Jumaat, 7 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Cerdas fikir dan emosi dalam amalan


Oleh : Prof Dr Sidek Baba

CERDAS fikir memberi makna disiplin akliah yang tinggi membolehkan penjanaan ilmu terjadi dan mampu membentuk pola fikir yang sihat dan sifatnya menyumbang. Ia sangat penting membangunkan fikrah. Cerdas fikir adalah suatu proses.

Binaan fikrah adalah suatu matlamat. Tanpa binaan fikrah berfikir menjadi kosong dan lompang.

Cerdas hati memberi makna ketangkasan hati menerima pedoman ilmu dan maklumat supaya sifat diri memiliki kekuatan rohaniah yang tinggi- berasaskan fikrah dan ilmu yang sifatnya menerangi menjadikan hati tangkas dan hidup, bukan sifatnya mati rasa atau menghadapi kematu rohaniah - menyebabkan sikap tertutup terjadi dan jalan taksub mengambil tempat.

Apabila kekuatan fikir bertaut dengan kekuatan hati, ia disebut oleh Pendeta Zaaba sebagai cernaan akal-budi. Ia penting supaya tautan ilmu yang memberi suluh serasi dengan hati dan membentuk amal yang baik. Hati yang dititipkan dengan kekuatan amanah, adil, bijaksana, telus dan tulus ialah hati yang sentiasa terhubung dengan ALLAH.

Jiwa tadabbur yang tinggi menyebabkan lahirnya petunjuk dan menjadikan manusia memiliki kekuatan amal yang tinggi.

Cerdas emosi menggambarkan emosi matang dan tidak mudah terpengaruh dengan natijah yang membawa keburukan. Emosi melulu umpamanya, merangsang rasa dan nafsu dan sekiranya ia tidak memiliki kualiti disiplin tinggi mudah memesongkan.

Cerdas emosi sangat penting bagi membantu kedewasaan berfikir dan kematangan beramal - menjadi pra-syarat penting menghasilkan sahsiah berkualiti tinggi.

Kehidupan kita sebagai orang Islam tidak berdepan dengan faktor homogenous iaitu sama dan serupa. Faktor kepelbagaian yang fitrah kewujudan manusia menuntut kebijaksanaan yang tinggi untuk memahami dan menyantuninya.

Para dai’ dan murabbi, pendakwah dan pendidik memerlukan kesabaran, ketabahan dan kebijaksanaan tinggi untuk menyantuni mad’u atau sasaran. Situasi zaman Nabi telah meletakkan status iman dan taqwa di kalangan penganut Islam sebagai tidak semua sama. Hal yang sama berlaku di kalangan para sahabat dan tabie at tabieen.

Tetapi peningkatannya berlaku. Lebih-lebih lagi zaman mutaakhhirin (akhir zaman) begini tentu cabaran penghayatan jauh lebih mencabar dan menuntut kecerdasan akliah, rohaniah dan amaliah terpadu supaya usaha dakwah dan tarbiah sentiasa diserapi kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi.

Terlihat pada hari ini ialah keterampilan golongan mustaqjiluun atau gopoh yang tidak mendalami teks apalagi memahami konteks atau waqi’.

Lalu lahir kalimah-kalimah seperti taghut (perosak), kafir, firaun, hisbussyaitan dan kalimah-kalimah negatif yang lain mempertajam hubungan sesama Islam, menghilangkan ukhuwah, merasakan diri sentiasa benar dan orang lain salah dan akhirnya menjadi anai-anai yang merosakkan binaan diri, keluarga, masyarakat dan ummah.

Cerdas fikir menuntut umpamanya warga umat menerima sesuatu perkhabaran dengan rasa teliti dan rapi. Upaya menapis dan menyaring perlu ada supaya terjadi ketelitian hatta menerima berita daripada golongan yang fasiq sekalipun. Ia adalah anjuran al-Quran.

Kecerdasan berfikir menghubungkan maklumat, data, fakta dan ilmu terhubung dengan ALLAH dan sumber-Nya al-Quran.

Bila musuh Islam menyediakan Facebook, blog, Website lantas kita gunakan itu sebagai saluran fitnah, maki-hamun, mehnah, tukang sampuk yang tidak memikir dosa pahala dan akhirnya memakan diri saudara seagama.

Tautan kecerdasan fikir dan hati terlalu amat penting supaya kualiti rabbaniah kita dengan ALLAH menjadikan pembangunan akal-budi sesuatu yang amat rapat dan erat.

Bila akliah disalut ilmu daripada ALLAH dan terhubung dengan binaan hati berasaskan iman dan takwa, ia memberi pencerahan kepada amal.

Akal yang terkandung ilmu yang benar dan hati yang sentiasa hidup dengan binaan takwa bakal membangun niat dan diterjemah dengan amal soleh serta akhlak karimah.

Ia menghasilkan perbuatan yang diredai ALLAH.

Perkara ini yang sedang hilang daripada warga umat menyebabkan orang yang dikatakan berfikir menjadi sombong dan tidak memiliki jiwa ketundukan tinggi.

Orang yang dikatakan mempunyai kecerdasan hati tapi disalut dengan nasfsul amarah bissuk hingga akhirnya menghasilkan amal yang tampak zahirnya menyerupai ibadah tetapi pada hakikatnya adalah amal toleh yang tidak membangun kualiti peribadi contoh yang boleh djadikan sumber ikutan.

Ia menyebabkan kekacauan dan kecelaruan yang parah dalam kalangan warga umat dan menghambat kemajuan dan perubahan yang Islami.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 12,520 calon duduki SPM (ulangan) SPM 2013


KUALA LUMPUR - Seramai 12,520 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)(Ulangan) 2013 di 232 pusat peperiksaan di seluruh negara Selasa dan Rabu ini (11 dan 12 Jun).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan hari ini, daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, 2,932 mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

"Seramai 1,207 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan," jelas kenyataan itu.   

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM (Ulangan) masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.- Bernama

ISU ALAM SEKITAR : Pulihara ekosistem marin elak jejas kehidupan


Oleh : Rosmidzatul Azila Mat Yamin
 
“Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur” (Surah an-Nahl ayat 14).

Ayat ini sudah cukup memberi penjelasan kepada kita mengenai nikmat lautan yang tidak ternilai dalam memenuhi tuntutan hidup manusia di atas muka bumi.

Namun, sejauh manakah kita memahami dan menghayati bait ayat yang disampaikan kepada kita baik dari segi kepentingan kitaran semula jadi yang berlaku dalam persekitaran mahupun peranan kita sebagai satu-satunya makhluk yang berakal di atas muka bumi?

Segala yang tersurat dan tersirat dalam setiap ciptaan Allah perlu dikaji dan dirungkai supaya kita lebih menghargai nikmat alam dan mensyukuri setiap apa yang dibekalkan kepada kita.

Umpamanya, simbiosis unik yang berlaku dalam ekosistem marin yang terbentang luas itu sendiri seharusnya menyedarkan kita mengenai kebesaran dan kekuasaan Yang Maha Esa, selain mampu mendorong hati kita untuk menjadi insan yang patuh dan mensyukuri setiap nikmat kurniaan-Nya.

Keunikan ekosistem marin bukan saja digambarkan dari sudut keindahan fizikalnya semata-mata, malah juga dapat dilihat daripada jutaan bio pelbagai yang ada di dalamnya yang membentuk suatu rantaian lengkap makanan.

Dalam konteks ini, kitaran makanan dimulai oleh plankton tumbuhan yang menggunakan cahaya matahari ketika proses fotosintesis bagi menghasilkan makanan sendiri.

Rantaian makanan

Plankton haiwan pula akan memakan tumbuhan atau plankton haiwan lain. Seterusnya ikan, kerang-kerangan dan burung laut memakan plankton yang kemudian makhluk ini dimakan pula oleh haiwan lebih besar seperti anjing laut dan paus.

Begitu unik dan takjubnya kesinambungan hidupan dalam ekosistem marin yang setiap satu saling berhubung kait antara satu sama lain. Rantaian makanan ini penting untuk difahami dan dipelihara kerana kita (manusia) berada di aras terakhir rantai makanan.

Misalnya, kita memperoleh sumber bahan mentah seperti ikan yang menjadi sumber protein utama serta menghasilkan pelbagai produk daripada sumber laut untuk melengkapkan keperluan asas kita.

Justeru, jika berlaku kepincangan ke atas rantaian makanan ini maka kehidupan manusia juga akan turut terjejas.

Kelangsungan hayat bumi

Justeru, amat penting bagi kita untuk memahami setiap proses yang berlaku bukan saja dalam ekosistem marin bahkan juga dalam persekitaran fizikal yang lain agar kelangsungan hayat bumi dapat diteruskan.

Dalam menjaga khazanah lautan, peranan setiap individu adalah penting terutama bagi memastikan laut tidak dicemari dengan sewenang-wenangnya. Mungkin segelintir daripada kita berpendapat bahawa keluasan lautan amat besar dan tidak mungkin ia akan tercemar teruk.

Sebenarnya telahan itu tidak benar sama sekali. Air sungai yang mengalir akhirnya akan menghanyutkan segala bahan cemar ke dalam laut.

Pencemaran ini seterusnya akan membunuh atau menyingkirkan hidupan laut,  baik yang tinggal berhampiran muara sungai mahupun di pantai.

Situasi ini pastinya akan merencatkan kitaran makanan bagi hidupan laut, dan manusia tidak terkecuali menerima impak daripada kepincangan yang berlaku.

Oleh yang demikian, dalam memacu kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan melindungi ekosistem marin, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama menggembleng usaha bagi memastikan khazanah lautan ini dijaga dan dilindungi.

Melihat kepada sumbangan penting yang dimainkan oleh ekosistem marin, maka usaha pemuliharaan perlu menjadi keutamaan dan tiada kompromi kepada sebarang bentuk pencabulan ke atasnya.

Pengisytiharan Hari Laut Sedunia pada 8 Jun setiap tahun adalah satu langkah positif dalam usaha memacu dan memantapkan pemahaman serta kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan biologi pelbagai marin serta keseluruhan ekosistemnya.

Penulis ialah pegawai penyelidik, Pusat Kajian Sains dan dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 6 Jun 2013

PENTINGKAN DIRI SENDIRI

Pohon Enau

Kudup kembang limau kasturi
di tepi danau kukuh berakar
hidup pentingkan diri sendiri
seperti enau dalam belukar.

Di tepi danau kukuh berakar
rimbun daunnya disinar mentari
seperti enau dalam belukar
melonjak ke atas melepaskan diri.

Rimbun daunnya disinar mentari
cempedak di sisi buahnya lebat
melonjak ke atas melepaskan diri
tidak dipeduli rakan dan sahabat.

Cempedak di sisi buahnya lebat
ke pekan dijaja rasanya nikmat
tidak dipeduli rakan dan sahabat
asalkan sahaja dirinya selamat.

Ke pekan dijaja rasanya nikmat
ramai pembeli hatinya terhibur
asalkan sahaja dirinya selamat
mendabik dada penuh takbur.

Ramai pembeli hatinya terhibur
digantung sangkar burung tekukur
mendabik dada penuh takbur
pentingkan diri akhir tersungkur.

AHMAD SARJU

Sumber : Facebook Ahmad Sarju

Rabu, 5 Jun 2013

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Bahana salah guna Facebook


Oleh : RISWANDI RAZAK

MEDIA sosial adalah medium terpenting dalam menyampaikan maklumat peribadi kerana ianya mudah dan percuma, hanya perlu melengkapkan 'password', anda boleh terus menggunakannya.

Sejak mula popular di sekitar pertengahan 2008, Facebook dilihat sebagai laman web terpenting dalam perhubungan sosial terutama untuk mencari rakan-rakan yang telah lama terputus hubungan.

Namun, media sosial ini juga mempunyai elemen negatif yang mampu memberi kesan buruk kepada keharmonian negara.

Sebagai contoh, yang terbaru penahanan seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam akaun Facebooknya, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata. wanita berumur 32 tahun itu ditahan di Taman Nirwana, Ampang dan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Jika dilihat dari sudut pengguna Facebook, kenyataan terbuka tanpa tapisan sememangnya mudah ditulis dan diluahkan dalam laman sosial ini.

Malah, ada di antara pemilik akaun Facebook, sering memberi kenyataan sensitif tanpa menyedari perbuatan itu, akan mengundang padah, khususnya dalam isu yang melibatkan keharmonian negara.

Kes ini juga telah membuka mata bahawa, masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu menghormati sensitiviti masyarakat dan Perlembagaan Negara.

Sedangkan, Yang di-Pertuan Agong adalah simbol ketua negara yang perlu dihormati dan termaktub di dalam perlembagaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen berunsur menghina terutama melibatkan institusi diraja Malaysia.

Siasatan kes ini turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penahanan ini dibuat susulan beberapa laporan polis dibuat selepas komen yang dilihat menghina itu tersiar di laman Facebook dan Twitter susulan titah Seri Paduka melalui televisyen sempena hari keputeraan Tuanku, Sabtu lalu.

Persoalannya, apakah langkah yang wajar dilakukan khususnya oleh kerajaan untuk pastikan semua rakyat di negara ini menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-raja.

Adakah wajar untuk laman sosial disekat bagi membendung kenyataan negatif sebegini berulang?

Beberapa NGO di Selangor menggesa agar langkah drastik ini diambil dan mencadangkan Malaysia mengikut langkah Iran dan China yang menyekat akses ke laman sosial.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan itu perlu difikirkan kerana ada pengguna yang menggunakan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara.

Gesaan ini turut disokong oleh Perkasa dan Majlis Belia Selangor.

Namun, adakah ini satu-satunya cara untuk kita menyelesaikan masalah ini?

Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Normah Mustaffa berkata, laman sosial Facebook tidak boleh disalahkan sehingga perlu disekat penggunaannya.

Beliau berkata, Facebook adalah medium penting yang membantu pengaliran berita dan memudahkan penyampaian maklumat.

“Isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi di negara ini tidak seharusnya berlaku jika individu terbabit faham akan sejarah negara kita ini,” katanya.

SKMM menerusi Ketua Komunikasi Strategiknya, Sheikh Raffie Abdul Rahman memberitahu, suruhanjaya itu akan mengkaji kaedah terlebih dahulu terbaik untuk memantau penggunaan laman media sosial di negara ini dalam membendung budaya fitnah.

Beliau berkata, SKMM tidak boleh terburu-buru melaksanakan penguatkuasaan kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan mengikut kesesuaian.

"Kami memandang serius perbuatan biadab di laman sosial seperti Facebook tetapi SKMM tidak boleh sewenang-wenangnya menyekat laman tersebut," katanya.

Bayangkan. hanya kerana dua, tiga atau empat perkataan dalam Facebook, anda boleh didakwa atas Akta Hasutan 1948 dan boleh dikenakan hukuman penjara.

Oleh itu, kesemua pengguna Facebook perlu amalkan etika dan budi bahasa dalam segala tulisan yang dibuat, walaupun hanya dua perkataan.

Adalah lebih baik, memberi komen atau ulasan yang membina dan mampu menyumbang kepada perkembangan positif negara.

Bagi kes wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, langkah yang difikirkan wajar adalah perlu ada pendekatan khusus untuk memastikan generasi muda tahu akan Perlembagaan Negara dan fungsi Institusi Raja-raja.

Usaha ini wajar dilaksanakan sejak bangku sekolah lagi, penekanan rasa hormat kepada pemimpin dan ketua negara perlu ada dan ini termasuk rasa hormat kepada lagu Negaraku dan bendera Jalur Gemilang.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Perangi pemberi dan penerima rasuah!


Oleh : Johan Jaaffar
 
Tidak ada satu perkara yang lebih dibenci oleh rakyat hari ini selain daripada rasuah. Rasuah menjadi modal bualan dan isu panas dalam pilihan raya. Persepsi bahawa pemimpin dan penjawat awam mengamalkan rasuah berleluasa di negara ini. Walaupun banyak tuduhan terhadap mereka itu tidak berasas dan berniat jahat tetapi di fikiran sebahagian besar rakyat, semuanya dianggap sahih.

Perang membasmi rasuah tidak boleh dibuat separuh jalan. Atau sekadar melepaskan batok di tangga. Ini merupakan jihad pemimpin dan rakyat. Sebarang usaha untuk memerangi rasuah mesti dilakukan tanpa memilih bulu dan was-was.

Saya cenderung untuk melihat ke Indonesia dalam konteks memerangi rasuah. Memang benar satu masa dulu rasuah di negara itu menjadi kronik. Seorang wartawan terkenal Indonesia Mokhtar Lubis menganggarkan ‘kebocoran’ akibat rasuah di Indonesia sejak tahun 1980-an mencecah 30 peratus. Malah Indonesia dianggap salah sebuah negara paling korup di dunia. Bagaimanapun sejak kebelakangan, hal ini ternyata sudah berubah. Kebencian rakyat terhadap rasuah memuncak di Indonesia, sebahagiannya kerana keterbukaan media dan gerakan massa yang menyokong usaha membanteras rasuah.

Ambil sahaja contoh usaha mendirikan ibu pejabat baharu Komisi Pemberantasan Korupsi atau KPK. Apabila Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) keberatan membiayainya, rakyat Indonesia bangun mengumpulkan dana bagi mendirikan ibu pejabat baru itu. Persatuan Penjaja Jalanan Indonesia (PPKLI) misalnya menggesa 54 juta ahlinya menderma Rp1,000 (35 sen) seorang untuk tujuan itu.

Sumbangan basmi rasuah

“Koin untuk KPK” menjadi gerakan massa yang hebat. Rakyat kecil Indonesia menganggap mereka perlu menyumbang kepada usaha membasmi rasuah. Rakyat menunjukkan kuasa sebenar mereka. Sumbangan mencurah-curah masuk. Tidak cukup dengan itu, ada juga gerakan untuk mengumpulkan sejuta batu bata bagi membantu mendirikan ibu pejabat KPK.

Gerakan massa yang unik ini dikenal sebagai ‘Koalisi Masyarakat Sipil Koin untuk KPK’ dan ‘Gerakan Rakyat Peduli KPK.’ Mesejnya jelas, KPK mendapat sokongan rakyat. Perkataan ‘peduli’ itu maksudnya mengambil endah, mengambil tahu atau ‘concern’. Tidak cukup dengan itu, anak-anak muda Indonesia memakai kemeja-T yang jelas menunjukkan kebencian terhadap rasuah. “Sang Koruptor – Apa Agama Kamu?” dan “Jalan Pantas Ke Neraka – Jadi Koruptor” adalah antara yang paling popular.
\
Sejak kebelakangan ini banyak pimpinan politik Indonesia yang dibawa ke muka pengadilan. Siasatan KPK tidak memandang bulu mendapat pujian orang ramai. Banyak kes berprofil tinggi yang sebenarnya disiasat oleh KPK.

KPK siasat banyak kes

Imej baharu KPK memang cukup baik di kalangan rakyat Indonesia. Sejak agensi itu beroperasi sebagai KPK pada tahun 2003 ia telah menyiasat banyak kes. Daripada segi statistik, kejayaan KPK dalam pendakwaan kes yang membabitkan perolehan kerajaan dan belanjawan adalah 100 peratus. Beberapa tokoh terkenal Indonesia – lelaki dan perempuan – telah disiasat, diadili dan dijatuhi hukuman setimpal. Salah seorang tokoh berprofil tinggi yang disiasat dan di dakwa ialah bekas Menteri Sukan, Andi Mallarangeng.

Perlu diingat, KPK mempunyai rekod yang kurang baik sebelum itu. Ada beberapa kes yang membabitkan pegawai tertingginya. Malah dalam satu kes, terdapat pegawai tertinggi yang bersekongkol bagi menjatuhkan nama baik pengerusi KPK sendiri, Antasari Azhar. Tetapi KPK kini berjaya memulihkan imej itu.

Sokongan massa tidak sahaja dilihat dalam usaha mengumpulkan koin tetapi juga peranan yang dimainkan oleh media dan penulis bebas. Salah sebuah koleksi rencana yang terbit dua tahun yang lalu ialah Korupsi Yang Memiskinkan yang disunting oleh Maria Hartiningsih. Buku ini mengandungi rencana yang menyentuh pelbagai isu. Sasarannya ialah bagi memperingatkan rakyat Indonesia bahawa rasuah ‘mensabotaj hak rakyat untuk hidup sejahtera.’ Secara terus terang penulis-penulisnya membongkar keburukan yang berlaku akibat rasuah dan bagaimana hak rakyat dinafikan oleh penerima rasuah.

Buku ini juga membawa mesej yang jelas: Rasuah dan kemiskinan adalah dua muka pada kepingan siling yang sama. Kedua-duanya merupakan musuh terbesar yang harus diperangi. Tanpa ditangani dengan berani dan cekap, rakyat akan terus tinggal miskin kerana peruntukan untuk mereka ‘dirampok’ oleh pengkhianat.

Hanya dengan komitmen untuk membanteras rasuah, barulah keadilan sosial akan berlaku dan ketidakseimbangan ekonomi dapat ditangani.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diberikan taring secukupnya untuk memerangi rasuah. SPRM harus menjalankan tugasnya secara profesional. Banyak cadangan telah dikemukakan bagi memperbaiki tadbir urus dan pendekatannya. Ini masa yang terbaik untuk SPRM membuktikan bahawa ia sebenarnya badan bebas dan berintegriti. Perasuah, siapapun mereka – jerung atau bilis – ialah musuh rakyat nombor satu.

SPRM – bertindaklah! Rakyat akan menyokong.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Perkukuh undang-undang kesalahan siber


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid
 
Sejak pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) pada Ogos 1996 negara mengalami ledakan penggunaan internet secara drastik. MSC berjaya menggalakkan penggunaan dan pembangunan teknologi maklumat (ICT) secara meluas dalam semua sektor dan menjadikan kita sebagai masyarakat bermaklumat.

Pelbagai bentuk jenayah siber dilakukan oleh ‘penggodam’ atau penjenayah siber. Antaranya ialah, pencerobohan terhadap hak individu, pencurian maklumat, penggodaman terhadap maklumat dan data komputer, penyebaran virus komputer, melakukan fitnah dan penipuan, menyebar pemikiran keganasan, perjudian siber dan penyebaran pornografi. Selain itu, berlaku jenayah kecurian sejumlah besar wang secara maya dan bentuk jenayah komersial yang lain melalui internet.

Oleh sebab jenayah siber dilakukan melalui talian bersifat maya yang melangkaui sempadan keselamatan fizikal dan sempadan negara, maka pengawalan dan penguatkuasaan terhadap jenayah ini tidak terhad kepada bidang kuasa mana-mana negara. Justeru, dari segi hubungan antarabangsa wujud penguatkuasaan Akta Jenayah Komputer melalui Interpol.

Namun, beberapa isu timbul dalam penguatkuasaan antarabangsa ini. Antaranya ialah hanya sebilangan negara komited untuk menjalin kerjasama erat dalam isu jenayah siber ini.

Selain itu, sistem keadilan jenayah siber antarabangsa ini tidak selari dengan kemajuan pantas teknologi internet. Apapun, negara kita sentiasa komited untuk memperkukuh hubungan antarabangsa bagi menangani jenayah siber ini.

Malaysia sendiri mempunyai beberapa akta berkaitan undang-undang siber yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Tandatangan Digital 1997 (Akta 562), Akta Jenayah Komputer 1997 (akta 563) dan Akta Teleperubatan 1997 (Akta 564).

Akta Komunikasi dan Multimedia adalah bagi menggantikan dua akta terdahulu, iaitu Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1998. Akta Komunikasi dan Multimedia boleh dianggap sebagai teras kepada semua undang-undang siber di negara ini. Akta ini merangkumi dokumen dasar untuk MSC dan usaha Malaysia untuk membangun masa depan digital.

Secara dasarnya, objektif utama akta ini bertujuan mewujudkan suatu kerangka pelesenan dan regulatori bagi industri komunikasi dan multimedia serta mewujudkan kuasa dan fungsi untuk sebuah suruhanjaya komunikasi multi-media. Justeru, akta ini memperuntukkan penubuhan sebuah suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diberi kuasa untuk menyelia aktiviti ko-munikasi dan multimedia di Malaysia.

Satu lagi akta tidak kurang pentingnya ialah Akta jenayah Komputer 1997 yang diwujudkan bagi mengadakan peruntukan bagi kesalahan berhubung kesalahan penggunaan komputer. Bahagian II akta ini menyenaraikan beberapa kesalahan berkaitan dengan penyalahgunaan komputer.

Kesalahan terbabit termasuklah capaian tanpa kuasa kepada bahan komputer (Seksyen 3); capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut (Seksyen 4); pengubahan tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer (Seksyen 5); Komunikasi Salah (Seksyen 6); Bersubahat atau percubaan melakukan kesalahan (seksyen 7) dan anggapan - memperoleh capaian tanpa kuasa kepada program, data atau maklumat.

Seksyen 10 (1), (2) dan (3) akta itu memberikan kuasa kepada majistret untuk mengeluarkan waran tangkap kepada pegawai polis berpangkat inspektor ke atas untuk menggeledah, menyita dan menahan apa-apa keterangan serta berhak mendapat capaian kepada mana-mana komputer yang disyaki digunakan bagi melakukan kesalahan, mengehendaki mana-mana orang disyaki bagi memberikannya bantuan munasabah dan menghendaki maklumat dikeluarkan dalam bentuk boleh dibawa pergi, dilihat dan dibaca.

Isunya ialah sejauh mana semua akta berkaitan dengan kesalahan siber itu dikuatkuasakan bagi menangani pelbagai kesalahan jenayah siber yang semakin berkembang di negara kita. Apakah kita sudah cukup memiliki anggota penguatkuasaan, kepakaran dan kemudahan logistik serta hubungan dan kerjasama rapat antara agensi yang memiliki bidang kuasa penguasaan?

Selain itu, kelemahan kuasa undang-undang seperti kuasa merampas harta bersifat intangible (yang tidak nampak) seperti data komputer serta kandungan perjanjian berkaitan ekstradisi dan kelemahan kerjasama antarabangsa secara konkrit berkaitan dengan jenayah siber harus diatasi secara berkesan.

Semua isu penguatkuasaan itu harus diteliti dan disemak serta diberi perhatian serius supaya penguatkuasaan terhadap undang-undang berkaitan kesalahan siber menjadi lebih berkesan.

Jika perlu satu jawatankuasa pemantau diwujudkan bagi meneliti kelemahan dan isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan semua undang-udang berkaitan jenayah siber. Jawatankuasa ini boleh memberi cadangan bagi memperbaiki dan memperkukuh sama ada dari segi undang-undang itu sendiri ataupun dari aspek penguatkuasaan oleh agensi terbabit.

Ahli-ahli yang dilantik mestilah mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang terbabit.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/