Isnin, 20 Mei 2013

Pelajar cacat penglihatan rentas Selat Pulau Pinang



Oleh : Siti Fatimah Mohamed Anwar

Butterworth :  Seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang cacat penglihatan berjaya mencatat rekod peribadi apabila berenang merentasi Selat Pulau Pinang secara individu dari Jeti Swettenham ke Pantai Bagan Ajam di sini, semalam.

Faiq Adnan, 23, yang cacat sejak kecil memulakan renangan sejauh lima kilometer (km) pada jam 9 pagi dan menamatkan renangan pada jam 11.30 pagi, selepas menempuh pelbagai halangan termasuk disengat obor-obor dan menempuh cabaran ombak besar.

Pelajar jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan cabaran apabila disengat obor-obor selepas 45 minit memulakan misi berkenaan, namun diberi perangsang oleh jurulatih yang mengiringinya.

Saya sudah hampir berputus asa kerana disengat obor-obor di seluruh badan termasuk di tangan, bibir dan muka. Keadaan gatal itu amat tidak selesa, namun saya diberi perangsang oleh jurulatih untuk meneruskan cabaran ini.

Cabaran ombak besar

Selain itu, saya menempuh cabaran ombak besar tetapi ia tidak menghalang tumpuan saya untuk menyudahkan misi kerana sudah lama saya memasang impian untuk mencipta rekod ini, katanya selepas berjaya merentasi Selat Pulau Pinang, semalam.

Acara merentasi Selat Pulau Pinang itu julung kali dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON), PUSPAKOM Sdn Bhd serta Jabatan Belia dan Sukan negeri.

Faiq yang juga atlet paralimpik negeri berkata, kejayaannya berenang merentasi Selat Pulau Pinang dengan catatan dua jam 30 minit 35 saat, membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu melakar kejayaan sama seperti individu lain.

Sebagai persiapan untuk menjayakan misi ini, saya melakukan latihan renangan 40 pusingan di kolam renang dua kali sehari bagi membina stamina. Latihan kelajuan dan ketangkasan ini dijalankan sejak dua tahun lalu untuk memastikan saya benar-benar berkemampuan menjayakan misi ini.

Rentas Selat Inggeris

Selepas ini, saya berhasrat mencatat satu lagi rekod peribadi iaitu berenang merentasi Selat Inggeris pada 2015 dan berharap ada pihak yang sudi menaja serta membantu saya merealisasikan impian berkenaan, katanya.

Jurulatihnya, Datuk Ooi Win Juat, berkata Faiq yang berenang dalam sangkar khas berdepan tempoh sukar apabila sangkar berkenaan pecah dipukul ombak besar ketika berada di tengah laut.

ISU PENDIDIKAN : Guru harus berani lakukan anjakan pemikiran


Oleh :  Ihsan Noorzali

Ketika segelintir pihak mempertikaikan kewibawaan guru, golongan itu terus tabah melaksanakan amanah untuk mendidik anak bangsa.

Selepas lebih sedekad dunia melalui alaf baru, cabaran guru juga semakin panjang dengan pelbagai tuntutan bagi menyai­ngi kehendak globalisasi serta perubahan sistem pendidikan negara.

Malah, kerjaya perguruan yang dulunya dianggap pilihan terakhir paling selamat untuk memperoleh pekerjaan, kini tidak lagi menjanjikan peluang itu.

Dengan kata lain, guru alaf baru terpaksa bersaing dan membuktikan mereka adalah yang terbaik dalam kalangan terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Apakah persediaan paling utama bagi guru alaf baru?

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Noor Shah Saad berkata, guru alaf baru perlu mempunyai persediaan untuk berdepan senario perubahan dunia pendidikan sama ada di peringkat tempatan mahupun global.

Beliau berkata, perubahan itu selaras bagi memenuhi permintaan yang memerlukan guru berperanan sebagai medium penjana ilmu, sekali gus melahirkan masyarakat berpendidikan.

“Sebagai guru alaf baru, cabaran mereka cukup hebat dan banyak. Segala perubahan dari segi sistem, modul, pedagogi dan sebagainya perlu dilaksanakan mengikut standard.

“Justeru, bergelar guru pada zaman ini memerlukan keberanian dan kemahuan melakukan anjakan pemikiran. Tidak boleh dibelenggu tanggapan bidang perguruan sama seperti dulu.

“Bidang perguruan kini mempunyai pelbagai mekanisme dan suntikan baru bagi mengimbangi perubahan drastik globalisasi. Guru tidak boleh beralasan atau membuat pilihan mengikut kehendak sendiri,” katanya.

Malah tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda’ turut menggambarkan bahawa golongan itu menjadi aspirasi kepada semua lapisan masyarakat dan memikul tanggungjawab berat untuk melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.

Beliau berkata, guru alaf baru berdepan cabaran hebat kerana mereka bukan saja terpaksa bersaing dengan perubahan sistem, malah kepantasan dan kecekapan pelajar memperoleh maklumat dengan bantuan teknologi.

“Sebab itu, guru tidak boleh ‘buta’ teknologi kerana pelajar kini bukan calang-calang golongan. Mereka bersikap lebih ingin tahu kerana mendapat soko­ngan maklumat daripada teknologi.

“Berbanding pelajar dulu, mereka pasif dengan pendedahan maklumat terhad. Apa yang diberikan guru, itulah maklumatnya.

“Kerja guru mudah, ibu bapa tidak pernah bersoal jawab. Tapi kini guru berdepan ‘peperangan’ dari segala sudut hingga memerlukan mereka sentiasa bersedia,” katanya mengakui asakan demi asakan diterima menyebabkan guru berdepan konflik diri yang hebat.

“Kita sering mendengar rungutan guru yang terbeban dengan segala tugasan. Situasi ini tidak boleh dielak kerana perubahan dunia pendidikan memerlukan guru terpaksa menerimanya.

“Tiada lagi kemudahan dan kesenangan dalam kerjaya ini, sebaliknya dipenuhi dengan desakan serta keperluan yang sentiasa berubah dengan pantas.

“Malah, jika ada andaian mengatakan kerjaya ini senang kerana ada banyak cuti atau insentif, perbetulkan dulu andaian itu,” katanya.

Ditanya pandangan segelintir guru yang menganggap kerjaya ini pilihan terakhir untuk memperoleh pekerjaan, katanya tanggapan itu perlu diubah.

Menurutnya, profesyen perguruan hari ini sudah tidak boleh dijadikan pilihan terakhir kerana ia dikategorikan profesional serta mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Sejak dulu lagi, masyarakat menganggap guru adalah kerjaya selamat yang menjanjikan peluang kerjaya terbuka sehingga ramai yang berkata, jika tidak dapat kerja, jadilah cikgu.

“Tapi, jika masyarakat mengetahui betapa sukarnya kini mahu menjadi guru, mereka pasti terkejut. Bidang pendidikan dan perguruan sudah menuju pelbagai transformasi.

“Ada syarat, mekanisme dan piawaian ditetapkan Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, institusi pengajian tinggi dan sebagainya sebelum bergelar guru.

“Untuk jangka panjang, negara ingin melahirkan masyarakat berilmu, berteknologi serta bergelar teknokrat. Guru sebagai medium yang menyampaikan ilmu perlu setaraf atau mempunyai kelayakan diiktiraf,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui beban tugasan guru yang kadangkala melampau boleh menjejaskan tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki.

Menurutnya, guru di luar negara mempunyai jadual lebih fleksibel, tidak terbeban dengan kerja perkeranian serta dianggap kerjaya kolar putih.

“Terbeban dengan segala kerja terutama perkeranian menyebabkan tumpuan guru agak terjejas. Sebab itu sebahagian besarnya gagal menjalankan tugasan hakiki dengan baik.

“Biarpun dari sudut gaji dan inisiatif sudah bertambah baik, masalah sampingan perlu diatasi supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, kekangan melaksanakan tugas antara faktor guru gagal menjalankan fungsi mereka dengan baik.

“Saya berpendapat sistem hukuman kepada pelajar yang dilaksanakan ketika ini kurang cekap dan menyumbang kepada lemahnya semangat guru.

“Masyarakat terutama ibu bapa perlu meletakkan diri dalam situasi guru. Katakan anak kita bermasalah tapi tidak boleh dipukul?

“Jika guru ‘dikembalikan’ kuasanya untuk menghukum pelajar, bebanan perasaan guru boleh dikurangkan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pertahankan Kesederhanaan Di Malaysia


KETIKA di bangku sekolah dahulu, kita pernah diajar oleh guru-guru sekolah supaya bersikap sederhana.

Kesederhanaan bukan sahaja dalam perlakuan bahkan juga tutur kata serta pergaulan seharian dengan ahli keluarga, rakan taulan dan juga rakan di tempat kerja.

Malah sikap kesederhanaan itu merupakan sikap terpuji yang dituntut dalam setiap agama.

Kesederhanaan mengajar seseorang untuk tidak mudah lupa diri, mengawal emosi dan sentiasa bersiap-siaga untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang mendatang.

Dalam konteks kenegaraan pula, konsep kesederhanaan merupakan tonggak utama kepada kestabilan Malaysia sejak sekian lama. Kesederhanaan dalam semua segi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini untuk hidup dengan harmoni tanpa sebarang syak-wasangka.

Masing-masing bebas menganut agama, mengamalkan budaya masing-masing serta menggunakan bahasa ibunda mereka.

Kemampuan inilah yang menjadikan Malaysia sering dicemburui oleh banyak negara di seantero dunia. Malah pernah satu ketika dahulu, Malaysia menjadi teladan kepada dunia dan banyak negara yang berminat untuk mendalami rahsia Malaysia menguruskan hubungan kaum yang kompleks.

Dalam keghairahan untuk mengejar pembangunan dan kekayaan material, konsep kesederhanaan yang menjadi tunjang dalam kalangan rakyat Malaysia selama ini, kian luntur.

Kebelakangan ini, ada sahaja isu-isu sensitif dibangkitkan dengan tujuan untuk mencetus kemarahan pihak lain. Daripada golongan anarkis yang mahu memporak-perandakan negara kepada kumpulan nasionalis yang cuba mempertikaikan kesetiaan sesuatu kaum hanya kerana tidak menyokong kerajaan pemerintah - semuanya memperlihatkan satu trend yang cukup membimbangkan.

Atas nama demokrasi dan keterbukaan, bermacam-macam ugutan malah amaran diberikan tanpa memikirkan kemudaratan yang bakal tercetus daripada tindakannya itu. Lebih mendukacitakan, ada juga dalam kalangan rakyat yang sanggup bertindak di luar batasan semata-mata kerana marah terhadap pihak berkuasa.

Disebabkan kemarahan yang meluap-luap terhadap pihak berkuasa, pelbagai paparan yang kurang sopan dimuat naik dalam laman sosial tanpa mengambil kira kesannya. Biarpun bukan semua maklumat yang dimuat naik adalah tulen dan benar, namun sudah wujud kecenderungan dalam kalangan rakyat untuk mempercayainya secara membuta-tuli.

Mereka seolah-olah sudah tidak gentar dengan sistem perundangan negara. Fikiran mereka diselubungi dengan kemarahan meluap sehingga bertindak di luar batasan.

Tetapi apakah ini sikap rakyat Malaysia yang kita kenal selama ini? Di manakah perginya budi pekerti, kesantunan serta kesederhanaan yang wujud dalam diri setiap rakyat Malaysia?

Yang pastinya, pemikiran ekstrem tidak seharusnya mendapat tempat dalam masyarakat kita. Ia juga tidak boleh dibiarkan bercambah ke satu tahap yang tidak terkawal umpama virus yang menular.

Kegagalan untuk membanterasnya hanya bermakna keselamatan negara bakal tergugat. Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, sebarang insiden ekstrem boleh mencetuskan impak yang cukup dahsyat jika tidak ditangani dengan bijak.

Tentunya kita tidak mahu melihat peristiwa 13 Mei berulang di negara kita. Tentunya juga kita tidak mahu peristiwa rampasan senjata oleh sekumpulan ajaran sesat berulang di Malaysia.

Kita juga tidak mahu melihat masyarakat hidup dalam ketakutan kerana ancaman pihak lain. Paling signifikan, kita juga tidak mahu melihat Malaysia menjadi sarang percambahan ideologi ekstremisme.

Justeru, adalah penting jika agenda pembangunan negara kembali berpaksi kepada prinsip kesederhanaan dan wasatiyyah. Hanya prinsip 'kesederhanaan' mampu membawa kembali Malaysia ke landasan yang sebenar.

Pepatah Inggeris ada mengatakan "Kota Rom tidak dibina dalam sehari". Ada baiknya jika pepatah tersebut dijadikan peringatan kepada kita semua. Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian negara memakan masa untuk dipupuk namun ia boleh musnah dalam sekelip mata.

MATTHEW CHAN
Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 19 Mei 2013

ISU BAHASA : Sastera Melayu wadah perpaduan


Oleh  : DR. AMINUDIN MANSOR

Bidang sastera selalu juga ada isu politik tetapi dalam sastera tidak ada politik kepartian. Justeru, sastera mampu mengeratkan perpaduan kaum di negara ini berikutan perpecahan akibat fahaman politik. Walaupun ada dalam kalangan orang sastera terlibat dalam politik tetapi mereka tidaklah terbawa-bawa dalam penulisan dan kegiatan sastera.

Oleh itu, sastera mampu menjana perpaduan kaum yang utuh dan padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Melalui penulisan dan pelbagai kegiatan sastera, rakyat dapat disatukan dan menjadi wadah ke arah perpaduan.

Karya-karya sastera di negara ini banyak menjurus ke arah perpaduan kaum melalui tema, watak, latar masyarakat dan latar kehidupan. Perjuangan sastera lebih ke arah menyatupadukan kamu, kehidupan yang harmoni dan juga menerapkan rasa kemanusiaan ke arah membentuk tamadun bangsa. Perkara ini boleh dilihat dan didapati melalui hasil karya pengarang besar seperti Ishak Haji Muhammad Pak Sako), Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Abdullah Hussein, S. Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Kemala, Azizi Haji Abdullah dan Baha Zain serta beberapa penulis lain.

Perkara ini dapat dilihat menerusi karya-karya selepas merdeka dan dalam usaha mengisi kemerdekaan negara. Seperti kata-kata Usman Awang dalam puisinya Jiwa Hamba iaitu, "Di atas robohan kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka."

Sebagai contoh, karya-karya Usman Awang banyak menyuarakan perpaduan kaum dengan pemikiran yang peka kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat terbanyak di negara ini. Penglibatan atau komitmen Usman Awang sebagai pelopor karya yang sarat dengan perpaduan dengan perutusan dan amanatnya berkaitan perpaduan sangat jelas.

Sajak-sajaknya seperti Pemuda dan gadis Tionghua, Anak Jiran Tionghua, Penjual Pisang Di Kaki Lima (kepada Ibu tua Tionghua), Malam Penghabisan, Suasana (Serentak Dua Hari Raya), Kambing Hitam, Sahabatku (Kepada Dr. MK. Rajakumar), naskhah drama Tamu Bukit Kenny dan beberapa karya lain. Menurut Usman Awang, "Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara bukan kerana pimpinan dan perjuangan intelektual, tetapi lahir dan timbul daripada masyarakat, dan perjuangan rakyatlah yang memulakannya."

Landasan

Justeru, sastera kebangsaan iaitu sastera Melayu adalah landasan terbaik ke arah menyatukan perpaduan kaum. Penulis dan sasterawan sudah lama memainkan peranan ke arah menyatukan perpaduan kaum dalam karya-karya yang dihasilkan. Dalam Teori Sastera Perpaduan yang dikemukakan oleh Dr Chew Fong (2005) , sastera perpaduan bermaksud: " Satu mekanisme untuk mewujudkan perpaduan antara kelompok masyarakat berbagai-bagai latar belakang berdasarkan prinsip-prinsip yang dikongsi bersama dari segi sosial dan budaya sehingga terbentuknya peranan toleransi dan perkongsian hidup bagi menyatukan masyarakat yang berbilang kaum, seterusnya melahirkan satu sentimen di negara ini."

Menurutnya, penulis bukan Melayu juga banyak menyumbang ke arah perkembangan sastera kebangsaan dengan mesej dan tema perpaduan kaum, antaranya seperti Lim Swee Tin, Akhbar Goh, Chong Chee Seong, Li Chuan Siu, Cheng Poh Hock, Peter Agustine Goh, Mary Wong, Teo Huat, On Ah Guan, Lee Yak Ing, Lim Swee Tin, Lim Kim Hui, Siow Siew Sing, Atma Goh, Jong Chian Lai, Awang Abdullah, Amir Tan, Lai Choy, Mohd. Azli Lee Abdullah, Lee Keok Chin, Selina SF Lee, Chan Khun Neng, Siow Yee Woo, dan banyak lagi.

Melalui kajiannya beliau mendapati, sebanyak 43.36 peratus daripada responden menyokong agar sastera perpaduan diperluaskan bacaannya ke agensi bukan kerajaan. Apa yang lebih menarik melalui kajiannya juga ialah sebanyak 66.48 peratus responden mahukan sastera perpaduan dipelajari oleh semua aliran pelajar di semua institusi pendidikan, dari sekolah rendah hingga ke universiti.

Mereka juga mencadangkan sastera perpaduan dijadikan subjek utama dalam sistem pendidikan negara selain mengesyorkan satu Hari Sastera Kebangsaan diwujudkan.

Peranan ini juga telah dimainkan oleh penulis bukan Melayu iaitu terdiri daripada kalangan penulis India yang juga menyumbang kepada perpaduan kaum di negara ini. Justeru, sastera kebangsaan sewajarnya mendapat perhatian daripada kerajaan untuk mengeratkan perpaduan bukan hanya dengan peruntukan RM2 juta tetapi mungkin lebih daripada itu menggalakkan penerbitan hasil karya yang menjurus kepada perpaduan kaum di negara ini.

Sastera mampu memupuk integrasi kaum dan mestilah bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. Bahan-bahan karya sastera dalam Komponen Sastera (Komsas) pada masa akan datang mestilah dipilih daripada karya yang bertemakan dan mementingkan perpaduan dan juga penyatuan kaum.

Oleh itu, peranan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan dalam masyarakat Cina dan India serta kaum-kaum lain sewajarnya dilihat sebagai bahasa penyatuan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa pengucapan seni yang halus dan indah. Sastera sejak dahulu sudah memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Sastera mestilah dijadikan pemangkin kepada integrasi dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia. Memperbanyakkan penerbitan karya sastera berbentuk perpaduan ini akan mengangkat budaya, bahasa dan sastera sebagai teras perpaduan di negara ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Perkemaskan Subjek Sastera Melayu

Keratan akhbar Mingguan Malaysia mengenai kedudukan subjek Kesusasteraan Melayu yang terpinggir 

Oleh : Hasan Baseri Budiman

SAYA sudah membaca tulisan Lim Swee Tin (Mingguan Malaysia 12 Februari 2013) dan Md Ishak Ab Rahman (Mingguan Malaysia 24 Mac 2013) yang cukup menyentuh perasaan. Saya cukup faham akan nasib subjek Kesusasteraan Melayu yang sampai bila-bila pun akan terus dipandang dengan sebelah mata kerana ada yang menganggap subjek ini hanya untuk orang suka berimaginasi dan membuang waktu semata-mata.

Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana tidak diberitahu sebenarnya subjek kesusasteraan merupakan cara yang ampuh untuk meningkatkan kecerdasan pelajar. Mereka tidak tahu bahawa karya sastera yang pada dasarnya membicarakan pelbagai nilai hidup dan kehidupan yang berkaitan langsung dengan pembentukan karakter manusia, turut berperanan mengembangkan bahasa, mengembangkan kognitif, psikomotorik, di samping turut mengembangkan sama keperibadian dan peribadi sosial pelajar.

Memanglah ada usaha pihak tertentu yang cuba berjuang untuk menjadikan Kesusasteraan Melayu sebagai subjek teras di sekolah supaya semua orang termasuk pelajar dan ibu bapa dapat melihat kebenaran matlamat ini. Cuma kita sedih perjuangan yang memakan masa puluhan tahun itu hanya tinggal perjuangan semata-mata. Tiada pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Pelajaran yang sudi membantunya kerana sehingga tahun 2012 hanya ada 617 buah sekolah sahaja yang menawarkan subjek itu kepada pelajar tingkatan 4 dan 5, berbanding 2,340 bilangan sekolah menengah yang ada di seluruh negara tahun ini.

Alangkah baiknya dalam keadaan manusia Melayu khasnya, yang masih mempunyai hati, yang merasa perlunya menanamkan sifat kemanusiaan kepada anak-anak, bertindak sebelum terlambat, supaya generasi akan datang tidak menjadi 'manusia robot' yang hanya lahir dengan ada otak tapi tidak ada perasaan, turut sama berjuang menghidupkan subjek sastera ini di sekolah.

Dan tentunya akan menjadi lebih baik  lagi kalau subjek ini sudah boleh bermula daripada peringkat sekolah rendah . Kalau hal ini berlaku bermakna kita sudah boleh melibatkan sekurang-kurangnya 5,906 Sekolah Kebangsaan di seluruh negara dengan bilangan murid Melayunya melebihi dua juta orang. Bayangkanlah, jika dua juta murid Melayu sudah didedahkan dengan kehebatan sastera sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi.

Kita percaya hal ini  akan berjaya membantu memberikan pendidikan jiwa dan pembangun moral yang betul kepada mereka untuk berhadapan dengan hari dewasa mereka nanti. Alangkah ruginya kita kalau membiarkan anak-anak kita terus menjadi manusia yang buta hatinya kerana bencinya kita kepada subjek kesusasteraan kita sendiri ini.

Kita tidak boleh pastikan kenapa benci sangat masyarakat kepada subjek ini? Mungkin kerana tidak komersial atau tiada nilai dan tidak memberi pulangan apa-apa kepada pelajar. Atau salah orang sastera sendiri yang sering terlupa, bahawa isi kandungan sastera di sekolah sudah lama tidak diperkemaskan kembali, terutama daripada sudut isi kandungan pembelajarannya, sehingga menjadi subjek yang hambar dan tidak menarik. Pada hal sastera itu sentiasa segar dan hidup. Tetapi kalau subjek sastera itu tidak dapat berorientasikan kepada pengalaman bersastera  pelajar dan sebaliknya terlalu menekan kepada pengembangan teori-teori sastera yang mengelirukan semata-mata, rasanya sampai bila-bila pun subjek sastera di sekolah akan menjadi hambar dan tidak menarik.

Kita takut, sementelahan di dalam pagar sekolah ini yang masih belum banyak buku sastera yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar, sehingga menjadikan minat mereka untuk menggauli kesusasteraan masih pada tahap yang cukup minimum, tiba-tiba keinginan mereka terhadap Kesusasteraan Melayu menjadi bertambah tenggelam pula dengan beberapa gangguan yang dibina sendiri oleh para sasterawan.

Selama ini pun kita bukan sahaja terpaksa bersaing dengan kehadiran Internet, permainan dalam talian, face book, blog dan sebagainya ke dalam kehidupan pelajar, yang sudah pun menjadi penyebab sastera diketepikan di sekolah, tetapi kita juga turut bersaingan dengan sikap kita sendiri dalam meyakinkan pelajar terhadap nilai sebenar yang ada di dalam Kesusasteraan Melayu itu. Orang sastera tidak berbuat apa-apa apabila melihat selonggok genre ditimbun-timbunkan dalam beberapa buku untuk dipaksa pelajar membacanya. Kalau tidak percaya tengoklah senarai teks baru subjek Kesusasteraan Melayu (elektif) tingkatan 4 dan 5 yang digunakan mulai tahun 2010 yang sehingga ke saat ini masih menjadi rungutan para guru sastera yang berhempas pulas untuk mentelaahnya.

Ketahuilah, pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini bukannya pelajar pilihan, kerana hampir kesemua sekolah yang menawarkan subjek ini cuma memilih pelajar-pelajar kelas hujungan sahaja yang memang tercorot prestasi akademiknya. Jangan hairan kalau setiap tahun pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu bukan sahaja bilangannya merosot, tetapi keputusannya juga tidak memberangsangkan.

Misalnya, bilangan calon SPM yang mengambil subjek ini pada tahun 2011 hanya 27,171 orang, turun sebanyak 11.23 peratus berbanding 30,222 orang pada 2010. Sebenarnya angka penurunan ini sudah pun disedari sejak sepuluh tahun dulu lagi, tetapi tiada tindakan diambil untuk meningkatkan bilangan yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini di sekolah. Malah tidak pernah pun ada rasa terkejut yang teramat walaupun kita sedar, pada tahun 2000 dan 2003 telah menjadi tahun paling drastik dalam memperlihatkan penurunan yang paling besar, iaitu sebanyak 17.5 peratus dan 15.3 peratus.

Jika keadaan yang sama berlaku dalam masa lima hingga 10 tahun yang akan datang, bermakna kita mungkin hanya akan melihat cuma 10 peratus sahaja bilangan pelajar yang akan mempelajari subjek Kesusasteraan Melayu. Hal ini tentu sahaja akan merugikan semua orang yang berhajat mahu melihat keseluruhan rakyat Malaysia hidup berdasarkan prinsip kesopanan dan kesusilaan melalui pancaran nilai yang dibawa oleh subjek ini.

Kita mungkin sahaja tidak boleh membuat apa-apa tuduhan melulu terhadap senario ini, tetapi berkemungkinan juga disebabkan rasa takut melihat bilangan genre sastera yang terlalu banyak untuk dibaca, maka bilangan pelajar yang mahu mengambil subjek ini juga mungkin akan turut berkurangan saban tahun. Yang peliknya, subjek Kesusasteraan Tamil dan Kesusasteraan Cina yang ditawarkan kepada pelajar-pelajarnya tidak pula sebanyak itu bilangan genre yang harus mereka kaji dalam tempoh pengajian yang sama, selama dua tahun.

Barangkali, inilah kesilapan besar kita, yang terlalu ghairah dan berebut memperagakan hasil sastera kita, sehingga kita terlepas pandang, bahawa kitalah yang telah menjadi penyebab Kesusasteraan Melayu semakin marginal eksistensinya dalam kalangan pelajar. Kita terlupa, isi kandungan pengkajian sastera yang terlalu banyak dilonggokkan di dalam kelas, kadang kala dilihat tidak relevan untuk dipelajari dalam tempoh waktu 105 minit dalam seminggu. Hal ini tentunya bukan sahaja menekan pelajar tetapi turut sama menekan guru-guru yang mengajar subjek ini untuk menghabiskan silibus  Kesusasteraan Melayu itu dengan cara yang terburu-buru. Hasilnya, kedua-dua kelompok ini terus sahaja menjadi mangsa keadaan yang disengajakan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 17 Mei 2013

ISU KENEGARAAN : Tugas melaksanakan aku janji


Oleh : NURUL ANUAR KARI

DENGAN selesainya pemilihan menteri-menteri untuk kementerian di peringkat Pusat baru-baru ini, rakyat kini beralih pula melihat kementerian mana yang bertanggungjawab melaksanakan 17 aku janji manifesto Barisan Nasional (BN) kelak.

Aku janji pertama untuk 'menangani kos sara hidup' banyak melibatkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta beberapa agensi dan kementerian lain khususnya untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia, bantuan persekolahan dan lain-lain bantuan kepada rakyat.

Tugas menyemak semula Dasar Automotif Nasional melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sementara Kementerian Kesihatan memantau pembukaan Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertanggungjawab untuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan pengagihan produk 1Malaysia, termasuk pelaksanaan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas.

Aku janji 'meningkatkan kehidupan warga bandar' pula akan dikepalai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan JPM dalam hal-hal memulih semula rumah kos rendah dan flat serta menyediakan perumahan awam berkualiti khusus untuk generasi muda.

Kemudahan pendidikan, latihan dan perkhidmatan kesihatan pula akan dipantau Kementerian Pelajaran serta Kementerian Kesihatan. Sementara itu, manifesto untuk 'menyediakan rumah mampu milik' melibatkan banyak agensi dan kementerian termasuk di bawah JPM; Kementerian Kewangan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Wilayah Persekutuan bersama GLC dan pihak swasta.

Untuk 'peluang mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti', Kementerian Kesihatan akan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya dalam membangunkan kemudahan kesihatan negara.

Sasaran 'ke arah kecekapan terhebat pengangkutan awam' pula akan melibatkan Kementerian Pengangkutan; JPM khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat; Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan terlibat dalam penambahbaikan perkhidmatan, laluan dan terminal untuk teksi, bas, rel dan komuter. Rancangan 'pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar' pula akan bergantung kepada Kementerian Kerja Raya khususnya menambah baik atau pembinaan lebuh raya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan elektrik. Sementara itu, untuk 'membina ekonomi mapan, dinamik dan inovatif', JPM (Unit Perancang Ekonomi, Unit Kerjasama Awam Swasta, TERAJU) akan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; serta agensi dan kementerian lain termasuk GLC dan swasta.

Kementerian Pelajaran pula akan meneruskan usaha 'membina kecemerlangan pendidikan negara' sama ada penambahbaikan kualiti sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak mahupun meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, sains dan matematik.

Kementerian Kewangan akan terlibat dalam penyediaan dana seperti biasiswa dan peruntukan sekolah sementara Kementerian Kerja Raya dalam penyediaan kemudahan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Untuk 'meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam' pula, JPM khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menaiktaraf pasukan polis, tentera dan pasukan beruniform lain.

Kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membantu menyediakan kemudahan keselamatan seperti lampu dan rondaan awam. Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengetuai usaha 'memperkasa penyertaan wanita' dalam membuat keputusan, termasuk menyediakan pusat asuhan, bantuan golongan memerlukan dan undang-undang gangguan seksual.

Kementerian Belia dan Sukan pula akan cuba 'memenuhi aspirasi belia' melalui pelbagai inisiatif, program, pendidikan, gerak kesenian dan semangat sukarelawan. Usaha 'memerangi gejala rasuah' akan melibatkan agensi di bawah JPM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Audit Negara bersama pasukan beruniform Kementerian Dalam Negeri.

Dalam 'merancang jaringan keselamatan sosial', JPM bersama Kementerian Wilayah Persekutuan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan merancang bermacam bentuk bantuan terutamanya bagi penduduk pribumi.

JPM khususnya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, akan bekerjasama dengan beberapa kementerian 'mempromosikan agama Islam, kebebasan dan keharmonian agama' dalam memupuk keharmonian, mendukung Islam sebagai agama Persekutuan, menjaga kebajikan sekolah dan institusi agama serta rumah ibadat agama lain. Sementara itu, Rancangan 'memperkukuhkan perkhidmatan awam, menambah baik tadbir urus' akan digerakkan JPM melalui SPA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

'Gerakan kesederhanaan global' pula akan dilaksanakan Kementerian Luar dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; KDN serta Kementerian Pertahanan.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pula akan mengetuai usaha 'memulihara sumber semula jadi' dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Tenaga dan Teknologi Hijau dan Air di samping beberapa agensi lain dalam mendidik masyarakat serta melaksana undang-undang lebih ketat.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kurangkan Aktiviti Luar Rumah Semasa Cuaca Panas, Elak Strok Matahari


KUALA LUMPUR : Orang ramai terutama kanak-kanak dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa cuaca panas sekarang bagi mengelakkan terkena 'sunstroke' atau strok matahari yang menyebabkan seseorang pengsan.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Perubatan Malaysia, Dr H. Krishna Kumar berkata keadaan itu berlaku antaranya disebabkan panas matahari yang menyerap cairan daripada badan mengakibatkan mereka mengalami dehidrasi.

"Walaupun minum banyak air, orang ramai tetap tidak digalakkan melakukan aktiviti di luar rumah kerana air lebih cepat terserap melalui peluh yang dihasilkan.

"Lebih teruk jika terjadi kepada kanak-kanak kerana sistem pertahanan tubuh mereka tidak sekuat golongan dewasa," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Dr Krishna menasihatkan kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah menggunakan payung bagi mengelakkan mereka berasa lemah akibat cuaca panas yang seterusnya akan mengganggu pembelajaran.

Pakar perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr David Quek Kwang Leng menyarankan penghidap penyakit berbahaya seperti diabetes, jantung dan buah pinggang berunding dengan pakar masing-masing bagi mengetahui cara penjagaan diri semasa cuaca panas.

"Mereka yang menghidap penyakit serius mempunyai kondisi badan yang berbeza dengan mereka yang normal. Maka penjagaan diri mereka juga harus lebih mendalam," katanya.

Beliau berkata jika kebiasaannya orang ramai perlu minum seliter air setiap hari, ketika cuaca panas mereka disaran minum antara satu setengah dan dua liter termasuk pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak.

Katanya selain kerap mandi untuk menyejukkan badan, penggunaan krim pelindung cahaya matahari juga dapat membantu melindungi kulit daripada terbakar.

Laman web The Star.com pada Selasa memetik Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengatakan cuaca panas dan kering di Lembah Klang sekarang boleh dikaitkan dengan perubahan pola angin dan kesan ribut Mahesan di Teluk Bengal.

Keadaan itu dijangka berubah apabila pola angin stabil dengan peralihan monsun hujung bulan ini yang diramal membawa lebih banyak hujan.

"Pada masa sekarang, suhu di Lembah Klang secara purata mencatatkan 35 darjah Celcius," lapor laman web itu. -BERNAMA