Khamis, 23 Mei 2013

ISU ALAM SEKITAR : Bahaya panas melampau


Oleh :  Nor Hatina Shuib

Peningkatan suhu keterlaluan ganggu fungsi badan, boleh sebabkan strok haba

Cuaca panas di Malaysia satu perkara biasa. Cuma sejak kebelakangan ini bahang kepanasan agak luar biasa hingga orang ramai tidak lepas merungut dengan cuaca panas membuatkan mereka resah gelisah, berpeluh dan kadangkala rasa mahu pitam.

Walaupun duduk di dalam ruang atau bilik hawa dingin, tekak masih terasa kering dan tidak mengurangkan suhu badan yang terasa panas, termasuk pada waktu malam.

"Mereka yang bekerja sebagai buruh, peladang, ahli sukan, tentera dan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah mudah diserang strok haba, " tegas Dr Zainal Ariffin Omar, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan.

Situasi itu lebih dirasai di sekitar Lembah Klang dengan catatan purata 35 darjah Celcius. Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan, cuaca panas dan kering itu dikaitkan dengan perubahan pola angin dan kesan ribut Mahesan di Teluk Bengal.

Keadaan itu dijangka berubah apabila pola angin stabil dengan peralihan monsun hujung bulan ini yang diramal membawa lebih banyak hujan.

Badan hilang upaya

Peningkatan suhu panas yang mendadak dan keterlaluan mengganggu fungsi sistem badan. Haba yang dijana pada badan akan bekerja keras untuk menghilangkan haba.

Biasanya, proses berpeluh dan penyejatan peluh memudahkan penyejukan badan. Namun, dalam suhu ekstrem melebihi 32.2 darjah Celcius, jumlah haba yang dihasilkan melebihi kesan penyejukan penyejatan peluh.

Begitu juga, jika kelembapan mencapai 100 peratus, penyejatan peluh tidak lagi mungkin berlaku, dan badan kehilangan keupayaan untuk menghilangkan haba. Akhirnya suhu badan meningkat, membawa kepada penyahhidratan yang teruk.

Oleh itu, cuaca panas ini tidak boleh dipandang ringan dan kesihatan harus dijaga serta sentiasa terpelihara supaya tidak membawa akibat lebih buruk. Antara penyakit yang boleh menyerang akibat cuaca panas ialah sakit kepala, demam, batuk, selesemad an radang kulit seperti ruam.

Kepanasan melampau ini juga sudah pasti akan memberi impak dan menimbulkan masalah kulit, mata, selaran matahari, ruam panas, kekejangan otot, edema haba, sinkope haba, kelesuan haba dan paling serius ialah strok haba yang turut dikenali, sunstroke atau heat stroke.

Justeru, orang ramai dinasihatkan membataskan aktiviti di luar rumah atau bangunan bagi mengelak mereka terkena strok matahari atau haba yang boleh menyebabkan seseorang pengsan.

Kurangkan aktiviti di luar

Pastinya, ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya strok haba. Mungkin juga ada masih mencari jawapan, apakah kesan mudarat strok haba kepada kesihatan dan risiko yang bakal ditanggung jika individu itu berterusan terdedah cuaca panas ini.

Strok haba sebenarnya ialah sejenis bentuk hipotermia, keadaan suhu badan meningkat lebih dari paras normal. Dalam erti kata lain, strok haba adalah penyakit berkaitan haba. Ia adalah satu kecemasan perubatan yang boleh mengancam nyawa disebabkan kegagalan peraturan suhu badan (thermoregulation) mekanisme.

Tidak seperti penyakit haba yang lain, strok haba dicirikan oleh ketinggian melampau suhu badan (hyperthermia) dan berkaitan pusat disfungsi sistem saraf dan disfungsi organ.

Strok haba tidak sama seperti serangan strok, sebaliknya ‘strok’ adalah istilah umum digunakan untuk menggambarkan aliran oksigen berkurangan kepada kawasan otak.

Dalam keadaan cuaca yang teruk seperti Asia Barat terutama di Oman, badan kita melaksanakan pelbagai jenis fungsi yang kemudian membebaskan radiasi yang disebabkan oleh ‘aktiviti metabolik’ melalui peluh atau pembuangan haba daripada kulit. Ini adalah satu cara badan dapat mengekalkan suhu normal. Ketidakseimbangan dalam suhu badan akan mengakibatkan strok haba yang juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Semua berisiko

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar, menjelaskan strok haba adalah keadaan kesihatan atau penyakit berkaitan cuaca panas termasuk keletihan dan kelesuan akibat daripada panas.

Beliau yang juga Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, berkata setiap individu berisiko menghadapi masalah kesihatan terutama yang berisiko ada penyakit tertentu.

“Malah mereka yang bekerja sebagai buruh, peladang, ahli sukan dan tentera serta kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah mudah diserang strok haba. Begitu juga dengan mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan kelenjar tiroid, risiko berkali ganda terdedah kepada gejala berkenaan,” katanya.

Dr Zainal berkata, dalam keadaan ini, orang ramai seharusnya elak memakai pakaian tebal dan ketat kerana ia boleh menghalang panas keluar, penyejatan atau pengeringan peluh.

“Masyarakat memang sedar keadaan ini. Biasanya mereka akan mengambil langkah pencegahan awal. Setakat ini, tiada sebarang kes mengenai kejadian ini dilaporkan di negara ini,” katanya yang turut menjelaskan negara lain terjejas termasuk di Asia Barat dan Afrika.

“Strok haba jarang berlaku di negara rantau ini seperti Singapura atau negara serantau lain,” katanya.

Katanya, mencegah baik daripada mengubati terutama kepada mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan berisiko tinggi dan mengambil langkah terbaik.

Apa yang penting, jangan sesekali mendedahkan diri dengan panas melampau, sebaliknya perlu menurunkan suhu badan dengan cepat untuk mengelakkan sawan, kerosakan organ atau kematian, selain mengekalkan pernafasan mencukupi.

Ini boleh dilakukan dengan berada pada persekitaran yang sejuk, tidak berpakaian tebal, kerap mandi. Mungkin anda boleh juga menggunakan pek ais diletakkan pada leher, ketiak dan pangkal paha.

INFO: Amalan mengelak jangkitan penyakit sepanjang musim panas

Perlu:
* Banyak minum tanpa mengira tahap aktiviti anda. Jangan tunggu hingga dahaga.
* Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
* Berada di dalam rumah atau bangunan.
* Hadkan aktiviti luar.
* Berehat dengan kerap.
* Mandi atau buka kipas angin untuk menyejukkan badan.
* Pakai pakaian ringan, berwarna terang dan longgar.
* Sewajarnya pakai pakaian diperbuat daripada 100 peratus kapas.
* Pakai topi atau payung. Ia dapat mengelak mengawal 40 peratus haba pada bahagian kepala

Jangan/ tidak perlu
* Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi.  
* Jangan duduk di dalam kereta yang bertutup tanpa pendingin hawa.
* Bersenam dalam cuaca panas

Simptom strok haba
* Muka kemerah-merahan
* Tidak berpeluh
* Suhu badan meningkat ketara
* Sawan
* Sakit kepala
* Denyutan nadi pantas
* Tidak sedarkan diri
* Lesu
* Bingung
* Kulit kering.

Bagaimana anda merawat mangsa strok haba:

* Mangsa strok haba mesti menerima rawatan segera untuk mengelakkan kerosakan organ kekal. Pertama sekali, menyejukkan mangsa.
* Bawa atau alihkan mangsa ke kawasan yang redup, tanggalkan pakaian, sapukan air sejuk atau suam pada kulit.
* Kipas mangsa untuk menggalakkan peluh dan penyejatan. Letakkan pek ais di bawah ketiak dan pangkal paha.
* Jika mangsa mampu untuk minum cecair, berikannya minuman, tetapi pastikan ia tidak mengandungi alkohol atau kafein.
* Pantau suhu badan dengan termometer dan teruskan usaha penyejukan sehingga suhu badan turun ke 38.3 hingga 38.8 darjah celcius.
* Jika keadaan tidak berubah, segera bawa ke klinik atau hospital.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Bentuk remaja berakhlak


Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

PERKEMBANGAN teknologi maklumat yang pesat dalam era globalisasi ini telah melanda masyarakat kita dan telah menunjukkan tanda-tanda kepincangan moral, keruntuhan akhlak dan juga kegiatan negatif akibat daripada perkembangan tersebut.

Hal ini juga menjadi penyumbang kepada kegiatan negatif yang lain seperti fitnah, penculikan, penyalahgunaan pil-pil, penjualan video cakera padat (VCD) lucah, khayal, gengsterisme, pergaduhan, kes rogol, rompakan, pembunuhan dan kes ragut.

Semuanya telah menjejaskan kedamaian dan keamanan hidup masyarakat selama ini.

Walaupun tiada kajian tepat yang mengaitkan perkembangan teknologi dengan kes jenayah, namun umum mengetahui sedikit sebanyak perkembangan teknologi telah menyumbang ke arah terhakisnya nilai-nilai murni, budaya dan moral masyarakat.

Terdapat juga faktor lain antaranya pengaruh budaya luar, melalui filem, bahan bacaan lucah yang memaparkan sikap individualistik, budaya kurang ajar, tidak sopan, gelojoh, biadab, rakus, dan seumpamanya.

Hal ini telah menghakis sikap-sikap positif seperti berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kasih sayang kepada anggota keluarga, muafakat, tolong-menolong dan bantu-membantu, amanah, dan silaturahim.

Bagi masyarakat di negara ini yang sering menegaskan nilai-nilai komuniti mengatasi nilai-nilai individu, tumpuan kepada komuniti memang wajar dan selaras dengan ciri-ciri budaya dan sejarah masyarakat di negara ini.

Masyarakat yang mementingkan nilai-nilai komuniti dapat difahami sebagai kumpulan orang yang tinggal di sesuatu daerah dan negara, masyarakat di sesuatu tempat, orang ramai umumnya yang mempunyai sifat-sifat kecenderungan dan kepentingan yang sama dan serupa.

Dalam kehidupan harian, kita dapati fenomena komuniti wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya menghormati orang yang lebih tua, semangat kejiranan, muafakat, muhibah dan semangat perpaduan yang kental.

Bagi membentuk  personaliti  remaja yang berkualiti dan mementingkan nilai-nilai komuniti,  nilai-nilai murni seperti penyayang, kerjasama dan saling membantu mestilah dididik sejak kecil. Kini usaha-usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah giat dilakukan.

Kajian psikologi mendapati, personaliti dan kebolehan dipengaruhi secara eksklusif oleh pengalaman individu itu. Sebaliknya kajian pengasas ujian mental pula menegaskan bahawa personaliti dan kebolehan bergantung sepenuhnya kepada baka.

Sementara itu, kini ahli psikologi berpendapat baka dan persekitaran adalah sama penting. Penyelidikan telah membuktikan bahawa baka dan pengalaman bersama mempengaruhi kecerdasan, pembawaan dan personaliti.

Daripada kajian ini dapat disimpulkan bahawa generasi hari ini yang terikat dengan gejala negatif adalah berpunca daripada persekitaran dan pengalaman yang menyebabkan tingkah laku, dan proses mental terpengaruh dengan gegala yang tidak sihat.

Sesungguhnya dunia sekarang dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Di sana sini manusia memperkatakan tentang hak asasi, dan  kasih sayang akan tetapi ia sama sekali tidak berlaku.

Oleh itu, untuk mengembalikan semula nilai-nilai yang baik kita bertanggungjawab melaksanakannya. Ibu bapa mestilah mendidik anak dengan adab-adab kehidupan yang baik. Guru-guru juga mempunyai lebih besar tanggungjawab melahirkan generasi muda yang berpersonaliti dan berjati diri.

Kita tidak dapat menahan ledakan dan perubahan era globalisasi. Tanggungjawab kita memulakan peranan mendidik sepanjang perkembangan individu itu dari segi fizikal, emosi, sosial, intelek dan pembelajaran. Asuhlah anak-anak dengan iman dan nilai-nilai murni yang baik.

Sesungguhnya kita tidak mahu melihat bahaya paling serius sekiranya kita meneruskan corak pembangunan kini. Kita akan menjadi sebuah masyarakat yang kaya dari segi material tetapi miskin jiwa iaitu miskin dan gersang daripada segi budaya, akhlak, tingkah laku, iman dan budi pekerti serta nilai-nilai kerohanian.

Apa yang diharapkan generasi hari ini mempunyai kekuatan jati diri, semangat patriotik, cinta akan keluarga, masyarakat dan negara. Mereka juga mestilah diasuh dengan akhlak dan iman yang kental serta mempunyai budi pekerti yang luhur.

Kita mengharapkan generasi yang akan menjadi pemimpin pada masa depan yakin akan diri sendiri, berani menghadapi segala rintangan, tidak terkongkong jiwanya serta dihormati oleh semua bangsa lain. Mereka juga mestilah cemerlang, berbudi pekerti dan berbudaya penyayang.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan dan bersabda yang bermaksud: "Umatku terdahulu selamat (berjaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Dan umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong." (Riwayat Abi Ad Dunia)

Oleh itu, sebagai umat Islam kita mesti berusaha menyelamatkan generasi muda dengan membentuk personaliti yang baik beriman dan berakhlak.

Rasulullah SAW berpesan dalam sabdanya yang bermaksud: "Seseorang Muslim ialah yang terselamat kaum Muslimin daripada lidah dan tangannya. Seorang Mukmin ialah yang dipercayai oleh kaum beriman terhadap jiwa dan harta mereka dan seorang muhajir ialah yang berhijrah meninggalkan dan menjauhi keburukan (kejahatan)." (riwayat Ahmad)

Akhirnya, daripada segi pengisian hati dan diri generasi hari ini perkara yang perlu diberi tumpuan ialah didikan berterusan dalam agama dan ilmu pengetahuan lain yang dapat diseimbangkan bagi membentuk kehidupan mereka.

PENULIS berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 21 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : Penggabungan KPM dan KPT selesai dalam masa sebulan


PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan dalam kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi nama baru iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penstrukturan kedua-dua kementerian berkenaan bukan perkara yang sukar dilakukan memandangkan masing-masing telah menjalankan tugas dengan cemerlang.

“Nama baru telah dicadangkan kepada Perdana Menteri dan diharapkan dapat persetujuan dalam tempoh segera.

“Sementara itu struktur baru kementerian ini sedang disusun dan telah dibincangkan oleh Ketua Setiausaha Negara. Saya jangka dalam masa sebulan akan selesai,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Menurut Muhyiddin dengan penyatuan dua kementerian ini dilihat akan melicinkan urusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Katanya, kedua-dua pelan strategik kementerian ini iaitu Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk 13 tahun ke hadapan akan terus dilaksanakan.

“Mungkin beberapa tahun akan datang jika perlu pelarasan akan ditentukan kemudian. Matlamatnya hanya untuk meletakkan Malaysia sebagai hub pendidikan terkemuka di dunia,” katanya.

Bagaimanapun menurut Muhyiddin, masih banyak perkara perlu dilaksanakan.

Namun penggabungan kementerian ini akan memberi sumber kepada kepakaran dan kemahiran yang lebih meluas dan mendalam.

“Kita akan melihat bagaimana sinergi kedua-dua kementerian ini akan dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pelajaran dan pembelajaran secara keseluruhan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin mengadakan perjumpaan khas dengan ketua-ketua bahagian Kementerian Pelajaran di Kompleks E, pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pelajaran I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan.

Muhyiddin turut mengetip kad perakam waktu selaku pada hari pertamanya yang juga merupakan penggal kedua beliau selaku Menteri Pelajaran.

ISU PENDIDIKAN : Kelangsungan dasar pendidikan melalui gabungan KPM-KPT


Oleh : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM

DUA minggu sebelum pengumuman senarai Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada rakan-rakan bertanya kepada saya mungkinkah kali ini Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan disatukan semula seperti dulu.

Jawapan saya ia tidak mustahil kerana ada negara lain yang menggabungkan semula kedua-dua kementerian selepas berpisah beberapa tahun contohnya Thailand.

Selepas Pilihan Raya Umum 2004 Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mewujudkan kementerian baharu iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.

Rasionalnya kementerian itu terlalu besar dari segi bilangan pelajar, guru dan pensyarah bermula dari prasekolah hingga ke peringkat universiti.

Di samping itu, peruntukan besar dalam bajet untuk bidang pendidikan dijangka lebih berkesan jika dibelanjakan secara berfokus iaitu satu di peringkat persekolahan dan satu lagi untuk pengajian tinggi.

Namun demikian hampir 10 tahun berlalu, kini kedua-dua kementerian disatukan semula. Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi tanggungjawab untuk menerajuinya di samping Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri 2. Sementara itu, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Kita berkeyakinan penuh bahawa melalui pengalaman yang lama Muhyiddin dalam Kabinet dan sepenggal sebagai Menteri Pelajaran akan memberi kelebihan kepada beliau untuk menerajui kementerian besar itu ke arah yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Idris ketika menjadi Menteri Besar turut membantu Terengganu sebagai salah sebuah negeri terbaik dalam peperiksaan awam UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM.

Demikian juga sebagai Pengerusi Mara, beliau berjaya memperkasakan Maktab Rendah Sains Mara melalui penambahbaikkan program pembelajaran dan kurikulum pengajian.

Bagi warga pendidik pula nama Datuk Mary Yap Kain Ching tidak asing lagi. Sekolah Menengah Teknik Tawau, Sabah telah memenangi banyak anugerah kurikulum dan kokurikulum di peringkat negeri dan kebangsaan ketika beliau menjadi Pengetua Cemerlang.

Selepas bersara pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai konsultan Institut Aminuddin Baki untuk melatih pengetua sekolah kluster dan sekolah berprestasi rendah. Sebagai menghargai sumbangannya dalam perkhidmatan beliau dianugerahi Tokoh Guru sempena Hari Guru 2012.

Kelangsungan dan penerusan dasar pendidikan negara merupakan isu besar yang dihadapi apabila berlakunya perpisahan dua kementerian itu.

Pelaksanaan Dasar Razak 1956 dalam pendidikan merupakan strategi utama untuk membina negara bangsa selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Matlamat utamanya adalah untuk menyatupadukan kanak-kanak pelbagai kaum melalui pendidikan. Dasar Rahman Talib 1961 pula bertujuan untuk memperkukuhkan lagi Dasar Razak terutama dari aspek perpaduan kalangan murid-murid. Ini diikuti Dasar Kabinet 1971 di mana bahasa pengantar dan sistem peperiksaan telah diseragamkan. Matlamat utamanya ialah untuk membolehkan murid-murid dapat bercampur gaul dan belajar di bawah satu bumbung sekolah yang sama.

Hakikatnya pelaksanaan dasar pendidikan negara itu seharusnya dilalui oleh kanak-kanak sejak memasuki prasekolah dan berterusan hingga mereka menamatkan alam pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Pada dasarnya seorang remaja itu akan mantap jati dirinya, sahsiah dan keterampilan selepas melalui pendidikan rendah dan menengah selama 11 tahun dan diikuti pengajian tinggi selama 5 tahun.

Bagaimanapun kelangsungan dasar pendidikan yang sama tidak dapat diteruskan kerana apabila pelajar memasuki pusat pengajian tinggi dasar dan hala tujunya sudah berlainan.

Dasar dan hala tuju Kementerian Pengajian Tinggi adalah seperti tertera dalam Pelan Strategi Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007-2012. Penekanan yang diberikan ialah untuk menjadikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai pusat kecemerlangan yang bertaraf dunia.

Sementara itu IPT perlu melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Sekarang disediakan peringkat akhir kesinambungan dasar dan hala tuju selanjutnya, bermula 2013 hingga melepasi tahun 2020.

Sesungguhnya penggabungan kedua-dua kementerian ini akan memberi ruang dan peluang kepada pembuat dasar untuk menyelaras dan menyeragamkan semula kelangsungan strategi dan hala tuju pendidikan negara.

Kesempatan ini perlu diambil kerana telah ada Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 Kementerian Pelajaran yang menyediakan landskap pendidikan melalui 11 Anjakan yang meliputi penyediaan akses, penguasaan kemahiran berbahasa, penghayatan nilai dan sebagainya.

Baru-baru ini pula Perdana Menteri mengesyorkan untuk merangka national reconciliation atau perpaduan dan penyatuan nasional hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Oleh itu sekolah dan IPT tidak terkecuali dan mempunyai peranan besar untuk membantu mewujudkan perpaduan dalam kalangan kanak-kanak dan siswa daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Dalam merangka dasar dan hala tuju IPT maka isu perpaduan perlu diberi perhatian utama. Antara strategi yang boleh dilaksanakan ialah menjadikan bidang kokurikulum dan sukan sebagai aktiviti penting dalam kalangan siswa.

Aktiviti ini memberi peluang kepada mereka untuk bercampur gaul di gelanggang atau padang permainan yang sedia ada di semua kampus.

Selain itu aktiviti kesukarelawan atau volunteerism hendaklah digalakkan. Ketika ini telah wujud badan tertentu di IPT menjalankan aktiviti kesukarelawan termasuk melalui IM4U dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

Mewajibkan siswa IPT mengikuti subjek tertentu seperti Sejarah Malaysia, Pengajian Am atau Sivik akan dapat mengukuhkan lagi jati diri kalangan mereka. Mata pelajaran ini akan membolehkan mereka mengenali lebih dekat sejarah tanah air, memahami budaya kaum lain dan menanamkan semangat kekitaan, kerjasama dan saling hormat menghormati.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa mengumumkan senarai kabinet "... Kabinet baharu mampu meneruskan dan menjayakan agenda transformasi nasional selain meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat." Begitulah harapan kita semua.

Penulis ialah  Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNISZA.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 20 Mei 2013

Pelajar cacat penglihatan rentas Selat Pulau Pinang



Oleh : Siti Fatimah Mohamed Anwar

Butterworth :  Seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang cacat penglihatan berjaya mencatat rekod peribadi apabila berenang merentasi Selat Pulau Pinang secara individu dari Jeti Swettenham ke Pantai Bagan Ajam di sini, semalam.

Faiq Adnan, 23, yang cacat sejak kecil memulakan renangan sejauh lima kilometer (km) pada jam 9 pagi dan menamatkan renangan pada jam 11.30 pagi, selepas menempuh pelbagai halangan termasuk disengat obor-obor dan menempuh cabaran ombak besar.

Pelajar jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan cabaran apabila disengat obor-obor selepas 45 minit memulakan misi berkenaan, namun diberi perangsang oleh jurulatih yang mengiringinya.

Saya sudah hampir berputus asa kerana disengat obor-obor di seluruh badan termasuk di tangan, bibir dan muka. Keadaan gatal itu amat tidak selesa, namun saya diberi perangsang oleh jurulatih untuk meneruskan cabaran ini.

Cabaran ombak besar

Selain itu, saya menempuh cabaran ombak besar tetapi ia tidak menghalang tumpuan saya untuk menyudahkan misi kerana sudah lama saya memasang impian untuk mencipta rekod ini, katanya selepas berjaya merentasi Selat Pulau Pinang, semalam.

Acara merentasi Selat Pulau Pinang itu julung kali dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON), PUSPAKOM Sdn Bhd serta Jabatan Belia dan Sukan negeri.

Faiq yang juga atlet paralimpik negeri berkata, kejayaannya berenang merentasi Selat Pulau Pinang dengan catatan dua jam 30 minit 35 saat, membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu melakar kejayaan sama seperti individu lain.

Sebagai persiapan untuk menjayakan misi ini, saya melakukan latihan renangan 40 pusingan di kolam renang dua kali sehari bagi membina stamina. Latihan kelajuan dan ketangkasan ini dijalankan sejak dua tahun lalu untuk memastikan saya benar-benar berkemampuan menjayakan misi ini.

Rentas Selat Inggeris

Selepas ini, saya berhasrat mencatat satu lagi rekod peribadi iaitu berenang merentasi Selat Inggeris pada 2015 dan berharap ada pihak yang sudi menaja serta membantu saya merealisasikan impian berkenaan, katanya.

Jurulatihnya, Datuk Ooi Win Juat, berkata Faiq yang berenang dalam sangkar khas berdepan tempoh sukar apabila sangkar berkenaan pecah dipukul ombak besar ketika berada di tengah laut.

ISU PENDIDIKAN : Guru harus berani lakukan anjakan pemikiran


Oleh :  Ihsan Noorzali

Ketika segelintir pihak mempertikaikan kewibawaan guru, golongan itu terus tabah melaksanakan amanah untuk mendidik anak bangsa.

Selepas lebih sedekad dunia melalui alaf baru, cabaran guru juga semakin panjang dengan pelbagai tuntutan bagi menyai­ngi kehendak globalisasi serta perubahan sistem pendidikan negara.

Malah, kerjaya perguruan yang dulunya dianggap pilihan terakhir paling selamat untuk memperoleh pekerjaan, kini tidak lagi menjanjikan peluang itu.

Dengan kata lain, guru alaf baru terpaksa bersaing dan membuktikan mereka adalah yang terbaik dalam kalangan terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Apakah persediaan paling utama bagi guru alaf baru?

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Noor Shah Saad berkata, guru alaf baru perlu mempunyai persediaan untuk berdepan senario perubahan dunia pendidikan sama ada di peringkat tempatan mahupun global.

Beliau berkata, perubahan itu selaras bagi memenuhi permintaan yang memerlukan guru berperanan sebagai medium penjana ilmu, sekali gus melahirkan masyarakat berpendidikan.

“Sebagai guru alaf baru, cabaran mereka cukup hebat dan banyak. Segala perubahan dari segi sistem, modul, pedagogi dan sebagainya perlu dilaksanakan mengikut standard.

“Justeru, bergelar guru pada zaman ini memerlukan keberanian dan kemahuan melakukan anjakan pemikiran. Tidak boleh dibelenggu tanggapan bidang perguruan sama seperti dulu.

“Bidang perguruan kini mempunyai pelbagai mekanisme dan suntikan baru bagi mengimbangi perubahan drastik globalisasi. Guru tidak boleh beralasan atau membuat pilihan mengikut kehendak sendiri,” katanya.

Malah tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda’ turut menggambarkan bahawa golongan itu menjadi aspirasi kepada semua lapisan masyarakat dan memikul tanggungjawab berat untuk melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.

Beliau berkata, guru alaf baru berdepan cabaran hebat kerana mereka bukan saja terpaksa bersaing dengan perubahan sistem, malah kepantasan dan kecekapan pelajar memperoleh maklumat dengan bantuan teknologi.

“Sebab itu, guru tidak boleh ‘buta’ teknologi kerana pelajar kini bukan calang-calang golongan. Mereka bersikap lebih ingin tahu kerana mendapat soko­ngan maklumat daripada teknologi.

“Berbanding pelajar dulu, mereka pasif dengan pendedahan maklumat terhad. Apa yang diberikan guru, itulah maklumatnya.

“Kerja guru mudah, ibu bapa tidak pernah bersoal jawab. Tapi kini guru berdepan ‘peperangan’ dari segala sudut hingga memerlukan mereka sentiasa bersedia,” katanya mengakui asakan demi asakan diterima menyebabkan guru berdepan konflik diri yang hebat.

“Kita sering mendengar rungutan guru yang terbeban dengan segala tugasan. Situasi ini tidak boleh dielak kerana perubahan dunia pendidikan memerlukan guru terpaksa menerimanya.

“Tiada lagi kemudahan dan kesenangan dalam kerjaya ini, sebaliknya dipenuhi dengan desakan serta keperluan yang sentiasa berubah dengan pantas.

“Malah, jika ada andaian mengatakan kerjaya ini senang kerana ada banyak cuti atau insentif, perbetulkan dulu andaian itu,” katanya.

Ditanya pandangan segelintir guru yang menganggap kerjaya ini pilihan terakhir untuk memperoleh pekerjaan, katanya tanggapan itu perlu diubah.

Menurutnya, profesyen perguruan hari ini sudah tidak boleh dijadikan pilihan terakhir kerana ia dikategorikan profesional serta mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Sejak dulu lagi, masyarakat menganggap guru adalah kerjaya selamat yang menjanjikan peluang kerjaya terbuka sehingga ramai yang berkata, jika tidak dapat kerja, jadilah cikgu.

“Tapi, jika masyarakat mengetahui betapa sukarnya kini mahu menjadi guru, mereka pasti terkejut. Bidang pendidikan dan perguruan sudah menuju pelbagai transformasi.

“Ada syarat, mekanisme dan piawaian ditetapkan Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, institusi pengajian tinggi dan sebagainya sebelum bergelar guru.

“Untuk jangka panjang, negara ingin melahirkan masyarakat berilmu, berteknologi serta bergelar teknokrat. Guru sebagai medium yang menyampaikan ilmu perlu setaraf atau mempunyai kelayakan diiktiraf,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui beban tugasan guru yang kadangkala melampau boleh menjejaskan tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki.

Menurutnya, guru di luar negara mempunyai jadual lebih fleksibel, tidak terbeban dengan kerja perkeranian serta dianggap kerjaya kolar putih.

“Terbeban dengan segala kerja terutama perkeranian menyebabkan tumpuan guru agak terjejas. Sebab itu sebahagian besarnya gagal menjalankan tugasan hakiki dengan baik.

“Biarpun dari sudut gaji dan inisiatif sudah bertambah baik, masalah sampingan perlu diatasi supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, kekangan melaksanakan tugas antara faktor guru gagal menjalankan fungsi mereka dengan baik.

“Saya berpendapat sistem hukuman kepada pelajar yang dilaksanakan ketika ini kurang cekap dan menyumbang kepada lemahnya semangat guru.

“Masyarakat terutama ibu bapa perlu meletakkan diri dalam situasi guru. Katakan anak kita bermasalah tapi tidak boleh dipukul?

“Jika guru ‘dikembalikan’ kuasanya untuk menghukum pelajar, bebanan perasaan guru boleh dikurangkan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pertahankan Kesederhanaan Di Malaysia


KETIKA di bangku sekolah dahulu, kita pernah diajar oleh guru-guru sekolah supaya bersikap sederhana.

Kesederhanaan bukan sahaja dalam perlakuan bahkan juga tutur kata serta pergaulan seharian dengan ahli keluarga, rakan taulan dan juga rakan di tempat kerja.

Malah sikap kesederhanaan itu merupakan sikap terpuji yang dituntut dalam setiap agama.

Kesederhanaan mengajar seseorang untuk tidak mudah lupa diri, mengawal emosi dan sentiasa bersiap-siaga untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang mendatang.

Dalam konteks kenegaraan pula, konsep kesederhanaan merupakan tonggak utama kepada kestabilan Malaysia sejak sekian lama. Kesederhanaan dalam semua segi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini untuk hidup dengan harmoni tanpa sebarang syak-wasangka.

Masing-masing bebas menganut agama, mengamalkan budaya masing-masing serta menggunakan bahasa ibunda mereka.

Kemampuan inilah yang menjadikan Malaysia sering dicemburui oleh banyak negara di seantero dunia. Malah pernah satu ketika dahulu, Malaysia menjadi teladan kepada dunia dan banyak negara yang berminat untuk mendalami rahsia Malaysia menguruskan hubungan kaum yang kompleks.

Dalam keghairahan untuk mengejar pembangunan dan kekayaan material, konsep kesederhanaan yang menjadi tunjang dalam kalangan rakyat Malaysia selama ini, kian luntur.

Kebelakangan ini, ada sahaja isu-isu sensitif dibangkitkan dengan tujuan untuk mencetus kemarahan pihak lain. Daripada golongan anarkis yang mahu memporak-perandakan negara kepada kumpulan nasionalis yang cuba mempertikaikan kesetiaan sesuatu kaum hanya kerana tidak menyokong kerajaan pemerintah - semuanya memperlihatkan satu trend yang cukup membimbangkan.

Atas nama demokrasi dan keterbukaan, bermacam-macam ugutan malah amaran diberikan tanpa memikirkan kemudaratan yang bakal tercetus daripada tindakannya itu. Lebih mendukacitakan, ada juga dalam kalangan rakyat yang sanggup bertindak di luar batasan semata-mata kerana marah terhadap pihak berkuasa.

Disebabkan kemarahan yang meluap-luap terhadap pihak berkuasa, pelbagai paparan yang kurang sopan dimuat naik dalam laman sosial tanpa mengambil kira kesannya. Biarpun bukan semua maklumat yang dimuat naik adalah tulen dan benar, namun sudah wujud kecenderungan dalam kalangan rakyat untuk mempercayainya secara membuta-tuli.

Mereka seolah-olah sudah tidak gentar dengan sistem perundangan negara. Fikiran mereka diselubungi dengan kemarahan meluap sehingga bertindak di luar batasan.

Tetapi apakah ini sikap rakyat Malaysia yang kita kenal selama ini? Di manakah perginya budi pekerti, kesantunan serta kesederhanaan yang wujud dalam diri setiap rakyat Malaysia?

Yang pastinya, pemikiran ekstrem tidak seharusnya mendapat tempat dalam masyarakat kita. Ia juga tidak boleh dibiarkan bercambah ke satu tahap yang tidak terkawal umpama virus yang menular.

Kegagalan untuk membanterasnya hanya bermakna keselamatan negara bakal tergugat. Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, sebarang insiden ekstrem boleh mencetuskan impak yang cukup dahsyat jika tidak ditangani dengan bijak.

Tentunya kita tidak mahu melihat peristiwa 13 Mei berulang di negara kita. Tentunya juga kita tidak mahu peristiwa rampasan senjata oleh sekumpulan ajaran sesat berulang di Malaysia.

Kita juga tidak mahu melihat masyarakat hidup dalam ketakutan kerana ancaman pihak lain. Paling signifikan, kita juga tidak mahu melihat Malaysia menjadi sarang percambahan ideologi ekstremisme.

Justeru, adalah penting jika agenda pembangunan negara kembali berpaksi kepada prinsip kesederhanaan dan wasatiyyah. Hanya prinsip 'kesederhanaan' mampu membawa kembali Malaysia ke landasan yang sebenar.

Pepatah Inggeris ada mengatakan "Kota Rom tidak dibina dalam sehari". Ada baiknya jika pepatah tersebut dijadikan peringatan kepada kita semua. Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian negara memakan masa untuk dipupuk namun ia boleh musnah dalam sekelip mata.

MATTHEW CHAN
Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.utusan.com.my/