Selasa, 5 Mac 2013

ISU BAHASA : Pertahan warisan Jawi

Tulisan Jawi pernah digunakan secara meluas
di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara suatu ketika dahulu 

MUNGKIN ramai tidak mengenali Profesor Dr. Kang Kyoung Seok. Namun beliau umpama sebutir permata kerana menjadi satu-satunya profesor berbangsa Korea yang mempunyai kepakaran dan berjuang memelihara tulisan Jawi walau di mana beliau berada.

Malah kepakaran beliau itu turut mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Profesor berusia 58 tahun itu begitu berminat dan banyak mempelajari mengenai tulisan Jawi dan budaya orang Melayu.

Tulisan Jawi pernah digunakan secara meluas dalam hasil-hasil penulisan Melayu pada satu ketika dahulu sebelum digantikan dengan huruf Roman.

Kang dalam artikelnya menyuarakan kebimbangan mengenai tulisan Jawi yang semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Dr. Kang yang kini telah kembali ke Korea Selatan selepas menamatkan tugasnya sebagai Profesor Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jan lepas, setelah berbakti selama tiga tahun, akan meneruskan kerjayanya sebagai Ketua Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.

Namun menurut Kang, kepulangan beliau ke negara kelahirannya itu bukan noktah bagi usaha beliau mempertahankan warisan Jawi yang dilakukannya sejak tahun 1974 bermula dari tempat asalnya di Busan, Korea Selatan hinggalah ke UPSI.

Budaya Melayu

Bukan kerana sudah tidak sudi tinggal di Malaysia yang dianggap negara keduanya itu, kepulangan Kang ke Korea Selatan lebih kepada usahanya ingin mengembalikan populariti budaya Melayu terutama tulisan Jawi di negara tanah tumpah darahnya itu.

"Saya mahu pulang ke Korea Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Melayu semakin kurang dikenali berbanding tahun 80-an dan 90-an dulu, terutama dalam kalangan pelajar universiti kami dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau kebanyakan pelajarnya menyangka bahawa bahasa dan budaya Indonesia itu adalah sama, maka apa yang terjadi pelajarnya hanya mempelajari bahasa dan budaya Indonesia.

"Ini tidak betul kerana walaupun banyak persamaan namun kedua-duanya adalah berlainan dan mempunyai keunikan yang tersendiri yang perlu dipelajari.

"Pelajar saya perlu tahu menyanyi lagu Melayu Asli, menari Zapin dan menulis Jawi jika mahu belajar tentang Melayu dan Malaysia," katanya sambil tersenyum lebar.

Kang berkata hubungan erat yang terjalin antara universitinya dengan UPSI dan DBP akan digunakan sepenuhnya dalam usahanya itu.

Antara usaha terkini daripada beliau ialah membawa seorang Profesor Tamu dari UPSI atau DBP menjadi pensyarah di universitinya di Korea Selatan.

Pertahan tulisan Jawi

Memperkatakan tentang usaha mempertahankan tulisan Jawi di negara ini, beliau berkata masyarakat Melayu di negara ini sepatutnya menjadikan tulisan itu sebagai satu perkara lebih universal.

"Saya lihat sekarang tulisan Jawi ini banyak digunakan masyarakat Melayu secara eksklusif dalam hal ehwal keagamaan sahaja, mengapa tidak tulisan ini dibawa ke universiti sebagai teks utama dalam pelajaran di sana.

"Bagi saya pelajar muda di universiti adalah kumpulan utama yang perlu dicapai kerana mereka cerdik pandai yang akan mencorakkan masa depan Malaysia, jika mereka ada kesedaran tentang Jawi saya yakin tulisan Jawi akan terus berkembang di Malaysia pada masa hadapan," katanya.

Selain itu, inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu Gangnam Style boleh dilakukan bagi menarik golongan muda.

"Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan dijadikan sesuatu di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang serupa," katanya.

Teori Jawiology

Menceritakan kajian terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah teori yang mampu memperkenalkan tulisan Jawi itu kepada masyarakat dunia.

"Melalui teori ini saya mahu menerangkan tentang perkembangan tulisan Jawi daripada sebuah tulisan dalam Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri. Teori saya juga memastikan tulisan Jawi mudah difahami dan dipelajari masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.

Bercakap mengenai kajian tulisan Jawi yang amat dekat di hatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80-an.

"Saya masih mengkaji tulisan di batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti 'ba' dan 'nun'.

"Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar tepat, hanya agak-agak sahaja.

"Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih mendalam lagi," katanya.

Hembusan terakhir

Ketika ditanya bila beliau mahu bersara daripada mempertahankan warisan Melayu itu, namun dibalas dengan air muka serius daripada Kang.

"Saya akan pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang amat saya cintai ini hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," tekad beliau.

Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya.

"Saya mahu kita menjadi rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya juga mahu orang muda Korea meminati bahasa dan budaya Malaysia," katanya.— BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Pendaftaran Calon Persendirian SPM, SPMU Hingga 31 Mac


KUALA LUMPUR : Pendaftaran calon persendirian untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2013 dibuka dari 1 hingga 31 Mac ini.

Lembaga Peperiksaan dalam kenyataan hari ini berkata pendaftaran perlu dibuat di Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Negeri terdekat.

Borang permohonan dan maklumat lanjut boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di www.moe.gov.my/lp.

"Calon diingatkan supaya mematuhi tarikh yang ditetapkan kerana permohonan lewat tidak akan dilayan," kata kenyataan itu.-BERNAMA

ISU KEPENGGUNAAN : Ubat tiruan di Asia semakin meningkat

Kalau bernasib baik, ubat tiruan cuma akan
membuatkan orang yang menelannya tidak sembuh
Oleh : PHILIP STEVENS

MUNGKIN banyak pengguna yang tidak terlalu kisah jika mereka terbeli beg tangan atau kasut tiruan. Lain halnya kalau ubat yang mereka beli ternyata adalah ubat tiruan.

Kalau bernasib baik, ubat tiruan cuma akan membuatkan orang yang menelannya tidak sembuh; kalau bernasib buruk, ubat tiruan boleh membunuh, terutama jika ia mengandungi bahan beracun seperti arsenik atau bahan anti sejuk beku.

Di seluruh dunia, perdagangan ubat tiruan semakin menguntungkan. Pengeluar ubatan tiruan mengembangkan operasi mereka dari bentuk pengeluaran kecil-kecilan dalam rumah kedai kepada pengeluaran berskala perindustrian.

Ubat tiruan berjaya menembusi rangkaian pembekalan farmasi di Asia, membawa kepada peningkatan masalah kemerosotan daya penerimaan penghidap batu kering dan malaria terhadap ubat untuk kedua-dua penyakit berkenaan, kerugian dari segi ekonomi bagi pesakit dan juga sistem penjagaan kesihatan secara amnya, serta peningkatan kadar kematian kerana pesakit tidak mendapat penawar yang tepat.

Ubat generik

Masalah ubat tiruan semakin besar. Menurut International Medical Products Counterfeiting Taskforce, sekitar 10 hingga 30 peratus ubat-ubatan yang terdapat dalam negara membangun adalah tiruan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula, 50 peratus ubat-ubatan yang dibeli melalui internet (daripada laman web tidak sah yang tidak mendedahkan alamat surat-menyurat mereka) adalah tiruan. Asia paling terdedah kepada ubat tiruan.

Menurut Pharmaceutical Security Institute, Asia memiliki angka jenayah farmaseutikal tertinggi untuk tahun 2011.

Masalah utama bagi benua Asia Tenggara ialah meluasnya pengedaran ubat pencegah malaria tiruan, yang mana 50 peratus daripada sampel yang diteliti mengandungi kadar ramuan aktif yang tidak tepat.

Malah, Malaysia yang telah mempunyai peraturan dan sistem perundangan yang agak baik tidak terlepas daripada masalah ini apabila sekitar tiga hingga lima peratus daripada ubat-ubatan yang beredar dalam pasaran negara ini adalah tiruan.

Peratusan ubat tiruan yang beredar di negara-negara jiran Malaysia yang lebih miskin adalah lebih tinggi.

Sebagai contoh, International Pharmaceutical Manufacturers Group (IPMG) di Indonesia menganggarkan ubat tiruan meliputi 25 peratus daripada ubat-ubatan yang terdapat dalam pasaran farmaseutikal di Indonesia yang nilainya mencecah US$2 bilion. Angka ini menunjukkan adanya krisis besar dalam sistem penjagaan kesihatan di negara itu.

Ubat generik paling banyak menjadi sasaran peniruan di negara Asia yang miskin: lima daripada ubat paling banyak ditiru di Indonesia dan Filipina adalah ubat-ubatan biasa dan murah yang telah luput tempoh hak dagangnya, seperti ubat penahan sakit dan anti lelah.

Ini menunjukkan bahawa pengeluar ubat tiruan yang menjadikan negara Asia sebagai sasaran lebih gemar mengeluarkan jenis ubat yang besar pasarannya, berbanding jenis ubat yang lebih mahal, iaitu ubat yang hak dagangnya masih sah (dan biasanya mempunyai pasaran lebih kecil).

Bagaimanapun, ada juga pengecualian bagi hal ini, misalnya apabila sebuah kajian yang dibuat pada 2005 di Malaysia menunjukkan bahawa 8.5 peratus ubat mati pucuk di Malaysia adalah tiruan.

Walaupun kadar pengedaran ubat tiruan di Malaysia adalah lebih rendah berbanding di negara-negara Asean yang lain, beberapa pihak menimbulkan kebimbangan tentang mutu dan integriti banyak ubat-ubatan tradisional yang dijual secara meluas dalam negara ini.

Pada 2012, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan produk tradisional Mymen Plus (kapsul 400mg) setelah ia didapati mengandungi racun berjadual 'tadalafil'.

Manakala pada 2005 sebanyak 14 peratus daripada produk Akarbanar yang diuji mengandungi tahap merkuri melebihi had yang dibenarkan.

Perjanjian antarabangsa

Jadi, apa yang boleh dibuat untuk mengekang masalah yang sedang merebak ini?

Memandangkan perdagangan ubat tiruan berkembang menerusi globalisasi rangkaian pembekalan farmaseutikal, banyak pakar dasar penjagaan kesihatan dan pakar perundangan mendesak agar diwujudkan satu perjanjian baru di peringkat antarabangsa untuk menyelaraskan usaha membasmi ubat-ubatan tiruan.

Menurut kalangan yang menyokong usaha ini, tanpa perjanjian antarabangsa kita tidak dapat menentukan secara sepakat dan jelas ubat mana yang tidak sah.

Selain itu, tanpa perjanjian antarabangsa, polis tidak akan bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di negara lain untuk menjalankan penyiasatan di peringkat antarabangsa, manakala pendakwa raya pula tidak dapat diwajibkan untuk berkongsi bukti atau memberi respons terhadap tuntutan ekstradisi untuk menghadapkan pihak yang disyaki terlibat ke mahkamah.

Perjanjian antarabangsa dapat membuka jalan penyelesaian terhadap masalah sedemikian dengan menyediakan bagi negara penandatangan definisi antarabangsa yang dipersetujui untuk pelbagai jenis ubat tiruan; menjelaskan jenayah jenis baru ke atas kesihatan orang awam menurut undang-undang antarabangsa berkaitan pengeluaran dan perdagangan ubat tiruan; dan menyediakan sumber baru untuk menguatkan keupayaan peraturan di negara-negara yang memiliki peraturan longgar.

Perjanjian berkaitan ubat tiruan akan membantu usaha memerangi perdagangan ubat-ubatan tiruan antarabangsa secara perundangan.

Bagaimanapun, masa yang panjang diperlukan untuk mengatasi masalah ini kerana ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak dalam negara yang sektor perindustriannya sedang berkembang.

Pada masa sama, kerajaan di setiap negara dan sektor swasta perlu meneruskan usaha mereka untuk mengatasi masalah ubat tiruan.

Kerajaan Malaysia misalnya telah melangkah lebih maju dalam hal ini dengan memperkenalkan skim Meditag, manakala syarikat farmaseutikal telah mula meneroka teknologi baru untuk melindungi mereka daripada kegiatan peniruan, misalnya menerusi penggunaan kod bar jenis 3D dan nombor bersiri jenis mass serialization.

Lebih penting, orang awam perlu sentiasa berjaga-jaga dan memastikan ubat-ubatan dibeli hanya daripada pembekal yang mempunyai nama baik.

 Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 4 Mac 2013

ISU JENAYAH :Taktik 'tepuk bahu' di ATM

Azmi sedang mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran kawasan pejabatnya. Sedang dia mengambil wang yang telah dikeluarkan di ATM terbabit, tiba-tiba bahunya ditepuk daripada belakang oleh seseorang yang tidak dikenali memberitahu duitnya terjatuh.Selepas mengambil duitnya yang ‘terjatuh’ itu, dia terkejut apabila mendapati duit yang dikeluarkan di ATM tadi sudah lesap. Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini? Jika anda pernah mengalaminya, anda mungkin menjadi antara ribuan mangsa si penyamun yang sentiasa ‘dahagakan’ wang ringgit.

Tahukah anda? Semua orang tanpa mengira jantina, bangsa dan usia berisiko untuk menjadi mangsa kepada pencopet di ATM.

Jenayah samun di ATM

Kekerapan orang ramai menggunakan perkhidmatan ATM untuk mengeluarkan wang atau melakukan lain-lain transaksi memberi peluang kepada sindiket tepuk bahu membuat jenayah.

Walaupun jenayah ‘tepuk bahu’ di ATM jarang dilaporkan berbanding dengan jenayah lain, namun perkara seperti ini perlu dititikberatkan pengguna khususnya golongan wanita dan pelajar.

Jika ingin mengeluarkan wang di ATM, pastikan anda berteman dan pergi ke kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mengelak jenayah ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, kelalaian segelintir pengguna ATM yang kurang peka untuk mengamalkan ciri keselamatan seperti mengelakkan jarak ketara dengan ATM ketika melakukan pengeluaran wang memudahkan lagi penjenayah menjalankan kegiatan ini.

“Segelintir pengguna kurang peka untuk mengutamakan aspek keselamatan ketika mengeluarkan wang di ATM. Mereka mungkin menyangka selamat apabila merasakan orang tidak tahu nombor pin keselamatan mereka, tetapi sebenarnya kadang kala tindakan menjarakkan diri dari ATM membolehkan nada pada papan kekunci dibaca dengan lebih jelas”, katanya.

Keselamatan nombor pin ATM

Orang ramai dinasihatkan agar jangan menyimpan nombor pin bersama dengan kad ATM dengan cara melekatkan atau menulis nombor pin di atas kad ATM Ini adalah untuk mencegah daripada nombor pin terdedah kepada orang yang menjumpainya jika kad ATM tercicir atau dicuri.

Adalah dinasihatkan agar nombor pin yang dipilih itu bukannya nombor kad pengenalan atau nombor tarikh lahir. Ketika berada di ATM untuk membuat transaksi orang ramai dinasihatkan agar memasukkan nombor pin dengan cara terlindung agar tidak dapat dilihat oleh orang yang berdiri di barisan sebelah atau yang beratur di belakang kita.

Sasaran mangsa si penyamun

-Orang yang dapat gaji pada hujung bulan
-Golongan wanita
-Mereka yang bersendirian di ATM
-Orang yang mengambil wang pada waktu malam
-Orang yang kerap mengambil wang dalam tempoh masa yang tetap seperti ahli perniagaan
-Leka mengira wang tunai di hadapan ATM
-Berbual dengan orang yang tidak dikenali ketika di ATM

Tip pencegahan

-Keluarkan wang ketika waktu ramai orang seperti waktu makan tengah hari.
-Bawa teman ketika mengeluarkan wang di ATM.
-Sekiranya anda berasa curiga dengan orang yang berada di kawasan ATM, segera hubungi pihak polis.
-Jangan beritahu maklumat bank anda kepada orang lain.
-Jangan melayan sesiapa semasa membuat transaksi di ATM
-Pastikan nombor pin tidak terdedah ketika membuat transaksi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Penderaan jiwa pasangan profesional


Oleh : SUHARNE ZAINUDIN

PEGAWAI Hal Ehwal Islam Unit Undang-undang Keluarga Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Yuhaniz Mohd Yusop berkata, ilmu dimiliki bukanlah jaminan untuk menghalang seseorang pasangan itu bertindak tidak wajar terhadap pasangannya.

"Ilmu akal mampu menjadikan seseorang itu berfikir secara waras,tetapi kejituan rohani mampu menghalang nya daripada melakukan kekejaman atau penderaan atau penindasan kerana mempunyai rasa segan atau malu kepada ALLAH SWT," ujarnya.

Dalam erti kata lain, bukan malu berbuat kekerasan kerana ijazah atau anugerah akademik dimiliki, tetapi malu dengan ALLAH.

"Untuk mendapatkan ketenangan dan keamanan dalam berumah tangga asas paling utama adalah memantapkan pengisian rohani," tegasnya.

Yuhaniz berkata, memiliki bergulung ijazah tidak menjamin seseorang itu memiliki jiwa tenang sekiranya ia tidak diisi dengan zikir dan merendah diri kepada ALLAH.

"ALLAH SWT menyuruh semua hamba-Nya menuntut ilmu, dan menuntut ilmu itu wajib. ALLAH juga berjanji barang siapa yang menuntut ilmu darjatnya akan ditinggikan, Ini janji ALLAH dan janji ALLAH adalah benar, tetapi memiliki ilmu duniawi tidak diseimbangkan dengan ilmu akhirat jiwa akan jadi kacau-bilau, tidak kiralah dia mencapai tahap profesor sekalipun.

"Usahlah mengikut cara cendekiawan Barat yang hanya berpaksikan kepada ilmu akal semata-mata. Memisahkan urusan dunia dengan urusan akhirat. "Sekiranya ini terjadi, maka tidak mustahillah akan timbul pelbagai teori yang mana menurut logik akal semata-mata sedangkan akal manusia itu terbatas walaupun belajar tinggi. ALLAH telah beri garis panduan, cuma ramai yang sombong dan alpa," ujarnya.

Sekadar berpesan, beliau berkata, mengemudi rumah tangga tanpa ilmu akhirat boleh diumpamakan seperti bahtera yang terumbang-ambing. "Ilmu dunia adalah jaminan untuk menaikkan taraf kehidupan, bukankah janji ALLAH, yang berilmu akan dinaikkan tarafnya. Tetapi memiliki ilmu akhirat adalah sempadan yang menjaga diri daripada terbabas. Ilmu itu membentuk sahsiah.

Contohnya, sekiranya menjadi seorang doktor, jadilah doktor yang beriman, jika seorang peguam, peguam beriman. "Profesional bukan jaminan 100 peratus seseorang itu berakhlak baik tetapi gabungan ilmu dunia dan ilmu akhirat sekali gus mempraktikkannya adalah paling baik untuk pembangunan sahsiah dan kerohanian.

"Berbalik kepada persoalan ini, saya katakan ya, keganasan rumah tangga, golongan profesional tidak terkecuali memang wujud. Tetapi setaraf dengan gelaran profesional yang disandang, penderaannya juga 'profesional' (bukan serangan fizikal, tetapi emosi) yang hanya boleh mampu dihalang atau dirawat dengan doa, zikir dan kembali kepada ALLAH, Maha Pemilik hati-hati di atas muka bumi ini," katanya.

Penderaan jiwa pasangan terpelajar

"Apa pula tak berlaku... memang ada kes keganasan rumah tangga melibatkan pasangan golongan profesional," kata Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Undang-undang Keluarga Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Yuhaniz Mohd Yusop ketika ditanya pasangan profesional tidak mungkin melakukan keganasan lantaran ilmu dimiliki.

"Namun, penderaan dalam kalangan profesional selalunya lebih kepada penderaan emosi, seperti kata-kata menyeksa jiwa pasangan," ujarnya.

Tekanan emosi itu boleh mendatangkan keburukan pada rumah tangga dibina. Malah, menjadi lebih teruk sekiranya tempias itu dilepaskan kepada anak. Ini memberi kesan negatif pada pembesaran emosi anak.

"Jangan pelik jika terdapat keluarga daripada pasangan profesional tidak harmoni. Anak terabai daripada pengisian emosinya. Si ibu atau ayah mereka tidak berminat kepada keluarga sendiri semata-mata kerana 'tercalar' jiwa dek kata-kata yang dilemparkan pasangannya," katanya.

Berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di bawah Seksyen 53 iaitu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh, Yuhaniz berkata, seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih alasan.

"Seksyen 53(1)(h) Enakmen yang sama menjelaskan, bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya yang mana terdapat beberapa pecahan antara lainnya menyentuh mengenai 'lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya' dan 'melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta'.

"Melihat kepada peruntukan ini, suami atau isteri boleh memohon fasakh sekiranya disakiti ataupun kehidupannya menderita (akibat perbuatan penderaan atau keganasan sehingga mengakibatkan emosinya terdera)," katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Penderaan rumah tangga



Oleh : SUHARNE ZAINUDIN

Walaupun terdapat Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, tetapi kes keganasan rumah tangga masih berlaku. Tidak adil jika menuduh undang-undang yang diwujudkan itu tidak memberikan sebarang kesan. 

Apa yang lebih tepat adalah semakin ramai bersikap kejam.

Sudah ada undang-undang lagi kan berani buat, apatah jika tiada! Apa yang lebih mengejutkan keganasan rumah tangga turut berlaku dalam kalangan profesional. Bagi golongan ini, memukul atau menyakiti fizikal jelas dan nyata perbuatan tidak berakal. Namun, ramai juga terlupa penderaan jiwa dan mental lebih memberi sengsara malah kesannya memberi penyeksaan yang 'makan dalam'.

Kata cerdik pandai, ilmu mampu menjadi benteng kepada perkara buruk. Tetapi apa sudah berlaku kepada golongan ini? Hendak kata tidak pandai, sekolah tinggi, menjawat jawatan hebat, tetapi masih tegar mendera pasangan sendiri.

Melihatkan hal ini, kes penderaan ini bukan lagi hal terpinggir. Ia perkara yang harus diambil berat dan langkah menanganinya perlu serius, kerana sudah semestinya negara ini tidak mahu memiliki warga yang kaya dari segi intelektualnya tetapi miskin jiwa kemanusiaannya.

Sekadar renungan, memetik kata-kata hikmah cendekiawan Hamka, 'kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adabnya bukan terletak pada wajah dan pakaiannya'.

Jawatan tinggi, pemahaman agama rendah

Memetik kenyataan Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sulaiman Endut dalam sebuah akhbar tempatan sebelum ini, aduan mengenai keganasan rumah tangga saban hari diterima sama ada dari segi fizikal dan juga mental.

“Penderaan fizikal dikategorikan sebagai boleh dilihat dengan mata kasar seperti kesan dipukul, digigit, lebam, berdarah dan bengkak. Manakala penderaan mental pula jika sering dilempar dengan kata-kata kesat dan tidak bermaruah," katanya.

Memaki hamun dengan panggilan kotor dan menjijikkan serta mengugut dan mengancam nyawa si isteri juga boleh dianggap sebagai penderaan.

“Cuma saya hairan, ada kalangan isteri yang sering mengadu sekadar mahu meluahkan," katanya sambil memberitahu jarang antara mereka mengambil tindakan susulan walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian.

Katanya, rata-rata akan menangis, merintih dan mencurahkan segala kesakitan dan keperitan hati pada saat tubuh sakit menderita. Namun akhirnya menerima suami semula ke pangkuan.

"Alasannya tidak tahu hala tuju sekiranya diceraikan serta kasihankan anak-anak. Bagaimanapun alasan yang paling banyak diterima kerana masih sayangkan suami. Tidak salah sayangkan suami tetapi biar bertempat. 

Jika sampai mengancam nyawa dan mencederakan lebih baik dilakukan sesuatu untuk menghentikannya.

“Jangan sampai terhantuk baru tengadah kerana hak seorang isteri telah termaktub dalam undang-undang keluarga Islam," katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Berpolitik ikut undang-undang


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Antara golongan paling mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti pastinya golongan mahasiswa.

Selepas pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), golongan itu kini bebas membuat percaturan untuk terjun ke dunia politik.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Zaid Ahmad berkata, segalanya terserah kepada mahasiswa kerana mereka boleh membabitkan diri dalam politik tanpa sekatan.

Beliau berkata, kebebasan itu bukan saja menimbulkan keterujaan kepada golongan itu malah masyarakat juga mahu melihat bagaimana hasil diperoleh sejajar pindaan AUKU.

“Pertama kali bergelar pengundi dan diberi peluang menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara pasti ada kelainannya.

“Jika sebelum ini, tangan mereka terikat, selepas pindaan itu mahasiswa layak menggunakan kebebasan itu tanpa dibelenggu kekeliruan hak,” katanya.

Beliau berkata, mahasiswa yang layak mengundi mencetuskan satu episod baru dalam arena politik negara kerana mereka bebas dalam proses perjalanan politik di negara ini.

“Dulu, pergerakan mereka terbatas dan tidak tahu hala tuju kerana terikat dengan AUKU.

“Kini, apabila AUKU dipinda, mereka tidak lagi dibelenggu dengan isu-isu ketidakpastian ini.

“Mereka boleh terbabit sepenuhnya dalam proses perjalanan politik negara sama seperti orang lain walaupun masih bergelar pelajar,” katanya mengakui proses itu satu anjakan paradigma dan sikap keterbukaan pihak yang mahu mendengar suara serta kehendak mahasiswa.

“Apabila AUKU dipinda, memang kedengaran suara-suara yang melahirkan kebimbangan. Tapi ia perlu dilihat dalam konteks positif.

“Ia adalah proses pembelajaran jangka panjang untuk pembangunan mahasiswa. Mahu atau tidak, sampai masanya mereka akan terbabit juga.

“Justeru, daripada terus diberi kongkongan atau tekanan, biarkan mereka merasai suasana itu,” katanya.

Lambat atau cepat katanya, ia bukan isu perlu difikirkan tapi kesan daripada pendedahan itu yang penting.

“Sebagai masyarakat, kita perlu berfikiran terbuka dan sanggup menerima hakikat bahawa setiap langkah pertama adalah cabaran untuk belajar menangani sebarang kemungkinan.

“Malah, ramai yang mahu mahasiswa diberi kebebasan terbabit dalam proses yang boleh memberi impak kebaikan kepada negara.

“Kita tidak boleh bersifat mengongkong walaupun dalam sesetengah situasi ia memang perlu. Apa yang penting kita beri panduan yang betul supaya mahasiswa tidak tersasar atau diperalatkan,” katanya.

Ditanya apakah kemungkinan pembabitan mahasiswa boleh mencetuskan kekecohan, katanya tidak perlu ada kegusaran kerana golongan terbabit matang dan pandai menilai tindakan masing-masing.

“Sebelum ini, biarpun diikat dengan perjanjian AUKU, mereka tetap mahu bertindak dan bersuara walaupun tahu risikonya. Jadi apa bezanya kini?

“Daripada membiarkan mereka berterusan membuat tindakan salah, mengapa tidak berikan kepercayaan seperti yang dipinta.

“Imej tidak tercalar malah mereka memperoleh ilmu dan pengalaman yang tiada dalam buku dan dewan kuliah.

“Saya percaya apabila masyarakat mempercayai mereka, impaknya amat baik malah golongan itu juga mahu membuktikan mereka mampu berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju kebebasan diberikan itu perlu mengikut undang-undang.

“Apa yang dinikmati mahasiswa sama seperti orang lain. Mereka tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan.

“Jangan jadikan tiket sebagai mahasiswa untuk memperoleh keistimewaan dan melakukan di luar undang-undang kerana ia memberi impak negatif kepada masyarakat,” katanya.

Beliau mahu mahasiswa menjadikan proses ini sebagai mekanisme dan pemangkin pembelajaran paling efektif bagi meningkatkan kualiti sebagai bakal pemimpin.

“Tunjukkan kepada masyarakat, mahasiswa hari ini sudah melangkah ke fasa baru yang lebih baik serta melalui transisi angin perubahan baru dalam sistem politik negara,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/