Ahad, 20 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Hanya 6 guru mohon kebenaran aktif berpolitik



JOHOR BAHRU - Kementerian Pelajaran hanya menerima enam permohonan daripada pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, permohonan kurang memberangsangkan itu berkemungkinan disebabkan mereka bimbang dikenakan tindakan sekiranya terlibat dengan aktiviti sedemikian.

"Mungkin mereka (guru) takut dedahkan identiti sedangkan mereka tidak perlu ragu-ragu kerana kerajaan tidak akan mengambil tindakan.

"Contohnya, tiada tindakan diambil terhadap pelajar yang aktif berpolitik selepas pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilakukan.

Jadi, sebaik-baiknya, minta kebenaran jika hendak berpolitik dan jangan bawa hal politik ke dalam sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Bual Bicara Strategik Penyatuan Umat Islam Bersama Pesara Guru Negeri Johor, di sini, hari ini.

Mulai 1 Ogos 2010, kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik dengan syarat kebenaran rasmi perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata, kebenaran berpolitik dengan syarat tidak memegang jawatan penting seperti pengetua dan pegawai pelajaran itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin selain melambangkan tugas guru sebagai pemimpin bukan sekadar di bilik darjah tetapi di peringkat masyarakat.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, dialog Kabinet berkenaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan diadakan 30 Januari ini bagi membincangkan mengenai pelaksanaannya.

Dialog itu, katanya, merupakan sesi terakhir perbincangan sebelum pelan tersebut dikemukakan kepada kabinet untuk diluluskan.

September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Mengenai perbuatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai, Johor Baharu menawarkan diskaun yuran komputer bagi menggalakkan ibu bapa membayar yuran terbabit menggunakan wang Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100, beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Pelajaran Johor untuk menyiasat dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap sekolah itu.

Beliau berkata, perbuatan itu melanggar pekeliling yang dikeluarkan dan kementerian tidak mahu perbuatan seumpama itu dijadikan isu oleh ibu bapa para pelajar. - Bernama

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Akan pupuskah surat khabar?


Oleh : HAFIZAHRIL HAMID

RAMAI pihak berpandangan industri penerbitan terutama surat khabar dan majalah kini sudah sampai ke penghujung.

Keadaan ini berbeza jika dibandingkan pada 15 atau 20 tahun lepas yang mana sumber utama mendapatkan maklumat hanya berlandaskan surat khabar, buku dan majalah.

Kini surat khabar dikatakan sebagai sumber maklumat yang ketinggalan zaman jika dibandingkan dengan media baru yang semakin berleluasa penggunaannya.

Sumber media baru seperti blog, portal berita mahupun laman sosial seperti Facebook dan Twitter semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama orang muda.

Sebenarnya perkara sama pernah berlaku apabila televisyen dan radio menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat sekitar 1950-an dan 60-an.

Ramai yang berpandangan televisyen bakal mengakibatkan surat khabar akan melalui liku-liku sukar kerana peranannya yang lebih menyeluruh.

Namun surat khabar masih kekal utuh bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat bahkan menjadi teras dalam mencambah dan menyebar pemikiran rakyat.

Pupus

Terdapat pihak yang berpandangan surat khabar tidak mampu bertahan lama. Ada yang berpandangan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lagi surat khabar akan pupus.

Ada yang lebih dangkal hanya mensasarkan dalam tempoh lima tahun surat khabar akan disimpan di muzium berdasarkan kajian yang dilakukan oleh USC Annenberg's Center for the Digital Future.

Tidak dinafikan surat khabar kini melalui zaman kelamnya. Edaran akhbar di seluruh dunia kini merosot dengan mendadak atas faktor medium media baru yang bercambah tidak terkawal.

Sejak akhbar pertama di dunia, Relation aller Fürnemmen und gedenckwürdigen Historien membuat kemunculan di Jerman pada 1605, tradisi pembacaan akhbar menjadi satu kemestian dalam kehidupan seharian.

Begitu juga apabila surat khabar pertama wujud di negara ini melalui The Prince of Wales Island Gazette pada 1806 di Pulau Pinang, ia menjadi pemangkin awal dalam mendidik dan mengubah pemikiran masyarakat tempatan.

Namun kini peranan ini cuba diambil alih oleh media baru yang kebanyakannya masih belum teruji kewibawaannya.

Sehingga kini ternyata surat khabar masih mempunyai kekuatannya sendiri terutama dalam laporan berita yang tepat dan kredibel selain menjadi pilihan para pengiklan, sesuatu yang masih belum dapat ditandingi oleh media baru.

Nasib surat khabar sama ada pupus atau tidak akan hanya ditentukan oleh masyarakat jika mereka merasakan tidak lagi memerlukannya.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Chong Wei Lengkapkan Gelaran Ke-9 Terbuka Malaysia



KUALA LUMPUR : Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mencatat rekod enam kali berturut-turut bergelar juara Terbuka Malaysia Maybank sekali gus menambah koleksi trofi kesembilan kejohanan tahunan ini selepas menewaskan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia pada aksi akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad.

Pemain berusia 30 tahun itu menewaskan pemain kelima dunia dari Indonesia ini 21-7 21-8 dalam tempoh 32 minit.

Kemenangan ini juga mencatat rekod kemenangan 8 - 5 memihak kepada Chong Wei ke atas Sony sejak tahun 2007.

"Saya teruja dengan kemenangan hari ini sekali gus mencatat rekod juara sembilan kali.

"Sokongan daripada peminat-peminat yang datang juga memberi semangat untuk saya meraih kemenangan ini," jelasnya selepas perlawanan.

Sebagai rekod, Chong Wei turut meraih kejuaraan kejohanan ini pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Kejayaan ini juga merupakan rentetan kemenangan kedua Chong Wei tahun ini selepas turut menjuarai Terbuka Korea dua minggu lalu.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 17)


Membelah buluh, satu diangkat satu dipijak

Seseorang yang membelah buluh, biasanya sebelah dipijak manakala sebelah lagi diangkat kerana itulah cara membelah buluh dengan mudah. Orang tua-tua dulu menjadikannya contoh untuk dijadikan peribahasa.

Peribahasa ini bermaksud seorang pemimpin atau ketua yang tidak adil dalam melayani rakyat atau pengikut-pengikutnya. Sebelah pihak dilayan dengan baik dan terhormat, tetapi pihak yang sebelah lagi dihina atau diberi layanan yang tidak sepatutnya.

Begitu juga dalam menimbangkan sesuatu perkara yang berlaku antara dua orang atau dua puak. Dengan  jelas ia berpihak kepada seseorang atau satu puak, justeru sekiranya menjatuhkan hukuman tentulah akan  berat sebelah.

Peribahasa ini boleh dikiaskan kepada perilaku seseorang wakil rakyat dalam melayani rakyat yang diwakilinya. Setiap wakil rakyat  wajib memberikan layanan yang adil atau saksama kepada semua rakyat yang datang megadukan hal kepadanya.

Sekiranya ada antara wakil rakyat yang melakukan kezaliman seperti maksud peribahasa ini, ia bukanlah orang yang berwibawa sebagai ketua atau pemimpin rakyat. Sikap sedemikian sudah tentu akhirnya akan menyusahkan dirinya sendiri. Dalam hal ini, pemimpin sedemikian  sebenarnya tidak layak untuk menjawat jawatan wakil rakyat  kerana telah mengkhianati tanggung jawab yang telah diamanahkan kepadanya.

Dalam Islam, keadilan didefinisikan sebagai 'meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya'. Definisi ini menggambarkan bahawa keadilan bukan sahaja merupakan tuntutan agama malah ia juga adalah satu tuntutan moral yang perlu ditunaikan. Meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai adalah suatu konsep yang diterima pakai oleh manusia tanpa mengira bangsa dan agama serta warna kulit. Dalam Islam, keadilan adalah suatu yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim. Di dalam al-Quran Allah berfirman:

''Dan apabila kamu menjalankan hukuman dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil'' - al-Nisa: 58.

Ayat ini pada zahirnya lebih menumpukan kepada golongan pemerintah ataupun mereka yang mempunyai  kuasa  kerana golongan inilah yang banyak sekali terlibat di dalam menjatuhkan sesuatu hukuman atau keputusan yang berkaitan dengan kebajikan rakyat jelata. Keadilan dalam konteks ini bermaksud bahawa para pemerintah mestilah menjalankan segala tanggungjawab yang mereka pikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Keadilan mestilah diberikan kepada setiap rakyat tanpa mengira kedudukan mereka. Hal ini kerana setiap  rakyat berada di bawah tanggungjawab pemerintah dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat nanti. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: ''Setiap orang di antara kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang orang yang berada di bawah jagaan mereka.''

Berdasarkan kepada hadis ini, kita dapat melihat bahawa tanggungjawab melakukan keadilan bukan sahaja kepada pemerintah bahkan kepada setiap individu. Ibu bapa mesti berlaku adil terhadap anak-anak mereka. Mereka perlu diberi layanan yang sama rata tanpa membezakan mereka.

Suami mesti berlaku adil terhadap isteri mereka. Jika mereka mempunyai lebih daripada satu isteri, maka keadilan adalah suatu perkara yang tidak boleh diabaikan. Keadilan dalam hal ini adalah bermaksud keadilan dari sudut nafkah zahir dan batin. Namun keadilan dalam sudut perasaan serta kasih sayang tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana perkara seumpama ini tidak mungkin dapat dipenuhi kerana fitrah manusia sememangnya begitu. Kerana sifat-sifat tertentu yang dimiliki, isteri pertama mungkin lebih dikasihi daripada isteri kedua ataupun sebaliknya. Dalam konteks ini Allah berfirman: ''Kamu pasti tidak akan mampu untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu meskipun kamu benar-benar mahu melakukannya.'' al-Nisa 29. Walau bagaimanapun, jangan pula kerana kasih sayang terhadap seseorang isteri membawa kepada ketidakadilan terhadap isteri yang lain.

Majikan juga perlu berlaku adil kepada semua pekerja mereka. Mereka tidak seharusnya menjadikan ikatan persaudaraan, persahabatan atau kenalan sebagai jalan mudah untuk memberi sokongan untuk kenaikan pangkat atau sebagainya tanpa mengira kualiti kerja serta disiplin yang ditunjukkan. Sikap seumpama ini akan melahirkan rasa tidak senang dalam kalangan pekerja lain dan ini akan membawa kepada ketidakikhlasan mereka di dalam menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan. Akhirnya produktiviti akan berkurangan, pekerja akan suka 'curi tulang' dengan alasan bahawa kesungguhan mereka bekerja tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan dan akhirnya negara juga akan mengalami kesukaran untuk membangun dengan lebih pesat lagi.

Dalam hal ini, semua pihak seharusnya menjauhkan diri daripada melakukan suatu amalan yang boleh membawa kepada masalah sama ada kecil atau pun besar. Kita seharusnya menggembleng tenaga untuk menyelesaikan segala masalah yang ada dan bukan untuk menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

Keadilan dalam Islam juga dapat dilihat dalam melaksanakan hukuman seperti hudud dan qisas apabila setiap tuduhan hendaklah disandarkan kepada syahadah (persaksian). Persaksian pula bukan daripada sebarang orang. Mereka yang boleh menjadi saksi adalah mereka yang adil iaitu mereka yang tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ''Maka ambillah dua orang saksi yang adil daripada kalangan kamu (orang Mukmin)'' - al-Talaq:2.

Tujuan arahan ini adalah jelas untuk melindungi mereka yang tertuduh agar tidak dianiayai oleh mereka yang tidak menyukai atau memusuhi  mereka. Keadilan di dalam Islam adalah suatu tuntutan dan keadilan ini juga adalah merupakan salah satu daripada ciri ketakwaan. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ''Hendaklah kamu berlaku adil, kerana keadilan itu lebih hampir kepada ketakwaan'' - al-Maidah:8.

Lantaran itu jika keadilan ini dapat dilaksanakan oleh semua manusia, pastilah kehidupan kita di dunia ini akan menjadi lebih ceria dan bahagia, negara juga akan menjadi aman damai serta harmoni sepanjang masa.

Sabtu, 19 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan jasmani dilonjak


Oleh : Mahfar Ali | mafa@bharian.com.my

Alabama : Pendidikan jasmani di sekolah menerima lonjakan baru apabila kumpulan pertama 1,018 guru selesai menjalani program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani, bulan lalu.

Program yang bermula Jun lalu itu diadakan dengan kerjasama United States SportsAcademy (USSA) dan mendapat kelulusan Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu diadakan selaras dengan dasar ‘Satu Murid Satu Sukan’ yang diperkenalkan untuk membentuk sahsiah pelajar dan melahirkan lebih ramai juara sukan.

“Pembangunan sukan mesti bermula di sekolah. Sebab itu kita memerlukan guru terlatih,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua harinya ke Alabama, Amerika Syarikat.

Ketika di sini, Muhyiddin melawat sekolah berprestasi tinggi Daphne High School dan menerima anugerah Doktor Kehormat Antarabangsa 2012 USSA di kampus akademi itu.

Muhyiddin adalah pemimpin Malaysia ketiga menerima anugerah itu selepas bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar (2008) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1990 (ketika itu Menteri Pertahanan).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif USSA, Dr Thomas P Rosandich, dalam ucapan pada majlis penganugerahan itu, berkata inisiatif berwawasan Muhyiddin memperkenalkan program sukan untuk pelajar mendorong USSA membangunkan program diploma bagi negara Asia Tenggara.

USSA yang diasaskan Rosandich pada 1972, kini menjalin kerjasama dengan lebih 65 negara.

Rosandich berkata, Muhyiddin memperkenalkan dasar ‘Satu Murid Satu Sukan’ dan melihat keperluan untuk menyediakan latihan teratur untuk guru pendidikan jasmani yang menyelia pembangunan pelajar dalam bidang sukan.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri juga banyak menyumbang dalam meningkatkan pencapaian sukan di Malaysia, termasuk ketika Sukan Komanwel pada 1998 di Kuala Lumpur.

Muhyiddin dalam ucapannya pula berkata, sukan memainkan peranan penting bukan saja dalam membentuk sahsiah diri, tetapi mempunyai kesan penggandaan dalam menyatukan rakyat.

Hadir sama pada majlis itu, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof serta Duta Besar Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU UMUM : Umur kian singkat, ajal makin dekat

MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah hampir sebulan memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.

Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?”

Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adalah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun.

Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.

Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.

Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak.

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru.

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita.

Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya.

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah.

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting.

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu.

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun.

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa.

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir dengan  diri kita adalah kematian.

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini.

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda.

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai.

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip mata saja.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri.

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya.

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah.

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri.

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama.

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya.

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain.

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan.

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas. Berubah jangan jadikan ia upacara bermusim. Berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah.

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU KENEGARAAN : Literasi politik didik penyokong beradab


Oleh :  Dr Mansor Mohd Noor
 
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008, Barisan Nasional (BN) kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen. Hal yang sama berlaku pada peringkat Dewan Undangan Negeri yang mana BN kalah di beberapa negeri.

Perubahan jumlah undi yang dimenangi parti bertanding tidak pernah menjejaskan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Ini perlu diperakui sebagai aset politik termahal dalam amalan demokrasi di Malaysia. Perbezaan pandangan dan pertikaman lidah diselesaikan melalui pilihan raya. Kita berharap kaedah keganasan sebagai satu jalan keluar tidak pernah menjadi pilihan pengundi pelbagai etnik di negara ini.

Namun begitu perkembangan budaya politik mutakhir ini kelihatan tidak begitu sihat. Beberapa pemimpin politik dan segelintir penyokong parti bertindak liar seperti memijak gambar pemimpin negara dan menghasut pendemonstrasi jalanan untuk bertindak ganas dan melanggar undang-undang. Hal ini perlu dikaji berteraskan ilmu dan kefahaman literasi politik yang mendalam.

Kepemimpinan negara, tanpa mengira parti politik dan ideologi, perlu sedar dan mendidik amalan berpolitik dalam kerangka demokrasi kepada penyokong masing-masing. Dalam suasana pengundi sedemikian rupa, negara bukan saja tidak stabil tetapi dipenuhi pertentangan politik dan demonstrasi jalanan berpanjangan hingga kestabilan politik, sosial dan kemajuan negara terkorban.

Kepemimpinan politik perlu mendidik rakyat dan penyokong mereka dengan ilmu mengenai literasi politik supaya mereka memahami erti demokrasi, institusi politik, keadilan dan toleransi. Ini akan melahirkan rakyat yang peka dengan nilai utama kemanusiaan mengenai kebebasan, hak dan keadilan.

Literasi politik itu bukan hanya semata-mata undi dimenangi dalam pilihan raya. Memenangi pilihan raya adalah permulaan untuk memahami pelaksanaan politik yang menetapkan konsep kerajaan, parti pemerintah, federalisme, kuasa Persekutuan dan kuasa Undang-undang Tubuh Negeri, kuasa eksekutif, birokrasi dan kehakiman dalam mereka menggubal dasar awam demi memakmurkan dan mensejahterakan rakyat jelata.

Perlu kenali parti politik

Oleh itu, sebelum mengundi, pengundi perlu mengenali parti politik dan calon yang akan bertanding serta dasar awam alternatif mereka, ideologi perjuangan mereka, manifesto parti dan rekod prestasi perkhidmatan parti dan calon mereka.

Rakyat pada hari ini didapati lebih rencam berbanding sebelum 1990-an yang mana perkongsian norma bersama yang merentas kumpulan etnik dan agama melahirkan pengundi yang peka dengan prestasi kerajaan, parti dan kepemimpinan politik yang boleh menjamin maruah, masa depan dan negara mereka. Mereka mahu berdialog dan berkomunikasi dengan kepemimpinan politik.

Justeru, kebebasan bersuara, kebebasan berkumpulan dan berpersatuan perlu diarusperdanakan. Menerusi kaedah penulisan, ceramah dan perbahasan politik, bukan saja literasi politik rakyat akan terbina tetapi juga memberi input untuk bakal pemimpin negara dengar dan dijadikan asas penggubalan dasar awam yang dekat di hati rakyat nanti.

Syor pendaftaran secara automatik

Suara golongan muda ini yang mahu pendaftaran secara automatik selepas mencapai umur 21 tahun dan penggunaan biometrik yang lebih terjamin dan canggih berbanding penggunaan dakwat penanda kuku yang menjadi amalan negara dunia ketiga perlu dipertimbang SPR.

Budaya mempolitikkan dasar awam dan pelaksanaan pembangunan di negara ini juga perlu dikurangkan dengan menetapkan tarikh pilihan raya umum tiga bulan sebelum tamat penggal pemerintahan sesuatu kerajaan dipilih pengundi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat.

Dalam tempoh tiga bulan itu kerajaan sementara dibentuk untuk mengurus perjalanan negara yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik sedia ada. Semasa pemerintahan kerajaan sementara hingga ke hari pengundian, SPR perlu tegas terhadap setiap parti politik dan calon yang akan bertanding untuk mematuhi Akta dan Peraturan SPR, terutama amalan rasuah politik dan penyalahgunaan kuasa sumber serta jentera kerajaan.

Golongan muda ini juga diperhatikan telah bersama golongan kelas menengah yang merentas kumpulan etnik membabitkan diri mereka melalui dunia siber dan NGO untuk memastikan perjalanan demokrasi berjalan dengan baik dan adil.

Peningkatan mendadak golongan muda mendaftar sebagai pengundi, terutama di Selangor tidak perlu disalahertikan dan dipolitikkan kerana ia menjadi bukti kepada kesungguhan golongan ini untuk memastikan maruah dan masa depan mereka terjamin. Ini sekali gus adalah kejayaan SPR yang bertungkus lumus melalui pelbagai cara berkempen di merata tempat untuk mendekati pengundi ini supaya mendaftarkan diri mereka.

Pemilikan ilmu dan kemahiran literasi politik dalam kalangan pengundi pasti akan membantu pengundi untuk membuat keputusan politik yang tepat demi memastikan kelangsungan hidup dan masa depan negara terjamin.

Sesungguhnya literasi politik membolehkan pemimpin dan parti politik serta rakyat menjadi lebih rasional, objektif dan turut memainkan peranan dalam pembinaan budaya demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia yang sihat dan aman.

Penulis ialah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/