Rabu, 30 April 2014

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Menjaga adab-adab semasa bekerja


Oleh  : MOHD. ALI MUHAMAD DON

PEKERJA adalah aset yang sangat bernilai kepada negara. Tanpa pekerja yang komited dan berdedikasi dalam melakukan pekerjaan banyak keperluan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh golongan pengguna tidak dapat disempurnakan.

Lebih daripada itu, pekerjaan merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada golongan pekerja, tidak kira sama ada seseorang bekerja disektor kerajaan mahupun swasta. Malah amanah ini akan dipertanggungjawabkan di hari kemudian sekiranya gagal dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Syariat Islam yang suci sangat menggalakkan umatnya untuk bekerja terutama bagi menyara kehidupan diri dan keluarga selain membantu golongan marhaen yang memerlukan. Ini penting bagi mengelakkan perbuatan meminta-minta yang merendahkan maruah serta menjatuhkan air muka sendiri.

Dalam hal ini Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; “Lebih baik seseorang bekerja dengan mengumpulkan seikat kayu api di belakangnya berbanding dengan seseorang yang meminta-minta (mengemis) lantas ada yang memberi atau enggan memberi sesuatu padanya." (Riwayat al-Bukhari).

Dalam riwayat lain, disebutkan pula bahawasanya - “Tidak ada seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada makanan hasil kerja keras tangannya sendiri. Dan Nabi Daud 'alaihis salam makan daripada hasil kerja keras tangannya." (Riwayat al-Bukhari).

Sehubungan itu, tindakan sesetengah pihak yang menjadikan perbuatan meminta-minta sebagai pekerjaan harian seperti yang biasa dilihat di kawasan bank, stesen minyak dan tempat tumpuan awam lain wajar diberhentikan. Malah tindakan mempergunakan kanak-kanak dan pelajar sekolah adalah satu lagi kegiatan yang tidak bermoral dan boleh mencalar imej Islam yang wajib dipelihara.

Selain itu, setiap Muslim secara khususnya perlu memahami bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan mestilah selari dengan peraturan agama supaya dinilai sebagai ibadah dalam skop yang menyeluruh. Untuk itu juga syariat Islam melarang keras sebarang penglibatan umat Islam dalam kerja-kerja yang membabitkan minuman keras yang memabukkan. Begitu pula segala aktiviti maksiat seperti pelayan pelanggan (GRO), pelacuran, khidmat rumah urut dan lain-lain lagi.

“Daripada Annas bin Malik katanya: Bahawasanya Baginda Rasulullah SAW melaknat 10 golongan berkaitan arak iaitu : Yang memerahnya, yang minta diperahkannya, yang meminumnya, yang membawanya dan minta dibawa kepadanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikan". (Riwayat al-Tirmizi)

Ini kerana terdapat segelintir individu Muslim yang seolah-olah tidak merasa bersalah memilih pekerjaan dalam bidang yang diharamkan. Ini mungkin tawaran gaji yang lumayan ataupun diselubungi kesempitan hidup dan dalam situasi terdesak memerlukan sumber kewangan tanpa mengira halal dan haram lagi.

Atau kemungkinan terdapat juga yang sengaja memilih pekerjaan yang tidak bermoral kerana keseronokan dan minat yang sememangnya jauh menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar.

Perlu difahami betapa penglibatan umat Islam dalam segala pekerjaan yang diharamkan hanya mengundang dosa dan kutukan daripada Allah SWT. Malahan pendapatan yang diperoleh walaupun kelihatan banyak tetapi tetap tidak akan pernah mencukupi kerana tiada keberkatan hasil usaha haram yang diceburi.

Selain itu seseorang pekerja hendaklah bersifat amanah lagi jujur dalam pekerjaan yang dilakukan. Perbuatan meminta rasuah ataupun suapan dengan sedikit kuasa yang ada hanya akan menggalakkan aktiviti tidak bermoral yang menyebabkan negara semakin mundur dan tidak bertamadun. Lebih daripada itu, pelaku rasuah sama ada yang memberi ataupun menerima tetap beroleh kutukan dosa yang akan dibawa bersama apabila meninggalkan dunia yang fana ini.

Aspek pergaulan di tempat kerja juga perlu diberi perhatian. Bagi yang sudah berumahtangga diingatkan agar tidak terlalu mesra dengan rakan sekerja kerana dikhuatiri akan mengundang kepada keruntuhan rumahtangga akibat kehadiran orang ketiga.

Pakaian yang dipakai ketika bekerja juga patut diberi perhatian. Kaum wanita terutamanya disarankan supaya sentiasa menjaga tata susila dan kesopanan diri dengan mengenakan pakaian yang menutup aurat ketika bekerja.

Usah juga terlalu berlebih-lebih dalam mengenakan alat solekan kerana dikhuatiri mengundang fitnah dan kesan buruk yang menyusahkan diri sendiri. Dalam hal ini etika pakaian ditempat kerja khususnya bagi umat Islam elok dipatuhi demi kebaikan bersama.

Umat Islam dinasihat supaya tidak lupa bekerja untuk Allah SWT yang merupakan tugas utama lagi perlu dititik beratkan. Usah lalai dengan tugasan seharian hinggakan ibadah khusus terabai.

Apa yang lebih penting setiap pekerja wajar mengikhlaskan niat ketika bekerja sehingga keseronokan dan motivasi bekerja dapat dipertingkatkan sepanjang masa.

Dengan cara itu individu Muslim akan memperoleh keberkatan dari pada rezeki yang diperoleh sehingga seluruh ahli keluarga dan ummah mendapat kesan sampingan yang baik akibat curahan rahmat Ilahi yang melimpah ruah dan tidak terhitung banyaknya.


PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 28 April 2014

ISU PENGAJIAN TINGGI : Menggelabah duit kering


Oleh : Ihsan Noorzali

Melihat gelagat sekumpulan siswa sebuah institusi pengajian tinggi bagaikan berlumba-lumba menayangkan model terbaru telefon pintar di tangan, penulis hanya mampu menggelengkan kepala.

Beriya-iya benar kumpulan lima siswa perempuan berkenaan memperagakan telefon bimbit yang berharga sekitar RM1,500 itu antara satu sama lain.

Ia ternyata hebat kerana penulis yang bekerja pun hanya mampu memiliki telefon bimbit berharga murah.

Melihat keghairahan golo­ngan muda terhadap gajet atau barangan berjenama mahal dengan harga ribuan ringgit, ia bukan fenomena luar biasa.

Namun yang menjadi luar biasa ialah mereka daripada golongan pelajar yang tentunya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Penulis percaya duit untuk membeli telefon bimbit itu pasti datang daripada wang pinjaman yang sepatutnya digunakan bagi tujuan menampung perbelanjaan.

Menyorot fenomena ini, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Syed Ismail Syed Mohamad berkata, pengaruh persekitaran terutama tarikan rakan dan media massa antara faktor utama golongan itu hilang pertimbangan.

Beliau berkata, mereka berani mengambil risiko kekurangan duit semata-mata mahu memenuhi keperluan naluri dan mung–kin juga mahu setanding rakan lain.

“Biarpun faham kegunaan wang itu adalah sebagai talian hayat mereka di universiti, tarikan persekitaran yang sangat kuat mampu menghilangkan pertimbangan dan kewarasan berfikir.

“Mereka sanggup ikat perut agar tidak ditertawakan rakan yang mungkin boleh menjatuhkan imej pada mata orang lain.

“Namun, apabila tersedar bahawa tindakan itu mengundang padah, barulah mereka akan menggelabah. Duit sudah hampir kering sedangkan semester masih ada lagi,” katanya.

Rentetan itu katanya, siswa akan menggunakan cara lain bagi memastikan mereka tidak terus dihimpit isu kekurangan duit.

“Mulalah timbul keadaan insiden meminta duit daripada ibu bapa yang diistilahkan sebagai FAMA (father mother), meminjam dengan rakan juga bekerja sambilan.

“Selepas itu, timbul juga masalah pencapaian merudum, kerja tidak mampu diselesaikan dan tidak hadir ke kuliah.

“Bayangkan, disebabkan kehilangan pertimbangan untuk berfikir dengan matang, banyak masalah lain berbangkit, sekali gus menghuru-harakan kehidupan siswa,” katanya tidak menafikan kebanyakan yang terjebak adalah siswa Melayu berusia 18 hingga 22 tahun.

“Meskipun tiada kajian khusus atau ilmiah, secara dasarnya inilah golongan yang paling banyak berbelanja tanpa had.

“Saya tidak kata semua (siswa Melayu boros), mungkin bangsa lain juga ada tapi memandangkan jumlah siswa ini paling ramai di institusi, tanggapan itu tidak dapat dielakkan.

“Apatah lagi jika kita lihat, betapa bergayanya mereka dengan rangkaian barangan mahal yang seharusnya hanya mampu dimiliki golongan bekerja,” katanya.

Beliau berkata, biarpun wang pinjaman itu adalah hak mereka, siswa perlu sedar ia adalah pinjaman dan perlu dibayar bila tiba masanya.

“Kebanyakan siswa tidak sedar mengenai hakikat itu atau jika sedar pun mungkin pura-pura buat tidak tahu.

“Saya tekankan, wang itu mesti dibayar balik bila sudah tiba masanya. Jadi bayangkan, alangkah ruginya jika ia digunakan dengan cara tidak betul.

“Wang itu diberikan dengan harapan dapat membantu siswa yang sedang belajar agar tidak terbeban dengan pembayaran yuran pengajian, asrama dan sebagainya. Bukan untuk bersuka ria,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa pun tiada hak menghalang jika siswa mahu menggunakan duit itu bagi tujuan memberi penghargaan pada diri selepas penat belajar.

“Memang boleh tapi biarlah berpada-pada dan disesuaikan ikut kemampuan. Anda masih belajar dan tiada punca pendapatan jadi ikut tahap status anda.

“Mengapa mesti berlagak seperti orang yang sudah bekerja. Orang bekerja ada pendapatan setiap bulan tapi anda perlu menuju setiap empat bulan atau lebih untuk memperoleh wang.

“Lebih menyedihkan, wang yang seharusnya digunakan bagi tujuan belajar disalahgunakan demi kepuasan peribadi,” katanya.

Ditanya kemungkinan sikap boros itu disebabkan tiada kesedaran diri, beliau mengakuinya.

“Pendapat saya, mereka kurang bijak memikirkan masa depan. Maksudnya, tindakan ini untuk hari ini saja manakala untuk hari lain, kita fikir pada hari itu.

“Jika mereka bijak membuat perancangan, duit diterima itu boleh disimpan. Walaupun sedikit, tapi jika dihimpun jumlahnya akan meningkat.

“Tamat pengajian, duit terkumpul itu boleh digunakan untuk tujuan lain seperti memulakan kerjaya keusahawanan, menampung keperluan semasa dan sebagainya,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian, cara itu katanya, banyak dipraktikkan siswa bangsa lain kerana secara dasarnya mereka lebih gemar berdikari berbanding meminta bantuan keluarga.

“Saya tidak kata siswa Melayu tiada inisiatif, tapi kebanyakannya tidak bijak dan kurang membuat persiapan awal.

“Bila tamat pengajian, mula menggelabah sebab tiada pendapatan dan belum mendapat pekerjaan.

“Nasihat saya, sesiapa jua perlu bijak membuat perancangan kewangan supaya tidak menyesal nanti. Jangan terlalu mengikut kata hati,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Jumaat, 25 April 2014

ISU BAHASA : INDONESIA, AUSTRALIA JUARA PABM 2014

Sally Jane Hill

Slamet Nur Anon

Oleh : KHAIRULANUAR YAHAYA

SERDANG 25 April - Peserta Indonesia, Selamet Nur Anon dan peserta Australia, Sally Jane Hill, masing-masing dinobatkan hari ini sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2014 bagi kategori alam Melayu dan antarabangsa.

Piala pusingan berserta hadiah wang tunai berjumlah AS$7,000 disampaikan kepada mereka berdua oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh sebaik pengumuman dibuat di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini malam tadi.

Bagi kategori antarabangsa peserta dari Yemen, Aiman Saleh Hasn Alammari muncel sebagai naib juara dan tempat ketiga dimenangi peserta China, Chen Nan.

Bagi kategori Alam Melayu pula, peserta negara Aiman Ariff Abdul Azij diumum sebagai naib juara dan tempat ketiga dimenangi peserta Thailand, Mahamat Yusof.

Naib Johan akan menerima piala iringan dan wang tunai AS$5,000, manakala tempat ketiga menerima piala iringan dan wang tunai AS$3,000  - UTUSAN ONLINE

Khamis, 24 April 2014

ISU BAHASA : Satu daripada 7,000 bahasa kecil mati setiap 14 hari


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Terdapat kira-kira 85 bahasa besar di dunia yang digunakan oleh 78 peratus penduduk dunia. Ini termasuklah bahasa Melayu/Indonesia dengan sekitar 300 juta penutur, bahasa Mandarin, bahasa Hindi, bahasa Inggeris dan sebagainya.

Di samping itu ada lebih kurang 7,000 bahasa lain di seluruh dunia, kebanyakannya di tempat yang terpencil, yang hanya digunakan oleh sejumlah 22 peratus penduduk dunia.

Contoh bahasa kecil termasuklah bahasa Tuvan di Rusia (235,000 penutur), bahasa Wintu di California, Siletz Dee-ni di Oregon, Ormuri di Pakistan-Afghanistan, Mamuju di Sulawesi Barat, serta 231 bahasa etnik asli yang bertaburan di seluruh Australia, termasuk bahasa Amurdak di Wilayah Utara Australia. Juga bahasa kelompok penduduk kecil di pulau-pulau serta belantara.

Sentiasa terumbang-ambing

Nasib 7,000 bahasa kecil ini sentiasa terumbang-ambing. Isu ini turut diangkat oleh National Geographic dalam sirinya Vanishing Voices. Satu bahasa akan mati setiap 14 hari. Kalau diibaratkan musim jerebu, bahasa kecil itu berada dalam analogi beberapa ‘titik panas’, yang akan terbakar hangus dan hilang atas beberapa sebab.

Sebab pertama, kerana jumlah penuturnya kecil. Apabila penduduknya meninggal dunia, jumlah penutur semakin sedikit. Sebab kedua, bahasa tersebut hanya berfungsi dalam lingkungan kehidupan etnik, flora dan faunanya, sehingga tidak dapat berkembang untuk kegunaan lebih luas.

Sebab lain, kerana bahasa itu tidak dipelajari dan diturunkan secara sistematik kepada generasi barunya. Situasi ini diburukkan lagi dengan tiadanya teks bertulis yang merakam khazanah bahasa tersebut, juga tiadanya media cetak dan media elektronik yang dapat berfungsi mengembangkan bahasa dalam masyarakat.

Daripada sejumlah sebab serta alasan hapusnya bahasa kecil itu, punca yang paling ketara adalah pengaruh bahasa lain yang lebih kuat. Sempadan bahasa lain itu akan meluas, termasuk menindih sempadan geografi bahasa kecil. Bahasa lain itu kuat kerana sekurang-kurangnya memiliki tiga kualiti berikut;

Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan atau graphization (sistem aksara/ejaan). Jadi, bahasa kecil yang belum mempunyai sistem tulisan atau ejaan, bahasa itu mudah terhapus dan dilupakan.

Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk ‘bahasa tinggi’ yang disebut a supradialectal form, maksudnya bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu, jadi bahasa kecil yang masih berada di peringkat dialek daerah, bahasa itu lama kelamaan akan hapus.

Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan modern form of discourse, maksudnya idea, ilmu dan pemikiran ‘moden.’ Bahasa itu sudah boleh menterjemahkan isi pemikiran atau ‘ilmu moden’ dari bahasa yang sudah maju – yakni maju dari segi fungsinya. Bahasa kecil tidak memiliki kualiti ini, oleh itu sukar berkembang.

Lambang kebijaksanaan

Kehilangan setiap bahasa, walau sekecil manapun bahasa tersebut, merupakan sesuatu yang mendukacitakan. Ini kerana bahasa merupakan produk budaya serta lambang kebijaksanaan para penuturnya. Bahasa kecil yang lenyap, yang tidak sempat dirakamkan khazanahnya, turut menghapuskan kearifan tempatan tentang flora, fauna, dan kebudayaan kelompok masyarakatnya.

National Geographic meramalkan, menjelang abad yang akan datang, separuh daripada 7,000 bahasa kecil di dunia ini akan lenyap begitu sahaja. Memetik kata-kata David Harrison, ahli bahasa dari Swarthmore College, “Kadar kepupusan bahasa kecil jauh mengatasi kepupusan burung, mamalia, ikan atau tumbuh-tumbuhan, dan kepupusan bahasa selalunya menyamai kelenyapan spesies-spesies biologikal.”

Kita tidak boleh membuat andaian bahawa bahasa Melayu tidak akan lenyap di Malaysia. Untuk menjadikan bahasa Melayu terus kekal, bahasa ini harus terus menjadi bahasa ilmu, digunakan dalam sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi; dan terus tersebar dalam penerbitan, media cetak dan media elektronik.

Perubahan zaman dan teknologi harus menyedarkan institusi perancang bahasa (seperti Dewan Bahasa dan Pustaka), ahli bahasa, penulis dan aktivis bahasa, untuk memanfaatkan peranti digital moden seperti aplikasi iPhone, video You Tube, laman Facebook dan sebagainya, untuk mengembangkan bahasa Melayu. Dengan cara itu khalayak dapat terus merasai denyut perkembangan bahasa Melayu.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 20 April 2014

ISU KENEGARAAN : Perpaduan nasional proses panjang, mencabar


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid

Perpaduan adalah isu yang sentiasa diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Tanpa perpaduan yang kukuh akan memungkinkan berlakunya konflik perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian hidup masyarakat dan keselamatan, seterusnya kemajuan dan pembangunan negara.

Perhatian dan usaha serius ke arah perpaduan kaum di negara ini boleh dikatakan bermula selepas tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Peristiwa hitam itu mendorong kerajaan menubuhkan Majlis Muhibah Negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Apabila Kerajaan berparlimen dipulihkan semula, Majlis Muhibah Negara digantikan dengan Majlis Perpaduan Negara (MPN) pada 23 Februari 1971. MPN kemudian ditukarkan kepada Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan ahlinya seramai 51 orang. Ia ditadbirkan bersama oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara.

Pada l Januari 1972, Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara digabungkan dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974, Kementerian Perpaduan Negara bertukar nama menjadi Lembaga Perpaduan Negara. Sebuah badan penasihat turut dibentuk, iaitu Panel Penasihat Lembaga Perpaduan Negara yang asalnya ialah Lembaga Perpaduan Negara. Penubuhannya dilancarkan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak (Allahyarham) pada 28 Oktober 1974.

Panel Penasihat itu ditubuhkan untuk membincangkan masalah perpaduan secara telus dan objektif supaya timbul idea baharu bagi menghapuskan perasaan perkauman dan mengelakkan daripada timbulnya konflik dan konfrontasi antara kaum. Pada tahun 2004, Jabatan Perpaduan Negara dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Ia adalah bukti kerajaan begitu komited untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu.

Matlamat bina perpaduan kaum

Membina masyarakat Malaysia yang bersatu bukan usaha mudah kerana pelbagai ranjau harus dibersihkan supaya jalan ke arah perpaduan dicapai. Polisi ‘pecah dan perintah’ yang dilaksanakan penjajah telah mewujudkan keadaan masyarakat yang bercampur tetapi tidak bersatu.

Keadaan itu boleh mengundang bencana kepada negara jika tidak dicari jalan penyelesaian jitu.

Justeru, peristiwa 13 Mei telah mendorong negara melaksanakan ‘kejuruteraan sosial’ dengan penekanan segala dasar dan agenda kerajaan bermatlamatkan membina perpaduan kaum.

Hakikatnya, perpaduan kaum adalah faktor penting dalam menentukan kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara. Ia tidak boleh dicapai dalam bentuk hubungan ‘fungsional’ semata-mata tetapi lebih penting dari itu ia menuntut hubungan ‘empatetik’ yang mendalam antara kaum.

Hubungan ‘fungsional’ tidak sukar dipraktikkan kerana sekadar perhubungan harian di tempat kerja atau premis jual beli. Sebaliknya, hubungan ‘empatetik’ adalah hubungan yang sukar dibina. Namun, ia tidak mustahil jika kita melihat merentasi tembok perkauman.

Kita mungkin dapat bertolak ansur dalam beberapa perkara tetapi sukar untuk membina hubungan ‘empatetik’ antara kaum jika masing-masing kekal dalam tembok perkauman yang tebal. Ia menuntut kita menghapuskan ego dan sentimen perkauman.

Semak kembali kelemahan

Memang selama ini konsep masyarakat majmuk kita difahami dalam kerangka konsep Furnival yang memperakukan perbezaan nilai, norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti sehingga toleransi dalam konsep pluralisme yang diutarakan Furnival itu menjadi antara sebab kepada benih perkauman kekal bertapak. Akhirnya, ia tetap menjadi penghalang kepada usaha memperkasakan perpaduan kaum melalui pelbagai dasar dan program.

Memang pada permukaannya kelihatan ia memberikan impak positif kepada perpaduan kaum di negara ini. Namun, hakikatnya, ia gagal tetapi bukan kegagalan sepenuhnya. Lantas apa yang perlu dilakukan ialah menyemak kembali kelemahan yang ada supaya langkah memperbaiki dapat dilaksanakan.

Saya kira gagasan 1Malaysia yang menekankan kita melihat sesuatu itu merentasi tembok perkauman dengan menekankan elemen penerimaan dan empati boleh menjadi landasan memperbaikinya. Sayangnya, konsep dan gagasan itu disalahertikan dan dipolitikkan sehingga kebaikannya dilupakan.

Kesannya, perpaduan tetap menjadi isu sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) pada November tahun lalu. MKPN mempunyai hasrat murni, iaitu menyediakan pelan bertindak cadangan penyatuan nasional yang boleh direalisasikan bagi memperkukuh kembali perpaduan antara kaum di negara ini.

Justeru, kita berharap MKPN dapat meneliti isu ini dengan mendalam dari semua sudut secara berani, telus dan jujur, termasuk mengkaji kesan aliran pendidikan berasaskan kaum.

Memang cabarannya cukup besar seperti pernah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa perpaduan nasional adalah proses panjang dan cabarannya besar sebab negara kita terlalu kompleks, tetapi ia bukan penghalang. Kesudahannya, perpaduan nasional akan berpunca daripada minda kita sendiri.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KEIBUBAPAAN : Program Sarana dapat sambutan positif


Oleh :  Faiza Zainudin dan Mohd Hamizar Hamid

Pembabitan ibu bapa dalam, luar sekolah satukan pihak berkepentingan

Serdang: Program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan Kementerian Pendidikan tahun lalu mendapat sambutan positif daripada semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru serta komuniti setempat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program bertujuan meningkatkan pembabitan ibu bapa dalam pembelajaran anak di dalam dan luar sekolah berjaya menyatukan setiap pihak berkepentingan bagi memberi tumpuan kepada modal insan penentu masa depan negara.

“Saya dapat melihat perkembangan positif di bawah program Sarana ini apabila ada ibu bapa yang prihatin dan datang melawat bilik darjah dan juga asrama, meninjau secara dekat perkembangan anak mereka dan melihat keperluan yang masih kurang di sekolah.

Ambil berat masalah disiplin

“Ibu bapa yang prihatin turut terbabit mengambil berat masalah disiplin di sekolah dan membantu meringankan beban tugas guru.

“Ada juga ibu bapa menggunakan kepakaran istimewa mereka termasuk kemahiran dalam bahasa Inggeris, perubatan dan kejuruteraan membantu pihak sekolah meningkat kecemerlangan pelajar,” katanya pada majlis Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Kebangsaan 2012/2013 di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur diumumkan penerima Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Keseluruhan dan membawa pulang cek bernilai RM50,000, plak dan sijil penyertaan. Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Amir Sahudi menerima anugerah berkenaan daripada Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, melalui Sarana Sekolah, peranan PIBG diupayakan untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang ditubuhkan bagi merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah.

Beliau berkata, sehingga kini, 62.3 peratus KSIB ditubuhkan di sekolah menengah, manakala 60.3 peratus di sekolah rendah seluruh negara.

“Sarana ini diperluaskan bagi memastikan interaksi ibu bapa dengan anak berada pada tahap maksimum, sekali gus memberi peluang ibu bapa menyumbang idea, tenaga, kepakaran dan kewangan kepada sekolah.

Bantu proses pembelajaran

“Hubungan sinergi yang padu dan jaringan komunikasi yang baik antara pentadbir sekolah dengan PIBG mampu melonjakkan keberhasilan yang memberi manfaat bersama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata peranan komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan juga tidak kurang penting seperti usaha menambah baik keperluan asas pendidikan, membantu orientasi semula proses pembelajaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kecemerlangan anak dalam pendidikan.

Sementara itu, di ibu negara, Muhyiddin menyarankan semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meningkatkan produktiviti dan kapasiti dengan menggunakan sumber terhad sama ada dari segi kewangan dan sumber manusia.

Katanya, dalam menghadapi cabaran, elemen kreativiti dan inovasi diperlukan supaya kecemerlangan jentera perkhidmatan awam dapat diperkukuh.

“Perkhidmatan awam hari ini berdepan cabaran yang cukup besar, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan permintaan pasaran yang dinamik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Perak Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan isteri, Puan Sri Rohani Abdullah serta Presiden Alumni PTD, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 17 April 2014

ISU SOSIAL : Kes gengster remaja tuntut perhatian serius semua pihak


Oleh : Mohd Ayob Abd Razid

Isu peningkatan gengsterisme dalam kalangan remaja hari ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa keselamatan negara. Pembabitan remaja dalam aktiviti itu jelas tidak bertanggungjawab.

Ia bercanggah dengan nilai yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Tindakan mereka menunjukkan kurangnya kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip berkenaan.

Lima prinsip Rukun Negara adalah tunjang penting yang perlu diamalkan oleh generasi kita bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Jika ramai remaja kita terbabit dalam aktiviti tidak sihat ini maka ia akan memberi kesan tidak baik kepada masyarakat.

Remaja yang membabitkan diri dalam kumpulan gengsterisme tidak mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi. Pastinya mereka tidak lagi menghormati undang-undang negara. Mereka juga dianggap menyimpang daripada tata susila kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

Aktiviti tidak sihat ini juga akan mendorong mereka terbabit dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, alkohol, perjudian, peras ugut, kekerasan dan rogol.

Mengikut statistik, pembabitan remaja dalam jenayah menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun (2012-2013).

Peningkatan kes jenayah

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Jaafar, peningkatan dalam jenayah kekerasan yang dilakukan remaja membabitkan tujuh kategori iaitu bunuh, rogol, samun berkumpulan dengan senjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api, samun bersenjata api, samun tanpa senjata api dan mencederakan.

Jenayah harta benda yang dilakukan remaja pula membabitkan curi motokar, curi motosikal, curi kenderaan berat, ragut dan lain-lain. Menurut Wan Junaidi, walaupun berlaku peningkatan kes jenayah yang serius agak terpencil serta tidak sampai ke tahap membimbangkan masyarakat (BH 9 April 2014).

Pada pendapat penulis, walaupun ia dianggap terpencil, namun berdasarkan statistik didapati setiap kategori jenayah itu meningkat hingga dua kali ganda. Contohnya, bunuh meningkat daripada 35 kes (2012) kepada 74 kes (2013), samun tanpa senjata api meningkat daripada 39 kes (2012) kepada 116 kes (2013), samun berkumpulan tanpa senjata api juga meningkat daripada 238 kes (2012) kepada 685 kes (2013) dan rogol daripada 386 (2012) meningkat kepada 824 kes (2013).

Tindakan tegas

Justeru, polis wajar memberi perhatian serius terhadap isu ini. Remaja yang terbabit dalam aktiviti gengsterisme ini mesti dipantau dan diambil tindakan tegas. Bagi remaja yang baru terbabit dalam aktiviti ini, tindakan awal dapat menyelamatkan mereka daripada terus tersasar daripada landasan dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

Tindakan awal juga boleh dilakukan oleh pihak sekolah dengan memberikan kaunseling dan bimbingan kepada pelajar yang sering mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah dan buli. Pelajar bermasalah ini mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk terbabit dalam kumpulan gengsterisme.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana kegagalan mereka memberikan didikan dan bimbingan yang sempurna antara punca anak mereka terbabit dalam pelbagai gejala sosial.

Diingatkan bahawa negara memerlukan remaja dan belia yang sihat bagi membolehkan mereka memperkukuh kemajuan dan pembinaan negara bangsa.

Kesimpulannya, pembabitan remaja dalam aktiviti gengsterisme perlu dibendung dan mereka yang terbabit wajar dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada di negara ini.

Sebagai pelapis kepada negara, mereka harus mempamerkan sikap terpuji dengan mematuhi undang-undang negara agar negara aman dan rakyat dapat hidup harmoni.


Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/