Khamis, 7 Februari 2013

ISU KENEGARAAN : Panduan buat calon PRU13


FOKUS BERITA - Debaran menunggu tarikh pilihan raya akan berakhir tidak lama lagi kerana kerajaan sedia ada akan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat pada bila-bila masa sebelum 28 April 2013. Lebih-lebih lagi mandat Dewan Rakyat akan berakhir pada tarikh yang sama.

Ahli politik semua parti sama ada dalam kerajaan atau pembangkang bertanding untuk 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kecuali Sarawak.

Bagaimanapun pasti ada yang terfikir apa keperluan untuk bertanding dalam pilihan raya, terutama Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU13), yang akan memperkenalkan beberapa peraturan baharu untuk memastikan lebih ketelusan.

Untuk mendidik masyarakat umum dan media, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan sesi taklimat di Bernama pada 17 Januari. Semasa taklimat itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar membangkitkan beberapa perkara berkaitan calon dan peraturan baharu.

Kelayakan  menjadi calon

Antara syarat menjadi calon pilihan raya ialah pastinya seseorang itu warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas. Calon mestilah tidak tergolong dalam kategori bankrap yang belum dilepaskan dan tidak disabitkan kesalahan oleh mahkamah dalam tempoh lima tahun sebelum ini.

Mereka yang tidak dibenarkan bertanding ialah pemegang jawatan dalam perkhimatan kerajaan dan orang yang disahkan tidak siuman.

Wan Ahmad berkata, bagi calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini, calon itu mestilah tidak gagal daripada mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya sebelumnya.

“Sehingga hari ini terdapat lebih 50 calon pilihan raya 2008 yang masih gagal mengemukakan penyata ini. Mereka tahu siapa diri mereka, dan kami tak mahu kejar mereka,” jelas Wan Ahmad. Beliau menambah, kata SPR juga tidak akan mengumumkan nama mereka, demi kebaikan semua pihak.

Penamaan calon  

Tiga perkara yang diperlukan ketika membuat permohonan sebagai calon adalah adalah kertas penamaan calon, borang perakuan berkanun serta deposit calon pilihan raya.

Semua ini perlu diserahkan di pusat-pusat penamaan calon yang berkenaan antara pukul 9 pagi dan 10 pagi pada hari penamaan calon. Pegawai pengurus pilihan raya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.

Untuk PRU13, buat pertama kalinya tidak ada lagi tempoh bantahan dan penarikan balik pencalonan, sesuai dengan peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuat kuasa 27 April 2012.

Penyerahan kertas penamaan calon boleh dilakukan dengan tiga cara. Pertama, dengan kehadiran calon, pencadang dan penyokong. Jika tidak, hanya dua daripada mereka atau seorang daripada mereka perlu hadir untuk membuat serahan permohonan.

Borang Akuan Berkanun yang diserahkan mesti sudah dimatikan setem di pejabat duti setem. Borang 5 diguna oleh calon kerusi parlimen manakala borang 5A digunakan untuk calon kerusi Dewan Undangan Negeri.

Deposit

Perlu diingat, deposit calon pilihan raya adalah berbeza daripada deposit bahan kempen. Deposit bernilai RM10,000 untuk calon kerusi parlimen dan RM5,000 untuk calon kerusi Dun boleh dibayar dalam bentuk wang tunai atau draf bank pada hari pencalonan.

Ia juga boleh dibayar lebih awal kepada SPR dan calon hanya perlu membawa resit deposit semasa menyerahkan permohonan menjadi calon. Bagi tujuan kempen, calon-calon perlu membayar deposit bahan kempen bernilai RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Dun.

Untuk pemasangan poster pula, calon-calon perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan. Kelulusan pihak polis juga perlu untuk mengadakan ceramah terbuka.

“Ingin saya jelaskan di sini, wang ini yang akan digunakan sebagai peruntukan pembersihan semula kawasan kempen sekiranya mereka (calon-calon) gagal berbuat demikian,” katanya menjawab tentang kegunaan dana berkenaan.

Isu bahan kempen

Satu ‘tradisi’ dalam pilihan raya adalah kecaman terhadap SPR kerana bertindak menurunkan poster, bendera, kain rentang, sepanduk atau lain-lain bahan kempen yang dipasang.

“Yang menjadi isu selama ini ialah bila banyak pihak tidak faham peraturan pilihan raya. Mengikut peraturan, hanya bahan kempen parti yang bertanding di kawasan itu sahaja boleh dipasang. Jadi bila ada parti yang tidak bertanding di kawasan itu turut menaikkan bahan kempen mereka, SPR perlu menguatkuasakan undang-undang,” jelas Wan Ahmad.

Tambah beliau, kes ini sering berlaku bila beberapa parti politik yang mahu dilihat bergerak sebagai sebuah perikatan, tetapi sebenarnya masih bergerak atas kapasiti sendiri.

“Yang bertanding cuma satu parti, tapi kenapa bahan kempen yang naik daripada macam-macam parti?” soal beliau.

Sering kali, petugasn SPR menjadi mangsa kemarahan pihak yang terlibat, sehingga membahayakan keselamatan mereka.

“Dalam satu kes, kakitangan kami dikepung oleh penyokong-penyokong parti berkenaan hingga pukul empat pagi, sehingga SPR terpaksa meminta bantuan polis untuk menyelamatkan mereka,” jelasnya lagi.

Sebagai alternatif, beliau menasihatkan parti-parti politik yang ingin bergerak sebagai sebuah perikatan agar mendaftarkan perikatan mereka dengan SPR. Setelah menjadi satu perikatan yang sah, mereka boleh menggunakan satu logo yang seragam demi kebaikan semua pihak, terutama pengundi.

Susun atur tempat mengundi

Demi memastikan ketelusan perjalanan PRU13, SPR telah mengubah suai kedudukan Ejen Tempat Mengundi (ETM), untuk membolehkan mereka memerhatikan perjalanan pengundian dengan lebih teliti.

ETM diletakkan pada kedudukan yang membolehkannya melihat pengundi masuk dan bergerak ke Kerani Pengundian (KP) satu, dua dan tiga. Dalam kedudukan ini, ETM boleh melihat pengundi berdiri di hadapan KP dua untuk dicalit jarinya dengan dakwat kekal.

Seterusnya, ETM boleh melihat dengan jelas pergerakan pengundi pergi ke petak undi dan akhirnya mememasukkan kertas undi ke dalam peti undi. Tambah Wan Ahmad, diharapkan dengan penamabahbaikan ini, dapat memuaskan hati parti-parti yang bertanding bahawa PRU dijalankan degan adil dan telus.

Tidak perlu ragu

Perjalanan PRU yang pantas dari saat mula proses pengundian sehinggalah pengumuman pemenang pilihan raya tidak mungkin mengizinkan sebarang kemungkinan penipuan berlaku.

“Kita tiada ada masa, ruang atau peluang untuk menjadikan PRU 13 tidak telus. Saya cabar mana-mana pihak yang ragu dengan SPR untuk mengemukakan bukti mereka,” tegas Wan Ahmad.

Beliau turut berkata sistem pilihan raya di Malaysia juga telah menjadi contoh kepada banyak negara lain di dunia, seperti Mali, Uzbekistan, Tajikistan, Timur Timor (Timur Leste) dan Kemboja yang belajar cara pelaksanaannya di Malaysia.

“Pilihan raya kita, siang mengundi, malam sudah dapat keputusan penuh. Di sesetengah negara jiran, ia mengambil masa berminggu-minggu, bahkan ada yang makan masa berbulan-bulan,” jelas beliau.

Pada PRU13, keputusan pilihan raya pertama dijangka dapat diumumkan seawal pukul 7 malam. SPR juga telah membina aplikasi komputer yang bakal melancarkan lagi proses menganalisis perjalanan pilihan raya di seluruh negara. - Bernama

ISU KESIHATAN : Mitos kanser perlu dicantas


Oleh : Fatin Hafizah Mohd Shahar
 
Kadar kematian penyakit digeruni terus meningkat setiap tahun

Ramai pesakit kanser bertarung nyawa untuk hidup, tidak kurang yang tewas dan maut. Oleh itu, ramai yang gerun apabila mendengar penyakit kanser. Setiap tahun, lebih 12.7 juta orang dilaporkan mendapatkan rawatan akibat kanser dan 7.6 juta pula maut akibat penyakit itu.

Namun, 30 peratus kanser boleh dirawat seandainya pesakit menjalani terapi  pada peringkat awal.

Amalan hidup sihat penting untuk memastikan masyarakat bebas daripada ketakutan memandangkan pencegahan lebih baik untuk mengelak risiko kanser.

Melawan kanser agenda utama setiap tahun apabila tarikh 4 Januari diisytiharkan Hari Kanser Sedunia dengan menekankan tema berbeza, termasuk persekitaran bebas rokok dan alkohol, saranan diet sihat dan senaman. Untuk 2012 pula, kempen berfokus tentang kanser kulit akibat pendedahan UV.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih ‘Dispel damaging Myths and misconceptions about cancer’ sebagai tema Hari Kanser Sedunia. Tema memberi gambaran lebih jelas mengenai mitos penyakit boleh menyerang siapa saja.

Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram, berkata kanser tidak boleh dilihat sebagai penyakit biasa dan sebahagian masalah masyarakat kerana memberi kesan dalam aspek kehidupan.

Di Malaysia, kanser adalah punca utama kematian dan majoriti mereka mula menyedari ia sudah berada pada tahap akhir penyakit.

Katanya, laporan mendapati kesedaran masyarakat tempatan mengenai kanser sangat rendah dan kurang pengetahuan mengenai amalan pencegahan.

“Secara purata, setiap tahun penghidap kanser yang berada pada tahap tiga dan empat meningkat sebanyak lima peratus berbanding negara maju rekodnya mendatar.

“Penyakit itu boleh dicegah jika masyarakat berusaha menghapuskan faktor risiko yang dikongsi terutama pengambilan tembakau, diet tidak sihat, kurang pergerakan fizikal dan pengambilan alkohol berlebihan,” katanya baru-baru ini.

Amalan pencegahan.

Dr Saunthari berkata, perubahan gaya hidup lebih teratur mampu menyumbang kesihatan yang baik dan sekali gus dapat mengurangkan beban individu, keluarga dan sosioekonomi.

“Mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani rawatan berkala boleh mengelak daripada mendapat kanser. Kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) prihatin terhadap gejala penyakit ini dan sesetengahnya memberi perkhidmatan perubatan secara sukarela.

“Kita kena sentiasa berwaspada dan boleh menyerang sesiapa. Masyarakat patut bertindak melawan kanser,” jelasnya.

INFO:

* Antara jenis kanser termasuk paru-paru (12.7 peratus); payudara (10.9 peratus) diikuti kolorektal (9.8 peratus).

* Kanser paru-paru pembunuh utama di seluruh dunia.

* Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa dan mengekang penularan sel kanser dalam badan daripada merebak ke organ lain.

* Jangan menganggap ia tidak penawar. Dapatkan mendapatkan maklumat betul daripada pakar dan jangan tunggu saat akhir.

*Tidak dinafikan hingga kini, masih ramai wanita tidak mendapatkan pengesanan dan rawatan awal kerana kurangnya pendedahan serta pengetahuan mengenai bentuk fizikal sendiri.

Mitos kanser 2013.

Mitos 1: Kanser hanya isu kesihatan.

* Biarpun kanser adalah satu masalah kesihatan, ia tidak seharusnya dipandang ringan memandangkan penyakit ini mampu membunuh, melemahkan keyakinan diri, keluarga dan melemahkan sistem ekonomi.

* Jangan lihat kanser sebagai masalah sosial kerana jumlah peningkatan kes semakin meningkat berbanding negara maju.

* Pencegahan dan amalan rutin sihat perlu diamalkan sejak awal usia supaya penyakit ini tidak merebak.

* Kerajaan dan pihak bertanggungjawab mula menjalankan langkah awal termasuk mengawal pengeluaran produk makanan segera bagi salah satu cara mencegah kanser.

Mitos 2: Kanser penyakit orang kaya dan berlaku di negara maju.

* Rekod kesihatan dunia menunjukkan negara sedang membangun menunjukkan kadar kanser lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat yang tidak menunjukkan graf peningkatan sejak beberapa tahun lalu.

* Malaysia mula merekodkan peningkatan kes sebanyak lima peratus setiap tahun.

* Masalah itu berpunca daripada gaya hidup dan aktiviti sosial termasuk kekurangan diet seimbang, rokok dan sebagainya.

Mitos 3: Kanser hukuman bunuh.

Masyarakat lebih suka mengambil langkah mudah dan meletakkan penyakit itu sebagai ketentuan bahkan menjadikan penyakit sebagai alasan.

* Jika dikesan awal, kanser boleh dirawat kerana kelengkapan rawatan tersedia.

* Sebagai contoh, hanya 34 peratus wanita menjalankan pemeriksaan papsmear sebagai amalan susulan dan jumlah itu sangat membimbangkan.

* Di Amerika Syarikat sebanyak 80 peratus kes kanser dapat diselamatkan kerana ia dikesan di peringkat awal.

Mitos 4: Kanser adalah ketentuan.

* Pendekatan dan maklumat mengenai kanser perlu diberikan diberi penekanan khususnya di desa.

* Kanser boleh dielak jika masyarakat tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap kesihatan mereka.

* Amalkan gaya hidup sihat, mengubah tabiat buruk dan seimbangkan aktiviti fizikal untuk kecerdasan diri.

* Buang sikap tunggu dan lihat dan akhirnya menyalahkan keadaan.

* Menerusi amalan hidup yang betul, satu pertiga dari kes kanser dapat dicegah dan mengembalikan kualiti kehidupan seseorang.

Mitos tambahan:

-Risiko kematian akibat kanser semakin meningkat di Amerika Syarikat

*Sejak 1990, kajian perubatan mula menurun dan ramai pesakit kanser dilaporkan kembali pulih dan menjalani kehidupan normal kerana masyarakat Amerika mengambil langkah pencegahan dan perubatan awal.

- Bahan kimia terkandung dalam daging panggang punca kanser.

*Anda boleh meningkatkan risiko kanser jika mengambil daging merah dipanggang pada suhu tinggi secara kerap kerana kandungan carcinogen atau bahan kimia membawa ke kanser yang tinggi dalamnya.

*Berdasarkan laporan terkini, daging merah atau ayam panggang masih boleh dimakan dengan kuantiti kurang dan dimasak dengan kaedah lain dulu.

-Penggunaan sekali sehari losyen pelindung tabir cukup untuk cegah kanser

*Kekurangan pengetahuan mengenai cara sapuan tidak membantu mencegah kanser memandang ia perlu digunakan mengikut keperluan perlindungan dan setiap individu memerlukan jumlah berbeza

*Sapuan yang kerap dan mencukupi dapat membantu kulit terlindung dari bahaya yang tidak jelas namun kanser kulit memberi kesan besar terhadap pesakit.

*Lebih dari 1 juta kes kanser kulit dilaporkan tahun ini.

-Perokok kedua dan pencemaran udara.

* Jika anda bukan perokok namun sering bercampur dengan perokok, potensi anda mengalami kanser paru-paru masih tinggi dengan kadar risiko sehingga 30%.

* Kajian juga menunjukkan pencemaran udara dan asap turut mendedahkan risiko kanser dikalangan masyarakat kerana kandungan kimia berbahaya.

-Rawatan pembedahan kanser punca penyakit itu merebak ke seluruh badan.

*Sejak beberapa tahun lalu, ramai pesakit mengelak untuk lakukan pembedahan membuang kanser mereka kerana khuatir ia mampu merebak ke bahagian lain tubuh.

*Faktanya sesetengah jenis kanser termasuk kanser testis perlu dibuang seluruh bahagian itu. Dalam kebanyakan kes, adalah satu kemestian untuk membuang bahagian jangkitan kanser.

*Pembedahan dilalukan pakar pastinya melalui pelbagai kaedah perlindungan serta penjagaan demi keselamatan pesakit.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Pastikan keselamatan terbaik kanak-kanak


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

TRAGEDI yang berlaku ke atas adik William Yau Zhen Zhong mengejutkan seluruh negara kerana satu lagi anak kecil yang tidak berdosa hilang tanpa pengawasan dan ditemui mati dalam sungai selepas seminggu kehilangannya.

Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum merasa amat sedih atas tragedi tersebut dan bersimpati dengan ibu bapa mendiang William Yau termasuk kanak-kanak lain yang mengalami tragedi yang sama.

Kejadian mendiang William Yau menjadi satu iktibar kepada semua ibu bapa tanpa mengira bangsa tentang betapa pentingnya  mereka menjaga  keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Kejadian ini harus menyedarkan ibu bapa untuk lebih berhati-hati dalam melindungi kanak-kanak. Dalam menunggu pihak berkuasa menyiasat dan mengenal pasti punca kematian William Yau, hakikatnya kematian itu tidak boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia walau apa pun puncanya.

Ekoran perbuatan yang zalim terhadap kanak-kanak seperti penculikan, serangan, penganiayaan, liwat, rogol dan juga pembunuhan, kita kini perlu lebih mendidik anak-anak bagaimana untuk melindungi diri mereka sendiri. Melindungi anak-anak daripada keganasan adalah suatu komponen yang menyeluruh dalam membela hak mereka untuk hidup, membesar dan pembangunan diri.

Melindungi anak-anak daripada perbuatan jenayah yang keji adalah tanggungjawab semua. Ia bukan sahaja tugas pihak berkuasa berkaitan dalam melindungi anak-anak tetapi masyarakat keseluruhannya harus memainkan peranan mereka.

Perlindungan atas kanak-kanak bermula dari rumah dengan penglibatan aktif ibu bapa. Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa. Mereka perlu mendidik anak-anak bagaimana untuk respons kepada sebarang situasi berbahaya. Ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak harus sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan terbaik untuk anak-anak mereka.

Ibu bapa juga harus menasihatkan anak-anak mereka supaya berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali, mendidik mereka tentang keselamatan dan apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu insiden berlaku. Anak-anak perlu dididik berasa sangsi atau was-was terhadap orang yang tidak dikenali pada setiap masa dan tidak mudah percaya dengan mereka.

Sekolah boleh memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Saya mencadangkan pendidikan keselamatan kanak-kanak diperhebatkan di  sekolah-sekolah rendah kerana mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya apabila tidak dibekalkan dengan pendidikan tentang keselamatan.

Memandangkan betapa seriusnya masalah kanak-kanak yang hilang, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada kementerian, jabatan dan agensi-agensi berkaitan untuk merangka strategi yang berkesan dan mapan serta pelan tindakan untuk mengelakkan lebih banyak berlaku kes kanak-kanak hilang pada masa hadapan.

Strategi dan pelan tindakan yang boleh dirangka termasuklah:

(a) Memperkukuh usaha untuk melindungi kanak-kanak daripada jenayah, keganasan, dan semua bentuk penyalahgunaan yang melibatkan semua lapisan masyarakat;

(b) Melaksanakan kempen mempromosi kesedaran perlindungan kanak-kanak dalam kalangan ibu bapa termasuk mereka yang baru membina keluarga mengenai tanggungjawab mereka terhadap keselamatan kanak-kanak termasuk peruntukan-peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Yang indah, yang santun itu bahasa


Oleh : Johan Jaaffar
 
Saya menamakannya 'Sindrom Cengkareng'. Cengkareng merupakan bandara (Bahasa Indonesia bermaksud bandaraya udara) antarabangsa bagi kota Jakarta atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta. Rakyat Malaysia tiba-tiba bertutur dalam ‘longhat Indonesia’ apabila menjejakkan kaki di sana.

Sindrom Cengkareng ini menjadi modal ceramah saya apabila bercakap tentang kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Tanpa kita sedari kita bercakap dalam bahasa formal dengan rakyat Indonesia, tanpa mengira kedudukan mereka, tetapi sesama kita, kita bercakap dalam laras bahasa pasar? Itu belum lagi penggunaan loghat, pengaruh kolokial atau gaya setempat yang menguasai pertuturan kita. Apakah secara tidak sedar kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia perlu dituturkan secara lebih formal tetapi Bahasa Melayu tidak perlu? Apakah secara tidak sedar juga kita mengakui bahawa Bahasa Indonesia lebih tinggi darjatnya daripada bahasa kita?

Saya selalu menghujahkan bahawa pelakon terkenal seperti Brad Pitt, Ryan Gosling, Danzel Washington, Angelina Jolie dan Megan Fox tidak akan bercakap dalam Bahasa Inggeris yang buruk dalam filem-filem mereka. Mereka tidak melanggar tatabahasa asas dalam bahasa itu. Shah Rukh Khan, Aamir Khan, Hrithik Roshan dan John Abraham menggunakan Bahasa Hindi yang relatif baik. Sinetron dari Indonesia memanfaatkan bahasa yang berkualiti tinggi apabila diucapkan oleh para pelakonnya. Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Sang Pencerah dan Lashkar Pelangi menonjolkan penggunaan bahasa yang baik dan bermutu.

Filem-filem Melayu pada zaman gemilangnya adalah contoh terbaik penggunaan Bahasa Melayu. Filem-filem seperti Hang Tuah, Penarik Beca, Sri Mersing dan Hang Jebat mengetengahkan penggunaan bahasa yang baik. Malah pengarah filem Hang Tuah (Phani Majumdar) tidak boleh berbahasa Melayu tetapi menggunakan pakar bahasa untuk mendapatkan dialog yang baik untuk pelakon-pelakonnya, P Ramlee, Ahmad Mahmud dan Saadiah.

Realiti dalam filem, realiti sebenar

Banyak orang menghujahkan bahawa bahasa dalam filem seharus menggambarkan realiti sebenar di luar sana. Saya mohon untuk tidak bersetuju. Realiti dalam filem tidak sama dengan realiti sebenar. Realiti dalam cereka merupakan sajian semula. Seperti novel yang baik mengangkat bahasa dalam penceritaan dan dialog pada tahap yang lebih tinggi daripada realiti, begitu juga filem.

Saya tidak boleh membayangkan Brad Pitt atau Shah Rukh Khan melanggar tatabahasa Bahasa Inggeris atau Hindi seperti juga saya tidak akan percaya para pelakon filem Garin Nugroho yang terbaru, Soegija akan melanggar tatabahasa Bahasa Indonesia. Di Malaysia, semakin buruk bahasa digunakan, ‘semakin real’ dan semakin baik.

Saya juga mengesan terlalu banyak kesilapan bahasa dalam media massa hari ini. Saya tidak tahu bagaimanakah para pelajar kita yang belajar Bahasa Malaysia sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima (11 tahun) tidak boleh membezakan di antara ‘ialah’ dan ‘adalah’, ‘dari’ dan ‘daripada’ atau ‘antara’ dan ‘di antara.’

Saya lebih tidak faham bagaimanakah pengguna Bahasa Melayu tidak boleh membezakan dalam konteks mana sendi nama ‘di’ perlu dirapatkan atau dijarakkan. Lebih malang lagi, bagaimanakah masih terdapat kesalahan menggunakan kata ganti diri ketiga bagi bilangan yang banyak ‘mereka’ hingga menjadi ‘mereka-mereka?’ Bagaimanakah kata sendi nama ‘oleh’ pupus daripada ayat Bahasa Melayu akhir-akhir ini? ‘Rumah itu dibina Awang’ sebenarnya janggal tanpa ‘oleh.’ Sepatutnya ‘majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri’, dan bukan ‘dirasmikan Perdana Menteri.’ Memang ada keadaannya ‘oleh’ boleh ditiadakan, misalnya ‘penoreh getah itu dipatuk ular,’ tetapi lazimnya ‘oleh’ memberikan ayat yang lebih santun dan baik.

Saya juga pernah menegur penggunaan kata-kata yang membawa pengertian khusus dalam agama Islam. Seperti juga kalimah ‘Allah’ tidak wajar digunakan dalam Kitab Bible, ada perkataan yang maknanya khusus dan dianggap kudus. ‘Hijrah’ memang bermaksud ‘berpindah’ tetapi maknanya mengkhusus kepada kebaikan mengambil semangat Hijrah Rasullulah. Maka itu, kita tidak boleh menggunakan ‘pelacur berhijrah dari Ipoh ke Kuala Lumpur’ atau ‘panda dari Beijing berhijrah ke Kuala Lumpur.’ Konotasi agamanya harus kita fahami.

Usaha awal kenal pasti kelemahan

Banyak lagi kelemahan dan kesilapan yang berleluasa dalam Bahasa Melayu hari ini. Maka itu saya mengalu-alukan penerbitan buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa. Buku ini diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku kecil ini besar maknanya bagi memperbaiki kelemahan penggunaan bahasa. Anggaplah buku ini usaha awal dalam mengenal pasti kelemahan itu. Buku ini sudah pasti akan diperbaiki berdasarkan maklum balas pengguna bahasa dalam media massa.

Saya melihat buku ini mengambil semangat Tatabahasa Dewan dan beberapa siri panduan bahasa yang pernah diterbitkan oleh DBP sebelum ini. Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan bahawa dengan terbitnya panduan ini usaha untuk memungkinkan penggunaan bahasa yang lebih baik akan terlaksana.

Kita berharap rakyat kita lebih peka pada keperluan menggunakan bahasa yang baik dan betul. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa kebangsaan merupakan bahasa rasmi negara.

Media harus menunjukkan contoh yang baik.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 6 Februari 2013

Pakar ICT Azli Paat Meninggal Dunia Akibat Demam Panas



KUALA LUMPUR : Pemenang Anugerah Perdana Menteri 'Best of the Best' APICTA 2012, Azli Paat meninggal dunia akibat deman panas di rumahnya di Bukit Segambut, di sini, malam Rabu.

Azli, seorang pakar dalam bidang teknologi maklumat (ICT) dan pengasas Ada Vista Sdn Bhd, berusia 46 tahun.

Anak kedua Allahyarham, Ahmad Naim, 23, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada kira-kira pukul 7 malam.

Katanya bapanya mengalami demam panas sejak semalam dan hanya mendapatkan rawatan biasa di klinik berdekatan rumahnya.

Allahyarham meninggalkan balu serta 10 orang anak iaitu enam lelaki dan empat perempuan.

Ahmad Naim berkata jenazah akan dikebumikan di Batu Pahat, Johor, pagi esok.

Azli merupakan pengasas DAPAT SMS dan mySMS 15888 yang mengubah cara orang awam dan organisasi berkomunikasi di antara satu sama lain.

Beliau juga pencetus idea mewujudkan RakanCop di mana orang awam kini dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi mencegah jenayah sebelum ia terjadi. Beliau juga berkongsi maklumat mengenai teknologi maklumat di  media termasuk menjadi panel penceramah Bernama Radio 24.

Penerbit Bernama Radio 24, Kok Jun Sern, 30, berkata Allahyarham menjadi panel penceramah di stesen radio tersebut dalam satu program berbentuk ceramah, seminar dan perkongsian maklumat serta tips terkini mengenai teknologi maklumat bermula pukul 7.30 pagi setiap hari.

Menurutnya, Azli menjadi panel dalam program berkenaan sejak 2007.

"Allahyarham seorang yang ceria, bijak dan merendah diri," katanya.

Pada majlis Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) tahun lepas, allahyarham menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. -BERNAMA

ISU SOSIAL : Banteras rasuah langkah terbaik hapus jenayah


Oleh :  Akhbar Satar
 
Di sebalik kemajuan dan pembangunan yang ada, tersentuh hati penulis melihatkan perubahan yang berlaku di Kuala Lumpur kesan kemasukan pendatang asing ke negara ini. Tersentak hati penulis apabila seorang rakan mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Indonesia adalah bangsa Malaysia ketiga paling ramai di negara ini, selepas Melayu dan Cina. Kini,  bangsa Afrika pula kelihatan berada dalam carta itu.

Sejauh mana kebenarannya sukar untuk dipastikan, namun daripada pemerhatian, kenyataan ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berwajib. Itu baru jumlah yang mengikut peraturan, belum lagi yang masuk secara haram?

Lihatlah sekitar Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Siapa yang memonopoli perniagaan di sana? Ke mana perginya orang Melayu, Cina dan India yang dahulunya berniaga buah-buahan, sayur dan barangan mentah yang lain?

Senario yang amat nostalgia bagi saya ialah bagaimana penjual buah-buahan ini lari lintang pukang bersama-sama gerai beroda mereka apabila diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Beg penuh rambutan yang dibeli tidak sempat dibayar apabila peniaga lari meninggalkan pelanggan kerana dikejar penguat kuasa. Fenomena ini hanya tinggal kenangan buat penduduk ibu kota.

Melawat ke China Town, Petaling Street, membuatkan penulis semakin keliru dengan apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Sikap kasar dan samseng peniaga yang terdiri daripada remaja berbangsa asing seperti Bangladesh dan Myanmar amat menggerunkan. Ke mana perginya peniaga tempatan? Kenapa dibiarkan rakyat asing ini bebas berniaga dan merosakkan imej Kuala Lumpur di kaca mata pelancong? Kenapa harus kita berasa takut untuk ke Chow Kit dan Jalan Petaling?

Bebas bergerak kerana dilindungi

Persoalan paling penting di sini ialah ke mana perginya penguatkuasaan? Bagaimana kegiatan ini boleh berkembang tanpa ada sebarang tindakan? Adakah ia mendapat restu pihak berkuasa? Bagaimana barangan palsu dapat memasuki ke negara ini? Sebagai rakyat biasa, sudah tentu jawapan yang bermain di kotak fikiran ialah tiada penguatkuasaan kerana rasuah. Mereka ini bebas bergerak dan bertindak kerana dilindungi.
Penguat kuasa yang sepatutnya bertanggungjawab membanteras rasuah sengaja menutup sebelah mata terhadap kegiatan jenayah. Malah ada yang sanggup bertindak sebagai pengkhianat termasuk membocorkan maklumat berhubung serbuan dan sengaja melengah-lengahkan atau tidak menyiasat sepenuhnya sesuatu kes jenayah sehingga membolehkan penjenayah terlepas daripada hukuman.

Penulis berharap perkara ini tidak benar termasuk tohmahan seorang peniaga di Jalan Petaling mengaku membayar sogokan secara bulanan kepada agensi penguat kuasa. Katanya, penguat kuasa hanya mengadakan pemeriksaan mengejut dan rampasan barang yang kurang bernilai untuk mengaburi mata masyarakat.

Pelbagai kajian yang dijalankan dalam bidang pencegahan rasuah menunjukkan bahawa wujud hubung kait yang tinggi antara jenayah dan rasuah. Secara umumnya, dapatan kajian jelas menunjukkan bahawa semakin tinggi kadar jenayah dalam sesebuah negara maka semakin tinggi jugalah tahap rasuahnya.

Rasuah punca jenayah berleluasa

Menurut kajian yang dijalankan Marie Channe bertajuk Anti Corruption Resource Center, di kebanyakan negara, rasuah adalah punca kenapa kegiatan jenayah gagal disekat dan terus berleluasa. Rasuah adalah pelindung kepada tindakan penguatkuasaan, membantu memperluaskan rangkaian jenayah dan mengelakkan hukuman serta tindakan undang-undang.

Lebih buruk lagi, bilamana rasuah digunakan sebagai umpan kepada penguat kuasa di pintu sempadan negara sehingga menyebabkan dadah, senjata api, kenderaan curi, rokok, barangan tiruan dan aktiviti memperdagangkan manusia lolos dengan begitu mudah. Dengan hanya menyogok RM200, ada kalangan anggota penguat kuasa tidak memeriksa kandungan kontena berkenaan.

Perbuatan rasuah bukan saja menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan etika perkhidmatan awam, malah mengundang risiko tinggi kepada keselamatan negara. Akibatnya semakin banyak senjata diseludup ke dalam negara kita.

Ingatlah menerima rasuah adalah perbuatan jijik dan hina. Sesiapa yang melakukannya mendapat dosa besar, malah mereka yang terbabit dengan gejala itu dilaknat Allah dan Rasul-Nya, dan akan menerima azab di akhirat kelak. Ibnu Umar meriwayatkan hadis bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Justeru, rasuah tidak harus dibiar berleluasa dan ia perlu dibanteras habis-habisan. Rasuah harus diperangi semua lapisan rakyat. Sokongan rakyat kepada usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memberi maklumat dan tidak memberi rasuah sangat penting untuk menjayakan hasrat murni kita itu. Kepada SPRM, teruskan kerja yang baik untuk bangsa dan negara, walaupun terpaksa mengharungi liku yang penuh dengan onak duri ini dan jarang sekali mendapat pujian. Percayalah pasti ada ganjarannya di sisi Allah SWT.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Nilai-nilai budi bahasa kian teruk, pulihkan sebelum terlewat


Oleh  : Fauziah Arof

MEWUJUDKAN sekolah budi bahasa? Bagi sesetengah pihak, cadangan ini bunyi macam sudah tak ada kerja, saja-saja mahu cari kerja dan tambah kerja.

Ada yang tertanya-tanya, perlukah diadakan sekolah seperti ini? Sedangkan banyak lagi sekolah dan bidang lain boleh diwujudkan. Tidak cukupkah soal budi bahasa ini diajar di peringkat sekolah biasa atau di rumah?

Namun apabila melihat apa yang berlaku pada sekeliling kita, tidak kiralah di tempat awam, tempat kerja, jalan raya atau melayari laman-laman sosial memang ada kewajaran kita mempunyai sekolah seperti ini.

Cuma kita mahu tahu perjalanan dan mekanisme sekolah itu bagaimana. Guru atau cendekiawan seperti mana yang diperlukan sebagai tenaga pengajarnya dan jika saranan itu jadi kenyataan, adakah sekolah berkenaan akan benar-benar memberi kesan dan sampai kepada tujuannya dan pada masa sama tidak berlakunya pertindihan fungsi guru.

Apabila saranan ini dibuat oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mencadangkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan sahsiah budaya tinggi dalam masyarakat, cadangan seperti ini janganlah terus dipandang remeh.

Meningkatkan budi bahasa dalam kalangan kita bukan perkara yang boleh diringan-ringankan.

Menghadapi orang sekeliling dalam keadaan iklim seakan-akan kontang budi bahasa ini lebih-lebih lagi apabila berdebat dalam isu-isu yang boleh saja dipolitikkan- yang mana orang yang tinggi pendidikannya pun boleh mengeluarkan kata-kata kesat, kita perlu akui ketiadaan budi bahasa ini boleh mengeruhkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat.

Tidak perlu pergi jauh, dengan rakan-rakan sekeliling kita pun,  ia boleh saja menimbulkan hubungan tegang, sedangkan jika difikirkan secara logik akalnya, tidak pasal-pasal dek  kerenah dan isu yang dicetuskan oleh parti-parti politik ini, kita yang hilang kawan dan senang-senang sahaja mendapat musuh.

Yang peliknya, ini yang dilakukan oleh orang yang berpendidikan tinggi. Apa pula yang akan berlaku jika nilai-nilai keintelektualan yang dipunyai oleh rakyat Malaysia ini tidak dapat diseimbangi dengan nilai-nilai kemanusiaan?

Budi bahasa adalah keperluan dan pembentukan asas dalam diri. Kalau kita ada budi bahasa dan menghormati semua orang, tidak kira apa peringkat, bangsa dan dalam menghadapi apa jua perbezaan-perbezaan lainnya, segalanya akan jadi lebih mudah.

Jika kita mahu anak-anak kecil kita tidak berlaku biadab, kita yang perlu memberi tunjuk ajar dan teladan kepada mereka. Sudah tentu, kita akan terasa sakit dan malunya, jika anak-anak kita dikata tidak beradab. Sedangkan, kita boleh saja menutup sebelah mata, dengan apa yang kita lakukan dan katakan.

Malaysia juga pernah disenaraikan oleh Reader‘s Digest sebagai antara negara yang paling biadab di dunia. Ia diambil kira daripada tinjauan di tempat-tempat awam di negara ini.

Kebiadapan itu dinilai melalui kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun di negara ini berpunca daripada sikap biadab di jalan raya.

Dalam pada itu, rakyat kita merokok di zon larangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang, lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan “terima kasih" dan meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak kereta begitu sahaja dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum penumpang keluar.

Tidak kiralah tepat atau tidak, atau sama ada penyelidikan dilakukan secara rambang, sebagai rakyat Malaysia yang waras pemikirannya, sudah tentu kita tidak mahu negara yang kita cintai ini dicap begitu.

Tentu saja mengejar status negara maju akan jadi pincang dan tidak seimbang sekiranya, rakyatnya sendiri rendah budi bahasanya, kemarau dalam amalan-amalan nilai murni, dan apatah lagi hendak dipandang sebagai mempunyai sahsiah budaya bangsa yang disegani. Maka, mewujudkan sekolah budi bahasa, berkempen, atau apa jua usaha ke arah mengangkat budi bahasa, tidak harus dipandang ringan, diperlekeh dan dijadikan bahan gurauan.

Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/