Rabu, 26 Jun 2013

ISU SOSIAL : Menghindar jerebu di hati dan minda


Oleh : NORDEN MOHAMED

JEREBU melanda lagi. Bagi yang alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema dan lelah. Apabila jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan membuat suasana jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun di beberapa kawasan.

Ramai yang terpegun menyaksikan air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit menangis.

Hati masing-masing mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan IPU akan turut turun apabila kualiti udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun hujan turun tidak lebat, asalkan indeks pencemaran udara tidak naik lagi, itu pun sudah cukup baik.

Jerebu. Siapa yang suka suasana yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal topeng, walaupun suka topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan jerebu. Namun, mengapa ada orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan jerebu walaupun mereka juga tidak suka kepada keadaan cuaca sebegitu?

Atas kepentingan mahu jimatkan kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan, cara yang cepat adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka yang mereka sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal jangka pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.

Ertinya mereka berfikiran singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan mereka pula sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada di kawasan titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab itu turut kabut asap!

Mereka hanya nampak duit yang kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa menggunakan duit untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh.

Untuk sekian kalinya, matlamat tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan, risikonya seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi apabila akibatnya terkena kepada berjuta-juta manusia lain.

Dalam kehidupan seharian kita sendiri, berapa ramaikah antara kita yang pada zahirnya baik, tetapi tanpa disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika jerebu udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang menyerang minda dan jiwa?

Jerebu fikiran datang dalam bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan mendengar dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa jua berita, cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan kepesongan hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih hablur.

Ertinya, jerebu fikiran itu mengaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda untuk menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita  hanya menengok, tetapi tidak berdaya memerhati dan merenungi.

Kita hanya mendengar, tetapi tidak mampu lagi mengamati. Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu hanya dibaca secara lahiriah atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.

Jerebu hati pula tiba apabila kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata, membiarkan diri mengikut perasaan apabila sampainya bisikan prasangka.

Akibatnya, prasangka yang menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat menerima kebaikan dan kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang dibiarkan hingga menjadi noda yang menghitamkan hati.

Jerebu di hati dan minda akan merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi tumpul. Berapa ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain, tetapi tidak berasa sedih.

Melihat orang miskin, tanpa berasa simpati. Berdepan dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana tidak mahu terlibat.

Jerebu di udara akan merosakkan fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di minda akan merosakkan mental.

Soalnya, bagaimanakah kita menghindarinya? Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng sebagai perisai, jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu.

Hanya pengetahuan yang dapat menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan dengan perisai keikhlasan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesan Jerebu Terhadap Ekonomi


Oleh :  DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

KEADAAN jerebu semasa telah memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat bagi kawasan Muar dan Ledang.  Beberapa buah negeri juga menutup sekolah-sekolah bagi mengelakkan masalah kesihatan yang serius, terutama buat kanak-kanak.

Masalah jerebu sejak sedekad kebelakangan ini sudah menjadi masalah tahunan. Pembakaran di Indonesia bagi pembersihan ladang menjadi punca utama kedatangan jerebu secara bermusim ini.

Meskipun di peringkat kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah wujud usaha serantau bagi mengatasi masalah jerebu, namun setakat ini tidak ada hasil yang ketara. Langkah-langkah yang diambil adalah reaktif dan tidak membawa kepada penyelesaian menyeluruh.

Sikap pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan sendiri dengan membakar ladang untuk membersihkannya menunjukkan betapa kepentingan sosial tidak diambil peduli oleh mereka. Ya, kosnya murah buat syarikat ladang, namun kos kepada umum adalah mahal.

Kesan jerebu boleh dilihat dalam jangka masa panjang dan pendek. Gangguan kepada aktiviti ekonomi dan sosial harian boleh membawa kesan kepada segala perancangan yang telah sedia dibuat.

Jika keadaan berjerebu ini berakhir kurang dari seminggu dan tidak melangkau jauh ke banyak kawasan, impak ekonominya mungkin minimum, tidak mencecah bilion ringgit.

Sekiranya keadaan jerebu kali ini bertambah serius, berpanjangan serta melangkau kebanyakan kawasan, kesan ke atas ekonomi boleh menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun semasa. Kerugian boleh mencecah hingga berbilion ringgit ekoran daripada banyak kegiatan sosial dan ekonomi yang tergendala.

Banyak lagi kesan negatif jerebu yang mungkin kita terlepas pandang dalam menilai kesannya. Misalnya, kita tidak pasti apakah kesan ke atas kesihatan akibat terdedah dengan sinaran matahari yang terbias dek jerebu. Kos juga sukar dikira bagi impak pertanian yang musnah dek kurangnya pancaran matahari akibat bumi diselubungi jerebu. Sehinggalah saintis mengenal pasti perkara-perkara ini, barulah kita dapat membuat anggaran kos jerebu kepada ekonomi dan kesejahteraan hidup manusia.

Antara industri yang akan terjejas teruk oleh jerebu adalah sektor pelancongan. Hotel, restoran dan taman-taman tema di kawasan berjerebu akan menerima tempias negatif jerebu berikutan kurangnya aktiviti luaran oleh orang ramai.

Lebih dikhuatiri jika masalah jerebu ini konsisten trendnya dan agensi-agensi pelancongan asing tidak mengesyorkan pelanggan mereka untuk datang ke rantau ini dalam bulan-bulan jerebu.

Di sinilah impak jangka panjang jerebu akan mula kita rasai. Pelancong asing tidak lagi mahu datang ke sini dan pelancong tempatan memilih destinasi luar negara sebagai pilihan.

Keadaan jerebu yang serius juga boleh membawa kesan negatif kepada sektor perindustrian. Dengan keadaan berjerebu, pihak berkuasa akan memerintahkan kilang-kilang, kuari dan semua aktiviti yang melibatkan pelepasan pencemaran ke udara dikurangkan atau terus diberhentikan.

Di kawasan darurat jerebu misalnya, semua aktiviti ini mesti diberhentikan. Semua ini merenjatkan aktiviti ekonomi di mana banyak kilang dan syarikat akan terpaksa menanggung kos tinggi tanpa pulangan yang diharapkan.

Jerebu juga membawa kepada masalah kesihatan yang serius dan kosnya sukar dikira. Bil-bil untuk mendapatkan rawatan dek masalah jerebu pastinya meningkat pada masa ini.

Sekurang-kurangnya pun kita terpaksa membeli topeng muka. Semua ini merupakan kos dek jerebu. Meskipun industri kesihatan akan menyaksikan lonjakan hasil, pulangan ini kecil dan hanya untuk firma atau individu minoriti berbanding kesan dan kos negatif besar yang terpaksa ditanggung masyarakat.

Para pekerja pasti ramai yang terpaksa mengambil cuti sakit atau pihak majikan sendiri mengambil langkah menutup syarikat dalam keadaan jerebu pada paras bahaya.

Di sini, kos lepas atau kos akibat dari kegiatan ekonomi yang tidak dijalankan akan menambahkan lagi kesan negatif jerebu kepada ekonomi.

Jerebu merupakan masalah oleh tangan-tangan manusia. Masalah ini menjadi ketara sekarang kerana wujudnya estet-estet perladangan berskala besar. Natijahnya, pembakaran ladang untuk tujuan pembersihan juga mencapai ke skala industri yang mencemarkan.

Jika pihak syarikat tidak ambil peduli dengan kesan kegiatan mereka, pihak berkuasa mesti mengambil langkah serius untuk menangani masalah ini ke akar umbi.

Pemberian lesen, permit serta cukai pencemaran boleh dilaksanakan sebagai langkah kawalan. Semua ketidakpatuhan kepada undang-undang wajar dikenakan tindakan keras agar masalah tidak berulang.

Udara bersih merupakan hak semua yang wajar dipelihara. Rakyat marah dengan pencemaran ini dan rakyat menuntut kebajikan mereka dipelihara!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Ekonomi IslamUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : 40 Kali Lebih Murah Punca Kaedah Pembakaran Dipilih Berbanding Penggunaan Mesin


Oleh :  RASHVINJEET S.BEDI

PETALING JAYA : Kaedah penarahan dan pembakaran untuk pembersihan tanah adalah 40 kali lebih murah daripada menggunakan mesin, sekali gus menjadikan sukar bagi Indonesia untuk menghentikan pembakaran terbuka.

"Faktor asas adalah kos," kata Dr Helena Varkkey dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya.

Dr Varkkey, yang mempunyai kepakaran dalam politik alam sekitar berkata berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak lain, kos bagi kaedah menarah dan membakar untuk setiap hektar adalah kira-kira AS5 (RM16.00).

Menggunakan mesin akan menelan kos kira-kira USD200 (RM640.00).

Beliau menegaskan petani kecil bukanlah punca utama kebakaran sebaliknya 60 hingga 80 peratus penyebab adalah dari ladang-ladang komersial.

"Masalahnya ialah kebanyakan ladang-ladang  komersial juga memilih untuk menggunakan api, atas sebab yang sama yang berkaitan dengan kos.

"Syarikat-syarikat ini mampu mengelakkan risiko ditangkap dan dihukum kerana pembakaran terbuka," kata Dr Varkkey yang telah menghasilkan penulisan tentang jerebu dan kelapa sawit.

Beliau menjelaskan, syarikat-syarikat ini akan menyewa subkontraktor untuk membersihkan tanah dan jika mereka ditangkap kerana melakukan pembakaran, mereka mendakwa telah mengarahkan kontraktor kecil supaya tidak menggunakan kaedah pembakaran.

Syarikat-syarikat ini katanya, sering memupuk hubungan yang erat dengan pegawai-pegawai kerajaan tempatan dan pusat.

Satu lagi keadaan yang membawa kepada kebakaran dan menyebabkan jerebu yang menjejaskan Malaysia dan Singapura baru-baru ini adalah peningkatan penggunaan tanah gambut untuk menanam pokok kelapa sawit.

Dr Varkkey berkata terdapat peraturan-peraturan yang melarang penggunaan tanah gambut untuk tujuan komersial.

"Apabila dikeringkan untuk digunakan, tanah gambut mengering dengan cepat dan menjadi sangat mudah terbakar.

"Walaupun syarikat ini bukan sengaja membakar untuk pembersihan tanah, saliran tanah gambut adalah sangat mudah terdedah kepada kebakaran.

"Syarikat-syarikat ini telah meletakkan konsesi mereka pada risiko kebakaran dengan membuka kawasan-kawasan ini," katanya.

Beliau menambah walaupun pemilik ladang getah, kilang pulpa dan kertas juga menggunakan api untuk membersihkan tanah, kesannya tidak begitu teruk seperti pembakaran tanah gambut.

"Apabila gambut terbakar, ia mengeluarkan karbon, asap hitam yang menyebabkan jerebu yang sangat buruk dan api yang sangat sukar untuk dipadamkan.

"Kebakaran pada lain-lain jenis tanah tidak menghasilkan asap seperti itu, dan biasanya lebih mudah dipadam," katanya.

Sumber : http : //mstar.com.my/

Selasa, 25 Jun 2013

Syura Juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim Ke-2


PENYANYI, Syura sah juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim ke-2.

Syura menewaskan Celina Khor apabila menu bertemakan 'Sajian Sehangat Bintang' ciptaannya berjaya memikat hati juri.

Syura dan Celina bersaing untuk mencipta menu untuk sembilan orang VVIP kelas pertama dalam sebuah penerbangan MAS.

Dalam cabaran tersebut, masing-masing dikehendaki membuat sejenis pembuka selera, sajian utama dan pencuci mulut.

Kemenangan itu diakui tidak dijangka Syura kerana dirinya bukan peserta pilihan dan tidak yakin dengan gelaran juara itu.


Syura menyumbang RM 60,500 kepada Badan Kebajikan Kanser Payudara Persekutuan.

Sementara Celina menyumbang RM 10,000 kepada Persatuan Kebajikan Haiwan-haiwan Kurang Dijaga Selangor (Fury Friends Farm).

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Semangat ASEAN selesai masalah jerebu


Oleh : ABDUL RAZAK IDRIS

HATI mana tidak menjadi panas apabila diarah membawa anak pulang dari Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang merupakan pusat tertutup disebabkan masalah jerebu. Hajat hati hendak marah sahaja pihak yang bertanggungjawab ke atas taska tersebut, namun itu semua bukan kehendak mereka.

Soalnya sampai bila kegiatan pembakaran terbuka di negara jiran memberi implikasi kepada kehidupan seharian masyarakat negara ini. Bukan mudah untuk mengatur kembali jadual antara suami dan isteri apabila masalah sebegini terjadi.

Negara Indonesia, Malaysia dan Singapura sebagai anggota ASEAN yang paling terkesan dengan masalah ini perlu menyelesaikan masalah ini dengan semangat serantau dan ibarat cubit paha kiri paha kanan terasa. Terang sekali semuanya berpunca dari kegiatan pembakaran terbuka hutan secara besar-besaran hutan di Indonesia.

Kebakaran hutan di Wilayah Riau, Sumatera Tengah merupakan kes terbaru melibatkan jerebu teruk sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri mencapai bacaan 507 di Muar, Johor dan Bukit Rambai, Melaka mencatat bacaan 443.

Beberapa tahun lalu kes yang sama berlaku hingga menyebabkan sekolah ditutup. Keadaan ini merugikan pelajar-pelajar yang terpaksa bercuti akibat masalah yang dilihat seakan sudah menjadi bahana bermusim.

Kaedah pembenihan awan untuk mencipta hujan hanya suatu mekanisme untuk mengurangkan jerebu dan memadam kebakaran. Namun ia suatu tindakan jangka pendek semata-mata, kerana apabila kebakaran terpadam, jerebu akan kembali bertebaran di udara sehingga merentasi sempadan negara asal.

Dalam keadaan yang membawa pengisytiharan darurat di Muar, Johor akibat jerebu, sesuatu perlu dilakukan di antara kerajaan dan kerajaan. Semua pihak perlu mencari penyelesaian mengatasi masalah jerebu dengan berkongsi pendekatan bagaimana sesebuah kerajaan mengatasi masalah jerebu akibat kebakaran.

Menuding jari dengan mengatakan ia berpunca dari syarikat dari negara lain yang membuat kebakaran hanya tindakan pelarian (escapism) yang menonjolkan sifat lepas tangan.

Pokoknya jerebu menyebabkan pesakit asthma menjadi lebih kronik, dan mungkin akan menyebabkan katil di hospital penuh dengan pesakit sedemikian.

Sepatutnya undang-undang alam sekitar di negara Indonesia diperkasakan sebagaimana yang dilakukan di Malaysia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini mengisytiharkan seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan berkata, larangan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 itu, berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagaimanapun, katanya, larangan berkenaan tidak melibatkan pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar. Pihak yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mungkin tindakan sebegini boleh dikenakan oleh Kerajaan Republik Indonesia terhadap kaki bakar hutan secara terbuka tidak kira ia syarikat dari Malaysia atau dari negara mana sekalipun.

Jika boleh sistem pembersihan hutan secara sistematik yang diterima pakai oleh anggota ASEAN perlu dijadikan rujukan.

Kita tidak mahu apabila jerebu semakin tebal menyebabkan kapal terbang dan kapal di laut bertembung di udara dan di laut hingga ratusan nyawa terkorban baru ada pihak diplomat mula menuding jari dan saling bertukar komen negatif yang menyebabkan hubungan antara negara menjadi dingin di sebalik kebakaran hutan yang menggila.

Justeru, selesaikan masalah jerebu dengan semangat ASEAN yang sejati kerana tiada gunanya mempunyai wadah tetapi tidak berfungsi dengan sewajarnya.

Jangan dibiar masalah yang boleh menyebabkan kerosakan, kerugian dan kematian ini dibiar berlarutan. Sikap salah-menyalahkan, bertukar pandangan yang bersifat tidak membina perlu dielakkan oleh negara-negara terlibat.

Mungkin hari ini, Indonesia dilanda kebakaran hutan di wilayahnya dan esok lusa mungkin kita mengalami masalah sama.

Bersikap empati dengan masalah yang melanda negara lain. Yang penting peliharalah semangat ASEAN. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar, cari jalan untuk menghapuskan nyamuk. Itulah caranya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Penutup muka 50 sen sekeping?


"SEKEPING penutup muka yang dibuat daripada kertas mahu dijual dengan harga 50 sen sekeping?

"Sangat mahal dan sungguh tidak munasabah betul," itulah kata-kata seorang bapa bila anaknya yang berada di sekolah rendah memberitahu beliau tentang penutup muka yang dijual 50 sen sekeping di sebuah kedai.
  
Menurut bapa itu lagi, biasanya penutup muka jenis kertas itu dijual antara RM7.00 dan RM9.00 untuk satu kotak yang mengandungi 100 keping penutup muka, bergantung kepada kualiti.
  
Menurut satu tinjauan di pekan Rawang dekat sini, farmasi-farmasi runcit melaporkan peningkatan jualan penutup muka surgikal dalam kalangan orang ramai.
  
Bagaimanapun mungkin ada pihak yang mahu mengaut keuntungan daripada masalah jerebu yang melanda sekarang ini.
  
"Kami hampir kehabisan stok. Beberapa hari kebelakangan ini, ramai pelanggan yang bertanyakan pasal penutup muka.
  
"Sebelum masalah jerebu bermula, sukar bagi kami nak jual mahupun sekotak penutup muka tetapi kini kami dapat jual enam hingga lapan kotak sehari," jelas tuan punya sebuah farmasi di Bandar Country Homes, Rawang yang ingin dikenali sebagai Lee.

PENUTUP MUKA
 
Menurut pakar-pakar penjagaan alam sekitar, perkara terbaik perlu dilakukan ketika jerebu melanda adalah dengan berada dalam rumah.
  
"Tetapi bagi mereka yang perlu berada di luar rumah seperti kanak-kanak sekolah, pekerja ofis dan buruh pembangunan serta mereka yang memandu dan menggunakan motorsikal, memakai penutup muka adalah perkara yang digalakkan.
  
"Sekurang-kurangnya penutup muka menghalang debu dan habuk asap daripada memasuki sistem pernafasan mereka yang memakainya," kata Lee.
  
Kementerian Kesihatan baru-baru ini menasihati warga Malaysia terutama warga tua, anak kecil dan mereka yang mempunyai penyakit atau masalah pernafasan seperti lelah (asma) agar mengelak daripada terlalu lama berada di luar rumah.
  
Peniaga alat pendingin hawa juga melaporkan peningkatan dalam jualan alat yang mempunyai pembersih udara kebelakangan ini.

"Pelanggan mahukan penghawa dingin yang mempunyai komponen pembersih udara atau 'ioniser' kerana ia membantu membersihkan udara yang tidak sihat," jelas seorang daripada pembekal itu.
  
Sementara itu, pengamal perubatan Dr Shuhaimi Jamil menjelaskan bahawa lebih ramai pesakit yang mahu rawatan bagi batuk, masalah pernafasan dan sakit mata dijangka mengunjungi kliniknya dalam minggu-minggu yang akan datang.
  
"Daripada pengalaman saya yang lepas bila jerebu melanda, lebih ramai pesakit yang mahukan ubat bagi melegakan batuk, sakit mata dan masalah pernafasan," jelas beliau.
     
APA ITU JEREBU?
 
Menurut pensyarah, yang juga warga penjagaan alam sekitar, Amin Iskandar, jerebu muncul disebabkan zarah halus di udara.
  
"Dalam konsentrasi tinggi, zarah-zarah ini akan bertaburan serta menyerap cahaya matahari menyebabkan jarak penglihatan menjadi kurang hingga berlakunya seolah-olah alam sekeliling menjadi redup.
  
"Jerebu bukannya hanya berlaku di kawasan bandar, malah boleh wujud di kawasan pedalaman," katanya.
  
Zarah-zarah itu datang dari pelbagai sumber termasuk yang wujud secara semulajadi dan yang 'antropogenik' (muncul kerana proses tindakbalas).
  
"Kebanyakan daripada zarah-zarah ini terbit hasil daripada kegiatan yang dilakukan manusia seperti pembakaran terbuka bagi tujuan penanaman, pembukaan tanah hutan, penggunaan kenderaan serta pembakaran bahanapi dalam industri," kata Amin.

PEMBENTUKAN JEREBU
 
"Pada satu-satu masa dalam setahun terutama semasa musim Monsun Baratdaya, pergerakan udara secara menegak akan berkurangan.
  
"Pengurangan berat udara ini tidak merangsang pembentukan awan secara aktif lalu menyebabkan cuaca menjadi kering.
  
"Terdapat juga beberapa faktor yang memanjangkan musim panas dan terdapatnya banyak pencemar udara merupakan suasana sesuai bagi pembentukan jerebu," jelas beliau.
  
Menurut beliau lagi, zarah-zarah yang muncul di atmosfera akan terperangkap dalam udara yang tidak bergerak menyebabkan kumpulan partikel ini menjadi mendap dan membentuk jerebu.

BAGAIMANA HILANGKAN JEREBU?
 
Zarah-zarah dalam udara boleh dihilangkan melalui beberapa proses.
  
Tarikan graviti akan membuat zarah-zarah yang lebih berat jatuh ke bumi manakala zarah yang lebih ringan boleh dihilangkan melalui 'rainout' atau kondensasi wap air lalu membentuk titisan air sehingga membentuk awan.
  
Zarah-zarah ini juga boleh dihilangkan melalui proses penyatuan dengan titisan hujan semasa berlakunya hujan dan dinamakan 'washout'.
  
Satu cara lagi adalah melaui mekanisme 'turbulence' di mana zarah jerebu ditiup kuat ke lapisan lebih tinggi dalam atmosfera.
  
"Kejadian hujan lebat serta ribut petir adalah lebih berkesan manakala hujan yang sekejap dan tidak lebat adalah kurang cekap dalam menghilangkan jerebu," terang beliau lagi.  - Bernama

Isnin, 24 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Sekolah wajib ditutup jika IPU melebihi 300



KUALA LUMPUR: Sekolah yang terletak dalam kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 250 boleh ditutup dengan memaklumkannya terlebih dahulu kepada Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena jerebu.

Katanya satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan di Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya hari ini meminta kementerian mengambil tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Menurutnya berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 300.

Bagaimanapun, sekiranya keadaan jerebu di kawasan tersebut memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau bacaan IPU dalam lingkungan 250 hingga 300, Jabatan Pelajaran boleh merujuk Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah.

Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga semua sekolah yang telah ditutup dan terletak di kawasan bacaan IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula.

"Sehubungan dengan keputusan mesyuarat tersebut, serta demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju agar sekolah-sekolah yang terlibat boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250 dan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada KPM," kata Abd Ghafar. - BERNAMA