Isnin, 25 Mac 2013

MELAYU


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Sasterawan Negara Usman Awang

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gagal kuasai BI punca penuntut IPT tempatan gagal sesi temu duga

Aktiviti debat mampu meningkatkan kemahiran komunikasi  pelajar
Oleh : MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU 24 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang didapati masih lemah menyebabkan mereka sering kali gagal dalam sesi temu duga.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, selain lemah bahasa Inggeris, siswazah IPT tempatan juga dikatakan memiliki tahap berkomunikasi yang rendah dan perkara tersebut diakui serta sering kali dibangkitkan oleh pihak industri.

"Atas kegagalan itu mereka akhirnya gagal mendapat pekerjaan walaupun berulang kali menghadiri temu duga.

"Pelajar kita ini dari segi peperiksaan mereka bagus, dari segi penguasaan dan komunikasi mereka lemah. Mereka boleh menjawab soalan, tetapi  apabila bercakap, menghadiri temuduga, atau menyampaikan ceramah tidak sampai tahap yang memuaskan. Kita akan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebolehpasaran Graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Kota,  universiti berkenaan di sini hari ini. - UTUSAN

ISU BAHASA : Frasa di mana tidak boleh jadi penghubung ayat


PERKATAAN mana ialah kata ganti nama diri tanya. Selain perkataan mana, apa dan siapa juga tergolong dalam kata ganti nama diri tanya.

Mana ialah kata ganti nama yang merujuk benda atau orang. Apa merujuk benda dan perkara, dan siapa merujuk orang. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1. Apakah yang di dalam kotak itu?

2. Mana buah keranji yang saya bawa tadi?

3. Siapakah yang memenangi acara 100 meter lelaki?

Ketiga-tiga perkataan ini boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa rujukan tidak tentu atau penegasan. Misalnya: Apa menjadi apa-apa, mana menjadi mana-mana, dan siapa menjadi siapa-siapa (sesiapa).

Perhatikan perbezaan makna dalam ayat-ayat contoh berikut:

4. Tidak dibenarkan siapa-siapa pun masuk ke dalam dewan ini.

5. Pilihlah mana-mana buah delima yang kamu hendak.

6. Apa-apa yang baik, jadikanlah teladan.

Perkataan mana, apabila didepani oleh kata depan di menerbitkan frasa sendi nama yang merujuk tempat. Misalnya:

7. Di mana kita akan bermalam nanti?

Frasa di mana dalam ayat (7) merujuk tempat kita hendak bermalam.

Namun begitu, wujud pula kekerapan yang tinggi penggunaan frasa di mana ini sebagai kata hubung dalam ayat.

Dalam penulisan, dua ayat atau lebih dihubungkan antara satu sama lain dengan menggunakan kata hubung sebagai ikatan; dan ayat gabungan yang terhasil ini dikenal sebagai ayat majmuk.

Dalam binaan ayat majmuk, kita perlu menggunakan kata hubung yang sesuai dengan maksud yang terkandung dalam ayat supaya ayat yang terbina itu gramatis.

Ayat yang dibina akan menjadi salah tatabahasanya jikalau kata hubung yang tidak sesuai digunakan.

Nampaknya, sudah menjadi satu kecenderungan pengguna bahasa, menggunakan frasa di mana sebagai penghubung antara dua ayat dalam penulisan dan pertuturan.

Dengan berdasarkan fungsi penggunaannya, jelaslah frasa di mana tidak boleh digunakan sebagai penghubung ayat kerana ayat yang terbentuk begitu janggal rasanya, malah ayat yang demikian bersifat keinggerisan.

Perhatikan ayat contoh berikut:

8. Wasiat merupakan satu-satunya cara di mana seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

9. Sesuatu perindustrian di mana barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Ayat (8) boleh dibina tanpa menggunakan perkataan di mana. Malah, tanpa perkataan di mana, ayat itu sudah sempurna maksudnya. Ayat berkenaan boleh ditulis semula sebagai :

8a. Wasiat merupakan satu-satunya cara seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Kata di mana dalam ayat (9) pula kelihatan diada-adakan, sedang frasa tersebut dapat digantikan dengan perkataan "tempat" yang lebih jelas dan tepat kepada makna ayat tersebut. Oleh itu, ayat (9) boleh ditulis semula sebagai:

9a. Sesuatu perindustrian tempat barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Demikian huraian ringkas tentang kesalahan penggunaan frasa di mana yang tidak mengikut aturan bahasa. Oleh itu, kuasailah aturan bahasa ini yang telah ditetapkan supaya kesalahan berbahasa dapat dielakkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Menjadi spesies terbaik di dunia


TAHUKAH anda berapa banyak spesies terkandung dalam lautan sedunia?

Menurut angka terbaru yang tersiar dalam jurnal Current Biology dalam talian, jumlahnya hinggakan sejuta - daripada krustasia terkecil kepada paus terbesar.

Anggaran itu disokong World Register of Marine Species, satu pangkalan dalam talian mengenai spesies marin di seluruh dunia.

Daripada angka sejuta itu, cuba teka berapa banyak spesies ditemui dan dikaji sejauh ini?

Cuma 226,000 atau kurang suku.

Memang spesies baru sering ditemui tanpa henti. Bagi ketam saja, misalnya, 50 sehingga 60 spesies baru ditemui setiap tahun.

Maksudnya, jika anda ada hati menemui spesies baru dan menamakannya dengan nama anda, peluang masih terbuka luas! Bayangkan ketam bernama 'Al-Ketam Rahman Basrun'!

Masalahnya, banyak bahagian dunia belum dapat diteroka, misalnya di dasar laut yang begitu gelap dan besar tekanannya.

Nak sampai ke sana saja memerlukan kepakaran tinggi dan peralatan yang begitu mahal dan istimewa.

Itu baru jumlah hidupan dalam lautan. Bagaimana pula jumlah hidupan di seluruh dunia, baik di darat mahupun di udara?

Alahai, sukar menelaahnya.

Anggaran saintis berbeza-beza.

Namun, satu laporan dalam jurnal PLoS Biology menyatakan jumlah spesies sedunia kira-kira 8.7 juta.

Angka itu berdasarkan kaedah yang dikatakan paling tepat setakat ini oleh para saintis.

Itu pun tidak termasuk bakteria dan beberapa jenis mikrorganisme.

Yang menarik, daripada 8.7 juta spesies itu, hanya kurang 2 juta spesies telah dinamakan dan digolongkan dalam masa dua setengah abad yang lalu.

Nak menggolongkan kesemuanya - satu bidang digelar taksonomi - akan mengambil masa lebih 1,000 tahun lagi jika menggunakan kaedah sedia ada!

Ia sejajar ayat 109 Surah Al-Kahfi - bahawa jka seluruh air lautan menjadi dakwat pun tidak cukup untuk menuliskan ayat-ayat atau ilmu Maha Pencipta.

Secara kasar, terdapat kira-kira 80,500 spesies haiwan jenis vertebrat (ada tulang belakang) - reptilia berjumlah 10,000 spesies, mamalia 5,500, unggas 10,000, amfibia 15,000 dan ikan 40,000.

Bagi haiwan invertebrat (tanpa tulang belakang) pula, serangga 5 juta spesies, araknik 600,000, moluska 200,000, krustasia 150,000, ekinoderma 14,000 dan lain-lain 791,830 - kesemuanya berjumlah 6,755,830.

Tumbuh-tumbuhan pula berjumlah 390,800 spesies - tumbuh-tumbuhan berbunga (angiosperma) 352,000, konifer (gimnosperma) 1,050, tumbuhan tidak berbunga (fern) 15,000 dan lumut (mosses) 22,750.

Sistem taksonomi yang rata-rata masih digunakan hari ini telah dibangunkan oleh ahli biologi Sweden, Carl Linnaeus, pada 1758.

Sistemnya itu menggolongkan spesies ke dalam genus, kemudian family (keluarga), kemudian order, kemudian class (kelas), kemudian phylum dan akhirnya kingdom.

Cendekiawan Islam Al-Jahiz dalam abad kesembilan pula telah secara saintifik menggolongkan haiwan secara teratur - bermula dengan yang paling mudah kepada yang paling rumit - dalam karyanya, Kitab Al-Hayawan, yang turut mengandungi bibit-bibit teori tentang evolusi sebelum Darwin lagi.

Begitulah ketelitian Allah swt dalam mencipta makhluk-Nya, bukan secara rambang, tetapi menurut struktur dan susunan yang pasti.

Bak firman-Nya dalam ayat 38 Surah Al-An'am:

"Tidak seekor binatang yang melata di bumi dan tidak seekor burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan (ia juga) umat seperti kamu."

Tiada satu pun diciptakan-Nya secara sia-sia; kesemuanya untuk manfaat manusia - termasuk sebagai sumber makanan, ubat, pengangkutan (kuda) dan riadah (kucing).

Yang mengagumkan, setiap jenis hidupan dalam alam ini berzikir kepada-Nya (ayat 44 Surah Al-Isra).

Dalam hadis riwayat Imam Bukhari, Abu Hurairah ra menukil sabda Nabi Muhammad saw:

"Ada seekor semut pernah menggigit seorang nabi, maka dia memerintahkan agar didatangi sarang semut, lalu dibakarlah sarang itu. Allah menurunkan wahyu kepada nabi itu: "Apakah kerana seekor semut menggigitmu, kamu membinasakan salah satu umat yang sentiasa bertasbih kepada Allah?"

Bezanya, manusia memiliki akal dan mampu membuat keputusan sendiri, sementara haiwan pula mengikuti rasa naluri mereka.

Lantaran itulah, haiwan terlepas daripada perhitungan di akhirat nanti dari segi dimasukkan ke syurga atau neraka.

Persoalannya, kita dijadikan sebagai spesies yang sebaik-baiknya (ayat 4 Surah At-Tin).

Namun, adakah kita menggunakan kelebihan akal kita itu dengan sebaik-baiknya - atau bertindak setakat menuruti naluri binatang?

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Ahad, 24 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Lepasan SPM perlu bijak memilih bidang pengajian di universiti

GUNAKAN medium teknologi untuk mencari maklumat diingini

Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Debaran menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah berakhir minggu lalu dan kini masanya pula untuk merencanakan masa depan.

Ada banyak pilihan boleh dibuat, namun penulis percaya ramai yang kini sedang berpusu-pusu mengisi borang kemasukan Unit Pengambilan Pelajar (UPU) atau tercari-cari program sesuai diikuti untuk melanjutkan pengajian.

Biarpun mempunyai keputusan yang melayakkan banyak pilihan program, ramai lepasan SPM masih lagi salah membuat pilihan atau terkeliru dengan kehendak sendiri mahupun orang lain. Akhirnya mereka ‘tersung­kur’ hingga menjejaskan masa depan.

Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Pengambilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Muhamad Nizam Noordin berkata, antara faktor mengapa lepasan SPM berdepan dilema atau salah membuat pilihan kerana tidak memperoleh maklumat lengkap mengenai program selain tidak selari dengan minat.

Menurutnya, sebagai empunya diri yang bakal melanjutkan pengajian, mereka perlu berusaha mencari apa jua maklumat dan bukan mengharapkan orang lain yang membuat keputusan.

“Bersikap lepas tangan atau menyuruh orang lain membuat pilihan bukan satu tindakan bijak, malah mungkin boleh mengundang masalah pada masa depan.

“Calon sebagai empunya diri juga perlu berusaha dan membuat keputusan sendiri kerana mereka yang bakal belajar.

“Membenarkan orang lain untuk membuat keputusan, membuat keputusan salah kerana bertentangan dengan minat atau salah memperoleh maklumat hanya akan menyebabkan mereka kecewa,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan program seharusnya dibuat awal kerana lepasan SPM mempunyai masa hampir setengah tahun untuk membuat keputusan.

“Itu belum ditambah pendedahan mengenai program, prospek kerjaya mahupun pelbagai maklumat lagi sepanjang tempoh belajar.

“Jadi, tidak mungkin soal salah pilih, kurang maklumat atau tidak suka boleh timbul kerana akses ke arah itu kini sudah terlalu mudah.

“Kemungkinan kurang persediaan atau sikap ambil mudah untuk merancang masa depan menyumbang ke arah itu,” katanya.

Seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun lalu dengan 15,793 calon memperoleh Gred A bagi semua mata pelajaran diambil.

Muhamad Nizam berkata, lepasan SPM juga diingatkan supaya lebih teliti membuat pilihan bagi mengelakkan konflik dan masalah berbangkit selepas mengikuti program ditawarkan.

Katanya, kesilapan itu bukan saja merugikan, malah merumitkan lagi keadaan kerana pertukaran program tawaran dengan program lain tidak mudah dan perlu mengikuti prosedur ditetapkan institusi pengajian.

“Perlu ingat, setiap kali penawaran tempat diberikan, ia bermakna muktamad. Sebarang permohonan pertukaran program atau kursus sukar dipertimbangkan kecuali jika benar-benar mempunyai alasan kukuh.

“Proses pengambilan juga membabitkan skala besar dengan puluhan ribu yang memohon. Institusi ada piawaian tersendiri untuk dipatuhi.

“Justeru, bagi yang ingin menyambung pelajaran, pastikan diri sudah muktamad dengan keputusan sedia ada. Jangan ada rasa ragu kerana ia juga boleh mengakibatkan masalah seperti patah semangat andai permohonan penukaran program ditolak,” katanya.

Katanya, kesilapan membuat pemilihan program boleh memberi kesan jangka panjang kerana turut berkait dengan peluang kerjaya selepas tamat pengajian.

“Satu sebab kita memohon masuk universiti atau kolej kerana ingin memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Oleh sebab itu penting menetapkan secara mutlak pilihan program kerana salah jangkaan boleh mendatangkan kesan terhadap pemilihan kerjaya.

“Benar ada kerjaya boleh diceburi dengan program pengkhususan berbeza tapi lebih baik jika dunia pekerjaan itu diselarikan dengan spesifikasi program ketika di institusi,” katanya.

Beliau tidak menolak pengaruh rakan juga boleh menyebabkan kesilapan pelajar ketika membuat pilihan.

“Ada pelajar beranggapan mengikut kata atau rentak rakan berbaloi, tapi jika pilihan ini dibuat bersandarkan faktor itu sebenarnya sangat berbahaya.

“Kemampuan seseorang berbeza antara satu sama lain. Mungkin rakan kita ada kemampuan mengikuti program tertentu tapi kita tidak.

“Jadi mengapa perlu memperjudikan masa depan semata-mata mahu mengikut rakan, sedangkan kita juga masih boleh membuat pilihan sendiri,” katanya.

Dengan pelbagai penawaran program disediakan institusi hari ini, beliau yakin pelajar lepasan SPM mempunyai banyak pilihan untuk disesuaikan dengan minat dan cita-cita.

“Jika dulu mungkin lepasan SPM hanya terikat pada pilihan tipikal seperti perubatan, pentadbiran perniagaan, kesetiausahaan, perundangan dan perakaunan. Hari ini macam-macam program ditawarkan.

“Buat saja pilihan kemudian belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ia cukup mudah, namun peliknya masih ada juga yang tidak tahu. Nasihat saya, buat pilihan mengikut minat dan tanpa paksaan, tentu tiada masalah,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa dan pemikiran Baha Zain

Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain)

OLEH : AMINUDIN MANSOR

KEKUATAN Sasterawan Negara ke-12, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) terletak pada gaya penulisan yang tajam dan intelektual. Aspek bahasa dan pemikiran yang bernas dan agung terdapat dalam Kumpulan puisi Bayang-Bayang (1974), Dari Catatan tengah Malam (1978), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa Ke Kota (1994) dan Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-Sajak lain (2008).

Ini jelas daripada kumpulan puisinya yang pertama memperlihatkan gaya, bentuk dan penyampaiannya sangat mengesankan. Isu yang dipilih jarang disentuh dalam kalangan penyair lain.

Pengkritik penting Rom, Dionysius Cassius Longinus mensyaratkan lima prinsip karya terbaik, iaitu pemikiran yang agung, emosi yang intens, komposisi yang kemas, pemilihan diksi dengan metafora yang sesuai dan penggunaan bahasa yang tepat.

Seperti puisi Dalam Diri, perhatikan sajak yang berbentuk prosa  apa yang disuarakan oleh penyair ini :

“Kalau ada sesuatu yang paling sulit difahami sebenarnya ialah diri. Dunia misteri itu terlalu akrab; kita bawa ia bersama-sama ke mana-mana sahaja seperti bayi dalam kandungan. Bagaimana kita mahu mencari jarak untuk mentafsirnya? Ia merupakan nafsu berahi, benci amarah, tamak haloba, dan iri hati yang bergomol untuk menang di sisi kesucian dan keindahan. Kita terumbang-ambing dalam belantaranya - sepi dan payah. Hanya misteri jugalah yang merenggut kita keluar ke dalam gerimis dan embun yang lembut setelah kita insaf bahawa yang mengasyikkan itu, ah! Sering juga noda."

(Petikan: Dalam Diri Esei dan Puisi Baha Zain DBP, 2002).

Justeru, Dionysius yang menjadikan aspek bahasa sebagai ketinggian mutu karya dan pemikiran yang agung, agak luas terserlah dalam puisi Baha Zain. Ini dapat dilihat melalui kumpulan puisinya yang pertama Perempuan dan Bayang-Bayang, dan juga kumpulan puisinya yang lain iaitu, Dari Catatan tengah Malam dan Tiga Catatan Perjalanan.

Bahasa yang digunakan agak provokatif, tajam tetapi melunakkan. Latar kehidupan dan pengalamannya turut mempengaruhi atau hidup bersama dalam arus perkembangan seni budaya di negara ini.

Kebanyakan karyanya mencerminkan sikap dan fikiran budayanya secara peribadi yang mungkin sejalur atau bertentangan dengan susuk budaya yang rasmi.

Rahman Shaari mengatakan, sebagai penyair , Baha Zain sedar benar, dia perlu berbahasa mengikut tuntutan hati nuraninya, iaitu puisi yang langsung dari hati dan fikiran. Maka jelaslah Baha Zain mempunyai kekuatan menulis sajak sinis yang mencakupi pelbagai tema seperti kemasyarakatan, keagamaan dan kemanusiaan disampaikan dengan kemas.

Baha Zain sebenarnya secara tidak langsung pernah berguru dengan Sasterawan Negara Usman Awang ketika sama-sama bertugas di Dewan Bahasa.

Ini diungkapkan oleh beliau melalui sajaknya Salam Kepada Usman. Tulisnya, “ Tongkat, Setelah berkali-kali kubaca sajakmu, Engkau bukan lagi sekadar sahabatku, Engkau adalah guruku."

Tulisan dalam bentuk eseinya mudah difahami dan puisinya yang kritis dan sinis terhadap dunia moden menjadikan suara yang akrab dan penuh tanggungjawab terhadap masalah dan nasib bangsanya. Ini dapat dilihat dalam puisinya yang memenangi Hadiah Karya Sastera seperti Dalam Lingkaran, Topeng-Topeng dan cerpennya Malam Yang Melemparkan.

Begitu juga dalam puisi Hadiah sastera Perdana Malaysia (HSPM) seperti puisi Pernahkan Engkau Mentafsir Kedamaian (HSPM 2002/2003), Apabila Menulis Puisi (HSPM 2008/2009), dan dua buah puisi pada tahun lepas iaitu, Permainan Mimpi dan Dalam Persekitaran kata-kata (HSPM 2010/2011).

Baha Zain menulis esei, kritikan, puisi, dan cerpen. Beliau juga menyusun semula Hikayat Bakhtiar, Hikayat Omar Umayyah, dan Hikayat Cekal Waneng Pati. Namun dalam genre puisi merupakan pilihan utamanya.

Banyak puisinya termuat dalam beberapa antologi bersama dan empat buah kumpulan puisinya telah diterbitkan, iaitu Perempuan dan Bayang-Bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam, dan Tiga Catatan Perjalanan (Three Sketches from A Journey) dalam dwibahasa.

Dalam genre kritikan pula, Baha Zain bukan sahaja sebagai pengkritik yang disegani malah gaya penulisannya tajam, sinis dan menarik dengan cetusan fikirannya yang mengajak khalayak terus berfikir.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963 di Universiti Malaya dan Sarjana Sastera di Universiti Indonesia Jakarta, pada tahun 1972. Namanya sangat akrab dengan pelajar sekolah menengah melalui sajak yang dipilih sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) iaitu sajak Di Kota Kecilku.

Baha Zain pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1963 sehingga menamatkan perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada tahun 1984. Kemudian beliau berkecimpung dalam dunia perniagaan dalam bidang penerbitan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Memartabatkan Kesusasteraan Melayu


Oleh : MD ISHAK A. RAHMAN

KESUSASTERAAN Melayu pada era 70-an dan 80-an menjadi salah satu mata pelajaran pilihan utama di sekolah asrama penuh apatah lagi di sekolah biasa. Golongan pelajar berpendidikan sastera pada masa itu ramai yang berjaya menjadi pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, tokoh ilmuan, serta tokoh penting dalam masyarakat.

Keadaan ini telah berubah, pelajar tidak mendapat motivasi untuk mempelajari mata pelajaran itu dengan alasan mata pelajaran ini tidak membantu masa depan pelajar, dan sesetengahnya menolak mata pelajaran sastera Melayu dengan alasan pelajar sudah mempelajari komponen sastera (komsas) dalam Bahasa Melayu.

Jika kita melihat matlamat pembelajaran bahasa Melayu hanya sedikit sahaja yang berkaitan dengan sastera. Begitu juga dalam penilaian Bahasa Melayu, komponen sastera hanya sebahagian sahaja dalam soalan Bahasa Melayu.

Kandungan mata pelajaran Bahasa Melayu yang menggunakan komponen sastera sekadar memahami maksud kata atau frasa, sedikit kemahiran sastera, serta kemahiran berfikir. Penekanan diberikan kepada penilaian kemahiran berbahasa. Jelasnya, penghayatan sastera amat sedikit dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Berbanding dengan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, pelajar perlu memiliki kemahiran mengupas dan mengulas pelbagai aspek sastera di samping menulis karya sastera.

Malah, pelajar dapat menguasai kemahiran bahasa yang lebih tinggi kerana memahami unsur keindahan dan maksud konotatif yang mencabar minda.

Kita juga seharusnya menerima dan memikirkan cadangan agar melakukan transformasi terhadap sukatan pelajaran kesusasteraan Melayu kepada mata pelajaran ala kemahiran hidup. Kita perlu menyingkap perjalanan hidup bekas lulusan sastera dan kemanusiaan yang telah berjaya. Mereka mempunyai pengalaman bidang-bidang yang boleh diceburi oleh lulusan sastera. Bidang tersebut boleh diterapkan dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.

Bidang kerjaya lulusan kesusasteraan Melayu yang utama pada dasarnya ialah menjadi penulis. Kerjaya penulis sebenarnya mempunyai masa depan yang cerah sekiranya diusahakan secara kreatif dan inovatif. Bukan tidak ada penulis bahasa Melayu yang menyara hidup dengan menulis. Malah, jika ada inisiatif untuk menterjemahkan karya ke bahasa lain agar pasaran lebih luas, tidak mustahil penulis boleh mendapat hasil yang lumayan.

Kita masih kekurangan buku untuk bacaan kanak-kanak dan remaja. Kita terpaksa menterjemah buku daripada bahasa asing. Walaupun langkah ini merupakan satu usaha yang positif, tetapi alangkah baiknya jika kita mengeluarkan buku karya penulis tempatan. Malah, terdapat kedai buku di negara kita lebih banyak menjual buku-buku import daripada buku-buku karya tempatan.

Ketajaman

Memang terdapat pelajar yang berbakat dan berminat dalam bidang kesusasteraan. Jika mereka tidak diberi dorongan dan pendidikan dalam bidang yang diminati, apa lagi dipaksa mempelajari mata pelajaran lain, tentulah bakat mereka tidak dapat diketengahkan dengan lebih mantap. Kita akui, ada pelajar yang tidak didedahkan dengan ilmu sastera boleh menjadi penulis karya kreatif. Namun, ketajaman mereka akan lebih terserlah jika mereka memiliki asas ilmu sastera.

Selain itu, bidang sastera juga meliputi urusan untuk mengadakan seminar, pertunjukan pentas, dan sebagainya. Sebagai contoh, kerjaya pengacara dalam majlis-majlis tersebut, tentu lebih berkesan sekiranya seseorang itu menguasai kemahiran sastera. Mereka bukan sahaja boleh mengungkapkan kata-kata indah, malah boleh berpantun atau berpuisi yang akan lebih memberi nyawa kepada majlis tersebut.

Akhir sekali, peluang pelajar Melayu untuk mengambil Kesusasteraan Melayu semakin terhad kerana mereka telah mengambil jumlah mata pelajaran maksimum. Sementara pelajar bukan Melayu digalakkan untuk mengambil mata pelajaran kesusasteraan Inggeris, Cina, dan Tamil.

Bukankah lebih wajar semua pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu? Dengan ini, pelajar kita akan lebih fasih berbahasa Melayu dan memahami budaya tempatan. Sesungguhnya, memartabatkan Kesusasteraan Melayu merupakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu secara berkesan dan menebalkan jati diri bangsa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/