Isnin, 3 Februari 2014

ISU KEIBUBAPAAN : Didik anak angkat secara berkesan


Oleh : NORSALEHA MOHD SALLEH

APAKAH kasih sayang dan pendidikan agama yang disemai si ibu boleh mengubah perangai buruk anak angkat yang diwarisi daripada genetik keturunannya? Persoalan itu dilontarkan kepada penulis oleh seorang ibu yang memelihara dua anak angkat. Penulis percaya, kerisauan ini dikongsi semua ibu, sama ada anak itu anak angkat atau anak kandungnya sendiri.

Setiap ibu mengimpikan kesempurnaan anak - cantik, kacak, pintar, disayangi ramai. Begitulah harapan dan impian seorang ibu.

Kata orang,  impian semalam kenyataan hari ini. Impian hari ini kenyataan hari esok. Sepanjang pemerhatian dan kajian penulis, setiap anak boleh memiliki sikap dan akhlak mulia tanpa mengira latar belakang ibu bapa mereka. Yang penting si ibu sentiasa berusaha mendidik dan menyemai nilai agama dalam jiwa anak.

Menurut Imam al-Ghazali, sikap dan tingkah laku seseorang dipengaruhi hati dan jiwanya. Seandainya dia memiliki hati bersih dan jiwa damai, tingkah laku yang ditunjukkan pun baik.

Ini menunjukkan pentingnya peranan hati dan jiwa seseorang dalam membentuk tingkah laku.

Ibu yang mahu anaknya berkeperibadian mulia hendaklah berusaha memelihara hati dan jiwa anak daripada dikotori pelbagai faktor yang negatif. Sebenarnya banyak faktor negatif boleh mengotorkan hati anak dan mempengaruhi sikap dan tingkah lakunya ke arah keburukan. 

Televisyen, gajet, telefon pintar, komputer, internet dan rakan sebaya adalah faktor negatif yang boleh mengubah sikap dan tingkah laku anak jika tidak dikawal dengan baik.

Sebenarnya kesibukan ibu bapa serta pengabaian ke atas anak adalah antara faktor utama yang menyebabkan tingkah laku anak menjadi buruk. Kita tidak boleh meletakkan kesalahan dan alasan kepada keturunan dan genetik di atas sikap buruk yang ditunjukkan anak.

Mungkin ya, sikap panas baran itu diwarisi daripada bapanya. Tetapi sikap ini boleh diasuh dan dibimbing menjadi baik sekiranya si anak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada kedua orang tua angkatnya atau orang tua kandungnya.

Hari ini, kebanyakan ibu bapa lebih melayan rakan dalam WhatsApp, Facebook, Twitter dan lain-lain saluran daripada melayani karenah anak seperti luahan perasaan, aduan dan perkongsian cerita.

WhatsApp, Facebook, Twitter adalah fitnah yang boleh merosakkan hubungan kita dengan anak. Apa salahnya kita tunaikan dahulu hajat dan keperluan mereka. Dengar dahulu keluhan dan cerita suka duka mereka. Sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan ibu bapa boleh mengubah sikap dan tingkah laku mereka.

Mengubah tingkah laku dan mendidik anak tidak semudah membaca abc. Ia memerlukan keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran ketika melayani karenah mereka. Perasaan ibu mesti kuat apabila berhadapan dengan perangai anak yang menyakitkan hati. Mungkin sikap buruk ditunjukkan si anak itu adalah reaksi kepada sikap kita sendiri.

Mahu tidak mahu, si ibu perlu berkomunikasi dan berinteraksi dengan jiwa anak seperti memahami kehendak dan keperluan mereka, berbincang, mendengar pandangan dan cadangan yang diutarakan. Sama-sama membuat keputusan selepas berbincang dengan mereka. Tindakan ini boleh menimbulkan keyakinan diri yang tinggi dalam jiwa anak. Mereka akan berasa dihargai, dikasihi dan disayangi.

Amalan kerohanian memainkan peranan penting dalam melembutkan hati anak. Ia dapat membersihkan dan memelihara jiwa daripada dicemari dengan unsur negatif. Mengabaikan amalan keagamaan dalam kehidupan seharian, mendedahkan anak kepada pengaruh negatif.

Oleh itu, kita perlu menghidupkan amalan solat berjemaah dalam keluarga. Berzikir menyebut nama ALLAH dan membaca al-Quran bersama. Amalan ini boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menimbulkan ketenangan dalam kehidupan berkeluarga. Malah keberkatan dan rahmat ALLAH SWT memayungi mereka yang melakukan amalan secara jemaah dan kolektif ini.

Imam al-Ghazali menegaskan akhlak buruk boleh diubah menjadi baik dengan sentiasa membiasakannya melakukan kebaikan, lantas mengulang-ulang kebaikan itu sehingga menjadi tabiat dan kebiasaannya.

Kembali kepada soalan di atas, sebenarnya jawapan itu ada dalam diri si ibu itu sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan

Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) 

Oleh  : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

KEHARMONIAN etnik selari dengan perayaan-perayaan di Malaysia boleh diamalkan dengan kunjung- mengunjung sesama kita. Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kita dapat mengamati wajah-wajah 1Malaysia di media-media sosial dan di mana sahaja terpancar senyuman kegembiraan ketika berkunjung ke rumah rakan-rakan berbangsa Tionghua. Kita sama-sama merayakannya tanpa mengira pangkat, darjat, bangsa dan agama.

Menariknya lagi, kita juga berpeluang lebih mengenali budaya satu sama lain dan merasai juadah serta adat yang berbeza. Seronok apabila menerima kad ucapan raya, kiriman e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan berlainan bangsa yang amat dihargai kerana situasi sebegini nampak ringkas tetapi amat bermakna dan boleh mengeratkan perpaduan.

Hari ini begitu banyak cerita berkaitan perkauman yang kita dengar di media sosial namun kita tidak sepatutnya terus mempercayainya dan jangan cepat terpengaruh dengan hasutan untuk memecah-belahkan kaum. Kita perlu menilai sendiri erti semangat muhibah dan kerharmonian yang telah kita capai kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk.

Menurut J.S.Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun mereka berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan, interaksi sosial dalam kalangan mereka amat kurang dan hubungan antar mereka amat terbatas dan pembahagian tugas dilakukan atas garis-garis ras.

Maka, sudah menjadi perkara biasa ada sesetengah perkara yang membuatkan kita tidak gembira namun setiap perkara ada penyelesaian jika pemimpin menjadi pendengar yang baik dan mendengar luahan rasa hati rakyat sehingga ke peringat akar umbi.

Justeru, penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dilancarkan pada 25 November 2013 menggantikan Panel Penasihat Perpaduan Negara diharapkan dapat membawa sinar dalam menilai erti perpaduan. Anggota MKPN dibarisi oleh 30 tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil pertubuhan bukan kerajaan selain ahli politik daripada Barisan Nasional dan pembangkang yang diharap dapat memperkasa keharmonian ke arah penyatuan nasional negara ini.

Melaluinya, peluang suara akar umbi untuk melontarkan apa sahaja yang terbuku selama ini adalah jalan terbaik untuk kita berdialog dan berbincang mencari penyelesaian.

Panel tersebut memainkan peranan dalam mengesyorkan cadangan penyatuan nasional kepada kerajaan sebelum dibincangkan di peringkat Kabinet. Dialog Perpaduan iaitu aktiviti turun padang pula akan diadakan mengikut zon mulai bulan ini. Ini adalah antara usaha murni kerajaan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di mana laporan interim dalam masa enam bulan sebelum ia dibawa ke peringkat Kabinet.

Bercakap tentang perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan, tiga perkataan dengan satu kata akar 'padu' dan tiga perkataan keramat ini menjadi tunjang perpaduan negara diperkenalkan kepada saya semasa menghadiri bengkel tugasan sebagai pelapor untuk Dialog Perpaduan, Tiga Perkataan yang mempunyai makna tersendiri dalam mencari nilai perpaduan.

Pengarah Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA) Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, kita sering bercakap tentang perpaduan yang lebih berbentuk "Moment of Unity" kerana perpaduan sebenarnya sukar dicapai sehingga kini.

Di Malaysia, kita berada di peringkat kesepaduan iaitu masih mencari nilai perpaduan yang sering dicabar dengan kontradiksi dan untuk mencapai penyatupaduan pula, usaha yang lebih giat diperlukan dengan kerjasama semua rakyat iaitu suara akar umbi untuk merealisasikannya.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tujuh panduan dalam usaha menjayakan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Panduan itu antara lain menterjemahkan komitmen kerajaan dalam memastikan perpaduan nasional kekal selain melaksanakan sebarang dasar berlandaskan Perlembagaan Negara.

Selain itu, tujuh panduan itu juga mengambil kira Model Ekonomi Baharu dan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dengan Rukun Negara sebagai panduan. Usaha mengukuhkan perpaduan nasional merupakan proses yang panjang.

Konsep 1Malaysia diharap dapat menyatupadukan rakyat tanpa mengenal etnik, agama dan bangsa. Sebagai rakyat yang hidup dalam masyarakat majmuk, kita harus peka dan faham dengan keperluan dan kehendak rakyat kumpulan majoriti dan jangan kita lupa kepentingan suara hati kumpulan minoriti yang sama pentingnya dalam pembangunan negara.

Isu-isu sensitif perlu dibincang dari hati ke hati dengan sebaiknya terutama yang melibatkan isu-isu sensitif iaitu agama dan pantang larang.

Saya berharap golongan belia kini turun padang dan didedahkan secara serius adat resam dan budaya berlainan bangsa supaya tidak wujud salah faham yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum. Kepelbagaian etnik dalam Malaysia memerlukan tolak ansur, faham-memahami, hormat-menghormati, setiakawan, tolong-menolong sama ada pada waktu negara dalam keadaan senang ataupun susah.

Sama-sama kita merealisasikan tiga kata keramat iaitu perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan menjadi realiti. Salam 1Hati.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti PertahananNasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 30 Januari 2014

ISU KENEGARAAN : Memahami makna sebenar perpaduan


Oleh : Johan Jaafar

Pada hari Jumaat ini kaum Cina di negara kita akan merayakan Tahun Baru Cina. Menurut kalendar Cina, tahun ini adalah tahun Kuda Kayu. Menurut kepercayaan mereka bagi tahun ini elemen api memainkan peranan yang penting, mengatasi air. Api juga melambangkan kemarahan, rasa tidak sabar dan keresahan.

Sekiranya zodiak Cina boleh anda percayai, tahun ini juga menampakkan keadaan di mana emosi dan ketakutan akan lebih banyak menguasai ketenangan dan kewarasan. Banyak keputusan akan dibuat tanpa pertimbangan akal, kajian mendalam, kebijaksanaan dan kecerdikan. Maka itu ada tanda-tanda bahawa akan lebih banyak berlaku pergolakan dan krisis di dunia tahun ini.

Itu bukan bermakna tahun Kuda Kayu merupakan tahun yang malap atau menggerunkan. Tahun ini juga menjanjikan banyak harapan. Kuda merupakan haiwan liar sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Kuda membantu manusia memenangi perang. Kuda juga menjanjikan banyak peluang yang baik dalam bidang perniagaan dan dalam pembinaan kerjaya. Demikianlah ramalan tahun Kuda Kayu bagi kaum Cina.

Beraya bersama-sama

Bagi sebahagian besar daripada kita, Tahun Baru Cina merupakan salah satu daripada beberapa perayaan penting negara. Banyak daripada kita yang mengambil cuti dan menggunakannya untuk melancong atau sekadar berehat di rumah. Bagi yang lain, ini merupakan peluang untuk merayakan bersama-sama teman-teman kaum Cina.

Perayaan kaum untuk sekian lama tidak pernah dilihat daripada kaca mata keagamaan semata-mata. Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai, Tadau Keamatan dan lain-lain lagi merupakan perayaan yang dirayakan oleh semua kaum. Suku kaum di Sabah dan Sarawak memberikan makna yang sebenar konsep 1Malaysia dengan menjadikan perayaan suku kaum sebagai acara bersama sejak sekian lama.

Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali juga menjadi perayaan yang dikongsi oleh semua kaum. Perayaan seperti inilah yang memberikan kesempatan rakyat Malaysia mendekati satu sama lain. Inilah bukti integrasi yang sebenar. Pemahaman terhadap budaya satu sama lain menjadi teras perpaduan negara.
Sayang sekali soal perpaduan kini perlu dilihat semula secara jujur. Pelbagai isu yang berbangkit merenggangkan perpaduan kaum di negara ini. Soal politik, bahasa, agama – semuanya menjauhkan kita. Sistem pendidikan vernakular menjadikan anak-anak kita tidak berinteraksi seperti yang sepatutnya pada peringkat awal lagi. Isu keagamaan menjadi semakin sensitif hari ini.

Penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) menunjukkan betapa perlu isu perpaduan ini ditangani secara jujur dan terbuka. Sebenarnya kerajaan tidak ada pilihan. Majlis ini diminta membuat cadangan langkah-langkah praktikal ke arah perpaduan sebenar.

Tuntut tindakan serius

Ini isu serius yang menuntut tindakan serius. Sudah pastilah ada pihak yang mencurigai keberkesanan majlis ini. Malang juga kerana mesyuaratnya yang pertama pada 6 Januari lalu ditenggelami oleh kontroversi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Memang majlis ini tidak mempunyai Lampu Aladdin untuk menyelesaikan semua masalah perpaduan. Perpaduan kaum di negara ini merupakan isu panjang yang berdaki dengan tradisi dan sejarah juga prasangka dan keraguan. Hari ini isu perpaduan merupakan isu nasional yang kritikal.

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, isu perpaduan dianggap amat penting. Maka itu pelbagai program dan kempen disediakan. Rukun negara diwujudkan sebagai tiang seri dan prinsip kerukunan bersama. Kempen muhibah dan perpaduan dilaksanakan secara berterusan menggunakan semua media yang ada ketika itu.

Mungkin kaedah lama yang cuba menggandingkan suntikan elemen patriotisme, jingoisme dan propaganda tidak sesuai lagi untuk rakyat Malaysia hari ini. Tetapi semangat kempen itu masih penting. Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa isu kerenggangan kaum perlu diatasi segera.

Mungkin sudah terlalu lama kita mengabaikan soal perpaduan. Atau mengambil mudah hal itu. Bila terhantuk baru tengadah, demikianlah peribahasa Melayu. Ini soal masa depan negara kita. Dalam negara pelbagai kaum, kita tidak ada pilihan melainkan memastikan wujudnya keharmonian kaum.

Indonesia memberikan tumpuan pada pembinaan negara bangsa menggunakan bahasa sebagai paksinya. Namun demikian mereka juga berdepan dengan masalah perpaduan untuk jangka panjang. Kita mungkin menghabiskan terlalu banyak masa mencorakkan kemajuan ekonomi lalu mengabaikan aspek pembinaan negara bangsa yang sebenar. Inilah masa untuk membuat perubahan.

Masanya belum terlambat. Dalam kita menghormati perayaan Tahun Baru Cina kali ini, elok juga direnungkan makna persefahaman dan kerukunan bagi kita semua. Demi masa depan bersama. Kepada semua pembaca Cina: Gong Xi Fa Cai.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 28 Januari 2014

ISU BAHASA : Kritikan pedas angkat martabat bangsa Melayu

Abdullah Munsyi

Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Abdullah Munsyi lantang persoal amalan karut halang kemajuan

Tahun ini genaplah 160 tahun Abdullah Munsyi meninggal dunia. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1796 dan meninggal dunia di Jeddah pada Oktober 1854 ketika usia 58 tahun. Pada masa itu Jeddah di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah. Jasadnya sudah tiada, tetapi karya yang diulang cetak membolehkan kita terus membaca tulisan tokoh berjasa dan kontroversi ini.

Kalaulah Abdullah masih hidup di tengah kemelut penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama Kristian di Malaysia sekarang, tidak syak lagi beliau akan berada dalam kedudukan paling panas. Ini kerana pada 1815 beliau menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Beliau juga menterjemahkan beberapa teks bagi pihak London Missionary Society, dan bertugas dengan American Board of Missions.

Pada zamannya Abdullah dianggap sebagai orang Melayu paling berbudaya dan berpengetahuan pernah menghasilkan karya, yang mengangkat persuratan Melayu ke takah lebih tinggi, dan dianggap sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden”

Jadi penterjemah, guru

Abdullah berdarah Arab Hadhrami, Tamil dan Melayu. Antara gurunya adalah ayah sendiri yang terdidik, membolehkan ayahnya menjadi penterjemah dan guru. Peranan berkenaan disambung oleh Abdullah kepada pihak Belanda dan Inggeris, termasuk mubaligh dan saudagar Inggeris dan Amerika Syarikat (AS) di kepulauan Melayu, terutama di Melaka dan Singapura.

Pada zamannya Abdullah dianggap sebagai orang Melayu paling berbudaya dan berpengetahuan pernah menghasilkan karya, yang mengangkat persuratan Melayu ke takah lebih tinggi serta dianggap sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden.

Beliau dianggap bapa kesusasteraan Melayu moden kerana pertama kali secara realistik mengangkat kisah manusia seharian dalam bentuk autobiografi, menggunakan bahasa Melayu yang meninggalkan gaya berbahasa hikayat, serta karyanya tersebar luas atas bantuan teknologi percetakan pada zaman itu. Ismail Hussein adalah sarjana tempatan yang percaya label ini, berbeza pendapat Syed Naquib Al-Attas bahawa tokoh persuratan Melayu moden yang awal ialah Hamzah Fansuri kerana puisi sufisme vertikal ketuhanannya, melalui bahasa Melayu tinggi yang luar biasa diksi serta maknanya.

Bakatnya mengarang dikesan oleh seorang mubaligh Kristian bernama Alfred North. Beliaulah yang memberi galakan kepada Abdullah, sehingga Abdullah dapat menulis dan menyelesaikan beberapa karya. Ini termasuk Syair Singapura Terbakar, Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, terjemahan Hikayat Panca Tenderan, Hikayat Kalilah dan Daminah, serta penerbitan semula Sejarah Melayu.

Kritikan sosial

Dalam Hikayat Abdullah yang menonjolkan autobiografinya, ia turut menyampaikan beberapa kritikan sosial terhadap orang Melayu. Ada beberapa amalan budaya, pendidikan, serta kepercayaan karut orang Melayu dikupasnya. Di samping itu, Abdullah mengkritik Raja Melayu dan pentadbirannya dengan lantang, suatu sampel daripada pelayarannya ke Kelantan. Inilah satu lagi sisi kontroversi Abdullah.

Raja Melayu pada masa itu dilihat saling bercakaran dengan pesaingnya, mementingkan diri, tidak mengutamakan pendidikan, tidak menghiraukan kebajikan rakyat, malah tidak melayan rakyat menurut cara yang beradab. Ini, ujar Abdullah, berbeza dengan tradisi kepemimpinan dan kerajaan Inggeris.

Sudah tentu kritikannya terasa pedas, terutama mereka yang ‘termakan cili’. Tetapi, tiada sesiapa dari istana Melayu pada masa itu yang mengambil tindakan ke atasnya. Bagaimana mungkin Raja Melayu yang tidak berpendidikan akan melakukan wacana balas terhadap Abdullah? Lebih-lebih lagi Abdullah dilihat sebagai pujangga dan intelektual Melayu pada zamannya yang mendapat naungan serta perlindungan pihak Inggeris.

Di balik tokoh yang kontroversi ini, Abdullah amat menyanjung bahasa Melayu yang menjadi medium pengucapan kreatifnya. Ia menyeru bangsa Melayu mencintai dan memajukan bahasa Ibunda ini. Di samping itu Abdullah menyeru, lebih 160 tahun lalu, agar orang Melayu berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa itu menjadi maju dan memberi erti kepada kehidupan di dunia ini.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 27 Januari 2014

ISU BAHASA : Bahasa Melayu baku, bahasa ilmu dan perpaduan

Prof Diraja Ungku Aziz

DARI JENDELA TOK KI

KENYATAAN Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid mengenai bahasa Melayu amat menarik untuk direnungkan.

Kata beliau - “Malang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak punyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.’’

Bahasa adalah alat komunikasi dan pengucapan. Ia mempunyai etos yang menghubungkan manusia dengan manusia dan juga budaya.

Bahasa jiwa bangsa menggambarkan sesuatu bahasa yang tidak saja diamal dan dihayati tetapi terkandung makna yang menghubungkan pemikiran dan hati.

Bahasa Melayu di Malaysia telah wujud ratusan tahun bersama kehadiran bangsa Melayu dan mengukir sejarah, tradisi dan budayanya. Apabila orang Cina dan India datang ke Tanah Melayu mereka menuturkan bahasa Melayu Peranakan sehingga digelar bahasa Cina dan India Peranakan.

Bahasa Melayu pada waktu itu walaupun sifatnya Peranakan tetapi menjadi bahasa perhubungan dan pengucapan dan mampu membina asas perpaduan.

Selepas merdeka,  bahasa Melayu ditempatkan dalam sistem pendidikan yang membolehkan ia dipelajari secara tertib dengan pemahaman terhadap nahu dan ayat sehingga ia menjadi baku dalam sebutan.

Di suatu tahap bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) dan mampu melahirkan ramai graduan dalam pelbagai lapangan dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Cabaran globalisasi menyebabkan bahasa Inggeris mula dominan di IPT dan Pengajaran dan Pembelajaran  Sains  dan  Matematik  Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan untuk mengukuhkan subjek Sains dan Matematik.

PPSMI kemudiannya digantikan dengan strategi Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) iaitu memartabat bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris. Pendekatan bilingual ini bertujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia.

Strategi ini adalah sesuatu yang bijaksana. Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penyelidikan dan pengkaryaan mampu menjadikan bahasa ini berperanan di pentas dunia. Lebih 300 pengucap bahasa ini di rantau Asia Tenggara dan dengan pertumbuhan IPT yang pesat membolehkan pelajar luar negara mempelajarinya.

Ia menuntut keberanian dalam kalangan pembuat dasar menjadikan bahasa Melayu wajib dipelajari oleh setiap warganegara Malaysia secara baku dan ditawarkan kepada pelajar-pelajar luar negara.

Dalam tradisi Islam, ilmuwan Islam menguasai banyak bahasa sebagai sumber mendapatkan ilmu. Al-Biruni mempelajari bahasa Hindu di India dan menjadikan bahasa itu sebagai alat menguasai ilmu seperti matematik, perubatan dan astronomi.

Bahasa Melayu tidak dapat mengelak dairpada meminjam bahasa lain terutama dalam bidang sains dan teknologi. Tetapi ia mestilah dalam struktur kebahasaan yang betul dan penggunaan kosa kata yang bertepatan.

Keupayaan bahasa Melayu menjadi bahasa sains dan teknologi membolehkan kemajuan berlaku dan kemampuan bersaing terbina. Terbukti kemajuan negara Barat seperti Perancis dan Jerman menggunakan bahasa ibundanya dan kemajuan Jepun, Cina dan Korea menggunakan bahasa ibundanya seimbang dengan apa yang berlaku di kalangan pengguna bahasa Inggeris.

Mempelajari bahasa Cina umpamanya tidak salah asal sahaja penguasaan bahasa Melayu diutamakan. Bangsa Cina bakal bangun sebagai sebuah kuasa besar suatu ketika nanti. Mempelajarinya adalah persiapan untuk mempelajari ilmunya terutama dalam bidang siber.

Dalam konteks Malaysia penggunaan bahasa Melayu tidak harus diremehkan. Dasar ini ada dalam sistem pendidikan tidak pula meremehkan bahasa Inggeris dan memperleceh bahasa sukuan.

Lebih-lebih lagi bahasa Melayu secara Perlembagaan adalah bahasa rasmi dan dalam pendidikan adalah bahasa pengantar. Ia menjadi asas kepada perpaduan negara.

Jangan biarkan bahasa Melayu menjadi bahasa rojak akibat pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang boleh menjejas kebakuan bahasa ini.

Kebakuan dalam perhubungan, percakapan dan pengkaryaan amat penting diperkukuh supaya bahasa Melayu mampu tampil sebagai bahasa ilmu, sains dan teknologi.

Tekad politik dan perpaduan yang tinggi amat diperlukan untuk mencapai cita-cita ini. Isu bahasa tidak harus menjadi gelanggang kelompok cauvinis yang menajamkan lagi masalah kaum di sini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 25 Januari 2014

ISU BAHASA : Apabila rakyat Malaysia tidak tahu bahasanya


Oleh : REJAL ARBEE

TULISAN seorang insan bernama Shashi Kumar dari Shah Alam dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris Sabtu lalu membuka mata kita betapa kurang minat dan perhatian diberikan oleh sesetengah rakyat negara ini terhadap bahasa negara mereka sendiri iaitu bahasa Melayu.

Anehnya mereka ini sering sahaja mendabik dada bahawa mereka ialah orang Malaysia sejati apabila ditegur tidak patriotik. Apa rakyat Malaysianya kalau bahasa negara sendiri pun tidak tahu malah tergamak berkata 'gua tak boleh cakap Melayu' bila ditegur sapa atau ditanya dalam bahasa Melayu.

Orang begini sememangnya tidak patriotik sebagaimana dinyatakan Shashi Kumar. Apa tidaknya dengan negara sudah pun lebih 55 tahun merdeka tidak sepatutnya masih wujud rakyat negara ini yang tidak boleh bercakap Melayu dan sedikit pun tidak mahu berusaha untuk boleh bertutur bahasa negara ini yang mereka sendiri akui sebagai negara mereka.

Apakah orang macam ini tidak berasa malu bahawa pekerja asing baik dari Bangladesh, Nepal, India, Vietnam atau dari mana sahaja pun boleh bertutur bahasa Melayu hanya setelah berada di sini selama beberapa bulan sahaja? Inikan bagi mereka yang kononnya rakyat Malaysia dilahirkan di sini selama berpuluh tahun lalu tetapi sedikit pun tidak mahu berusaha untuk menguasai bahasa negara sendiri.

Kita masih boleh terima mereka yang sudah pun berada di sini sejak sebelum merdeka tetapi tidak berpeluang untuk menggunakan bahasa Melayu kerana telah bergaul sesama puak mereka sahaja.

Pengabaian terhadap penggunaan bahasa Melayu di negara ini oleh anasir-anasir tertentu sedemikian termasuklah beberapa pemaju perumahan. Ia memberi gambaran semacam ada arahan atau peraturan daripada Persatuan Pemaju supaya ahli-ahlinya mengabaikan sahaja penggunaan bahasa Melayu.

Apa tidaknya dalam risalah-risalah jualan perumahan yang diedarkan hanya ditulis dalam bahasa Inggeris dan Mandarin sahaja. Sepatah perkataan Melayu pun tidak terdapat dalam risalah-risalah itu melainkan nama pemaju itu sahaja, seperti Keris Properties Sdn. Bhd. atau nama Jalan di mana perumahan itu sedang dibangunkan.

Risalah demikian berterusan diedarkan dengan menyelitkannya dalam akhbar yang diedarkan ke rumah-rumah termasuk akhbar berbahasa Melayu.

Yang lebih menakjubkan pemaju begini sanggup pula mengedarkan risalah mereka di kawasan-kawasan Melayu misalnya di Shah Alam.

Ia memberi gambaran seolah-olah mereka mencabar rakyat dan pihak berkuasa terhadap penggunaan bahasa negara sendiri. Pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih prihatin tidak membenarkan pemaju demikian berleluasa mengabaikan bahasa negara sendiri.

Tentunya kita tidak terfikir rakyat negara-negara seperti Perancis, Jepun atau pun Jerman akan mengabaikan bahasa mereka sendiri.

Masalahnya warga negara macam ini belajar di sekolah Cina di mana mereka diajar BM hanya untuk lulus mata pelajaran itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tidak ada usaha sebenar untuk membolehkan murid-murid sekolah demikian dapat menguasai dan boleh bertutur BM dengan baik.

Ini adalah kerana pelbagai pertubuhan Cina seperti Dong Zong begitu sekali menekankan semua orang Cina perlu menguasai bahasa Mandarin. Sememangnya tidak salah bagi mereka memberi perhatian kepada bahasa mereka tetapi tentunya tidaklah sehingga mengabaikan BM hingga nak bercakap Melayu pun tidak boleh.

Hasrat demikian inilah yang menyebabkan kenapa begitu ramai lulusan sekolah Cina yang berterusan bergaul sesama sendiri hingga berpendapat mereka tidak perlu tahu bercakap BM atau tidak berusaha cuba dapat bertutur BM. Mereka seolah-olah bukan berada di bumi Malaysia tetapi di Hong Kong, Taiwan atau China.

Sudah tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu untuk memastikan mereka ini sekurang-kurangnya boleh bertutur BM. Jabatan Pelajaran harus membuat ketetapan agar seorang calon kertas BM untuk SPM tidak akan diluluskan kiranya tidak lulus dalam ujian pertuturan bahasa Melayu.

Peraturan demikian inilah sahaja yang akan 'memaksa' murid-murid sekolah Cina berusaha lebih serius menguasai BM atau sekurang-kurangnya boleh bercakap Melayu.

PENULIS ialah Fellow Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 24 Januari 2014

ISU KENEGARAAN : Di mana Rukun Negara?


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

RUKUN NEGARA ialah ideologi kebangsaan yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Ia dirangka selepas negara melalui rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969; tiga hari selepas Pilihan Raya Umum ketiga.

Selepas 43 tahun; di manakah kedudukan Rukun Negara? Jika dahulu, ia sering kelihatan di belakang buku tulis, kini ada yang sudah tidak memberikannya ruang. Tidak boleh disalahkan jika falsafah dan lagu sekolah menjadi keutamaan kini walaupun Rukun Negara boleh ditemui di kotak tisu, kampit beras, plastik roti dan van agensi kerajaan hari ini.

Dulupun kita tidak diminta menghafal Rukun Negara tetapi kerap dipukul dan disergah jika tidak menghafal sifir yang dipapar di bawah Rukun Negara di belakang buku tulis! Adakah kerana perilaku seperti ini, maka natijahnya diperhati berlaku kebelakangan ini dengan sifat membenam nilai kenegaraan dan menular sifat dendam, aib, hina, angkuh, tidak hormat  Perlembagaan, undang-undang mahupun pemimpin yang menjadi-jadi.

Adakah kita memahami matlamat mengapa Rukun Negara dirangka dan tujuan di sebalik kehadirannya ketika tanah air bergelut untuk memulihkan perpaduan, keharmonian dan kemuafakatan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.

Rukun Negara penting untuk mengembalikan sifat kesetiaan dan penghormatan ke atas negara dalam kita bangga menjadi warga Malaysia. Ia adalah dokumen yang padat dengan peristilahan ke arah memartabatkan kedudukan masyarakat yang demokratik, saksama dan adil tanpa mengganggu tatasusila yang sudah diwarisi sekian lama.

Rukun Negara berakarkan  perpaduan. Dalam satu keluarga besar yang berlainan sifatnya, ia perlu subur dengan nilai faham, hormat dan bertolak-ansur. Kemelut etnisiti sentiasa mesti dijauhi terutama daripada anasir bersifat provokatif dan emosional. Pengalaman peristiwa 13 Mei walaupun ada tidak mahu mengingatinya; wajar dijadikan iltizam dan pedoman demi masa depan yang memberi kecerahan ke atas sifat damai, muhibbah dan stabil.

Berdasarkan kepada persekitaran ketika Rukun Negara digubal, yang menjadi dominan adalah untuk memberi keabsahan kepada amalan tradisi yang diwarisi supaya masyarakat harmoni akan dapat dipelihara ketika masing-masing meneruskan ciri-ciri kebudayaan nenek-moyang mereka.

Ini tidak bermakna Rukun Negara membelakangkan nilai progresif malahan ia dilancar agar negara tidak berhadapan dengan konflik perkauman secara berpanjangan yang boleh menjejas usaha membangun dengan pertumbuhan baik ketika itu beserta berdepan dengan persaingan dunia global yang mencabar.

Pengisian berwajahkan Rukun Negara dilihat kewajarannya. Rukun Negara penting dalam menyemarakkan sifat patriotisme, nasionalisme dan mempertahankan nilai bersama agar tidak menjadi sebagaimana negara lain yang tidak henti-henti memberi keutamaan ke atas konflik antara etnik daripada meraikan kepelbagaiannya.

Kelima-lima prinsip Rukun Negara menjadi seri kepada warna kehidupan warga Malaysia. Ia adalah untuk melahirkan warga yang bangga menjadi anak negara ini, baik anak Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak; baik berlainan keturunan dan ritualnya; di paras kemanusiaan sifat saling memerlukan diperkasakan.

Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika ia diwartakan menyatakan bahawa - ''Mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh setiap rakyat, tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-tiap perkataan dan kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging''.

Kepercayaan kepada Tuhan menjadi prinsip teratas kerana walau berlainan agama, setiap individu diajar nilai dan norma yang dihubungkait dengan kehidupan manusia yang baik. Tiada agama menyatakan bahawa 'rompak sebanyak mungkin dan akan dibalas dengan limpahan pahala'. Sifat keji dan buruk perlu dihukum dan sifat mulia wajar dipuji. Menghulur tangan, bergandingan walau berlainan warna tubuhnya demi perpaduan adalah hakikat. Ini ikatan hukum karma.

Dalam konteks negara kita, agama Islam adalah agama rasmi dan kebebasan beragama dikekalkan mengikut garis panduan yang dipersetujui di bawah Perlembagaan. Tafsiran bersifat nada politik perlu dihentikan kerana yang memburukkan agama adalah pengikut dan bukan agama itu. Rujuk Perkara 3 dan 11 yang saling melengkapi di bawah Perlembagaan.

Prinsip kedua memberi keutamaan rasa setia kepada Raja dan negara. Sistem demokrasi Raja Berperlembagaan adalah amalan negara ini dan raja menjadi lambang penyatuan serta perpaduan. Junjung kasih kepada institusi Raja-raja adalah panji-panji kenegaraan. Namun, kebelakangan ini ramai yang sudah lupa asal-usul dan adab susila sehingga tingkah-laku yang songsang diterima majoriti. Ada yang menyanggah; ada pula bersifat megah di alam maya; ada pula yang hanyut dilambung keangkuhan jiwa.

Sebagai nota kaki, pandang-pandang janji mantera antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun, jika lupa sejarah negara-bangsa.

Prinsip ketiga adalah keluhuran Perlembagaan. Dalam Artikel 4(1) dan 162 (6) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 73 Akta Malaysia, disebut Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama Persekutuan Malaysia. Artikel 4 (1) menyatakan bahawa 'Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu'.

Kedaulatan undang-undang menjadi kekuatan prinsip keempat Rukun Negara. Ia memberikan keadilan dan perlu dihormati dan dipatuhi. Undang-undang bertujuan mengawal dan mewujudkan masyarakat yang aman dan mengiktiraf kedaulatannya. Jika masing-masing mencipta undang-undang sendiri, pihak berkuasa tidak ada pilihan melainkan menguatkuasakan tindakan sebagaimana dibenarkan.

Prinsip kelima amat signifikan dalam konteks Rukun Negara. Ia menekankan sifat kesopanan dan kesusilaan. Tingkah-laku dan perlakuan menjadi asas kepada keperibadian seseorang. Yang melahirkan kebimbangan dalam konteks masyarakat pelbagai adalah karakter yang membelakangkan adat dan tidak wujud sebagai panduan dalam kehidupan.

Prinsip ini melengkapkan kesemua rukun di atas agar dapat melentur warga yang berpegang kepada ikrar menumpukan segala cita-cita dan tenaga menzahirkan prinsip-prinsip yang termeterai supaya dapat jaminan wujudnya perwatakan masyarakat yang harmoni, penyayang dan sejahtera agar memelihara kepercayaan ibadah dan akhlak, hormat sistem hukum, menjadi sihat untuk membawa kesejahteraan, sistem persanakan yang terurus tanpa berkompromi ke atas jati diri manusiawi.

Rukun Negara menjadi garis panduan kepada hubungan antara etnik merentasi perbezaan demografi mahupun geografinya. Ia adalah falsafah kebangsaan, tradisi kesinambungan zaman-berzaman agar kedaulatan, kestabilan, kemuafakatan tetap utuh walau apa cabarannya. Dilemanya, adakah keluhuran Rukun Negara dijunjung atau sekadar hiasan bersifat retorik dan kosmetik sahaja?

Ada ahli psikologi menyatakan bahawa 'kita perlu kehilangan sesuatu yang dimiliki buat seketika untuk lebih menghargainya'. Saya berharap tidak ada yang berfikiran sedemikian kerana mudah untuk merobohkan apa yang sudah dibina tetapi bukan mudah untuk membinanya semula. Pengorbanan dan kompromi telah membawa kita ke tahap ini; Rukun Negara mendasarinya. Jadi hargai ia demi masa depan Malaysia!

Penulis ialah pensyarah di  Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).


Sumber : http://www.utusan.com.my/