Selasa, 27 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Menghayati erti kemerdekaan dengan jiwa kenegaraan


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW.

MERDEKA ! Laungan keramat yang kita dengar apabila setiap kali tibanya 31 Ogos. Namun kalau sekadar melaungkan merdeka beberapa kali adakah cukup membuktikan kita memahami erti kemerdekaan sebenar? Jika hanya meletakkan bendera Malaysia di kereta, di rumah dan di mana-mana sahaja menjelang 31 Ogos, adakah situasi ini cukup membuktikan kita bersemangat patriotik?

Isu menterbalikkan bendera Malaysia, bendera dijadikan sebagai pakaian, merosakkan lirik lagu Negaraku, tidak menghormati lagu Negaraku semasa dinyanyikan, di mana sebenarnya jati diri anak-anak Malaysia?

Anak-anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan kerana dilahirkan dalam era baharu dengan semuanya serba canggih dengan teknologi terkini. Dengan erti kata lain, tidak pernah mengalami kesusahan dan keperitan seperti yang pernah dialami datuk dan nenek moyang kita yang jauh di sanubari mereka mencintai Malaysia sepenuh jiwa dan raga.

Seorang warga Indonesia yang ditemui memberitahu, di negaranya semasa menyambut Hari Kemerdekaan adalah berbeza di Malaysia. Semua yang hadir hanya diberi makan ubi kayu dengan merasai suasana sambutan yang diadakan seolah-olah mereka berada di zaman penjajahan kerana pemimpin mahu mereka menjiwai suasana itu sendiri. Inilah yang kurangnya pada anak-anak Malaysia sebab lahir sahaja semua kemewahan telah berada di depan mata.

Remaja kini dikatakan kurang mengenali tokoh-tokoh yang berjasa dan yang telah banyak menabur bakti kepada negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja yang sepatutnya menjadikan tokoh-tokoh tersebut sebagai idola.

Seorang graduan yang dilahirkan perlu cintakan negara begitu juga rakyatnya dan saya bersetuju supaya subjek Kenegaraan Malaysia menjadi subjek wajib dan diketengahkan untuk mendedahkan kepada anak-anak kita erti kemerdekaan dan menghargai negara. Seronok belajar sejarah kerana sejarahlah membawa kita mengenal kehidupan.

Keprihatinan ini ditunjukkan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang bertitah meminta supaya kerajaan segera memperkenalkan subjek Kenegaraan bertujuan mendidik anak bangsa mengenai Perlembagaan dan melahirkan warganegara Malaysia yang memahami aspek perpaduan dan permuafakatan.

Dalam titah baginda dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan baru-baru ini, baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kanak-kanak perlu diasuh melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol negara seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.

'' Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam,'' titah baginda penuh amanat menyuntik semangat jiwa patriotisme yang tinggi.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan perlu dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotisme. Aktiviti-aktiviti yang bersemangat patriotisme yang harus diterapkan sepenuhnya dalam kalangan pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.

Media masa, sama ada media cetak, elektronik atau media baharu semuanya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kehidupan manusia sangat besar sehinggakan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen dan komputer.

Sehubungan itu, media masa wajar dijadikan alternatif paling berkesan bagi menyemai semangat patriotisme. Filem-filem bercorak patriotisme perlu diberi keutamaan seperti filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Hati Malaya, Paloh dan Embun.

Kita menanti perkembangan terkini pembikinan filem bertajuk Kanang Anak Langkau sebagai mengenang jasa mendiang Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera lain. Filem Tanda Putera pula mewujudkan pelbagai spekulasi. Rasanya, penonton-penonton filem di Malaysia sudah semakin matang dan mampu menilai mesej ikhlas dari filem berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan mereka yang menonton wayang tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos 2013 akan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di pawagam dan mungkin diteruskan hingga Hari Malaysia 16 September jika diluluskan nanti.

Penghayatan dalam lagu, puisi, sajak dan syair berkaitan dengan patriotisme bagi menyemai semangat cintakan negara perlu ada dalam diri anak muda. Ada segelintir remaja yang tidak memahami puisi, ketawa dan berjenaka semasa sesi mendeklamasikan sajak. Dan sedihnya, melihat situasi apabila pelajar-pelajar yang menyanyikan lagu Negaraku dengan lirik yang salah dan tidak berdiri tegak. Ibu bapa harus menjadi tunjang utama keluarga dan mengambil peranan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja khususnya cabaran ibu bapa yang masih muda.

Sajikan cerita-cerita rakyat yang berunsurkan sejarah untuk anak-anak mengenali warisan dan budaya. Semasa bercuti, bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah yang menarik di Malaysia. Bukankah - "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung"? Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Salam 1Hati.


Penulis  ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Intertekstualiti dalam novel sejarah

Novel Tak Seindah Impian
Oleh : RAHMAN SHAARI

BEBERAPA tahun akhir-akhir ini muncul gesaan agar sejarah Malaysia ditulis semula.  Mengikut pandangan pihak yang membuat gesaan demikian,  sejumlah pejuang kemerdekaan tidak mendapat layanan yang wajar dalam buku-buku teks sejarah.

Penulisan semula buku sejarah yang autentik pasti akan memakan masa. Seseorang tokoh mungkin diletakkan berlebih-lebihan, iaitu tidak berpadanan dengan sumbangan yang diberikannya. Profesor Dr Syed  Naquib al-Attas mengatakan, sejarah bukanlah semua yang berlaku, tetapi peristiwa-peristiwa pilihan. Dalam penulisan sejarah orang perseorangan, iaitu biografi, jika kesemua hal ditulis, berkemungkinan kesannya buruk. 

Ini disebutkan oleh Dr A Halim Ali dalam majlis bicara buku di Perpustakaan Awam Temerloh pada 24 Ogos 2013.

Dalam kalangan penulis kreatif juga timbul kesedaran akan perlunya aliran baru dalam tafsiran sejarah. Beberapa orang penulis kreatif berusaha keras mencipta puisi, cerpen, skrip drama dan novel yang berasaskan sejarah.  Kecenderungan baru ini amat menarik.

Dalam bicara ini, saya nyatakan makna sastera sejarah. Pada masa silam terdapat karya-karya yang digolongkan sebagai historiografi tradisional Melayu, dengan contoh-contoh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Sejarah Melayu dan banyak lagi. Fakta bercampur dengan fiksyen.

Sementara kita menunggu penulisan semula sejarah, sastera sejarah eloklah difikirkan. Dalam bidang puisi, apabila tokoh sejarah disebut, kandungannya tidak terperinci. Misalnya, apabila disebut nama Tok Janggut, Mat Kilau, Maharaja Lela, Dato Bahaman dan lain-lain, sebutan itu  sekadar menyatakan semangat pahlawan. Tiada pelukisan yang jelas untuk menyatakan sumbangan tokoh-tokoh itu. Hashim Yaacob, misalnya, menganggap pembaca sudah pun mengetahui sumbangan pahlawan-pahlawan tersebut apabila beliau menulis:

Bangkit Tok Janggut dengan kegagahan/Bangkit Mat Kilau dengan kecekalan/Bangkit Maharajalela dengan kehandalan/Bangkit Bahaman dengan keyakinan/Bangkit segala wira, bangkit/Bangkit bangsaku memaknakan pertuanan.  (Sajak 'Kitalah Tuan').

Nama-nama tokoh dalam konteks di atas ialah alusi untuk membangkitkan semangat rakyat masa kini, di samping mendorong rakyat mengenang sejarah para pejuang kemerdekaan.

Dalam novel yang menceritakan peristiwa sejarah, terdapat banyak pelukisan tindakan watak-watak yang disampaikan melalui babakan. Menurut Dr Othman Puteh, tindakan watak-watak sedemikian dilukiskan secara silang baur. Dr Halim Ali dalam bicara di Temerloh itu menyebutkan bahawa dalam kajian intertekstualitinya, penulis novel sejarah menggunakan sumber-sumber sejarah dengan ketara, dan sumber-sumber itu dimasukkan ke dalam novel dengan mengubah nama, tempat dan sebagainya. Hadirin agak terkeliru. Ini terbukti apabila salah seorang daripada mereka bertanya:

Adakah pelaksanaan intertekstualiti dalam pengkaryaan merupakan plagiarisme?

Rahman Haji Yusof
Sebenarnya, intertekstualiti adalah keperluan dalam penulisan novel sejarah. Sebagai contoh, karya yang berjudul Tak Seindah Impian karya Rahman Haji Yusof berkisah tentang kehidupan para pejuang  kemerdekaan. Latar masa dalam novel tersebut ialah ketika Jepun telah meninggalkan Tanah Melayu, dan Inggeris kembali berkuasa.

Saya berpendapat, penulisan novel yang berlatarkan zaman tersebut memerlukan kajian.  Novel sejarah memerlukan fakta sejarah, walaupun terdapat peratusan tertentu, misalnya 20% rekaan (fiksyen).

Dalam novel sejarah, apabila nama-nama watak itu boleh menimbulkan kontroversi, perubahan dilakukan oleh pengarang.

Pengarang mungkin bimbang kalau-kalau fakta tentang Shamsiah Fakeh tidak tepat, maka dibina satu nama baru, misalnya Suria Pakih.  Dengan nama baru demikian, kisah bayi yang masih dipertanyakan dalam kalangan masyarakat kita hingga kini, dapat dijawab secara kreatif. Buku karya Azzah AR, iaitu  Shamsiah Fakeh: Pejuang, Pemimpin dan Perempuan misalnya,  memuatkan kata-kata Shamsiah Fakeh sendiri tentang bayi tersebut.  Manakala Rahman Haji Yusof membina silang baur, bahawa wanita yang melahirkan bayi  itu  ialah Khatijah, bukan Suria Pakih.

Saya berpandangan, novel, cerpen, puisi dan skrip drama yang berasaskan sejarah perlu dihasilkan untuk maksud mendorong rakyat menghayati sejarah. Pelaksanaan silang baur, malah anakronisme (bersalahan masa) tidaklah menjadi masalah, kerana itu akan dijelaskan oleh pembicara sejarah.Ketidakselarian tersebut disebabkan oleh masuknya kreativiti dan silang baur ke dalam novel sejarah.

Asas sastera sejarah memanglah sejarah, manakala bahagian fiksyen ialah dekorasinya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 26 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Memupuk semangat kemerdekaan dalam jiwa setiap warga Malaysia


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

MALAYSIAKU Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku merupakan tema kemerdekaan tahun 2013 dan yang ke-56 buat tanah air ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 16 Ogos lalu di Sungai Petani, Kedah; dua minggu sebelum kemuncaknya. Ia akan diikuti dengan program Ambang Merdeka di Pusat Maritim, Putrajaya serta perbarisan dan perarakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos nanti.

Apa makna kemerdekaan bagi warga Malaysia? Adakah masih mempunyai pertautan dengan semangat kemerdekaan secara konsisten atau ia sekadar menjadi salah satu hari sambutan yang membolehkan masyarakat beriadah dan bersantai dengannya?

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan - "Siapa kita tanpa Malaysia? Dan bersediakah kita untuk berkorban demi negara tercinta ini? Jika ada yang menyatakan tema merdeka tahun ini agak old school, saya memang mengakuinya kerana kita mahu mengembalikan semula perasaan cinta ini dalam kalangan rakyat supaya bersedia mempertahankan tanah air ini dalam apa jua situasi".

Sejarah pembentukan negara-bangsa ini perlu digarap nilainya oleh setiap warga Malaysia yang bangga menjadi rakyatnya. Kita tidak boleh bersifat selektif di dalam soal kenegaraan. Kita tidak boleh berkompromi dalam nilai-nilai asas yang membolehkan kita menjadi warganya; keterangkuman yang penting dalam proses membina bangsa Malaysia.

Asasnya adalah seorang warga yang setia kepada negara akan bersama dalam pasang surut yang dilalui; perwatakan berterima kasih ke atas pencapaian dan berazam meningkatkan kedudukan negara dalam keadaan yang tidak menentu atau zaman kemerosotannya. Susah senang dilalui bersama atas semangat pengisian kemerdekaan yang memaparkan proses pembinaan negara-bangsa yang jauh maju, kompetitif, pertumbuhan dan bersaing di peringkat global berbanding dengan beberapa buah negara serantau yang masih bergelut memahami erti kemerdekaan.

Semangat nasionalisme dan patriotisme mendasari semangat kemerdekaan sebenarnya. Walau ramai mempersoalkan jati diri generasi Y hari ini, kita harus akui perbezaan suasana masa dan tempat menyebabkan wujud tafsiran berbeza ke atas penerimaan konsep sambutan hari kemerdekaan. Jika generasi merdeka melalui pengalaman penjajahan tetapi generasi baru menikmati hasil peninggalan warisan berzaman generasi lalu. Jika generasi lalu memaparkan secara fizikal semangat perjuangan kemerdekaan, generasi Y memilih untuk melakukannya dalam acuan berbeza tanpa secara fizikal menunjukkan semangat jati diri mereka. Bagi mereka, yang penting adalah kesinambungan penghayatannya melalui pengisian yang memberikan hasil akhir kepada tanah air dalam imbuhan yang berlainan. Namun, ada segelintir yang nakal dengan semangat memperlekehkan perjuangan asal pejuang kemerdekaan tanah air.

Ada pula menyoal apa gunanya merdeka jika negara masih mundur, dibelenggu kemiskinan, dihimpit dengan kos sara hidup tinggi; ditenggelami oleh persekitaran yang kurang sihat dan tidak kondusif untuk menikmati kehidupan yang berkualiti. Apa guna juga jika nilai-nilai mulia tidak dipertahankan tetapi bertembung sesama warganya atas kepentingan peribadi.

Sebagai sebuah negara yang rencam, nilai penerimaan, hormat dan memahami penting dalam pengisian kemerdekaan agar ia terus menjadi benteng yang kukuh untuk meneruskan tradisi pencapaian yang jauh lebih baik dari apa yang sudah dinikmati selama ini. Titik keseimbangan antara sesama warga adalah bagaimana boleh sapa menyapa, ziarah, bekerjasama dan tmenegur jika ada silap dan salah bukannya bermusuhan sehingga membawa kepada ketegangan hubungan. Walau berbeza agama, etnik, geografi, gender atau fahaman politik, ia tidak boleh mempengaruhi pertahanan menyeluruh yang perlu ada dalam jiwa dan sanubari setiap individu demi kedaulatan negara ini. Jiwa Malaysia berkiblatkan 'satu negara, satu matlamat' akan pertahankan apa yang sudah dibina selama 56 tahun, satu tempoh masa yang masih pendek dalam proses membina bangsa yang tahu pengertian sebenar kemerdekaan.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk turut serta dalam meraikan kemerdekaan. Kesemua warga baik keluarga, media, rakan sebaya, sekolah, universiti, pemimpin, agensi berwajib dan badan bukan kerajaan serta pelbagai kumpulan sasar boleh memberikan maksud kepada pengertian kemerdekaan.

Saya masih ingat bagaimana guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjong Malim, Cikgu Borhan Shamsuddin (kini Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak) mengarahkan saya, Azri Mukhlas, Chin Peng, Norhayati, Noni, Mamat dan lain-lain melakonkan pantomin kemerdekaan untuk menyampaikan kepada pelajar lain makna kemerdekaan. Barangkali aktiviti seperti ini masih boleh diteruskan bersama aktiviti lain yang disesuaikan dengan persekitaran yang berubah-ubah.

Ada juga individu yang menunjukkan mereka gah dengan mengkritik dan menghentam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan kepada negara luar. Apakah ini dapat menjamin kedaulatan negara terpelihara. Malahan, dalam negara sekalipun, ada juga menyoal kedudukan Yang di-Pertuan Agong sehingga mempersenda kedudukan institusi tersebut melalui beberapa pendekatan khususnya media sosial. Apakah ini nilai yang mahu dipupuk dan disemai dalam kalangan warga negara ini?

Hakikatnya, pengisian kemerdekaan ini bergantung kepada keharmonian, keamanan, keselamatan dan kedaulatan tanah air. Demografi dan geografi Malaysia adalah unik. Ia menjadi akar yang menyuburkan rongga-rongga ikatan antara sesama warganya. Walau wujud ketidakseimbangan sosial baik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta inter dan intra kaum; kemuafakatan dan perpaduan penting sebagai landasan muhibbah dan kedamaian nasional.

Walaupun negara pernah berhadapan dengan beberapa konflik dalaman dan luaran termasuklah peristiwa seperti rusuhan perkauman 13 Mei 1969, Kampung Rawa 1998, Kampung Medan 2001, Lahad Datu 2012 dan beberapa insiden lain, keamanan tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan. Etnosentrik dan streotyping yang tebal sehingga menjadikan budaya lain bahan gurauan tidak tersenarai dalam usaha kerajaan membimbing nilai kemerdekaan. Kesederhanaan atau wassatiyah adalah antara ciri penting proses pengisian dan penghayatan sebenar hari kemerdekaan.

Ia juga adalah usaha memelihara keselamatan. Masyarakat mahu merasa selamat dari sentiasa perlu berhadapan dengan suasana takut, gelisah, syak wasangka, curiga dan tidak stabil. Selamat juga bererti tidak perlu gusar apa yang berada di hadapan mereka. Kepercayaan tinggi kepada autoriti perlu ada jika kita mahu merasa selamat. Jenayah dan beberapa tingkahlaku songsang lain perlu ditangani bersama dan bukan sekadar meletakkan beban di atas bahu pihak keselamatan. Ia juga terikat dengan nilai kedaulatan.

Kedaulatan negara berpegang kepada beberapa perkara dasar dalam Perlembagaan, Rukunegara dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta pembentukan sesebuah kerajaan. Jika ada pihak yang melahirkan kebimbangan ke atas kedaulatan negara, mereka wajar dihukum dan dijadikan pengajaran kepada yang lain. Keyakinan bahawa Malaysia adalah negara terbaik mesti diiktiraf.

Kepada yang menyalahkan pihak lain dengan pelbagai tuduhan termasuk bertanggapan pihak Polis Diraja Malaysia berdrama di Lahad Datu dan mengutuk polis hanya memerhati apabila tembak menembak berlaku serta polis dilabel kejam apabila menembak penjenayah perlu bertanya - Apakah sumbangan mereka ke atas tanah air ini? Adakah mereka terlibat dalam memelihara ketenteraman negara ini atau adakah satu kepuasan bagi mereka ketika negara berada dalam konflik dan krisis?

Pernahkah mereka meletakkan diri mereka sebagai ibu bapa, penjaga, anak, isteri, adik beradik kepada yang sentiasa berkorban menjalankan tanggungjawab demi keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara ini? Dimana mereka ketika keluarga perajurit tanah air dihujani dengan tangisan dan kesedihan bila mana yang terlibat terkorban demi negara yang tercinta ini?

Malaysiaku berdaulat adalah lambang keutuhan kesemua warga Malaysia yang tahu di sinilah hidup dan mati mereka. 'Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' merupakan kesimpulan daripada tema hari kemerdekaan tahun ini. Marilah bersama menjunjung yang berat dan menjinjing yang ringan bersama-sama kerana nilai kepunyaan adalah obor cahaya negara berdaulat.

Penulis ialah pensyarah di  Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KEIBUBAPAAN : Cemerlang anak-anak, indeks kejayaan ibu bapa?


Oleh : CHE ZURIANA MUHAMMAD JAMIL

SEJAUH mana kebenaran kata-kata ini? Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menjelma tak berapa hari lagi, pada ketika inibukan saja anak-anak yang kelam kabut bahkan ibu bapa turut gelisah. Siang malam menjadi acara anak-anak ini keluar masuk tempat tuisyen.

Adakah kerana kejayaan dalam peperiksaan penting ini menjadi indeks kejayaan ibu bapa? Adakah jumlah A dalam peperiksaan anak-anak menjadi indeks pengukur kejayaan ibu bapa? Betulkah jika anak berjaya mendapat 5A dalam UPSR menjamin kejayaan dalam SPM?

Semua persoalan ini mungkin boleh dijawab oleh semua ibu bapa tetapi tahap keyakinan ibu bapa masih diragui.

Ibu bapa anak-anak zaman generasi Y sekarang ini terlalu memikirkan kecemerlangan dalam peperiksaan penting sebagai acuan kejayaan anak-anak mereka.

Mereka berlumba-lumba mencari tempat tuisyen yang baik untuk anak-anak mereka bagi memastikan anak-anak berjaya. Justeru, beribu ringgit wang dihabiskan.

Mereka sanggup menghantar dan mengambil anak dari tempat tuisyen asalkan anak mereka 'bertuisyen'. Masa anak-anak ini jika tidak dihabiskan di tempat tuisyen mereka akan bersama-sama dengan gajet masing-masing. Kehidupan mereka lebih bersifat komersial.

Siapakah yang harus disalahkan? Adakah dunia pendidikan kita terlalu menekan kepada kejayaan akademik semata-mata?

Ini sedikit sebanyak menyebabkan masa untuk anak-anak menghayati zaman kanak-kanak mereka sudah tidak wujud sepertimana zaman ibu bapa mereka dahulu. Tiada lagi main lompat tali, main lempar bola kaki tiga, mengayuh basikal sekeliling kampung dan sebagainya.

Tempoh 24 jam seperti tidak cukup untuk anak-anak dan juga untuk ibu bapa. Arah haluan seperti tidak bertujuan, kemudi dilayari masa mengejari. Pepatah 'masa itu emas' seperti tidak lagi boleh dipakai kerana nilai emas sekarang seperti infiniti kayu pengukurnya.

Ini adalah kerana kebenaran nya diragui. Sejauhmana kebenaran bahawa jika anak-anak berjaya dalam peperiksaan penting ini mencerminkan kejayaan ibu bapa? Di mana pula kebenaran bahawa cemerlang anak-anak bukan sahaja melalui kejayaan intelek mereka tetapi juga melalui ukuran sahsiah dan keperibadian mereka?

Ibu bapa akan membandingkan kejayaan anak-anak mereka dengan anak-anak kawan-kawan mereka. Seolah-olah anak-anak yang tidak berjaya dari sudut intelek bukan satu anugerah kepada mereka. Bahkan mereka cuba untuk menutup rasa aib mereka dengan cuba mengalih perhatian kepada hal-hal lain. Anak-anak yang kurang bernasib baik ini seperti 'melukut di tepi gantang'.

Padahal sejarah telah membuktikan manusia yang berjaya bukan hanya melalui akademik semata.

Rasulullah SAW sendiri seorang yang buta huruf tetapi berjaya mengembangkan Islam hingga ke hari kiamat. Mungkin mereka boleh menjadi seperti Thomas Edison, seorang yang pekak yang telah menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia sejagat iaitu ciptaan mentol lampu. Begitu juga, tidak mustahil mereka akan menjadi seperti Abraham Lincoln yang kurang cerdik sewaktu kecil akhirnya menjadi menteri.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlu memainkan peranan dalam menyeimbangkan antara ilmu dunia dan akhirat. Setiap ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk setiap anak-anak.

Walaupun, kejayaan di dalam peperiksaan penting ini, tetapi bukan pengukur segala-galanya.

UPSR, PMR dan SPM bukan penentu segala kebahagiaan di masa depan. Keseimbangan amat perlu. Lahiriah dan batiniah. Keunikan mereka tidak sama antara setiap individu. Tiada satu kecemerlangan dalam hidup yang boleh dibandingkan dengan kecemerlangan insaniah.

Berilah ruang untuk anak-anak dan kita sendiri bernafas. Hargailah anak-anak kerana mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dalam kehidupan kita.

PENULIS adalah seorang Pensyarah Kanan di pusat pengajian perakaunan, UUM


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 24 Ogos 2013

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Pengajaran daripada tragedi Genting


Oleh : TOK PERAK

SIMPATI dan takziah saya untuk keluarga dan sanak-saudara 37 orang yang maut dalam kemalangan bas di Genting Highlands, Rabu lalu. Masih dalam suasana raya, tragedi ini tentu sekali paling memilukan.

Melihat apa dipaparkan di akhbar, juga pada skrin TV, kita dapat merasakan betapa kengerian dan penderitaan dialami oleh mereka yang terlibat dalam nahas jalan raya terburuk itu.

Semoga keluarga dan orang-orang terdekat menerima musibah ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Marilah kita sama-sama berdoa – dan membantu apa yang boleh – mudah-mudahan mereka yang cedera segera pulih untuk meneruskan hidup.

Seperti biasa setiap kali tercetus tragedi, kita akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kes, kali ini dianggotai oleh wakil-wakil dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), SPAD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, siasatan adalah untuk mengenal pasti punca kemalangan. “Jangan menuding jari atau membuat spekulasi, berilah ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,” tegas beliau.

Hishamuddin yang juga Menteri Pertahanan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional dan laporan akan diumumkan kepada orang ramai.

Dalam pada itu Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, tindakan susulan dan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat bukti pelanggaran Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Setiap kali ada kemalangan jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa, kita menubuhkan jawatankuasa penyiasat, mencadangkan pelbagai kaedah untuk mengelakkan tragedi berulang. Tetapi seperti biasa tiada siapa yang mengambil kisah mengenai cadangan dikemukakan.  

Seorang anggota JKJR, Tan Sri Lee Lam Thye meminta mereka yang terlibat dalam industri pengangkutan agar menunjukkan keazaman dan kesungguhan untuk menghentikan ‘kematian beramai-ramai’ di jalan raya di negara ini. 

Beliau mahu beberapa isu asas dikaji seperti, sama ada pemandu bas mempunyai bebanan kerja yang lebih dan upah kurang atau perlu mengambil dadah untuk membuat lebih banyak perjalanan bagi memperoleh pendapatan lebih untuk kehidupan mereka.

Apa yang ditimbulkan oleh Lam Thye sebenarnya telah banyak kali disuarakan. Bukan rahsia lagi ada pemandu bas mengambil dadah, ada yang kerja berterusan melebihi had masa, ada yang lesen telah mati. Malah ada pemandu menerima notis saman lebih sepuluh kali. Ada juga syarikat bas yang menerima berpuluh notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Semua kesalahan dan notis saman itu pernah disiarkan media. Cuma tidaklah diketahui sama ada mereka yang disaman itu telah dikenakan tindakan. Atau, apakah mereka masih lepas bebas dan terus berada di jalan raya dan lebuh raya kita.

Sekiranya pemandu ‘hitam’ ini masih menguasai jalan raya kita, ditambah pula dengan pengusaha syarikat bas yang degil, tragedi maut seperti di Genting juga di laluan-laluan lain seluruh negara, akan terus melanda. Nyawa penumpang dalam bahaya.

Lebih-lebih lagi di tempat kita sentiasa ada pemandu kenderaan yang menerima notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, tetapi sengaja tidak mahu melunaskan saman tertunggak. Seperti dijelaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, 1.7 juta saman trafik belum dibayar. Begitulah degilnya kita.

Menurut orang No.1 Bukit Aman itu, polis tidak akan bertolak ansur, dan memberi amaran, siapa sahaja yang gagal melunaskan saman akan berdepan dengan tindakan tegas: mereka akan disenaraihitamkan, dan lesen memandu akan dibatalkan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 23 Ogos 2013

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Pemantauan mestilah berterusan


Oleh : M. JASNI MAJED

KEMALANGAN bas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Hinglands - Kuala Lumpur kelmarin yang mengorbankan 37 nyawa dan mencederakan 16 penumpang sekali lagi membuka mata pelbagai pihak tentang keselamatan bas yang bertanggungjawab membawa banyak jiwa ke sesuatu destinasi.

Tragedi ini mengingatkan kita kepada tragedi-tragedi lain yang membabitkan bas terutamanya kemalangan di kawasan Bukit Gantang pada tahun 2007 yang mengorbankan 20 jiwa.

Pada 26 Disember 2009, 10 maut dalam kemalangan membabitkan syarikat bas Sani Ekspres di Perak. Sementara, pada 10 Oktober 2010, 12 maut dan 40 cedera dalam kemalangan yang membabitkan syarikat bas Ekspres Delima dengan beberapa buah kenderaan lain di Rembau Negeri Sembilan.

Sudah banyak pihak yang menyuarakan pelbagai pendapat tentang pengangkutan awam di negara kita apatah lagi dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu-lintas tetapi dari satu sudut lain, risiko kemalangan turut menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa sudah berusaha sedaya- upaya membendung kemalangan jalan raya membabitkan bas kerana bas satu-satunya pengangkutan awam darat yang popular, jimat dan mudah.

Oleh itu, kita dapat lihat betapa setiap kali musim perayaan, pemantauan ke atas kenderaan awam ini dibuat dengan teliti sebelum sesebuah bas itu bertolak dari sesuatu destinasi. Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] ditempatkan di terminal bas untuk memastikan bas yang bakal membawa penumpang dalam keadaan selesa dan selamat.

Apabila terjadinya kes seperti yang berlaku kelmarin, tuding-menuding antara pelbagai pihak tentu akan berlaku sekali lagi. Ada penumpang terselamat mendakwa bahawa keadaan bas tidak selesa, buruk, dan dipandu dengan laju.

Apa yang perlu disedari, tanggungjawab seorang pemandu pengangkutan awam bukanlah ringan. Banyak jiwa yang menjadi tanggungannya. Jika seorang pemandu dan sebuah syarikat yang mengendalikan sesuatu pengangkutan awam itu menyedari hakikat tersebut, pelbagai insiden yang tidak diingini boleh dielakkan.

Di samping itu, sesebuah syarikat pengangkutan mestilah memastikan sesebuah bas yang dipertanggungjawabkan membawa sejumlah penumpang itu itu berada dalam keadaan selamat dan meyakinkan. Ciri- ciri keselamatan mestilah diutamakan tanpa memikirkan keuntungan yang lebih sehingga membahayakan nyawa penumpang.

Kualiti pemandu juga mestilah dipentingkan sebagai syarat kedua. Kualiti ini berdasarkan kepada rekod pemandu sama ada mempunyai lesen yang sah atau tidak, mempunyai rekod kesalahan lalu-lintas dengan JPJ atau sebagainya.

Oleh itu, tugas syarikat pengangkutan itu merupakan syarat utama sebelum sesebuah bas itu dibenarkan berlepas untuk membawa penumpang ke sesuatu destinasi.

Tanggungjawab seterusnya adalah terletak di tangan pemandu. Pemandu yang mempunyai tanggungjawab tidak akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan secara sambil lewa tetapi disanggupinya dengan penuh amanah, jujur dan beretika ketika di jalan raya.

Sebelum melakukan perjalanan, mereka juga mesti memastikan bas yang diserahkan kepada mereka untuk membawa penumpang adalah bas yang menepati ciri-ciri keselamatan. Pemandu yang tidak mementingkan diri sendiri akan menjadi lebih bertanggungjawab kepada penumpang yang menjadi sandaran keselamatan mereka.

Pemandu juga mestilah bertanya kepada diri mereka sendiri, adakah mereka benar- benar layak membawa sejumlah besar penumpang ke sesuatu destinasi, ke mana penumpang itu hendak dibawa, berapa jauhnya, berapa jumlah penumpangnya, bagaimana pula tahap kesihatan dan persediaan fizikal dan mental mereka sebelum memulakan perjalanan.

'Dalam pada itu, pemandu bas juga mestilah menghormati penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Apa yang dapat dilihat, oleh sebab hendak mengejar 'trip', ada sesetengah pemandu bas yang melanggar arahan lampu isyarat, memandu laju, malah kerana hendak cepat, ada yang sanggup membunyikan hon kepada pengguna jalan raya lain di depan mereka, walaupun di lampu isyarat berwarna merah.

Apa-apa pun, pemantauan secara berterusan oleh pihak berkuasa sangat penting dan bukan hanya dilakukan secara bermusim. Pihak berkuasa mestilah ditempatkan di setiap terminal bas tidak kira sama ada bas berhenti-henti atau bas ekspres kerana dengan cara ini risiko kemalangan dapat dikurangkan.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA ; Bahasa jiwa bangsa


Oleh NURUL ANUAR KARI

AGAK menyedihkan pada ketika  negara menghampiri ulang  tahun kemerdekaan ke-56, masih ada suara-suara sumbang mempersoalkan status pribumi orang Melayu di bumi yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu ini, sedangkan bukti forensik genetik sudah didedahkan.

Tidak terkecuali usaha memperkecilkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dalam peruntukan Perlembagaan negara apabila tulisan dan bahasa bukan Melayu, khususnya bahasa Inggeris diutamakan dalam semua aspek harian termasuk nama jalan, nama bangunan, nama kawasan perumahan, iklan dan banyak lagi.

Tentu sekali semua skrip drama ini dimainkan demi agenda tertentu pihak terbabit khususnya apabila mereka melihat beberapa negara lain berjaya 'menjajah' bangsa Melayu yang lemah selepas dihimpit keganasan dan penindasan.

Namun, darjat dan keagungan silam orang Melayu masih dapat diselamatkan dan diangkat kembali ke zaman kegemilangan Nusantara melalui bahasanya yang menjadi lingua franca Asia Tenggara satu masa dahulu.

Jika hanya orang Melayu, bilangannya tidaklah begitu ramai tetapi mereka yang bertutur bahasa Melayu sebenarnya kini melangkaui 300 juta orang di seluruh dunia dan semakin bertambah setiap hari.

Selain Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bahasa ini atau dialeknya turut digunakan penduduk di Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Afrika serta kelompok kecil di beberapa negara lain.

Pada zaman kegemilangan kerajaan Melaka, bahasa Melayu juga pernah sampai ke seluruh ceruk rantau termasuk di China, India, tanah Arab malahan dikatakan sampai ke tamadun di Barat.

Sungguhpun dunia kini mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama berbanding bahasa Perancis, Mandarin dan Sepanyol yang digunakan lebih ramai penduduk dunia, tidak bermakna bahasa-bahasa lain sudah tiada nilainya.

Lihat sahaja semangat orang Jepun yang begitu berbangga dengan bahasanya sehinggakan diutamakan dalam semua urusan harian mahupun kerja, melanggar norma dunia yang 'mewajibkan' bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kebanggaan bangsa Jepun terhadap bahasanya dan kemajuan tamadun negara itu akhirnya memaksa dunia menerima bahasa mereka sebagai antara bahasa penting dunia sehinggakan tulisan Jepun diletakkan di papan penyata lapangan terbang mahupun pusat komersial dan kawasan tumpuan umum di negara-negara besar.

Sejajar Dasar Pandang ke Timur, cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengangkat bahasa Melayu bersama bahasa Indonesia selaku bahasa pengantar utama dunia khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diberi sokongan sepenuhnya.

Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Bahasa Indonesia, di samping golongan penulis, ahli akademik universiti dan pencinta bahasa, inisiatif ini mampu mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama dunia.

Pada masa sama, tamadun, budaya, kesenian, tulisan dan ciri-ciri unik bangsa Melayu dan bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dapat diangkat sama dan lebih mudah diselami masyarakat antarabangsa.

Walaupun kini bahasa Melayu-Indonesia merupakan bahasa pertuturan yang kelima paling banyak digunakan di dunia, ia dilayan umpama bahasa kuno yang jarang digunakan kerana jarang sekali diberi penghargaan sewajarnya.

Lebih malang, taraf bahasa Melayu diberi gambaran 'bahasa pelik suku kaum hulu' oleh pihak tertentu khususnya dalam media dan dunia perfileman Barat.

Tafsiran salah itu diburukkan lagi apabila wujud golongan tertentu, khususnya orang muda di negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sendiri memperlekeh, menghina dan mempermainkan bahasa kebangsaan mereka, termasuklah di Malaysia.

Walaupun bilangan golongan menghina bahasa ini tidak ramai, ia amat memalukan sedangkan ramai pelajar asing di United Kingdom, China, Rusia, Amerika Syarikat dan universiti di negara-negara lain begitu teruja belajar dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan tulisan rumi memudahkan orang luar yang sudah mahir dengan bahasa Inggeris mendalami bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga mereka dan menjadi bukti kukuh bahasa Melayu mudah dikembangkan ke seluruh dunia.

Untuk bergerak ke hadapan dalam membentuk bangsa Malaysia, usaha mengangkat bahasa kebangsaan negara ke peringkat antarabangsa perlu didukung dan disokong semua tanpa diselit agenda peribadi mahupun fahaman sempit perbezaan kaum dan agama di negara ini.

Usaha mengangkat bahasa Melayu ini juga mungkin menjadi antara pemangkin mengembalikan kebanggaan, identiti dan jati diri golongan muda di negara ini daripada terus menyalin budaya luar khususnya yang melanggar norma dan batasan agama.

Bahasa merupakan antara ciri kehidupan yang menjadi identiti bangsa dan rakyat sesebuah negara. Sempena bulan kemerdekaan negara, bersamalah kembalikan kebanggaan kepada ciri-ciri unik kita semua yang menjadi identiti sebuah negara bangsa yang berjaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/