Jumaat, 28 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Teroris ekologi dari perspektif Islam


Oleh : DR MASHITAH IBRAHIM

KESAN jerebu yang menyelelubungi negara kita dan kualiti udara yang buruk sejak lebih seminggu lalu sangat besar. Ratusan sekolah terpaksa ditutup.

Terdapat peningkatan nyata dalam kes kemalangan kenderaan dan sakit dalam kalangan kanak-kanak, warga tua, orang uzur dan ibu-ibu mengandung. Produktiviti negara menurun kerana kegiatan ekonomi dan sosial terganggu.

Sektor perladangan, perusahaan dan pelancongan termasuk perhotelan, pengangkutan dan syarikat penerbangan terjejas teruk, mengalami kerugian dianggarkan berbilion ringgit. Kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 boleh terancam.

Ada pihak yang melabelkan ‘serangan jerebu’ ini sebagai terorisme ekologi. Ia berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka dan berleluasa oleh peladang individu dan syarikat di Sumatera.

Walaupun banyak rundingan diadakan dan pelbagai usaha dilakukan secara unilateral, bilateral dan multilateral, pengeksportan jerebu dari Indonesia ke negara-negara jiran berlaku setiap tahun sejak 1990.

Dari perspektif Islam, pemusnah alam sekitar tergolong mereka yang mungkar dan zalim. Sifat teroris ekologi adalah tidak bertanggungjawab, rakus, tamak, cuai dan tidak memikirkan kebajikan orang lain.

Menteri Alam Sekitar Indonesia telah menamakan beberapa syarikat pemilik ladang kelapa sawit, termasuk dari Malaysia, antara yang terbabit. Syarikat-syarikat ini dikatakan bertanggungjawab terhadap 80 peratus masalah jerebu, manakala 20 peratus akibat pembakaran terbuka oleh peladang individu.

Ramai di Malaysia tidak faham kenapa tindakan tidak diambil penguasa Indonesia terhadap mereka ini. Kerana tidak menangani perjanjian Asean berhubung pencemaran jerebu, Indonesia dilihat melindungi cara pembakaran begini.

Ada pihak cadangkan agar kempen diadakan untuk mengadakan sekatan antarabangsa terhadap produk kelapa sawit Indonesia bagi mendorong kerajaannya bertindak ke atas syarikat terbabit. Mereka mahu melihat hukuman berat dikenakan.

Mungkin ini salah satu sebab kenapa Indonesia dilihat antara negara yang gagal mengelola sumber daya alamnya secara bijaksana. Berbeza dengan Malaysia, menerima pujian Bank Dunia sebagai contoh negara yang berjaya menggunakan sumber daya alam sehingga mampu melaburkannya dalam sektor perekonomian lain seperti industri, pembangunan prasarana dan pendidikan.

Menurut laporan bertajuk Malaysia Economic Monitor: Harnessing Natural Resources yang baru dikeluarkan, kejayaan Malaysia ini memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dari perspektif agama Islam, penjagaan sumber alam sekitar sangat diutamakan. Sebagai pemimpin di dunia, manusia disyaratkan begitu kerana alam sekitar adalah anugerah ILAHI.

ALLAH SWT mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran dan kesejahteraan manusia: bumi untuk tempat tinggal, gunung-ganang sebagai pemasak bumi, manakala sumber makanan dan perubatan pula daripada laut, sungai dan hutan. Ini semua dikongsi dengan makhluk ALLAH yang lain, termasuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan. 

Ingat firman ALLAH SWT pada ayat 24-32: Surah ‘Abasa bermaksud: “Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar mencurahkan air dari langit.

Kemudian Kami belah bumi dengan sebaiknya. Lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu. Anggur dan sayuran. Zaitun dan pohon kurma. Kebun-kebun (yang lebat) dan buah-buahan serta rumput-rumputan untuk kesenanganmu dan binatang-binatang ternakmu.”

Banyak hadis Rasulullah SAW yang menekankan peri pentingnya pengurusan alam sekitar serta ihtimam (keprihatinan) Baginda terhadap pelestariannya. Justeru, yang Islam tekankan ialah penjagaan, pencegahan, pengawalan dan pemuliharaan alam daripada dicemari atau pupus, selain menitik beratkan nilai ihsan, kasih sayang, timbang rasa dan kebersihan dalam hal kaitan manusia dengan alam.

Dr Yusuf al-Qaradhawi, dalam bukunya Riayatul-Baiat fi Syariatul-Islam (Islam Agama Mesra Alam Sekitar) menyebut bahawa Islam menjaga alam sekitar dan seluruh isinya dengan cara memberi penekanan kepada tuntutan moral, peraturan dan undang-undang.

Syariat Islam melarang pemusnahan melibatkan kekerasan atau penghapusan makhluk lain seperti haiwan.

Menurutnya, pemusnah alam sekitar akan menerima hukuman yang berat, justeru segala kegiatan  mensabotaj dan memusnah alam sekitar atau elemen-elemen di dalam mesti dihentikan segera.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sumbangan Ibu Bapa Kepada Keberkesanan Sekolah


Anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan perlu diperluas  untuk menjayakan pembangunan pendidikan di Malaysia. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan adalah amat besar. Hal ini kerana pendidikan atau lebih khusus lagi pembelajaran tidak berlaku dalam lingkungan sekolah sahaja apatah lagi di dalam sekolah dan bilik darjah.

Pendidikan dan pembelajaran dalam abad ke-21 ini berlaku di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, dengan apa cara sekalipun melalui apa-apa sahaja perantaraan atau media dan alat bantu yang berbagai-bagai. Justeru, sistem sekolah yang selalunya dikaitkan dengan kepimpinan dan pengurusan sekolah, kurikulum, pedagogi, jadual waktu dan pentaksiran yang formal dan one-off sifatnya telah berubah kepada sistem pembelajaran (learning system) yang lebih luas cakupan maknanya.

Sistem pembelajaran dalam pendidikan abad ke-21 menuntut penglibatan pelbagai pihak di luar lingkungan sekolah tanpa mengetepikan atau mengurangkan peranan sekolah dan guru. Penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta menjadi pelengkap, penguat dan pencepat (accelerator) kepada kemajuan pendidikan sesebuah negara.

Kajian menunjukkan ibu bapa yang mengambil berat tentang pembelajaran anak di sekolah dan di rumah adalah ibu bapa kepada anak-anak yang berjaya dalam pendidikan berbanding ibu bapa yang mengambil berat akan pembelajaran anak di rumah sahaja apatah lagi yang tidak mengambil berat langsung pembelajaran anak di rumah atau di sekolah. Kajian ini mendapati ibu bapa yang sering kali datang ke sekolah untuk tujuan yang berkaitan dengan kemajuan pelajaran anak adalah ibu bapa yang anaknya berjaya.

Hal ini demikian kerana kejayaan anak-anak dalam pembelajaran memadai dengan motivasi. Jika hanya dengan motivasi, terutama intrinsiks (dalaman), pun anak-anak boleh berjaya apatah lagi jika ditambah dengan sokongan moral, spiritual, fizikal dan kewangan orang lain terutama ibu bapa.

Terdapat banyak perbezaan antara pembelajaran di sekolah dan di rumah. Antaranya, di sekolah pembelajaran terkongkong oleh jadual waktu, subjek dipelajari, masa, perkara yang hendak dipelajari dan media pembelajaran. Di rumah pembelajaran boleh berlaku hampir tiada batasan atau kongkongan seperti dinyatakan. Namun hal tersebut bergantung kepada apa dan bagaimana sumbangan ibu bapa yang boleh menjamin atau menyokong perkara tersebut berlaku.

Tidak dinafikan bahawa selama ini telah banyak sumbangan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta terhadap keberkesanan sekolah. Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak sumbangan telah diberikan. Namun, banyak lagi yang boleh diteroka tanpa banyak mengubah peruntukan dalam perlembagaan PIBG dan Akta Pendidikan 1996. Sedikit sahaja penyesuaian struktur PIBG perlu dibuat iaitu penubuhan Biro ICT untuk pengutipan data tentang penglibatan ibu bapa kepada keberkesanan sekolah dan Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) atau Parent Support Group dalam PIBG.

Di kebanyakan negara maju KSIB menjadi wadah yang sangat berkesan membantu sekolah berubah kepada sekolah pada masa hadapan (the school of future) yang telah wujud pada hari ini. Antara ciri-ciri sekolah sedemikian ialah tumpuan atau pusat perhatian semua aktiviti adalah pembelajaran murid manakala tumpuan kepimpinan sekolah adalah kepimpinan instruksional. Sekolah ini memanfaatkan sepenuhnya ICT dalam pembelajaran dan pengurusan sekolah. Sekolah pada masa hadapan atau sekolah abad ke-21 juga memberi penekanan kepada kemenjadian atau outcome murid.

Oleh sebab itulah PPPM 2013-2025 direka bentuk sedemikian rupa untuk memastikan aspirasi murid dan aspirasi sistem tercapai melalui sebelas anjakan yang mana satu daripadanya iaitu yang kesembilan adalah mengenai penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pembelajaran anak-anak. Dalam tulisan ini saya hanya menyentuh tentang penglibatan ibu bapa. Penglibatan komuniti dan sektor swasta yang tidak kurang penting dan banyaknya akan disentuh dalam tulisan yang lain.

Sumber : http : //drjamiladimin.wordpress.com/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 45 peratus penjawat awam tak mampu beli rumah


KUALA LUMPUR - Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman hari ini.
  
Katanya kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.
  
Menurutnya rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah.
  
"Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup," katanya kepada Bernama.

Beliau turut meluahkan kebimbangan akan implikasi masalah itu jika tidak ditangani segera.
  
"Antaranya ialah jika mereka membeli rumah pada usia lanjut, ini bermakna mereka akan mengambil masa lebih panjang untuk membayar balik pinjaman.
  
"Kesannya mereka akan menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang sepatutnya digunakan untuk hari tua untuk membayar balik pinjaman itu. Kehidupan mereka selepas bersara akan terus dibelenggu hutang," katanya.
  
Malah katanya, mereka juga tidak mampu memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA yang mencecah RM250,000 adalah di luar kemampuan penjawat awam.
  
Justeru katanya, Cuepacs menggesa kerajaan mengkaji isu itu dan mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara menyediakan rumah kos sederhana untuk penjawat awam.
  
"Seboleh-bolehnya biarlah ia berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap kerajaan dapat kaji isu ini secara serius," katanya. - Bernama

Khamis, 27 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Kualiti Udara Makin Pulih, Hanya Nilai Catat Paras Tidak Sihat


KUALA LUMPUR : Kualiti udara di seluruh negara semakin pulih apabila hanya Nilai di Negeri Sembilan masih mencatatkan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 3 petang Khamis.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nilai merekodkan bacaan 127 berbanding 135 pada pukul 12 tengah hari.

Sementara 29 kawasan lain mencatatkan paras IPU sederhana berbanding 30 kawasan pada pukul 12 tengah hari Khamis.

Kawasan itu antaranya ialah Bukit Rambai (100), Bandaraya Melaka (81) di Melaka, Kota Tinggi(75), Larkin Lama (70), Muar (71), Pasir Gudang (81) di Johor, Port Dickson (76), Seremban (77) di Negeri Sembilan, Tanjung Malim (61)di Perak, Kuala Selangor (52), Pelabuhan Klang (66), Petaling Jaya (79), Shah Alam (70), Banting (97) di Selangor dan Putrajaya (79).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Formula menangani jenayah dengan lebih berkesan


Oleh :  TAN SRI LEE LAM THYE

JENAYAH dan kegiatan berkaitannya telah menjadi satu isu yang membelenggu semua rakyat Malaysia.

Kejadian jenayah yang membabitkan keganasan dan trauma mesti dilihat daripada sudut yang lebih serius bukan sahaja daripada pihak kerajaan, pihak penguat kuasa dan kehakiman malah oleh keseluruhan masyarakat.

Tidak ada sehari pun berlalu tanpa kejadian jenayah dan dalam ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kes dadah serta kemasukan pendatang tanpa izin, jenayah akan terus meningkat di sebalik usaha gigih Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi jenayah.

Berlakunya kejadian jenayah adalah sebagai peringatan bahawa masyarakat tidak boleh mengabaikan keselamatan mereka.

Setiap kali berlakunya jenayah kejam maka ia akan menimbulkan kemarahan masyarakat dan menjadikan orang ramai menempelak serta menuding jari kepada beberapa pihak.

Persoalannya, adakah kita telah melakukan secukupnya sebagai kerajaan, komuniti dan institusi keluarga untuk menangani isu serta punca berlakunya jenayah?

Memerangi jenayah adalah perlu, mencari punca adalah penting, dan pencegahan jenayah adalah satu perkara yang lebih penting. Penubuhan Jabatan Pencegahan Jenayah oleh PDRM diharapkan boleh merungkai segala punca jenayah dan berusaha menanganinya secara berkesan.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berpendapat bahawa masalah penagihan dadah adalah punca utama kepada kes jenayah seperti ragut.

Selagi tiada kejayaan menangani isu penyalahgunaan dadah, masalah jenayah berkaitan dadah akan terus berlaku.

Satu lagi punca jenayah adalah berkaitan keruntuhan nilai moral yang serius yang membelenggu golongan remaja akibat keruntuhan keupayaan kekeluargaan dan panduan untuk membolehkan anak-anak kita melakar perjalanan yang betul.

Pembangunan ekonomi dan teknologi yang pesat tidak seimbang dengan pembangunan nilai moral dan pembangunan insan. Kita bukan hendak menafikan kepentingan ICT dalam era teknologi maklumat tetapi kita perlu sedar pada masa sama kita perlu menegaskan intipati pembangunan moral dan nilai sangat penting demi mencapai pembangunan negara seimbang.

Pembangunan ekonomi dan teknologi hendaklah dicapai tanpa mengorbankan nilai moral dan pembangunan insan yang juga sangat diperlukan di samping kita menangani pelbagai permasaalahan sosial yang menghantui masyarakat.

Mendapat bahan lucah dengan mudah, saya percaya adalah penyebab utama kepada peningkatan jenayah seksual. Bahan lucah melalui VCD cetak rompak dijual dengan harga murah dan senang untuk diperolehi bukanlah menjadi masalahnya sahaja. Ketagihan seks siber, teman seks, laman web lucah dan sebagainya merosakkan minda remaja dan mengakibatkan kemunculan gejala sosial.

Terdapat juga masalah pil ekstasi dan pelbagai pil perangsang yang boleh didapati di pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal.

Kita perlu menangani jenayah dari pelbagai sudut dan pendekatan :

1. Dari sudut pendidikan kita memerlukan program secara berterusan untuk mendidik remaja dan belia kita untuk menjauhi diri daripada gejala sosial dan jenayah.

2. Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu sentiasa memikirkan tentang keselamatan anak-anak mereka semasa mereka berada di luar rumah mahupun di sekolah. Ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah semasa anak-anak membesar dan perlu memainkan peranan membantu membimbing anak-anak mereka supaya menjadi insan yang baik dan berguna.

3. Kerajaan harus dengan segala upaya menguatkuasakan undang-undang secara efektif demi kepentingan ketenteraman awam dan pencegahan jenayah. Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara adil dan tanpa pilih kasih.

4. Sekolah pula hendaklah mengetatkan disiplin terhadap murid melalui kerjasama guru, ibu bapa dan pihak berkuasa.

5. Peranan badan kehakiman juga harus menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan penjenayah. Mengawasi keselamatan negara melibatkan lebih daripada sekadar anggota yang bersenjata dan kereta peronda. Apa yang kita perlukan adalah kemampuan berkomunikasi, kaunseling dan psikologi untuk anggota polis, perubatan forensik, teknologi komunikasi, ilmu sains sosial dan integriti.

6. Kesedaran akan keselamatan peribadi dan keselamatan sosial tidak hanya terbatas pada aspek fizikal, tetapi juga keprihatinan alam siber, kerana kita hidup di dunia di mana maklumat dan teknologi komunikasi yang sentiasa berubah pada kelajuan yang sangat pantas. Ia adalah punca penyebab yang serius yang perlu diambil kira akibat peningkatan jenayah siber, di mana kita boleh menjadi mangsa kecurian identiti dan penipuan serta pelbagai hal lain.

Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 26 Jun 2013

ISU SOSIAL : Menghindar jerebu di hati dan minda


Oleh : NORDEN MOHAMED

JEREBU melanda lagi. Bagi yang alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema dan lelah. Apabila jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan membuat suasana jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun di beberapa kawasan.

Ramai yang terpegun menyaksikan air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit menangis.

Hati masing-masing mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan IPU akan turut turun apabila kualiti udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun hujan turun tidak lebat, asalkan indeks pencemaran udara tidak naik lagi, itu pun sudah cukup baik.

Jerebu. Siapa yang suka suasana yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal topeng, walaupun suka topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan jerebu. Namun, mengapa ada orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan jerebu walaupun mereka juga tidak suka kepada keadaan cuaca sebegitu?

Atas kepentingan mahu jimatkan kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan, cara yang cepat adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka yang mereka sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal jangka pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.

Ertinya mereka berfikiran singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan mereka pula sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada di kawasan titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab itu turut kabut asap!

Mereka hanya nampak duit yang kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa menggunakan duit untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh.

Untuk sekian kalinya, matlamat tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan, risikonya seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi apabila akibatnya terkena kepada berjuta-juta manusia lain.

Dalam kehidupan seharian kita sendiri, berapa ramaikah antara kita yang pada zahirnya baik, tetapi tanpa disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika jerebu udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang menyerang minda dan jiwa?

Jerebu fikiran datang dalam bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan mendengar dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa jua berita, cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan kepesongan hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih hablur.

Ertinya, jerebu fikiran itu mengaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda untuk menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita  hanya menengok, tetapi tidak berdaya memerhati dan merenungi.

Kita hanya mendengar, tetapi tidak mampu lagi mengamati. Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu hanya dibaca secara lahiriah atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.

Jerebu hati pula tiba apabila kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata, membiarkan diri mengikut perasaan apabila sampainya bisikan prasangka.

Akibatnya, prasangka yang menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat menerima kebaikan dan kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang dibiarkan hingga menjadi noda yang menghitamkan hati.

Jerebu di hati dan minda akan merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi tumpul. Berapa ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain, tetapi tidak berasa sedih.

Melihat orang miskin, tanpa berasa simpati. Berdepan dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana tidak mahu terlibat.

Jerebu di udara akan merosakkan fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di minda akan merosakkan mental.

Soalnya, bagaimanakah kita menghindarinya? Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng sebagai perisai, jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu.

Hanya pengetahuan yang dapat menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan dengan perisai keikhlasan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesan Jerebu Terhadap Ekonomi


Oleh :  DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

KEADAAN jerebu semasa telah memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat bagi kawasan Muar dan Ledang.  Beberapa buah negeri juga menutup sekolah-sekolah bagi mengelakkan masalah kesihatan yang serius, terutama buat kanak-kanak.

Masalah jerebu sejak sedekad kebelakangan ini sudah menjadi masalah tahunan. Pembakaran di Indonesia bagi pembersihan ladang menjadi punca utama kedatangan jerebu secara bermusim ini.

Meskipun di peringkat kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah wujud usaha serantau bagi mengatasi masalah jerebu, namun setakat ini tidak ada hasil yang ketara. Langkah-langkah yang diambil adalah reaktif dan tidak membawa kepada penyelesaian menyeluruh.

Sikap pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan sendiri dengan membakar ladang untuk membersihkannya menunjukkan betapa kepentingan sosial tidak diambil peduli oleh mereka. Ya, kosnya murah buat syarikat ladang, namun kos kepada umum adalah mahal.

Kesan jerebu boleh dilihat dalam jangka masa panjang dan pendek. Gangguan kepada aktiviti ekonomi dan sosial harian boleh membawa kesan kepada segala perancangan yang telah sedia dibuat.

Jika keadaan berjerebu ini berakhir kurang dari seminggu dan tidak melangkau jauh ke banyak kawasan, impak ekonominya mungkin minimum, tidak mencecah bilion ringgit.

Sekiranya keadaan jerebu kali ini bertambah serius, berpanjangan serta melangkau kebanyakan kawasan, kesan ke atas ekonomi boleh menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun semasa. Kerugian boleh mencecah hingga berbilion ringgit ekoran daripada banyak kegiatan sosial dan ekonomi yang tergendala.

Banyak lagi kesan negatif jerebu yang mungkin kita terlepas pandang dalam menilai kesannya. Misalnya, kita tidak pasti apakah kesan ke atas kesihatan akibat terdedah dengan sinaran matahari yang terbias dek jerebu. Kos juga sukar dikira bagi impak pertanian yang musnah dek kurangnya pancaran matahari akibat bumi diselubungi jerebu. Sehinggalah saintis mengenal pasti perkara-perkara ini, barulah kita dapat membuat anggaran kos jerebu kepada ekonomi dan kesejahteraan hidup manusia.

Antara industri yang akan terjejas teruk oleh jerebu adalah sektor pelancongan. Hotel, restoran dan taman-taman tema di kawasan berjerebu akan menerima tempias negatif jerebu berikutan kurangnya aktiviti luaran oleh orang ramai.

Lebih dikhuatiri jika masalah jerebu ini konsisten trendnya dan agensi-agensi pelancongan asing tidak mengesyorkan pelanggan mereka untuk datang ke rantau ini dalam bulan-bulan jerebu.

Di sinilah impak jangka panjang jerebu akan mula kita rasai. Pelancong asing tidak lagi mahu datang ke sini dan pelancong tempatan memilih destinasi luar negara sebagai pilihan.

Keadaan jerebu yang serius juga boleh membawa kesan negatif kepada sektor perindustrian. Dengan keadaan berjerebu, pihak berkuasa akan memerintahkan kilang-kilang, kuari dan semua aktiviti yang melibatkan pelepasan pencemaran ke udara dikurangkan atau terus diberhentikan.

Di kawasan darurat jerebu misalnya, semua aktiviti ini mesti diberhentikan. Semua ini merenjatkan aktiviti ekonomi di mana banyak kilang dan syarikat akan terpaksa menanggung kos tinggi tanpa pulangan yang diharapkan.

Jerebu juga membawa kepada masalah kesihatan yang serius dan kosnya sukar dikira. Bil-bil untuk mendapatkan rawatan dek masalah jerebu pastinya meningkat pada masa ini.

Sekurang-kurangnya pun kita terpaksa membeli topeng muka. Semua ini merupakan kos dek jerebu. Meskipun industri kesihatan akan menyaksikan lonjakan hasil, pulangan ini kecil dan hanya untuk firma atau individu minoriti berbanding kesan dan kos negatif besar yang terpaksa ditanggung masyarakat.

Para pekerja pasti ramai yang terpaksa mengambil cuti sakit atau pihak majikan sendiri mengambil langkah menutup syarikat dalam keadaan jerebu pada paras bahaya.

Di sini, kos lepas atau kos akibat dari kegiatan ekonomi yang tidak dijalankan akan menambahkan lagi kesan negatif jerebu kepada ekonomi.

Jerebu merupakan masalah oleh tangan-tangan manusia. Masalah ini menjadi ketara sekarang kerana wujudnya estet-estet perladangan berskala besar. Natijahnya, pembakaran ladang untuk tujuan pembersihan juga mencapai ke skala industri yang mencemarkan.

Jika pihak syarikat tidak ambil peduli dengan kesan kegiatan mereka, pihak berkuasa mesti mengambil langkah serius untuk menangani masalah ini ke akar umbi.

Pemberian lesen, permit serta cukai pencemaran boleh dilaksanakan sebagai langkah kawalan. Semua ketidakpatuhan kepada undang-undang wajar dikenakan tindakan keras agar masalah tidak berulang.

Udara bersih merupakan hak semua yang wajar dipelihara. Rakyat marah dengan pencemaran ini dan rakyat menuntut kebajikan mereka dipelihara!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Ekonomi IslamUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/