Selasa, 26 Februari 2013

ISU KENEGARAAN : Jauhi fitnah, sabar hadapi PRU13


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Fitnah atau kata mengata dalam ceramah politik sudah menjadi perkara biasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Tiada siapa dapat menyangkalnya.

Bagi mengelakkan fitnah dalam ceramah dan perhimpunan seseorang ahli politik mestilah menggunakan akal budi dan mata hati dalam menyampaikan ceramah kepada rakyat terbanyak. Bagi yang mendengar tinggalkan sahaja ceramah tersebut.

Kebanyakan penceramah akan menyentuh soal peribadi calon yang akan bertanding.

Fitnah menjadi senjata terakhirnya. Penawar bagi hati adalah kesabaran bagi yang kena fitnah. Justeru, pandangan tentang fitnah ada yang mengatakan daripada susah payah mempergunakan waktu bagi memfitnah orang lain, jauh lebih baik mempergunakan waktu bagi diri sendiri.

Oleh sebab itu, Nabi SAW pernah mengingatkan, fitnah lebih kejam daripada pembunuhan.

Oleh hal yang demikian elakkan daripada melakukan fitnah, dan tolak calon yang suka memfitnah dalam PRU13. Fitnah itu adalah tuduhan liar, khabar yang tidak benar, kisah yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Dalam hal ini, semua petugas parti, pemimpin politik dan juga calon yang bertanding dalam PRU13 seharusnya mengawal lidah dan percakapan agar tidak terjerumus dalam perbuatan memfitnah.

Justeru, bagi menabur fitnah, orang tidak memerlukan wang, akhlak dan pengetahuan. Ini disebabkan fitnah hanya memerlukan percakapan mengikut perasaan yang juga terdapat di media baru di Facebook, Twitter dan Blog serta pelbagai saluran lain.
Fitnah merosak tiga jenis manusia, iaitu yang mengucapkan, yang mendengarkan dan yang difitnah.

Dikatakan juga, orang yang suka memfitnah mempunyai syaitan di lidahnya dan orang yang suka mendengarkan fitnah mempunyai syaitan di telinganya. Jelaslah dengan fitnah seseorang itu tidak akan berkurang, dengan pujian seseorang itu tidak akan bertambah kebaikannya.

Mengamalkan politik budiman sangat digalakkan. Justeru, semua pihak sama ada Barisan Nasional (BN) dan juga pembangkang wajar mengamalkannya bagi mengelakkan sebarang unsur fitnah memfitnah yang boleh merosakkan dan memecahbelahkan ummah dan menjadi ikutan rakyat di bawah.

Amanat pemimpin yang baik wajar diikuti dan dipatuhi demi menjaga kedamaian dan kesejahteraan dalam kehidupan ummah. Sebagai pengikut parti dan pekerja parti seruan dan saranan ini patut dipatuhi sebagai etika dalam berkempen dan bekerja menjelang PRU13.

Ingatan imam al-Ghazali perlu dijadikan pedoman. Menurutnya, moral rakyat akan menjadi buruk disebabkan merosotnya peri kehidupan dalam kalangan pemimpin atau penguasa dan lemahnya akhlak para pemimpin agama, sedangkan para ulama menjual hati nuraninya demi harta dan kekuasaan.

Sikap keterbukaan pemimpin dalam  menghadapi PRU13 wajar ditunjukkan kepada rakyat. Banyak lagi isu seperti isu pendidikan, sejarah, ekonomi, budaya dan sosial patut diketengahkan secara kritis  dalam ceramah politik.

Ceramah yang membina tentang bidang-bidang ini akan dapat diterima oleh semua pengundi. Rakyat bukan mahu semuanya percuma, kadang-kadang rakyat sanggup membayar untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik seperti pendidikan dan kesihatan.

Penceramah yang budiman akan sentiasa mengetengahkan perkara-perkara yang menjadi misi dan visinya dalam politik masa depan. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh semua pengundi dan rakyat di peringkat akar umbi untuk kehidupan masa depan lebih baik.

Adalah lebih baik menghulur salam dan memberikan senyuman kepada rakyat jelata.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang bahagia adalah yang dijauhkan daripada fitnah-fitnah dan orang yang apabila terkena ujian dan cubaan dia bersabar.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Kebahagiaan seseorang pemimpin terserlah apabila dia tidak memfitnah orang lain dan tidak menyentuh isu-isu berkaitan dengan peribadi seseorang. Gaya bahasanya indah dan lunak didengar, akhlak dan moralnya sentiasa terpuji. Bagaimanapun, seseorang pemimpin yang sabar dan tabah menghadapi ujian dan cubaan fitnah, khususnya dalam PRU13 betul-betul diuji kehebatan dan daya kepimpinannya. Dia bagai permata semakin digilap semakin bercahaya.

* Penulis pengamal media dan bekas pendidik

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU AGAMA : Umat Islam, antara kuantiti vs kualiti

Umat Islam akhir zaman ibarat buih di lautan

SEBUAH klip video bertajuk Islamization of Europe yang dihasilkan oleh individu yang menamakan dirinya Friend of Muslim (FoM) menimbulkan pelbagai reaksi mereka yang menontonnya. Klip video sepanjang tujuh minit dan ditonton lebih 10 juta orang itu menghuraikan perubahan drastik demografi umat Islam di Eropah sebagai ancaman terbesar terhadap kebudayaan Barat.

FoM memberi amaran bahawa kadar purata tertentu bagi kelahiran bayi dalam sesebuah keluarga perlu dipastikan demi menjamin kelangsungan sesuatu kebudayaan.

Menurut FoM, kadar purata kelahiran bayi atau kesuburan pada 2007 bagi Kesatuan Eropah ialah 1.38% berbanding kadar kelahiran bagi keluarga Muslim yang amat tinggi, iaitu 8.1%.

FoM turut mengemukakan pendedahan yang membimbangkan masyarakat Eropah bahawa 50 peratus daripada bayi yang dilahirkan di Belanda merupakan Muslim dan dalam tempoh 15 tahun, sebahagian penduduk negara itu merupakan umat Islam. Seterusnya bagi Perancis, pada 2027, satu daripada lima orang Perancis ialah Muslim dan dalam tempoh 39 tahun, negara tersebut akan menjadi sebuah Republik Islam.

Perubahan demografi dunia ini dikatakan disumbang oleh penghijrahan umat Islam secara besar-besaran ke Eropah dalam tempoh beberapa dekad. Meskipun dipertikaikan dari segi kesahihan fakta dan sumber rujukannya, namun hakikatnya klip video itu menimbulkan kebimbangan tertentu dalam kalangan masyarakat Barat.

Hal sedemikian memenuhi matlamat penerbitannya, iaitu mengejutkan mereka yang masih belum menyedari perubahan yang sedang melanda. Fakta yang dikemukakan barangkali terlalu "mengejutkan" untuk dipercayai, namun jumlah umat Islam yang berhijrah ke negara-negara Eropah sememangnya besar dan mencatat peningkatan dari semasa ke semasa.

Tidak dinafikan peningkatan jumlah umat Islam di seluruh dunia menyuntik rasa gembira kerana dalam situasi tertentu, bilangan yang besar membolehkan kekuatan dibina. Namun keadaan itu tidak berlaku terhadap umat Islam kini.

Kuantiti atau jumlah yang besar seolah-olah tidak memberi sebarang makna. Kuantiti tanpa kualiti hanyalah seperti sekujur jasad tanpa roh. Sebahagian besar umat Islam telah kehilangan nilai-nilai akhlak luhur dalam kehidupan mereka dan tindak-tanduk mereka yang bertentangan dengan ajaran Islam, sekali gus mencemarkan nama baik agama mereka.

Sama ada disedari atau tidak, segala bentuk penghinaan yang dilontarkan musuh-musuh Islam terhadap agama Islam yang kerap kalinya mengundang kemarahan luar biasa mereka, hakikatnya turut berpunca daripada mereka sendiri.

Daripada kemiskinan, kemunduran, dan buta huruf, perpecahan dan percakaran sesama sendiri hatta dalam persoalan kepentingan bersama, peperangan saudara, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sumber khazanah serta kekayaan negara, penindasan terhadap rakyat, sehinggalah pembabitan dalam salah laku dan jenayah, serta tidak prihatin akan kebersihan dan menepati masa, semuanya mencorakkan warna yang suram pada wajah Islam.

Dalam keadaan sebegini, bagaimana mungkin mereka dapat memimpin dunia, apatah lagi membina peradaban sebagaimana yang dilaksanakan oleh generasi sebelum mereka? Sebaliknya yang pasti berlaku ialah mereka pula yang menjadi sasaran penguasaan dan penindasan pihak musuh.

Ini sebagaimana diungkap dalam Hadis daripada Thauban yang bermaksud, "Rasulullah SAW bersabda: "Akan tiba masanya umat (bangsa) lain mengajak antara satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) sebagaimana orang mempelawa antara satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan)."

Seorang sahabat bertanya: "Adakah disebabkan bilangan kami sedikit pada waktu itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Bahkan bilangan kamu pada waktu itu adalah ramai tetapi kamu merupakan ghutha' (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan mencabut ketakutan daripada dada musuh dan Dia akan mencampakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn." Seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah al-wahn itu?" Rasulullah SAW menjawab, "Cinta akan dunia dan takut akan mati." (Riwayat Abu Daud)

Sebahagian keadaan yang melatari dunia antarabangsa turut menyelubungi negara kita yang diberi pengiktirafan negara Islam contoh dan penduduk majoritinya ialah Muslim. Pengiktirafan besar itu memberikan tanggungjawab kepada kita untuk memastikan ia seiring dengan hakikat yang ada. Justeru pemerintahan harus berperanan dengan sebaik-baiknya bagi mencapai tujuan itu.

Hal ini sebagaimana diungkap oleh Fazlur Rahman: "Pewujudan negara bertujuan mempertahankan keselamatan dan integriti negara, memastikan pelaksanaan undang-undang serta ketertiban negara, membangunkan negara sehingga setiap rakyatnya menyedari kemampuan masing-masing sehingga terdorong memberikan sumbangan demi kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, negara ialah alat bagi mempertahankan agama dan melindungi manusia daripada permusuhan demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat."

Jelas bahawa usaha menghidupkan dan mempertahankan agama dapat menyemai nilai amanah serta integriti dalam diri setiap individu; pemerintah mahupun rakyat. Hal ini seterusnya menyumbang kepada suasana aman dan selamat dalam negara selain membolehkan undang-undang dilaksanakan dengan penuh keadilan.

Justeru rakyat yang tidak tergugat tumpuan mereka akan dapat melaksanakan peranan dengan berkesan. Mereka tentunya lebih mengutamakan perdamaian berbanding pertelagahan yang hanya membazirkan masa serta merugikan.

Dengan demikianlah, sebagaimana kata Ibn Khaldun, mereka dibimbing untuk mengelakkan permusuhan, yang melemahkan mereka. Begitulah juga mereka dijamin mencapai kebahagiaan yang salah satu caranya adalah dengan mengetahui perkara yang menjadi keutamaan dalam kehidupan.

Jiwa terasa bagai dihimpit melihat keadaan kita dan membandingkannya dengan ciri-ciri luhur ini. Apatah lagi dalam suasana pilihan raya yang diramalkan diadakan dalam tempoh terdekat. Jurang yang dahulunya sehasta melebar menjadi sedepa, retak yang awalnya sedikit akhirnya seakan-akan membelah.

Menyedari hakikat bahawa agama itu nasihat dan berpesan-pesan dengan kebenaran suatu amanah, maka telah sekian banyaklah pandangan serta teguran yang disampaikan; daripada sekalian rakyat yang menjadi pemerhati sehinggalah pembesar yang memimpin negeri.

Atas kepercayaan perbezaan tidak selalunya memisahkan dan memutuskan, maka perbezaan daripada sudut apa pun juga diharap berjaya diurus secara berhikmah, berlapang dada, beradab, dan matang. Begitu pula asas teguh yang selama-lamanya menyatukan kita, iaitu agama, wajib dimanfaatkan bagi mengekalkan kepemimpinan, ketuanan, dan perpaduan sesama kita.

Justeru kegigihan mempertahankan agamalah yang selayaknya dijadikan penilaian oleh rakyat dalam menentukan pemilihan. Ini disebabkan hanya individu yang gigih memperjuangkan kedaulatan agama sahaja yang diharap dapat terus memelihara kemuliaan yang dikurniakan Allah, sebagaimana ditegaskan Khalifah 'Umar ibn al-Khattab r.a.: "Kita merupakan golongan yang dimuliakan Allah kerana Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya, Allah tentunya akan menghina kita."

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Tahap Produktiviti Pekerja Malaysia Rendah


PETALING JAYA: Pekerja Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang berbanding negara lain, namun menghasilkan pulangan yang lebih rendah.

Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), tahap produktiviti pekerja negara ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain yang dipetik menerusi Laporan Produktiviti 2011 berkata, pekerja Malaysia mencatatkan nilai produktiviti sebanyak RM43,952 setahun.

"Namun berbanding dengan Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat, kita masih jauh di belakang," kata Razali.

Beliau menambah bahawa negara ini masih mencatatkan purata pertumbuhan produktiviti sebanyak 4.5% setahun, yang  lebih rendah berbanding Indonesia dan India.

Tahap produktiviti pekerja diukur oleh keluaran dalam negara kasar ke atas bilangan pekerja di negara ini.

"Dalam erti kata lain, ia diukur berdasarkan berapa ramai pekerja yang diperlukan untuk menghasilkan keuntungan," kata Razali.

Menurut laporan itu, yang menganalisis maklumat daripada Jabatan Perangkaan, pekerja di negara penanda aras mengatasi pekerja Malaysia hampir enam kali ganda.

Pekerja Amerika Syarikat mengungguli senarai dengan tahap produktiviti sebanyak RM285,558 setahun, diikuti oleh pekerja di Jepun (RM229,568) dan Hong Kong (RM201,485).

Pada 2011, Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan produktiviti sebanyak 4.55%, yang menurut MPC berada di landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan tahap produktiviti sebanyak RM87,500.

Walau bagaimanapun, Malaysia ketinggalan berbanding beberapa negara penanda aras di Asia seperti  China, yang mempunyai kadar pertumbuhan sebanyak 8.7%, Indonesia (5%) dan India (4.8%).

"Walaupun kita boleh melihat terdapat pertumbuhan berdasarkan data, pekerja Malaysia tidak menghasilkan produktiviti yang sepatutnya berdasarkan sumber yang kita ada," kata Razali.

Beliau menjelaskan bahawa produktiviti pekerja tidak diukur oleh bilangan jam bekerja namun berdasarkan jumlah pengeluaran keseluruhan yang dihasilkan semasa waktu bekerja.

"Sebenarnya, kebanyakan masa bekerja tidak digunakan dengan produktif. Kami menerima aduan daripada agensi asing bahawa kakitangan mereka di Malaysia menggunakan waktu rehat yang sangat panjang, "katanya.

Selain itu Razali berkata, waktu kerja yang panjang juga boleh menyebabkan berlakunya situasi tidak produktif.

"Adalah menjadi tidak produktif apabila anda menggunakan masa yang panjang  kerana  pihak syarikat terpaksa membayar lebih untuk elektrik dan kerja lebih masa, "katanya.

Razali berkata amalan pengurusan perlu dikaji semula untuk meningkatkan produktiviti.

Menurut laporan itu, tahap produktiviti meningkat sebanyak 2.82% dengan peningkatan dalam kecekapan buruh yang dicatatkan dalam lima sektor ekonomi utama.

Tahap produktiviti dalam sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 4.9% kepada RM53,938 pada tahun 2011.

Sektor pertanian meningkat sebanyak 6.23% kepada RM29,466, manakala pembuatan meningkat sebanyak 1.97% kepada RM54,509.

Tahap produktiviti Pembinaan naik oleh 3.09% kepada RM24,635 pada tahun 2011, manakala sektor perlombongan mencatatkan pertumbuhan produktiviti yang negatif -6,14% kepada RM866, 246 daripada RM922, 914.

Ditanya mengapa sektor perlombongan mempunyai kadar produktiviti negatif apabila perolehan adalah lebih tinggi daripada sektor-sektor lain, Razali berkata ini adalah kerana perolehan tidak mempunyai hubung kait dengan tenaga kerja yang besar.

Sumber : http : //www.mstar.om.my/

ISU SOSIAL : Kerja Lebih Masa Tidak Bermakna Berkualiti


PETALING JAYA : Bekerja dalam jangka masa yang panjang tidak semestinya akan meningkatkan produktiviti.

"Malah pekerja yang memilih untuk terus berada di pejabat dan membuat tuntutan kerja lebih masa menunjukkan mereka tidak boleh menguruskan masa dengan berkesan," kata Persekutuan Majikan Malaysia.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata: "Waktu bekerja yang panjang tidak menjadikan anda seorang pekerja yang baik. Ia juga tidak bermakna bahawa anda boleh menjadi lebih produktif dan melaksanakan kerja yang berkualiti. Anda seharusnya mengamalkan kehidupan yang sihat dan seimbang."

Selain itu beliau percaya bahawa sesetengah pekerja akan terus berada di pejabat kerana rakan sekerja mereka berbuat demikian.

"Mereka tidak mahu dilihat serong kerana rakan mereka masih bekerja," katanya.

Menurut Shamsuddin, bekerja lebih masa boleh menambah kepada kos operasi apabila majikan perlu membayar lebih untuk elektrik selain bayaran lebih masa.

Bagi menggalakkan keseimbangan antara kehidupan dan kerja dalam  kalangan kakitangan, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd melaksanakan sistem waktu bekerja fleksibel dan membolehkan beberapa pekerja untuk bekerja dari rumah dengan menggunakan Internet dan telefon pintar dan gajet lain.

Malah bank berkenaan turut mempunyai hari tertentu dalam seminggu apabila pekerja digalakkan untuk pulang awal, kata wakilnya, Irene Tan.

Beliau menambah bahawa rakyat Malaysia secara amnya adalah rajin bekerja.

"Adalah keutamaan agar kakitangan kami mempunyai keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat. Sistem kerja kami yang fleksibel membolehkan ramai daripada mereka  memenuhi tanggungjawab peribadi mereka dan pada masa yang sama melaksanakan kerja dengan berkualiti," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Isnin, 25 Februari 2013

ISU PENDIDIKAN : Beban berat halang minat lelaki menjadi guru


Oleh :  Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

Kekurangan guru lelaki dalam sektor pendidikan sudah lama mencetuskan kebimbangan sekali gus memberi mesej bahawa tindakan wajar perlu diambil bagi menangani kemelut ini.

Biarpun pelbagai insentif menarik ditawarkan, ia belum mampu menarik minat golongan Adam bergelar warga pendidik yang ramai didominasi wanita.

Apakah kerana melihat ia kerjaya bersifat feminin menjadikan mereka menolak untuk bergelar guru atau tanggapan bidang ini tidak sesuai kerana kurang mencerminkan ciri lelaki maskulin?

Jikalau berterusan ditolak, apakah kesudahan masa depan lelaki dalam bidang perguruan di negara ini?

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, isu yang perlu diperhalusi bukanlah jumlah tapi bagaimana menarik minat golongan lelaki menjadi guru.

Beliau berkata, kekurangan minat itu memang jelas dibelenggu persepsi bahawa jika lelaki menjadi guru, ia akan menghilangkan sifat maskulin.

“Kekurangan jumlah itu perlu dilihat daripada kemerosotan bilangan penyertaan golongan lelaki ketika melanjutkan pengajian di maktab atau universiti.

“Apabila kurang yang memohon, ia memberi kesan kepada jumlah yang menamatkan pengajian untuk menjadi guru.

“Justeru, isu asas yang harus diselesaikan ialah bagaimana menarik minat golongan itu menjadi guru.

“Jika penyelesaian itu ada, jumlah lelaki yang mahu menjadi guru pasti akan meningkat,” katanya.

Statistik Kementerian Pendidikan sehingga akhir tahun lalu mendapati, terdapat 127,744 guru lelaki dan 287,723 guru wanita di sekolah seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 72,399 guru lelaki dan 165,485 guru wanita mengajar di sekolah rendah manakala 55,345 guru lelaki dan 122,238 wanita di sekolah menengah.

Jumlah itu membenarkan andaian bahawa lelaki memang tidak suka menjadi guru kerana pelbagai sebab, antaranya sifat maskulin.

Namun, beliau kurang bersetuju faktor maskulin menjadi faktor utama mengapa golongan lelaki tidak berminat menjadi guru.

“Masyarakat kita memang suka membuat persepsi yang bukan-bukan. Siapa kata lelaki jadi guru akan hilang sifat macho?

“Cuba lihat sekolah waktu dulu, siapa paling ramai, paling tegas dan paling berwibawa menjadi guru jika bukan lelaki?

“Sampai tua pun, generasi dulu ingat betapa garangnya guru lelaki yang cukup sinonim dengan rotan. Mereka jadi guru tapi sifat lelaki tidak hilang malah boleh menjadi guru terbaik dan diingati pelajar walaupun selepas menamatkan pengajian,” katanya.

Tidak menafikan persepsi itu timbul rentetan banyaknya guru wanita mendominasi bidang perguruan hingga tenggelam golongan lelaki.

“Senario ini tidak boleh dielak kerana mereka (wanita) adalah golongan yang mendominasi kemasukan di institusi termasuk bidang pendidikan.

“Jadi, kita akan lihat guru wanita lebih ketara berbanding kelibat lelaki. Tapi ini bukan sebab untuk menafikan atau memperlekehkan kehadiran guru lelaki kerana keperluan mereka penting.

“Lelaki yang mahu jadi guru kurang dan lebih suka memohon kerjaya lain. Kita tidak boleh menyekat keinginan mereka.

“Justeru, jika ramai memohon adalah wanita, berilah laluan itu kepada mereka biarpun jurang populasi akan meningkat,” katanya.

Kehadiran guru lelaki di sekolah mampu mengimbangkan perjalanan sistem tugasan guru terutama pelarasan tugas yang kurang mampu ditangani guru wanita.

“Contohnya aspek disiplin, guru lelaki lebih sesuai menangani masalah pelajar bermasalah.

“Jadi, jika berterusan kekurangan guru lelaki, lama-kelamaan aspek ini akan menjadi kurang kawalan dan boleh menimbulkan masalah lain.

“Sebab itu, perlu ada  peranan guru lelaki dalam mengendali dan mentadbir sistem persekolahan supaya wujud  keseimbangan,” katanya.

Kecenderungan lelaki memilih bidang pekerjaan lain juga, katanya, bertitik tolak daripada pandangan buruk diberikan masyarakat yang gemar melabelkan pekerjaan guru sebagai terlalu mencabar, tertekan dan terlalu sibuk.

“Melihat ‘kesengsaraan’ guru hari ini, memanglah boleh memadamkan minat lelaki ke arah itu tetapi saya tegaskan mana-mana pekerjaan pun pasti ada cabaran.

“Bezanya, cara kita menangani cabaran itu,” katanya.

Dilema yang dihadapi guru hari ini turut menjadi bidang perguruan semakin jauh daripada golongan lelaki.

“Dulu, kebanyakan guru disiplin diberi tanggung jawab kepada guru lelaki dan mereka bebas melakukan hukuman bagi membentuk disiplin pelajar.

“Tapi guru hari ini terlalu banyak sekatannya menyebabkan penghormatan sebagai guru semakin diperkecilkan.

“Justeru, tidak boleh salahkan mereka andai kata enggan memilih pekerjaan ini sebab setiap orang ada keinginan berbeza,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap agar tanggapan  terhadap bidang perguruan diperbetul.

“Masa depan guru sangat luas, bukan menjadi guru sampai pencen kerana banyak pilihan pekerjaan terbuka untuk mereka seperti  menjadi pensyarah.

“Bergelar guru adalah satu penghormatan, bukan diukur dengan wang ringgit. Tanpa mereka, kita mungkin tidak berada seperti apa yang dikecapi hari ini,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sarana Ibu Bapa dan Sekolah dilancar


KUALA LUMPUR - Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah peringkat kebangsaan dilancar hari ini sebagai inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.

Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran sarana itu meminta pihak sekolah menukar imej agar dilihat sebagai tempat memupuk persefahaman dan muafakat antara ibu bapa dan masyarakat.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.  

Muhyiddin berkata imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah demi kepentingan pelajar.

"Sebagaimana yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak kita adalah dengan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

"Inisiatif ini melibatkan kepentingan dan masa depan lebih 5.4 juta murid seluruh negara dan anggaran murid yang terlibat bagi tempoh 12 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang," katanya.

Tema majlis yang dihadiri wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pemimpin masyarakat setempat dari seluruh negara ialah 'Anak Nadi Aspirasi Kita - Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama'.

Muhyiddin berkata kementerian memperkenalkan dokumen Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah bagi menyatukan setiap pihak berkepentingan kerana penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk melahirkan aset negara yang berharga.      

"Sarana Ibu Bapa memberi fokus kepada peranan ibu bapa dalam pendidikan. Kajian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) dijadikan asas dalam penyediaan sarana ini.

"Dapatan OECD ini tidak menghairankan kerana jika kita teliti satu persatu, setiap aspek yang disenaraikan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada anak-anak.

"Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah," katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu juga diseru supaya dapat menyumbangkan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.

Mengenai Sarana Sekolah pula, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) kerana sekolah seperti di negara maju, ibu bapa merupakan penggerak utama untuk melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah.

Bagaimanapun, katanya, tidak akan sempurna jika usaha mendidik hanya membabitkan ibu bapa, sekolah dan masyarakat kerana semua kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta juga perlu memainkan peranan yang bersesuaian dalam aspek pembangunan kemanusiaan, kemahiran keibubapaan, kesihatan mental dan fizikal dan sebagainya. - Bernama

Ahad, 24 Februari 2013

Tragedi Pagi Jumaat



Hari itu hari ketiga  Bengkel JUJ diadakan….Oleh sebab perbincangan hari Khamis malam Jumaat berakhir agak lewat, aku mengambil keputusan untuk tidur sahaja di hotel. Pilihan yang terakhir kerana  tidur di rumah lebih selesa. Lagipun jarak antara rumahku dengan tempat mesyuarat di Bukit Gambang Resort itu, tidaklah terlalu jauh..

Malam tersebut, aku tidur sendirian kerana  tiga orang rakan sebilik yang lain, tidur di rumah masing-masing.

Pagi hari kejadian, aku bangkit dari tidur kira-kira pukul  6.00 pagi….Selesai solat subuh, aku  sempat membuka  komputer ribaku untuk menyemak  soalan  dan skema yang telah kami siapkan  buat kali terakhir,  sebelum  memuatkannya ke dalam cakera padat yang dibekalkan oleh pihak urus setia. Soalan dan skema sebahagiannya telahpun aku cetak pada malam tadi – sebelum aku pulang ke bilik penginapan

Kira-kira jam 7.30 pagi, aku menamatkan tugasku mengedit  soalan, lantas aku bergegas ke bilik air. Seperti biasa , aku mulakan rutin harianku dengan menggosok gigi. Seterusnya aku ke bahagian  pancuran air untuk mandi…Seusai mandi, perkara yang tidak kujangka berlaku. Permukaan lantai yang licin itu   menyebabkan aku hilang kawalan. Aku jatuh ke belakang. Kepalaku terbentos ke lantai. Pandanganku  gelap seketika. 

Kalimat “tasbih, tahmid, tahlil dan takbir” aku lafazkan berulang kali apabila aku mampu bangkit daripada tempat aku jatuh. Aku lantas merangkak dengan memaut singki bilik air. Walaupun begitu,  pada peringkat awal , aku seakan-akan hilang perimbangan. Syukur alhamdulillah, akhirnya aku mampu bangkit seperti sediakala. Aku cuba melihat wajahku di cermin dan seterusnya segera keluar dari bilik air untuk bersiap kerana  waktu mesyuarat akan bermula tepat 8.00 pagi.

Sakit pada bahagian belakang kepalaku kian terasa, namun  aku cuba menahannya kerana tiada siapa yang ada di bilik untuk kuminta pertolongan. Dalam keadaan kalut begitu, tiba-tiba aku menerima panggilan daripada  Cikgu Asmui yang telahpun sampai di Dewan Mesyuarat. Aku segera mengadu kepadanya hal yang  menimpaku. Cikgu Asmui  bergegas datang mendapatkanku. Secara kebetulan pula, Cikgu Nazir baru sampai. Justeru, setelah mendapat kebenaran urus setia, aku dikejarkan ke klinik berdekatan (Klinik Gambng)  untuk  mendapatkan pemeriksaan doktor serta rawatan susulan. Malangnya, tiada doktor yang bertugas pagi itu. Yang ada hanya pembantu perubatan. Ramai  pula  pesakit yang menunggu untuk dirawat sedangkan aku mendapat giliran ke-17.

Beberapa lama menunggu, tiba-tiba Cikgu Asmui menerima panggilan daripada Zulhafnie @ Bob (Pegawai Yayasan Pahang) yang  menawarkan  diri untuk membawaku ke bandar bagi mendapatkan pemeriksaan doktor  di klinik swasta. Aku dibawa ke Klinik Philips di Taman Tas. Kebetulan pula, Datuk Dr K. Kunaraj bertugas pada pagi itu.  Setelah membuat pemeriksaan, Doktor Kunaraj menyarankan agar aku mendapat rawatan susulan di Hospital Besar Kuantan.

Bob bagaimanapun membawaku ke Darul Makmur Medical Centre (DMMC) , hospital pakar yang baru beroperasai  untuk aku mendapat rawatan susulan. Sesampai di hospital tersebut, kami disambut oleh seorang doktor berbangsa India. Berdasarkan surat  rujukan daripada Datuk Dr  Kunaraj  yang   kami bawa, Doktor tersebut menyarankan agar aku menjalani  CT Scan  untuk memastikan tidak berlaku pendarahan  dalaman.  Aku  dibawa ke bilik pengimejan  menaiki kerusi roda. Proses  CT Scan mengambil masa hampir 30 minit.  Imej kepalaku kelihatan daripada  pelbagai sudut.

Alhamdulillah, berdasarkan  pemerhatian awal,  doktor memberitahuku  bahawa tidak ada pendarahan dalaman dikesan. Oleh sebab tidak terdapat sebarang simptom  seperti muntah-muntah berlaku, aku dibenarkan pulang  untuk berehat di rumah. Namun begitu, aku masih tidak boleh bersenang hati kerana  laporan pemerhatian sebenar hanya akan diberikan oleh Doktor Pakar Radiologi pada hari Isnin .

Walau bagaimanapun, aku amat terharu dengan layanan mesra  yang diberikan  oleh kakitangan hospital berkenaan sepanjang  aku menerima rawatan. Terima Kasih tidak terhingga kepada pihak urus setia,  khususnya  Encik  Mohamad Mat Lihim dan pihak Yayasan Pahang  yang menanggung sepenuhnya kos rawatan sepanjang aku berada di hospital. Juga rakan-rakan yang meneruskan tugas-tugas akhir menyiapkan  bahan JUJ Bahasa Melayu 1 sehingga selesai  Terima Kasih!!