Khamis, 13 Jun 2013

ISU SOSIAL : Melayu belum cukup mantap hadapi persaingan


Oleh : Profesor Dr. Sidek Baba
    
Cabaran keilmuan, pendidikan faktor penting hasilkan modal insan berkualiti

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pernah mengungkapkan bahawa 'Melayu mudah lupa'. Amat menarik sekiranya isu itu dipolemikkan dalam perspektif yang berbeza supaya pembetulan dapat dilakukan. Kedudukan Melayu dalam Perlembagaan dan makna Melayu dalam Islam adalah amat istimewa, tetapi keupayaan Melayu menterjemahkan kedudukannya dalam negara menerima kritikan yang banyak dalam kalangan orang Melayu dan juga bukan Melayu.

Orang Melayu sudah dijajah lebih 400 tahun. Kemerdekaan yang dicapai melepasi setengah abad menghasilkan natijah yang baik dan belum mampu membangunkan orang Melayu secara menyeluruh. Petanda orang Melayu mampu menerima perubahan adalah jelas, tetapi persaingan yang ada kini dalam semua bidang belum cukup meletakkan orang Melayu yang dapat berdiri seimbang dengan orang bukan Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

Sebagai bangsa yang ingin bangun dan maju sudah tentu banyak cabaran yang perlu dilaluinya. Cabaran keilmuan dan pendidikan adalah faktor yang amat penting bagi menghasilkan modal insan berkualiti. Apakah sistem pendidikan kita memberi ruang yang holistik ke arah pembangunan modal insan yang berdaya maju dan memiliki kualiti diri yang boleh dijadikan teladan.

Pelbagai cabaran bangunkan Melayu

Cabaran kepemimpinan dan kepengikutan adalah suatu aspek utama bakal menentukan keupayaan orang Melayu menjadi kelompok teras yang dihormati dan disegani. Apakah persekitaran politik kita memberi ruang kepada yang terbaik memimpin dalam suasana wujudnya kritik membina untuk kebaikan bersama.

Cabaran agama juga menjadi faktor yang amat relevan dalam proses membangun watak Melayu yang dinamik dan mampu mengikut zaman. Apakah pendidikan agama dan perjalanan dakwah memberikan dinamika ilmu dan kesuburan dakwah yang tidak saja dalam batas syarah dan fikrah, tetapi menyubur dalam model dan alternatif terkini. Apakah personaliti dan institusi yang membabitkan dirinya dengan Islam menampakkan daya profesional yang tinggi dalam mengurus perubahan atau masih bertahan dalam tembok tradisi yang enggan melakukan islah kerana dibimbangi ia bakal merosakkan ‘keaslian’ agama itu sendiri.

Cabaran yang amat mendesak yang didepani oleh orang Melayu kini ialah cabaran persekitaran yang mendukung faham sekular dan liberal berdepan dengan cita rasa keagamaan yang masih berpaut dalam skop tradisi yang sifatnya membatasi. Wujud konflik yang tajam, di satu pihak ingin memajukan generasi muda dengan asakan budaya popular Barat menerusi media cetak dan elektronik yang tidak terkawal dengan mendorong mereka ke arah jalur hedonistik atau berfoya-foya dengan aktiviti pesta yang mengakibatkan ketirisan watak Melayunya dan juga kualiti agamanya.

Melayu paling ramai di pusat serenti

Ia berakhir dengan bertambah ramai generasi muda Melayu berada di pusat serenti, dikatakan lebih satu juta terbabit dengan penagihan dadah, jenayah juvana yang meningkat secara luar biasa, kerosakan moral dan masalah sosial yang semakin parah, aktif dalam kegiatan mat rempit yang sukar dibendung dan yang amat penting ialah hilang upaya berfikir secara serius menerusi gelagat santai dan timbul kecenderungan budaya siber yang parah serta membabitkan generasi yang masih mentah dengan cabaran.

Ia tidak bermakna tidak ada orang Melayu yang berkualiti di Malaysia. Banyak bukti orang Melayu telah berjaya dalam bidang perubatan, penyelidikan, bisnes, bidang pembuatan, pengurusan, teknologi dan sebagainya. Bagaimanapun, lonjakannya belum sampai ke satu tahap yang mana ekuiti Melayu mampu melepasi ikatan 18.9 peratus (2004) seperti sekarang. Lonjakan ini akan hanya boleh berlaku sekiranya faktor keilmuan dan pendidikan diambil kira, faktor kualiti kepemimpinan dan kepengikutan dijadikan fokus, faktor agama yang mendukung islah dijadikan pertimbangan dan faktor pembudayaan yang perlu diteliti.

Bukan tidak ada peruntukan dan dasar yang ingin mendukung keperkasaan Melayu, tetapi ternyata wujud ketirisan pada pelbagai peringkat. Globalisasi yang menghimpit bangsa Melayu menyebabkan ruang tanpa sempadan wujud. Dinamik sistem komunikasi dan telekomunikasi menyebabkan cara berfikir manusia berubah. Bangsa Melayu tidak akan terus bertahan dengan mengambil anggapan dan sikap ada peruntukan dasar yang sifatnya ‘istimewa’ semata-mata. Orang Melayu berhadapan dengan realiti baru yang amat terbuka dan mencabar. Apakah minda Melayu terutama dalam kalangan generasi muda mempunyai keinsafan yang tinggi terhadap upaya bangsanya atau sedang dilalaikan dengan hal yang remeh-temeh serta mengalami ketirisan nilai dan etika yang amat parah.

Penulis ialah profesor pendidikan di UIAM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 12 Jun 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Status rayuan ke IPTA, politeknik lepasan SPM esok


PUTRAJAYA 12 Jun - Status keputusan rayuan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)/Politeknik Premier bagi Program Pengajian Lepasan SPM dan setaraf boleh disemak mulai 12 tengah hari esok (Khamis) melalui laman web rasmi Kemasukan Ke IPTA/Politeknik Premier di http://upu.mohe.gov.my.

Calon-calon boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web rasmi berkaitan atau Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pendidikan mulai 14 Jun.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan memberitahu, ia tidak pernah melantik sebarang ejen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan calon gagal mendapat tempat ke IPTA/Politeknik Premier.

Sebaliknya, kata kementerian itu, semua pengurusan pengambilan adalah diselaraskan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di kementerian tersebut, mengguna pakai dasar, prosedur serta kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh kementerian.

Keputusan rayuan adalah muktamad dan sebarang tawaran diterima daripada IPTA/Politeknik Premier sehingga 30 Jun, maka rayuan dianggap gagal.

Kemudahan 'hotline' dan 'Helpline' disediakan untuk membantu menjawab pertanyaan dan kemusykilan calon.

Calon boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di talian telefon 03-8870 6767 dan 03-8870 6777 untuk bantuan. - UTUSAN ONLINE

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Jangan hancurkan ikatan keluarga

Teknologi mempengaruhi kualiti  perhubungan antara ahli keluarga
Oleh : Johan Jaafar
 
Adegan di mana-mana kedai makan di kota dan di bandar utama dunia hari ini : keluarga sedang makan. Si bapa sibuk menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS), si ibu sedang ber-whatsapp dengan kawan, anak pertama sedang bermain Candy Crush Saga, seorang lain menghantar sesuatu melalui Facebook (FB), seorang lagi melayari laman web mencari muzik K-Pop terbaru.

Tiada siapa yang sebenarnya bercakap antara satu sama lain. Hanya sesekali terdengar sepatah dua kata yang muncul dari mulut si bapa atau si ibu. Keluarga ini secara fizikalnya dekat tetapi masing-masing berada dalam dunia yang berbeza. Mereka berkomunikasi dengan orang lain tetapi tidak sesama sendiri.

Maka itu kajian terbaru tentang komunikasi antara keluarga di United Kingdom (UK) menarik perhatian kita. Dalam kajian itu, setiap minggu pasangan di UK menghantar 34 mesej teks sesama sendiri dan kepada anak-anak mereka atau sejumlah 1,768 mesej teks setahun. Pasangan negara itu secara purata menghantar 10 e-mel seminggu dan 468 mesej menggunakan media sosial kepada anggota keluarga.

Moral ceritanya ialah anggota keluarga tidak lagi ‘bercakap’ sesama sendiri tetapi berhubungan menggunakan peralatan terbaharu. Malah anggota keluarga yang duduk serumahpun lebih selesa berhubungan menggunakan whatsapp atau FB daripada bercakap sesama sendiri.

Dunia perhubungan sesama anggota keluarga sudah berubah dengan hebatnya. Keluarga Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini. Kita sudah mendengar rungutan daripada ibu bapa dan guru tentang pelajar dan anak-anak yang terbina dalam senario baru ini. Hubungan keluarga – termasuk kerukunan dan ikatan – nampaknya sedang melalui proses perubahan atau transformasi luar biasa.

Zaman komunikasi luar biasa

Zaman ayah, ibu dan anak-anak makan semeja dan berbual-bual secara santai atau terbuka nampaknya akan berakhir. Anak-anak hari ini tidak dapat meninggalkan peralatan teknologi terbaru, walaupun di meja makan. Ibu bapa pula sibuk melayani mesej dari pejabat atau dari teman-teman. Selain pinggan, mangkuk dan cawan, telefon pintar menjadi sebahagian peralatan di atas meja makan hari ini.

Ini zaman komunikasi luar biasa. Teknologi terbaru memungkinkan manusia berhubungan secara pantas. Media sosial bukan sahaja mengubah cara kita berhubungan tetapi juga cara kita berkeluarga malah suasana politik tanah air. Ambil sahaja contoh Twitter yang amat popular itu. Lebih 400 juta ‘tweets’ dihantar setiap hari oleh penggunanya di seluruh dunia. Twitter baru sahaja berusia tujuh tahun.

Pada masa ini FB sudah mencecah satu bilion pengguna (angka terbaru 1.1 bilion). Ini bermakna seorang daripada tujuh penghuni planet Bumi merupakan pengguna FB. Di Malaysia sahaja terdapat 13.2 juta pengguna FB. Negara kita merupakan negara ke-18 daripada segi jumlah pengguna FB di antara 50 negara paling aktif.

Bayangkan bagaimana hebatnya peranan yang dimainkan oleh media sosial dalam kehidupan kita. Dan bagaimana ia menjejaskan sistem kekeluargaan kita.

Ibu bapa hari ini tidak terperanjat lagi mendapat mesej daripada anak mereka yang tinggal serumah atau mengetahui keputusan peperiksaan mereka melalui FB atau Twitter. Mereka juga mahu tidak mahu mengikuti pandangan dan kegiatan anak-anak mereka melalui media sosial.

Lautan ilmu di internet

Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa internet dan aplikasi media sosial besar manfaatnya pada manusia. Internet mendemokrasikan ilmu dengan cara yang luar biasa. Berbilion maklumat dan data serta ilmu boleh diperoleh dengan hanya menggunakan jari. Internet merupakan lautan ilmu tanpa sempadan. Kita boleh memperoleh apa sahaja maklumat dengan pantas dan yang lebih penting lagi secara percuma.

Akibatnya manusia menjadi lebih berilmu, lebih bermaklumat dan lebih terdedah. Sistem pendidikan berubah secara drastik. Banyak gunanya teknologi komunikasi terbaru ini. Asalkan tidak disalahgunakan. Penggunaan media sosial harus dilandasi oleh tanggungjawab dan dunia siber tidak boleh menjadi alam koboi tanpa undang-undang dan peraturan.

Dan yang lebih penting ialah sistem keluarga tidak harus dihancurkan oleh teknologi. Keharmonian keluarga tidak harus dikorbankan.

Kawallah penggunaan teknologi. Anak-anak kecil terutamanya harus tahu batas penggunaannya. Ada kalanya kita harus mengetepikan peralatan moden.

Macam dulu-dulu juga.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Jenayah siber cabaran baru sistem perundangan


Oleh : Mohd Ayob Abd Razid 

Perkembangan kehidupan masyarakat pascamoden hari ini nampaknya banyak dipengaruhi media siber. Pada satu sisi, perkembangan ini dilihat sebagai positif kerana banyak kebaikannya. Antaranya, ia mendorong dan memperluas integrasi ekonomi pada peringkat global serta memperluas nilai demokrasi dan hak asasi manusia.

Namun, pada sisi yang lain kelihatan media siber umpama ‘jelmaan syaitan’ yang membawa kerosakan dalam kehidupan manusia hari ini. Bukan ia tidak baik, tetapi kejahatan manusia yang menggunakannya menyebabkan alat yang baik itu disalahgunakan.

Ini lumrah kerana dalam kehidupan masyarakat pasti akan ada manusia yang cenderung ke arah perilaku menyimpang.

Ia tidak dapat dielakkan sejak kewujudan manusia di bumi ini. Sekelompok pengamal dan pengguna media siber menggunakan kemudahan media siber dengan cara yang tidak benar dan melanggar hukum semata-mata untuk memenuhi kepentingan mereka. Namun, apabila kejahatan ini disebarkan melalui maya secara berleluasa dan merentasi sempadan fizikal, maka kesannya sangat terasa. Ia merosakkan kehidupan masyarakat dan bernegara serta nilai kemanusiaan.

Kejahatan yang disebarkannya boleh mempengaruhi dan membentuk cara berfikir serta bertindak ramai manusia lain, terutamanya mereka yang rapuh pegangan hidup atau yang tidak mempunyai asas pengetahuan mengenai sesuatu perkara yang sudah diputarbelitkan oleh pihak yang berkepentingan serta mempunyai agenda tertentu.

Sukar bendung

Memang sukar dibendung kerana kejahatan yang dilakukan melalui internet merentasi sempadan negara dan pencerobohan fizikal. Realitinya, kejahatan media siber adalah potret permasalahan jiwa manusia. Realitinya, perkembangan negatif dunia internet sedang menggugat kehidupan masyarakat global, termasuk di negara kita sendiri.

Ancaman kejahatan siber adalah bersifat transnasional. Kejahatan ini merangkumi gerakan terrorisme, pencurian wang, sindiket pengedaran dadah, penjualan senjata secara haram, rompakan di laut, pencerobohan rahsia negara, pencerobohan hak individu, penghinaan terhadap agama dan pelbagai bentuk kejahatan lain yang semuanya boleh mengancam kehidupan masyarakat global dan masyarakat setempat.

Ancaman global ini adalah impak daripada revolusi teknologi komunikasi dengan jangkauan kejahatan transnasional cepat berkembang ke serata dunia. Penyalahgunaan jaringan internet untuk tujuan keganasan siber antara bentuk kejahatan yang sangat ditakuti masyarakat dunia hari ini. Kumpulan pengganas memanfaatkan kemudahan internet untuk mengembangkan ideologi, malah melancarkan keganasan ke atas sasarannya.

Dalang jenayah

Demikianlah, di sebalik kemajuan teknologi maklumat, terutama internet, berkembangnya pelbagai jenayah siber. Dalang kepada pendorong jenayah siber ini adalah kelompok mahir mengendalikan internet untuk mempengaruhi pengguna awam. Kelompok ini mudah dikuasai seolah-olah menjadi pengikut atau tentera mereka bagi menyebar lagi kejahatan yang mereka ciptakan itu. Antara mereka, ada yang didalangi pengaruh asing yang menyalurkan dana bagi tujuan aktiviti jahat itu.

Sama ada penjenayah siber atau pengganasan siber, mereka adalah pelaku kejahatan media siber yang membahayakan kehidupan individu, masyarakat, negara dan masyarakat global. Mereka ini mempunyai kepentingan tertentu yang mahu dicapai secara tidak sah atau menyalahi hukum merangkumi kepentingan ideologi, politik, perniagaan, budaya, agama dan sebagainya. Sering kali mereka tidak mempunyai matlamat, tetapi suka melihat kerosakan dalam kehidupan masyarakat hasil jenayah siber yang mereka lakukan.

Individu seperti ini boleh dianggap manusia yang menghadapi Cyber Dysfunctional Personality Disorder (CDPD) yang menghadapi masalah expression of reality. Mereka mungkin tidak berbahaya jika sekadar menunjukkan kegilaan untuk membuka terlalu banyak akaun media sosial sehinggakan berpuluh-puluh untuk menunjukkan mereka popular atau sociable.

Namun, masalah timbul apabila mereka lebih cenderung melakukan jenayah siber.

Kesimpulannya, di sebalik manfaat teknologi internet, wujudnya bentuk jenayah baru, iaitu jenayah siber yang menjadi cabaran kepada sistem perundangan dan kehakiman negara. Justeru, perlu ada satu perancangan dan pembangunan strategi oleh kementerian serta pihak berkuasa bagi memantau aktiviti media siber serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan siber yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat serta mengancam keselamatan negara.


Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa 'sekerat ular sekerat belut'


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

UMUM memahami, bahasa yang bercampur-campur dikenali sebagai “bahasa rojak” - yang membawa maksud bahasa Melayu + bahasa Inggeris atau bahasa Melayu + bahasa Cina  atau bahasa Melayu + bahasa Tamil begitulah seterusnya.

Tetapi  mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim pernah menyatakan, bahasa seperti ini ibarat “sekerat ular sekerat belut” iaitu bahasa bercampur-campur yang tidak harus digunakan oleh juru hebah, pengacara dan pembaca berita.

Mengikut pakar bahasa Melayu, yang juga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan, bahasa seumpama ini bukan sahaja merosakkan bahasa malah membantutkan perkembangan bahasa itu sendiri.

Penutur yang mengamalkan bahasa rojak bukan sahaja merosakkan penggunaan bahasa malah menjatuhkan dan merendahkan martabat sesuatu bahasa, terutama Bahasa Melayu.

Perkembangan terkini, semakin merebak penggunaan bahasa rojak dan bahasa “sekerat ular sekerat belut” ini di radio dan televisyen.

Pengguna terutama juruhebah dan pengacara tidak peka terhadap penggunaan bahasa yang betul.

Banyak bahasa yang bercampur baur yang boleh menjadi ikutan para penonton dan pendengar, terutamanya golongan muda yang akhirnya merosakkan Bahasa Melayu.

Ketegasan pihak kementerian berkenaan sepatutnya berlaku dan pihak atasan di kementerian wajar memberikan garis panduan kepada juru hebah, juga pengacara supaya tidak menggunakan bahasa rojak dalam penggunaan rasmi di radio dan televisyen.

Kelancaran Bahasa Melayu banyak bergantung pada penggunaan tata bahasa yang betul, intonasi  yang tepat, sebutan vokal dan kesopanan bahasa sewaktu menuturkan bahasa ini.

Oleh itu, kemurnian bahasa dapat diwujudkan dan Bahasa Melayu dapat dituturkan dan disampaikan dengan indah dan berseni. Ini juga dapat mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang penuh dengan keindahan dan kesopanan. Di peringkat sekolah  Bahasa Melayu telah diajar dengan baik supaya pelajar dapat bertutur dan menulis dengan berkesan.

Seperti kata Samuel Johnson, bahasa adalah pakaian kepada fikiran. Sementara menurut James Adam, bahasa yang buruk merosakkan fikiran. Oleh itu, berhati-hatilah ketika menggunakan bahasa terutama untuk menyampaikan ilmu kepada orang ramai agar bahasa itu tidak dirosakkan.

Justeru, Langkah menggunakan bahasa yang betul dan tepat mestilah dilaksanakan di semua stesen televisyen sama ada di pihak kerajaan atau swasta, begitu juga di stesen-stesen radio yang semakin bercambah di negara ini.

Mereka menggunakan bahasa untuk menyampaikan sesuatu, gunakanlah bahasa yang betul dan tepat ketika menyampaikan berita dan maklumat.

Bahasa adalah alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Bahasa juga adalah cermin kepada fikiran. Bahasa juga adalah jiwa kepada bangsanya.

Jika bahasa tidak digunakan dengan betul dan tepat dan dipermain-mainkan atau dipermudahkan penggunaannya yang akan menyebabkan bahasa tersebut hilang kewibawaan, kebijaksanaan dan hikmahnya.

Di Parlimen masih terdapat penggunaan yang tidak lancar dan tidak tepat oleh sesetengah Ahli Parlimen.

Kata-kata “bahasa menunjukkan bangsa” seharusnya menjadi renungan kita semua. Bahasa Melayu jelas mempunyai keindahan, kesopanan dan kemurnian yang harus dipertahankan.

Melalui saluran media sama ada akhbar, radio dan televisyen bahasa dapat digunakan dengan berkesan kepada khalayak pembaca, pendengar dan penonton.

Sesungguhnya, usaha memartabatkan dan mendaulatkan bahasa adalah terletak kepada tanggungjawab semua pihak iaitu kepada  setiap rakyat yang cintakan bahasanya.

Siapa lagi yang harus memperjuangkan bahasanya selain daripada bangsa itu sendiri yang sedar dan insaf akan kedudukan bahasanya yang semakin terancam?


Hanya kitalah yang bertanggungjawab mendaulatkan Bahasa Melayu pada kedudukan yang tinggi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 11 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Menjadikan proses belajar lebih seronok


Oleh : Mohamad Abdullah

Aplikasi ilmu penting hadapi cabaran masyarakat, negara pada masa depan

Ketika bertitah secara spontan dalam satu majlis meraikan Hari Keputeraan Ke-70, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menzahirkan kebimbangan baginda terhadap tekanan yang dilalui oleh anak-anak sekarang ini dalam memenuhi harapan semua pihak untuk melihat mereka berjaya dalam akademik.

“Walau pun kita tahu pencapaian akademik penting, namun perlu juga difikirkan bagaimana untuk menjadikannya sebagai satu proses yang menyeronokkan,” titah baginda dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

Seruan itu tentunya berkait rapat dengan pelbagai cabaran yang dihadapi rakyat, masyarakat dan negara pada masa ini dan masa hadapan sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan kepelbagaian dan kerencaman bahasa, budaya, adat dan keturunan seperti di Malaysia, yang pada masa sama ingin meningkatkan daya saing negara dalam bidang ekonomi dan industri serta mengekalkan jiwa dan jati diri mengikut acuan sendiri.

Ia harus bermula dengan proses pembelajaran dari sekolah hinggalah ke universiti dan bagaimana aplikasi ilmu dalam kehidupan mahu pun kerjaya dapat dilakukan. Ia juga harus bermula dengan proses pendidikan dengan melihat semula infrastruktur bilik darjah, persekitaran bilik darjah, persekitaran sekolah, malah guru-guru yang mengajar dan segala-galanya secara terperinci untuk memulakan misi ini tanpa perlu menyentuh dasar dan apa-apa juga perancangan yang dibuat, dikaji dan digubal selama ini.

Kembali kepada asas

Kita perlu kembali kepada asas dan isu fundamental untuk melihatnya secara jujur mengenai proses penyampaian dan persekitaran yang ada. Sejauh manakah bezanya dengan bilik darjah yang pernah kita lalui 10 tahun lalu, 20 tahun lalu malah mungkin lebih jauh ke belakang?

Adakah perubahan berlaku atau dilakukan selari dengan pelbagai perubahan persekitaran yang terjadi selama ini, kemajuan infra dan infostruktur yang canggih dengan konsep langit terbuka, kemudahan internet dan tablet yang pantas sebagai pengganti alat tulis, buku teks dan bahan rujukan? Atau kita masih pada tahap dan persekitaran yang sama dengan hanya manusia (guru, pensyarah dan pengurus) yang berbeza dan pelajar yang silih berganti?

Bagaimanakah sikap cintakan kepada ilmu pengetahuan, minat untuk meneroka dan berfikir serta melihat ilmu dalam konteks kecintaan yang mendalam dan menjadi asas kepada reka cipta, inovasi dan pengetahuan baru dibangunkan secara segar selaras dengan sifat ingin tahu anak-anak kita atau hanya masih sama seperti dahulu, membaca buku teks, menghafal segala fakta dan guru sentiasa betul lalu meluahkannya di kertas peperiksaan saban tahun?

Atau kita masih berlegar di sekitar masalah, daripada pelajar, ibu bapa, sekolah, guru, pendidik dan pensyarah yang bermasalah, termasuk tekanan mental, perasaan atau apa juga yang dianggap sebagai masalah yang berterusan sebagai kekangan kepada apa juga yang ingin dilakukan?

Habiskan silibus

Adakah kita masih lagi melihat ilmu sebagai usaha menghabiskan silibus, mencapai keputusan sebanyak mungkin A dalam setiap subjek, menghafal dan meluahkan semula dalam ujian dan peperiksaan termasuklah sehingga berada di universiti?

Ini samalah dengan usaha mendidik mengenai kepentingan mempunyai keprihatinan terhadap persekitaran, sama ada amalan budi bahasa, kesopanan dan kesusilaan, hormat menghormati malah juga integriti melalui buku teks dan pelajaran sekolah seperti sivik yang kerap kali menjadi bahan jenaka yang jarang dianggap serius.

Kita perlu kembali kepada hal fundamental ini dan melakukan penambahbaikan secara berterusan dan realistik. Semua pihak berkepentingan perlu melihat dengan jujur ke mana kita ingin bawa proses dan sistem pendidikan yang ada. Sistem kita boleh sahaja menjadi antara yang terbaik tetapi yang lebih penting ialah bagaimana ia dihayati, dilaksana, dirasai malah berupaya untuk kembali kepada roh ilmu yang bertunjangkan kalbu, fitrah manusia dan alamnya serta menjadi mekanisme dalam kesejahteraan sosial, kelangsungan alam dan manusia seluruhnya.

Tentunya proses pendidikan, pembelajaran pengajaran dan penguasaan ilmu seharusnya berasaskan kecintaan mendalam terhadap ilmu, memahami konsep penerokaan ilmu dan bersemangat menggali segala khazanah ilmu untuk dihayati dengan penuh keseronokan dan kebebasan.

Sekolah, kolej dan universiti pula mesti menjadi khazanah yang ingin diterokai, didatangi dan dicintai. Kasih sayang kepada ilmu itulah menjadi puncak keseronokan belajar apatah lagi mengajar.


Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 10 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Apakah Peranan Anda dalam Menangani Gejala Disiplin Murid?

Ponteng sekolah antara gejala yang biasa berlaku dalam kalangan murid

JIKA ANDA SEORANG IBU ATAU BAPA

Peranan terhadap anak

Ibu bapa ialah orang yang paling rapat dengan anak-anak terutama ibu. Kasih sayang boleh mengikat hati anak-anak di rumah. Salah laku lazimnya berlaku di luar rumah terutamanya jika jauh daripada pengawasan ibu bapa. Ibu bapa hendaklah:

• Mengawasi pergerakan dan aktiviti anak selepas waktu sekolah
• Menasihati anak yang mula menampakkan kecenderungan penyelewengan
• Memberi kemudahan anak mengikuti kegiatan kokurikulum
• Membelikan bahan bacaan yang bermanfaat
• Mengawal kegiatan mengakses internet
• Meluangkan masa untuk mendengar masalah anak
• Prihatin terhadap prestasi pembelajaran anak di sekolah
• Semua ahli keluarga ada bersama-sama ketika makan

Peranan terhadap guru anak anda

Ibu bapa harus memberi kepercayaan penuh kepada guru untuk mendidik si anak. Mereka telah diberi kemahiran untuk berbuat demikian. Sokongan hendaklah diberikan berterusan hingga anak itu dewasa. Ibu bapa dan guru bertukar ganti mengambil alih tugas mendidik anak. Ibu bapa juga hendaklah:

• Mengenali guru kelas anak dan berinteraksi dengan mereka
• Akur akan tindakan disiplin terhadap murid yang melakukan kesalahan mengikut peraturan sekolah
• Melibatkan diri dalam kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
• Menyumbang tenaga dalam PIBG mengikut profesionalisme
• Menghargai guru

JIKA ANDA SEORANG MURID

Peranan terhadap ibu bapa

Hormati ibu bapa. Ibu bapa telah mendidik anda dengan penuh kasih sayang dan perhatian yang optimum, jadi balas jasa mereka. Berbuat baiklah kepada ibu bapa. Apabila anak sibuk untuk berbakti kepada ibu bapa, kecenderungan untuk terjebak dengan jenayah akan hilang. Anak-anak juga hendaklah:

• Taat dan patuh kepada ibu bapa
• Bertindak pantas apabila diarahkan ibu bapa
• Mengikuti nasihat ibu bapa
• Diwajibkan melaporkan kegiatan harian kepada ibu bapa
• Menyenangkan hati ibu bapa
• Minta nasihat dan pendapat ayah dan ibu

Peranan Terhadap Guru

Kenanglah jasa guru. Guru disayangi, bukan dibenci; dihormati, bukan dikeji. Sepatah ajaran guru mungkin telah meningkatkan kemajuan dan kecemerlangan diri kita. Kenapa mesti kita nodai kejayaan ini dengan kegiatan salah laku yang merosakkan diri kita sendiri? Ingatlah jasa guru. Seorang murid hendaklah:

• Menghormati guru
• Anggap guru sebagai ibu bapa kedua
• Merujuk kepada guru dalam semua hal
• Ikut nasihat guru
• Selalu memberi khidmat dan membantu guru
• Buang anggapan “guru hanya hendak menyusahkan kita” sebaliknya “guru hendak mendidik kita”

JIKA ANDA SEORANG GURU

Peranan terhadap murid

Didiklah murid secara lebih tersusun dan terarah. Jangan terlalu menekan dari segi kecemerlangan akademik hingga meninggalkan kecemerlangan sahsiah. Berperananlah sebagai ibu bapa kedua kepada murid. Anda berfungsi melahirkan insan bukan robot. Guru juga hendaklah:

• Memerhati murid walaupun selepas waktu sekolah
• Lebihkan masa dengan aktiviti kokurikulum
• Beri tumpuan lebih di dalam kelas terhadap murid bermasalah
• Memberi kaunseling kepada murid yang bermasalah
• Anggap murid seperti anak sendiri
• Libatkan murid dengan hobi yang positif

Peranan terhadap ibu bapa murid

Jangan memandang rendah terhadap latar belakang ibu bapa yang kurang bernasib baik. Murid dan keluarga sedemikian harus ditangani sewajarnya. Beri motivasi dan panduan. Guru juga hendaklah:

• Melaporkan kemajuan pelajaran murid
• Melaporkan perkembangan sahsiah murld
• Membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan mendidik anak
• Mengenali ibu bapa murid
• Fahami dan cuba cungkil kerjaya ibu bapa
• Beri kaunseling dan pulihkan harapan kepada ibu bapa yang telah kecewa dengan salah laku anak mereka

JIKA ANDA AHLI MASYARAKAT

Generasi muda merupakan penyumbang kepada tenaga penggerak masyarakat dan negara pada masa akan datang. Murid ialah komponen masyarakat yang muda dan masih mentah. Oleh sebab itu, bimbingan dan pemantauan terhadap mereka sangat diperlukan Antaranya:

• Ambil perhatian jika melihat perkara yang tidak betul pada anak jiran anda
• Mengadakan aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat
• Mengelakkan aktiviti kemasyarakatan yang memudaratkan
• Gerakkan aktiviti peringkat taman, kampung, surau, dan masjid
• Wujudkan aktiviti kanak- kanak
• Rapatkan perhubungan antara generasi muda dengan tua
• Beri bimbingan dan harapan kepada golongan muda yang terpesong untuk berubah

HINDARI PERBUATAN SALAH LAKU

• Tingkah Laku Jenayah
• Tingkah laku Kurang Sopan / Biadab
• Membuli
• Penyalahgunaan Dadah / Inhalan / Racun
• Tingkah laku Tidak Amanah
• Vandalisme
• Merokok
• Kenakalan
• Ponteng
• Tingkah laku Tidak Mementingkan Masa
• Tingkah laku Lucah
• Kekemasan Diri

PENEKANAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN SALAH LAKU

Pencegahan salah laku harus mempunyai pengisian yang mantap. Minda anak-anak yang masih kosong boleh menerima apa-apa sahaja isme dan pengaruh yang mampu dicapai oleh mereka. Keterbukaan dunia globalisasi membuat anak- anak mampu mencapai ilmu pengetahuan tanpa sempadan. Kadang kala mereka tidak mampu membuat pilihan antara yang baik dengan yang buruk.

Antara aspek pendidikan yang perlu ditekankan ialah:

• Pendidikan agama dan aktiviti keagamaan
• Pendidikan akhlak
• Fakta kerosakan diri akibat daripada melakukan sesuatu jenayah
• Menanamkan rasa sivik yang tinggi
• Pendidikan moral

Hubungi 1 800 88 4774
atau
adudisiplin@moe.gov.my

Faks 03 8888 6681

Sumber : http : //ehwalmurid.blogspot.com/