Khamis, 19 September 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Ranking universiti dan permasalahannya di Malaysia


Oleh : DR AIRIL YASREEN MOHD YASSIN

SETIAP tahun, kita akan sibuk membincangkan isu ranking atau kedudukan universiti-universiti Malaysia di persada dunia, yang terbaru adalah senarai yang dikeluarkan oleh QS World University Rankings di mana universiti-universiti kita berlegar di kedudukan 200-300  dunia.

Pandangan dan respon terhadap ranking ini terbahagi kepada dua. Pandangan pertama melihat penyenaraian universiti-universiti dunia ini adalah sesuatu yang positif kerana ia boleh memberikan satu bentuk ukuran kepada tahap pencapaian sesebuah universiti itu.

Pandangan kedua pula lebih melihat penyenaraian ini hanyalah satu bentuk eksploitasi di mana kriteria-kriteria yang digunakan tidak tepat dan tidak memberikan gambaran sebenar pencapaian dan falsafah penubuhan sesebuah universiti itu.

Malah, ada pihak yang menyatakan ranking ini adalah satu strategi pemasaran bertujuan untuk merendahkan kemampuan universiti-universiti dari negara membangun dan membanggakan seterusnya mempromosikan universiti-universiti di negara maju.

Namun, walau apa pun pandangan kita, sama ada pandangan pertama atau kedua, kita haruslah bersetuju bahawa universiti-universiti kita wajib menggiatkan usaha agar setaraf dengan universiti-universiti terkemuka dunia.

Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan dan keagungan sesuatu masyarakat dan negara bermula dan berjalan seiring dengan kemajuan ilmu dikalangan masyarakat dan universiti-universitinya.

Tamadun Yunani sinonim dengan pemikir-pemikirnya dan juga intitusi-institusi kelimuannya seperti Academy yang ditubuhkan oleh Plato dan Lyceum yang ditubuhkan oleh Aristotle.

Zaman kegemilangan Islam pula menyaksikan kelahiran ilmuan-ilmuan seperti Al-Ghazali, Al-Farabi dan Ibn Sina serta terbangunnya Bait Al-Hikmah di Baghdad dan Al-Azhar di Egypt. Di Morocco pula, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu(Unesco) telah mengiktiraf  Al-Qarawiyyin sebagai institusi pertama yang mengeluarkan ijazah lantas diiktiraf sebagai universiti yang pertama di dunia.

Kemajuan ilmu seterusnya disambung oleh masyarakat di hemisfera barat bermula dari Zaman Pencerahan sehinggalah ke hari ini. Nama-nama seperti Isaac Newton, Gauss, James Clerk Maxwell, Einstein, Steve Job, Bill Gates  mula terbit di jurnal-jurnal ilmiah bersama rekaan dan inovasi mereka.

Dan berdasarkan ranking QS yang terkini, universiti-universiti di UK dan US menduduki senarai sepuluh yang terbaik di dunia; MIT (1), Harvard (2), Cambridge (3), UCL (4), Imperial College (5), Oxford (6), Stanford (7), Yale (8), Chicago (9) dan Caltech (10).

Di Asia pula, universiti-universiti di timur jauh seperti Universiti Hong Kong, Universiti Tokyo, Universiti Peking dan Universiti Kebangsaan Seoul pula mengungguli kedudukan terbaik.

Maka, bukanlah satu kebetulan apabila masyarakat berkulit putih dan berkulit kuning ini yang mencaturkan dunia pada era ini dalam segenap segi. Ia bukanlah satu kebetulan kerana mereka hanya mengulangi sejarah “Siapa berilmu dialah kudrat”.

Berdasarkan ini, seharusnya kita berasa khuatir dengan kedudukan dan pencapaian universiti-universiti kita apatah lagi pada hakikat kedudukan kita adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara Islam yang lain.

Bagaimana kita hendak mencapai wawasan 2020 iaitu menjadi negara yang setanding dengan negara-negara maju jika universiti-universiti kita yang sepatutnya menjadi penjana kepada kemajuan masih lagi belum setanding?

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, permasalahan utama yang kita sedang hadapi ialah universiti-universiti kita masih belum mampu menjalankan tugas-tugas akademia yang sebenar iaitu melahirkan ilmu dan teknologi baru serta graduan-graduan yang mampu mencari ilmu secara kendiri serta bersifat inovatif.

Sebaliknya, universiti-universiti kita masih lagi ditahap pengajian teknikal dan vokasional dimana ia hanya melahirkan graduan yang lebih layak digelar juruteknik kerana hanya mampu membuat kiraan-kiraan yang telah ditetapkan dan melakukan kerja-kerja yang tipikal.

Pelajar-pelajar kita masih lagi hanya diajar menggunakan rumus-rumus terakhir, jadual-jadual yang telah tersedia dan mengikuti prosedur-prosedur piawai tanpa didahului dengan perbincangan berkenaan penerbitan dan prinsip serta falsafah saintifik yang membelakangi rumus-rumus, jadual-jadual dan prosedur-prosedur tersebut.

Tanpa pemahaman yang fundamental, bagaimana mungkin pelajar-pelajar dapat memahami sedalam-dalamnya sesuatu ilmu tersebut. Tanpa pemahaman yang mendalam pula,bagaimana mungkin kita dapat menghasilkan output saintifik seperti ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru.

Dan tanpa output saintifik sebegini, bagaimana mungkin universiti-universiti kita dapat tersenarai tinggi di ranking dunia tapi lebih penting, tanpa output sebegini, bagaimana mungkin negara dapat menyediakan ekonomi lestari (sustainable economy) kerana ekonomi sebegini amat bergantung kepada inovasi dan produk berasaskan pengetahuan (knowledge-based product).

Tetapi pelajar-pelajar adalah pihak terakhir yang patut dipersalahkan kerana mereka hanya menerima apa yang diajarkan kepada mereka. Pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan adalah pentadbir dan pensyarah-pensyarah di universiti itu sendiri.

Sama ada mereka tidak sedar akan permasalahan ini atau mereka tidak mampu menyelesaikannya.

Mereka tidak mampu kerana ada kemungkinan mereka sendiri tiada kepakaran dan kefahaman yang mendalam dalam bidang tersebut. Ini tidak mustahil kerana jika kita menilai semula kelayakan akademik terutamanya kajian-kajian PHD pensyarah-pensyarah kita, amat sedikit yang benar-benar berkecimpung dalam arena fundamental dan berunsurkan matematik.

Saya menyatakan perkara ini bukan sahaja berdasarkan pengalaman saya sebagai pensyarah, bukan sahaja melalui komunikasi saya dengan pensyarah-pensyarah yang lain tetapi berdasarkan juga keterlibatan saya dalam beberapa program yang berbentuk penjalinan subjek-subjek matematik, fundamental dan aplikasi terutamanya yang berkaitan dengan kejuruteraan. Program-program yang boleh saya nyatakan tidaklah begitu berjaya.

Mungkin di sini saya boleh mencadangkan dua kaedah yang boleh diambil untuk menyelesaikan permasahan ini. Yang pertama, proses pengambilan pensyarah-pensyarah dimasa akan datang dan perlanjutan pengajian PHD mereka perlu fokus kepada bidang yang fundamental tetapi masih hampir dengan aplikasi terutamanya yang berunsurkan inovasi. Bentuk pengajian sebegini kerap ditawarkan di universiti-universiti terkemuka di dunia, maka hantarlah mereka ke sana.

Yang kedua, pensyarah-pensyarah sedia ada perlu digalakkan untuk mengulang kaji aspek-aspek fundamental dan unsur-unsur matematik yang berkaitan dengan bidang mereka. Ini boleh dilakukan melalui kempen-kempen kesedaran ataupun melalui langkah yang lebih formal seperti menghadiri kursus dan bengkel.

Maka boleh disimpulkan bahawa ranking universiti dunia ini, walaupun mempunyai pelbagai pandangan dan respon, masih boleh menjadi kayu ukur kepada pencapaian universiti universiti kita.

Ukuran ini adalah penting kerana ia boleh menentukan halatuju universiti-universiti kita terutamanya dalam membantu negara menyediakan ekonomi lestari menjelang 2020 melalui penghasilan ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru serta inovatif. Sesungguhnya, sejarah telah membuktikan “Siapa berilmu dialah kudrat”.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 18 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Menjana kepakaran guru


Oleh : MD ISHAK A. RAHMAN

Pada alaf ini, pendidikan di sekolah tidak harus memencilkan diri dan bergerak tanpa hala tuju yang jelas dan selaras. Sekolah perlu melihat kejayaan sekolah lain untuk dijadikan model melalui perkongsian bestari.

Demikian juga, guru sebagai petugas pendidikan tidak seharusnya berpuas hati dengan kemahiran yang diterima semasa di kampus. Sebaliknya, mereka perlu menggali dan mencari kepakaran dalam bidang mereka melalui perkongsian bestari.

Mereka boleh membentuk kumpulan rakan sekerja untuk membangunkan program di sekolah. Aktiviti ini dapat meningkatkan kepakaran mereka dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.

Setiap sekolah mudah mengakses maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapat maklumat. Pengetua atau guru besar selaku pengurus sekolah mempunyai peranan penting untuk memilih hala tuju masing-masing dan tidak hanya menunggu arahan daripada pihak lain.

Pengetua atau guru besar harus melakukan perkongsian bestari di sekolah dengan institusi pendidikan di tempat lain.

Perkongsian bestari dapat difahamkan sebagai pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagainya di sekolah atau tempat lain untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Program perkongsian ilmu dapat dilaksanakan oleh kumpulan pemimpin dan pelaksana pendidikan di sekolah. Tegasnya, mereka tidak boleh berseorangan untuk membina kecemerlangan sekolah.

Perkongsian bestari harus dimulakan secara mikro hingga peringkat makro.

Mikro melibatkan sekumpulan guru di sekolah. Contohnya program lesson study iaitu sekumpulan guru yang merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama-sama.

Akhirnya, mereka bukan sahaja mendapat hasil yang cemerlang, malah memperoleh kepakaran yang menjadi rujukan pihak lain.

Sementara program makro melibatkan guru dan pelajar di sekolah dengan guru-guru sekolah lain di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

Selain mengakses media massa, mereka boleh mengadakan lawatan ke negara lain untuk mengadakan perkongsian bestari. Langkah ini membolehkan mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman orang lain.

Sekolah telah melaksanakan program Kumpulan Mutu Kerja (KMK), kajian tindakan dan sebagainya yang diubah suai dengan ukuran pendidikan untuk mencari jalan meningkatkan kecemerlangan di sekolah.

Mereka membuat kajian serta pelaksanaan aktiviti di sekolah berdasarkan kekuatan dan ancaman yang terdapat di sekolah. Penemuan mereka sudah pasti boleh menjadi rujukan guru-guru lain atau sekolah-sekolah lain.

Sekolah juga boleh membuat perkongsian bestari dengan sekolah berhampiran. Mereka duduk bersama dengan mengadakan seminar, pembentangan kertas kerja atau sebagainya. Mereka boleh memanfaatkan guru cemerlang di sekolah masing-masing atau menggunakan kepakaran dan kejayaan sekolah untuk dikongsi bersama dengan sekolah berhampiran.

Sekolah juga boleh mengadakan lawatan penanda aras di sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program mereka. Lawatan tersebut boleh dijadikan asas untuk dilaksanakan di sekolah mereka selaras dengan keperluan dan kekuatan yang ada di sekolah masing-masing.

Sementara sekolah yang telah terbukti dan diiktiraf mencapai kecemerlangan dengan penganugerahan sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah yang mendapat bai'ah, seharusnya menguar-uarkan program mereka melalui media massa atau blog agar dapat dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain.

Sekolah kluster cemerlang ini boleh menjemput sekolah lain untuk datang ke sekolah mereka bagi melihat program yang telah dilaksanakan. Langkah ini secara tidak langsung membantu negara untuk meningkatkan mutu pendidikan.

Guru yang kreatif boleh merancang dan melaksanakan program kecemerlangan dengan memilih aktiviti yang sesuai di sekolah masing-masing berdasarkan latar belakang dan persekitaran sekolah.

Situasi sekolah di bandar berbeza dengan sekolah di luar bandar, sekolah asrama, sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah harian. Kepakaran guru di sekolah berkenaan masih boleh diterapkan di sekolah lain melalui usaha kreatif guru.

Melalui perkongsian bestari dapat membuka minda guru melaksanakan sesuatu di sekolah serta meningkatkan kepakaran mereka. Langkah ini amat dituntut demi melahirkan lebih ramai guru yang benar-benar menguasai pedagogi pendidikan. Pengalaman mereka amat diperlukan untuk melaksanakan program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang akan dilaksanakan menjelang 2014.

SMK Ledang, Johor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 24 buah sekolah diiktiraf SBT


PUTRAJAYA 18 Sept. - Kementerian Pendidikan mengiktiraf 24 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 14 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 115 buah sekolah.

Beliau berkata, sasaran kementerian bagi membangun dan mewujudkan 10 buah SBT setiap tahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai dengan jayanya, lebih membanggakan melepasi sasaran apabila 24 buah sekolah mendapat pengiktirafan itu.

Peruntukan khas akan diberikan kepada 24 SBT terbaharu ini berjumlah RM16.8 juta iaitu RM700,000 untuk tahun pertama, tahun kedua RM500,000 dan RM300,000 untuk tahun ketiga bagi setiap sekolah.

Jumlah itu khusus untuk membantu bagi mengangkat kualiti pendidikan murid-murid negara ini ke satu tahap setanding dengan standard antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan I, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan II, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Menurut Idris, kementerian sangat berpuas hati pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah diiktiraf mulai tahun 2010, sehubungan itu kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.

Katanya, pada tahun ini kesemua SBT berkenaan telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, kokurikulum dan juga sukan di peringkat antarabangsa.

Dengan pengiktirafan terbaharu ini, diharapkan kesemua SBT mampu menghasilkan murid cemerlang yang merupakan pewaris negara di masa hadapan.

Selaras dengan hasrat SBT, pelajar mestilah mampu mendahului dalam memperoleh pencapaian yang cemerlang yang menjadi aspirasi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan kerajaan," katanya.

Senarai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)  Tahun 2013 Kohort 4 :

JOHOR
SK Tengku Mariam
SJKT Ladang Rem
SMK Dato’ Penggawa Barat

KEDAH
SM Sains Kubang Pasu

KELANTAN
SM Sains Machang

MELAKA
SK Convent of the Infant Jesus 1 (M)
SMKA Sharifah Rodziah

NEGERI  SEMBILAN
SBP Integrasi Jempol

PAHANG
SK Convent

PERAK
SK Sultan Idris II
SK Marian Convent
SM Sains Raja Tun Azlan Shah
SBP Integrasi Gopeng

PULAU PINANG
SK Convent Green Lane
SJK (C) Han Chiang
SMKA Al-Irshad

SELANGOR
SK Taman Megah
SK Bukit Jelutong
SK Sri Petaling
SMA Persekutuan Kajang
SBP Integrasi  Rawang

PUTRA JAYA
SK Putrajaya Presint 11 (1)

KUALA  LUMPUR
SK Convent Bukit Nanas (1)
SJK (C) Kuen Cheng 2

Sumber:  http: //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Kisah stigma negatif orang gemuk di Malaysia


Oleh : Fauziah Arof

MALAYSIA negara untuk orang gemuk? Negara yang kecil ini dikatakan mempunyai bilangan orang gemuk yang paling ramai di Asia Tenggara dan berada di tempat keenam di seluruh Asia dan membelakangi beberapa buah negara Asia Barat.

Ini bukanlah sesuatu kenyataan yang melucukan atau isu remeh yang boleh dibuat lawak apatah lagi mengaitkannya dengan pencapaian yang cemerlang, jauh sama sekali.

Sememangnya masalah obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini sudah lama berlaku. Sebelum-sebelum ini pun kita sudah didedahkan dengan banyak statistik mengenai bilangan obesiti yang membabitkan golongan tua, muda dan kanak-kanak di negara ini.

Dan semua orang pun tahu, obesiti boleh mengakibatkan penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetis, dan kanser. Justeru, banyaklah kempen kesedaran dan peringatan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan terhadap orang ramai tentang bahayanya berat badan yang berlebihan ini.

Dalam pada itu, kita juga pun mengakui, negara kita ini mewah dengan makanan-makanannya. Kita memang mewah dengan budaya menjamu selera itu dan ini, rumah terbuka diadakan di sana sini walaupun Hari Raya sudah habis, sering ada majlis makan-makan, sehingga mesyuarat-mesyuarat yang kecil di pejabat-pejabat pun mesti ada jamuan makan.

Pun begitu, ada satu stigma negatif atau persepsi dalam masyarakat kita, yang tidak seharusnya ada tentang obesiti ini iaitu memandang rendah kepada keupayaan orang gemuk.

Bukan semua mempunyai tanggapan begitu tetapi pandangan mengejek apabila melihat orang gemuk kadangkala kelihatan walaupun tanpa disedari.

Dan disebabkan itu, ada yang tidak melihat kepada bakat dan kemahiran yang ada pada orang gemuk ini. Dan lebih teruk, sesetengah majikan pula tidak mahu mengambil pekerja yang gemuk.

Bukan kerja itu memerlukan dia berlari pun, bukan kerja itu menyuruh dia memanjat pokok kelapa, bukit atau gunung pun. Tetapi itulah, sebab dia gemuk, bakat dan pendidikan yang ada padanya diketepikan. Penampilan amat perlu!

Saya pernah mendengar rintihan seorang kawan yang gemuk. Dia memang berbakat besar dalam bidang penulisan dan saya mengakuinya. Membaca tulisan-tulisannya yang tajam dan adakalanya menyentuh perasaan, saya tahu dalam usia semuda itu, dia memang boleh pergi jauh.

Tetapi apabila dia meminta kerja dalam sebuah organisasi media, dia telah dihina semasa sesi temuduga. Dia dinilai melalui penampilannya, first impression kata orang, bukan dinilai daripada bakatnya.

Saya memahami jika dia tidak diambil bekerja kerana mungkin syarikat berkenaan tidak mahu menanggung bil-bil hospital atau klinik yang tinggi kerana bimbang dia akan mengalami banyak penyakit, tetapi janganlah sampai memperlekeh dan menghinanya.

Jika bukan kerana minatnya itu, sudah tentu dia tidak meminta bekerja di situ. Dia kini, saya kira sudah berjaya. Dia bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi dan saya amat bangga dengan ketabahannya.

Kita lihat sajalah dalam bidang seni pun, berapa ramai sangat orang gemuk diberi peluang dan sentiasa ke depan. Yang ada pun sebab mereka benar-benar bagus, menyerlah dan bakatnya memang tidak boleh dinafi dan diketepikan. Tetapi untuk mencapai ke tahap itu pun tentu ada cerita-cerita duka yang dilaluinya.

Saya juga mendengar daripada rakan-rakan saya yang gemuk, betapa berlakunya macam-macam diskriminasi terhadap mereka dalam kerja. Dan yang lebih menyakitkan hati mereka ini disifatkan sebagai bahan lawak dan memberi komedi dalam pejabat sahaja.

Itulah antara mentaliti kebanyakan orang kita, menilai orang melalui penampilan paras rupa. Yang diutamakan, wajah cantik dan segak bergaya. Kualiti kerja tolak ke tepi dulu. Dan persepsi atau stigma-stigma negatif yang telah berlarutan sekian lama ini, akhirnya berterusan ke generasi-generasi seterusnya.

Sebab itu, kita masih mendengar, anak-anak kecil yang gemuk diejek dan dijadikan bahan persenda oleh kawan-kawan mereka di sekolah.

Jika kanak-kanak itu tidak mudah sensitif atau jenis tidak kisah, tidak mengapa, bagaimana kalau yang cepat merasa rendah diri? Sudah tentu ini sedikit sebanyak menganggu proses pergaulan dan pembelajaran mereka di sekolah.

Itulah kadang-kala kita fikir bahawa penyakit diabetis, penyakit jantung dan penyakit-penyakit berkaitannya memberi stress atau tekanan kepada orang yang obes ini, tetapi hakikatnya yang mendatangkan lebih stress kepada mereka adalah stigma negatif masyarakat sekeliling!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 17 September 2013

ISU KENEGARAAN : Keinsafan, pengajaran sepanjang 50 tahun usia Malaysia


Oleh : Wan Roslili Abd. Majid

JIKA diibaratkan sebagai seorang manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.

Demikianlah juga dengan Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain, kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah, lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.

Resam kehidupan, ujian yang datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi’‘ r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.

Antaranya termasuklah bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia terjalin.

Hal ini mengambil kira hakikat dunia kini telah tiada sempadan atau batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan pandangan dan menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai wadah seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.

Dengan yang demikian, matlamat memelihara masyarakat daripada musibah yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama itu harus terlaksana melalui tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan. Dengan kata-kata lain, segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum langkah menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya prinsip menyeru kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat sebagai lebih utama dan berkesan.

Tindakan ini tidak lain selain bertujuan membina perisai atau benteng diri yang teguh dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang melanda pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh, daya ketahanan tinggi yang dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada dilanda sesuatu penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.

Perhatian utama terhadap aspek pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan sebagainya itu perlu disusuli penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang digunakan selama ini. Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan pendidikan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah dilanda perubahan pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut gagal menarik minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang disampaikan? Apatah lagi untuk menghayatinya.

Malang sekali jika sedemikian banyak ruang dan masa diperuntukkan bagi menyampaikan ajaran agama; daripada pendidikan pada setiap peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program keilmuan di corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya sebahagian kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah beralih kepada ideologi dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam media baharu.

Sungguh menyedihkan jika kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada anggota masyarakat hanya kerana kelemahan pada kaedah atau pendekatannya. Sedangkan kebatilan pula dengan mudah menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah disebabkan kehebatan kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan oleh Khalifah ‘Ali k.w. bahawa kebenaran yang diperjuangkan secara tidak tersusun akan dapat ditewaskan oleh kebatilan yang disusun secara sistematik.

Dengan yang demikian, seluruh institusi yang terlibat seperti pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah, termasuk media perlu menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi memastikan kaedah penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan nafas baharu dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar, seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun, pendekatan baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata menurut selera masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan pengajaran, iaitu bagi meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta tahap keilmuan dan memperluas ufuk pemikiran mereka.

Golongan ilmuwan dan agamawan secara khususnya harus menyedari bahawa mahu tidak mahu, mereka telah pun berada dalam medan persaingan untuk mendapatkan perhatian besar masyarakat awam. Jika perkara ini tidak diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang yang ditinggalkan mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk merebut peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki daya tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan rujukan dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sememangnya pada dasarnya, masyarakat awam memikul tanggungjawab untuk merujuk kepada mereka, iaitu sebagaimana diperintahkan al-Quran.

Kecenderungan untuk menjadikan mereka sebagai rujukan sudah tentu pula didorong oleh keyakinan terhadap kewibawaan yang dibentuk oleh sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun sekiranya, kewibawaan yang dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan kepercayaan masyarakat untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah yang bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 16 September 2013

ISU PENDIDIKAN : ‘Ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan ‘membahayakan’ perkembangan pelajar


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Sukar untuk menafikan hakikat bahawa sebahagian besar ibu bapa masih menganggap keputusan peperiksaan adalah aspek terpenting dalam menentukan kejayaan masa depan pelajar.

Meskipun, transformasi dunia pendidikan negara sudah dipelbagaikan dalam mekanisme tertentu termasuk meng­gabungkan nilai kemahiran sebagai antara prasyarat penilaian pembangunan pelajar, kejayaan akademik masih dijadikan penanda aras utama.

Malah, ketaasuban pada keputusan peperiksaan biarpun pada aspek lain ada kelebihannya, namun masih dikhuatiri mampu meninggalkan impak sampingan, sekali gus melahirkan golongan pelajar seperti robot yang diprogramkan dengan kecemerlangan menerima arahan, tetapi gagal berfikir sendiri.

Justeru, sejauh manakah keberkesanan usaha untuk membantu pelajar, masyarakat dan ibu bapa agar menerima hakikat bahawa keputusan peperiksaan hanya sebahagian proses menjana kecemerlangan?

Bagaimana mahu meyakinkan bahawa masih banyak lagi aspek lain boleh dijadikan penanda aras bagi mengukur erti kejayaan dan bukan sekadar bergantung harap pada akademik semata-mata?

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Pe­ngerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd  Noh Dalimin berkata ‘ketaasuban’ ibu bapa terhadap peperiksaan sebagai penentu utama masa depan pelajar sukar diubah melainkan mereka memahami bahawa aspek itu boleh ‘membahayakan’ perkembangan diri anak-anak.

Menurutnya, tidak salah meletakkan peperiksaan sebagai pengukur kejayaan, namun sikap itu boleh memberi tekanan hingga membantutkan perkembangan normal lain yang seharusnya dinikmati pelajar.

“Adakalanya ibu bapa tidak sedar tindakan itu satu penyeksaan kepada anak (pelajar) kerana mereka dinafikan hak untuk menikmati perkara lain dalam hidup.

“Memang tidak salah ibu bapa menzahirkan hasrat untuk melihat kecemerlangan, namun mesti tahu cara atau batasnya.

“Jangan berterusan memberikan tekanan atau meletakkan sasaran untuk anak, kerana dikhuatiri timbul pula masalah lain,” katanya.

Katanya, kebiasaannya pelajar turut meletakkan sasaran untuk meraih keputusan cemerlang, malah ada desakan lebih daripada ibu bapa.

“Dalam aspek ini, ibu bapa adalah pihak yang lebih mendesak dan ternyata ia memang tidak baik untuk perkembangan emosi anak.

“Ibu bapa diminta memberi peluang anak meniti kedewasaan dan kematangan. Kejayaan bukan hanya melalui peperiksaan atau akademik saja, tapi juga boleh digilap berdasarkan kelebihan diri dalam aspek lain,” katanya.

Beliau turut mengakui ibu bapa di negara ini masih melihat akademik sebagai kewajaran utama berbanding kemahiran lain.

“Itulah masalah atau dilema sektor pendidikan negara kita kerana ibu bapa masih kuat dibelenggu mentaliti sedemikian, sedangkan aspek kemahiran juga ada peranannya dalam sistem pendidikan negara.

“Cuma kita kurang ‘mengiktirafnya’ berbanding negara lain di dunia. Namun, Kementerian Pelajaran tetap berusaha mengubah persepsi itu seperti menaikkan taraf sekolah teknik dan vokasional kepada kolej supaya ibu bapa nampak ada nilai lain yang boleh membentuk kejayaan,” katanya.

Ditanya sama ada mentaliti sedemikian boleh diubah, sedang­kan masyarakat sudah tepu dengan pemikiran itu, beliau berkata perubahan boleh dibuat, tetapi mengambil masa lama.

Budaya peperiksaan akuinya, sudah sebati dalam sistem pendidikan negara dan sudah menggantikan budaya ilmu.

“Bagaimanapun, usaha mengubahnya sudah dilakukan sedikit demi sedikit seperti perubahan yang dibuat pada sistem pentaksiran negara.

“Sebagai contoh, di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah ada elemen sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bukan saja menilai pelajar menerusi peperiksaan bertulis tapi kerja projek, kajian luar dan amali.

“Pengenalan ini selari hasrat kementerian untuk membangunkan modal insan seimbang serta memperluaskan pendidikan lebih holistik,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa sistem peperiksaan masih relevan bagi menilai keupayaan pencapaian pelajar terutama dari segi pemahaman terhadap proses pembelajaran dan pengajaran.

“Peperiksaan masih relevan kerana di situlah kita boleh menilai sejauh mana hasil pemahaman pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

“Cuma pengubahsuaian dan penambahbaikan dalam sistem atau format peperiksaan perlu dilakukan bagi melahirkan pelajar yang mampu menjana kecemerlangan dalam seluruh aspek global,” katanya me­ngakui antara impak negatif yang ketara menerusi sistem peperiksaan ialah budaya menghafal untuk peperiksaan.

“Pelajar memang giat belajar, tapi bukan untuk memahami, sebaliknya menghafal demi menjawab dalam peperiksaan selain melupakan perkara yang gigih dipelajari sebaik tamat peperiksaan.

“Dengan kata lain, sistem pendidikan kita hanya menggalakkan budaya menghafal bukannya pemikiran menyebabkan pelajar lebih cenderung bergantung kepada jawapan contoh, hafalan dan soalan ramalan berbanding memahami konsep dan teori.

“Ini yang kebanyakannya berlaku menyebabkan peperiksaan tidak boleh dijadikan penanda aras kepada keupayaan pelajar sebaliknya budaya ilmu perlu diterapkan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa konsep peperiksaan adalah untuk me­ngesan perkembangan pelajar secara menyeluruh mengenai prestasi mereka dalam mencapai sasaran pembelajaran, untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran dari semasa ke semasa, me­ngetahui keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, memantau kemajuan serta merangsang pencapaian lebih tinggi, selain mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.

“Konsep peperiksaan boleh dilihat dari tiga sudut, iaitu penilaian untuk pembelajaran, penilaian sebagai pembelajaran dan penilaian pembelajaran.

“Sebab itu, banyak pembaharuan sudah dibuat supaya golongan sasaran celik mata dan minda bahawa sistem pendidikan kita sudah tidak lagi terlalu berfokus pada peperiksaan tapi budaya mendapatkan ilmu,” katanya.

Sumber : http: //www.hmetro.com.my/

PERUTUSAN PM SEMPENA HARI MALAYSIA KE-50


Selamat Hari Malaysia ke-50

Tahun ini adalah tahun yang amat bersejarah buat semua rakyat Malaysia. Pada tanggal 16 September, negara kita menyambut ulang tahun rasmi penubuhannya yang ke-50.

Pengisytiharan rasmi penubuhan Malaysia telah dibuat oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tarikh bersejarah ini, dalam tahun 1963, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan yang disaksikan oleh oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 orang rakyat telah memberi sinar harapan kepada semua.

Pada ketika itu, rakyat berbilang kaum dan agama, mengimpikan kemerdekaan, kebebasan dan kemakmuran dalam sebuah negara yang berdaulat.

Satu kompromi telah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia. Hak autonomi dan kedudukan kedua-dua buah negeri ini turut dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold.

Ingin saya tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam pentadbiran negara.

Sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa berusaha bagi memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua negeri di Malaysia.

Sejak tahun 2010, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan sejumlah 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 2012 sahaja, sejumlah RM62.3 juta dari jumlah ini telah diperuntukkan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membiayai beberapa projek, termasuk merekabentuk jalan masuk dan jalan dalam ke Hab Halal Tanjung Manis, bekalan air di Samalaju dan kajian kebolehlaksanaan untuk Taman Sains di Mukah.

RM207 juta juga telah diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksana beberapa projek infrastruktur dan pertanian.

Usaha berterusan bagi membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia. Kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negeri ini telah banyak berubah berbanding 50 tahun yang lalu, selaras dengan pembangunan global.

Walaupun dalam usia yang muda, Malaysia telah berjaya membina sebuah negara yang disegani, sama ada dari aspek politik, ekonomi dan pembangunan sosial. Pengorbanan dan usaha gigih semua pihak dalam membentuk negara, mempertahankan keamanan dan kemakmuran selama ini akan sentiasa dihargai.

Kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membina kemakmuran ekonomi, mempertahankan kedaulatan dan memelihara keharmonian dalam negara.

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/