Selasa, 14 Mei 2013

ISU PENGANGKUTAN AWAM : Ke arah pengangkutan awam lebih cekap dan berkesan


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid 

Sistem pengangkutan adalah kemudahan infrastruktur yang sangat penting bagi setiap negara dalam pelbagai segi. Ia membolehkan pergerakan manusia dan barangan, mencorak penggunaan tanah dan paten pembangunan sesuatu negara itu, menghasilkan pertumbuhan ekonomi serta penjanaan pekerjaan, menyokong dasar awam yang berkaitan dengan penggunaan tenaga, kualiti udara dan seterusnya pengeluaran karbon.

Kajian yang banyak dijalankan dalam beberapa negara maju menunjukkan bahawa pelaburan dalam sistem pengangkutan memberi kesan signifikan kepada ekonomi sesuatu negara itu dalam segi penyediaan pekerjaan, sistem penggajian dan pendapatan perniagaan.

Kemudahan setanding negara maju

Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur pengangkutan yang baik setanding dengan apa yang terdapat dalam kebanyakan negara maju. Dari segi pengangkutan darat, Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya dan jalan raya sepanjang lebih kurang 6,3000 kilometer yang baik dengan lebih kurang 2.6 peratus daripadanya adalah lebuh raya yang setanding dengan yang ada di negara maju lain.

Selain daripada pengangkutan darat, pengangkutan manusia dan barangan berat juga boleh dilakukan melalui rel yang menyambung beberapa bandar utama dari utara hingga pantai timur dan selatan Semenanjung. Kebanyakan bandar utama di seluruh negara juga dihubungkan melalui rangkaian udara yang baik oleh tiga syarikat penerbangan tempatan. Enam daripada lapangan terbang bertaraf antarabangsa negara pula menyediakan hubungan udara ke berbagai destinasi bandar raya utama dunia.

Pertumbuhan ekonomi berkait rapat dengan pembangunan sistem pengangkutan khususnya dari segi infrastruktur dan kepakaran pengurusan. Sektor pengangkutan juga boleh menyumbang ke arah penghapusan kemiskinan luar bandar, sekali gus menaik taraf kehidupan rakyat melalui aktiviti ekonomi luar bandar yang pelbagai, pasaran niaga yang cukup dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Oleh sebab itulah, kerajaan memberi penekanan yang tinggi terhadap penyediaan sistem pengangkutan yang berkesan dan cekap. Peletakan keutamaan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional, penyediaan peruntukan sejumlah RM2.8 billion dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah antara petunjuk utama mengenai perkara penting ini.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), sistem pengangkutan awam yang mesra rakyat dirancangkan. Pendekatan rancangan bertukar daripada sektor pengangkutan sebagai isu kejuruteraan kepada sistem pengangkutan yang memberi penekanan kepada kesiapsiagaan perkhidmatan, kemudahan mobiliti perjalanan dan sambungan antara perjalanan yang baik. Penekanan ke arah mobiliti ini adalah selaras dengan pengalaman negara maju yang menunjukkan mobiliti yang tinggi menghasilkan peluang dan pemangkin kemajuan yang lebih baik berbanding mobiliti yang terhad.

Sistem pengangkutan cekap

Sesuatu sistem pengangkutan yang cekap bukan sahaja sistem yang mampu membolehkan masa perjalanan yang singkat dan tambang yang murah. Sistem pengangkutan yang cekap dan berkesan perlu juga menyediakan suasana perjalanan yang selesa dan selamat kepada pengguna melalui penyediaan kemudahan seperti terminal pengangkutan yang lengkap dengan keperluan hospitaliti, kemudahan hubungan antara terminal utama dengan terminal mod pengangkutan yang lain dan keselamatan. Penyediaan terminal pengangkutan darat seperti KL Sentral dan Stesen Terminal Bersepadu Selatan adalah antara usaha bagi merealisasikan pendekatan pengangkutan yang mesra pengguna.

Dalam sektor pengangkutan udara, pengoperasian syarikat penerbangan tambang murah menolong menjayakan keperluan capaian dan kemampuan dalam pengangkutan. Penyediaan terminal baru yang lebih selesa dan mampu mengendalikan trafik udara yang lebih tinggi bagi sektor penerbangan tambang murah serta penyertaan sistem penerbangan udara nasional dalam program OneWorld juga akan mampu menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.

Antara isu penting yang sering ditimbulkan berkaitan dengan sektor pengangkutan sama ada dalam atau pun luar negara ialah yang berkaitan dengan kemudahan pengangkutan awam dalam kawasan bandar. Dalam Persidangan Tahunan Ke-10 Pengubahan Pengangkutan anjuran Bank Dunia di Washington DC pada Januari lalu, tiga perkara yang berkaitan dengan isu pengangkutan awam dalam bandar adalah pengintegrasian pengangkutan bandar dengan pembangunan, sistem pengangkutan lestari dan keselamatan serta kesihatan bandar.

Dalam negara, dua isu yang sama sering disuarakan pengguna ialah mengenai kesesakan lalu lintas dan kekurangan keberkesanan pengangkutan awam darat. Banyak usaha sudah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu ini, antaranya peningkatan jumlah pengguna sistem LRT dan komuter yang berkesan mengurangkan bilangan kenderaan individu ke dalam kawasan bandar. Ia juga memendekkan masa perjalanan dan secara tidak langsung mengurangkan tekanan kerja.

Wujud suasana sihat, lestari

Sistem pengangkutan yang berkesan dan cekap akan menghasilkan suasana kehidupan yang sihat dan lestari dari segi sosial, ekonomi, persekitaran dan kewangan. Malaysia sudah mencapai satu tahap kualiti yang tinggi melalui transformasi dalam penyediaan infrastruktur pengangkutan yang baik. Namun begitu, usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem pengangkutan secara umumnya perlu diteruskan bagi memastikan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa berlaku bersama.

Bagi tujuan itu, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian bagi menjayakan lagi transformasi pengangkutan negara.

a. Pelaksanaan proses perancangan pengangkutan yang kurang bergantung kepada kereta.

b. Peningkatan infrastruktur bagi mengambil kira kebaikan sistem pintar dalam pemantauan dan kawalan trafik terutama dalam kawasan bandar.

c. Teknik pengurusan sistem pengangkutan perlu mampu menyelesaikan kesesakan jalan raya yang berpunca daripada kemalangan jalan raya dan sebagainya dalam masa yang sesingkat mungkin.

d. Pengintegrasian pelan pembangunan bandar dan pengangkutan.

e. Pendidikan berterusan bagi melahirkan pengguna jalan raya yang bertanggung jawab.

Sistem pengangkutan yang cekap dan berkesan menyediakan peluang serta kebaikan ekonomi dan sosial yang mampu menghasilkan kesan berganda kepada negara. Sekiranya segala perancangan dapat dilaksana, dipantau serta senggara dengan baik, sistem pengangkutan yang cekap boleh direalisasikan.

Penulis ialah Ketua Kluster Kejuruteraan dan Teknologi, Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 13 Mei 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : ELAK SINDROM 3K


OLEH : RUHAIZA RUSMIN

Mendepani alaf baru, peluang untuk bergelar mahasiswa terbuka luas. Malah, saban tahun jumlah mereka dikeluarkan institusi pengajian tinggi juga semakin ramai, sehingga wujud persaingan sengit mendapatkan pekerjaan setaraf dengan ijazah dan diploma dimiliki.

Namun, dari satu sudut, kita dapati peranan mahasiswa dalam masyarakat hari ini kurang menonjol atau istilah tepatnya lesu dan kalau ada gemanya pun, hanya bersifat sementara mengikut musim tertentu, kemudian hilang.

Malah, tidak keterlaluan ada suara mengatakan mereka pupus idea, tidak konsisten dan mempunyai jati diri yang rapuh, sekali gus dikhuatiri boleh menjejaskan kerancakan hala tuju pembangunan negara. Sejauh mana dakwaan itu benar?

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Wahid Omar berkata, beliau tidak menafikan apabila melihat senario masa kini, kekentalan semangat jati diri mahasiswa tidak wujud pada semua.

“Hanya sebilangan kecil yang dapat kita saksikan mempunyai jati diri kental, manakala sebilangan besar pula agak rapuh. Kenyataan ini bukan bersikap berat sebelah.

“Jika kita lihat, dalam ratusan mahasiswa hari ini, berapa kerat berani menunjukkan kemata­ngan, berani tampil ke depan dan berani bersuara melahirkan pendapat? Bukankah boleh dibilang dengan jari?,” katanya.

Justeru katanya, pembangunan diri mahasiswa perlu konsisten bagi menjadikan mereka ‘kebal’ berdepan dunia sebenar.

Menurutnya, mempu­nyai pendirian yang tetap dan cergas boleh menjadi penangkis kepada golongan berkenaan daripada terus diperlekehkan.

Katanya, mahasiswa biarpun masih belajar tidak bermakna mereka hanya perlu menumpukan pada konsep 3K (kuliah, kolej dan katil) semata-mata.

“Bukankah ramai berkata, alam paling meng­asyikkan adalah alam remaja dan pengajian? Jadi mengapa mahasiswa tidak mahu menggunakan kesempatan ini untuk meneroka segala peluang di depan mata?

“Percayalah, peluang ini tidak akan datang kali kedua, sebab itu perlu dimanfaatkan. Tapi memanfaatkan peluang berkenaan untuk perkara baik dan positif,” katanya yang kesal apabila ada mahasiswa seolah-olah terkongkong dalam dunia buatan sendiri.

“Memang benar, universiti adalah tempat belajar, tapi mereka kena juga tahu konsep belajar itu sendiri.

“Belajar untuk lulus periksa adalah asas, tapi belajar bergaul dengan orang, belajar berfikir dan sebagainya juga adalah salah satu proses belajar.

“Malah, pelajaran lebih bermakna adalah yang tidak terdapat di dalam buku atau dewan kuliah. Jadi, jangan sempitkan pemikiran belajar di kampus semata-mata mahu mendapatkan ijazah,” katanya.

Mengulas mengenai kecenderungan segelintir mahasiswa yang gemar mengamalkan sikap 3K, beliau mengakui ia sangat merugikan.

Menurutnya, mengamalkan sikap itu bukan saja menjadikan mereka ketinggalan dalam pembinaan kendiri, malah tepu daripada menerima maklumat isu semasa di luar lingkungan kampus.

“Kita tidak menafikan, ada mahasiswa yang sentiasa mengemas kini maklumat untuk diri sendiri. Ini bagus, tapi berapa ramai?

“Yang lainnya masih mengamalkan sikap 3K dan berasakan apa yang berlaku di luar sana tidak penting. Bagi mereka, pencapaian akademik adalah keutamaan.

“Mereka mungkin kurang sedar, industri hari ini sudah berubah. Kelulusan akademik yang baik semata-mata bukan jaminan memperoleh pekerjaan tapi banyak lagi aspek perlu dititikberatkan,” katanya.

Dr Wahid berkata, mahasiswa perlu bangkit dan berubah serta melatih minda supaya tidak terlalu dimomokkan dengan konsep keselesaan.

Menurutnya, pada zaman global, persaingan wujud daripada pelbagai segi dan menjadi ‘peperangan’ sengit kepada mahasiswa.

“Globalisasi bermakna dunia tanpa sempadan. Setiap orang berdepan dan ada cabaran masing-masing.

“Bagi mahasiswa, mereka antara kelompok paling getir kerana selepas pengajian, sudah tentu mahukan pekerjaan yang kini turut diintai ribuan mahasiswa lain.

“Sebab itu perlukan strategi betul untuk berdepan ‘peperangan’ itu dan satu caranya ialah membina kemahiran diri dengan mekanisme tertentu di menara gading,” katanya.

Mengulas sama ada ‘kelesuan’ mahasiswa hari ini sama seperti dulu, beliau menggariskan beberapa perbezaan.

“Antaranya, mahasiswa dulu kebanyakan­nya agresif dalam membina kelangsungan jati diri sebab tahu hanya yang berusaha keras saja akan berjaya.

“Kebanyakan mereka juga datang daripada keluarga susah. Universiti adalah tempat terbaik meng­ubah masa depan diri dan keluarga.

“Mahasiswa hari ini semuanya tersedia. Ada pinjaman, ada banyak pilihan institusi dan sebagainya. Mereka jadi malas berusaha, hanya tahu menadah dan sentiasa mahu disuap,” katanya mengakui sikap itu dikhuatiri bakal menjadikan mahasiswa golongan manja.

“Saya akui bukan semua, tapi kalau kita lihat ada mahasiswa yang tidak pandai berdikari. Semua­nya perlu dipimpin, diajar dari awal hingga akhir.

“Budaya ini tidak bagus kerana mereka kena aktif, berani dan berpandangan jauh. Ini zaman globalisasi. Serba-serbi kena pantas. Yang malas dan banyak alasan akan ketinggalan,” soalnya.

Beliau tetap optimis anjakan paradigma boleh dilakukan andai kata mahasiswa mahu berubah.

“Syaratnya perubahan mesti datang daripada diri sendiri, bukan orang lain. Perubahan (daripada diri sendiri) lebih nikmat dan berkekalan. Malangnya, berapa ramai yang sedar dan berapa ramai pula yang masih terleka?” soalnya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Iktiraf guru dalam perkhidmatan


Oleh : Norizan Abdul Muhid

Buat pertama kalinya sempena sambutan Hari Guru kali ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan hadiah penghargaan baru, Anugerah Ikon Guru bagi menghargai sumbangan guru yang masih berkhidmat dan menaikan imej kementerian di peringkat antarabangsa.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, penganugerahan itu berbeza dengan Tokoh Guru memandangkan anugerah itu hanya menghargai sumbangan guru yang sudah bersara daripada perkhidmatan.

Menurutnya, antara kriteria diperlukan bagi melayakkan guru menerima anugerah itu adalah menyumbang meningkatkan imej kementerian dalam pelbagai bidang pendidikan dan tiada had umur ditetapkan selagi guru masih dalam perkhidmatan.

"Ini merupakan salah satu usaha kementerian untuk menghargai jasa dan pengorbanan serta pencapaian guru di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

''Selama ini, sumbangan mereka seperti tidak dinampakkan dan usaha tersebut merupakan salah satu penghargaan kementerian untuk menghargai jasa guru yang masih berkhidmat dalam pelbagai bidang pendidikan,'' katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Pra Pelancaran Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-42 di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilanbaru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Anugerah Ikon Guru khusus kepada guru yang masih berkhidmat dan paling utama, guru terbabit berjaya menaikkan imej perguruan.

"Kita mahu menghargai sumbangan guru kepada negara, misalnya, dia mewakili pasukan negara ke pertandingan sukan antarabangsa  dan menang, tidak kira guru ini atlet atau pegawai.

"Paling penting, penyertaannya pada pertandingan itu berjaya menaikan imej negara dan kementerian dalam apa jua bidang,'' katanya.

Selain itu, katanya, kementerian juga mengiktiraf sumbangan guru dengan memberi beberapa anugerah khas lain seperti Anugerah Guru Cemerlang OKU, Guru Pendidikan Khas, Guru Inovatif dan Anugerah Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

"Dalam majlis  sambutan Hari Guru nanti akan disampaikan tiga anugerah tahunan iaitu Tokoh Guru Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Tokoh Guru Sekolah Swasta,'' katanya.

Sementara itu, Mazlan memberitahu, pelbagai program sambutan Hari Guru telah diatur bermula dengan majlis bacaan Yassin, tahlil dan solat hajat Hari Guru

Pada 14 Mei, acara sambutan Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru dengan kerjasama Kumpulan Utusan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan.

Antara aktiviti lain termasuklah Dialog Sarana  Pendidikan, acara senamrobik Hari Guru, forum pendidikan, majlis Sepetang Bersama KSU dan KPPM dan Jamuan Makan Malam dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sumber : http : //www.utusan .com.my/

Sabtu, 11 Mei 2013

PUISI BUAT YB


Barangkali YB,
resah kelmarin adalah
selayang mimpi
yang terjelma menjadi realiti
dari pagi hingga dinihari
nyata saat kita membilang undi.

Yang menang jangan mendabik riang
jangan juga bakti dikurang
taburlah jasa bukan sekadar wang
agar watan tidak berwalang.

Yang tewas jangan
langsung menghilang
gagah atma terus berjuang
semangat jangan bertongkol arang
yang baharu ditamsil selamat datang
yang lama biar kerap dikenang.

Puisi ini puisi janji, YB
antara kini dan lima tahun lagi
bajaklah sebidang tanah pertiwi
semailah benih-benih bakti
hingga nanti sekali lagi
bisa kautuai ihsan pekerti
di permatang budi
bernama demokrasi.

ZULFAZLAN JUMRAH
Bandar Sri Sendayan

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 3 Mei 2013

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Caj tambahan elektrik bagi bil RM77 ke atas



Oleh : CONNIE S MONICAL

CAJ tambahan satu peratus pada bil elektrik Tenaga Nasional Bhd hanya dikenakan kepada 25 peratus pengguna domestik sebagai sumbangan kepada Tabung Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) untuk melaksanakan Tarif Galakan (FiT) yang berkuat kuasa sejak 1 Disember 2011.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda), Badriyah Abdul Malek berkata, caj tambahan satu peratus itu hanya akan dikenakan kepada pengguna dengan jumlah bil elektrik RM77 ke atas atau penggunaan lebih 300kWh sebulan.

“Sehingga awal tahun ini, Seda telah mengutip RM321.46 juta untuk tujuan membiayai projek-projek tenaga boleh diperbaharui.

“Seda juga telah membayar RM18.7 juta bagi menampung projek yang sedang berjalan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, kelmarin.

Menurutnya, secara keseluruhan, Seda akan membelanjakan RM4 bilion untuk membiayai kos projek-projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh negara termasuk Sabah yang akan dilaksanakan suku pertama tahun depan.

"Tenaga boleh diperbaharui penting bagi menukar sumber tenaga negara daripada bahan api fosil yang telah dikenal pasti penyumbang besar kepada pemanasan global dunia kepada solar fotovoltik, biomass, biogas dan hidro kecil," katanya.

Badriyah berkata, penjelasan berhubung caj tambahan itu perlu dilakukan selepas isu itu hangat diperkatakan di laman sosial.

Menurutnya, pengguna yang terlibat dengan caj tambahan itu turut berpeluang menyertai Program Rumah Solar Atas Bumbung yang dilancarkan Seda sejak September tahun lalu.

“Sehingga kini kami telah meluluskan 1,000 permohonan daripada pengguna sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Perak untuk program itu,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 1 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : 'Jaga nama baik guru'

Abdul Ghafar (tiga, kanan) melakukan gimik pelancaran program. 

Oleh : KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB

NILAI - Guru-guru seluruh negara diminta tidak membabitkan diri dalam politik demi menjaga nama baik profesion berkenaan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, warga pendidik tidak seharusnya berkecimpung dalam arena politik kerana perbuatan sedemikian jelas melanggar etika perguruan.

“Selaku kakitangan awam, mereka terikat dengan segala peraturan yang digariskan kementerian. Justeru, mereka perlu akur dengan ketetapan tersebut tanpa sebarang kompromi.

“Nasihat ini penting bagi mengingatkan mereka supaya menghormati ikrar yang pernah dilafazkan semasa mula-mula menceburi bidang perguruan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Prapelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-42 di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, di sini, semalam.

Ketika diminta mengulas isu murid sekolah digunakan pihak tertentu bagi tujuan berkempen, Abdul Ghafar berkata, setakat ini pihaknya belum pernah menerima sebarang aduan berkaitan perkara terbabit.

Dalam perkembangan lain, menyentuh tentang Anugerah Ikon Guru yang baru diperkenalkan buat pertama kali pada tahun ini, beliau berkata, ia diwujudkan untuk menghargai jasa dan sumbangan guru terhadap masyarakat dalam pelbagai bidang.

“Berbeza dengan Anugerah Tokoh Guru dikhususkan kepada warga pendidik yang sudah bersara, anugerah ini pula diberikan kepada mereka yang masih dalam tempoh berkhidmat,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 30 April 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pakar akademik kita diiktiraf antarabangsa


Oleh :  Dr Zaini Ujang
 
Dakwaan pelantikan berasas sentimen politik jejaskan imej IPT

Mungkin ramai yang sudah menyedari bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara utama destinasi pengajian tinggi dunia ketika ini, selain Amerika Syarikat, Britain, Australia, Jerman, Perancis, China, Jepun dan Kanada.

Pada 2000, seramai 26,569 mahasiswa antarabangsa belajar di Malaysia dalam pelbagai disiplin ilmu. Jumlah tersebut meningkat dengan mendadak kepada 69,174 pada 2007 dan 91,670 pada 2011.

Kenapa hal ini berlaku? Pertama, kerana dasar proaktif Kerajaan Malaysia yang mendokong perkembangan akademik dengan cara memperluaskan akses, mendirikan pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang memenuhi standard antarabangsa dan penyediaan dana besar untuk pembangunan dan operasi tahunan, dan membenarkan IPTS bercambah termasuk kampus cawangan universiti luar negara.

Pada 2005, dana awam untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM6.9 bilion kemudian meningkat kepada RM13.7 billion pada 2013. Menurut kajian saya, Malaysia adalah antara negara paling tinggi menyediakan dana awam perkapita kepada mahasiswa IPTA tempatan berasaskan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

Kualiti pengajian tinggi diiktiraf

Dengan dana awam yang besar itu maka perkembangan pengajian tinggi di Malaysia meningkat secara menyeluruh dari segi kualiti, akses dan reputasi. Kedua, kerana kualiti pengajian tinggi Malaysia mendapat pengiktirafan pelbagai agensi kelayakan antarabangsa termasuk bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, pergigian, perakaunan dan seni bina.

Dalam bidang kejuruteraan misalnya, graduan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Malaysia diiktiraf pelbagai negara yang menganggotai Washington Accord sejak 2011. Program akademik bukan profesional diselia menerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Hasilnya ramai graduan di negara ini diterima masuk dalam program ijazah lanjutan di universiti ternama seperti Cambridge, Oxford, Imperial College London, MIT, Kyoto dan Tokyo.

Ketiga, kepakaran akademik di kalangan profesor dan pensyarah di Malaysia diiktiraf oleh rakan sebidang pada peringkat antarabangsa. Pengiktirafan itu terserlah menerusi pelbagai cara. Paling menyerlah adalah menerusi keanggotaan dalam pelbagai jawatankuasa dan sidang peringkat antarabangsa, termasuklah sidang editorial jurnal ternama.

Sebagai contoh Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Zakri Abdul Hamid terpilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Biodiversiti.

Jurnal berimpak tinggi

Selain itu, pencapaian ahli akademik Malaysia dalam penerbitan makalah dalam jurnal berimpak tinggi juga semakin menggalakkan. Dalam tempoh 2007-2012, Malaysia mencatatkan pencapaian paling tinggi di dunia dengan peningkatan 310 peratus (daripada 3,711 kepada 11,507 makalah) berbanding Singapura hanya 152 peratus (daripada 6,675 kepada 10,154 makalah). Sementara China mencatatkan peningkatan 196 peratus, Korea Selatan 162 peratus, Australia 152 peratus, Taiwan 136 peratus, Switzerland 133 peratus, Hong Kong 133 peratus dan Kanada 106 peratus.

Memang benar kewibawaan Naib Canselor di Malaysia mungkin hanya setara ketua makmal di MIT. Namun, pencapaian sederhana itu semakin meningkat, setapak demi setapak. Mereka gigih menyumbang bakti untuk memartabatkan pengajian tinggi negara biarpun pelbagai cabaran terpaksa dilalui termasuklah sikap sebahagian warga yang hanya suka melihat dan menilai sesuatu menerusi keburukan, sekali gus menafikan kebaikan.

Dalam konteks sedemikian adalah amat memilukan jika ada pihak sewenang-wenangnya mendakwa pelantikan profesor dan pentadbiran universiti diasaskan kepada faktor tidak bersifat akademik, misalnya sokongan dan sentimen politik kepartian.

Sentimen politik memang diraikan dalam sistem demokrasi sebagai sebuah ideal kenegaraan tetapi tidaklah sampai dijadikan kayu pengukur utama dalam pelantikan ke jawatan tinggi dalam pentadbiran universiti atau kenaikan pangkat hakiki.

Dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, malah boleh menjejaskan rasa hormat masyarakat antarabangsa kepada IPT di Malaysia. Ia juga menjejaskan imej dan reputasi IPT tempatan yang sedang giat memartabatkan kecemerlangan akademik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi dunia.

Dakwaan itu mempersendakan pemimpin akademik dan profesor kanan. Dakwaan ini juga tidak menampakkan penghormatan terhadap budaya dan institusi ilmu yang menjadi resam orang beradab.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan penerima pertama Anugerah Merdeka (kecemerlangan akademik, 2009)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/