Jumaat, 1 Mac 2013

ISU EKONOMI : Duti Import kereta 0% pada 2016


Putrajaya : Duti import ke atas semua model kereta dari Jepun dan Australia akan dimansuhkan secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2016.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penurunan itu berikutan perjanjian kerjasama ekonomi Malaysia-Jepun bermula tahun ini, duti import kereta dari negara berkenaan akan diturunkan sebanyak 15 peratus diikuti 10 peratus pada 2014, lima peratus pada 2015 dan 0 peratus pada 2016.

Sementara kereta import dari Australia akan mengalami penurunan dari 13.6 peratus tahun ini diikuti 9.1 peratus pada 2014, 4.6 peratus pada 2015 dan 0 peratus menjelang 2016.

“Penurunan tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana ia akan memberi kesan yang teruk kepada industri automotif terutama pekerja dalam sektor pembuatan dan pasaran kereta terpakai yang kini mempunyai 350,000 orang.

“Sebenarnya, harga beberapa model kereta baru sudah diturunkan antara tiga hingga lima peratus sejak suku akhir tahun lalu dengan kebanyakan harga model OEM (syarikat pengeluar kenderaan) dikurangkan antara RM2,200 hingga RM17,000,” katanya pada sidang media mengumumkan Pelan Penurunan Harga Kereta di sini, semalam. Turut hadir Presiden Persatuan Automatif Malaysia Datuk Aishah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automatif Malaysia (MAI) M Madani Sahari. Mustapa berkata, penurunan harga itu hasil daripada langkah kerajaan menjadikan industri lebih efektif serta kompetitif dan satu daripada faktor yang menyumbang ke arah itu adalah liberalisasi dalam industri automotif.

Katanya, antara faktor menyumbang kepada penurunan harga kereta ialah pelaksanaan perjanjian Zon Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) apabila duti import kereta mula dimansuhkan sejak 1 Januari 2010. Beliau berkata, ia bukan perkara baru kerana perbincangan menurunkan harga kereta sudah berlangsung sejak tiga tahun lalu, namun keputusan yang diambil itu bukan mudah kerana membabitkan banyak pengeluar kereta.

“Kita faham anak muda kini mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar pinjaman kenderaan memandangkan kereta kini dianggap keperluan dan bukannya barangan mewah seperti satu masa lalu.

“Jadi, kita akui adalah lebih bagus kalau harga kereta di Malaysia dikurangkan sedikit untuk mengurangkan bebanan ditanggung mereka sebab itu kita bincang dengan pengeluar. “PROTON dan PERODUA juga ada perancangan untuk mengurangkan kos sehingga 30 peratus, tetapi ia akan dilakukan berperingkat dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi,”katanya.

http://www.hmetro.com.my/

ISU DALAM NEGERI : Pencerobohan bersenjata di Sabah

 Anggota tentera bersiap ke Kampung Tanduo untuk menghadapi 
penceroboh yang berkubu di kampung itu, hari ini. - Foto Bernama

2 komando, 12 anggota penceroboh maut

LAHAD DATU - Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di sini hari ini.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis.

Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza.

Hamza berkata, turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.

Beliau berkata, polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.

"Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan," katanya.

Nafi laporan penceroboh serah diri

Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.

Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.

"Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.

Najib juga dilaporkan berkata kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar daripada kawasan itu secepat mungkin.

Sementara itu, mayat kedua anggota polis yang terkorban itu dibawa ke Hospital Lahad Datu. Dua anggota polis yang cedera pula diterbangkan ke hospital yang sama untuk dirawat manakala seorang lagi diterbangkan ke sebuah hospital di Sandakan.

Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke kawasan itu pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung berkenaan sebagai pangkalan mereka.

Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.

Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari  lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.

Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.

Isnin lepas, Hamza berkata, polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan rakyat Filipina itu.

Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada orang yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

INFO :
Kronologi Pencerobohan Kumpulan Bersenjata Dari Selatan Filipina :

9 Feb - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Feb - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
  
12 Feb - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
  
14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad  Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu'  dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

14 Feb - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
      
16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal. Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
    
18 Feb - Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
  
24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
  
26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
  
28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu. Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yangmenegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
  
1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.-Bernama

ISU SOSIAL : Kes dera kanak-kanak 2012 meningkat 17.8%


KUALA LUMPUR - Kes penderaan kanak-kanak pada tahun lalu meningkat 17.8 peratus kepada 285 kes berbanding 242 kes pada tahun 2011, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), PDRM ACP Hamidah Yunos berkata, berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun menjadi mangsa penderaan tertinggi dalam tempoh dua tahun iaitu 136 tahun lepas berbanding 117 pada 2011.

"Bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, sebanyak 99 orang didera berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun sebanyak 50 orang berbanding 43 orang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, statistik merekodkan kes penderaan tertinggi mengikut negeri ialah Selangor dan Johor, masing-masing 67 kes diikuti Pulau Pinang (25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak (15), Melaka (13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah (8), Terengganu (4) dan Perlis (3).

Penasihat undang-undang Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA), Profesor Dr Gopenathan Raman Nair berkata, antara punca yang dikenal pasti menyebabkan penderaan kanak-kanak berlaku ialah 'perasaan cemburu' seorang bapa terhadap anak tirinya sehingga menyebabkan penderaan teruk dan kematian seseorang kanak-kanak.

"Perasaan cemburu boleh menyebabkan tekanan perasaan yang melampau sehingga seseorang bapa itu melakukan tindakan luar kawalan.

"Perasaan cemburu itu berlaku apabila bapa tiri tersebut merasakan kasih sayang ibu terhadap anaknya berlebihan berbanding dirinya dan disebabkan perasaan cemburu itu juga, seseorang bapa akan merasa tertekan sehingga terdorong untuk mendera," katanya.

Gopenathan berkata, kes seperti itu juga berlaku akibat tekan jiwa kerana tidak mempunyai anak kandung.  

"Kesukaran seorang lelaki itu untuk mendapat anak kandung menyebabkan dia berasa tertekan dan akan melepaskan perasan marah terhadap anak tirinya," katanya.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) R.Jeevan pula berkata untuk mengatasi masalah ini, langkah pencegahan awal perlu dilakukan iaitu dengan kerjasama semua pihak.

"Kerjasama antara semua pihak sangat penting untuk langkah pencegahan awal iaitu jiran, guru, sahabat, dan adik-beradik mangsa perlu bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kes seperti itu berlaku....walaupun kes itu adalah pertama kali berlaku terhadap mangsa, ia perlu dilaporkan bagi mengelakkan penderaan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Sebelum ini beberapa kes seperti itu berlaku sehingga membawa kepada kecederaan teruk dan kematian.

Antaranya ialah kisah di Alor Gajah Melaka pada 11 Oktober 2011 apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas cedera di bahagian paru-paru akibat didera oleh bapa tirinya.

Pada Jun 2012 pula, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian punggung dan jari dipercayai didera oleh bapa tirinya di Kampung Gong Machang, Besut Kuala Terengganu.

Kedua-dua kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Manakala kes terbaharu dilaporkan media pada 13 Dis 2012 iaitu seorang individu memuat naik ke laman sosial Facebook kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didera bapa tirinya dan kes itu dipercayai berlaku dua bulan sebelum video itu disebarkan.

Susulan kejadian itu, suspek berusia 32 tahun, dihukum penjara selama 12 bulan.

Individu didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, katanya. - Bernama

Khamis, 28 Februari 2013

Malaysia Kini Ada 14 Bilionair - Forbes

Robert Kuok
SINGAPURA : Robert Kuok kekal sebagai orang terkaya Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$12.5 bilion (RM38.63 bilion), demikian menurut senarai terkini orang terkaya Forbes.

Malaysia juga kini mencatatkan kekayaan bernilai 14 bilion dolar, melonjak daripada 11 setahun yang lepas.
Indeks Komposit Kuala Lumpur telah bergerak naik empat peratus sejak tahun lepas dan dalam tempoh itu, keluaran dalam negara kasar negara mengukuh 6.4 peratus.
Dalam proses itu, seramai 23 taikun di senarai itu menyaksikan kekayaan mereka meningkat dengan Robert Kuok mendahuluinya untuk lapan tahun berturut-turut dengan kekayaan bersih AS$12.5 bilion.
Pegangannya termasuk Shangri-La Hotels, Kerry Properties dan the South China Morning Post, akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di Hong Kong.
Tempat kedua ialah Ananda Krishnan yang menyaksikan kekayaannya meningkat daripada US$9.9 bilion pada 2012 kepada AS$11.7 bilion tahun ini.
Antara urus niaga terbaru yang menambahkan kepada kekayaannya ialah penjualan kepentingan dalam syarikat telekom gergasi Maxis dan penyenaraian syarikat pengendali TV berbayar Astro, yang dijadikan persendirian pada tahun 2010 dan mengumpul US$1.5 bilion dalam proses ini.
Lim Kok Thay, anak lelaki kepada usahawan kasino terkenal, mendiang Lim Goh Tong pula mengendalikan Genting Group dengan rangkaian resort dan kasino di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Filipina dan United Kingdom dan 43 peratus kepentingan dalam Norwegian Cruise Line.
Beliau berkongsi kekayaan bersihnya yang bernilai AS$6.6 bilion itu dengan ibunya, Lee Kim Hua yang berusia 82 tahun dan anggota keluarganya yang lain.
Senarai 50 orang terkaya di Malaysia tahun ini termasuklah sembilan anggota baru.
Antara bilionair yang pertama kali memasuki senarai ialah taikun auto Tan Heng Chew dan keluarganya yang menduduki tempat ke-11 dengan kekayaan bernilai AS$1.2 bilion.
Keluarga itu memiliki Tan Chong Motor Holdings yang memasang kenderaan bermotor, menghasilkan alat ganti dan berurus niaga kelengkapan perindustrian dan barangan pengguna.
Shahril dan Shahriman Shamsuddin, adik beradik di belakang kejayaan Sapura Group, turut memasuki ranking bilionair selepas penggabungan bernilai AS$3.7 bilion antara Sapura Crest dan Kencana Petroleum (dikendali oleh Mokhzani Mahathir, di tangga ke-15 dengan AS$980 juta).
Kedua-dua adik beradik itu muncul di tangga ke-12 dengan harta bernilai AS$1.05 bilion, naik daripada AS$845 juta tahun lepas.
Tahun lepas merupakan tahun bertuah untuk taikun perjudian, Chen Lip Keong, yang mengasaskan kumpulan kasino Kemboja, Naga Corp, yang telah mengaut keuntungan daripada hasil perniagaan itu.
Naga Corp menguasai secara monopoli kasino-kasino di Phnom Penh sehingga 2035. Beliau turut menceburi bidang perhotelan, restoran, runcit dan kompleks hiburan yang sedia untuk siap pada 2015.
Tahun ini, minimum bersih bernilai AS$145 juta diperlukan untuk layak dalam senarai itu yang dikumpul menggunakan maklumat pegangan saham dan maklumat kewangan yang diperoleh daripada keluarga dan individu, bursa saham, penganalisis, pangkalan data persendirian, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan sumber-sumber lain.
Angka bersih adalah berdasarkan kepada harga pasaran dan kadar tukaran pada penutup pasaran 14 Februari 2013.
Syarikat-syarikat persendirian dinilai menggunakan nisbah kewangan dan perbandingan lain dengan syarikat-syarikat serupa yang diniagakan awam.
Senarai 14 orang terkaya Forbes di Malaysia ialah:
1) Robert Kuok - AS$12.5 bilion,
2) Ananda Krishnan - AS$11.7 bilion
3) Lim Kok Thay - AS$6.6 bilion
4) Teh Hong Piow - AS$5.6 bilion
5) Quek Leng Chan - AS$4.8 bilion
6) Lee Shin Cheng - AS$4.5 bilion
7) Yeoh Tiong Lay - AS$2.8 bilion
8) Syed Mokhtar AlBukhary - AS$2.75 bilion
9) Tiong Hiew King - AS$1.8 bilion
10)Vincent Tan - AS$1.3 bilion
11)Tan Heng Chew - AS$1.2 bilion
12)Shahril & Shahriman Shamsuddin - AS$1.05 bilion
13)Chen Lip Keong - AS$1.01 bilion
14)Lee Oi Hian & Lee Hau Hian - AS$1 bilion
Senarai penuh boleh dilihat di www.forbes.com/malaysia, serta keluaran terbaru Forbes Asia. - BERNAMA

ISU KESIHATAN : Program cara hidup sihat atasi obesiti


Oleh : NORIZAN ABDUL MUHID

Ketika ini, dianggarkan 6.7 peratus di kalangan murid sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi yang berusia antara 10 dan 19 tahun di negara kita mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti dan angka tersebut dijangkakan meningkat tahun demi tahun.

Bagi menangani permasalahan tersebut, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Nestle (M) Berhad dan Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan program Cara Hidup Sihat untuk mengenal pasti kaedah berkesan menangani isu yang timbul.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, program ini merupakan kajian tentang cara pemakanan dan gaya hidup sihat yang dijalankan selama tiga tahun ke atas murid dari 100 buah sekolah asrama harian terpilih di seluruh negara.

''Matlamat program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan amalan cara hidup sihat dan aktif di kalangan murid," katanya semasa melancarkan program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Nestle (M) Berhad, Peter R. Vogt dan Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik UPM, Prof. Madya Norhaizan Mohd. Esa.

Menurut Ka Siong, sebanyak 332 orang pengendali makanan di sekolah terpilih telah dilatih untuk menyediakan makanan berkhasiat selain 203 guru dan warden turut diberi latihan modul pendidikan khusus untuk program tersebut sebelum pelaksanaannya dilakukan di sekolah-sekolah.

Kementerian, ujarnya, memilih sekolah asrama harian untuk program khas itu bertujuan memudahkan kajian tersebut dilakukan secara menyeluruh dan memperoleh data dengan tepat.

''Kalau kita buat di sekolah biasa, susah hendak pantau kerana murid-murid ini akan pulang ke rumah.

''Apabila mereka pulang ke rumah, sudah tentu tiada guru atau warden yang dapat memantau cara pemakanan mereka,'' jelasnya.

Tambah Ka Siong, pendekatan dan hasil kajian yang diperoleh daripada program intervensi itu akan disusun dan disemak oleh UPM sebelum dikongsi bersama kementerian.

"Jika kajian ini menunjukkan hasil yang positif, kita akan kembangkan lagi program ini di sekolah lain pula," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nestle, Peter Vogt berkata, pihaknya memperuntukkan sehingga RM1 juta bagi melaksanakan program tersebut demi meningkatkan pengetahuan dan amalan cara hidup sihat di kalangan pelajar.

Menurutnya, pihaknya memilih sekolah asrama harian kerana murid daripada kelompok tersebut lebih terdedah dengan makanan disediakan pengendali makanan.

"Berbeza dengan murid yang tinggal di rumah, mereka mendapat pemantauan ibu bapa dan lebih mudah mendapat makanan berkhasiat.

"Bagi murid yang tinggal di asrama, mereka menerima makanan disediakan pengendali dilantik dan penting untuk melatih pengendali ini menyediakan makanan menggunakan ramuan kurang garam dan lemak,'' katanya.

Vogt berkata, modul pendidikan yang diketengahkan merangkumi pemahaman mengenai berat badan dan perubahan kitar hidup, keseimbangan pengambilan dan penggunaan tenaga, kepentingan pemakanan sihat serta cara hidup aktif.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 27 Februari 2013

ISU EKONOMI : Benarkah Malaysia telah bankrap?


Oleh :  ROHAMI SHAFIE

BENARKAH Malaysia telah bankrap? Bagi orang biasa, apabila terdapat dakwaan Malaysia telah bankrap boleh menyebabkan mereka berasa risau apa akan terjadi kepada masa depan mereka dan keluarga mereka.

Bankrap satu istilah yang amat dibimbangi oleh sesiapa sahaja hatta mana-mana negara di dunia sekali pun. Kebankrapan menyebabkan seseorang itu tidak bebas, manakala negara pula mudah mengikut telunjuk pemberi hutang tanpa boleh membuat keputusan sendiri.

Natijahnya, bagi seseorang yang diisytiharkan bankrap, kehidupannya tidak seperti manusia normal. Begitu juga negara yang telah bankrap, rakyatnya menerima padahnya yang amat dahsyat. Inilah yang terjadi di negara-negara Barat seperti Greece yang secara teknikalnya boleh dikatakan sebagai negara yang bankrap.

Tetapi bagaimana pula dengan Malaysia? Bagi penganalisis ekonomi dan kewangan, Malaysia tidak berada dalam keadaan gawat kewangan, jauh sekali bankrap. Jika Malaysia  bankrap, sudah lama ada petanda-petanda Malaysia bankrap.

Sebagai contoh, petanda paling utama adalah kerajaan tidak mampu membayar hutang kerajaan. Usah kata hutang pokok kerajaan, kadar faedah pun tidak mampu dibayar. Sebaliknya berlaku, apabila hutang kerajaan Malaysia mampu dibayar oleh kerajaan, dan pemegang hutang kerajaan tidak pernah sesekali tidak dibayar kadar faedah.

Dalam istilah kewangan tidak pernah berlaku kemungkiran pembayaran faedah (default). Disebabkan tidak pernah berlaku kemungkiran pembayaran faedah oleh kerajaan Malaysia, Indeks Risiko Kedaulatan Blackrock (BSRI) meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18  hutang kerajaan paling kurang  risiko. Dengan kata lain,  hutang-hutang kerajaan termasuklah bon kerajaan berisiko rendah untuk terjadinya kemungkiran pembayaran faedah. BSRI meletakkan negara-negara yang sememangnya bermasalah seperti Greece, Portugal, Mesir, Venezuela, Itali dan Ireland sebagai negara yang hutang kerajaannya paling berisiko.

Negara-negara ini boleh dikatakan sebagai negara yang gawat kewangan kerana faktor ketidakstabilan politik. Antara negara yang dikategorikan sebagai negara yang mempunyai hutang kerajaan yang berisiko tinggi  ialah negara-negara yang mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Penulis mengambil  contoh  Greece  yang  sebelum negara itu gawat kewangan, rakyatnya menerima pelbagai manfaat kewangan yang tidak setimpal dengan keupayaan kewangan kerajaan seperti pencen penjawat awam dibayar terlalu tinggi dan rakyatnya diberikan kemewahan.

Ini semuanya hanya kerana inginkan rakyatnya menyokong kerajaan. Adakah kita mahu perkara sebegitu berlaku ke atas negara ini dengan rakyatnya diberikan kemewahan yang tidak setimpal dengan keupayaan kewangan negara?

Dasar segala-gala percuma seperti tol dihapuskan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN), minyak diturunkan pada tahap yang tidak munasabah dan meningkatkan subsidi yang tidak produktif boleh meletakkan Malaysia di kedudukan bahaya sebagai negara yang bakal bankrap.

Usah hanya kerana ingin mengambil hati rakyat, perkara yang sukar dilakukan atau di luar keupayaan kewangan negara ditawarkan kepada rakyat. Ini belum termasuk hasrat untuk mengangkat pendapatan pekerja pada tahap yang orang biasa pun mengetahui sukar dilaksanakan.

Apabila segala-galanya diberi percuma akan lahirlah golongan yang malas bekerja, maklumlah segala-galanya percuma, buat apa perlu bekerja keras.

Kesannya, amat teruk sama sekali apabila produktiviti negara semakin menurun dan seterusnya pendapatan negara akan semakin berkurangan. Pendapatan negara semakin berkurangan dek cukai yang dikutip semakin berkurangan.

Cukai yang semakin berkurangan sudah pastinya tidak mampu menanggung kemewahan yang diberikan kepada rakyat selama ini. Kerajaan bukan sahaja tidak mampu meneruskan kemewahan tersebut bahkan kewangan negara sudah tidak mapan lagi. Kesan akhirnya dan inilah yang terjadi kepada Greece, secara teknikalnya negara akan bankrap dan terpaksa meminta bantuan daripada negara asing bagi membiayai kewangan negara.

Rakyat mula memberontak dan pelbagai demonstrasi akan melanda di pelosok negara. Kehidupan rakyat tidak berjalan seperti biasa. Dua kerisauan akan terjadi. Pertama, rakyat risau nyawa dalam keadaan bahaya apabila terjadinya demonstrasi berleluasa.

Kedua, risau tidak mampu lagi makan dan minum seperti biasa kerana aktiviti ekonomi tidak berjalan seperti biasa. Usah cakaplah menikmati makan dan minum secara bermewah-mewah, menikmati makan dan minum sebagai orang biasa pun tidak mampu lagi.

Mengimbas kembali sejarah kegawatan kewangan Malaysia, kita tidak boleh sesekali melupakan apa yang terjadi pada tahun 1997/98. Bagi generasi muda yang berumur di bawah 35 tahun mereka tidak merasai kegawatan kewangan tersebut.

Pada masa itu, ramai rakyat Malaysia yang bankrap, nasib baiklah kerajaan ketika itu tangkas mengambil tindakan drastik dan tepat pada masanya untuk memastikan ekonomi negara stabil semula. Ramai pelajar yang bijak tidak dapat dihantar ke luar negara. Kita hampir-hampir meminta bantuan asing. Kadar faedah pula terlalu tinggi.

Generasi muda perlu merujuk kembali angka-angka ekonomi negara ketika itu terutamanya indeks komposit dan kadar faedah yang terlalu tinggi merencatkan sistem ekonomi negara. Lebih teruk lagi, kadar Ringgit Malaysia berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) menjunam teruk.

Hutang individu amat tinggi, hutang syarikat pun usah cakaplah dan akhirnya banyak syarikat gulung tikar. Situasi pada ketika itu membuka peluang seluas-luasnya untuk negara luar menjajah Malaysia secara halus dan bukannya secara ketenteraan.

Adakah keadaan ekonomi ketika itu sebagaimana sekarang? Tidak sama sekali. Tetapi tidak mustahil ia berulang kembali sekiranya Malaysia mengamalkan sistem ekonomi seperti Greece.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KEIBUBAPAAN : Anak mewarisi sikap ibu bapa

Elakkan pertengkaran di hadapan anak
Oleh  : Norlaila Hamima Jamaluddin

Kemahiran keibubapaan memang sangat penting dalam membentuk keluarga bahagia dan memperoleh anak yang mendengar kata. Sana sini orang memberikan panduan keibubapaan yang baik, malah ada beratus buku membincangkan perkara ini dengan terperinci.

Namun, ramai ibu bapa terlepas pandang sikap mereka sendiri yang boleh memberi kesan buruk pada perkembangan psikologi dan perlakuan anak. Ramai juga ibu bapa yang berasakan mereka ‘terlepas’ untuk menikmati saat anak membesar kerana kesibukan kerja dan perkara ini hanya disedari apabila anak meningkat remaja serta menunjukkan perlakuan yang memeningkan kepala.

Sebenarnya tanpa sedar, anak banyak ‘mewarisi’ sikap kita terutama perlakuan yang buruk. Sebelum ia terjadi, marilah kita sama-sama menilai semula sikap yang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan anak seperti:

i. Memberi gelaran tidak baik kepada seseorang

Anak sekarang bijak dan mereka boleh mengesan apabila mendengar sesuatu yang tidak sepatutnya diucapkan. Jika anda ada tabiat ini, berusahalah menghentikannya supaya anda tidak menjadi teladan buruk kepada anak.. Memberi gelaran sama ada kepada guru, ahli keluarga, jiran atau orang yang melewati di depan rumah anda adalah satu tabiat yang sangat hodoh.

Oleh sebab kanak-kanak masih belum pandai membezakan antara baik dan buruk, dikhuatiri dia melakukannya ketika berada di khalayak ramai.

Pada masa sama, elakkan juga memberi gelaran kurang manis kepada anak seperti ‘hitam’ (kerana kulitnya gelap) atau ‘cik mok’ (disebabkan badannya montel) seperti yang kerap dilakukan kebanyakan ibu bapa. Jangan beri anak gelaran negatif seperti penipu, bodoh, lembab, degil, lembik atau pembelot. Walaupun ada kalanya ia bertujuan untuk mengusik, ia memberi kesan buruk kepada psikologi anak.

Panggilan seperti ini akan mengikis keyakinan diri mereka dan perkara ini boleh berlanjutan sehingga dewasa. Mereka akan membesar sebagai individu yang kurang yakin dan mempunyai tanggapan negatif pada diri sendiri. Panggilan negatif yang diulang berkali-kali lama-kelamaan akan meresap dalam fikiran anak dan dia percaya dirinya memang mempunyai sifat seperti nama gelaran itu.

Kita boleh mengubah panggilan negatif ini kepada positif. Contohnya jika memang kulitnya agak gelap berbanding anak lain, panggillah dia ‘si hitam manis’, namun lebih baik jika perkataan yang menggambarkan warna kulitnya dipadamkan terus. Ciri fizikal seperti warna kulit dan bentuk badan hanyalah sifat luaran, apa yang penting ialah budi pekertinya. Jika si anak gemuk, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab untuk membantu menguruskan berat anak demi kesihatan dan keyakinan dirinya.

ii. Bercakap dengan nada suara yang tinggi atau suka menengking

Sedarkah kita tabiat yang buruk itu lebih mudah dan cepat ditiru berbanding nilai murni? Anak akan menganggap bercakap dengan nada tinggi itu satu perkara normal dan melakukan perkara yang sama tidak kira di mana dia berada.

iii. Tidak memberikan perhatian kepada anak

Tidak mengendahkan anak secara fizikal atau emosi boleh memberi kesan negatif kepada anak anda. Tidak mengendahkan anak adalah antara penganiayaan yang paling biasa berlaku. Tidak memberi perhatian kepada keperluan anak membabitkan makanan, tempat tinggal, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan akhirnya akan membuatkan anak berasa dipinggirkan dan rendah diri. Ia boleh meninggalkan parut psikologi yang berpanjangan.

iv. Mendera anak secara fizikal dan lisan

Tanpa disedari kita melakukan penderaan lisan kepada anak-anak dengan mengherdik, mencemuh, memaki-hamun atau memanggilnya dengan nama yang memalukan. Kita tidak sedar kerosakan psikologi yang berlaku dalam fikiran anak kita. Akibatnya anak akan hilang keyakinan dan sentiasa berasa rendah diri.

Memang tidak salah kita menghukum anak jika dia melakukan kesalahan, tetapi biarlah hukuman yang berpatutan, sesuai dengan jenis kesalahan dan umurnya. Ada banyak cara tidak menyakitkan boleh kita gunakan untuk menghukum anak supaya dia sedar. Kanak-kanak memerlukan sentuhan fizikal daripada ibu bapa seperti pelukan, ciuman dan tanda penghargaan yang lain.

Jika anda marah menjerit-jerit, memanggilnya dengan nama gelaran, kerap mengatakan dia bodoh, tidak berguna, tidak bagus dan seumpamanya, lama-kelamaan anak akan percaya dia memang dilahirkan begitu. Setiap orang dicipta dengan kelebihan tersendiri. Carilah dan pupuk kelebihan itu supaya ia boleh menjadi ‘ejen’ untuk meningkatkan keyakinan dan jati diri anak.

v. Pilih kasih

Kata orang tua-tua dulu, setandan pisang bukan semuanya sama baik. Sama juga dengan anak kita, masing-masing mempunyai karakter, kelebihan dan kekurangan masing-masing. Di sesetengah negara contohnya China dan India, budaya pilih kasih ini memang sangat ketara yang mana anak lelaki disayangi dan dihargai. Anak perempuan pula bukan saja kurang diberikan peluang pendidikan, bahkan mereka perlu bekerja untuk membantu keluarga menghantar anak lelaki ke sekolah.

Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya sikap pilih kasih, antaranya ialah pencapaian pelajaran, kerjaya, rupa paras dan peribadi anak itu sendiri. Malah rasa benci atau dendam kepada pasangan juga boleh menyebabkan seseorang bersikap pilih kasih pada anak.

Sikap pilih kasih akan mencetuskan suasana kurang sihat dan membuatkan anak berasa kecil hati, tidak disayangi dan ada kemungkinan besar ia merapuhkan hubungan kekeluargaan akibat timbulnya rasa tidak puas hati. Ada sesetengah ibu bapa tidak sedar mereka bersikap pilih kasih tetapi ia amat jelas di mata anak-anak. Jika ada antara anak merungut mengatakan kita pilih kasih atau tidak adil, ambil berat rungutan mereka. Nilai semula tindakan kita dan berusahalah untuk memberi layanan sama rata kepada anak.

vi. Menggalakkan anak berkelakuan tidak elok dengan tidak menetapkan disiplin

Ramai ibu bapa tidak berbuat apa-apa apabila anak menunjukkan perlakuan tidak elok dan lebih malang mereka marah apabila ada orang menegur tindakan si anak. Sebelum kita hendak menegur anak, perhatikan dulu tingkah laku kita.

Kebarangkalian untuk anak mewarisi perwatakan kita amat tinggi kerana setiap hari dia melihat tingkah laku anda yang sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan perlakuannya. Jika kita bercakap kasar, tentulah teguran supaya anak bercakap sopan tidak akan meninggalkan kesan di hatinya.

Selain itu, jika berlaku perselisihan faham antara anda dan isteri, paling penting elakkan bertengkar di depan anak. Simpanlah sikit rasa malu pada anak-anak, jangan tunjukkan sikap buruk anda berdua di depan mereka.

Pertengkaran tidak akan membawa kebaikan pada mana-mana pihak termasuk anak-anak. Tempias negatifnya turut terkena pada anak kerana anak yang kerap menyaksikan ibu bapa bertengkar akan berasa tertekan, sedih dan mungkin menganggap merekalah punca berlakunya keadaan berkenaan.

vii. Terlalu sibuk sehingga tiada masa melayan anak

Ini juga antara tanda gaya keibubapaan yang buruk. Memang diakui ibu bapa kini sibuk bekerja bagi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak. Bagaimanapun, perkara terpenting dalam perkembangan anak adalah kita ibu bapa bukan wang ringgit atau gajet elektronik yang mahal. Kesibukan sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama anak bermakna kita mengabaikan anak sendiri.

Luangkan masa untuk berbual, mengambil tahu apa yang berlaku pada anak ketika di sekolah, siapa kawan-kawannya, meneliti dan membantu dia menyiapkan tugasan sekolah serta terbabit dalam aktivitinya adalah antara cara untuk mendekati hati si kecil.

Jika duduk menemaninya, tetapi kita sibuk melayan laman sosial atau telefon bimbit, pun tiada gunanya. Keasyikan kita melayan laman sosial atau telefon bimbit memberi gambaran tidak baik kepada anak kerana ia menunjukkan teman di laman sosial itu lebih penting berbanding dirinya yang ada di sisi kita.

viii. Tidak rajin melayan pertanyaan anak

Ketika anak mula belajar bercakap, kita sibuk memperkenalkannya dengan banyak perkataan namun apabila dia sudah petah, kita pula malas hendak melayan pertanyaannya. Lebih buruk jika pertanyaannya kita jawab dengan satu atau dua patah perkataan saja seperti ‘Entah’, ‘Ibu tidak tahu’, ‘Jangan bisinglah’ atau ayat lain yang membantutkan sikap ingin tahunya.

Jangan kecewa atau marah apabila anak remaja memberikan jawapan yang pendek juga seperti ‘baik’, ‘okay’, ‘tidak tahu’, ‘biasa saja’ apabila kita bertanya perjalanan harinya. Mereka belajar daripada kita. Kita yang mengajarnya untuk menjawab begitu. Jika kita tidak tahu jawapan kepada pertanyaannya, kita boleh kata ‘Ibu tidak tahu, nanti ibu cari jawapannya’ dan tunaikan janji ini secepat mungkin.

ix. Mengamalkan corak pemerintahan kuku besi

Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak dan berasakan kita berhak membuat semua keputusan. Walaupun kita lebih dulu makan garam, tidak semestinya semua keputusan yang kita ambil itu betul. Ketahuilah anak juga mempunyai minat, cita rasa dan pendapat sendiri sesuai dengan zamannya. Dengar pendapat anak dan beri cadangan untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Dengan cara ini anak akan berasa dirinya penting dan dihargai.

x. Memanjakan anak dengan wang atau barangan berjenama

Anak yang dimanjakan dengan wang dan barang berjenama akan bersikap individualistik dan materialistik (mementingkan kebendaan). Ia akhirnya boleh membuahkan sikap suka menunjuk-nunjuk dan kurang prihatin kepada kawan yang kurang berkemampuan. Sikap ini perlu dibendung lebih-lebih lagi jika dia anak tunggal.

Pupuk sikap pemurah dengan menggalakkan dia bersedekah sejak kecil. Jadikan bersedekah itu amalan keluarga supaya sikap yang baik ini akan terus subur dalam jiwa anak. Jika kita sendiri kedekut, tidak mustahil anak juga akan bersikap kedekut.

Ketahuilah, bersedekah tidak menjadikan kita miskin atau susah sebaliknya ia akan membuatkan rezeki kita lebih berkat dan bertambah. Pada masa sama, kita dapat menggembirakan orang lain.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/