Ahad, 19 Mei 2013

ISU BAHASA : Sastera Melayu wadah perpaduan


Oleh  : DR. AMINUDIN MANSOR

Bidang sastera selalu juga ada isu politik tetapi dalam sastera tidak ada politik kepartian. Justeru, sastera mampu mengeratkan perpaduan kaum di negara ini berikutan perpecahan akibat fahaman politik. Walaupun ada dalam kalangan orang sastera terlibat dalam politik tetapi mereka tidaklah terbawa-bawa dalam penulisan dan kegiatan sastera.

Oleh itu, sastera mampu menjana perpaduan kaum yang utuh dan padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Melalui penulisan dan pelbagai kegiatan sastera, rakyat dapat disatukan dan menjadi wadah ke arah perpaduan.

Karya-karya sastera di negara ini banyak menjurus ke arah perpaduan kaum melalui tema, watak, latar masyarakat dan latar kehidupan. Perjuangan sastera lebih ke arah menyatupadukan kamu, kehidupan yang harmoni dan juga menerapkan rasa kemanusiaan ke arah membentuk tamadun bangsa. Perkara ini boleh dilihat dan didapati melalui hasil karya pengarang besar seperti Ishak Haji Muhammad Pak Sako), Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Abdullah Hussein, S. Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Kemala, Azizi Haji Abdullah dan Baha Zain serta beberapa penulis lain.

Perkara ini dapat dilihat menerusi karya-karya selepas merdeka dan dalam usaha mengisi kemerdekaan negara. Seperti kata-kata Usman Awang dalam puisinya Jiwa Hamba iaitu, "Di atas robohan kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka."

Sebagai contoh, karya-karya Usman Awang banyak menyuarakan perpaduan kaum dengan pemikiran yang peka kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat terbanyak di negara ini. Penglibatan atau komitmen Usman Awang sebagai pelopor karya yang sarat dengan perpaduan dengan perutusan dan amanatnya berkaitan perpaduan sangat jelas.

Sajak-sajaknya seperti Pemuda dan gadis Tionghua, Anak Jiran Tionghua, Penjual Pisang Di Kaki Lima (kepada Ibu tua Tionghua), Malam Penghabisan, Suasana (Serentak Dua Hari Raya), Kambing Hitam, Sahabatku (Kepada Dr. MK. Rajakumar), naskhah drama Tamu Bukit Kenny dan beberapa karya lain. Menurut Usman Awang, "Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pimpinan dan perjuangan intelektual, tetapi lahir dan timbul daripada masyarakat, dan perjuangan rakyatlah yang memulakannya."

Landasan

Justeru, sastera kebangsaan iaitu sastera Melayu adalah landasan terbaik ke arah menyatukan perpaduan kaum. Penulis dan sasterawan sudah lama memainkan peranan ke arah menyatukan perpaduan kaum dalam karya-karya yang dihasilkan. Dalam Teori Sastera Perpaduan yang dikemukakan oleh Dr Chew Fong (2005) , sastera perpaduan bermaksud: " Satu mekanisme untuk mewujudkan perpaduan antara kelompok masyarakat berbagai-bagai latar belakang berdasarkan prinsip-prinsip yang dikongsi bersama dari segi sosial dan budaya sehingga terbentuknya peranan toleransi dan perkongsian hidup bagi menyatukan masyarakat yang berbilang kaum, seterusnya melahirkan satu sentimen di negara ini."

Menurutnya, penulis bukan Melayu juga banyak menyumbang ke arah perkembangan sastera kebangsaan dengan mesej dan tema perpaduan kaum, antaranya seperti Lim Swee Tin, Akhbar Goh, Chong Chee Seong, Li Chuan Siu, Cheng Poh Hock, Peter Agustine Goh, Mary Wong, Teo Huat, On Ah Guan, Lee Yak Ing, Lim Swee Tin, Lim Kim Hui, Siow Siew Sing, Atma Goh, Jong Chian Lai, Awang Abdullah, Amir Tan, Lai Choy, Mohd. Azli Lee Abdullah, Lee Keok Chin, Selina SF Lee, Chan Khun Neng, Siow Yee Woo, dan banyak lagi.

Melalui kajiannya beliau mendapati, sebanyak 43.36 peratus daripada responden menyokong agar sastera perpaduan diperluaskan bacaannya ke agensi bukan kerajaan. Apa yang lebih menarik melalui kajiannya juga ialah sebanyak 66.48 peratus responden mahukan sastera perpaduan dipelajari oleh semua aliran pelajar di semua institusi pendidikan, dari sekolah rendah hingga ke universiti.

Mereka juga mencadangkan sastera perpaduan dijadikan subjek utama dalam sistem pendidikan negara selain mengesyorkan satu Hari Sastera Kebangsaan diwujudkan.

Peranan ini juga telah dimainkan oleh penulis bukan Melayu iaitu terdiri daripada kalangan penulis India yang juga menyumbang kepada perpaduan kaum di negara ini. Justeru, sastera kebangsaan sewajarnya mendapat perhatian daripada kerajaan untuk mengeratkan perpaduan bukan hanya dengan peruntukan RM2 juta tetapi mungkin lebih daripada itu menggalakkan penerbitan hasil karya yang menjurus kepada perpaduan kaum di negara ini.

Sastera mampu memupuk integrasi kaum dan mestilah bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. Bahan-bahan karya sastera dalam Komponen Sastera (Komsas) pada masa akan datang mestilah dipilih daripada karya yang bertemakan dan mementingkan perpaduan dan juga penyatuan kaum.

Oleh itu, peranan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan dalam masyarakat Cina dan India serta kaum-kaum lain sewajarnya dilihat sebagai bahasa penyatuan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa pengucapan seni yang halus dan indah. Sastera sejak dahulu sudah memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Sastera mestilah dijadikan pemangkin kepada integrasi dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia. Memperbanyakkan penerbitan karya sastera berbentuk perpaduan ini akan mengangkat budaya, bahasa dan sastera sebagai teras perpaduan di negara ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Perkemaskan Subjek Sastera Melayu

Keratan akhbar Mingguan Malaysia mengenai kedudukan subjek Kesusasteraan Melayu yang terpinggir 

Oleh : Hasan Baseri Budiman

SAYA sudah membaca tulisan Lim Swee Tin (Mingguan Malaysia 12 Februari 2013) dan Md Ishak Ab Rahman (Mingguan Malaysia 24 Mac 2013) yang cukup menyentuh perasaan. Saya cukup faham akan nasib subjek Kesusasteraan Melayu yang sampai bila-bila pun akan terus dipandang dengan sebelah mata kerana ada yang menganggap subjek ini hanya untuk orang suka berimaginasi dan membuang waktu semata-mata.

Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana tidak diberitahu sebenarnya subjek kesusasteraan merupakan cara yang ampuh untuk meningkatkan kecerdasan pelajar. Mereka tidak tahu bahawa karya sastera yang pada dasarnya membicarakan pelbagai nilai hidup dan kehidupan yang berkaitan langsung dengan pembentukan karakter manusia, turut berperanan mengembangkan bahasa, mengembangkan kognitif, psikomotorik, di samping turut mengembangkan sama keperibadian dan peribadi sosial pelajar.

Memanglah ada usaha pihak tertentu yang cuba berjuang untuk menjadikan Kesusasteraan Melayu sebagai subjek teras di sekolah supaya semua orang termasuk pelajar dan ibu bapa dapat melihat kebenaran matlamat ini. Cuma kita sedih perjuangan yang memakan masa puluhan tahun itu hanya tinggal perjuangan semata-mata. Tiada pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Pelajaran yang sudi membantunya kerana sehingga tahun 2012 hanya ada 617 buah sekolah sahaja yang menawarkan subjek itu kepada pelajar tingkatan 4 dan 5, berbanding 2,340 bilangan sekolah menengah yang ada di seluruh negara tahun ini.

Alangkah baiknya dalam keadaan manusia Melayu khasnya, yang masih mempunyai hati, yang merasa perlunya menanamkan sifat kemanusiaan kepada anak-anak, bertindak sebelum terlambat, supaya generasi akan datang tidak menjadi 'manusia robot' yang hanya lahir dengan ada otak tapi tidak ada perasaan, turut sama berjuang menghidupkan subjek sastera ini di sekolah.

Dan tentunya akan menjadi lebih baik  lagi kalau subjek ini sudah boleh bermula daripada peringkat sekolah rendah . Kalau hal ini berlaku bermakna kita sudah boleh melibatkan sekurang-kurangnya 5,906 Sekolah Kebangsaan di seluruh negara dengan bilangan murid Melayunya melebihi dua juta orang. Bayangkanlah, jika dua juta murid Melayu sudah didedahkan dengan kehebatan sastera sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi.

Kita percaya hal ini  akan berjaya membantu memberikan pendidikan jiwa dan pembangun moral yang betul kepada mereka untuk berhadapan dengan hari dewasa mereka nanti. Alangkah ruginya kita kalau membiarkan anak-anak kita terus menjadi manusia yang buta hatinya kerana bencinya kita kepada subjek kesusasteraan kita sendiri ini.

Kita tidak boleh pastikan kenapa benci sangat masyarakat kepada subjek ini? Mungkin kerana tidak komersial atau tiada nilai dan tidak memberi pulangan apa-apa kepada pelajar. Atau salah orang sastera sendiri yang sering terlupa, bahawa isi kandungan sastera di sekolah sudah lama tidak diperkemaskan kembali, terutama daripada sudut isi kandungan pembelajarannya, sehingga menjadi subjek yang hambar dan tidak menarik. Pada hal sastera itu sentiasa segar dan hidup. Tetapi kalau subjek sastera itu tidak dapat berorientasikan kepada pengalaman bersastera  pelajar dan sebaliknya terlalu menekan kepada pengembangan teori-teori sastera yang mengelirukan semata-mata, rasanya sampai bila-bila pun subjek sastera di sekolah akan menjadi hambar dan tidak menarik.

Kita takut, sementelahan di dalam pagar sekolah ini yang masih belum banyak buku sastera yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar, sehingga menjadikan minat mereka untuk menggauli kesusasteraan masih pada tahap yang cukup minimum, tiba-tiba keinginan mereka terhadap Kesusasteraan Melayu menjadi bertambah tenggelam pula dengan beberapa gangguan yang dibina sendiri oleh para sasterawan.

Selama ini pun kita bukan sahaja terpaksa bersaing dengan kehadiran Internet, permainan dalam talian, face book, blog dan sebagainya ke dalam kehidupan pelajar, yang sudah pun menjadi penyebab sastera diketepikan di sekolah, tetapi kita juga turut bersaingan dengan sikap kita sendiri dalam meyakinkan pelajar terhadap nilai sebenar yang ada di dalam Kesusasteraan Melayu itu. Orang sastera tidak berbuat apa-apa apabila melihat selonggok genre ditimbun-timbunkan dalam beberapa buku untuk dipaksa pelajar membacanya. Kalau tidak percaya tengoklah senarai teks baru subjek Kesusasteraan Melayu (elektif) tingkatan 4 dan 5 yang digunakan mulai tahun 2010 yang sehingga ke saat ini masih menjadi rungutan para guru sastera yang berhempas pulas untuk mentelaahnya.

Ketahuilah, pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini bukannya pelajar pilihan, kerana hampir kesemua sekolah yang menawarkan subjek ini cuma memilih pelajar-pelajar kelas hujungan sahaja yang memang tercorot prestasi akademiknya. Jangan hairan kalau setiap tahun pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu bukan sahaja bilangannya merosot, tetapi keputusannya juga tidak memberangsangkan.

Misalnya, bilangan calon SPM yang mengambil subjek ini pada tahun 2011 hanya 27,171 orang, turun sebanyak 11.23 peratus berbanding 30,222 orang pada 2010. Sebenarnya angka penurunan ini sudah pun disedari sejak sepuluh tahun dulu lagi, tetapi tiada tindakan diambil untuk meningkatkan bilangan yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini di sekolah. Malah tidak pernah pun ada rasa terkejut yang teramat walaupun kita sedar, pada tahun 2000 dan 2003 telah menjadi tahun paling drastik dalam memperlihatkan penurunan yang paling besar, iaitu sebanyak 17.5 peratus dan 15.3 peratus.

Jika keadaan yang sama berlaku dalam masa lima hingga 10 tahun yang akan datang, bermakna kita mungkin hanya akan melihat cuma 10 peratus sahaja bilangan pelajar yang akan mempelajari subjek Kesusasteraan Melayu. Hal ini tentu sahaja akan merugikan semua orang yang berhajat mahu melihat keseluruhan rakyat Malaysia hidup berdasarkan prinsip kesopanan dan kesusilaan melalui pancaran nilai yang dibawa oleh subjek ini.

Kita mungkin sahaja tidak boleh membuat apa-apa tuduhan melulu terhadap senario ini, tetapi berkemungkinan juga disebabkan rasa takut melihat bilangan genre sastera yang terlalu banyak untuk dibaca, maka bilangan pelajar yang mahu mengambil subjek ini juga mungkin akan turut berkurangan saban tahun. Yang peliknya, subjek Kesusasteraan Tamil dan Kesusasteraan Cina yang ditawarkan kepada pelajar-pelajarnya tidak pula sebanyak itu bilangan genre yang harus mereka kaji dalam tempoh pengajian yang sama, selama dua tahun.

Barangkali, inilah kesilapan besar kita, yang terlalu ghairah dan berebut memperagakan hasil sastera kita, sehingga kita terlepas pandang, bahawa kitalah yang telah menjadi penyebab Kesusasteraan Melayu semakin marginal eksistensinya dalam kalangan pelajar. Kita terlupa, isi kandungan pengkajian sastera yang terlalu banyak dilonggokkan di dalam kelas, kadang kala dilihat tidak relevan untuk dipelajari dalam tempoh waktu 105 minit dalam seminggu. Hal ini tentunya bukan sahaja menekan pelajar tetapi turut sama menekan guru-guru yang mengajar subjek ini untuk menghabiskan silibus  Kesusasteraan Melayu itu dengan cara yang terburu-buru. Hasilnya, kedua-dua kelompok ini terus sahaja menjadi mangsa keadaan yang disengajakan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 17 Mei 2013

ISU KENEGARAAN : Tugas melaksanakan aku janji


Oleh : NURUL ANUAR KARI

DENGAN selesainya pemilihan menteri-menteri untuk kementerian di peringkat Pusat baru-baru ini, rakyat kini beralih pula melihat kementerian mana yang bertanggungjawab melaksanakan 17 aku janji manifesto Barisan Nasional (BN) kelak.

Aku janji pertama untuk 'menangani kos sara hidup' banyak melibatkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta beberapa agensi dan kementerian lain khususnya untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia, bantuan persekolahan dan lain-lain bantuan kepada rakyat.

Tugas menyemak semula Dasar Automotif Nasional melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sementara Kementerian Kesihatan memantau pembukaan Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertanggungjawab untuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan pengagihan produk 1Malaysia, termasuk pelaksanaan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas.

Aku janji 'meningkatkan kehidupan warga bandar' pula akan dikepalai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan JPM dalam hal-hal memulih semula rumah kos rendah dan flat serta menyediakan perumahan awam berkualiti khusus untuk generasi muda.

Kemudahan pendidikan, latihan dan perkhidmatan kesihatan pula akan dipantau Kementerian Pelajaran serta Kementerian Kesihatan. Sementara itu, manifesto untuk 'menyediakan rumah mampu milik' melibatkan banyak agensi dan kementerian termasuk di bawah JPM; Kementerian Kewangan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Wilayah Persekutuan bersama GLC dan pihak swasta.

Untuk 'peluang mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti', Kementerian Kesihatan akan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya dalam membangunkan kemudahan kesihatan negara.

Sasaran 'ke arah kecekapan terhebat pengangkutan awam' pula akan melibatkan Kementerian Pengangkutan; JPM khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat; Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan terlibat dalam penambahbaikan perkhidmatan, laluan dan terminal untuk teksi, bas, rel dan komuter. Rancangan 'pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar' pula akan bergantung kepada Kementerian Kerja Raya khususnya menambah baik atau pembinaan lebuh raya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan elektrik. Sementara itu, untuk 'membina ekonomi mapan, dinamik dan inovatif', JPM (Unit Perancang Ekonomi, Unit Kerjasama Awam Swasta, TERAJU) akan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; serta agensi dan kementerian lain termasuk GLC dan swasta.

Kementerian Pelajaran pula akan meneruskan usaha 'membina kecemerlangan pendidikan negara' sama ada penambahbaikan kualiti sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak mahupun meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, sains dan matematik.

Kementerian Kewangan akan terlibat dalam penyediaan dana seperti biasiswa dan peruntukan sekolah sementara Kementerian Kerja Raya dalam penyediaan kemudahan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Untuk 'meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam' pula, JPM khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menaiktaraf pasukan polis, tentera dan pasukan beruniform lain.

Kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membantu menyediakan kemudahan keselamatan seperti lampu dan rondaan awam. Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengetuai usaha 'memperkasa penyertaan wanita' dalam membuat keputusan, termasuk menyediakan pusat asuhan, bantuan golongan memerlukan dan undang-undang gangguan seksual.

Kementerian Belia dan Sukan pula akan cuba 'memenuhi aspirasi belia' melalui pelbagai inisiatif, program, pendidikan, gerak kesenian dan semangat sukarelawan. Usaha 'memerangi gejala rasuah' akan melibatkan agensi di bawah JPM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Audit Negara bersama pasukan beruniform Kementerian Dalam Negeri.

Dalam 'merancang jaringan keselamatan sosial', JPM bersama Kementerian Wilayah Persekutuan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan merancang bermacam bentuk bantuan terutamanya bagi penduduk pribumi.

JPM khususnya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, akan bekerjasama dengan beberapa kementerian 'mempromosikan agama Islam, kebebasan dan keharmonian agama' dalam memupuk keharmonian, mendukung Islam sebagai agama Persekutuan, menjaga kebajikan sekolah dan institusi agama serta rumah ibadat agama lain. Sementara itu, Rancangan 'memperkukuhkan perkhidmatan awam, menambah baik tadbir urus' akan digerakkan JPM melalui SPA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

'Gerakan kesederhanaan global' pula akan dilaksanakan Kementerian Luar dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; KDN serta Kementerian Pertahanan.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pula akan mengetuai usaha 'memulihara sumber semula jadi' dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Tenaga dan Teknologi Hijau dan Air di samping beberapa agensi lain dalam mendidik masyarakat serta melaksana undang-undang lebih ketat.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kurangkan Aktiviti Luar Rumah Semasa Cuaca Panas, Elak Strok Matahari


KUALA LUMPUR : Orang ramai terutama kanak-kanak dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa cuaca panas sekarang bagi mengelakkan terkena 'sunstroke' atau strok matahari yang menyebabkan seseorang pengsan.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Perubatan Malaysia, Dr H. Krishna Kumar berkata keadaan itu berlaku antaranya disebabkan panas matahari yang menyerap cairan daripada badan mengakibatkan mereka mengalami dehidrasi.

"Walaupun minum banyak air, orang ramai tetap tidak digalakkan melakukan aktiviti di luar rumah kerana air lebih cepat terserap melalui peluh yang dihasilkan.

"Lebih teruk jika terjadi kepada kanak-kanak kerana sistem pertahanan tubuh mereka tidak sekuat golongan dewasa," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Dr Krishna menasihatkan kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah menggunakan payung bagi mengelakkan mereka berasa lemah akibat cuaca panas yang seterusnya akan mengganggu pembelajaran.

Pakar perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr David Quek Kwang Leng menyarankan penghidap penyakit berbahaya seperti diabetes, jantung dan buah pinggang berunding dengan pakar masing-masing bagi mengetahui cara penjagaan diri semasa cuaca panas.

"Mereka yang menghidap penyakit serius mempunyai kondisi badan yang berbeza dengan mereka yang normal. Maka penjagaan diri mereka juga harus lebih mendalam," katanya.

Beliau berkata jika kebiasaannya orang ramai perlu minum seliter air setiap hari, ketika cuaca panas mereka disaran minum antara satu setengah dan dua liter termasuk pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak.

Katanya selain kerap mandi untuk menyejukkan badan, penggunaan krim pelindung cahaya matahari juga dapat membantu melindungi kulit daripada terbakar.

Laman web The Star.com pada Selasa memetik Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengatakan cuaca panas dan kering di Lembah Klang sekarang boleh dikaitkan dengan perubahan pola angin dan kesan ribut Mahesan di Teluk Bengal.

Keadaan itu dijangka berubah apabila pola angin stabil dengan peralihan monsun hujung bulan ini yang diramal membawa lebih banyak hujan.

"Pada masa sekarang, suhu di Lembah Klang secara purata mencatatkan 35 darjah Celcius," lapor laman web itu. -BERNAMA

ISU ALAM SEKITAR : Cuaca panas dan kering dijangka sehingga September


KUALA LUMPUR - Cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September ini berikutan musim Monsun Barat Daya yang bermula Rabu lepas.
   
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), kebanyakan kawasan di negara ini akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang berkurangan, dan tempoh penerimaaan cahaya matahari yang lebih lama menyebabkan suhu persekitaran meningkat.
   
Walau bagaimanapun, beberapa kawasan di pedalaman Semenanjung dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada lewat petang dan senja, menurut jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
   
Sementara kawasan persisiran pantai di negeri-negeri pantai barat Semenanjung pula kadangkala akan mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin langkisau yang kuat terutama pada awal pagi disebabkan pembentukan garis badai di Selat Melaka.
   
Menurut JMM, pada musim ini akan berlaku peningkatan frekuensi aktiviti ribut tropika di barat Lautan Pasifik dan utara Laut China Selatan yang akan menyebabkan kawasan Kudat dan Pantai Barat Sabah mengalami angin kencang berserta hujan lebat. - Bernama

Khamis, 16 Mei 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Status Permohonan Ke IPTA/Politeknik Boleh Disemak Mulai Esok


KUALA LUMPUR : Status keputusan permohonan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)/Politeknik Premier) bagi programpengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara boleh disemak mulai 12 tengah hari Jumaat.

Menurut kenyataan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi pada Khamis, semakan boleh dibuat melalui hotline 03-88706767, helpline 03-88706777, talian am 03-88706755/6766 dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (No kad pengenalan) dan SMS ke 15888.

Mereka juga boleh melayari laman web http://upu.mohe.gov.my, http:jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, http://jpt.ums.edu.my, dan http://jpt.unimas.edu.my.

Calon boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web rasmi IPTA berkaitan atau Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) KPT mulai 18 Mei.

Semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran oleh IPTA/Politeknik Premier sebelum atau pada 24 Mei dan pengesahan penerimaan tawaran boleh dibuat melalui Laman Web Rasmi IPTA atau JPP,KPT.

Bagi pemohon yang tidak berjaya, permohonan e-Rayuan akan dibuka mulai 24 Mei dan boleh kemukakan permohonan melalui http://upu.mohe.gov.my dan tarikh tutup permohonan adalah pada 2 Jun ini. -BERNAMA

ISU KENEGARAAN : Barisan kabinet baharu berpengalaman, teknokrat, muda


Oleh :  Zulkifli Jalil

BARISAN Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyenaraikan seorang pun anggota yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu. Ini berbeza dengan Kabinet 2009 yang masih ada elemen berkenaan.

Ternyata Barisan Nasional (BN) membalas kepercayaan mandat rakyat dengan menampilkan kabinet yang akan lebih berkhidmat untuk rakyat.

Kabinet kali ini menampilkan gandingan muka lama dan baharu dalam usaha meneruskan agenda transformasi negara. Mereka terdiri daripada 29 menteri dan 27 timbalan menteri bagi 24 kementerian.

Selain terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda, Kabinet yang dibentuk 10 hari selepas PRU-13 itu meskipun dibarisi Bumiputera namun ia merupakan Kabinet Malaysia yang boleh berkhidmat untuk semua kaum.

Lagi pun, Bumiputera turut merangkumi pelbagai etnik, budaya, dan agama termasuk Kristian di Sabah dan Sarawak. Sesuatu yang menyerlah dalam barisan baharu ini adalah keanggotaan ramai wakil  Sabah dan Sarawak.

Ia merupakan satu penghargaan kepada parti-parti komponen BN kedua-dua negeri itu yang telah membentuk lebih 30 peratus atau 47 kerusi daripada keseluruhan 133 kerusi Parlimen yang dimenangi BN di peringkat Persekutuan.

Dan jika sebelum ini Kabinet menampilkan empat menteri dari Sabah, kini bertambah dua, menjadikan enam. Sarawak pula menyaksikan tujuh menteri berbanding tiga sebelum ini.

Antaranya muka baharu, Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Richard Riot (Sumber Manusia), Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Dr. Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Selain itu yang dikekalkan, Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar), Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Maximus Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau) dan Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Pada PRU-13, BN Sarawak menyumbang kemenangan 25 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan manakala Sabah menang 22 daripada 25 kerusi Parlimen.

Semalam, Najib turut memperkenalkan kabinet yang mantap dengan mengurangkan bilangan kementerian kepada 24 daripada 25, dan menyelaras beberapa aktiviti dan bidang tugas kementerian-kementerian.

Antara kementerian yang diselaraskan ialah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan menjadi Kementerian Pelajaran yang akan diterajui dua orang menteri.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diselaraskan menjadi Kementerian Wilayah Persekutuan manakala portfolio kesejahteraan bandar di bawah kementerian itu digabungkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Fungsi kementerian diyakini mempunyai sinergi agar lebih efektif. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pula diselaraskan menjadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala elemen kebudayaan dicantumkan dengan Kementerian Pelancongan.

Dengan keyakinan untuk meneruskan momentum transformasi nasional di samping dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan, Kabinet baharu ini diyakini memiliki kewibawaan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran serta mempunyai tingkah laku yang disukai rakyat.

Selain diperkukuhkan oleh dua wakil generasi muda, Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) dan Abdul Rahman Dahalan, Najib turut membawa masuk Presiden Transparency International Malaysia Datuk Paul Low, yang dilihat sebagai bukti keseriusan beliau untuk mempertingkatkan lagi integriti dalam kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.

Pemilihan Presiden Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menganggotai Kabinet juga dilihat sebagai usaha serius Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan agenda transformasi ekonomi negara.

Pengalaman Abdul Wahid sebagai teknokrat dalam bidang perbankan dipercayai dapat membantu kerajaan menjayakan lagi program transformasi. Paul Low pula akan menumpukan kepada pengukuhan integriti menerusi Institut Integriti Nasional (IIN) dan menangani hal-hal berkaitan Biro Pengaduan Awam.

Ketiadaan wakil MCA dalam Kabinet kali ini semua maklum kerana pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan setelah prestasinya pada PRU-13 lebih teruk daripada PRU-12.

Pada PRU-13, MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan hanya 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada 2008, parti itu memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri. Bagaimanapun kedudukan MCA dalam Kabinet menerusi satu slot untuk portfolio Menteri Pengangkutan akan ditentukan kemudian.

Sebelum Parlimen dibubar pada 3 April lepas, MCA mempunyai empat menteri penuh dalam Kabinet iaitu Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (Menteri Pelancongan); Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan); Datuk Seri Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan). Chee Heung dan Tiong Lai menang dalam PRU-13.

Selain itu terdapat tujuh timbalan menteri dari MCA iaitu Datuk Seri Donald Lim Siang Chai (Kementerian Kewangan); Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani); Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Dalam Negeri), Datuk Ir. Wee Ka Siong (Kementerian Pelajaran); Gan Ping Sieu (Kementerian Belia dan Sukan); Datuk Dr. Hou Kok Chung (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Datuk Heng Seai Kie (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Dalam pada itu, Gerakan yang turut gagal meraih sokongan kaum Cina dalam PRU-13 tidak mengisi slot dalam Kabinet. Sebelum ini, Gerakan mempunyai seorang menteri penuh apabila Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang dilantik sebagai senator diberikan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada masa sama, sebelum ini dua lagi anggota parti itu iaitu Senator Kohilan A.Pillay sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Tan Lian Hoe sebagai Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Penyertaan enam wakil India dalam Kabinet Najib - dua menteri dan empat timbalan menteri - juga adalah julung kali dilakukan Perdana Menteri. Ini termasuk memberi keutamaan dan kepercayaan kepada dua wakil yang bukannya dari MIC, yang membawa perubahan besar terhadap kedudukan sosioekonomi masyarakat India.

Mereka ialah Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P.Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Loga Bala Mohan, yang akan dilantik sebagai Senator, dipilih sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Sementara itu, mengetuai barisan wakil MIC dalam Kabinet ialah Presiden parti itu Datuk Seri G.Palanivel yang dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan timbalannya Datuk Seri Dr. S.Subramaniam pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Ketiadaan menteri dari Selangor dalam Kabinet, dengan pengguguran Datuk Seri Noh Omar yang sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dipercayai ada kaitan dengan prestasi merudum BN Selangor dalam PRU-13.

Ketiadaan Datuk Shaziman Abu Mansor (penyandang Menteri Kerja Raya) dalam Kabinet baharu ini dikatakan dari keputusannya sendiri yang menarik diri. Kabinet kali ini juga menyaksikan Datuk Seri Idris Jusoh kembali menganggotai Kabinet manakala Datuk Seri Shahidan Kassim dari negeri ke Pusat. Yang naik pangkat dari timbalan menteri ke menteri pula ialah Datuk Hasan Malek dan Rohani.

Sementara itu, penyertaan kali pertama Khairy yang ‘lompat’ terus ke jawatan menteri sememangnya diramalkan banyak pihak dan pemerhati. Dan lebih ketara lagi, Khairy mampu mendampingi golongan muda.

Dalam keadaan sekarang,  suara anak muda tidak boleh dipinggirkan kerana kuasa dan pengaruh mereka dalam politik negara mewakili jumlah yang bukan sedikit. Dan buktinya, keputusan PRU-13 baru-baru ini turut dipengaruhi oleh pengundi muda yang rata-ratanya dilihat ke sebelah sana.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/