Sabtu, 19 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan jasmani dilonjak


Oleh : Mahfar Ali | mafa@bharian.com.my

Alabama : Pendidikan jasmani di sekolah menerima lonjakan baru apabila kumpulan pertama 1,018 guru selesai menjalani program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani, bulan lalu.

Program yang bermula Jun lalu itu diadakan dengan kerjasama United States SportsAcademy (USSA) dan mendapat kelulusan Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu diadakan selaras dengan dasar ‘Satu Murid Satu Sukan’ yang diperkenalkan untuk membentuk sahsiah pelajar dan melahirkan lebih ramai juara sukan.

“Pembangunan sukan mesti bermula di sekolah. Sebab itu kita memerlukan guru terlatih,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua harinya ke Alabama, Amerika Syarikat.

Ketika di sini, Muhyiddin melawat sekolah berprestasi tinggi Daphne High School dan menerima anugerah Doktor Kehormat Antarabangsa 2012 USSA di kampus akademi itu.

Muhyiddin adalah pemimpin Malaysia ketiga menerima anugerah itu selepas bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar (2008) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1990 (ketika itu Menteri Pertahanan).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif USSA, Dr Thomas P Rosandich, dalam ucapan pada majlis penganugerahan itu, berkata inisiatif berwawasan Muhyiddin memperkenalkan program sukan untuk pelajar mendorong USSA membangunkan program diploma bagi negara Asia Tenggara.

USSA yang diasaskan Rosandich pada 1972, kini menjalin kerjasama dengan lebih 65 negara.

Rosandich berkata, Muhyiddin memperkenalkan dasar ‘Satu Murid Satu Sukan’ dan melihat keperluan untuk menyediakan latihan teratur untuk guru pendidikan jasmani yang menyelia pembangunan pelajar dalam bidang sukan.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri juga banyak menyumbang dalam meningkatkan pencapaian sukan di Malaysia, termasuk ketika Sukan Komanwel pada 1998 di Kuala Lumpur.

Muhyiddin dalam ucapannya pula berkata, sukan memainkan peranan penting bukan saja dalam membentuk sahsiah diri, tetapi mempunyai kesan penggandaan dalam menyatukan rakyat.

Hadir sama pada majlis itu, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof serta Duta Besar Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU UMUM : Umur kian singkat, ajal makin dekat

MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah hampir sebulan memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.

Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?”

Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adalah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun.

Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.

Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.

Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak.

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru.

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita.

Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya.

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah.

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting.

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu.

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun.

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa.

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir dengan  diri kita adalah kematian.

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini.

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda.

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai.

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip mata saja.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri.

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya.

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah.

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri.

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama.

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya.

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain.

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan.

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas. Berubah jangan jadikan ia upacara bermusim. Berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah.

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU KENEGARAAN : Literasi politik didik penyokong beradab


Oleh :  Dr Mansor Mohd Noor
 
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008, Barisan Nasional (BN) kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen. Hal yang sama berlaku pada peringkat Dewan Undangan Negeri yang mana BN kalah di beberapa negeri.

Perubahan jumlah undi yang dimenangi parti bertanding tidak pernah menjejaskan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Ini perlu diperakui sebagai aset politik termahal dalam amalan demokrasi di Malaysia. Perbezaan pandangan dan pertikaman lidah diselesaikan melalui pilihan raya. Kita berharap kaedah keganasan sebagai satu jalan keluar tidak pernah menjadi pilihan pengundi pelbagai etnik di negara ini.

Namun begitu perkembangan budaya politik mutakhir ini kelihatan tidak begitu sihat. Beberapa pemimpin politik dan segelintir penyokong parti bertindak liar seperti memijak gambar pemimpin negara dan menghasut pendemonstrasi jalanan untuk bertindak ganas dan melanggar undang-undang. Hal ini perlu dikaji berteraskan ilmu dan kefahaman literasi politik yang mendalam.

Kepemimpinan negara, tanpa mengira parti politik dan ideologi, perlu sedar dan mendidik amalan berpolitik dalam kerangka demokrasi kepada penyokong masing-masing. Dalam suasana pengundi sedemikian rupa, negara bukan saja tidak stabil tetapi dipenuhi pertentangan politik dan demonstrasi jalanan berpanjangan hingga kestabilan politik, sosial dan kemajuan negara terkorban.

Kepemimpinan politik perlu mendidik rakyat dan penyokong mereka dengan ilmu mengenai literasi politik supaya mereka memahami erti demokrasi, institusi politik, keadilan dan toleransi. Ini akan melahirkan rakyat yang peka dengan nilai utama kemanusiaan mengenai kebebasan, hak dan keadilan.

Literasi politik itu bukan hanya semata-mata undi dimenangi dalam pilihan raya. Memenangi pilihan raya adalah permulaan untuk memahami pelaksanaan politik yang menetapkan konsep kerajaan, parti pemerintah, federalisme, kuasa Persekutuan dan kuasa Undang-undang Tubuh Negeri, kuasa eksekutif, birokrasi dan kehakiman dalam mereka menggubal dasar awam demi memakmurkan dan mensejahterakan rakyat jelata.

Perlu kenali parti politik

Oleh itu, sebelum mengundi, pengundi perlu mengenali parti politik dan calon yang akan bertanding serta dasar awam alternatif mereka, ideologi perjuangan mereka, manifesto parti dan rekod prestasi perkhidmatan parti dan calon mereka.

Rakyat pada hari ini didapati lebih rencam berbanding sebelum 1990-an yang mana perkongsian norma bersama yang merentas kumpulan etnik dan agama melahirkan pengundi yang peka dengan prestasi kerajaan, parti dan kepemimpinan politik yang boleh menjamin maruah, masa depan dan negara mereka. Mereka mahu berdialog dan berkomunikasi dengan kepemimpinan politik.

Justeru, kebebasan bersuara, kebebasan berkumpulan dan berpersatuan perlu diarusperdanakan. Menerusi kaedah penulisan, ceramah dan perbahasan politik, bukan saja literasi politik rakyat akan terbina tetapi juga memberi input untuk bakal pemimpin negara dengar dan dijadikan asas penggubalan dasar awam yang dekat di hati rakyat nanti.

Syor pendaftaran secara automatik

Suara golongan muda ini yang mahu pendaftaran secara automatik selepas mencapai umur 21 tahun dan penggunaan biometrik yang lebih terjamin dan canggih berbanding penggunaan dakwat penanda kuku yang menjadi amalan negara dunia ketiga perlu dipertimbang SPR.

Budaya mempolitikkan dasar awam dan pelaksanaan pembangunan di negara ini juga perlu dikurangkan dengan menetapkan tarikh pilihan raya umum tiga bulan sebelum tamat penggal pemerintahan sesuatu kerajaan dipilih pengundi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat.

Dalam tempoh tiga bulan itu kerajaan sementara dibentuk untuk mengurus perjalanan negara yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik sedia ada. Semasa pemerintahan kerajaan sementara hingga ke hari pengundian, SPR perlu tegas terhadap setiap parti politik dan calon yang akan bertanding untuk mematuhi Akta dan Peraturan SPR, terutama amalan rasuah politik dan penyalahgunaan kuasa sumber serta jentera kerajaan.

Golongan muda ini juga diperhatikan telah bersama golongan kelas menengah yang merentas kumpulan etnik membabitkan diri mereka melalui dunia siber dan NGO untuk memastikan perjalanan demokrasi berjalan dengan baik dan adil.

Peningkatan mendadak golongan muda mendaftar sebagai pengundi, terutama di Selangor tidak perlu disalahertikan dan dipolitikkan kerana ia menjadi bukti kepada kesungguhan golongan ini untuk memastikan maruah dan masa depan mereka terjamin. Ini sekali gus adalah kejayaan SPR yang bertungkus lumus melalui pelbagai cara berkempen di merata tempat untuk mendekati pengundi ini supaya mendaftarkan diri mereka.

Pemilikan ilmu dan kemahiran literasi politik dalam kalangan pengundi pasti akan membantu pengundi untuk membuat keputusan politik yang tepat demi memastikan kelangsungan hidup dan masa depan negara terjamin.

Sesungguhnya literasi politik membolehkan pemimpin dan parti politik serta rakyat menjadi lebih rasional, objektif dan turut memainkan peranan dalam pembinaan budaya demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia yang sihat dan aman.

Penulis ialah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Di atas padang sejarah



Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.

Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya.

Kita bersama menjulang panji negara,
bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah  pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi  rindu demokrasi.

Diri kita amat padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyuburkan kuning berseri.

Kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan;
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.


A. SAMAD SAID.
2—3, Oktober, 2012.

ISU EKONOMI : Malaysia destinasi percutian paling mesra bagi pelancong Muslim


KUALA LUMPUR - Pemilihan Malaysia destinasi percutian paling mesra di dunia bagi pelancongan Muslim oleh 'Crescentrating' baru-baru ini adalah wajar kerana negara ini mempunyai banyak kemudahan kepada pelancong yang beragama Islam.
  
Presiden Persatuan Pemandu-Pemandu Pelancong Bumiputera Malaysia, Zulkifli Ismail berkata Malaysia sememangnya layak berada di kedudukan tersebut memandangkan wujudnya pelbagai kemudahan dan produk pelancongan Muslim di negara ini.
  
"Selain mudah mendapat akses makanan halal, Malaysia merupakan antara negara yang mudah bagi pelancong Islam menunaikan solat tidak kira di mana mereka berada, termasuk di kompleks membeli-belah dan juga di lapangan terbang selain suasana yang selamat," katanya kepada Bernama.
  
Menurut tinjauan Crescentrating, perunding percutian Muslim Global, Malaysia terpilih sebagai destinasi percutian paling mesra di dunia bagi penganut Islam mengatasi Mesir, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Singapura.
  
Malaysia mendapat 8.3 mata daripada 10 mata penuh manakala Mesir berada di tempat kedua dengan 6.7 mata, diikuti UAE dan Turki yang berkongsi 6.6 mata, Arab Saudi 6.4 mata dan Singapura 6.3 mata.
 
Indonesia, Maghribi dan Jordan pula berkongsi 6.1 mata untuk berada di tangga keenam, diikuti Brunei, Qatar, Tunisia dan Oman di tangga ketujuh dengan 6.0 mata.
 
Bagi destinasi membeli-belah pula, Dubai mengatasi Kuala Lumpur sebagai destinasi tumpuan bagi penganut Islam, diikuti Istanbul, Jeddah, Kaherah, Abu Dhabi, New Delhi, London dan Doha.
  
Zulkifli berkata tinjauan tersebut turut menyenaraikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand sebagai lapangan terbang yang mesra pelancong Islam.
  
Katanya pemilihan tersebut dibuat berdasarkan bagaimana sesebuah negara tersebut mampu menampung pertambahan pelancong Islam dalam memenuhi beberapa kriteria termasuk tahap keselamatan dalam negara, penyediaan makanan halal, kemudahan mengerjakan solat dan memenuhi keperluan yang berkaitan dengan pelancong Islam.
  
"Berdasarkan pengalaman kami sebagai pemandu pelancong kepada pelancong Muslim ini, mereka sememangnya amat kagum dengan produk Islam yang ada di negara ini.

"Kebiasaannya pelancong Muslim yang datang akan dibawa ke Taman Tamadun Islam di Terengganu dan melawat seni bina bangunan di Putrajaya. Juga Muzium Kesenian Islam di Masjid Negara," katanya.
  
Beliau berkata pelancong ini juga amat tertarik dengan kraftangan dan produk kesenian Melayu seperti batik yang menjadi pilihan utama untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
  
Katanya lagi, penekanan terhadap produk halal terutama makanan juga membuatkan pelancong Muslim ini tidak gusar atau risau untuk melancong di negara ini.
  
Kebanjiran restoran berasaskan makanan Timur Tengah juga antara faktor tarikan pelancong dari negara tersebut memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
  
"Mereka juga tidak keberatan mencuba makanan tradisional Melayu yang tidak jauh beza dengan selera mereka terutama pelancong dari Indonesia dan Singapura selain ada juga penggemar dalam kalangan pelancong Timur Tengah," katanya.
  
Namun begitu, katanya masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.
  
Katanya beliau mendapat komen negatif mengenai sikap pemandu teksi yang tidak berhemah serta mengenakan tambang keterlaluan tanpa menggunakan meter kepada pelancong.
  
"Pihak berkuasa tempatan perlu memantau aktiviti 'teksi sapu' yang masih berleluasa di kawasan Bukit Bintang dan Sungai Wang.
  
"Pemandu teksi pula perlu bersikap lebih berhemah dan menitikberatkan penampilan kemas sebagai lambang 'kemesraan' kepada golongan pelancong ini," katanya.
  
Sementara itu Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Mohd Khalid Harun berkata sememangnya menjadi hasrat menjadikan pelancongan Muslim sebagai tarikan baru kepada rakyat Malaysia negara ini dan pelancong Muslim dari luar.
  
Katanya pelancongan Muslim kini mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai termasuk pelancong luar negara seperti China dan negara Arab. - Bernama

Jumaat, 18 Januari 2013

ISU SOSIAL : Hormati hak anak-anak


Bantu tingkatkan emosi, tenaga

Ibarat dua gajah sedang bertarung, sang kancil di tengah-tengah boleh mati tersepit. Begitulah dengan nasib kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi dan dipastikan keselamatannya terjamin, tetapi dibawa ke tempat yang boleh membahayakan mereka.

Setiap kanak-kanak sebaik-baiknya janganlah diheret ke kancah ‘pertelingkahan’, ‘perjuangan’ antara orang dewasa. Memang kasihan apabila melihat kanak-kanak serendah usia lima tahun diheret ke hulu ke hilir, tidur keletihan untuk menyertai aktiviti orang yang dewasa sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa-apa.

Memanglah bagi sesetengah ibu bapa dan penjaga, mereka akan berkata, itu anak mereka, ikut sukalah untuk berbuat apa saja pun.

Cuma bayangkan, bagaimana keadaan dan nasib kanak=kanak ini apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku? Bagaimana kalau dalam keadaan kelam kabut, mungkin mereka terlepas dan hilang daripada jagaan ibu bapa, terjatuh, terpijak, terhantuk, dihimpit oleh orang dewasa atau dilanggar kenderaan?

Memang sedih dan kasihan melihat segelintir anak kecil menangis dan kehausan apabila diheret ibu bapa mengharungi lautan manusia dalam perhimpunan jalanan.

Kita tidak mahu masuk campur soal hendak berdemonstrasi atau tunjuk perasaan. Cuma kita prihatin dengan nasib kanak-kanak yang turut diheret sama dengan acara yang sepatutnya untuk orang dewasa saja. Kanak-kanak adalah permata hati setiap keluarga!

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis Penyelaras Pelindung Kanak-Kanak Malaysia, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, ibu bapa yang mengheret atau membawa anak kecil berdemonstrasi di jalanan boleh dikenakan hukuman 10 tahun penjara, denda RM10,000 atau disabitkan kedua-duanya.

Perkara ini disebut dalam Akta Kanak-kanak 2001, di bawah Seksyen 31 (1) (a).

Jelasnya, menjadi kesalahan bagi ibu bapa atau penjaga membiarkan anak tanpa pengawasan individu dewasa atau meninggalkan anak untuk tempoh tidak munasabah atau membiarkan mereka dalam keadaan tidak munasabah hingga mengundang bahaya.

Prof Madya Noor Aziah berkata, biarpun kanak-kanak tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya, mereka berhak terhadap keselamatan diri sendiri.

Berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun mempunyai empat pengelasan hak utama mereka iaitu kehidupan, perkembangan, perlindungan dan penyertaan.

"Semua kanak-kanak berhak hidup, membesar dengan sihat, menikmati taraf hidup dan menjalani pemeliharaan sempurna.

“Mereka berhak mendapat belaian kasih sayang dalam suasana kekeluargaan, identiti kewarganegaraan, perlindungan daripada kesukaran dalam kecemasan, eksploitasi jenayah, peperangan atau pelarian.

"Masalahnya, ibu bapa dan golongan dewasa gagal memahami kehendak dan hak anak-anak mereka sendiri menyebabkan sesuka hati menghadiri perhimpunan bersama anak-anak. Walhal, sudah diketahui membahayakan nyawa mereka dan anak-anak jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Kerajaan juga tidak memainkan peranan dan tiada tindakan diambil bagi melindungi dan menjaga keselamatan serta hak kanak-kanak ini," katanya.

Ibu bapa, penjaga dan individu dewasa harus membezakan keperluan kehidupan kanak-kanak berbanding dewasa seperti perlu menikmati hak kelangsungan hidup, memperoleh keperluan asas seperti makanan, keselamatan, air bersih dan tempat tinggal sempurna dan positif supaya membesar dengan baik.


Individu dewasa juga patut menyediakan platform pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak untuk bermain dan hak kanak-kanak untuk menyuarakan pendapat mereka.


Usah ketepikan pendapat mereka


Melalui cara ini, kanak-kanak akan lebih mengenali jati diri, mendidik semangat bangsa dan mengenal pasti aspek ketuhanan sekali  gus menyediakan individu kanak-kanak  yang berdaya saing, kelak.

Prof Madya Noor Aziah menekankan aspek kebebasan kanak-kanak untuk bermain mengikut kesesuaian masing-masing.

Biarkan kanak-kanak melakukan aktiviti bermain yang disukai kerana ia cara mewujudkan interaksi dengan individu sekeliling. Melalui interaksi bermain, kanak-kanak dapat mempelajari perkembangan psikologi seperti menghormati orang lain dan berkongsi alat permainan bersama rakan.

"Jangan ketepikan pendapat kanak-kanak. Dengar! Apabila pendapat mereka didengari dan diambil kira golongan dewasa, ia menimbulkan perasaan dihargai.

"Konsep ini membuatkan mereka lebih mudah didekati, memudahkan hubungan komunikasi, membantu mereka meluahkan perasaan atau percayakan ibu bapa berbanding rakan sebaya," katanya mahu ibu bapa lebih bertanggungjawab menggalas tugas ‘penjaga’ bukan dibiarkan kepada pengasuh semata-mata.

Berhak diberi perlindungan

Hak perlindungan kanak-kanak juga perkara yang perlu dititikberatkan golongan dewasa. Adalah normal jika kanak-kanak gagal memahami sesuatu keadaan sama ada berbahaya, dijadikan mangsa keadaan, mengalami penderaan atau dianiayai sesiapa saja kerana tiada pendedahan atau keupayaan melawan.

Justeru, tugas ibu bapa adalah melindungi mereka daripada gangguan emosi atau seksual atau di diskriminasi akibat kekurangan diri. Dapatkan kerjasama pihak berwajib sekiranya perlu dan diyakini wujud salah laku terhadap kanak-kanak berkenaan.

Di samping itu, kanak-kanak juga perlu diberi hak mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran mereka seperti memperoleh sesuatu barangan. Sekiranya difikirkan sesuai, ibu bapa wajib menyediakan barangan diminta anak mereka.

“Ibu bapa perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat memupuk sifat murni dalam diri mereka. Didik kanak-kanak berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat kerana mereka berhak,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kuasai bahasa asing tingkat ilmu


Oleh : Mohd Rizal Azman Rifin
 
Rasulullah atur strategi perhubungan luar lahir cendekiawan Islam

Menguasai sesuatu bahasa dengan kemahiran tinggi akan membolehkan seseorang memperoleh banyak ilmu pengetahuan. Arus pemodenan dan kemajuan dunia yang begitu pesat memerlukan anjakan paradigma ke arah usaha menguasai bahasa asing.

Dunia hari ini menyaksikan kemajuan hebat yang dicapai pelbagai bangsa luar khususnya dalam lapangan sains dan teknologi. Jepun, Korea Selatan, China dan banyak lagi negara lain sudah dan sedang menampakkan kegemilangan dalam bidang itu.

Mereka begitu mengagungkan bahasa ibunda dan seandainya kita mahu belajar daripada mereka, kita hendaklah mampu menguasai bahasa mereka terlebih dulu. Dulu kita digalakkan belajar dan menguasai bahasa Inggeris, kini mempelajari lain-lain bahasa juga satu keperluan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan orang Melayu supaya belajar dan menguasai bahasa asing bagi membolehkan kita mengakses ilmu pengetahuan daripada bahasa berkenaan.

Memetik kata-kata beliau: “Orang Arab suatu ketika dulu mempelajari bahasa Greek, malah orang Eropah turut belajar bahasa Arab untuk mendapatkan ilmu.”

Sebenarnya saranan beliau ini wajar diberikan perhatian kerana sesungguhnya aspek penguasaan bahasa apatah lagi bahasa asing menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan.

Strategi perhubungan

Atas dasar itulah maka kita boleh lihat bagaimana sikap Rasulullah SAW mengenai mempelajari bahasa asing sebagai wadah dalam mengatur strategi perhubungan dengan komuniti luar juga untuk matlamat politik.

Pengaruh Yahudi di Madinah sewaktu Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin berhijrah ke sana sangat kuat khususnya dalam bidang ekonomi. Golongan Yahudi yang mendiami Madinah datangnya dari Palestin dan begitu fasih menguasai bahasa Arab tetapi sangat menjaga keutuhan bahasa Ibrani.

Meskipun rata-rata kaum Yahudi itu memusuhi Rasulullah SAW dan dengki dengan kejayaan kaum Muslim, tetapi terdapat juga dalam kalangan mereka yang memeluk Islam. Antaranya ialah Abdullah bin Salam.
Disebabkan beliau seorang ahli agama dan pakar dalam Kitab Taurat, maka Rasulullah SAW menggunakan kepakarannya berurusan dengan kaum Yahudi. Selain itu, Baginda juga meminta Zaid bin Tsabit segera mempelajari bahasa Yahudi dan mempelajari isi kitab mereka.

Dikatakan Zaid hanya mengambil masa setengah bulan saja untuk menguasai bahasa Yahudi. Rasulullah SAW melantiknya sebagai jurubahasa dan Zaid bertindak sebagai juru tulis dan penterjemah apabila Rasulullah SAW ingin berurusan dengan kaum Yahudi.

Di sini cukup jelas kepada kita bahawa Islam amat menggalakkan umatnya mempelajari bahasa asing demi kepentingan ummah. Sejarah kegemilangan tamadun Islam pada abad ke-10 hingga ke-12 dulu, kita akan ketahui kesungguhan umat Islam mempelajari bahasa asing khususnya bahasa Yunani untuk mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan.

Hasil pembelajaran yang begitu komited, mereka berjaya pula menterjemahkan buku bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab. Perintah supaya membaca seperti dalam surah Al-Alaq benar-benar menyerap masuk ke dalam jiwa ulama dan cendekiawan Muslim ketika itu.

Firman Allah SWT: “Apabila dikatakan kepadamu: Berdirilah kamu maka berdirilah nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Mujadilah, ayat 11)

Bapa Ilmu Kimia

Jabir bin Hayyan atau dikenali dengan nama Geber oleh Barat telah diangkat sebagai ‘Bapa Ilmu Kimia’ dan orang pertama yang memperincikan ilmu kimia. Malah, beliau berjaya merintis kepada pembinaan makmal untuk kajian secara sistematik.

Kejayaan beliau tidak lain kerana kebolehannya menguasai bahasa Yunani yang membolehkannya menterjemah buku sarjana Yunani.

Begitu juga Tokoh Ilmuwan Islam tersohor, Al-Khawarizmi, yang mahir dan banyak memberikan sumbangan kepada dunia dalam ilmu matematik, astronomi, muzik, kejuruteraan dan ilmu kimia. Kejayaan beliau itu juga terhasil melalui penguasaannya dalam bahasa Yunani sehingga berupaya menggali sumber ilmu dengan berkesan.

Cendekiawan Islam dulu mempelajari sesuatu ilmu termasuklah dalam bahasa asing dengan niat kerana Allah untuk manfaat ummah. Hal ini dapat kita susuri melalui satu petikan kata Al-Khawarizmi: “Cendekiawan pada masa lalu dan akan datang akan terus menulis buku-buku dalam pelbagai bidang kepakaran. Semua ini dilakukan sebagai satu ibadah dan mengharapkan balasan daripada Allah dan manfaatnya diperoleh oleh generasi akan datang.”

Sumber : http : //www.bharian.com.my/