Selasa, 9 Julai 2013

ISU AGAMA : Ramadan bukan sekadar iftar, tarawih, tazkirah


Oleh : Hassan Mohd. Noor

Malam tadi, umat Islam di negara ini  dimaklumkan puasa bulan Ramadan  tahun ini bermula esok (Rabu). Semoga kita diberi kekuatan kesihatan untuk menunaikan salah satu daripada Rukun Islam itu serta mengisi bulan yang penuh keberkatan ini dengan pelbagai amalan baik yang dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya turut mengingatkan umat Islam untuk tidak melakukan perbuatan atau tindakan yang boleh mengurangkan ganjaran pahala seterusnya membatalkan puasa itu. Bukanlah bermakna di luar Ramadan, kita bebas melakukan apa yang dilarang. Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Apa pun fadilat puasa lebih daripada itu. Begitu juga pengisian pelbagai amalan pada bulan yang penuh keberkatan ini. Eloklah ketika berehat pada waktu makan tengah hari pada bulan Ramadan ini, kita penuhkan surau dan masjid untuk solat berjemaah serta menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan. Pada sebelah malamnya pula diisi dengan solat sunat tarawih dan witir.

Kehadiran Ramadan menandakan satu lagi bulan yang telah kita tinggalkan. Masa begitu pantas berlalu. Setiap kali Ramadan, beberapa isu pasti menjadi perbualan dan perhatian ramai. Ada ketikanya isu-isu ini menjadi perbahasan hangat dalam kalangan masyarakat. Bagaimanapun semuanya tidak menjejaskan ibadah Ramadan ini.

Bazar Ramadan serta berbuka (iftar)

Sudah menjadi kelaziman, bazar Ramadan akan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Di seluruh pelusuk negara akan muncul gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka termasuk yang jarang kelihatan pada hari-hari biasa. Rambang mata yang melihat seribu satu macam juadah. Elakkanlah pembaziran. Bersederhanalah. Bendung nafsu makan. Ini bukan bulan makan atau pesta makan. Jika tidak, akan berlaku pembaziran apabila tiba waktu berbuka. Lihat sahaja di bazar Ramadan. Setiap orang pasti akan membawa pulang sekurang-kurangnya sejenis kuih dan sejenis minuman untuk berbuka. Tidak menghairankan jika setiap jari di tangan akan memegang plastik berisi makanan atau minuman. Begitulah nafsu bagi sesetengah orang menjelang waktu berbuka. Apakah habis makanan yang dibeli itu atau menjadi ‘habuan’ bakul sampah? Nafsu makan terserlah apabila menjelang waktu berbuka, pinggan diisi penuh tetapi selepas azan berkumandang, makanan tidak mampu dihabiskan. Akhirnya berlakulah pembaziran. Mengikut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pada tahun lalu, sebanyak 129,769 tan makanan dibazirkan setiap hari di negeri itu. Unjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula menjangkakan Malaysia akan menjana 31,500 tan sisa pepejal setiap hari dan daripada jumlah itu, 45 peratus atau 14,000 tan adalah makanan, menjadikan kira-kira lima juta tan sisa makanan bakal dilupus dalam tahun 2020. Mungkinkah Ramadan ini turut menjadi penyumbang?

Kaki masuk dalam sink@singki

Jangan kerana terlalu mengikut nafsu makan terutama ketika menghadiri majlis berbuka di hotel, anda kekenyangan sehingga leka untuk menunaikan solat maghrib. Ingat, solat itu tiang agama. Mendahulukan berbuka atau solat? Tentulah berbuka. Kita diminta segera berbuka apabila tiba waktunya. Berbukalah sebelum mengerjakan solat maghrib. Ada sesetengah orang yang sekadar menjamah dua tiga biji kurma dan segelas air, kemudian menunaikan solat. Di Masjidil Haram, ada masa untuk jemaah mengambil kurma, buah-buahan lain, meneguk air zam zam, sebotol air, susu atau jus serta sekeping roti. Kemudian solat berjemaah. Sesudah solat berseleraklah jemaah mencari restoran. Di Malaysia, sesuatu yang menarik perhatian ialah apabila berbuka di hotel bertaraf empat atau lima bintang. Bufet Ramadan di hotel bukannya murah. Ada yang sampai mencecah RM100 seorang dan mungkin lebih. Sia-sialah kalau tidak makan sepuasnya. Di sebalik harga yang tinggi ini, orang Islam masih mampu berbelanja besar untuk berbuka. Malangnya harga bufet tidak sepadan dengan kemudahan yang disediakan sempena Ramadan. Di sesetengah hotel, memang ada surau atau ruang khusus untuk solat, sama ada kecil atau besar. Malangnya tidak ada tempat khusus untuk berwuduk. Kebanyakan pelanggan terpaksa mengambil wuduk di dalam tandas. Amat sedikit yang memperuntukkan ruang khusus untuk berwuduk. Seorang sahabat berkata, kalau pelancong nak tengok kaki masuk sink@singki, datanglah ke Malaysia pada waktu berbuka di hotel-hotel ini.

Pengurusan hotel tolong lihat keadaan ini. Bangunan dan kemudahan hebat tetapi akhirnya kaki terpaksa diangkat ke dalam sink@singki. Bagaimana pula bagi yang berbadan besar atau tidak mampu mengangkat kaki ke dalam sink@singki?

Tazkirah dan tarawih 8+3, 20+3

Solat sunat tarawih datang hanya sekali dalam setahun. Siang berpuasa, malam beribadah dengan solat sunat tarawih serta membaca al-Quran. Tidak ada tarawih dalam bulan Syaaban. Maka manfaatkanlah peluang untuk mendirikan solat sunat ini. Tidak perlulah berkomentar sama ada hendak dilakukan lapan rakaat tarawih campur tiga witir (8+3) atau 20+3. Terpulanglah kepada anda sama ada untuk melakukannya 20 atau sebaliknya. Apa yang penting ialah pelaksanaannya yang menekankan soal kualiti, bukan kuantiti. Apa gunanya 20 + 3 tetapi makmum sekadar mengikut imam. Ada juga yang melakukan secara ‘ekspres’ sehingga bacaannya tidak berkualiti.

Banyak masjid dan surau mengambil kesempatan kehadiran ramai jemaah pada bulan Ramadan untuk mengadakan tazkirah selepas isyak atau selepas empat rakaat pertama tarawih. Jarang yang mengadakannya selepas selesai semuanya. Langkah ini bagi memastikan jumlah jemaah yang mengikuti tazkirah tidak berkurangan. Jika selepas tarawih, pasti ramai ‘angkat kaki’. Maka tidak ada pilihan kecuali tazkirah selepas empat rakaat. Makmum yang mahu menghabiskan lapan rakaat terpaksa menunggu tazkirah.

Tarawih datang setahun sekali tetapi tazkirah boleh diadakan pada bila-bila masa. Jangan jauhkan ahli jemaah yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat sunat setahun sekali itu. Seperkara lagi, elakkan tazkirah daripada unsur-unsur politik, sama ada yang memihak kepada kerajaan yang memerintah atau sebaliknya. Jangan musnahkan hubungan erat silaturahim, kasih sayang dan perpaduan semasa solat berjemaah dengan tazkirah berunsurkan politik. Ingatlah tidak semua jemaah adalah ahli parti. Akhirnya, kehadiran Ramadan harus dijadikan ruang terbaik kepada orang Melayu merapatkan hubungan seterusnya mewujudkan perpaduan yang lebih utuh.


Marhaban ya Ramadan. Selamat berpuasa! Jangan rosakkan puasa anda!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 8 Julai 2013

DOA DI AMBANG RAMADAN


DOA DI AMBANG RAMADAN:

 “Allahumma sallimni ila Ramadan, Allahumma Sallim li Ramadan, Wa Tusallimuhu Minni Mutaqabbala”

Ya Allah sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Ya Allah sempurnakanlah buat kami akan Ramadan dan Engkau sempurnakanlah Ramadan kami dengan segala amalan yang Engkau terima.”

ISU PENDIDIKAN : Syarat Minimum SPM 7A Untuk Mohon Jadi Guru


KUALA LUMPUR  :  Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baru minimum 7A bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari semenanjung untuk memohon menceburi profesion perguruan bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri  Idris Jusoh berkata, kelonggaran minima 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai profesion itu, katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.

Ketika ini, syarat asas ialah mendapat kecemerlangan sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Sementara itu, Idris berkata, kementerian juga sedang mengkaji bagaimana untuk meringankan beban guru dalam pelaksanaan sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) selain daripada menambah bilangan pembantu guru seperti yang telah dilaksanakan di Kedah dan Sabah.

Katanya, antara perkara yang diambil kira ialah penyediaan laporan yang tidak perlu terlalu banyak perincian dalam membuat penilaian mereka. - BERNAMA

Umat Islam mula berpuasa Rabu ini


KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Rabu ini.
   
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Rabu, 10 Julai 2013, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
   
Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
   
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. - Bernama

ISU AGAMA : Persiapan menyambut Ramadan

Tingkatkan bacaan  Al-Quran di sepanjang Ramadan

Oleh :  MOHD ALI MUHAMAD DON

BULAN Syaaban kini sudah hampir melabuhkan tirainya. Ini bermakna fajar Ramadan kembali menyingsing lagi dan umat Islam di serata pelosok dunia mula bersiap sedia untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Justeru segala persiapan bagi menemuinya patut dimulakan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali lagi berlalu pergi, tiada nilai takwa mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan.

Justeru , umat Islam diseru melakukan yang terbaik bagi menghargai kesempatan terpilih bertemu Ramadan sekali lagi dengan secukupnya. Mukminin yang merindukan ketibaan bulan al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT.

Malah setiap individu Muslim perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan seikhlas jiwa dan raga. Sementara itu bagi golongan yang lalai, kedatangan Ramadan pasti meresahkan dan akan disambut dengan pelbagai alasan untuk tidak berpuasa. Mereka ini diingatkan supaya bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini kerana ia akan dipersoalkan pada hari kemudian.

Setiap Muslim juga disarankan agar menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan mula berazam untuk menghindari diri daripada terlibat melakukan perkara keji dan mungkar selain bertekad dengan untuk mengimarahkan Ramadan dengan segala bentuk amalan kebajikan.

Begitu pula segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan nilai ibadah di sisi Allah SWT hendaklah segera dijauhi. Sifat negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk dalam kategori penyakit hati yang perlu dijauhi. Selain itu pekerjaan buruk berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga bertepatan dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.

Setiap Muslim perlu mengikhlaskan niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh pelbagai ganjaran di bulan Ramadan.

Adalah tidak molek jika matlamat dan tujuan berpuasa yang tiba setahun sekali diarahkan semata-mata untuk menyambut hari raya, sehingga segala persiabpan seperti pakaian, kuih muih, mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan Ramadan di depan mata terabai dan tidak dipedulikan. Malah kecenderungan seperti itu elok diganti dengan membuat persiapan menyambut Ramadan dengan berpakaian serba baharu, menghias rumah dengan langsir baharu dengan niat serta tekad yang baharu. Ini selari dengan perintah Allah SWT supaya syurga dihias dan dicantikkan bagi menyambut Ramadan al Mubarak.

Bagi meraih bonus berlipat kali ganda dan yang tidak ternilai sewaktu Ramadan, persediaan dari sudut fizikal, mental dan material juga perlu diusahakan. Individu Muslim disarankan menjaga kesihatan tubuh badan, bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dengan berlebih-lebihan serta keinginan lain yang boleh menjejaskan kesempurnaan berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan dan material untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud; "Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka".

Seyogianya Ramadan dipenuhi dengan segala kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar semua beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka di sepanjang Ramadan. Di samping itu segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang kurang berfaedah lagi berdosa.

Di sudut pandang yang berbeza, terdapat segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya pengertian puasa yang cukup luas dan menyeluruh itu kurang difahami. Ini kerana selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala berpuasa ketika berpuasa.

Ramadan yang tiba setahun sekali turut menjanjikan kenikmatan bertemu malam lailatulqadar yang didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh. Setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad untuk berjihad mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.

Individu Muslim disaran untuk meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa tingkatan khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membatasi puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat turut dilaksanakan. Apalah ertinya seseorang berpuasa jika hanya tidak makan dan tidak minum tetapi kewajipan agama yang lain diabaikan.

Akhirnya setiap Muslimin perlu menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan;

"Setiap amalan anak Adam dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya, kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 6 Julai 2013

Indonesia, Maghribi dominasi tilawah Al-Quran

Dasrizal Marah Naini (kanan) bersama Hajah Boussaq meraih Johan Tilawah Al-Quran pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-55 di PWTC malam tadi. 

KUALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-55 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini selama lapan malam berakhir malam tadi dengan peserta Indonesia Dasrizal Marah Nainin muncul sebagai johan qari.

Bagi bahagian qariah, ia dimenangi peserta Maghribi, Hajar Boussaq.

Naib johan qari pula dimenangi peserta dari Iran, Mohammad Mashmoul sementara peserta Malaysia, Anuar Hasin menduduki tempat ketiga.

Sementara Hanimzah Jalaluddin dari Malaysia muncul naib johan bahagian qariah dan peserta Thailand, Natita Manasiya menduduki tempat ketiga.

Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang kepingan emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 bersama wang tunai RM40,000, sebuah piala iringan, cenderamata dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.

Dasrizal yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah menyifatkan kemenangannya itu sebagai anugerah daripada Allah S.W.T di atas usahanya selama ini selain dorongan daripada keluarganya.

"Tak ada kata lain yang bisa diungkap atas kemenangan ini yang bukan mengambil masa yang sekejap, dan saya bersyukur menjadi peserta antara yang terbaik," kata pensyarah di Maahad Tinggi Agama Islam Indonesia ini.  

Hajar Boussaq, 23, pula menyifatkan pengiktirafan sebagai johan qariah sebagai batu loncatan untuk beliau mengembangkan pengetahun serta kemahirannya dalam bacaan ayat suci Al-Quran.

"Saya tujukan kemenangan ini kepada kerajaan Malik Mohammed ke-VI selain bersyukur kerana menjadi juara dalam pertandingan yang mencabar di peringkat antarabangsa ini," kata pelajaran jurusan Pengajian Islam di Universiti Hamzah II, menerusi terjemahan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Khalid Osman.

Hanimzah pula berazam untuk terus memperbaiki mutu bacaannya yang diakuinya masih mempunyai kelemahan.

"Segala usaha saya tidak sia-sia dan saya berpuas hati dengan kejayaan ini," kata penjawat Jakim ini.

Seramai 43 peserta lain turut menerima hadiah saguhati bernilai RM3,000 setiap seorang beserta cenderamata dan sijil penyertaan.

Para juri berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan mutu bacaan yang amat baik serta lancar dengan memelihara hukum tajwid.

Seramai 15 juri dari 10 negara antaranya Jordan, Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Lubnan dan Qatar dipertanggungjawabkan untuk menilai bacaan setiap peserta.

Tilawah yang bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' bermula sejak 29 Jun lepas disertai 59 peserta terdiri daripada 37 qari dan 22 qariah dari 48 negara termsuk Sudan, Timor Leste, Mesir, Maldives, Sri Lanka serta Mauritius. - Bernama

ISU SOSIAL : 10 Sifat Majikan Terbaik


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Kecemerlangan memimpin mampu jalin hubungan baik dengan pekerja

Dalam memacu perkhidmatan bertaraf dunia dan kelas pertama, sering kita menoleh ke arah pekerja yang sememangnya menjadi modal utama organisasi.

Ia adalah suatu hakikat yang tidak boleh disangkal bahawa pekerja yang cemerlang adalah jaminan kepada organisasi yang cemerlang.

Namun, antara faktor utama penentu kecemerlangan pekerja itu adalah majikannya. Majikan cemerlang sebenarnya adalah pengemudi kejayaan organisasi.

Kecemerlangan majikan bukan saja terletak pada kejayaannya memenuhi sasaran kerja dan organisasi, tetapi kemampuan memimpin dan mengurus pekerja dalam suasana kasih sayang.

Pengurusan kasih sayang bermaksud pengurusan yang menjalinkan hubungan yang baik dengan menunjukkan rasa hormat, menghargai dan menjaga kebajikan pekerja.

Pengurusan kasih sayang juga tidak menggadai ketegasan khasnya dalam membuat keputusan yang menjamin kesejahteraan jangka panjang kepada pekerjanya.

Ini tidak bererti yang majikan terpaksa pula bersifat lemah lembut dalam semua keadaan dan tidak pula bertegas dengan pendiriannya saja dalam semua keadaan.

Tiada ertinya sesebuah organisasi itu berjaya sehingga dijulang ke tahap dunia tapi pekerjanya sendiri tidak merasa bangga dan seronok melaksanakan tugasan. Hal ini sangat penting apatah lagi apabila rata-rata pekerja menghabiskan masa yang lebih panjang di tempat kerja dari di rumah.

Saling menghormati

Justeru, suasana yang harmoni dengan jalinan hubungan majikan pekerja yang baik serta saling menghormati tidak boleh dipandang remeh kerana kita mahu berjaya dan merasakan kejayaan, bukannya tekanan yang mengundang ketidakpuasan hati, krisis, konflik, stres, gangguan emosi dan kesihatan.

Indeks Persekitaran Kerja menunjukkan bahawa suasana kerja yang selesa dan perhubungan majikan dan pekerja yang baik menyumbang kepada pengurangan pertikaian dalam organisasi.

Justeru, dalam mengurus dengan kasih sayang, beberapa langkah penting untuk memenuhi hak pekerja perlu diambilkira oleh majikan.

Ia meliputi matlamat, misi dan visi yang ingin dicapai dari semasa ke semasa agar benar-benar difahami oleh pekerja. Majikan perlu menyediakan ruang untuk pekerja menyalurkan pandangan dan hasrat mereka dengan jelas serta menggalakkan budaya menyuarakannya secara berhemah.

Pandangan dari pihak bawahan kepada pihak atasan perlulah dinilai secara objektif dan dimanfaatkan dalam perancangan dan membuat keputusan.

Pekerja akan merasa dihargai apabila pandangan dan keputusan majikan turut mewakili mereka. Majikan perlu mengamalkan ketelusan. Majikan boleh dianggap mengkhianati pekerja jika tidak mengamalkannya dalam pengurusan.

Penyediaan polisi pekerjaan yang menarik dan kompetitif meliputi peluang kenaikan pangkat, skim latihan, polisi keselamatan dan insentif. Elakkan budaya pilih kasih serta membodek agar semua pekerja dilayan dengan adil dan saksama.

Sabda Rasulullah SAW: Orang yang bekerja untukmu adalah saudaramu. Allah telah mentakdirkan mereka bekerja di bawahmu. (Riwayat Imam Bukhari dan al-Tirmizi).

Justeru, selain pekerja yang perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berdedikasi, majikan juga perlu mengamalkan sifat dan nilai kecemerlangan.

Sepuluh panduan sifat majikan terbaik yang memiliki sifat al-Qawi dan al-Amin (kuat dan beramanah) ialah tidak membebani pekerja di luar kemampuan, mengutamakan kebajikan, menjamin keselamatan, mengeluarkan kata-kata dan bahasa sopan serta menghargai pekerja.

Selain itu, pembayaran gaji dan imbuhan dengan segera dan setimpal, menilai pekerja dengan objektif dan adil, menyediakan saluran dan peluang menyampaikan hasrat dan pandangan pekerja, mengamalkan perbincangan serta permuafakatan.

Pengurusan aduan dan konflik dengan bijaksana dan menyemarakkan suasana harmoni melalui jalinan tidak formal seperti dalam aktiviti keagamaan, rekreasi dan riadah adalah antara sifat majikan yang boleh dicontohi.

Rapatkan jurang hubungan

Langkah dan sifat yang diamalkan dengan benar oleh majikan ini dapat merapatkan jurang hubungan antara majikan dan pekerja serta menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif lagi membahagiakan.

Ia sekali gus mampu mengubah suasana prejudis, menjemukan, putus asa, marah, konflik dan krisis kepada suasana tenang, ceria, optimis, berkeyakinan dan bersemangat yang dapat memberikan kepuasan bekerja. Pekerja yang ceria adalah pekerja yang inovatif, kreatif dan produktif.

Usaha ini menjadikan warga organisasi sebagai suatu pasukan kerja yang mantap sesuai dengan apa yang diingatkan dalam Surah al-Saff: Ayat 4 yang bermaksud, Sesungguhnya Allah suka orang yang berperang dijalan-Nya (untuk membela agamanya) dalam barisan yang teratur bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh.


Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/