpaksikan wang ringgit. Tanpa kewangan yang kukuh, banyak masalah bakal menimpa kepada empunya diri.

Bagi sesiapa yang pernah menonton filem Titanic versi moden, mereka pastinya teringat bagaimana kekayaan dapat membezakan darjat seseorang. Filem itu juga mengingatkan kita betapa nyawa bagi orang kaya lebih bernilai berbanding orang miskin. Meskipun tragedi Titanic sudah lama berlaku, namun kisahnya masih berguna sehingga ke hari ini untuk dijadikan iktibar betapa manusia amat menghormati orang kaya.

Tidak keterlaluan, penangan wang ringgit lebih hebat pada masa kini berbanding dahulu. Setiap detik kita berada di dunia ini memerlukan wang ringgit. Bermula daripada bangun pagi sehinggalah lena dibuai mimpi, wang dapat membantu seseorang menjalani kehidupan dengan selesa.

Malangnya, bukan semua manusia dapat menjalani kehidupan selesa terutamanya dari sudut kewangan. Salah satu sebabnya adalah kerana pendapatan yang rendah walhal kos sara hidup semakin menekan saban hari. Tidak terkecuali ada golongan yang berpendapatan tinggi tetapi dek kerana terlalu boros maka wang yang diperoleh tetap tidak mencukupi.

Maka, wujudlah ceti-ceti haram atau ah long menunggu mangsanya. Ditawarkan pinjaman yang cukup mudah. Dahulu ceti-ceti haram tidaklah ganas terhadap peminjam.

Berbeza kini, ceti-ceti haram amatlah berbahaya kepada peminjam yang tidak mampu membayar hutangnya. Membuat pinjaman dengan ceti-ceti haram amatlah mudah. Tidak memakan masa lama, bahkan sesiapa yang disenarai hitamkan oleh bank sekali pun boleh meminjam dengan mereka. Mangsa-mangsanya tidak kira pangkat mahupun pekerjaan.

Daripada golongan yang berniaga sehinggalah yang bekerja sebagai tentera pun terlibat dengan ceti haram. Apa yang akan terjadi bagi anggota keselamatan yang terlibat dengan ceti haram. Mereka ini sudah tidak lagi bebas dan tidak digeruni oleh sesiapa pun. Ceti haram telah berjaya "menakluk" mereka tanpa menggunakan sebarang senjata.

Dikhuatiri, anggota keselamatan ini tidak mampu bekerja dengan baik sedangkan keselamatan negara di bawah jagaan mereka. Jika terlalu ramai anggota keselamatan terlibat dengan tekanan kewangan dan akhirnya terpaksa meminjam dengan ceti haram, keselamatan negara juga berada dalam keadaan amat berbahaya.

Pujian harus diberikan kepada ketua-ketua jabatan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan kewangan anak-anak buahnya. Misalnya, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat menekankan mengenai pinjaman anak-anak buahnya dengan ah long.

Beliau berperang dengan ah long agar kebajikan kewangan anak-anak buahnya terbela. Mengikut rekod, TLDM dapat menyelesaikan 102 kes pinjaman ah long yang berjumlah RM139,000, di samping 76 anggota TLDM telah mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Jarang sekali kita mendengar ketua jabatan mahupun korporat sentiasa memantau kewangan para pekerja terutamanya yang melibatkan ah long. Yang selalu kedengaran, para pekerja yang mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga terpaksa meminjam dengan ah long tidak dipedulikan langsung. Seorang pemimpin yang baik sewajarnya menjaga kebajikan kewangan para pekerja.

Malangnya, ramai pemimpin hanya memikirkan kedudukan kewangannya sahaja walhal anak-anak buahnya mengalami masalah kewangan. Masalah kewangan para pekerja tidak diendahkan sedangkan masalah sebeginilah mampu menjejaskan prestasi kerja seseorang.

Sudah sampai masanya satu polisi yang jelas bagi setiap jabatan kerajaan dan swasta untuk membela kewangan para pekerja agar mereka ini tidak terlibat dengan pinjaman ah long. Peranan ketua-ketua jabatan untuk menggubal polisi yang sedemikian.

Di samping itu, terdapat juga majikan yang terlalu menekan para pekerja dengan pelbagai kerja yang terpaksa dilakukan melebihi waktu yang sepatutnya.

Pada masa sama, gaji yang dibayar terlalu murah dan akhirnya ramai yang rela hati berhenti bekerja dengan syarikat berkenaan. Majikan langsung tidak ambil pusing. Bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja mereka sanggup mengupah warga asing. Bagi mereka keuntungan adalah segala-galanya. Manakala, kebajikan pekerja adalah perkara terakhir.

Itu belum lagi menyentuh gaji minimum yang wajib dilaksanakan oleh majikan. Seperti biasa, kedengaran segelintir majikan yang sanggup menipu kononnya telah melaksanakan gaji minimum para pekerja walhal sebenarnya tidak.

Majikan sebegini menggunakan taktik pengiraan gaji minimum dengan mengambil kira elaun dan kerja lebih masa dalam pengiraan gaji pokok. Pihak berkuasa jenguk-jenguklah kes-kes sebegini supaya tidak ada yang menjadi mangsa majikan yang tamak haloba.

Mereka ini mungkin tidak sedar atau buat-buat tidak sedar bahawa faktor kewangan boleh memotivasikan para pekerja mereka agar bekerja dengan lebih baik lagi.

Walau apa pun alasan yang diberikan, kebajikan kewangan para pekerja perlu dibela dan dijaga oleh majikan dengan ikhlas dan sejujurnya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU AGAMA : Misi Akta Halal masih jauh


Oleh : PROF.  DR. AHMAD HIDAYAT BUANG

AKTA atau Undang-undang Halal yang diuar-uarkan dalam media cetak dan elektronik sebagai mendapat kelulusan Kabinet dan sebagainya tidaklah semudah sebagaimana yang digambarkan.

Perbincangan yang dianjurkan oleh Bahagian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerlahkan beberapa masalah dasar yang masih belum dapat diselesaikan.

Cadangan akta ini adalah untuk menyelaraskan semua peruntukan undang-undang berkaitan urusan halal dan memberi Jakim kuasa perundangan berkaitan halal terutama dari segi pengeluaran sijil halal, pemantauan dan penguatkuasaan.

Perkara pokok yang dijelaskan menghalang pelaksanaan cadangan Akta Halal ini nampaknya masih berkait rapat dengan persoalan kuasa negeri khususnya dalam perkara agama Islam sebagaimana yang ditetapkan Perlembagaan.

Memandangkan cadangan Akta Halal ditafsirkan sebagai perkara yang berkaitan agama Islam maka ia terletak di bawah bidang kuasa negeri dan oleh itu Parlimen tidak berhak untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengannya.

Hujah untuk menyamakan perkara halal ini dengan kewangan dan perbankan Islam pun tidak dapat diterima, memandangkan perkara mengenai perniagaan dan perbankan memang jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan terletak di bawah senarai Persekutuan.

Begitu juga alasan untuk menyamakan dengan urusan tanah tidak dapat diterima kerana terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang berkaitan penyelarasan pentadbiran tanah.

Oleh yang demikian mengapa tidak dibiarkan sahaja urusan halal ini ditangani oleh pihak negeri, tanpa campur tangan Kerajaan Persekutuan. Mengapa pihak Jakim perlu bersusah payah mahu mencadangkan satu undang-undang atau akta yang jelas sukar untuk dilaksanakan?

Jikalau dalam perkara-perkara lain seperti Mahkamah Syariah, perkahwinan, perceraian, wakaf, zakat, baitulmal, fatwa dan lain-lain boleh diuruskan oleh pihak negeri sebagaimana biasa mengapa tidak pula urusan halal?

Bahkan mengikut pengamatan penulis, sudah ada pun peruntukan mengenai makanan halal di dalam undang-undang negeri terutamanya Enakmen Jenayah Syariah. Daripada segi fatwa pula sudah banyak pandangan dan nasihat agama dikeluarkan mengenai perkara halal.

Tambahan pula pihak negeri sendiripun mahu menguruskan perkara halal sebagaimana dengan kewujudan sijil-sijil halal negeri. Jawapan kepada persoalan ini harus dilihat dari segi keberkesanan undang-undang.

Sudah banyak rungutan mengenai urusan pentadbiran agama Islam di Malaysia akibat kepelbagaian dari segi undang-undang, pentadbiran, proses dan amalan. Sungguhpun perkara ini telah di atasi namun masih terdapat beberapa perkara yang kerap kali dibangkitkan di media massa.

Jika dilihat secara kos-efektif dan keberkesanan pentadbiran sudah tentulah perkara ini adalah lebih baik jika ditadbir secara bersepadu dan terselaras.

Namun begitu realiti undang-undang dan institusi yang diwarisi sejak dari dahulu menjadikan urusan agama itu diuruskan secara tersendiri oleh negeri-negeri. Mungkin ada kebaikan atau keunikan tertentu di dalam sistem yang diamalkan kini. Itu tidak dapat dinafikan.

Sungguhpun demikian, akibat perubahan masa terdapat perbezaan dalam urusan halal ini dengan urusan keagamaan lain. Jika pada masa dahulu urusan halal dan haram adalah perkara keperluan persendirian umat Islam, namun kini ia sudah menjadi satu industri, satu bentuk perniagaan multinasional dan internasional.

Urusannya lebih hampir kepada industri kewangan Islam. Oleh yang demikian meletakkan urusan halal dalam situasi masa dahulu mungkin akan menjejas keberkesanan urusannya dari segi proses, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

Berbeza dengan urusan agama lain, urusan halal ini sejak dari dahulu lagi diuruskan oleh Jakim kerana melibatkan agensi-agensi kerajaan lain terutama dalam perkara import dan eksport. Apatah lagi untuk melindungi kemaslahatan masyarakat Islam daripada penyelewengan dan penyalahgunaan logo halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian mahu tidak mahu urusan halal ini perlu ditangani oleh satu pihak di peringkat Pusat, khususnya apabila melibatkan pihak badan perniagaan yang bersifat merentas sempadan negeri-negeri dan antarabangsa.

Memang tidak dinafikan bahawa pada masa kini pihak Jakim bagi pihak Kerajaan Pusat telah diberi tanggungjawab bagi menguruskan urusan halal seperti pengeluaran sijil dan penguatkuasaan logo halal. Namun tanggungjawab ini hanya berpunca daripada arahan eksekutif dan bukan daripada kuasa undang-undang melalui akta tertentu.

Ini kerana urusan produk dan makanan halal di Malaysia melibatkan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) dan pihak kerajaan tempatan.

Kementerian-kementerian dan jabatan ini mempunyai kuasa melalui akta mereka bagi menjalankan tanggungjawab dan fungsi masing-masing. Oleh demikian Akta Halal ini boleh memberikan Jakim kuasa undang-undang yang dikehendakinya menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya dalam urusan halal.

Memang tidak dapat dinafikan kerjasama yang erat diberikan oleh agensi kerajaan lain kepada Jakim untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam perkara halal.

Sebagai contoh Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan baru-baru ini telah mengiktiraf penggunaan logo halal Jakim dan Majlis Agama Islam negeri sebagai logo halal yang boleh dipamerkan oleh badan perniagaan. Begitu juga kakitangan Jakim dilantik sebagai pegawai penguat kuasa di bawah Akta berkenaan. Namun begitu Akta diletakkan di bawah KPDNKK.

Perlembagaan Malaysia telah digubal sejak 50 tahun lalu. Dalam tempoh masa itu kita melihat banyak pindaan dibuat kepada Perlembagaan.

Tujuan pindaan ini dibuat adalah bagi menyesuaikan Perlembagaan berkenaan dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh utama ialah pindaan kepada perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia pada 1988 terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes yang berkaitan dengan undang-undang Islam secara eksklusif.

Kita melihat selepas pindaan ini Mahkamah Syariah berkembang menjadi institusi agama Islam yang mantap dan kukuh. Persoalan halal haram dalam kerangka Perlembagaan mungkin sesuai pada masa dahulu.

Dengan perkembangan perniagaan dan industri halal pada masa ini kerangka ini mungkin tidak sesuai lagi. Ramai pihak kurang selesa dengan pendekatan pindaan perlembagaan ini bagi membolehkan penggubalan Akta Halal kerana melibatkan banyak perkara yang sensitif dan seterusnya menjadikan usaha yang murni ini sesuatu yang sukar terutama dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu.

Namun begitu didapati banyak perkara berkaitan kemaslahatan umat Islam di Malaysia pada hari ini nampaknya bukan dihalang oleh kehendak masyarakat atau rakyat, dan bukan juga oleh pengaruh politik atau pemerintahan, tetapi halangannya banyak kepada aspek-aspek kuasa dan teknikal perundangan serta pentadbiran.

Jika dilihat kepada pengalaman negara-negara Islam lain yang cuba untuk melaksanakan prinsip-prinsip Syariah dalam pemerintahan dan pentadbiran negara, kegagalan berlaku bukan kerana tiada kehendak atau peruntukan undang-undang, namun berpunca daripada kekurangan kepakaran dalam sistem pentadbiran yang menyokong usaha-usaha itu.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang-undang  Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 16 Januari 2013

ISU SOSIAL : TLDM tidak guna wang awam bayar ah long


Oleh : LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ JAAFAR

Saya ingin menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia 15 Januari 2013 di halaman 12 yang mendakwa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan 'wang awam' untuk menyelesaikan hutang ah long yang diambil anggotanya.

Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan beliau telah menyalah tafsir laporan akhbar yang mendedahkan TLDM berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggota yang dikeluarkan baru-baru ini.

Tindakan SM Mohamed menyelar tanpa usul periksa dan bersifat spekulatif boleh menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap perkhidmatan TLDM.

Kita sedia maklum bahawa setiap individu dalam sesebuah organisasi pasti tidak lari daripada masalah hutang. Menyedari hakikat ini, TLDM telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk menangani masalah hutang ah long yang membelenggu warganya.

Masalah ini sekiranya tidak dibendung boleh menjejaskan fokus warga yang bermasalah dalam melaksanakan kerja seharian dan tanggungjawab yang digalas.

Pendekatan yang diambil TLDM merupakan satu daripada amalan 'best practices' TLDM iaitu memberi bantuan kepada anggota yang bermasalah. Bantuan ini berbentuk pembiayaan pendahuluan yang ditampung oleh Tabung Kebajikan TLDM.

Tabung ini bukan merupakan dana awam dan tidak melibatkan sebarang sumbangan daripada kerajaan. Ia ditubuhkan khusus untuk menyelesaikan masalah kebajikan serta memberi bantuan kepada warga TLDM yang memerlukannya.

Tabung ini telah digunakan untuk mendahulukan bayaran bagi menyelesaikan hutang warga dengan bantuan pihak ketiga pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sekiranya bantuan tidak diberikan.

Jumlah sebenar warga TLDM yang terlibat dengan masalah pinjaman tidak berlesen ini ialah seramai 176 orang. Hasil siasatan terperinci yang dilakukan oleh Tim Pengurusan TLDM, didapati bahawa seramai 74 warga yang terlibat telah membayar lebih daripada jumlah yang sepatutnya dibayar.

Mereka ini telah ditindas oleh ah long yang memberi pinjaman sehingga terpaksa membayar jumlah yang terlampau. Penindasan ini dipandang serius oleh perkhidmatan TLDM.

Hasil rundingan yang dijalankan, individu terbabit tidak perlu menjelaskan baki hutang mereka.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM sebelum ini, seramai 102 warga yang dinyatakan didapati perlu diselesaikan hutang mereka. Jumlah hutang termasuk faedah yang dikenakan oleh ah long ke atas mereka ialah RM370,000. Hasil rundingan lanjut pihak ah long bersetuju agar mereka ini hanya membayar baki sejumlah RM139,000.

Walau bagaimanapun, warga yang terlibat dalam hutang ini masih tertakluk kepada arahan yang telah ditetapkan di mana potongan gaji tetap dilakukan pada setiap bulan dalam jangka masa yang singkat dan tidak membebankan individu terbabit untuk membayar balik kepada Tabung Kebajikan TLDM.

Langkah yang diambil oleh pihak TLDM dalam menangani masalah kewangan ini seharusnya tidak dijadikan isu dan sebaliknya pihak CAP perlu menyokong usaha dan pendekatan ini.

Jika dilihat dari sudut positif, pendekatan yang diambil TLDM ini bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah kewangan anggota malah dapat melepaskan warga yang terlibat daripada menjadi mangsa penindasan ah long.

Secara tidak langsung penyelesaian ini turut akan dapat meningkatkan moral dan prestasi kerja mereka.

Melalui penyelesaian tersebut, masalah sosial di kalangan warga TLDM yang melibatkan keruntuhan disiplin, melakukan kerja part-time, tidak hadir tanpa cuti serta masalah rumah tangga dapat diatasi.

Tindakan TLDM ini sebenarnya merupakan langkah yang terbaik dalam membantu warganya yang terlibat dalam kes hutang.

Bebanan hutang menyebabkan seseorang individu yang terlibat tidak fokus kepada tanggungjawab sehingga membawa kesan buruk kepada organisasi. Oleh itu, TLDM sentiasa berusaha membantu menangani sebarang permasalahan yang dihadapi demi kesejahteraan dan kebajikan warganya.

TLDM telah belajar melalui kes ini dalam menyediakan mekanisme dan sistem bantuan khidmat nasihat bagi mencegah peminjaman daripada pihak ah long.

Melalui penyelesaian ini, TLDM dapat membendung kes hutang terlampau dan secara langsung akan mendapat memotivasikan warga TLDM dalam pengurusan kewangan agar perkara ini tidak berulang.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi yang terlibat iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang membantu serta pihak yang memberikan kerjasama dalam menangani isu ini.

Penulis ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pulihkan semangat golongan gelandangan, bantu mereka berdikari


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

“LANGIT sebagai atap rumahku dan bumi sebagai lantainya, Hidupku menyusuri jalan, sisa orang yang aku makan”, itulah petikan lirik lagu Gelandangan oleh Rhoma Irama.

Menghayati bait-bait lirik ini menjadikan kita tertanya-tanya di manakah keluarga mereka? Mengapa memilih jalan begini sanggup meneruskan hidup sebatang kara? Tidur di kaki lima, makan sisa makanan, mengemis dengan wajah yang penuh dengan keperitan dan ketagihan dadah dan sebagainya tetapi kita tidak tahu apa puncanya.

Golongan yang dikenali sebagai gelandangan ini bergantung harap pada lantai simen di kaki jalan buat peneman tidur di kala malam. Pemandangan yang tidak sihat ini akan mencerminkan imej negara kita dan menjadi persepsi masyarakat luar terutama pelancong-pelancong. Ini akan menjejaskan imej ibu kota dan ekonomi apabila melibatkan industri pelancongan negara. Berdasarkan sistem maklumat golongan gelandangan yang mula digunakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2007 hingga 2011, terdapat seramai 7,833 orang gelandangan yang telah diselamatkan.

Golongan gelandangan ini adalah individu yang hidup dalam keadaan tidak sesuai dengan norma kehidupan yang layak dalam masyarakat setempat. Mereka juga tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap di wilayah tertentu dan hidup mengembara di tempat umum. Persoalan di sini, Malaysia adalah negara yang pemurah dan sering membantu dan menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Usaha murni seperti membantu rakyat di luar negara seperti Palestin di Gaza, membantu rakyat Rohingya dan sebagainya memang sangat baik. Namun, rakyat kita sendiri sepatutnya didahulukan untuk dibantu dalam semua aspek khususnya golongan gelandangan ini. Selepas gelandangan dibantu dan jalan diberi makan, mereka perlu belajar berdikari bukan sentiasa duduk dan tunggu tanpa usaha.

JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius isu golongan gelandangan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga prihatin dengan isu gelandangan. Syabas diucapkan kerana menganjurkan program Salam Ramadan bagi membantu gelandangan di bulan puasa. Program Midnight Run yang disertai 120 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Sahabat Motor telah mengagihkan 200 bungkusan makanan untuk bersahur kepada golongan gelandangan.

Dalam pada itu KPWKM telah menubuhkan Pusat Sehenti Intervensi yang pertama bagi membantu golongan ini yang mula beroperasi pada 9 April 2011. Sejak memulakan operasi hingga 29 Februari 2012, seramai 458 orang gelandangan mendapat perkhidmatan di Anjung Singgah. Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan bantuan dan perkhidmatan kepada golongan gelandangan harus bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui Program Bantuan Bersepadu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan dua buah Anjung Singgah masih tidak mencukupi dan mengharapkan NGO dapat membantu lebih daripada itu termasuk pencarian kerja. Bukan setakat itu, mereka juga mengikuti latihan vokasional, pertanian, kraf tangan, bimbingan agama, dan juga rekreasi.

Toh Puan Seri Wan Hibatul Hidayah Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Projek Khas Anjung Singgah berusaha membantu golongan ini berniaga dengan cuba mendapatkan lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Usaha murni kerajaan ini turut melatih penghuninya untuk berdikari. Sehingga 20 Disember 2012 sejak ditubuhkan April lalu, 150 orang gelandangan sudah mendapat pekerjaan.

Saya merasakan golongan pendidik dan profesional serta NGO perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan secara proaktif isu orang gelandangan atau mereka yang tidak berumah. Bagaimanapun, kita patut bersyukur kerana keadaan golongan tersebut di negara ini tidak seteruk negara lain. Ia berikutan langkah progresif kerajaan yang berjaya mengurangkan jumlah golongan itu menerusi program-program yang mampu meringankan beban mereka.

Sebenarnya banyak program dan pelbagai pihak telah membantu golongan gelandangan ini. Usaha Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) umpamanya perlu dipuji dengan mengadakan kerjasama dengan NGO, Reach Out Malaysia untuk memberi bantuan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Selama 12 bulan tahun lepas, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat menyatakan 500 bungkusan makanan diagihkan setiap bulan untuk golongan tersebut dan ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR). Apa kata, jika bank-bank di Malaysia dapat bergabung, bersatu dan membantu golongan gelandangan. Bukan setakat memberikan makanan tetapi membantu lebih daripada itu seperti menyediakan kursus-kursus kepakaran untuk mereka belajar berdikari daripada hanya menunggu untuk diberi.

Program Roti 1Malaysia dilancarkan baru-baru ini juga satu usaha yang perlu kita puji dan selepas tempoh percubaan pada Ogos 2011 amat membanggakan. Kita mengharapkan banyak syarikat korporat dan individu boleh menyumbangkan roti serta pastri berkualiti kepada golongan kurang bernasib baik ini.

Di sebalik program Roti 1Malaysia, terdapat beberapa hotel, bakeri, sukarelawan, penaja, pertubuhan belia dan beberapa syarikat yang turut bergabung tenaga menjayakan aktiviti kebajikan itu dan Rosmah mengharapkan program ini diperluas untuk meliputi semua pusat pendidikan awal kanak-kanak Permata.

Semoga kerajaan dapat perluaskan lagi kepada golongan gelandangan di setiap negeri turut menikmati Roti1Malaysia.

Salah seorang profesor dari sebuah universiti tempatan sudah lama beramal dengan menghantar makanan kepada gelandangan pada setiap hari Jumaat. Namun saya menanyakan soalan kepada beliau kenapa tidak membantu mereka dengan memberikan pancing ikan bukannya ikan.

Beliau menyatakan bukan mudah gelandangan didekati kerana sesetengahnya sensitif dan cadangan beliau memerlukan sesi kaunseling untuk memulihkan semangat mereka yang hilang ataupun mencari semula kekuatan diri. Beliau berharap pihak yang lebih berkemampuan sewajarnya juga tampil contohnya memberikan pekerjaan sehingga mereka boleh menampung kehidupan dengan lebih baik.

Rata-rata gelandangan yang beliau temui adalah orang baik daripada segi kemanusiaannya namun nasib tidak menyebelahi mereka. Biasalah, roda-roda kehidupan.

Maklumat yang saya terima, segelintir gelandangan mengambil kesempatan dan tidak mahu berusaha dengan menunggu semuanya diberi nanti. Mengambil kesempatan dengan berlakon sementara dan berpura-pura demi menikmati segala kemudahan disediakan. Itu perkara sensitif untuk dijawab. Golongan gelandangan, tepuk dada tanyalah hati sendiri. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 15 Januari 2013

Semakan Tawaran Ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Tingkatan 4 Sesi 2013


Para pelajar yang memohon untuk memasuki Tingkatan 4 2013 di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia boleh menyemak keputusan permohonan mereka secara  atas talian (online).

Semakan keputusan permohonan ke Tingkatan 4 SBP boleh dibuat dengan menggunakan angka giliran PMR atau nombor MyKad pemohon.

Semakan permohonan SBP boleh dibuat mulai  16 Januari 2013 (RABU) .

Keputusan permohonan ke Tingkatan 4 SBP 2013 boleh disemak di Laman rasmi KPM  di alamat :  http://www.moe.gov.my/.

Sila semak dengan teliti maklumat yang dipaparkan.

Sekiranya anda berjaya dan bersetuju dengan tawaran tersebut, surat dan lampiran tawaran MESTI DICETAK SEGERA dan dibawa semasa hari pendaftaran.

Pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat, boleh membuat rayuan secara online mulai 16 Januari 2013.

Keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran.

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Penjawat Awam Perlu Miliki Ciri-Ciri Positif Penakluk Dunia


PUTRAJAYA : Penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan ciri-ciri positif penakluk dunia terkemuka antaranya mempunyai daya kekuatan dan ketahanan, kebijaksanaan berunding dan mampu bertindak sebagai satu pasukan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata ciri-ciri itu membolehkan Alexander The Great, Genghis Khan, Asoka the Great, Jabal al Tariq, Napoleon Bonaparte dan Hannibal The Great menakluki dunia dan kejayaan mereka diingati selama-lamanya.

Beliau berkata penjawat awam mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka jika menghayati ciri-ciri istimewa penakluk dunia itu termasuk visi yang menarik, kepimpinan luar biasa, kuasa motivasi, komunikasi, rundingan berkesan, daya ketahanan dan percaya terhadap kemampuan tentera mereka sebagai satu pasukan kental.

"Dalam perspektif perkhidmatan awam, signifikasi dan kisah-kisah penaklukan luar biasa ini boleh dihayati dan dijadikan sumber tenaga dan inspirasi untuk menangkis tohmahan yang sering didengari seperti keengganan penjawat awam untuk mencabar status quo, membuat perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak serta berkongsi sumber dan kepakaran.

"Kita tidak boleh berada di takuk lama ciptaan kita sendiri lalu menjadikan budaya silo atau keterpisahan serta ketaksuban menjaga sempadan masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Felo Intan dan penyampaian Diploma Intan 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, PICC, Selasa.

Beliau berkata penjawat awam juga perlu mengenal pasti bantuan sumber, infrastruktur dan sentiasa bersedia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini dalam menyediakan perkhidmatan awam yang terbaik.

Ali berkata selain menjadi produktif, kreatif dan berinovasi, penjawat awam juga mesti jujur, adil dan prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

"Bagi meniti ketidakmustahilan, kita perlu mempunyai keberanian, kecekalan daya fikiran, perancangan dan keinginan untuk membuat sesuatu di luar dugaan yang dapat melakar kejayaan yang boleh dibanggakan.

"Kita tidak perlu menunggu satu-satu Pekeliling atau arahan bertulis dikeluarkan barulah bertindak, sebaliknya proaktif untuk melaksanakannya dengan mencari jalan memudahkan dan bukan menyusahkan," katanya.

Pada majlis itu Tan Sri Ismail Adam dianugerah Tokoh Felo Intan 2012 manakala 458 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menerima Diploma Intan. - BERNAMA

ISU KEPENGGUNAAN : Hentikan budaya hutang, boros


Oleh : S. M. MOHAMED IDRIS

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan satu laporan berita akhbar yang mendedahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggotanya.

Menurut berita itu lagi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, bayaran itu merupakan jumlah yang berjaya dikurangkan hasil perundingan bersama pihak berkenaan walaupun jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar RM370,000.

Katanya, kegiatan meminjam wang daripada 'lintah darat' itu melibatkan anggota pelbagai pangkat dan dalam hal itu, TLDM menggunakan pendekatan penerangan dan ceramah untuk membantu mereka.

CAP berpandangan pihak TLDM tidak sepatutnya menggunakan wang awam untuk digunakan bagi menyelesaikan hutang ah long yang diambil oleh anggotanya kerana ini akan memberikan satu contoh yang tidak baik.

Ini kerana ia akan memberikan persepsi atau tanggapan dalam kalangan anggota TLDM bahawa adalah tidak salah untuk meminjam dan berhutang dengan ceti haram atau ah long kerana sekiranya gagal untuk membayarnya pihak berkuasa akan menyelesaikan hutang itu.

Pendedahan ini juga menunjukkan bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja melibatkan anggota TLDM yang mengamalkan dan terjebak dengan budaya meminjam wang dan berhutang daripada ceti haram dan ah long walaupun sudah lama pihak kami berusaha mendidik pengguna agar mengelakkan budaya hutang dan boros.

Eloklah kita menginsafi hakikat bahawa hutang isi rumah di negara ini pada 2010 ialah sebanyak RM577 bilion. Segenap lapisan masyarakat di negara ini sanggup berhutang bagi memenuhi tuntutan gaya hidup moden termasuk mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Namun hidup mereka akhirnya semakin merana apabila Jabatan Insolvensi Malaysia terpaksa mengisytiharkan 85,175 daripada mereka sebagai muflis kerana tidak mampu membayar hutang.

Tiga jenis hutang lazimnya dibuat oleh peminjam yang sesetengahnya mahu hidup bergaya iaitu hutang sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi, pembelian saham dan kad kredit serta pinjaman perumahan.

Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini seperti yang tertera di atas. Kegagalan menguruskan hutang mengakibatkan 85,175 rakyat negara ini menjadi bankrap ketika usia muda.

Berikut adalah kes muflis di Malaysia. Sebanyak 85,175 kes dari tahun 2007 hingga Mac 2012.

Sewa beli kenderaan 21,796 kes, pinjaman peribadi 12,547 kes, pinjaman perumahan 12,098 kes dan pinjaman perniagaan 9,865 kes (Sumber: Jabatan Insolvensi Malaysia).

Bagi mereka yang sudah pun terjebak dengan budaya meminjam dan berhutang ini, tidak ada jalan lain kecuali melunaskan hutang mereka sekiranya tidak mahu menanggung risiko berdepan dengan pelbagai kerenah ceti haram dan ah long.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang itu meminjam atau berhutang antaranya bermain judi tetapi ada juga yang meminjam dan berhutang kerana hendak hidup mewah atau terpengaruh dengan gaya hidup orang lain yang lebih mewah daripada mereka.

Inilah masalahnya yang sering melanda masyarakat kita, kalau tidak mampu untuk memiliki sesuatu dalam hidup kita ini, usahlah membebankan diri dengan meminjam dan berhutang yang akhirnya menjerat diri sendiri.

Terimalah hakikat kemampuan gaji dan pendapatan kita serta hiduplah dengan sikap sederhana (terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Tidak akan kekurangan orang yang hidup sederhana).

Orang yang membelanjakan harta dengan secara berhemat dan sederhana tidak akan menjurus kepada pemborosan dan berlebih-lebihan dan sudah tentu tidak akan kekurangan. Satu lagi sikap yang perlu diamalkan ialah Qanaah iaitu cukuplah dengan apa yang ada, seperti kata pepatah Melayu ukurlah baju di badan sendiri.

Jangan sekali-kali terpedaya dengan iklan-iklan yang terpapar di dalam media massa baik media elektronik atau media cetak terutama sekali pada musim-musim perayaan yang menonjolkan budaya hidup mewah, boros dan membazir yang semuanya berpaksikan kepada wang.

Dalam masyarakat kita, memang terdapat mereka yang suka meminjam wang, gemar hidup bergaya lebih daripada kemampuan serta berbelanja lebih daripada pendapatan, banyak orang kelihatan hidup senang walaupun pada hakikatnya kesenangan itu berasaskan kepada hutang.

Satu lagi amalan buruk di dalam masyarakat kita ialah membazir. Kini amalan membazir di dalam masyarakat nampaknya tidak dibendung malah semakin dibiarkan.

Perilaku membazir ini dapat dilihat di dalam pelbagai bentuk seperti membazir makanan, aksesori dan hiasan diri, pembaziran di dalam rumah, membazir di dalam pakaian, hiasan dan perabot rumah serta pejabat.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mencegah menularnya budaya meminjam, berhutang, membazir dan boros dalam kalangan rakyat negara ini.

Pihak berkuasa juga digesa agar mengawal dan memantau iklan-iklan yang disiarkan di dalam media massa  agar tidak menggalakkan masyarakat ke arah budaya hidup mewah, boros dan membazir.

Masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan cara hidup sederhana, berjimat-cermat, tidak boros dan membazir di dalam hidup dan menginsafi bahawa masih ada anggota masyarakat yang hidup di dalam kemiskinan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/