Selasa, 10 September 2013

ANALISIS SOALAN BAHASA MELAYU (PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM NEGERI PAHANG 2013)

BM KERTAS SATU (1103/1)

BAHAGIAN A  :  Faedah - faedah pengurusan masa

BAHAGIAN B :

1.            Ciri – ciri rakan sebaya yang menjadi pilihan.
2.            Faedah-faedah menyertai koperasi sekolah ( Ceramah)
3.            Usaha-usaha kerajaan menarik golongan siswazah aktif dalam sektor pertanian.
4.            Peranan negara-negara  dunia  dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara mereka.
5.            Cara-cara membalas jasa guru.

BM KERTAS DUA (1103/2)

1.            RUMUSAN        :   ( Faktor berlakunya masalah sosial remaja di Malaysia)

2.            PEMAHAMAN :

    (a)          Petikan  Umum
                (b)          Petikan  Prosa Moden  ( Drama : Forum Remaja 2020)
                (c)          Petikan Prosa klasik (Hikayat Opu Daeng Menambun)
                (d)          Petikan Puisi Tradisional ( Gurindam Tonggak Dua Belas)

3.            TATABAHASA: 
 
   (a)          Membina dua ayat daripada satu perkataan untuk membezakan maksud
                                i.              gugur
                                ii.             sidang
                                iii.            lancang

                (b)           Mengenal pasti jenis ayat
                (c)           Mengesan kesalahan ejaan dan imbuhan
                (d)          Mengesan kesalahan penggunaan kata, istilah dan tatabahasa
                (e)          Membina ayat berdasarkan  peribahasa :
                                i.              Pelanduk dua serupa
                                ii.             Belakang parang diasah lagikan tajam
                                iii.            Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

4.            NOVEL :

                (a)          Persoalan kasih sayang dalam novel

                (b)          Teknik plot

ISU SOSIAL : Mendekati kes jenayah


Oleh : Mior Kamarul Shahid
 
Menyaksikan aksi dua pergaduhan kumpulan kongsi gelap tempatan dalam video milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbeza dengan melihat adegan dalam filem aksi. Dalam pergaduhan benar, tidak ada aksi yang dibuat-buat untuk menunjukkan kehebatan seseorang seperti yang ditetapkan skrip. Aksi dalam video itu ibarat kita terserempak dengan peristiwa pergaduhan di depan mata. Tidak ada penggunaan teknik kamera ketika menikam atau menetak dengan senjata tajam, memukul dengan kayu, menumbuk, menendang dan sebagainya ketika masing-masing bertindak untuk menewaskan lawan. Tayangan video itu ditunjukkan kepada peserta wacana bertajuk ‘Masyarakat dan Jenayah – Di mana kita?’ siri 1 anjuran Majlis Profesor Negara dan BH, di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Aksi sekumpulan anggota kongsi gelap membelasah musuh mereka yang dirakam melalu kamera tersembunyi itu amat menakutkan, mengerikan dan menyeramkan kerana ia adalah pergaduhan benar berlaku. Darah yang keluar dari tubuh mangsa adalah darah manusia, bukan dakwat merah, tangan yang terkulai dibelasah dengan kayu bukan dibuat-buat dan jeritan dan raungan didengar bukan rakaman studio. MPN dan BH menganjurkan wacana bersiri ini untuk matlamat melihat jenayah dari pelbagai perspektif secara ilmiah, beralih dari aspek stereotaip perbincangan mengenai jenayah sebagaimana yang sering dilakukan sebelum ini.

Kesan daripada perbuatan jenayah bukanlah kepada mangsa semata-mata tetapi juga kepada setiap individu masyarakat. Kes rompakan di kedai emas bukan saja memberi kesan psikologi kepada pemilik dan jurujual kedai emas, malah kepada pembeli atau setiap kali kita berjalan di depan kedai emas. Begitu juga kes rompakan di stesen petrol atau bank yang turut memberi kesan kepada ramai. Ibu bapa sentiasa berasakan keselamatan anak mereka terancam. Jika anak lewat pulang, mereka kian resah. Kes jenayah dilihat dari pelbagai aspek – sosioekonomi, kaum dan etnik, persekitaran, pergaulan, tahap pendidikan, pengalaman peribadi, pengaruh material dan sebagainya.

Sikap masyarakat yang pasif

Kesan kemasukan pendatang asing dalam sektor tertentu, juga dikaitkan dengan jenayah. Mengenal punca saja tidak dapat menyelesaikan masalah. Jenayah perlu diselesaikan dengan kaedah yang berkesan. Jika dulu kawasan Chow Kit, Pudu, Sentul, Kepong di Kuala Lumpur adalah sarang jenayah, tetapi dengan pembangunan pesat, kegiatan jenayah sudah dapat dikurangkan walaupun ada pandangan mengatakan pembangunan seiring dengan peningkatan masalah sosial dan kes jenayah.

Tidak terlepas pandang juga ialah penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan pihak yang ditugaskan untuk menjaga ketenteraman awam. Pihak polis memerlukan ‘alat’ tertentu, merujuk kepada kuasa dan undang-undang bagi membanteras jenayah. Jika tangan mereka juga diikat untuk bertindak, penjenayah akan lebih berani. Hari ini, bila beberapa peraturan dan undang-undang dimansuhkan, penjenayah kian berani. Anggota kongsi gelap sudah berani berarak dengan membawa lambang pertubuhan atau geng mereka dengan tujuan mencabar pihak polis. Wacana ini juga melihat sikap masyarakat yang pasif terhadap kegiatan jenayah dengan tidak mengambil apa-apa bahagian bila terserempak dengan perbuatan jenayah. Mereka tidak melakukan apa juga tindakan sekali pun melihat kegiatan jenayah berlaku di depan mata kerana tidak mahu terbabit dengan kegiatan yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan keluarga dan dirinya. Itulah yang disebut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa seseorang penyeluk saku di negara ini boleh melarikan diri dengan mudah di celah-celah orang ramai sedangkan di negara lain, penyeluk saku akan ditangkap orang ramai tidak sampai 10 meter dari tempat dia menyeluk saku. Punca sikap masyarakat yang pasif ini juga perlu dilihat dari aspek ilmiah.

Satu lagi masalah ialah tindakan pihak tertentu mempolitikkan kegiatan jenayah, kononnya atas alasan hak asasi manusia dan sebagainya. Tidak ada pihak sepatutnya mencampuri tugas polis membanteras jenayah atas alasan apa sekali pun jika mahu melihat mereka menguatkuasakan undang-undang.
Pemaparan kegiatan jenayah di media juga tidak terlepas daripada kajian yang perlu dijalankan. Sememangnya media mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dalam mendekati peristiwa atau kegiatan jenayah – daripada sekecil-kecil kes mencuri telur ayam di kampung hinggalah kepada kes pembunuhan kekerasan bersiri yang zalim. Saban hari media melaporkan kes jenayah yang muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Ditangani dengan iltizam, keberanian

Tidak ada rakyat mahu negaranya begitu rencam dengan kegiatan jenayah. Kita tidak mahu kegiatan seluk saku atau ragut menjadi perkara biasa dalam masyarakat, kes curi bermaharajalela, tidak ada orang kisah soal dadah, kes rompak sebagai peristiwa harian yang tiada kesudahannya, kes culik sekadar mainan, rogol sebagai lumrah, pemilikan senjata berbahaya hanya ibarat memiliki senjata mainan, kongsi gelap disamakan pertubuhan sosial, kes bunuh dan tembak-menembak sebagai normal dalam masyarakat dan sebagainya. Jenayah menakutkan sesiapa juga kerana kegiatan itu tidak mengenal mangsa dan ketika. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja dan pada bila-bila masa.

Media tidak boleh menyembunyikan berita jenayah kerana ia hanya akan menimbulkan suasana berbeza pula. Adakalanya berita pergaduhan kecil yang tidak dilaporkan menjadi berita yang boleh mencetuskan pertelingkahan kaum. Setiap hari media menerima banyak berita jenayah, hinggakan banyak daripadanya tidak boleh disiarkan kerana ketiadaan ruang. Ini menunjukkan kes jenayah memerlukan penyelesaian. Kes dan kejadian jenayah perlu ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang dan lebih penting lagi ialah iltizam dan keberanian.

Hanya dengan satu wacana tidak boleh menyelesaikan semua masalah jenayah. Diharapkan pada siri wacana seterusnya, ia dapat melihat perspektif yang berbeza pula.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : UM Masih Dalam Kedudukan 200 Universiti Terbaik Dunia

Oleh  : KAREN CHAPMAN

PETALING JAYA : Universiti Malaya (UM) masih berada dalam kedudukan 'QS World University Rankings 2013/14' walaupun jatuh 11 anak tangga disebabkan persaingan yang lebih sengit.

UM, universiti utama di negara ini menewaskan lebih 2,000 universiti lain di seluruh dunia.

UM merupakan universiti yang berada di ranking tertinggi di negara ini berada di tempat ke-167 dalam 200 universiti secara keseluruhan, walaupun jatuh 11 tangga berbanding 2012.

Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara kesemuanya telah jatuh  dari segi ranking tahun ini.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meningkat tiga anak tangga, dari tempat 358 pada tahun 2012 kepada 355 pada tahun ini.

Ketua Penyelidikan Unit QS Intelligence, Ben Sowter berkata penurunan prestasi bagi institusi Malaysia tahun ini mencerminkan kehebatan persaingan pendidikan global.

Tetapi perbandingan lima tahun menunjukkan mereka telah melakukan beberapa kemajuan yang ketara, katanya.

"Institusi di Malaysia telah membangunkan profil kukuh dalam kalangan ahli akademik dan majikan siswazah dunia," katanya.

"Ini bermakna mereka melakukan sesuatu yang agak baik dalam kajian reputasi akademik dan majikan, yang menunjukkan bahawa mereka telah membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan untuk kualiti graduan yang mereka hasilkan," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Morshidi Sirat berkata perlu ada usaha berterusan oleh universiti di Malaysia untuk meningkatkan kedudukan mereka.

Naib Canselor UM Prof Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata penurunan kedudukan UM mencerminkan persaingan global yang semakin meningkat di kalangan universiti yang bersaing untuk mendapat kedudukan antara universiti terkemuka dunia.

"Kedudukan UM boleh bertambah baik jika kajian skor akademik tidak menurun sebanyak 3.8 peratus berbanding 2012 kerana perubahan dalam cara QS menilai skor 'Peer Review'."

Ketua Setiausaha Kedua Kementerian Pendidikan Datuk Seri Dr Zaini Ujang yang merupakan Naib Canselor UTM sehingga Jun tahun ini berkata universiti itu memberi penekanan kepada pengukuhan hasil penyelidikan dan bekerjasama rapat dengan institusi terkemuka seperti Universiti Harvard, Massachusetts Institute of Technology dan Universiti Oxford.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Keupayaan menutup persepsi


Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

APABILA sesi pengajian baru institusi pengajian tinggi negara bermula dua minggu lalu, antara tumpuan utama pastinya terarah kepada mahasiswa Bumiputera yang bakal memulakan cabaran baru di menara gading.

Biarpun dari segi kelayakan akademik membuktikan mereka layak, masih ada pihak sangsi keupayaan golongan itu.

Tidak tahu di mana silapnya, isu pencapaian mahasiswa Bumiputera sering menjadi polemik seolah-olah penawaran tempat adalah menerusi sistem kuota sedang­kan kini pengambilan adalah menerusi meritokrasi yang berpaksikan kelayakan pencapaian akademik.

Kemampuan mereka terbukti namun persoalannya, mengapa mereka masih dipertikaikan?

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata pencapaian mahasiswa terutama Bumiputera sering kali menjadi perhatian kerana pandangan skeptikal segelintir pihak yang tidak mahu berubah.

Beliau berkata, tidak wajar membuat ulasan atau tafsiran sendiri mengenai mahasiswa Bumiputera kerana kecemerlangan mereka setanding dengan lain.

“Biarpun syarat kemasukan semakin diperketat­kan selain mengambil ciri-ciri tertentu, mahasiswa Bumiputera tetap layak dan mampu ‘mengatasi’ jumlah kemasukan kaum lain.

“Ini bukan isu mengenai keistimewaan tapi kemampuan. Mahasiswa Bumiputera membuktikan mereka bukan calang-­calang pelajar.

“Sistem meritokrasi bertujuan memberi keadilan kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa. Dan ini bukan mudah bagi yang tidak cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan ketat itu bukan saja dilaksanakan IPTA di negara ini, malah kebanyakan universiti terkenal di dunia.

“Sistem pendidikan ting­gi negara kita kini pantas ke menuju antarabangsa sebagai satu mekanisme persaingan pendidikan globalisasi.

“Jadi, tentu standard diberikan tinggi bagi mengisi kapasiti persaingan itu termasuk kelayakan akademik bakal mahasiswa.

“Ini juga cabaran kepada mahasiswa termasuk Bumiputera bagi membuktikan kemampuan, sekali gus menutup persepsi bahawa mereka selalu gagal menunjukkan persaingan yang baik,” katanya.

Malah, beliau tidak menafikan, pertikaian me­ngenai pencapaian mahasiswa Bumiputera sering menjadi polemik dan bualan masyarakat.

“Tidak dinafikan, ramai pihak suka mempertikaikan kemampuan mahasiswa Bumiputera. Ini sudah seperti tradisi.

“Pada saya, ia tidak adil kerana golongan itu membuktikan mereka memang cemerlang menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Cuma, kekurangan itu agak ketara dari segi kemahiran, namun itu bukan alasan terus melabelkan mereka tidak berkelayakan menjadi graduan yang baik,” katanya mengakui kekurangan sedia ada itu boleh dianggap cabaran bagi menjadikan diri mahasiswa alat transformasi moden dunia pendidikan baharu.

“Kita tidak pernah membiarkan kepincangan sedia ada untuk terus ‘membenamkan’ pencapaian mahasiswa Bumiputera, malah segala kepincangan sentiasa mendapat pemerhatian.

“Malah, pengenalan pelbagai mekanisme adalah antara usaha dilakukan bagi menaikkan taraf pencapaian agar lebih memberikan impak tinggi melebihi sasaran ditetapkan.

“Usaha ini bukan berat sebelah tapi bagi menjawab pertuduhan pihak tertentu yang beranggapan mahasiswa Bumiputera mendapat banyak kelebihan berbanding bangsa lain,” katanya.

Beliau kesal apabila isu bangsa dijadikan polemik dan dipolitikkan.

“Saya tekankan, perkara berkaitan pendidikan tidak boleh dijadikan alat untuk menimbulkan isu lain. Ini adalah pendidikan yang memberi akses sama rata kepada semua untuk menimba dan memperoleh ilmu.

“Jangan jadikan isu pendidikan atau mahasiswa Bumiputera sebagai satu senjata untuk mengkucar kacir atau menghangatkan sentimen lain.

“Pendidikan di IPTA atau mana-mana institusi perlu berlangsung secara harmoni demi satu matlamat iaitu melahirkan masyarakat berilmu dan mampu menjadi pemimpin negara yang baik suatu hari nanti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa yang baru ditawarkan tempat pengajian agar menggunakan sepenuhnya peluang diberikan itu dengan bijak.

“Ramai beranggapan, jika belajar di menara gading, semuanya selamat.

“Itu tanggapan salah kerana di universiti, semuanya perlu dilakukan sendiri. Jika mahu gagal atau berjaya, buatlah pilihan masing -masing.

“Di kampus, cabaran akan bermula seterusnya ke peringkat pekerjaan dan kehidupan. Kalau dipersiakan peluang diberikan ini, mereka sendiri boleh meramalkan kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Mengenai tanggapan mahasiswa Bumiputera kurang kompeten terutama dalam aspek kemahiran serta pengukuhan jati diri, beliau berkata ia subjektif dan tidak tertakluk pada mana-mana pihak.

“Kompetensi boleh dibentuk melalui latihan, kesedaran dan aktiviti kampus. Soalnya, adakah mereka ada kemahuan melakukannya?

“Setiap aspek kemahiran atau pengukuhan jati diri tertakluk pada kemahuan individu. Sediakan aktiviti terbaik di dunia mahupun mentor mentee paling handal, kalau tiada kemahuan diri, semuanya gagal.

“Kemahiran dan jati diri dimantapkan dengan pembabitan dalam program dan aktiviti yang dirangka khas untuk mereka bukan bangsa,” katanya.

Tidak juga menafikan bakal wujud budaya kejutan dalam sistem pengajian peringkat tinggi, beliau berkata ia boleh diatasi jika menumpukan perhatian pada peringkat awal pengajian.

“Peringkat ini memudahkan mereka memperoleh keputusan cemerlang kerana pengenalan modul adalah asas sebelum membuat pengkhususan.

“Tapi, di sini juga kesilapan terbesar kerana mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh mahu mengumpulkan markah yang baik.

“Berdasarkan pemerhatian, andai kata sekali mereka sudah terleka, selalunya kelekaan itu akan berterusan hingga menyebabkan keputusan tidak cemerlang,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Isnin, 9 September 2013

Pak Matlob - pejuang sejati perkembangan tulisan jawi


Oleh :  ZULKIFLI ABDULLAH

MUNGKIN ramai yang tidak mengenali Mohammad @ Mokhtar Talib. Tetapi apabila disebut Pak Matlob, ramai yang tahu bahawa beliau ialah tokoh ternama dalam bidang tulisan jawi dan sastera kanak-kanak.

Anak kelahiran Kampung Laut, Semerah, Batu Pahat, Johor ini adalah pejuang sejati tulisan jawi dan telah menghasilkan lebih 400 buah buku dalam pelbagai bidang, kebanyakannya dalam tulisan jawi.

Dalam bidang penulisan jawi, tokoh pejuang tulisan jawi ini banyak memberi sumbangan berharga kepada akhbar dan majalah, antaranya beliau pernah mengelolakan ruangan Pandai Jawi dan Belajar Jawi di Utusan Malaysia.

Pernah berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun, lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai yang dilahirkan pada 5 Julai 1937 ini memulakan karya penulisan untuk kanak-kanak pada tahun 1953.

Dan ketika redup senja Jumaat 6 September lalu, tokoh yang amat besar jasanya dalam bidang tulisan jawi dan kesusasteraan kanak-kanak ini menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya, Kalifah Md. Yusuf, pada usia 76 tahun di rumah mereka di Semerah, Batu Pahat.

Pak Matlob yang pada beberapa tahun terakhirnya banyak menyumbangkan tulisannya dan membantu penerbitan Utusan Melayu Mingguan. Allahyarham mula uzur selepas diserang angin ahmar tahun lalu dan demam sejak Rabu minggu lalu.

Pernah bertugas sebagai sebagai Ketua Unit Pendidikan Jawi untuk Utusan Melayu (1993-1998), Pat Matlob menghasilkan 11 novel remaja dan 107 novel kanak-kanak selain mengeluarkan 30 jenis bahan bacaan dan penyelidikan berhubung tulisan jawi moden dalam tempoh tiga tahun.

Allahyarham juga banyak menulis untuk majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Utusan Zaman khususnya dalam bidang sastera kanak-kanak.

Skrip drama pentas pertama ditulis beliau bertajuk Mekarlah Mawar - Mekarlah Harapan, dipentaskan di Panggung Cathay Muar pada 28 Mei 1965.

Beliau kemudian menghasilkan karya kanak-kanak untuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada 1965 hingga 1967.

Pak Matlob dipilih oleh UMNO sebagai penerima Anugerah Melayu Cemerlang, manakala di peringkat negeri, Pak Matlob dipilih menerima Anugerah Tokoh Pejuang Jawi daripada Persatuan Penulis Johor.

Kegigihan Allahyarham sehingga tahun-tahun terakhir kehidupannya memperjuangkan tulisan warisan orang Melayu itu terbukti apabila sanggup datang dari Semerah ke Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur untuk menghantar sendiri hasil karyanya kepada akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan.

Kecintaannya kepada tulisan jawi jelas tergambar apabila sanggup mengeluarkan wang sendiri sebagai hadiah pertandingan tulisan jawi yang dianjurkannya dengan kerjasama Utusan Melayu Mingguan.

Sejak dua tahun lepas, beliau tidak lagi aktif menghantar karya atau memberikan ceramah mengenai tulisan jawi apabila lumpuh akibat diserang angin ahmar.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama Pak Matlob akan terukir dengan tinta emas dan kekal harum sebagai pejuang sejati tulian jawi di negara ini.

AL-FATIHAH.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 8 September 2013

SUARA BANGSA


Kami telah lama bersuara
nadanya bukan bersahaja
kerana lelahnya makin nyata.

Suara kami suara padu
demi kemaslahatan tidak tersisa
hidup ini tidak pernah menipu.

Jeritan suara selantang mungkin
untuk mereka bergelar petualang
kami tidak pernah membungkus juang.

Suara itu suara kami
jerih pedih menanti lama
kukuh bersatu menjerat janji,

Suara ini suara negara
kemanusiaan yang tidak pernah padam
gilap maruah bangsa merdeka
masih termimpi di atas puncak.

Zulkifli Mohd Top
Universiti Malaya

Sumber : Dewan Masyarakat, September 2013

Sabtu, 7 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Kokurikulum yang berteraskan nilai


Oleh : Profesor Dr. SIDEK BABA

Kokurikulum dalam pendidikan adalah sambungan kurikulum yang diajar di bilik darjah. Kokurikulum yang difahamkan selama ini tidak lebih sebagai kegiatan organisasi yang dikaitkan dengan subjek seperti Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Sejarah, Persatuan Sains, Persatuan Agama Islam dan sebagainya. Kegiatannya agak terhad dan proses pembentukan bakat dan kefahaman terhadap ilmu dan kesukarelaan menjadi kurang berkembang.

Di samping penyuburan kognitif dalam bilik darjah para pelajar harus dipupuk dan disuburkan dengan maksud afektif di luar bilik darjah.

Kokurikulum harus mempunyai kurikulum yang baik. Ia terkandung aktiviti yang bermanfaat supaya gerak kerja kokurikum dapat diukur dan dinilai. Ia menyumbang ke arah melahirkan peribadi holistik seseorang pelajar. Peribadi holistik penting dalam transformasi pendidikan supaya produk akliah (kognitif) tidak dijadikan ukuran tunggal mengenai kemajuan diri seseorang pelajar tetapi kegiatan kokurikulum memberikan cerminan potensi insan diraikan.

Persatuan Bahasa Melayu umpamanya memberi ruang kepada pelajar mengkaji tentang pola  perbahasaan, dialek masyarakat setempat dan bandingkan dengan keperluan bahasa baku yang diajar di sekolah. Penelitian mengenai bahasa juga terhubung dengan pengaruh Islam di dalam Bahasa Melayu dan pengaruh aliran lain yang terdapat dalam bahasa itu.

Dalam Bahasa Melayu terdapat ribuan istilah al-Quran dan ia tidak saja memberi asas makna tetapi juga nilai pada istilah dan bahasa yang berkaitan. Perkataan amanah, adil, ikhlas, rahmah, nikmah, mesyuarah, hikmah, zalim, syukur, manfaat dan banyak lagi mempunyai kaitan langsung dengan nilai Islam dan nilai sejagat.

Ia memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam melakukan kajian supaya belajar bahasa bukan untuk lulus periksa tetapi menerima makna bahawa pada bahasa itu terdapat nilai, kefahaman, konsep dan falsafah.

Pendekatan ini amat sesuai untuk dikembangkan di tahap sekolah menengah rendah dan juga atas supaya asas kajian lapangan diberi, penelitian di buat, laporan terhadap kajian dilakukan dan latihan pembentangan kajian dan dapatan berlaku. Tajuk-tajuk dan kerja lapangan yang diberi haruslah sesuai dengan tahap umur, kemampuan berfikir dan menyerap kefahaman supaya pembelajaran berlaku.

Masalah yang dihadapi dalam sistem kita kini ialah fokus pengajaran dan pembelajaran tertumpu kepada orientasi hafazan dan pengingatan. Lalu pengajaran lebih banyak terarah kepada upaya mengingat menerusi latih-tubi dan akhirnya diukur dengan peperiksaan. Peperiksaan menjadi fokus utama menentukan pencapaian dan kecemerlangan para pelajar dalam subjek yang dipelajarinya. Ia memberi kesan sepihak terhadap pembangunan diri pelajar.

Kokurikulum Sejarah atau Kajian Tempatan umpamanya amat menarik dikembangkan menerusi gerak kerja lapangan, kajian dan telitian, dengan mengumpul maklumat dan data. Sejarah lazimnya mengaitkan apa yang berlaku pada masa lalu. Masa lalu dilalui meninggalkan kesan sejarah. Hari ini yang sedang dilalui bakal meninggalkan jejak-jejak sejarah. Hari depan yang bakal diteroka juga bakal mengubah sejarah. Sifat sejarah adalah sinambung dan coraknya mengulangi walaupun dalam bentuk yang mungkin berbeza.

Dalam tradisi Islam, sejarah itu dilihat sebagai kisah yang membawa kesan kepada ibrah. Ibrah atau sumber teladan ini amat  penting bagi memberi pengetahuan  dan maklumat  mengenai peristiwa dan tokoh supaya yang baik itu dijadikan teladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan.

Kisah Nabi Lut as dalam al-Quran umpamanya boleh dihubungkan dengan isu seks bebas yang terjadi pada hari ini. Pola perlakuan hidup manusia mengulangi jejaknya meninggalkan gaya hidup yang fitrah sebaliknya memilih jalan hidup yang songsang.

Ini boleh mencetuskan kesedaran pelajar tentang betapa penting hidup dalam keadaan fitrah berpedomankan nilai dan agama supaya hal-hal yang makruf subur dalam kehidupan, dan hal-hal mungkar dapat dihindari.

Sejarah Melaka umpamanya menyatakan tentang zaman turun-naik yang menyebabkan Melaka dan Malaya akhirnya terjebak dalam kekuasaan penjajah. Zaman naiknya Melaka ialah kerana kekuatan Islam dijadikan sandaran. Sultan Alauddin Riayat Shah amat menarik untuk dikaji. Kisah Sultan Mahmud dan peminangan Puteri Gunung Ledang adalah metafora yang memberikan makna besar terhadap kejatuhan Melaka. Peranan penasihat Raja seperti Si Kitol dan Raja Mendaliar amat mustahak untuk dikaji kerana watak itu wujud pada setiap zaman yang akhirnya membawa kejatuhan terhadap sesuatu bangsa atau tamadun kerana sifat sejarah itu mengulangi jejak.

Sumber :  http : //www.sinarharian.com.my/