Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk meraikan Majlis sambutan Hari Guru pada pagi yang berbahagia ini.
يا الله ياعزيز يا ستارفعال لما يريد
Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman , justeru kurniakanlah kepada guru-guru kami hati yang ikhlas untuk menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya . Lorongkanlah hati guru-guru kami agar menjadikan seluruh
aktiviti dunia pendidikan sebagai ibadah, mengharapkan rahmat dan
keredhaan-Mu semata-mata .
Pada saat dan detik ini, kami hulurkan tangan pengharapan , memohon ihsan dan pimpinan-Mu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang kepada barisan pendidik yang budiman terhadap anak-anak didik mereka , sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangi anak- anak mereka sendiri . Kurniakanlah kepada mereka kesabaran , ketabahan , semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan , semangat permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga , idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan kokurikulum pelajar-pelajar sekolah ini khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya .
يا االله يا مكوراليل والنهار
Pada kesempatan ini , berkat kebesaran dan kehebatan-Mu ya Allah kami mohon kurniakan kepada kami sifat yang mulia dan akhlak yang luhur , mudah-mudahan kami akan menjadi anak didik yang sentiasa menghormati guru-guru kami , mendengar tunjuk ajar daripada guru-guru kami , sentiasa mengharapkan teguran dan bimbingan guru-guru kami , semoga kami
menjadi insan yang sempurna dan berguna kepada agama ,
bangsa dan negara yang tercinta .
Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan turun martabatnya menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh sebab itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa yang memuliakan Allah, syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia dimurkai Allah. Sesiapa yang dimurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh sebab itu seorang murid mestilah memelihara adab-adab ketika bersama-sama dengan guru. Antara lain adab tersebut adalah seperti berikut:
1. Memberi salam dan sentiasa hormat akan guru. 2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang. 3. Jika ingin bertanya, meminta izin terlebih dahulu. 4. Mencari masa yang sesuai untuk bertanya. 5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru. 6. Menghindarkan diri daripada menyinggung perasaan guru. 7. Memberikan bantuan kepada guru apa-apa yang dapat dibantu. 8. Melakukan apa-apa yang paling disenangi oleh guru. 9. Menggunakan bahasa yang baik sewaktu berinteraksi dengan guru. 10. Tidak meninggikan suara ketika bercakap dengan guru
Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS PELBAGAI kejadian jenayah baru-baru ini yang dikaitkan dengan mereka yang dikatakan 'Mat Rempit' telah menyebabkan pihak berkuasa menggandakan usaha menangani gejala mat rempit ini. Gejala tersebut, berdasarkan tangkapan yang dibuat, melibatkan ramai remaja Melayu lelaki yang beragama Islam. Adalah amat sedih apabila mengetahui situasi ini yang menggambarkan realiti sebenar permasalahan generasi muda Muslim kita. Gejala mat rempit kini bukan sekadar aksi tunggangan ekstrem di jalanan tetapi turut mengalami evolusi budaya yang turut merangkumi aspek penampilan seperti cara berpakaian, pertuturan serta pergaulan dan juga aspek dalaman yakni idealisme, kecenderungan serta nilai hidup.
Aktiviti mat rempit juga bukan sekadar dikaitkan dengan kesalahan trafik malahan kesalahan jenayah umpamanya penyalahgunaan dadah, merompak, meragut dan sebagainya serta ketirisan akhlak seperti pergaulan bebas. Tentunya tidak adil untuk umum melabelkan semua mat rempit bersikap sedemikian rupa kerana ada sesetengahnya memang sekadar melibatkan diri dalam aktiviti bermotosikal tanpa sebarang unsur jenayah atau isu moral.Namun pelbagai stigma negatif yang terpalit pada para mat rempit seakan tidak dapat dipadamkan daripada persepsi masyarakat kerana kerapnya berlaku insiden jenayah dan tidak bermoral yang melibatkan golongan bermotosikal. Dan persepsi sedemikian diperkukuhkan lagi apabila masyarakat mengalami sendiri insiden yang tidak diingini yang melibatkan golongan tersebut, apatah lagi jika ada kaum keluarga sendiri yang berkecenderungan sedemikian. Ia seakan kelihatan sebagai satu wabak virus sosial yang semakin merebak di kalangan golongan belia di negara kita khususnya remaja Melayu. Dan wabak ini perlu ditangani sebelum ia menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara.
Operasi "merawat"
Operasi penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa terutamanya polis sememangnya perlu dalam menangani gejala ini daripada menjadi belenggu yang mencetuskan ketidaktenteraman dalam masyarakat.Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan saman, penjara, atau kenderaan disita berdasarkan kesalahan yang dilakukan. Usaha sedemikian dapat dilihat sebagai satu kaedah pendidikan menggunakan hukuman sebagai pengajaran buat yang tertangkap dan mereka yang lain.
Walau bagaimanapun, selain pendekatan hukuman, kita juga perlu melihat kepada kaedah lain yang mampu menyelesaikan gejala sedemikian dengan mengambil kira akar puncanya.
Sebagaimana konsep pengubatan dalam Islam, yakni mencegah itu lebih baik daripada mengubati, pendekatan yang diambil perlu berhasil membina ketahanan iman dan ilmu yang kukuh agar tidak terjebak dengan apa jua pengaruh negatif yang timbul dewasa ini.
Ironinya, media pula mengagungagungkan budaya mat rempit dengan menyiarkan sisi kehidupan golongan tersebut. Natijahnya hal ini mungkin menjadikannya satu budaya popular di kalangan remaja. Jelasnya gejala mat rempit merupakan realiti masyarakat yang tidak perlu disebarkan.
Sistem pendidikan Faktor pembentukan gejala sosial seperti mat rempit juga boleh dilihat dari aspek pencapaian sistem pendidikan di negara kita. Adakah sistem pendidikan kita mempunyai kelemahan sehinggakan terdapat banyak modal insan yang dididik terjerumus ke dalam kemelut sosial?
Persoalan tersebut perlu ditelusuri secara objektif dan ikhlas demi kebaikan generasi muda. Soal ego dan kepentingan diri perlu ditolak dalam menjawab persoalan tersebut.
Sebagai contoh, berkemungkinan sistem pendidikan negara masa kini terlalu berlandaskan peperiksaan iaitu penerapan konsep ilmu oleh guru diikuti pengulangan konsep ilmu tersebut oleh murid. Kemudiannya, proses penilaian banyak berlaku secara di atas kertas iaitu peperiksaan bertulis.
Teknik pengajaran di dalam kelas pula lebih mengaplikasikan gaya belajar yang bersifat auditori dan visual, yang mungkin lebih mudah diadaptasikan oleh pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki yang lebih cenderung kepada gaya belajar kinestatik atau berbentuk amali.
Implikasinya, kedapatan lebih ramai pelajar lelaki yang keciciran, iaitu tidak dapat menyerap sepenuhnya proses perkembangan ilmu di dalam kelas dan seterusnya kurang cemerlang dalam peperiksaan. Keadaan sedemikian berpotensi menyebabkan mereka kehilangan arah kehidupan andainya tidak terus dibimbing sebaiknya. Tambahan pula, adakah integrasi konsep pendidikan Islam atau moral (bagi bukan Islam) secara teori dan amali turut diberikan penekanan secukupnya dalam pembelajaran di sekolah? Hal ini memerlukan kita meneliti kembali sukatan serta kaedah pengajaran yang digariskan untuk para pelajar kita.
Mengapa remaja Melayu? Persoalan kedua ialah, adakah benar gejala ini lebih menular di kalangan remaja Melayu berbanding kaum lain di negara kita? Jika benar, mengapakah hal ini berlaku sedemikian? Jawapan kepada persoalan tersebut mungkin boleh dikaji berdasarkan kepada faktor sosio ekonomi dan demografik kaum-kaum di negara kita.
Secara umum, penglibatan masyarakat bukan Melayu dalam perniagaan memungkinkan golongan muda mereka turut terlibat secara langsung dalam perniagaan keluarga di samping menelusuri lapangan akademik melalui persekolahan. Situasi ini mendedahkan mereka kepada kegiatan berniaga yang menuntut mereka kepada pengiraan untung rugi serta perencanaan terhadap kelangsungan perniagaan untuk masa depan. Praktis sedemikian merupakan satu pendidikan berbentuk kinestetik atau amali dalam kehidupan mereka.
Justeru bagi yang cenderung dalam akademik, usaha mereka akan ditumpukan kepada kecemerlangan pelajaran. Manakala bagi yang lebih cenderung ke arah bidang bukan akademik, mereka berkeupayaan untuk meneruskan perniagaan keluarga jika ada minat ataupun membuka perniagaan baru berdasarkan pengalaman berniaga dimiliki. Manakala bagi remaja Melayu pula, wadah pendidikan yang ada mungkin terhad kepada persekolahan semata-mata. Oleh itu, sekiranya tercicir, hal ini menyebabkan remaja tercari-cari alternatif lain untuk mencurahkan bakat, minat dan tenaga mereka.
Lalu, apa yang dimiliki di depan mata itulah lebih mudah menjadi medan perencanaan bakat dan kehebatan mereka. Tidak lain tidak bukan itulah motosikal. Motosikal, dengan harga yang mampu dimiliki oleh kebanyakan keluarga Melayu, memungkinkan ramai remaja memilikinya sendiri atau melalui milik keluarga.
Dengan motosikal yang dimiliki itulah remaja memanifestasikan keupayaan fizikal mereka dengan membuat aksi ekstrem, dan kepintaran teknikal iaitu dengan mengubahsuai motosikal untuk menjadi jentera pemanduan yang lebih laju.
Dua pendapat di atas hanyalah merupakan hipotesis untuk menjelaskan faktor pembentukan gejala mat rempit yang masih perlu dibuktikan sama ada secara kualitatif mahupun kuantitatif. Malah mungkin ada pendapat lain yang lebih baik serta faktor lain yang perlu diambil kira untuk menjelaskan isu ini.
Bagaimana dengan negara lain? Kajian sosiologi yang merujuk kepada perbandingan budaya remaja antara kaum di negara kita dan di negara-negara lain juga boleh dilaksanakan demi memperoleh faedah berbanding.
Antara persoalan yang boleh dijadikan objektif kajian ialah adakah gejala sedemikian turut berlaku di negara-negara lain? Apakah puncanya? Jika ada, bagaimanakah pihak berkuasa di sana berusaha mengatasinya?
Dengan hasil kajian yang diperoleh, pihak berkaitan boleh merangka strategi yang lebih baik serta mengadakan usaha kerjasama yang menggabungkan kepakaran masing-masing dalam usaha menangani gejala mat rempit ini secara lebih berkesan.
Pendidikan berakar umbi daripada perkataan didik yang bererti pelihara, ajar dan jaga. Setelah dijadikan analogi, pendidikan boleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat mengekalkan nilai-nilai budaya dalam kalangan masyarakat.Oleh itu, peranan guru sebagai pendidik tidak terhad sekadar penyampai ilmu semata-mata.
Dalam konteks negara kita, kerjaya sebagai guru dapat dinyatakan sebagai pendidik profesional yang tugas utamanya adalah mendidik, mengajar, membimbing, mengarahkan, melatih, dan menilai anak muridnya. Sebagai pendidik formal di sekolah, pengaruh guru amat besar . Tindak-tanduk mereka diperhatikan dan menjadi ikutan anak-anak muridnya. Sewaktu menjalankan tanggungjawabnya, guru terikat kepada tatasusila perguruan yang telah ditetapkan. Hal ini penting bagi memastikan tidak berlaku fenomena bak nyiru baktampian, bak guru bak anak sasian;kerana kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari;kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.
Proses menuntut ilmu berlangsung sepanjang hayat manusia. Golongan pelajar yang menuntut ilmu perlu belajar dengan bersungguh-sungguh dan mempelajari sesuatu ilmu itu sehingga ke peringkat tertinggi. Sesuatu ilmu atau kemahiran itu perlu dikuasai supaya mereka beroleh manfaat daripada ilmu yang dipelajari. Mereka yang terkandas atau hanya belajar separuh jalan sahaja, sudah tentu tidak akan mendapat manfaat daripada ilmu yang dipelajari. Hal ini terungkap dengan jelas melalui peribahasa berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi yang bermaksud pelajaran yang tidak dituntut dengan sempurna, tidak akan mendatangkan sebarang faedah.
Ilmu atau kemahiran dalam bidang tertentu amat penting, justeru menjadi kayu ukur bagi melayakkan seseorang menjawat sesuatu jawatan. Tanpa ilmu atau kemahiran, bagaimana mungkin seseorang itu dapat menjalankan sebarang pekerjaan yang diarahkan. Oleh yang demikian, benarlah kata orang tua-tua dahulu bahawa kemahiran itu sebaik-baik guru. Peribahasa tersebut bermaksudsesuatu pekerjaan akan menjadi sempurna apabila dikerjakan oleh orang yang ahli.
Walau bagaimanapun, proses untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran itu bukanlah sesuatu yang mudah. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak mengenal putus asa, kejayaan atau kecemerlangan yang diharapkan dalam apa-apa juga bidang tidak akan kesampaian. Hal ini kerana kurang sisik, tinggal lidi di buku;kurang selidik, tinggal kaji di guru. Maksudnya, tidak akan tercapai sesuatu hasrat atau tujuan, kalau kita tidak mahu berusaha dan bersusah payah.
Kesimpulannya, sebagai pendidik, guru harus sedar bahawa penghormatan yang diperoleh daripada anak-anak muridnya bukan dibuat-buat. Tindakan mereka sebenarnya tindakan ikhlas atau spontan yang terhasil oleh sebab mereka berasa dihargai dan berpuas hati dengan ilmu yang disampaikan. Fenomena ini bertepatan dengan peribahasa sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya yang bermaksud kesukaan seseorang akan sesuatu itu kerana faedah yang dapat diperoleh daripadanya.
Oleh ZULKIFLI ABDULLAH zulkifli.abdullah@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Profesion perguruan semakin mendapat tempat di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan hampir 100,000 orang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) bagi pengambilan sesi Julai ini.
Ini sekali gus menimbulkan persaingan sengit di kalangan pelajar sedangkan pihak Kementerian Pelajaran hanya mampu menempatkan 6,200 orang untuk mengikuti kursus pendidikan di dalam dan luar negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom (gambar) yang menyifatkan bilangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap kerjaya perguruan di negara ini.
"Pada tahun ini, seramai 1,877 pelajar yang memperoleh 9A hingga 15A dalam SPM 2008 memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di luar negara. Daripada bilangan itu, seramai 100 pelajar terpilih untuk dihantar ke United Kingdom.
"Mereka dipilih untuk mengikuti Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Luar Negara khusus pembelajaran dalam bidang kritikal seperti Fizik dan Biologi,'' katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.
Alimuddin memberitahu, Kementerian Pelajaran memang mencari dan memilih pelajar cemerlang serta berkualiti yang berminat untuk mengikuti kursus perguruan.
Bagaimanapun, mereka perlu melalui tiga tapisan termasuk menghadiri proses temu duga dan menduduki Ujian Sahsiah Keguruan (INSAK) secara bertulis.
TERENGGANU akan menjadi tuan rumah Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-38 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 16 Mei ini.
Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009, Zulkifly Mohd Wazir, berkata majlis dijadualkan berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu dan acara terbabit dinantikan warga pendidik kerana tahun ini adalah sambutan kali pertama bersama Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kira-kira 2,500 tetamu membabitkan wakil pelbagai peringkat seluruh negara akan hadir memeriahkan majlis pelancaran bertema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.
Selain itu, katanya, sambutan bermula 13 Mei itu akan diadakan di dua tempat berasingan iaitu pameran inovatif dan kaedah pembelajaran di Terengganu Trade Centre, manakala kegiatan lain di TTI.
“Berbeza sambutan sebelum ini, pameran diadakan di lokasi berlainan kerana memikirkan tempatnya strategik bagi memasyarakatkan ilmu kepada pengunjung.
“Acara lain dirancang termasuk pertandingan bahas (13 hingga 15 Mei), Majlis Makan Malam serta penyampaian anugerah yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.
Zulkifly yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, berkata anugerah disampaikan Muhyiddin sempena Majlis Makan Malam pada 15 Mei, manakala tiga lagi oleh Najib, keesokan harinya.
“Sambutan kali ini dijangka lebih meriah kerana warga pendidik pastinya mahu mendengar idea baru yang akan disampaikan Perdana Menteri dan timbalannya yang juga Menteri Pelajaran,” katanya
Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.
OBJEKTIF-OBJEKTIF HARI GURU
Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu boleh berkesan.
ANUGERAH PERTAMA TOKOH GURU (1975)
Puan Hajah Zainun bte Munshi Sulaiman (Allahyarhamah)
Encik Mohd. Nor bin Ahmad
Encik Ting Pin Sung
Encik A.V. Perumal
Encik Tan Chong Bee
IKRAR HARI GURU
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.
TEMA-TEMA HARI GURU KEBANGSAAN
2009 Guru Pembina Negara Bangsa 2008Guru Cemerlang Negara Terbilang 2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara