Isnin, 8 Julai 2013
ISU PENDIDIKAN : Syarat Minimum SPM 7A Untuk Mohon Jadi Guru
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baru minimum 7A bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari semenanjung untuk memohon menceburi profesion perguruan bermula tahun ini.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk
Seri Idris Jusoh berkata, kelonggaran
minima 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.
Langkah itu bagi memartabatkan
profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan
30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai profesion itu, katanya ketika
menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di
Dewan Rakyat di sini.
Ketika ini, syarat asas ialah mendapat kecemerlangan sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga
mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta
lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang
dipohon.
Sementara itu, Idris berkata,
kementerian juga sedang mengkaji bagaimana untuk meringankan beban guru dalam
pelaksanaan sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) selain
daripada menambah bilangan pembantu guru seperti yang telah dilaksanakan di
Kedah dan Sabah.
Katanya, antara perkara yang
diambil kira ialah penyediaan laporan yang tidak perlu terlalu banyak perincian
dalam membuat penilaian mereka. - BERNAMA
Umat Islam mula berpuasa Rabu ini
KUALA LUMPUR - Umat Islam di
Malaysia akan mula berpuasa Rabu ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh
permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada
Rabu, 10 Julai 2013, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah
diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiar secara
langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Majlis Raja-Raja mempersetujui
bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
- Bernama
ISU AGAMA : Persiapan menyambut Ramadan
BULAN Syaaban kini sudah hampir
melabuhkan tirainya. Ini bermakna fajar Ramadan kembali menyingsing lagi dan
umat Islam di serata pelosok dunia mula bersiap sedia untuk berpuasa di bulan
Ramadan.
Justeru segala persiapan bagi
menemuinya patut dimulakan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi
seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun
dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak
berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali lagi berlalu pergi, tiada nilai takwa
mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama
sebulan.
Justeru , umat Islam diseru
melakukan yang terbaik bagi menghargai kesempatan terpilih bertemu Ramadan
sekali lagi dengan secukupnya. Mukminin yang merindukan ketibaan bulan
al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk
meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT.
Malah setiap individu Muslim
perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka
sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan seikhlas jiwa dan raga.
Sementara itu bagi golongan yang lalai, kedatangan Ramadan pasti meresahkan dan
akan disambut dengan pelbagai alasan untuk tidak berpuasa. Mereka ini
diingatkan supaya bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini
kerana ia akan dipersoalkan pada hari kemudian.
Setiap Muslim juga disarankan
agar menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan
dengan mula berazam untuk menghindari diri daripada terlibat melakukan perkara
keji dan mungkar selain bertekad dengan untuk mengimarahkan Ramadan dengan
segala bentuk amalan kebajikan.
Begitu pula segala penyakit
mazmumah yang boleh merosakkan nilai ibadah di sisi Allah SWT hendaklah segera
dijauhi. Sifat negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk
dalam kategori penyakit hati yang perlu dijauhi. Selain itu pekerjaan buruk
berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan
mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga
bertepatan dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa
nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan
negatif.
Setiap Muslim perlu mengikhlaskan
niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap
amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang
betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh
untuk memperoleh pelbagai ganjaran di bulan Ramadan.
Adalah tidak molek jika matlamat
dan tujuan berpuasa yang tiba setahun sekali diarahkan semata-mata untuk
menyambut hari raya, sehingga segala persiabpan seperti pakaian, kuih muih,
mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan
Ramadan di depan mata terabai dan tidak dipedulikan. Malah kecenderungan
seperti itu elok diganti dengan membuat persiapan menyambut Ramadan dengan
berpakaian serba baharu, menghias rumah dengan langsir baharu dengan niat serta
tekad yang baharu. Ini selari dengan perintah Allah SWT supaya syurga dihias
dan dicantikkan bagi menyambut Ramadan al Mubarak.
Bagi meraih bonus berlipat kali
ganda dan yang tidak ternilai sewaktu Ramadan, persediaan dari sudut fizikal,
mental dan material juga perlu diusahakan. Individu Muslim disarankan menjaga
kesihatan tubuh badan, bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dengan
berlebih-lebihan serta keinginan lain yang boleh menjejaskan kesempurnaan
berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan dan
material untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka
puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya yang
bermaksud; "Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa)
nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka".
Seyogianya Ramadan dipenuhi
dengan segala kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus
al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam
diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan
sepanjang Ramadan agar semua beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan
pembebasan daripada api neraka di sepanjang Ramadan. Di samping itu segala
kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan
bermanfaat. Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang kurang
berfaedah lagi berdosa.
Di sudut pandang yang berbeza, terdapat
segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan
diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam
matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun
sebenarnya pengertian puasa yang cukup luas dan menyeluruh itu kurang difahami.
Ini kerana selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga
selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa
yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup
aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada
mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala
berpuasa ketika berpuasa.
Ramadan yang tiba setahun sekali
turut menjanjikan kenikmatan bertemu malam lailatulqadar yang didambakan oleh
setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini hendaklah dicari
dengan bersungguh-sungguh. Setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad
untuk berjihad mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang
tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa
pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.
Individu Muslim disaran untuk
meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa
tingkatan khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membatasi puasa hanya dengan
menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan
puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada
melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Di samping itu perkara-perkara
wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat turut dilaksanakan.
Apalah ertinya seseorang berpuasa jika hanya tidak makan dan tidak minum tetapi
kewajipan agama yang lain diabaikan.
Akhirnya setiap Muslimin perlu
menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima
dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan;
"Setiap amalan anak Adam
dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman
kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya,
kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku". (Hadis riwayat Imam
Ahmad)
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru.
Sabtu, 6 Julai 2013
Indonesia, Maghribi dominasi tilawah Al-Quran
![]() |
| Dasrizal Marah Naini (kanan) bersama Hajah Boussaq meraih Johan Tilawah Al-Quran pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-55 di PWTC malam tadi. |
KUALA LUMPUR - Tilawah
Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-55 yang berlangsung di Pusat Dagangan
Dunia Putra di sini selama lapan malam berakhir malam tadi dengan peserta
Indonesia Dasrizal Marah Nainin muncul sebagai johan qari.
Bagi bahagian qariah, ia
dimenangi peserta Maghribi, Hajar Boussaq.
Naib johan qari pula dimenangi
peserta dari Iran, Mohammad Mashmoul sementara peserta Malaysia, Anuar Hasin
menduduki tempat ketiga.
Sementara Hanimzah Jalaluddin
dari Malaysia muncul naib johan bahagian qariah dan peserta Thailand, Natita
Manasiya menduduki tempat ketiga.
Johan bagi kedua-dua kategori
membawa pulang kepingan emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 bersama wang
tunai RM40,000, sebuah piala iringan, cenderamata dan sijil penghargaan yang
disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah.
Turut berangkat Raja Permaisuri
Agong, Tuanku Hajah Haminah. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul
Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff dan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.
Dasrizal yang ditemui pemberita
selepas majlis penyampaian hadiah menyifatkan kemenangannya itu sebagai
anugerah daripada Allah S.W.T di atas usahanya selama ini selain dorongan
daripada keluarganya.
"Tak ada kata lain yang bisa
diungkap atas kemenangan ini yang bukan mengambil masa yang sekejap, dan saya
bersyukur menjadi peserta antara yang terbaik," kata pensyarah di Maahad
Tinggi Agama Islam Indonesia ini.
Hajar Boussaq, 23, pula
menyifatkan pengiktirafan sebagai johan qariah sebagai batu loncatan untuk
beliau mengembangkan pengetahun serta kemahirannya dalam bacaan ayat suci
Al-Quran.
"Saya tujukan kemenangan ini
kepada kerajaan Malik Mohammed ke-VI selain bersyukur kerana menjadi juara
dalam pertandingan yang mencabar di peringkat antarabangsa ini," kata
pelajaran jurusan Pengajian Islam di Universiti Hamzah II, menerusi terjemahan
kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Khalid Osman.
Hanimzah pula berazam untuk terus
memperbaiki mutu bacaannya yang diakuinya masih mempunyai kelemahan.
"Segala usaha saya tidak
sia-sia dan saya berpuas hati dengan kejayaan ini," kata penjawat Jakim
ini.
Seramai 43 peserta lain turut
menerima hadiah saguhati bernilai RM3,000 setiap seorang beserta cenderamata
dan sijil penyertaan.
Para juri berpendapat setiap
peserta telah memperdengarkan mutu bacaan yang amat baik serta lancar dengan
memelihara hukum tajwid.
Seramai 15 juri dari 10 negara
antaranya Jordan, Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Lubnan dan Qatar
dipertanggungjawabkan untuk menilai bacaan setiap peserta.
Tilawah yang bertemakan
'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' bermula sejak 29 Jun lepas disertai 59
peserta terdiri daripada 37 qari dan 22 qariah dari 48 negara termsuk Sudan,
Timor Leste, Mesir, Maldives, Sri Lanka serta Mauritius. - Bernama
ISU SOSIAL : 10 Sifat Majikan Terbaik
Kecemerlangan memimpin mampu
jalin hubungan baik dengan pekerja
Dalam memacu perkhidmatan
bertaraf dunia dan kelas pertama, sering kita menoleh ke arah pekerja yang
sememangnya menjadi modal utama organisasi.
Ia adalah suatu hakikat yang
tidak boleh disangkal bahawa pekerja yang cemerlang adalah jaminan kepada
organisasi yang cemerlang.
Namun, antara faktor utama
penentu kecemerlangan pekerja itu adalah majikannya. Majikan cemerlang
sebenarnya adalah pengemudi kejayaan organisasi.
Kecemerlangan majikan bukan saja
terletak pada kejayaannya memenuhi sasaran kerja dan organisasi, tetapi
kemampuan memimpin dan mengurus pekerja dalam suasana kasih sayang.
Pengurusan kasih sayang bermaksud
pengurusan yang menjalinkan hubungan yang baik dengan menunjukkan rasa hormat,
menghargai dan menjaga kebajikan pekerja.
Pengurusan kasih sayang juga
tidak menggadai ketegasan khasnya dalam membuat keputusan yang menjamin
kesejahteraan jangka panjang kepada pekerjanya.
Ini tidak bererti yang majikan
terpaksa pula bersifat lemah lembut dalam semua keadaan dan tidak pula bertegas
dengan pendiriannya saja dalam semua keadaan.
Tiada ertinya sesebuah organisasi
itu berjaya sehingga dijulang ke tahap dunia tapi pekerjanya sendiri tidak
merasa bangga dan seronok melaksanakan tugasan. Hal ini sangat penting apatah
lagi apabila rata-rata pekerja menghabiskan masa yang lebih panjang di tempat
kerja dari di rumah.
Saling menghormati
Justeru, suasana yang harmoni
dengan jalinan hubungan majikan pekerja yang baik serta saling menghormati
tidak boleh dipandang remeh kerana kita mahu berjaya dan merasakan kejayaan,
bukannya tekanan yang mengundang ketidakpuasan hati, krisis, konflik, stres,
gangguan emosi dan kesihatan.
Indeks Persekitaran Kerja
menunjukkan bahawa suasana kerja yang selesa dan perhubungan majikan dan
pekerja yang baik menyumbang kepada pengurangan pertikaian dalam organisasi.
Justeru, dalam mengurus dengan
kasih sayang, beberapa langkah penting untuk memenuhi hak pekerja perlu
diambilkira oleh majikan.
Ia meliputi matlamat, misi dan
visi yang ingin dicapai dari semasa ke semasa agar benar-benar difahami oleh
pekerja. Majikan perlu menyediakan ruang untuk pekerja menyalurkan pandangan
dan hasrat mereka dengan jelas serta menggalakkan budaya menyuarakannya secara
berhemah.
Pandangan dari pihak bawahan
kepada pihak atasan perlulah dinilai secara objektif dan dimanfaatkan dalam
perancangan dan membuat keputusan.
Pekerja akan merasa dihargai
apabila pandangan dan keputusan majikan turut mewakili mereka. Majikan perlu
mengamalkan ketelusan. Majikan boleh dianggap mengkhianati pekerja jika tidak
mengamalkannya dalam pengurusan.
Penyediaan polisi pekerjaan yang
menarik dan kompetitif meliputi peluang kenaikan pangkat, skim latihan, polisi
keselamatan dan insentif. Elakkan budaya pilih kasih serta membodek agar semua
pekerja dilayan dengan adil dan saksama.
Sabda Rasulullah SAW: Orang yang
bekerja untukmu adalah saudaramu. Allah telah mentakdirkan mereka bekerja di
bawahmu. (Riwayat Imam Bukhari dan al-Tirmizi).
Justeru, selain pekerja yang
perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berdedikasi, majikan juga perlu
mengamalkan sifat dan nilai kecemerlangan.
Sepuluh panduan sifat majikan
terbaik yang memiliki sifat al-Qawi dan al-Amin (kuat dan beramanah) ialah
tidak membebani pekerja di luar kemampuan, mengutamakan kebajikan, menjamin
keselamatan, mengeluarkan kata-kata dan bahasa sopan serta menghargai pekerja.
Selain itu, pembayaran gaji dan
imbuhan dengan segera dan setimpal, menilai pekerja dengan objektif dan adil,
menyediakan saluran dan peluang menyampaikan hasrat dan pandangan pekerja,
mengamalkan perbincangan serta permuafakatan.
Pengurusan aduan dan konflik
dengan bijaksana dan menyemarakkan suasana harmoni melalui jalinan tidak formal
seperti dalam aktiviti keagamaan, rekreasi dan riadah adalah antara sifat
majikan yang boleh dicontohi.
Rapatkan jurang hubungan
Langkah dan sifat yang diamalkan
dengan benar oleh majikan ini dapat merapatkan jurang hubungan antara majikan
dan pekerja serta menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif lagi
membahagiakan.
Ia sekali gus mampu mengubah
suasana prejudis, menjemukan, putus asa, marah, konflik dan krisis kepada
suasana tenang, ceria, optimis, berkeyakinan dan bersemangat yang dapat
memberikan kepuasan bekerja. Pekerja yang ceria adalah pekerja yang inovatif,
kreatif dan produktif.
Usaha ini menjadikan warga
organisasi sebagai suatu pasukan kerja yang mantap sesuai dengan apa yang
diingatkan dalam Surah al-Saff: Ayat 4 yang bermaksud, Sesungguhnya Allah suka
orang yang berperang dijalan-Nya (untuk membela agamanya) dalam barisan yang
teratur bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Penulis Prof Madya di Jabatan
Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Pendidikan akar penyatuan nasional
Oleh : Khairuddin Mohd. Zain
GUNAKANLAH apa sahaja
terminologi, penyatuan nasional, konsensus nasional, kesepakatan nasional - pokok pangkalnya rakyat sedang mengharapkan amalan dan
tingkah politik yang lebih positif, pasca PRU-13 yang lalu. Kepada penulis,
Perdana Menteri punya jiwa besar untuk menawarkan idea penyatuan nasional ini.
Menyusur sejarah, penulis
terjumpa ucapan lama Almarhum Tun Razak sewaktu merasmikan Majlis Perpaduan
Negara sekitar tahun 1971. Ucapan Tun Razak ini punya aura luar biasa. Terkesan
dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969, negara amat-amat memerlukan sifir
politik yang baru.
"Kejayaan
Majlis ini bergantung kepada keikhlasan hati dan kesediaan saudara-saudara
menyatakan pendapat secara jujur dan berterus terang dengan memandang
semata-mata untuk kepentingan dan faedah negara keseluruhannya. Hanya dengan mengadakan perbincangan dengan jujur dan memberi pandangan-pandangan
yang objektif, kita boleh memberikan makna penuh kepada Majlis Perpaduan Negara
ini."
Ada beberapa kata kunci dalam bait
ucapan Tun Razak ini. Keikhlasan, kesediaan, jujur, berterus terang,
kepentingan dan faedah negara - adalah antara yang dapat jelas dicerna.
Soalnya, rentak penyatuan nasional mesti ada sauh dan asasnya. Kepada penulis,
pendidikan adalah asas yang paling wajar dijadikan prioriti.
Kepentingan pendidikan di dalam
arus pembangunan negara ini jelas, apabila titah Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen
awal minggu lalu menyentuh perkara sama. Titah Tuanku, menggaris harapan agar
agenda transformasi pendidikan dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh kerajaan,
sejajar dengan niat dan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mungkin di atas semangat yang
sama, antara soalan-soalan awal yang ditanya pada Sidang Parlimen 2013 adalah
berkenaan isu pendidikan. Soalan daripada Ahli Parlimen Lenggong (rujuk Hansard
Parlimen, 26 Jun 2013), Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (rujuk hansard
Parlimen, 27 Jun 2013) dan banyak lagi soalan berkait isu pendidikan.
Di Parlimen juga, idea dan
matlamat Sekolah Wawasan
dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen Langkawi. Garis masa transformasi
Tingkatan 6, dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas. Isu pendidikan dalam
kalangan kumpulan miskin bandar diangkat juga oleh Ahli Parlimen Setiawangsa.
Untuk berlaku adil, wakil rakyat Bukit Katil dan Pandan juga ada menyentuh isu
pendidikan.
Ternampak jelas, isu pendidikan
ini sudah meruntuh sempadan ideologi dan ego politik. Kebanyakan wakil rakyat
mahu ia ditangani dengan baik, sekali gus meletakkan mutu pendidikan Malaysia
di tahapnya yang terbaik.
Penulis melihat ini suatu ruang
yang sangat strategik
untuk dijadikan asas kepada penyatuan nasional. Mungkin, kalangan pihak
berkepentingan, seperti Majlis Profesor Negara, NGO berteraskan pendidikan
seperti Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) untuk menjemput kalangan
Ahli Parlimen mengadakan diskusi meja bulat yang ikhlas.
NGO Melayu yang berorientasi dan
berteraskan pendidikan tidak boleh bergerak dengan model lama. Konvensyen
dengan resolusi panjang berjela, akhirnya tinggal menjadi hebat di atas kertas
dan tidak diterjemah dalam bentuk pragmatisme dasar dan polisi.
Kalangan Ahli Parlimen wajar
dirapati, bagi mencambahkan idea mereka yang kadangkalanya punya asas dan wajar
dijayakan oleh kerajaan. Sebagai misal, Ahli Parlimen Limbang sewaktu
membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat
(4 Julai 2013), mempunyai idea yang sangat bernas dalam memastikan bidang sains
dan teknologi serta kejuruteraan diberikan tumpuan yang lebih bersungguh.
Cadangan ini ada akar kajian
akademiknya. Kajian yang dilakukan Direktorat Sains, Teknologi dan Industri
OECD, menggariskan beberapa kelemahan Malaysia dalam membangun ekonomi
berteraskan inovasi. Antara kelemahan ketara - kualiti sistem pendidikan,
kekurangan tenaga pakar dan kurangnya linkage antara penyelidikan awam dan
industri.
Isu ini perlu teliti secara jujur
dan strategik. Yang pasti, ia tidak lagi boleh berlegar di atas kertas resolusi
yang panjang berjela. Strateginya apa? Garis masa? Apa bidang tumpuan? Usaha
yang sedemikian besar, sudah memerlukan usaha rentas
kementerian dan bukan lagi di atas bahu
Kementerian Pendidikan semata-mata.
Dalam kajian OECD yang sama,
antara ancaman terbesar kepada Malaysia adalah kemajuan berganda negara Asia
lain dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan industri kreatif.
Penubuhan Singapore University of
Technology and Design (SUTD), dengan kerjasama Massachusetts Institute of
Technology (MIT) dan Zhejiang University diangkat oleh kajian OECD sebagai
model masa hadapan yang perlu dihambat oleh negara lain.
MIT institusi pendidikan ulung di
dunia. Zhejiang University berada dalam Liga C9 (C9 League - sembilan
universiti terhebat di China) dan berada kedudukan ketiga dalam Sina Ranking
tahun 2009. Kerjasama ini amat dipuji oleh kajian OECD.
Debat pendidikan kita, baik di
dalam media perdana mahupun alternatif, masih menjurus kepada soal keperluan
sekolah vernakular, pengwujudan semula sekolah aliran Inggeris dan sebagainya.
Negara lain, sudah mula jauh melangkah ke hadapan dengan model pendidikan nasional yang tidak boleh diperdebatkan.
Ada juga soalan di Parlimen yang
menjurus kepada usaha meliberalisasi bidang pendidikan secara total. Wakil
Rakyat Ayer Hitam ada bertanya tentang status pengiktirafan ijazah di 820 buah
universiti di Republik Rakyat China dan 157 buah universiti di Taiwan.
Itu belum lagi diambil kira
pendirian NGO pendidikan Cina, Jiao Zong, yang sama sekali menentang cadangan
penambahan masa mengajar Bahasa Malaysia daripada 180 kepada 270 minit seminggu
di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Penentangan seperti ini merencatkan
semangat pelan strategik
pendidikan yang dicadangkan oleh kerajaan.
Bila agaknya NGO Melayu
berteraskan pendidikan, mampu duduk semeja dengan Dong Zong, Jiao Zong, Hindu
Sangam dan sebagainya - dan mula berdialog sebagai bangsa
Malaysia sebenar dalam merencana isu pendidikan.
Pendidikan tidak boleh menjadi
permainan bersifat zero-sum.
Menang semua. Kalah semua. Jalan hadapan mestilah bersifat sederhana dan
mendahulukan fikrah dan ideal negara. Kerajaan, kementerian tidak wajar
ditekan-tekan dengan isu dan permasalahan sama.
Dialog dan pandang balas
sememangnya boleh dan dibenarkan. Namun, ia juga mesti ada had dan limitasinya.
Jika semua yang dicadang oleh kerajaan, walaupun setelah mendapat pandangan
umum, kemudiannya ditolak semula oleh swadaya pendidikan, kita tidak akan bergerak
ke mana.
Negara memerlukan kalangan NGO
berteras pendidikan yang mempunyai fokus, program yang baik, keterbukaan dalam
berdialog, akar hujah yang tuntas dan bersederhana dalam mempertahan pendirian
dan prinsip. Mengemukakan pandangan politik mungkin dibolehkan, namun perlulah
selektif.
NGO berteraskan pendidikan perlu
lari daripada imej membuat laporan
polis dan lebih fokus dalam usaha mempengaruhi polisi.
Hijrah ini rasanya tidak mudah,
ketika mana aktif atau tidaknya NGO diukur dengan berapa laporan polis yang
telah dibuat untuk tahun itu. Selagi polis mendahului polisi,
mungkin perjalanan kita jauh.
PENULIS ialah penganalisis
politik dan sosial.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)






