Khamis, 20 Mac 2014
Rabu, 19 Mac 2014
SPM 2013: 13,970 Calon Peroleh Gred A Semua Mata Pelajaran
PUTRAJAYA : Sebanyak 13,970 calon
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas memperoleh gred A (Cemerlang) bagi
semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,720 calon pada 2012, iaitu
peningkatan sebanyak 0.05 peratus.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk
Dr Khair Mohamad Yusof berkata terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat
semua A daripada sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak
11,892 calon berbanding 11,648 calon tahun sebelumnya.
"Bagi calon bukan KPM yang
memperoleh semua A adalah sebanyak 2,078 untuk semua mata pelajaran yang
diduduki berbanding 2,072 calon pada 2012," katanya semasa mengumumkan
Analisis Keputusan SPM 2013 di sini, Khamis.
Daripada jumlah itu, Khair
berkata sebanyak 405 calon iaitu 366 calon sekolah KPM dan selebihnya calon
bukan KPM berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata
pelajaran yang diduduki.
Beliau berkata jumlah keseluruhan
calon yang menduduki SPM tahun lepas adalah sebanyak 442,588.
Sumber : Bernama
Selasa, 18 Mac 2014
ISU PENDIDIKAN : Keputusan STPM esok, SPM Khamis
KUALA LUMPUR : Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan esok, manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 Khamis ini.
Bagi keputusan STPM, semua calon
boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah
hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.
Pegawai Perhubungan Awam Majlis
Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, seramai 55,214 calon STPM tahun
lepas dilaporkan telah hadir menduduki peperiksaan di 773 buah pusat
peperiksaan di seluruh negara.
Calon juga boleh menyemak
keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM
RESULT dan menghantarnya ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.
Selain itu, calon juga boleh
melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai 12
tengah hari pada hari sama untuk semakan keputusan peperiksaan.
Menurut Khawari, persidangan
akhbar mengenai analisis keputusan STPM 2013 akan diadakan setengah jam sebelum
keputusan diedarkan kepada calon pada hari sama di Auditorium, Majlis
Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.
Sementara bagi calon SPM, mereka
boleh mendapatkan keputusan pada Khamis ini bermula 10 pagi di sekolah
masing-masing.
Lembaga Peperiksaan Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata seramai 470,395 calon
telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 3,616 pusat peperiksaan di
seluruh negara.
Semakan keputusan SPM juga boleh
dibuat melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM dan hantar ke 15888. Perkhidmatan
disediakan KPM itu diaktifkan mulai 10 pagi Khamis dan ditamatkan pada 11.59
malam 26 Mac.
Majlis Pengumuman Analisis
Keputusan SPM 2013 akan diadakan 9 pagi Khamis di Bilik Mesyuarat Utama, Aras
6, Blok E8, Kompleks Parcel E, Putrajaya.
Sumber : Bernama
Isnin, 17 Mac 2014
ISU PENDIDIKAN : Penambahbaikan PBS : Guru tidak perlu isi data penguasaan murid
KUALA LUMPUR 18 Mac - Guru-guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid secara atas talian berikutan pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai 1 April ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata, guru-guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran
murid secara `offline' menerusi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS).
Beliau yang juga Menteri
Pendidikan menjelaskan, langkah itu adalah bagi memastikan para guru memberi
fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran.
"Oleh sebab bilangan
pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara
automatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan
merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat," katanya
pada sidang akhbar tentang penambahbaikan PBS di bangunan Parlimen hari ini.
Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan
pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan peperiksaan
Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Langkah-langkah penambahbaikan PBS yang lain adalah:
* Kementerian Pendidikan telah
menetapkan Dokumen Standard Prestasi (DSP)
dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
* Guru tidak lagi perlu
menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit.
* Perekodan perkembangan
pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Literasi Media untuk elak 'wartawan segera'
Subjek literasi media perlu diperkenalkan
di semua peringkat sekolah rendah dan menengah bertujuan melahirkan generasi
muda celik media, kata Prof Madya Mohamad Md Yusoff.
Mohamad merupakan Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan
itu adalah amat penting bagi memberi pendedahan kepada generasi muda agar tahu
menilai dan membezakan kesahihan sesuatu berita.
Ini kerana, situasi penyebaran
berita palsu dalam laman sosial semakin membimbangkan dalam kalangan golongan
muda, katanya.
"Subjek ini perlu diwajibkan
kerana ia boleh memberi pendedahan, sekali gus mengubah corak pemikiran
golongan muda mengenai kaedah dan cara memperoleh maklumat sama ada melalui
internet atau televisyen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
Bernama selepas menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Ruang Bicara terbitan
Bernama TV, malam semalam.
Mohamad berkata kefahaman dan
pengajaran menerusi subjek literasi media itu juga dapat mengekang kewujudan
'wartawan segera' seperti apa yang berlaku di laman sosial ketika ini.
"Apabila mereka tidak faham
(maksud berita) maka akan lahirlah wartawan tidak beretika, tiada prosedur
dalam menyampaikan maklumat dan tidak bertauliah," katanya.
Beliau turut meminta mana-mana
persatuan dalam bidang kewartawanan untuk mengambil pendekatan proaktif bagi
memastikan masalah penyebaran maklumat tidak sahih melalui media sosial dapat
diatasi.
Ia termasuklah memberi penerangan
bagaimana mendapatkan maklumat, penulisan, pengesahan dan proses penyuntingan
berita.
"Perbuatan menyebar berita
palsu adalah ancaman kepada pengamal media yang sah...Apa yang kita tahu,
berita yang sahih adalah berita yang dihasilkan mengikut proses yang
ditetapkan," katanya.
- Bernama
Rabu, 12 Mac 2014
ISU PENDIDIKAN : Tingkatan Enam macam kolej
Oleh : Nor Azma Laila
dan Arina Azlan
Kuala Lumpur : Penubuhan dua Pusat Tingkatan Enam pertama di negara
ini iaitu masing-masing di Kota Kinabalu, Sabah dan di Petaling Jaya, Selangor
memberi peluang kepada pelajar Tingkatan Enam merasai pengalaman belajar
seperti di kolej atau pusat matrikulasi.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Bandaraya 2, Kota Kinabalu, Sabah sebagai Pusat Tingkatan Enam mula beroperasi
pada 5 Februari lalu, manakala SMK Petaling Jaya, Selangor pula memulakan sesi
persekolahan pada 17 Februari lalu.
Pengarah Bahagian Pengurusan
Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad, berkata
berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan pada
November tahun lalu, kementerian meluluskan dua fokus utama iaitu berkaitan
pengoperasian premis dan pakaian.
Beliau berkata, premis merujuk
kepada penggunaan bangunan sekolah baharu sebagai Pusat Tingkat Enam yang
dikategorikan sebagai Mod 1, manakala 14 sekolah lagi dikategorikan dalam Mod 2
yang juga akan bermula tahun ini.
Dikategori Mod berbeza
Mod 1 merujuk kepada sekolah yang
hanya menempatkan pelajar dan guru Tingkatan Enam saja, manakala Mod 2 pula
ialah pelajar Tingkatan Enam tempatkan di blok berasingan tetapi di dalam
sekolah aliran perdana, sementara Mod 3 pula pelajar bercampur dan berkongsi
bangunan dengan pelajar sekolah harian biasa.
Mazlan berkata, tiga lagi Pusat
Tingkatan Enam Mod 1 dijangka dibuka pada Mac hingga April ini iaitu SMK Sri
Bandar Pontian, Johor; SMK Desa Mahkota, Kuala Lumpur dan SMK Taman Mahsuri,
Kulim, Kedah.
Katanya, satu sekolah Pusat
Tingkatan Enam Mod 2 sudah beroperasi pada 2 Januari lalu iaitu di SMK Tunku
Muhamad Kuala Pilah, Negeri Sembilan manakala 13 sekolah lagi dijangka dibuka
di Kedah, Perak, Sabah dan Selangor.
Selain premis dan pakaian,
kementerian juga akan memberi perincian kepada tiga lagi fokus utama iaitu
pengurusan dan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum.
Bincang subjek bersesuaian
Semua aspek ini masih memerlukan
perbincangan terperinci dengan banyak pihak termasuk universiti, bagi
membincangkan mengenai mata pelajaran yang ditawarkan bersesuaian dengan
kehendak universiti sekali gus memastikan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM) dapat menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT),
katanya ketika dihubungi BH semalam.
Beliau berkata, melalui penubuhan
Pusat Tingkatan Enam itu, diharapkan sekolah dapat menawarkan lebih banyak
pilihan mata pelajaran kepada pelajar sekali gus menjadikan ia sebagai pilihan
utama pelajar sebelum melanjutkan pelajaran ke IPT.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sabtu, 8 Mac 2014
ISU BAHASA : “Lautan api akan aku renangi...”
BENARLAH kata orang, apabila hati
dilamun cinta, bulan dan bintang pun
bisa dihadiahkan buat kekasih hati, apatah lagi kalau setakat untuk berenang
merentasi lautan api.
Bagi merungkaikan perasaan di
hati pasangan yang bercinta, maka terungkaplah ayat-ayat cinta seperti:
Lautan api akan aku renangi…
Dirimu segala-galanya bagi aku…
Sebenarnya, kata ganti diri
pertama 'aku' boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut mengikut situasi hubungan
antara insan yang berdialog.
Ketika berdoa ke hadrat Tuhan,
kita juga menggunakan kata ganti diri pertama ini, contohnya, “Aku bermohon
kepada-Mu ya ALLAH, ampunilah dosaku.”
Namun, sekiranya digunakan kata
ganti diri pertama 'aku' semasa kita bercakap dengan ibu bapa, tentu kita akan
dilihat sebagai kurang beradab.
Begitu juga dengan seorang murid
yang bercakap dengan guru dan membahasakan dirinya sebagai aku, murid tersebut
akan dianggap sebagai kurang ajar.
Walau bagaimanapun, terdapat
sedikit kekecualian bagi masyarakat yang berketurunan Jawa kerana tidak
dianggap sesuatu yang kasar jika seorang anak membahasakan dirinya sebagai aku.
Jika kita bandingkan penggunaan
kata ganti diri pertama 'aku' dalam situasi-situasi di atas, nescaya penggunaan
'aku' menggambarkan dua makna yang berbeza.
Penggunaan 'aku' dalam situasi
pertama (antara dua kekasih) dan situasi kedua (antara manusia dengan Tuhan)
tentunya tidak sesuai diganti dengan kata ganti diri pertama 'saya'. Dalam
situasi ketiga (antara anak dengan ibu bapa) dan keempat (antara murid dengan
guru) pula, kata ganti diri pertama 'aku' perlu diganti dengan 'saya'. Lihat
pula contoh di bawah ini:
“Rosli, aku jumpa dengan Adnan
semalam,” beritahu Zalizi.
Dalam konteks dialog di atas,
Zalizi mempunyai hubungan yang rapat dengan Rosli. Penggunaan 'aku' dalam
pertuturan dan ungkapan bahasa Melayu dapat menunjukkan hubungan yang rapat
antara penggunanya. Cuba kita renungkan pula dengan siapa kita membahasakan
diri sebagai 'saya'?
“Saya minta maaf jika kata-kata
saya menggores perasaan awak,” kata Imran kepada Dr Nasir.
Dialog di atas menunjukkan
hubungan antara Imran dengan Nasir tidaklah serapat hubungan antara Zalizi
dengan Rosli. Hal ini membuktikan 'aku' dan 'saya' dapat mengukur tahap
keakraban antara dua sahabat.
Dalam konteks lain pula, apabila
bertutur dengan seseorang yang sepatutnya kita hormati, tidak wajar untuk kita
membahasakan diri sebagai aku.
Jadi, di sini jelas dalam situasi
ketiga (bercakap dengan ibu bapa atau orang tua) dan situasi keempat (murid
bercakap dengan guru) di atas, menjadi sebab kita perlu membahasakan diri
sebagai 'saya'.
Bagaimanakah pula bagi yang
bahasakan dirinya mengikut nama?
“Abang, tolong ambilkan air.
Mariah hauslah,” beritahu Mariah kepada suaminya, Rahim.
Penggunaan nama sendiri sebagai
kata ganti diri pertama pula menunjukkan kemesraan dan kemanjaan dalam hubungan
antara penutur tersebut.
Wanita lebih gemar menggunakan
nama sendiri sebagai kata ganti diri pertama tetapi penggunaan dalam kalangan
lelaki dianggap janggal dan kurang sesuai.
Walau bagaimanapun, kebanyakan
suami lebih gemar menggunakan abang sebagai kata ganti diri pertama apabila
berkomunikasi dengan isterinya.
Bahasa Melayu amat unik. Walaupun
perkataan yang digunakan sama tetapi mempunyai nilai tertentu yang hanya
difahami oleh pengguna bahasa Melayu itu sendiri.
Tidak hairanlah jika terdapat
kesilapan penggunaan kata ganti diri pertama dalam kalangan penutur bukan
Melayu apabila bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka menterjemah perkataan
tersebut secara langsung daripada bahasa mereka, misalnya penggunaan 'aku'
dalam kalangan murid apabila berinteraksi dengan gurunya.
Sama-samalah kita mendaulatkan
bahasa Melayu kita. “Bahasa Jiwa Bangsa”.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)





