Sabtu, 11 Mei 2013
PUISI BUAT YB
Barangkali YB,
resah kelmarin adalah
selayang mimpi
yang terjelma menjadi realiti
dari pagi hingga dinihari
nyata saat kita membilang undi.
Yang menang jangan mendabik riang
jangan juga bakti dikurang
taburlah jasa bukan sekadar wang
agar watan tidak berwalang.
Yang tewas jangan
langsung menghilang
gagah atma terus berjuang
semangat jangan bertongkol arang
yang baharu ditamsil selamat datang
yang lama biar kerap dikenang.
Puisi ini puisi janji, YB
antara kini dan lima tahun lagi
bajaklah sebidang tanah pertiwi
semailah benih-benih bakti
hingga nanti sekali lagi
bisa kautuai ihsan pekerti
di permatang budi
bernama demokrasi.
ZULFAZLAN JUMRAH
Bandar Sri Sendayan
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Jumaat, 3 Mei 2013
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Caj tambahan elektrik bagi bil RM77 ke atas
Oleh : CONNIE S MONICAL
CAJ tambahan satu peratus pada
bil elektrik Tenaga Nasional Bhd hanya dikenakan kepada 25 peratus pengguna
domestik sebagai sumbangan kepada Tabung Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) untuk
melaksanakan Tarif Galakan (FiT) yang berkuat kuasa sejak 1 Disember 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak
Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda), Badriyah Abdul Malek berkata, caj
tambahan satu peratus itu hanya akan dikenakan kepada pengguna dengan jumlah
bil elektrik RM77 ke atas atau penggunaan lebih 300kWh sebulan.
“Sehingga awal tahun ini, Seda
telah mengutip RM321.46 juta untuk tujuan membiayai projek-projek tenaga boleh
diperbaharui.
“Seda juga telah membayar RM18.7
juta bagi menampung projek yang sedang berjalan,” katanya dalam sidang media di
Putrajaya, kelmarin.
Menurutnya, secara keseluruhan,
Seda akan membelanjakan RM4 bilion untuk membiayai kos projek-projek tenaga
boleh diperbaharui di seluruh negara termasuk Sabah yang akan dilaksanakan suku
pertama tahun depan.
"Tenaga boleh diperbaharui
penting bagi menukar sumber tenaga negara daripada bahan api fosil yang telah
dikenal pasti penyumbang besar kepada pemanasan global dunia kepada solar
fotovoltik, biomass, biogas dan hidro kecil," katanya.
Badriyah berkata, penjelasan
berhubung caj tambahan itu perlu dilakukan selepas isu itu hangat diperkatakan
di laman sosial.
Menurutnya, pengguna yang
terlibat dengan caj tambahan itu turut berpeluang menyertai Program Rumah Solar
Atas Bumbung yang dilancarkan Seda sejak September tahun lalu.
“Sehingga kini kami telah
meluluskan 1,000 permohonan daripada pengguna sekitar Lembah Klang, Pulau
Pinang dan Perak untuk program itu,” katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Rabu, 1 Mei 2013
ISU PENDIDIKAN : 'Jaga nama baik guru'
![]() |
| Abdul Ghafar (tiga, kanan) melakukan gimik pelancaran program. |
Oleh : KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
NILAI - Guru-guru seluruh negara
diminta tidak membabitkan diri dalam politik demi menjaga nama baik profesion
berkenaan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri
Abdul Ghafar Mahmud berkata, warga pendidik tidak seharusnya berkecimpung dalam
arena politik kerana perbuatan sedemikian jelas melanggar etika perguruan.
“Selaku kakitangan awam, mereka
terikat dengan segala peraturan yang digariskan kementerian. Justeru, mereka
perlu akur dengan ketetapan tersebut tanpa sebarang kompromi.
“Nasihat ini penting bagi
mengingatkan mereka supaya menghormati ikrar yang pernah dilafazkan semasa
mula-mula menceburi bidang perguruan,” katanya kepada pemberita ketika
menghadiri Majlis Prapelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-42 di
Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, di sini, semalam.
Ketika diminta mengulas isu murid
sekolah digunakan pihak tertentu bagi tujuan berkempen, Abdul Ghafar berkata,
setakat ini pihaknya belum pernah menerima sebarang aduan berkaitan perkara
terbabit.
Dalam perkembangan lain,
menyentuh tentang Anugerah Ikon Guru yang baru diperkenalkan buat pertama kali
pada tahun ini, beliau berkata, ia diwujudkan untuk menghargai jasa dan
sumbangan guru terhadap masyarakat dalam pelbagai bidang.
“Berbeza dengan Anugerah Tokoh
Guru dikhususkan kepada warga pendidik yang sudah bersara, anugerah ini pula
diberikan kepada mereka yang masih dalam tempoh berkhidmat,” katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Selasa, 30 April 2013
ISU PENGAJIAN TINGGI : Pakar akademik kita diiktiraf antarabangsa
Oleh : Dr Zaini Ujang
Dakwaan pelantikan berasas
sentimen politik jejaskan imej IPT
Mungkin ramai yang sudah
menyedari bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara utama destinasi
pengajian tinggi dunia ketika ini, selain Amerika Syarikat, Britain, Australia,
Jerman, Perancis, China, Jepun dan Kanada.
Pada 2000, seramai 26,569
mahasiswa antarabangsa belajar di Malaysia dalam pelbagai disiplin ilmu. Jumlah
tersebut meningkat dengan mendadak kepada 69,174 pada 2007 dan 91,670 pada
2011.
Kenapa hal ini berlaku? Pertama,
kerana dasar proaktif Kerajaan Malaysia yang mendokong perkembangan akademik
dengan cara memperluaskan akses, mendirikan pelbagai institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) yang memenuhi standard antarabangsa dan penyediaan dana besar untuk
pembangunan dan operasi tahunan, dan membenarkan IPTS bercambah termasuk kampus
cawangan universiti luar negara.
Pada 2005, dana awam untuk Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM6.9 bilion kemudian meningkat kepada RM13.7
billion pada 2013. Menurut kajian saya, Malaysia adalah antara negara paling
tinggi menyediakan dana awam perkapita kepada mahasiswa IPTA tempatan
berasaskan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).
Kualiti pengajian tinggi
diiktiraf
Dengan dana awam yang besar itu
maka perkembangan pengajian tinggi di Malaysia meningkat secara menyeluruh dari
segi kualiti, akses dan reputasi. Kedua, kerana kualiti pengajian tinggi
Malaysia mendapat pengiktirafan pelbagai agensi kelayakan antarabangsa termasuk
bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, pergigian, perakaunan dan
seni bina.
Dalam bidang kejuruteraan
misalnya, graduan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di
Malaysia diiktiraf pelbagai negara yang menganggotai Washington Accord sejak
2011. Program akademik bukan profesional diselia menerusi Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA). Hasilnya ramai graduan di negara ini diterima masuk dalam
program ijazah lanjutan di universiti ternama seperti Cambridge, Oxford,
Imperial College London, MIT, Kyoto dan Tokyo.
Ketiga, kepakaran akademik di
kalangan profesor dan pensyarah di Malaysia diiktiraf oleh rakan sebidang pada
peringkat antarabangsa. Pengiktirafan itu terserlah menerusi pelbagai cara.
Paling menyerlah adalah menerusi keanggotaan dalam pelbagai jawatankuasa dan
sidang peringkat antarabangsa, termasuklah sidang editorial jurnal ternama.
Sebagai contoh Pengerusi Majlis
Profesor Negara, Prof Zakri Abdul Hamid terpilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Biodiversiti.
Jurnal berimpak tinggi
Selain itu, pencapaian ahli
akademik Malaysia dalam penerbitan makalah dalam jurnal berimpak tinggi juga
semakin menggalakkan. Dalam tempoh 2007-2012, Malaysia mencatatkan pencapaian
paling tinggi di dunia dengan peningkatan 310 peratus (daripada 3,711 kepada
11,507 makalah) berbanding Singapura hanya 152 peratus (daripada 6,675 kepada
10,154 makalah). Sementara China mencatatkan peningkatan 196 peratus, Korea
Selatan 162 peratus, Australia 152 peratus, Taiwan 136 peratus, Switzerland 133
peratus, Hong Kong 133 peratus dan Kanada 106 peratus.
Memang benar kewibawaan Naib
Canselor di Malaysia mungkin hanya setara ketua makmal di MIT. Namun,
pencapaian sederhana itu semakin meningkat, setapak demi setapak. Mereka gigih
menyumbang bakti untuk memartabatkan pengajian tinggi negara biarpun pelbagai
cabaran terpaksa dilalui termasuklah sikap sebahagian warga yang hanya suka
melihat dan menilai sesuatu menerusi keburukan, sekali gus menafikan kebaikan.
Dalam konteks sedemikian adalah
amat memilukan jika ada pihak sewenang-wenangnya mendakwa pelantikan profesor
dan pentadbiran universiti diasaskan kepada faktor tidak bersifat akademik,
misalnya sokongan dan sentimen politik kepartian.
Sentimen politik memang diraikan
dalam sistem demokrasi sebagai sebuah ideal kenegaraan tetapi tidaklah sampai
dijadikan kayu pengukur utama dalam pelantikan ke jawatan tinggi dalam
pentadbiran universiti atau kenaikan pangkat hakiki.
Dakwaan itu bukan sahaja tidak
benar, malah boleh menjejaskan rasa hormat masyarakat antarabangsa kepada IPT
di Malaysia. Ia juga menjejaskan imej dan reputasi IPT tempatan yang sedang
giat memartabatkan kecemerlangan akademik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab
pengajian tinggi dunia.
Dakwaan itu mempersendakan
pemimpin akademik dan profesor kanan. Dakwaan ini juga tidak menampakkan
penghormatan terhadap budaya dan institusi ilmu yang menjadi resam orang
beradab.
Penulis ialah Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia dan penerima pertama Anugerah Merdeka
(kecemerlangan akademik, 2009)
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
ISU PERKHIDMATAN AWAM : Jumlah Penjawat Awam Di Seluruh Negara Adalah Saiz Tepat Buat Masa Ini
KUALA LUMPUR : Jumlah
penjawat awam seramai 1.42 juta orang ketika ini merupakan saiz yang sangat
tepat atau mencukupi buat negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri
Dr Ali Hamsa.
Bagaimanapun, katanya, bilangan
itu perlu ditambah pada masa depan berdasarkan kepada permintaan terhadap
perkhidmatan awam yang semakin meningkat khususnya dalam bidang tertentu.
"Sekarang kita guna konsep
"re-deployment" atau memindahkan kakitangan daripada jabatan yang
mempunyai lebihan pekerja ke jabatan yang sangat memerlukan.
"Bagaimanapun "re-deployment"
ini tidak boleh dilakukan selamanya, sebab itulah kita perlu meningkatkan
pengambilan penjawat awam pada masa akan datang," katanya dalam wawancara
khas bertajuk "Bersama KSN" yang siarkan di TV 1 sempena dengan Hari
Pekerja pada Rabu.
Selain itu, Ali yang menerajui
perkhidmatan awam sejak 24 Jun 2012, berkata secara keseluruhannya beliau
berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan penjawat awam di
seluruh negara terutama menerusi konsep 'turun padang' yang diperkenalkannya.
"Selain dapat maklum balas
bagaimana untuk memperbaiki perkhidmatan awam, konsep turun padang ini juga
dapat merakyatkan perkhidmatan awam dan program ini akan diteruskan,"
katanya.
Ali turut meminta penjawat awam
supaya bekerja dengan gigih, cekap serta berintegriti untuk memajukan negara
dan ekonomi dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh tujuh
tahun lagi. - BERNAMA
ISU PENDIDIKAN : Syukuri nikmat pendidikan di Malaysia
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
SEORANG gadis bersama dua rakannya
sedang menaiki bas untuk pulang ke rumah dari sekolah, namun dalam perjalanan
pulang, bas yang mereka naiki ditahan oleh seorang anggota militan Taliban.
Lelaki itu kemudian menaiki bas
tersebut dan bertanyakan nama tiga gadis tersebut sebelum menembak salah
seorang daripada mereka. Dua lagi gadis itu turut cedera, namun mereka tidak
ditembak.
Dalam kejadian pada Oktober lalu
itu, Malala Yousafzai (gambar), 15, cedera parah akibat ditembak di kepala. Dia
terpaksa diterbangkan ke Britain bagi menjalani pembedahan dan setelah
menjalani rawatan intensif dia kini beransur pulih.
Itu adalah secebis kisah seorang
gadis Pakistan yang memperjuangkan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak
perempuan dan wanita di negara itu.Perjuangan gadis itu dianggap oleh Taliban
sebagai berfahaman sekular dan Malala dituduh sengaja menyebarkan ideologi
Barat.
Malala mula menulis menerusi
blognya untuk BBC Urdu sejak 2009, ketika baru berusia 11 tahun. Tulisannya
pula berkisar tentang kehidupan seharian di bawah pemerintahan Taliban di
Mingora, sebuah bandar di Lembah Swat, wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.Dalam
blognya, gadis itu pernah menulis tentang ketakutannya, tidurnya yang terganggu
akibat bunyi bising tembakan meriam serta keazamannya untuk terus menerima
pendidikan, walaupun ditegah Taliban.
Dalam satu daripada tulisannya
pada 14 Januari 2009 bertajuk 'Saya mungkin tidak akan ke sekolah lagi', Malala
berkata: "Angin saya kurang baik hari ini kerana esok akan bermula cuti
sekolah musim sejuk. Guru besar mengumumkan tentang hari cuti, namun tidak pula
menyebut bila sekolah akan dibuka semula.
"Rakan-rakan saya juga tidak
gembira kerana mereka tahu jika Taliban menguatkuasakan arahan, mereka tidak
boleh lagi bersekolah. Saya membayangkan sekolah pasti akan dibuka semula,
tetapi ketika meninggalkan sekolah, saya melihat bangunan itu seperti saya
tidak akan kembali lagi ke situ."
Isi hati gadis itu menunjukkan
betapa dia dahagakan pendidikan, begitu juga dengan rakan-rakan perempuannya.
Di bawah pemerintahan Taliban, kanak- kanak perempuan tidak dibenarkan ke
sekolah. Sekiranya ada yang berbuat demikian, mereka akan diugut bunuh atau
sekolah yang mereka hadiri akan diletupkan.
Sejak kerajaan Pakistan
melancarkan operasi ketenteraan ke atas kumpulan militan itu di Lembah Swat,
sebanyak 168 buah sekolah termasuk 104 yang dibina khas untuk pelajar
perempuan, telah dimusnahkan.
Untuk itu, Malala yang mewakili
rakan- rakannya, bangkit bersuara membantah tindakan Taliban yang menyekat
akses pendidikan terhadap kanak-kanak perempuan Pakistan. Gadis itu
menyifatkan, pendidikan adalah hak semua tanpa mengira jantina dan larangan ke
sekolah boleh menjejaskan masa depan mereka.
Suara Malala pantas mendapat
perhatian dunia kerana tidak banyak pihak berani bangkit menyuarakan rasa tidak
puas hati terhadap Taliban kerana bimbang dengan ugutan bunuh kumpulan militan
itu. Walaupun mengalami kecederaan parah akibat ditembak Taliban, insiden itu
tidak mematahkan semangat gadis tersebut untuk terus memperjuangkan hak
pendidikan terhadap wanita.
Selepas menjalani pembedahan dan
menerima rawatan di Britain, Malala kembali ke sekolah di Birmingham. Dia juga
kini lebih lantang memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan
Pakistan, dibantu bapanya, Ziauddin, seorang aktivis yang turut memiliki sebuah
sekolah swasta di Lembah Swat.
Sejak itu, usaha gadis tersebut
mula diiktiraf ramai. Keberanian serta keazamannya mempertahankan hak
pendidikan untuk kanak-kanak perempuan membolehkan dia menerima pencalonan
Hadiah Nobel Keamanan pada tahun ini.
Malala juga membuktikan bahawa
dia bukan calang-calang gadis apabila dipilih sebagai seorang daripada individu
berpengaruh oleh majalah Time, atas perjuangannya itu.
Ancaman Taliban yang mahu terus
memburunya, tidak pernah melenyapkan agenda pendidikan Malala, yang satu hari
nanti berhasrat menjadi seorang doktor.
Harga sebuah pendidikan tidak
ternilai buat insan seperti Malala. Walaupun terpaksa bergelut dengan kekejaman
Taliban, dia tidak pernah putus asa memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak
perempuan.
Bagi penduduk Malaysia, rakyat di
negara ini beruntung kerana sistem pendidikan terbuka di negara ini tidak
pernah menyekat akses pendidikan kepada sesiapa tanpa mengira jantina, kaum dan
agama, sebaliknya semua lapisan masyarakat berhak menerimanya. Sama seperti
lelaki, golongan perempuan juga bebas bersekolah dan berhak menerima pendidikan
yang sama, baik di peringkat pra, rendah, menengah, tinggi dan lanjutan.
Keberkesanan sistem pendidikan
negara wajar dipuji kerana ia menjanjikan masa depan terbaik buat generasi masa
depan tanpa mengira jantina dan kaum, menerusi asas pembelajaran yang kukuh.
Ibu bapa di negara ini juga tidak
perlu risau dengan keselamatan anak-anak ke sekolah kerana tiada pihak akan
menghalang mereka untuk menimba ilmu.
Jika ada yang berpendapat,
kemiskinan adalah penghalang untuk ke sekolah, situasi itu juga tidak boleh
dijadikan alasan di Malaysia kerana pelbagai kemudahan disediakan termasuk
bantuan kewangan, serta inisiatif tanpa mengira kaum, khasnya bagi bidang
pendidikan.
Sistem pendidikan negara ini yang
terbuka, secara tidak langsung memberi peluang sama rata kepada golongan lelaki
dan wanita bersaing secara sihat dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Di
negara kita, bukan sahaja wanita diberi peluang pendidikan sama rata dengan
kaum lelaki tetapi juga wanita diberi peluang menjawat jawatan tinggi dalam
kerajaan dan sektor swasta.
Selain itu, kerajaan juga
menyediakan banyak kemudahan pendidikan dan vokasional serta latihan dengan
membina banyak universiti, pusat latihan, politeknik untuk rakyatnya
melanjutkan pelajaran bagi melahirkan generasi pekerja yang mahir untuk
membantu membangunkan negara.
Penduduk di negara ini, seharusnya
bersyukur kerana kerajaan yang ada bukan sahaja menyediakan pendidikan yang
baik kepada rakyat tetapi juga memberi peluang sama rata kepada semua tanpa
mengira kaum, agama dan jantina untuk mengejar ilmu setinggi mana tanpa
sebarang masalah.
ISU PENDIDIKAN : Guru disaran Terap budaya integriti dalam P&P
![]() |
| Datuk Sufa'at Tumin
(tiga dari kiri) bersama pemenang Pertandingan Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran Malaysia 2013 |
Oleh Norizan Abdul Muhid
Guru disaran membudayakan elemen
integriti dan etika secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran
(P&P) sebagai satu usaha membina serta memelihara generasi masa depan yang
berpekerti mulia.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia (Operasi Pendidikan), Datuk Sufa'at Tumin berkata, pembudayaan
integriti adalah satu proses berterusan yang turut melibatkan peranan pelbagai
institusi masyarakat seperti keluarga, institusi pendidikan dan media massa
yang kini semakin terhakis.
''Dalam Institut Pendidikan Guru
(IPG), pembudayaan menuntut pemimpin bertindak sebagai suri teladan manakala
anggota lain pula menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka.
"Penerapan integriti ini
selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 agar setiap
murid dipersiap untuk berani menghadapi cabaran dan menegakkan keadilan serta
menyelesaikan konflik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap dalam pertandingan akhir Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan
Guru (IPG) Piala Menteri Pelajaran Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Yang turut hadir Timbalan Rektor
IPG Malaysia, Dr. Lee Boon Hua dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM),
Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.
Pertandingan yang bertemakan
'Integriti Asas Kelangsungan Generasi' itu kali keempat diadakan dan disertai
50 bakal guru mewakili 25 IPG.
Menurut Boon Hua, guru berperanan
besar dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi Malaysia
yang mengamalkan integriti dalam menjalankan tugas sama ada sektor awam, swasta
atau bekerja sendiri.
"Guru berperanan menerapkan
nilai murni yang berkaitan integriti supaya budaya yang mulia ini tersemai
dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi." tegasnya.
Malah, katanya, sebagai role
model kepada murid-murid dan masyarakat, sudah tentu guru-guru perlu
menunjukkan nilai integriti yang tinggi untuk dicontohi.
''Sebagai bakal pendidik,
pengetahuan tentang integriti ini amat berguna untuk diaplikasikan dalam
pengajaran dan pembelajaran (P&P) sebagai salah satu cabang ilmu yang
merentas kurikulum," tambahnya.
Dalam pertandingan itu, johan
disandang oleh penuntut IPG Kampus Datuk Razali Ismail, Hulu Terengganu,
Muhammad Iqbal Zahamuddin manakala naib juara pula menjadi milik Ronald James
dari IPG Keningau dan Syafiq A.Ghani dari IPG Perlis menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, Muhammad Iqbal
ketika ditemui berkata, usahanya menyertai pertandingan itu buat kali ketiga
tahun ini akhirnya membuahkan hasil.
"Walaupun pernah dua kali
gagal, saya menjadikannya sebagai pendorong untuk membaiki kelemahan.
"Saya mengambil masa
kira-kira seminggu untuk membuat persediaan menyertai pertandingan ini,'' kata
pemuda kelahiran Pahang itu.
Kemenangan itu melayakkan
Muhammad Iqbal membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan, trofi dan
sijil penyertaan.
Pemenang tempat kedua menerima
RM2,000 manakala tempat ketiga pula menerima RM1,000.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)






