Ahad, 16 Jun 2013

ISU BAHASA : Di sini langit dijunjung


KELANTANGAN FELO Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG yang sering sahaja menggesa orang Cina memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan dan pertuturan sering sahaja ‘menghangatkan’ mereka yang tidak bersetuju dengannya.

Maka adalah tidak menghairankan ketika dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau meluahkan menerima pelbagai kecaman, cercaan dan kata nista yang adakalanya di luar batasan.

Namun sudah menjadi satu tanggungjawab baginya untuk terus lantang dan tidak sesekali gentar dengan cemuhan bagi terus memperjuangkan bahawa semua bangsa di negara ini perlu belajar dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik malah akan mempertahankannya jika ada pihak yang cuba menggagalkannya.

Terbaru beliau mengecam tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai melampau kerana bersikap keterlaluan dalam melindungi bahasa Cina selain menyatakan tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai 'Cina' kecuali di Malaysia.

Kok Seong juga mahu pertubuhan itu berhenti membuat tuntutan melampau sebaliknya menggunakan pendekatan mengambil kira resam 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.

Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina," kata beliau.

MINGGUAN : Pada pandangan Datuk kenapa Dong Zong terlalu bertegas dalam mempertahankan sekolah vernakular dan langsung tidak mahu bertolak ansur dalam hal ini?

TEO KOK SENG : Pertama sekali kita perlu memahami peranan dan kewujudan Dong Zong itu sendiri. Ia merupakan sebuah badan yang cukup berpengaruh melindungi bahasa Cina dalam pendidikan mereka. Kita boleh katalah mereka ini bertindak seolah-olah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi untuk orang Cina. Bagaimanapun bagi saya perjuangan dan usaha mereka untuk melindungi bahasa Cina setelah kita mencapai kemerdekaan 56 tahun yang lalu adalah keterlaluan dan tidak selari dengan pepatah dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sebab itu saya melihat dakwaan mereka bahawa dengan pelantikan menteri yang tidak fasih berbahasa Mandarin yang dibangkitkan Dong Zong baru-baru ini sebenarnya bukanlah satu isu besar. Saya melihat dakwaan mereka ini agak melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat sebenar orang Cina hidup di Malaysia ini.

Keduanya saya melihat tindakan Dong Zong ini dalam kebanyakan hal adalah amat anti nasional kerana perjuangan mereka ini tidak mengambil kita kedudukan dan suasana di negara ini dan mereka sering bertelagah dengan parti MCA dan Gerakan. Bagi mereka kedua parti ini tidak mampu memperjuangkan isu sekolah Cina dan sering memperkecilkan fungsi dan peranan MCA dan Gerakan. Mereka juga sering menentang hasrat Kementerian Pendidikan sebelum ini yang berniat murni mahu menggalakkan perpaduan dan pembentukan jati diri kebangsaan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Mereka dilihat anti semangat nasional kerana enggan bekerjasama dalam membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan jati diri kebangsaan. Dalam soal jati diri kebangsaan ini sama ada mahu atau tidak adalah perlu memasukkan simbol dan proses budaya Melayu kerana ia sudah dipersetujui dalam kontrak sosial. Maka adalah perlu bahasa Melayu ini ditegakkan kedudukannya kerana ia merupakan Bahasa Kebangsaan jadi sudah tentu kita tidak boleh menolaknya dalam apa jua cara.

MINGGUAN : Pada pandangan Datuk apakah sekolah vernakular ini wujud kerana kaum Cina ini takut kedudukan bahasa dan budaya Cina terhapus atau mungkin ada agenda lain seperti tidak mahu proses asimiliasi seperti di Indonesia dan Thailand berlaku?

TEO KOK SEONG : Saya tidak pasti apakah tindakan mereka ini pada awalnya kerana tidak mahu proses asimiliasi berlaku dan perlu dikaji hal sebenar tentang itu. Namun adalah tidak mustahil perkara ini yang menjadi asas kenapa perlunya sekolah vernakular. Kita maklum bahawa perjuangan mereka ini adalah untuk melindungi bahasa ibunda tetapi saya melihat tindakan mereka ini agak berlebih-lebihan dalam mempertahankan bahasa Cina sehingga mengenepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sudah tentu ia bukan sesuatu yang sihat untuk kita semua.

Namun bagi saya yang paling penting adalah kita perlu menekankan perpaduan di kalangan kaum ini kerana kita dapati selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seolah-olah wujud semacam satu perseteruan politik yang jelas melibatkan pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN). Dan perkara ini diburukkan lagi melalui tindakan pengundi Cina yang menolak BN kerana terpengaruh dengan dakwaan dan hasutan pembangkang yang bersifat perkauman dan akhirnya menjadi satu perpecahan dan permusuhan politik yang tidak berkesudahan. Saya sangat berharap supaya kita tidak lagi memudaratkan keadaan. Saya lihat Dong Zong perlu lebih bekerjasama tentang peranan menggalakkan lagi perpaduan antara kaum serta membentuk negara bangsa Malaysia yang bersatu padu.

MINGGUAN : Apakah Datuk melihat isu sekolah dan bahasa Cina ini sering digunakan sebagai senjata politik terutama pada setiap kali pilihan raya?

TEO KOK SEONG : Kita boleh anggap begitu kerana setiap kali pilihan raya timbul maka isu berkaitan ini akan dimainkan dan nampak reaksi daripada kerajaan yang dilihat lebih berlembut dalam pilihan raya baru ini. Agak malang apabila setelah kebanyakan kemahuan ini dituruti kita lihat sokongan dari orang Cina tidak memberangsangkan. Saya melihat permintaan Perdana Menteri yang menggesa supaya dilakukan penyatuan nasional adalah satu permintaan beliau yang mahu rakyat di negara ini berdamai demi untuk negara. Maksud perdamaian ini kita lihat melibatkan masyarakat Cina dan kerajaan kerana rata-rata mereka tidak menyokong kerajaan selain kaum-kaum lain yang menyokong pembangkang.

Saya juga melihat apa yang berlaku selepas PRU-13 ini agak mencemaskan serta memperlihatkan permusuhan yang agak ketara. Antara buktinya apa yang kita lihat di dalam media sosial yang menggunakan bahasa kesat dan menghina. Ini cukup jelas menggambarkan perasaan marah dan emosi yang wujud di kalangan rakyat yang cuba bermusuh dengan UMNO dan BN. Oleh itu agenda penyatuan nasional ini lebih kepada menyelesaikan perpecahan dan permusuhan politik dalam jangka waktu pendek. Ini kerana isu melibatkan orang Cina tidak boleh ditolak ketepi kerana kita sedia maklum bahawa mereka ini sudah melihat kemampuan kuasa yang ada pada mereka sama ada menyokong atau tidak menyokong kerajaan.

MINGGUAN : Tidakkah Datuk melihat jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, sikap permusuhan dan sangsi antara kaum ini akan berterusan dari generasi ke generasi dan akhirnya agenda menyatupadukan antara kaum ini tidak akan tercapai sampai bila-bila?

TEO KOK SEONG : Perkara ini sudah tentu bukan satu perkara yang sihat. Malah saya melihat sehingga sekarang pelajar-pelajar di sekolah vernakular ini masih menebal dengan perkauman dan jati diri etnik mereka. Mungkin ini dilihat bagus kepada memelihara kebudayaan dan etnik Cina itu sendiri. Namun dalam keadaan negara majmuk dan orang Melayu itu adalah majoriti dan dominan sudah tentu perkara ini perlu diimbangi dengan jati diri kebangsaan. Dan apabila melibatkan jati diri kebangsaan sudah tentu ia perlu melibatkan simbol dan proses sosio budaya Melayu. Perkara ini yang kurang atau mungkin tidak ada sehingga mengakibatkan mereka kurang semangat kebangsaan seperti tidak boleh berbahasa Melayu malah ada yang tidak tahu apa pun tentang negara ini.

Bagi saya ini adalah sesuatu yang cukup malang kerana dalam soal kerakyatan dan kebangsaan adalah perlu bagi rakyatnya bersandar kepada bahasa dan budaya kebangsaan. Agak memalukan apabila ada warganegara Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atau hanya sepatah dua sahaja. Oleh itu masyarakat Cina perlu melihat perkara ini secara serius. Sudah tentu Dong Zong tidak akan melakukan perkara ini kerana ia bukan sebahagian dari skop perjuangan mereka. Namun parti politik perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini sementara nasi belum menjadi bubur. Perkara ini adalah satu keperluan sekarang namun malangnya kita lihat sangat jarang pemimpin politik bercakap mengenai perkara nasionalisme kebangsaan ini.

MINGGUAN : Mungkin ini adalah satu pendekatan yang tidak popular?

TEO KOK SEONG : Memang perkara ini tidak popular dan saya mengambil contoh diri saya yang banyak menyentuh tentang perkara kepentingan bahasa Melayu di kalangan orang Cina, maka saya sering sahaja dicerca dan dimaki hamun oleh mereka. Saya juga telah membuat laporan polis tentang beberapa kecaman dan penghinaan yang dinyatakan kepada saya yang diterima melalui e-mel dan laman sosial.

MINGGUAN : Ada pandangan yang menyatakan jika anak-anak orang Cina masuk ke sekolah kebangsaan berkemungkinan tinggi mereka akan masuk Islam dan berkelakuan dan berfikir seperti orang Melayu. Apa pandangan Datuk?

TEO KOK SEONG : Saya pernah dengar dari mulut orang-orang Cina sendiri tentang kebimbangan ini namun ia bukanlah sesuatu yang logik untuk berlaku. Bagi saya hanya bersekolah di sekolah kebangsaan atau pandai berbahasa Melayu tidak boleh menjadikan anak-anak mereka ini masuk Islam atau menjadi seperti orang Melayu. Yang boleh adalah orang perempuan dan lelaki Melayu yang menjadikan mereka masuk Islam. Memang ada kebimbangan mereka takut anak-anak mereka ini di Melayu atau di Islamkan. Namun bagi saya ini adalah satu kebimbangan yang langsung tidak berasas dan ia lebih kepada andaian semata-mata. Yang menjadi masalah sikap berlebihan mereka dalam menegakkan bahasa dan jati diri Cina kerana kita perlu mengimbangi perkara ini dan bukan mengikut semata-mata hanya kerana mereka orang Cina. Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina.

MINGGUAN : Tidakkah orang Cina perlu bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan begitu baik membenarkan sekolah vernakular ditubuhkan di negara ini kerana hakikatnya ia tidak wujud pun di negara lain?

TEO KOK SEONG : Bagi saya mungkin kita boleh katakan penubuhan sekolah vernakular di negara ini adalah sebahagian hak mereka di negara ini. Ia dijamin dalam keadaan tidak langsung di dalam Perlembagaan di mana bahasa-bahasa lain boleh diamalkan dan dipelajari dan tidak boleh dihalang kecuali untuk penggunaan maksud rasmi. Jadi secara tidak langsung orang Cina dan India ada hak dan saya kira hak sebegini tidak diberikan kepada orang Cina di negara lain. Ini sepatutnya dihargai oleh mereka dan perlu disyukuri. Tetapi malangnya seperti yang saya katakan tadi tidak ada pemimpin Cina yang mahu memberitahu tentang perkara baik ini maka mungkin sesetengah dari orang Cina ini mungkin tidak tahu betapa istimewanya mereka diberi hak sebegini.

Kenapa saya katakan ia umpama hak istimewa adalah kita boleh lihat sendiri di Indonesia bagaimana orang Cina di sana terpaksa menukar nama mereka mengikut nama Indonesia. Malah di Thailand bukan sahaja orang Cina tidak ada keistimewaan sebegini malah orang Melayu juga tidak mendapat keistimewaan ini. Orang Melayu di Selatan Thailand tidak diberi kebenaran untuk membuka sekolah Melayu dan hanya mempelajari bahasa Melayu secara tidak formal di sekolah-sekolah pondok. Malah kita boleh lihat anak-anak muda Melayu di Selatan Thailand tidak boleh berbahasa Melayu. Maka jati diri etnik Melayu dan Cina di Thailand sudah tidak ada walaupun jati diri nasional mereka begitu kuat. Maka di sini kita boleh melihat negara Thailand dan Indonesia begitu berjaya dalam meningkatkan jati diri rakyat mereka terutama di kalangan minoriti. Jadi saya lihat Malaysia adalah sebuah negara yang istimewa kerana memberi kebebasan di kalangan rakyatnya terutama dalam soal mempertahan budaya asal namun janganlah sehingga berlebihan atau over protective.

MINGGUAN : Satu isu yang menimbulkan tandatanya adalah kenapa orang Cina di negara ini begitu takut anak mereka masuk Islam dan jadi Melayu. Tetapi mereka tidak berpandangan sedemikian jika menetap Barat dan tidak kisah anak mereka menjadi atau berkelakuan seperti orang Barat ataupun menukar agama kepada Kristian?

TEO KOK SEONG : Memang benar. Mereka bersedia untuk mengasimilasi dengan orang Barat tetapi di sini mereka tidak bersedia malah akan menolak untuk mengasimilasi. Malah sebenarnya kerajaan selama ini pun tidak pernah memaksa orang Cina mengasimilasi dengan orang Melayu. Negara ini ditubuhkan pada peringkat awal kemerdekaan atas dasar kemajmukan etnik dan keragaman budaya. Maksudnya kita mengakui kewujudan pelbagai bangsa di negara ini dan membenarkan semua bangsa-bangsa ini wujud secara terpisah dan cuba menyatukan mereka melalui sistem pendidikan.

Walaupun wujud sekolah vernakular tetapi di peringkat sekolah menengah semua kaum ini akan bercantum kembali. Tetapi nampaknya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang sudah berusia 13 tahun ini kerana usaha perpaduan itu tidak begitu dirasai. Walaupun Dong Zong menyatakan sukatan pelajaran adalah sama dengan sekolah kebangsaan tetapi akibat penggunaan bahasa yang berbeza maka ia membentuk perwatakan dan jati diri yang berbeza. Sudah tentu hasilnya lain macam kerana tidak ada persefahaman sebenar kerana penggunaan bahasa yang berbeza. Seharusnya sekolah satu aliran atau sekolah wawasan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini tetapi melihat kepada keadaan sekarang terutama selepas PRU-13, usaha ini kelihatannya sudah agak mustahil. Apatah lagi semua parti politik Cina tidak ada semangat mahu memperkasakan perkara ini maka usaha membentuk satu jati diri kebangsaan sudah semakin sukar apatah lagi dalam keadaan politik yang sudah menjadi pelbagai acuan.

MINGGUAN : Mungkin Datuk ada pandangan tentang bentuk penyelesaian kepada masalah ini?

TEO KOK SEONG : Kalau kita benar-benar sayang kepada tanah air ini sudah sampai masanya kita duduk semeja dan lihat kembali serta bertanya bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini untuk keharmonian dan perpaduan semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum. Saya melihat kita perlu memanfaatkan sistem yang ada sekarang ini. Ini kerana jika kita mencadangkan usul baharu kita boleh lihat bagaimana respons dari Dong Zong dan lain-lain yang langsung tidak mahu menerima sehingga ia mampu memudaratkan hubungan yang kini sudah tidak berapa harmoni lagi. Malah Dong Zong ini sememangnya tidak pernah mahu bersetuju dan sering prejudis dan selalu curiga tentang hasrat kerajaan yang mahu mengharmonikan semua kaum. Mereka sering menganggap usaha kerajaan ini adalah agenda kerajaan untuk menghakis sekolah dan bahasa Cina.


Ini menunjukkan seolah-olah wujud satu perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Saya boleh katakan keadaan sekarang ini terlalu runcing umpama kita duduk serumah tetapi jika mahu ke bilik air walaupun bilik sudah berkunci tetapi masih membawa komputer riba ke bilik air kerana tidak percaya kepada rakan serumah. Soalnya bagaimana kita boleh bersatu padu dalam keadaan terlalu banyak sistem sekarang ini. Kalau boleh kita duduk semeja dan cari jalan untuk mengguna pakai cara yang diterima semua. Mungkin pihak Dong Zong sendiri boleh memberi cadangan bagaimana mahu mengendurkan ketidakpercayaan sesama kaum ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan bukan untuk lahirkan 'robot pintar'


SHAH ALAM : Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan berperanan 'memanusiakan manusia'.

Bagi mencapai matlamat ini, pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas kerana cinta diyakini mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling memberi.

Seperti mutiara kata daripada cendekiawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan'.

Itu antara intipati Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) yang diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam tadi.

Pedagogi merujuk kepada kaedah pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran baharu yang berasaskan cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.

Forum malam tadi menampilkan tiga panelis iaitu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, yang juga aktivis masyarakat, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj yang juga pendakwah bebas dan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang juga penceramah bebas manakala moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Gabungan mantap panelis berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan perbincangan seputar pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab daripada hadirin.

Panelis turut menekankan, pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah penindasan sesama manusia, meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap cintakan ilmu pengetahuan.

Ustaz Hasrizal menekankan, sikap ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.

"Apabila kita hilang sifat kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan cinta adalah untuk memanusia kembali manusia.

"Pedagogi pendidikan cinta bergantung kepada bagaimana kita memandang manusia lain di sekeliling," katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful Islam.

Dr Harlina pula menegaskan, pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A' yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah, jasmaniah dan insaniah.

Pendidik pula katanya, harus mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar, bukan sekadar untuk memberitahu.

"Guru yang bagus ialah guru yang mampu mencetuskan inspirasi kepada pelajar-pelajarnya.

"Guru yang bersemangat mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan sebenarnya dia lebih banyak belajar sewaktu dia mengajar," katanya.

Dr Maszlee pula berpandangan, pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan sehingga melahirkan pelajar yang meminta-minta pekerjaan.

"Sistem pendidikan sekarang yang dirosakkan oleh politik dan komersil melemahkan pelajar sehingga melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan, bukan mencipta peluang pekerjaan," katanya.

Sumber : http : //bmharakahdaily.net/

ISU PENDIKAN : Politik, nilai komersial punca pendidikan rosak


SHAH ALAM - Sistem pendidikan di negara Islam  dilihat telah ‘dirosakkan’ oleh dua perkara iaitu akibat daripada politik dan nilai komersial.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik berkata, dua faktor itu yang mana akhirnya menjadikan para pelajar mangsa.

"Permainan politik di negara Islam, yang mana terdapat banyaknya kelompongan dan ketirisan seperti gejala rasuah dalam pendidikan sedikit sebanyak telah menjejaskan sistem pendidikan di negara islam tersebut.

"Manakala sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan nilai komersial sehingga mengetepikan nilai kemanusiaan juga telah menjejaskan sistem pendidikan tersebut," katanya ketika menjadi panel Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) di Kompleks Karangkraf, di sini, malam semalam.

Forum itu turut menampilkan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil dan Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj manakala moderatornya, Pengarah Eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Mengulas mengenai sistem pendidikan yang sedia ada, Dr Maszlee turut mendakwa ia melatih dan menghasilkan pelajar yang menjadi hamba kepada kehendak pasaran.

"Sistem pendidikan sedia ada melatih pelajar ke arah menjadikan mereka hamba  pasaran.

"Universiti menjadi kilang untuk menghasilkan robot bagi mendapatkan hasilnya," katanya

Menyentuh perkara yang sama Dr Harlina Siraj juga, mengatakan bahawa cara mendidik yang terbaik ialah dengan mengajar sepenuh hati, jujur dan sabar.

Dalam pada itu beliau turut menekankan objekif pendidikan mestilah berpaksikan kepada nilai-nilai tersebut untuk menghasilkan perubahan atas seseorang pelajar tersebut.

Menyentuh perkara ini, Dr Harlina turut menggariskan lima perubahan yang perlu diberi penekanan atas seseorang pelajar meliputi aspek akidah, akhlak, aqliah, insaniah dan jasmani.

"Bagi saya penekanan kepada lima aspek ini penting, seandainya kita serius untuk melahirkan pelajar yang berjaya," katanya.

Menurut Dr Maszlee lagi, peranan pendidik yang bukan sahaja terletak pada bahu guru semata-mata sebaliknya terletak pada setiap bahu masyarakat Islam.

Sementara itu beliau turut mengulas mengenai pentingnya elemen kasih sayang dalam sistem pendidikan sedia ada sekiranya serius untuk melahirkan masyarakat terbaik pada masa akan datang.

"Segalanya bermula dengan kasih sayang. Cinta itu membawa makna yang luas. Dengan adanya elemen kasih sayang, saya percaya pelajar kita akan jatuh cinta kepada ilmu," katanya.

Manakala menurut Dr Harlina, ilmu perlu diterap supaya masyarakat pentingkan ilmu.

"Perasaan dahagakan ilmu itu perlu diterap oleh setiap ibu bapa kepada anak masing-masing.

"Jangan jadikan menuntut ilmu sebagai satu bebanan," katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan negara jadikan pelajar 'robot' ?


Oleh : MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

SHAH ALAM - Kesilapan dalam mendidik akan menyebabkan pelajar yang dilahirkan tidak ubah seperti 'robot' dan bukannya modal insan sejati.

Penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya', Hasrizal Jamil mendakwa, sistem pendidikan negara ketika ini seolah-olah hendak menjadikan anak-anak sekarang sebagai robot.

"Minda mereka telah kita tetapkan dengan peraturan yang ketat.

"Sedangkan kita sepatutnya mencorakkan mereka atas apa yang kita mahu mereka jadi, bukannya atas kehendak mereka sendiri," katanya ketika menjadi panel Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) di Kompleks Karangkraf, di sini, malam tadi.

Forum itu turut menampilkan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik dan Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj manakala moderatornya, Pengarah Eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Sementara itu, Hasrizal berkata, sistem pendidikan adalah berkait rapat dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.

Jelas beliau, gabungan dua komponen ini akan menjadikan masyarakat lebih berjaya di dalam kehidupan mereka.

"Dengan adanya penerapan nilai kasih sayang, Insya-ALLAH pendidikan yang diberikan kepada seseorang itu akan berjaya," katanya.

Tambah beliau lagi, kegagalan sistem pendidikan kita sekarang adalah kerana terlalu bergantung kepada sudut pandang manusia iaitu terlalu mengejar statistik, data-data, sasaran Kementerian Pendidikan sehingga mengetepikan nilai kasih sayang yang perlu ada dalam sistem pendidikan.

"Lihatlah, sistem pendidikan kita sekarang, sekolah terlalu mengejar kedudukan sehingga pelajar hilang perasaan cinta terhadap pendidikan, kerana rasa bebanan atas apa yang dikenakan ke atas mereka sepanjang mereka berada di sekolah," katanya.

Sehubungan itu, bagi mengatasi perkara ini, Hasrizal mencadangan supaya skop dimensi pandangan masyarakat, ibu bapa, kerajaan, pembuat dasar perlu diubah supaya menyelitkan nilai kasih sayang di dalam sistem pendidikan negara.

"Mereka yang terlibat perlu memainkan peranan ini, supaya tiada lagi keciciran yang berlaku terhadap anak-anak kita," katanya.

Dalam pada itu, forum yang berlangsung malam tadi berjaya menarik minat ramai golongan muda untuk mendengar kupasan mengenai apa erti cinta dalam bidang pendidikan.

Rata-rata peserta yang hadir adalah daripada golongan muda dan mahasiswa.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Bacaan Udara Tidak Sihat Dikesan Di Enam Kawasan


PETALING JAYA : Keadaan jerebu semakin teruk di Semenanjung Malaysia dengan enam kawasan mempunyai indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100, yang dianggap tidak sihat.

Pihak berkuasa kesihatan telah mengeluarkan satu nasihat umum untuk orang ramai, terutamanya mereka yang mempunyai masalah pernafasan supaya mengelakkan aktiviti luar.

Pada pukul 11 ​​pagi Ahad, Jabatan Alam Sekitar mengesan bacaan kualiti udara yang tidak sihat bagi Pelabuhan Klang (104), Melaka (129), Linggi (117), Sungai Udang (120), Muar (125) dan Kijal (101) dengan kawasan lain di Semenanjung menunjukkan tahap yang baik dan sederhana.

Pihak berkuasa kesihatan sedang memantau keadaan dan akan mengeluarkan nasihat awam dari semasa ke semasa.

Sumber : http : //mstar.com,my/

Jumaat, 14 Jun 2013

ISU SOSIAL : Pastikan sistem pengurusan keselamatan dilaksanakan di tempat kerja


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

INDUSTRI pembinaan memainkan peranan yang sangat penting dalam aktiviti pembangunan dan kemajuan negara. Tenaga kerja yang profesional dan mahir diperlukan untuk memastikan industri ini terus membangun dan berkembang pesat.

Oleh itu, terdapat beberapa keperluan yang mana pekerja dan majikan perlu bekerjasama bagi memastikan tenaga kerja diberi pendedahan yang secukupnya mengenai program keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Penyakit atau kemalangan di tempat kerja yang disebabkan oleh persekitaran tempat kerja yang berbahaya bukan sahaja akan memberi kesan kepada pekerja bahkan kepada keluarganya.

Majikan akan turut terjejas kerana ia melibatkan kos secara langsung dan tidak langsung bagi perubatan, kerja yang tertangguh, kos pengurusan yang tidak diperlukan dan lain-lain, yang mana akan meningkatkan jumlah kos keseluruhan projek pembinaan.

Kita perlu prihatin dengan peristiwa kemalangan di tempat kerja baru-baru ini yang memberi kesan kepada industri pembinaan. Dengan itu, setiap pemaju perlu memastikan bahawa sistem pengurusan keselamatan perlu dilaksanakan di tempat kerja dan diberi pengawasan serta pemantauan yang berterusan.

Para kontraktor juga perlu memastikan setiap pekerja pembinaan wajib menghadiri kursus induksi keselamatan bagi memastikan pemaju patuh kepada akta dan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan lain-lain.

Pencegahan kemalangan di tempat kerja akan menjadi efektif sekiranya majikan dan pekerja sedar akan kepentingan mempunyai budaya dan tempat kerja yang selamat dan sihat. Kita seharusnya meningkatkan usaha bagi membendung kemalangan di tempat kerja. Hal ini tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat. Penglibatan setiap orang adalah penting bagi memastikan budaya keselamatan yang menyeluruh dalam industri pembinaan ini dicapai.

Tidak pernah ada perbincangan yang menyeluruh mengenai keselamatan tempat kerja di tapak pembinaan tanpa melihat dengan terperinci tingkah laku manusia. Jika kemalangan yang berlaku disebabkan oleh masalah mekanikal atau kejadian semula jadi, ia tidak dapat dibantu tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan bilangan kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian, ketidakcekapan dan kelalaian.

Perkara ini tertumpu kepada aspek manusia di mana tingkah laku pekerja di tempat kerja perlu dipantau dan amalan budaya kerja yang selamat dan sihat perlu ditekankan bagi memupuk kesedaran kepada pekerja dan mengubah sekali gus memperbaiki tingkah laku mereka agar mereka lebih memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam bidang kerja mereka.

Ini juga melibatkan penekanan terhadap komunikasi terbuka antara majikan dan pekerja tentang keselamatan dan ia memberi kuasa kepada pekerja apabila keselamatan mereka diabaikan.

Kemalangan boleh dikurangkan jika kita sentiasa memupuk serta mengamalkan budaya kerja yang berhemah dan sentiasa berwaspada sebagai sebahagian daripada budaya kita. Semua pekerja perlu lebih peka terhadap aspek keselamatan dan perlu menjadikannya sebagai nilai teras dalam diri.

Setiap orang berisiko terdedah dan berpotensi untuk terlibat dalam kemalangan. Realiti ini mesti diterap ke dalam minda setiap orang di setiap tempat kerja, supaya kecuaian dapat dicegah dan keselamatan tidak boleh dikompromi.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semua turut prihatin terhadap isu keselamatan di tapak pembinaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden yang menyebabkan kematian dan kecederaan di tapak pembinaan.

Beberapa contoh yang boleh dilihat adalah seperti insiden di Kuala Terengganu di mana bumbung sebuah masjid kampung dan stadium runtuh. Selain itu, insiden kren yang tumbang di tapak pembinaan di Lembah Klang manakala insiden yang terbaharu adalah melibatkan sebahagian rangka utama susur masuk ke Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh serta kemalangan-kemalangan lain di tapak pembinaan yang melibatkan pekerja warganegara asing.

Perkara seperti ini tidak boleh diabaikan, malah pihak kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian berkenaan isu keselamatan di tapak pembinaan. Faktor keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja melibatkan pihak pekerja bahkan juga orang awam yang berada di sekeliling.

Semua insiden dan masalah yang berlaku menunjukkan bahawa tahap keselamatan di tapak pembinaan perlu ditingkatkan lagi. Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan di tapak pembinaan adalah seperti menjalankan audit keselamatan dan pemantauan serta pengawalan yang berterusan.

Umum mengetahui bahawa siasatan yang menyeluruh sedang giat dijalankan terhadap insiden  Jambatan Kedua Pulau Pinang yang runtuh. Saya merasakan bahawa kecuaian merupakan faktor utama yang mendorong insiden tersebut. Tindakan yang tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Penulis ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 13 Jun 2013

ISU SOSIAL : Melayu belum cukup mantap hadapi persaingan


Oleh : Profesor Dr. Sidek Baba
    
Cabaran keilmuan, pendidikan faktor penting hasilkan modal insan berkualiti

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pernah mengungkapkan bahawa 'Melayu mudah lupa'. Amat menarik sekiranya isu itu dipolemikkan dalam perspektif yang berbeza supaya pembetulan dapat dilakukan. Kedudukan Melayu dalam Perlembagaan dan makna Melayu dalam Islam adalah amat istimewa, tetapi keupayaan Melayu menterjemahkan kedudukannya dalam negara menerima kritikan yang banyak dalam kalangan orang Melayu dan juga bukan Melayu.

Orang Melayu sudah dijajah lebih 400 tahun. Kemerdekaan yang dicapai melepasi setengah abad menghasilkan natijah yang baik dan belum mampu membangunkan orang Melayu secara menyeluruh. Petanda orang Melayu mampu menerima perubahan adalah jelas, tetapi persaingan yang ada kini dalam semua bidang belum cukup meletakkan orang Melayu yang dapat berdiri seimbang dengan orang bukan Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

Sebagai bangsa yang ingin bangun dan maju sudah tentu banyak cabaran yang perlu dilaluinya. Cabaran keilmuan dan pendidikan adalah faktor yang amat penting bagi menghasilkan modal insan berkualiti. Apakah sistem pendidikan kita memberi ruang yang holistik ke arah pembangunan modal insan yang berdaya maju dan memiliki kualiti diri yang boleh dijadikan teladan.

Pelbagai cabaran bangunkan Melayu

Cabaran kepemimpinan dan kepengikutan adalah suatu aspek utama bakal menentukan keupayaan orang Melayu menjadi kelompok teras yang dihormati dan disegani. Apakah persekitaran politik kita memberi ruang kepada yang terbaik memimpin dalam suasana wujudnya kritik membina untuk kebaikan bersama.

Cabaran agama juga menjadi faktor yang amat relevan dalam proses membangun watak Melayu yang dinamik dan mampu mengikut zaman. Apakah pendidikan agama dan perjalanan dakwah memberikan dinamika ilmu dan kesuburan dakwah yang tidak saja dalam batas syarah dan fikrah, tetapi menyubur dalam model dan alternatif terkini. Apakah personaliti dan institusi yang membabitkan dirinya dengan Islam menampakkan daya profesional yang tinggi dalam mengurus perubahan atau masih bertahan dalam tembok tradisi yang enggan melakukan islah kerana dibimbangi ia bakal merosakkan ‘keaslian’ agama itu sendiri.

Cabaran yang amat mendesak yang didepani oleh orang Melayu kini ialah cabaran persekitaran yang mendukung faham sekular dan liberal berdepan dengan cita rasa keagamaan yang masih berpaut dalam skop tradisi yang sifatnya membatasi. Wujud konflik yang tajam, di satu pihak ingin memajukan generasi muda dengan asakan budaya popular Barat menerusi media cetak dan elektronik yang tidak terkawal dengan mendorong mereka ke arah jalur hedonistik atau berfoya-foya dengan aktiviti pesta yang mengakibatkan ketirisan watak Melayunya dan juga kualiti agamanya.

Melayu paling ramai di pusat serenti

Ia berakhir dengan bertambah ramai generasi muda Melayu berada di pusat serenti, dikatakan lebih satu juta terbabit dengan penagihan dadah, jenayah juvana yang meningkat secara luar biasa, kerosakan moral dan masalah sosial yang semakin parah, aktif dalam kegiatan mat rempit yang sukar dibendung dan yang amat penting ialah hilang upaya berfikir secara serius menerusi gelagat santai dan timbul kecenderungan budaya siber yang parah serta membabitkan generasi yang masih mentah dengan cabaran.

Ia tidak bermakna tidak ada orang Melayu yang berkualiti di Malaysia. Banyak bukti orang Melayu telah berjaya dalam bidang perubatan, penyelidikan, bisnes, bidang pembuatan, pengurusan, teknologi dan sebagainya. Bagaimanapun, lonjakannya belum sampai ke satu tahap yang mana ekuiti Melayu mampu melepasi ikatan 18.9 peratus (2004) seperti sekarang. Lonjakan ini akan hanya boleh berlaku sekiranya faktor keilmuan dan pendidikan diambil kira, faktor kualiti kepemimpinan dan kepengikutan dijadikan fokus, faktor agama yang mendukung islah dijadikan pertimbangan dan faktor pembudayaan yang perlu diteliti.

Bukan tidak ada peruntukan dan dasar yang ingin mendukung keperkasaan Melayu, tetapi ternyata wujud ketirisan pada pelbagai peringkat. Globalisasi yang menghimpit bangsa Melayu menyebabkan ruang tanpa sempadan wujud. Dinamik sistem komunikasi dan telekomunikasi menyebabkan cara berfikir manusia berubah. Bangsa Melayu tidak akan terus bertahan dengan mengambil anggapan dan sikap ada peruntukan dasar yang sifatnya ‘istimewa’ semata-mata. Orang Melayu berhadapan dengan realiti baru yang amat terbuka dan mencabar. Apakah minda Melayu terutama dalam kalangan generasi muda mempunyai keinsafan yang tinggi terhadap upaya bangsanya atau sedang dilalaikan dengan hal yang remeh-temeh serta mengalami ketirisan nilai dan etika yang amat parah.

Penulis ialah profesor pendidikan di UIAM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/